DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 20 September 2018

Mencari Jalan Pulang - Bab 1






BOTOL Tooheys yang hampir kosong itu
aku teguk perlahan, berharap tegukan terakhir itu dapat
menyejukkan hati yang sedang membara. Rokok di celah jari
kusedut dalam memenuhi hati, sebelum asapnya dihembus
perlahan.
Ah, celaka punya jantan. Sanggup dia buat aku
begini. Kepercayaan yang aku beri selama ini, begitu sahaja
dikhianati.
Fikiran kembali mengimbau detik-detik keramat
siang tadi. Detik di mana aku menjumpai akaun Instagram
seorang wanita berambut ikal berwarna perang. Penuh akaun
tersebut dengan gambar-gambar dia dan seorang lelaki.
Lelaki yang sangat aku kenali. Lelaki bernama Izzat Hakim.
Aku dengan Izzat sudah lebih 3 tahun bercinta.
Perkenalan kami bermula sewaktu aku mengunjungi The
Blast; rutin aku setiap malam minggu. Ketika itu aku tidak
menyedari bahawa diriku ini sedang diperhatikan oleh Izzat,
yang juga sedang duduk di bar selang beberapa seat daripada
aku.
Bermula dari situ, kami menjalin hubungan cinta;
sebelum aku terbang ke Sydney untuk melanjutkan pelajaran.
Kami cuba untuk menjalin hubungan jarak jauh, yang pada
awalnya nampak berjalan lancar. Namun, baru beberapa bulan
aku di sini, terus aku dikejutkan dengan berita kecurangan
Izzat sepanjang ketiadaan aku di Malaysia.
Berita itu membuatkan hati aku hancur berkecai,
sehingga membawa aku mengasingkan diri di sini; di jeti
berhadapan dengan Harbour Bridge yang bersinar terang.
Keluhan berat aku lepaskan. Kecewa, marah, sedih,
semuanya bergabung menjadi satu. Tiada setitis pun air mata
yang mengalir dek kerana campur baur perasaan yang terlalu
mengelirukan.
Telefon bimbit berdering. Aku mengeluarkannya
dari poket jaket, lalu skrin yang bercahaya itu aku tatap. Izzat!
“Helo.”
“Suzie! You pergi mana? Dah banyak kali I call you,
tapi you tak angkat.”
“Kau nak apa lagi? Kan aku dah cakap, kita putus.
Tak faham bahasa ke?”
“Dengar dulu penjelasan I...”
Panggilan itu aku matikan. Nombor Izzat aku block.
WhatsApp dan segala macam aplikasi media sosial di telefon
aku buang. Semak!
Puntung rokok di jari kucampak ke tanah sebelum
bangkit menuju ke stesen bas di belakang kawasan jeti. 3
botol bir yang diteguk tadi mula menampakkan kesannya.
Kepala terasa berat dan bingung, perut juga mula bergelodak.
Namun, semua itu tidak aku endahkan. Aku harus pulang
segera. Bas terakhir akan tiba beberapa minit saja lagi.
Dalam keadaan terhuyung-hayang, aku menguatkan
langkah meninggalkan jeti. Beberapa kali juga aku hampir
terlanggar manusia yang turut berlegar di kawasan itu.
Semakin lama, langkahku semakin laju. Kawalan di tubuh
juga semakin hilang arah tuju.
Tiba-tiba, tubuhku bertembung kuat dengan sesuatu,
sehingga menyebabkan aku terundur dan hilang imbangan
diri lalu jatuh ke belakang. Kepala aku terlalu berpinar-pinar,
hingga membuatkan aku hilang kekuatan untuk bangkit
kembali. Akhirnya aku hanya tersadai di lantai jeti sambil
merenung kosong ke arah langit.
“Miss, are you okay? Hey, miss. Answer me. Are you
awake?”
Seorang lelaki mencangkung di sisiku sambil
bertanya. Dia memetik-metik jari di hadapan wajahku
sehingga membuatkan aku tertawa kecil. Lalu tanganku
ditarik sehingga aku berdiri, dan aku dipapah sambil berjalan
menuju entah ke mana.
Siapa lelaki itu, aku tidak ambil peduli. Aku mula
berkata-kata, namun sepatah apa pun tidak aku sedari. Apa
yang aku tahu, saat ini aku sedang berada di dalam sebuah
kereta, dan baju aku penuh dengan cecair pekat berbau busuk.
