“CIK.”
Aina berpaling. Matanya mengecil. Wajah yang
berdiri di depannya itu teramat asing pada pandangannya.
Tidak mahu menghiraukan lelaki bermata sepet yang tidak
dikenalinya itu, Aina kembali melangkah. Masa bekerjanya
sudah tamat. Dia perlu menyambung kerja yang lain pula.
“Cik, tunggu dulu.”
Aina mendengus kala lelaki bermata sepet itu
menghalang pergerakannya.
“Kau ni siapa hah? Nak apa?” jerkah Aina kasar.
Sakit hati apabila lelaki itu cuba menghalangnya daripada
melangkah. Main halang-halang pula.
“Saya Potato.”
Jeda seketika. Dahi Aina berkerut. ‘Potato???’
“Hahahahaha...” Ketawa Aina pecah dengan kuatnya.
Melengking-lengking nadanya. Banyak-banyak nama
yang elok didengar, kenapalah nama itu menjadi pilihan?
Glamor sangat ke? Bunyi macam orang putih. Tapi kalau
diterjemahkan ke bahasa Melayu, ertinya kentang. Aduhai...
sakit perut Aina ketawa. Sampai berair matanya. Dari tadi
dia tak ketawa, jumpa lelaki ini tiba-tiba saja tawanya pecah
macam orang tak betul.
Potato ketap bibir. Dia tahu gadis itu ketawa
terbahak-bahak kerana mentertawakan namanya. Sesiapa
sahaja yang pertama kali mendengar namanya itu, pasti akan
ketawa macam tersampuk lawak Jozan. Nama sebenarnya
Abdul Ghafur Abdul Salleh. Tapi disebabkan pada zaman
kanak-kanaknya dia merupakan penggemar kentang goreng,
rakan-rakan memanggilnya dengan nama Potato. Sampai
ke dewasa nama itu melekat. Ke mana saja pergi, dia lebih
gemar memperkenalkan diri sebagai Potato. Nama sebenar
itu hanya wujud dalam kad pengenalan sahaja.
“Kau ni takde nama lain ke? Potato? Hehehe...
giler kentang!” sempat Aina mengejek. Hatinya digeletek
lucu. Tak kisahlah kalau lelaki itu hendak marah sekalipun.
Dia benar-benar berasa kelakar saat lelaki bermata sepet itu
memperkenalkan dirinya sebagai Potato.
Potato mengecilkan matanya. Geram! ‘Amboi budak
ni! Sempat lagi dia ejek aku. Takpe... aku bagi chance kau
ketawa puas-puas. Lepas ni kau tahulah nasib kau. Nak
ketawa ke senyap.’
“Cik kena ikut saya. Tuan saya nak jumpa.” Tak
guna dilayan ketawa gadis muda itu. Dia ada kerja yang lebih
penting perlu diselesaikan.
Tawa Aina terhenti. Keningnya dijongket sebelah.
Tinggi seperti Ziana Zain.
“Siapa tuan kau? Kenapa nak jumpa aku pulak? Ada
urusan penting ke?” banyak soalan Aina. Bertubi-tubi.
“Cik... saya takde masa nak terangkan. Sila ikut saya.
Tuan saya tengah tunggu dalam kereta tu.”
Mata Aina melirik ke arah sebuah kereta mewah
yang ditunjuk lelaki sepet itu. Dahinya berkerut. Seolah-olah
pernah dilihat kereta itu sebelum ini. Tapi... di mana ya?
Otaknya tidak dapat memproses data ketika ini. Banyak
sangat yang bermain dalam fikiran, membuatkan dia mudah
menjadi lupa. Hesy... belum tua dah nyanyuk!
“Kenapa nak tunggu dalam kereta pulak?
Entah-entah kau ni orang jahat tak? Nak culik aku!” Suka hati
saja Aina membuat tuduhan melulu sambil jarinya dituding
lurus ke muka lelaki itu.
Potato mendengus. Perempuan seorang ini cakap
ikut sedap mulut saja. Buat apalah dia nak culik, buang masa
saja! Dia tak pernah buat kerja terkutuk itu. Mak Leha tak
pernah ajar anaknya yang kacak bergaya ini menjadi seorang
penculik. Kerja haram tu!
“Cik, tolong bagi kerjasama. Saya takde masa nak
bersoal jawab. Kalau cik ada sebarang kemusykilan, boleh
tanya terus pada tuan saya. Saya cuma jalankan arahan.”