Segala-galanya menjadi terlalu kabur, dan akhirnya
pandanganku menjadi kelam...

AKU MEMBUKA mata perlahan-lahan. Aku di mana ni?
Keadaan sekeliling aku perhatikan dengan teliti. Ini
bilik aku. Lantas, hati ini dilanda hairan. Bila masa pula aku
pulang ke sini?
Aku lihat pula pada pakaian di tubuh. Sudah
bertukar. Tapi, siapa pula yang tukar?
Aku lantas turun dari katil lalu berdiri, namun
serta-merta tubuhku terjelepok ke lantai. Kepala berat
ditambah dengan tekanan darah rendah, itulah jadinya.
Perlahan-lahan aku berjalan menuju ke dapur.
Kelihatan Mia sedang sibuk membancuh teh di dalam teko.
Terus aku menarik kerusi meja makan dan melabuhkan
punggungku di situ.
“Good morning, mak cik. Bangun jugak kau.
Ingatkan dah arwah tadi,” tegur Mia sambil menoleh ke
arahku sekilas.
Aku hanya menguap tanpa membalas. Tiada mood,
tiada tenaga, dan tiada daya untuk membalas sindiran itu.
“Nah.” Mia menolak secawan teh ke arahku. Aku
capai lemah dan kuteguk perlahan-lahan. Lega sedikit sakit
di kepala ini.
“Kau pergi mana semalam? Keluar petang, balik
tengah malam. Senyap aje tak beritahu aku,” bebel Mia.
Melihatkan aku yang tiada jawapan, dia menyoal lagi.
“Siapa mamat tu?”
Aku mengerutkan dahi.
“Mamat mana?”
“Yang hantar kau balik malam tadilah. Dia call aku
guna telefon kau, tanya alamat rumah kita,” terang Mia.
Aku semakin dilanda kehairanan.
“Aku tak ingat apa-apa pun malam tadi. Yang aku
tahu, aku terlanggar something... or someone... selepas itu
aku dah tak sedar apa-apa.”
“Berapa banyak kau minum malam tadi?” soal Mia
lagi.
Aku tidak menjawab, hanya menunjukkan 3 jari.
Membulat matanya memandangku.
“Banyaknya! Kau ada masalah apa ni Zie?”
Tahu-tahu sahaja Mia yang aku sedang dirundung
masalah. Memang dia sudah faham, kalau aku minum lebih
daripada sebotol dalam satu masa, bermakna aku sedang
bersusah hati.
“Izzat ada perempuan lain kat Malaysia...” suara aku
mendatar.
Bertambah bulat mata Mia bagaikan hampir
terkeluar daripada soketnya.
“Mana kau tahu?”
“Semalam aku stalk akaun Instagram dia. Ada satu
nama perempuan ni yang like setiap gambar dia. Bila aku klik
aje nama tu, nampaklah gambar-gambar diaorang berdua,”
kataku sambil termenung jauh.
“Dia tak private akaun dia?”
Aku menggeleng.
Mia terdiam. Terkejut mungkin. Dia faham sangat
status hubungan aku dengan Izzat, memandangkan dia
roommate aku semenjak kolej lagi. Dia pernah beberapa kali
berjumpa dengan Izzat, sewaktu kami sama-sama curi-curi
keluar ke ibu kota pada malam minggu dengan menaiki
kereta Izzat. Jadi, tidak hairanlah jika dia turut sama terkesan
dengan berita ini.
“Izzat ada explain apa-apa tak?” soal Mia lagi.
“Dia speechless masa aku tanya dia petang semalam.
Malam tu dia call lagi untuk explain, tapi aku dah tak ada hati
nak dengar.”
Suasana sunyi. Agak lama kami mendiamkan diri
melayan perasaan.
“Kau okey?” Mia bertanya dengan berhati-hati.
Wajahnya tampak risau.
Aku mengangguk.
“Siapa yang tukarkan baju aku ni?”
“Akulah. Takkan nak biar kau tidur dengan muntah
kau,” jawab Mia sambil menghirup teh.
“Aku muntah?”
“Yalah. Banyak pulak tu. Baju mamat tu pun terkena
sekali. Teruk betul kau ni.” Mia menggeleng-gelengkan
kepalanya.
“Siapalah agaknya dia tu. Rasa bersalah pulak aku.
Tapi nasib baik aku save nombor kau kat speed dial. Kalau
tak, memang tak sampai rumahlah aku pagi ni,” kataku
sambil cuba mengingat kembali kejadian malam tadi.
“Dia nampak baik. Muka dia pun lembut aje. Nampak
soleh gitu. Maybe budak usrah kut,” balas Mia sinis.
Aku hanya tersengih geli hati. Budak usrah dengan
kami, ibarat minyak dengan air; takkan mungkin bercampur.
Mana mungkin mereka ingin mendekati manusia-manusia
liar seperti aku ini.
Tas tangan di atas meja kopi di ruang tamu
kucapai. Kotak rokok dikeluarkan dan sebatang rokok mula
kunyalakan. Belum sempat aku menyedut, aku terdengar Mia
menegur.
“Kau nak berasap pergi kat balkoni sana. Tak serik
lagi lepas kes karpet terbakar minggu lepas?”
Aku mencebik, lalu melangkah keluar ke balkoni.
Pandangan kuarahkan ke langit biru di hadapan sambil
menikmati asap rokok keluar masuk memenuhi rongga dada.
Dada masih lagi sakit. Sakit dengan perbuatan orang yang
aku cinta.
Hembusan angin musim luruh meniup lembut
tubuhku, membuatkan rambut merahku beralun lembut
mengikut rentak. Nyaman sungguh udara pagi ini, namun
tidak dapat memadamkan rasa sebak dalam hati. Tanpa sedar,
air mataku mula bergenang di tubir mata, setelah sekian
lama aku tahan daripada keluar.
Terimbas kembali segala kenangan manis saat
bersama dengan Izzat dahulu.
“Hey. May I sit here?” Satu suara menyapaku dari
belakang. Seorang lelaki tinggi lampai, berkulit cerah,
dengan rambut ikal separas bahu bersama topi di kepala
sedang berdiri sambil menunggu reaksi daripadaku.
“Sure, why not,” balasku tanpa perasaan dan
kembali berpaling ke hadapan. Gelas berisi martini aku hirup
perlahan.
Dia melabuhkan duduk di sebelahku. Kemudian, dia
memesan segelas koktel sebelum kembali memandangku.
“I saw you with a glass of scotch last week. Are you
sure you can handle your drink really well?” Dia memulakan
perbualan.
Aku cuma mengangkat sebelah bahu sambil
tersenyum.
“So, what are you doing for a living?” Dia bertanya.
“I'm a student,” jawabku pendek.
Dahinya berkerut.
“What are you studying?”
“Engineering.”
Dia tergelak kecil.
“Are you serious? Wow, you don’t look like that kind
of person.”
Sentap aku mendengar kata-katanya. Pantas aku
menoleh dan merenungnya tajam.
“Why? Just because I'm a girl?”
Makin galak dia ketawa.
“No... no. That's not what I meant. It’s just... you
look sexy and elegant, so I didn’t expect you to do tough
things like that.”
Hati aku semakin panas.
“Oh please... It’s not the 80's and yet you still judge a
girl by the way she looks. It’s so narrow-minded, and you are
being sexist don't you think?” ujarku berang.
“Engineering and feminism... sexy...” katanya
separuh menggumam sambil tersenyum.
Aku hanya diam. Dalam hati ada sedikit berbunga
apabila dipuji begitu.
“Oh, wait. How old are you?” Dia bertanya penuh
tanda tanya.
“Nineteen.”
Dia terkejut.
“How did you get in here?”
“Rahsia,” jawabku sepatah sambil tersenyum licik.
Sebenarnya aku meminta PA papa untuk membuat kad
pengenalan palsu untukku tahun lepas. Ditambah dengan
penampilanku yang kelihatan seperti wanita matang, tidak
susah untuk aku membolos diri ke dalam pub ini.
“Badass,” komennya sepatah membuatkan aku
tergelak. “I'm Izzat Hakim by the way.” Dia menghulurkan
tangan.
Aku menyambut huluran itu.
“Hana Suziela...”
Ah, kenangan... Dalam senyuman, air mata mula
jatuh perlahan ke pipi. Namun, kepala masih tidak henti
memutar memori demi memori...
Suasana di tepi pantai pada malam itu sungguh
mendamaikan. Angin bayu yang bertiup lembut, memberikan
rasa nyaman kepada setiap pengunjung.