“Kalau aku tak nak?” Aina peluk tubuh.
Potato hela nafas. Susah hendak berkomunikasi
dengan gadis ini. Ada saja olahnya. Boleh pula dia berkeras
tidak mahu mengikuti Potato berjumpa dengan Luth. Degil!
Mungkin sebab itu Luth naik geram dengan gadis seorang ini.
Benar-benar mencabar kesabaran!
“Cik nak saya heret cik ke? Nak macam tu?”
Kali ini Potato pula menyoal. Biar Aina pula yang fikirkan
jawapannya. Dia tiada sebarang masalah mahu mengheret
gadis itu. Setakat badan Aina yang kecil molek ini, dengan
mudah saja dia uruskan.
“Huh! Maaflah ya... aku rasa, aku takde sebarang
urusan dengan tuan kau. Jadi aku tak perlu nak ikut kau
pergi jumpa tuan kau tu. Entah-entah kau dengan tuan kau
ni orang jahat tak? Saja nak reka cerita kata itu ini. Padahal
nak culik aku. Sorrylah, aku tak nak berurusan dengan orang
yang tak dikenali.”
Belum sempat Aina membuka langkah, Potato
terlebih dahulu menyambar pergelangan tangan Aina dan
mengheret gadis itu ke arah sebuah kereta mewah berwarna
hitam berkilat.
“Hei... kau buat apa ni? Lepaslah!!!” Aina
memberontak. Meronta-ronta dia minta dilepaskan.
Rayuan Aina ibarat angin lalu. Pintu kereta dibuka.
Lantas tubuh kecil molek itu ditolak masuk ke dalam. Bukan
niat Potato mahu berkasar, tetapi memandangkan gadis itu
berdegil, terpaksalah dia menggunakan kekerasan.
“Adoi!” Aina mengaduh sebaik tubuhnya dihumban
masuk ke dalam perut kereta. “Tak guna punya sepet! Apa
kau ingat aku ni bahan buangan ke? Suka hati kau aje main
humban-humban. Takde adab sopan langsung! Dengan
perempuan macam aku pun nak berkasar. Dasar lelaki dayus!”
Aina mendengus sambil kepala ditoleh ke kanan. Serentak itu
juga matanya membulat.
“Kau!!!” Suara Aina memetir.
Luth tayang muka selamba. Keningnya dijongket.
Memang hobi gadis itu berteriak agaknya. Membingitkan
telinga saja.
“Kau nak apa lagi hah? Tak puas dengan apa yang
kau dah buat? Kau dah suruh bos aku pecat aku. Sekarang
ni kau suruh si giler kentang tu pulak culik aku. Kau nak
apa sebenarnya?” Marah benar Aina dengan lelaki itu. Ikut
hatinya yang tengah marah ini, mahu rasanya dihadiahkan
penumbuk sulung kepada lelaki muka ketat itu. Menyampah!
Luth tarik nafas. Lalu dihela. Wajahnya masih
seperti tadi. Tidak tersenyum, tidak juga mencuka. Selamba
bagaikan tiada perasaan.
‘Arghhh...’ Melihat wajah tanpa perasaan itu, hati
Aina menjerit. Siapa sebenarnya lelaki ini? Kenapa diganggu
hidupnya? Kalau disebabkan masalah tempoh hari, dia rasa
sudah dilangsaikan hutangnya kepada lelaki ini apabila Encik
Mail Bujang memecatnya dari kelab malam itu. Maknanya
dia sudah tidak berhutang sesen pun dengan si mamat muka
ketat ini. Tapi, kenapa lelaki ini suka sangat mengganggu
ketenteraman hidupnya? Huh! Menyampah!
Aina menyilangkan tangan ke dada.
“Hah, kau nak cakap apa? Aku takde masa nak
berlama-lama dalam ni,” ujar Aina. Geram dengan lelaki
itu tak sudah-sudah. Entah apalah dosanya kepada lelaki
itu, sampaikan lelaki itu masuk ke dalam hidupnya dan
menyusahkannya.
“Saya nak tawarkan peluang pekerjaan pada awak.”
Aina gosok telinganya berkali-kali.
“Hah... apa dia? Ulang sekali lagi, boleh tak?”
Sebenarnya dia bukanlah pekak. Dia dengar apa yang disebut
mamat muka ketat itu. Cuma dia sengaja mahu lelaki itu
mengulanginya. Setelah lelaki itu meminta Encik Mail
Bujang memecatnya, takkanlah semudah itu pula lelaki itu
menawarkan pekerjaan kepadanya? Tentu ada satu muslihat.
“Saya nak tawarkan kerja pada awak.”
Aina berlagak dengan buat muka terkejut. Sengaja
dia menekap mulut dengan kedua belah tangannya. Mata
pula sengaja dibulatkan. Poyo semacam.
“Saya tak bergurau Cik Aina. Saya...”
“Cup! Dari mana kau tahu nama aku?” Laju Aina
mencela. Pelik. Tak pernah kenal, tiba-tiba lelaki itu tahu
namanya.
Luth mendecit. Perempuan itu memang suka
memotong cakap orang tanpa membiarkan dia menghabiskan
apa yang perlu diperkatakan.
“Rasanya dari mana saya tahu nama awak tu tak
penting. Apa yang penting sekarang, saya nak tawarkan
pekerjaan pada awak.”
“Kenapa nak tawarkan aku kerja pulak? Bukan
sebelum ni kau ke yang paksa bos aku pecat aku?”
“Sebab saya tahu awak perlukan kerja yang gajinya
lebih lumayan daripada kerja dekat kelab malam tu.”
Terkedu Aina. Dari mana lelaki itu tahu dia
memerlukan kerja yang gajinya lumayan?
“Awak tak perlu tanya dari mana saya dapat tahu
semua tu. Semua kisah hidup awak, ada dalam kocek saya.
Ibu awak menderita sakit buah pinggang. Pak cik awak
berhutang dengan along. Saya tahu awak perlukan duit
yang banyak untuk selesaikan semuanya. Sebab tu saya nak
tawarkan awak peluang pekerjaan yang gajinya lebih lumayan
daripada sebelum ni.”
Sekali lagi Aina terpanar.
‘Biar betik? Dia tahu tentang aku? Siapa sebenarnya
dia ini?’ Bebola mata Aina bergerak-gerak. Memerhatikan
mamat muka ketat di depannya itu dari atas hingga ke bawah.
Kemudian ke atas semula.
“Dari mana kau tahu semua tu? Kau ni siapa
sebenarnya?” tanya Aina dengan mata tunak memandang
mamat muka ketat tanpa senyuman itu.
“Siapa saya, rasanya itu awak tak perlu tahu. Saya
cuma nak beri awak tawaran hebat. Terpulang pada awak
nak terima atau tak,” tegas Luth. Semalaman dia berfikir.
Demi menebus kesilapan, dia perlu membantu gadis ini. Tapi
bantuannya berserta dengan syarat. Gadis itu perlu mematuhi
syarat yang diberikan. Bukan percuma begitu sahaja.
Senyuman sinis dilemparkan. Dia punya agendanya
sendiri. Dia yakin, nak tak nak gadis itu terpaksa juga terima
tawarannya itu.
“Kerja apa yang gajinya lumayan tu? Aku takde
pendidikan tinggi. Keputusan exam pun nyawa-nyawa ikan
aje. Kalau kau nak suruh aku jadi perempuan simpanan,
minta maaflah banyak-banyak. Aku tak nak! Aku tak buat
kerja tak senonoh macam tu.” Boleh pula terlintas kerja satu
itu dalam kepala Aina. Dalam banyak-banyak kerja, kerja
sebagai perempuan simpananlah yang dirasakan mempunyai
pendapatan yang lumayan. Tak perlu sekolah tinggi. Setakat
darjah 6 pun, kalau pandai melayan nafsu jantan, dah boleh
jadi perempuan simpanan.
Luth tayang muka serius. Mulut perempuan itu tak
ubah macam bertih jagung. Kata-katanya juga tak pernah
berlapis. Main lepas saja.
“Saya pun takkan minta awak jadi perempuan
simpanan,” tegas Luth.
Aina menceber.
“Oh... ya ke? Habis tu kau nak suruh aku kerja
sebagai apa dengan gaji yang kau kata lumayan sangat tu?”
“Be my wife.”
“Hah???” Mulut Aina terlopong luas. Kelu terus
lidahnya. Cuma belum pengsan saja.
No comments:
Post a Comment