“Next week kita pergi Soulbox nak?” Izzat memberi
cadangan.
Aku mengangguk.
“Boleh juga. I cuti semester minggu depan. So I kena
balik rumah dulu. Nanti I drive aje dari rumah. So, you tak
perlu pick-up.”
“Parents you tak kisah?” tanya Izzat, bimbang jika
kebebasan aku disekat sekiranya aku pulang ke rumah nanti.
Aku tergelak kecil.
“Parents I jarang ada kat rumah, Izzat. Papa ada
isteri baru kat UK. So dia jarang balik Malaysia. Mama pulak,
sejak dia jumpa balik dengan ex dia masa kat sekolah dulu, dia
selalu tidur rumah lelaki tu. So, tinggallah I sorang-sorang
dengan maid I.”
Izzat terkejut.
“Parents you dah bercerai?”
“Belum. Masing-masing tak nak cerai, sebab nanti
harta kena bahagi. Company tu pun hasil usaha mereka
berdua. Kalau berpisah, susah nak manage nanti. So,
diaorang ambil jalan selamat. Mama uruskan cawangan di
Malaysia, papa uruskan urusan di luar negara. Diaorang akan
bertemu pun hanya untuk bincang hal kerja. Most of the time
dalam meeting ajelah,” terang aku panjang lebar. Riak aku
langsung tidak menunjukkan sebarang perasaan. Mungkin
kerana sudah penat dan muak untuk berasa sedih.
Izzat pantas menarik aku ke dalam pelukan.
Tindakannya itu serentak membuatkan aku terkejut. Suasana
sunyi seketika. Tangan Izzat mengelus lembut rambutku,
menumpahkan rasa kasihan mungkin.
“Be mine,” ucapnya perlahan.
Jantung aku berdegup laju. Tiada langsung kata-kata
yang lahir daripada bibir ini.
“Zie? Are you listening?” Izzat memanggil.
“I am...” balasku. Sedikit terpinga-pinga.
“I think I'm in love with you, Zie. Sejak kali pertama
I ternampak you, hati I terus rasa tertarik pada you. Dan I
datang The Blast setiap minggu hanya untuk tengok you aje
dari jauh.” Izzat meluahkan rasa.
Terharu aku dengan pengakuan Izzat. Ternyata aku
tidak bertepuk sebelah tangan. Aku juga sudah lama terpikat
dengan kebaikan lelaki itu. Cuma untuk meluahkan dahulu,
aku tidak berani.
Pelukan dilepaskan. Tangannya memegang
kedua-dua bahuku.
“Be mine, will you?” tanyanya sekali lagi.
Lama aku perhatikan wajahnya, sebelum aku
mengukir senyum dan mengangguk.
Terpancar jelas sinar kegembiraan di mata Izzat
tatkala melihatkan responsku. Tubuhku dibawa sekali
lagi ke dalam pelukannya dan dirangkul erat. Saat dia
melepaskan rangkulan, tangannya memegang daguku
lembut. Perlahan-lahan dia merapatkan bibirnya ke bibirku.
Aku hanya membiarkan dan menerima segala perlakuannya.
Lantas bibir kami bertautan, menjadi saksi deklarasi
penyatuan dua hati.
Nafas kuhela kasar. Semua saat indah itu hanya
tinggal kenangan. Izzat yang kucintai telah melakar luka
dalam hatiku kini.
Tangan mencari-cari rokok di dalam kotak. Hesy!
Rokok habis. Terus aku melangkah menuju ke bilik, dan
merebahkan badan di atas katil.
Wajah kutekup dengan bantal, lalu esakan kecil mula
terhasil. Semakin lama, esakan tersebut menjadi semakin
kuat. Bantal di wajah aku genggam kuat, menumpahkan
segala kesedihan dan kemarahan di hujung genggaman.
Bahu yang terhinggut-hinggut mengikuti rentak tangisan
aku biarkan tidak terkawal. Hiba dalam hati tak siapa yang
tahu. Biarlah, biar aku yang menanggungnya seorang diri.
Tiada siapa perlu tahu, tiada siapa perlu peduli.
Dan akhirnya, dengan sedu-sedan yang masih
berbaki, aku pun tertidur setelah puas menangis.

No comments:

Post a Comment