“ALL around me are familiar faces... Worn
out places, worn out faces... Bright and early for their daily
races... Going nowhere, going nowhere...” Suaraku perlahan
mengiringi melodi yang terhasil daripada petikan jari pada
tali gitar akustik.
“Their tears are filling up their glasses... No
expression, no expression... Hide my head, I wanna drown
my sorrow... No tomorrow, no tomorrow...”
Renyai hujan yang turun menambahkan lagi rasa
melankolik dalam hati. Langit semakin lama semakin gelap
birunya, menandakan hari mula berganjak senja.
“And I find it kind a funny... I find it kind a sad...
The dreams in which I'm dying... Are the best I've ever had...
I find it hard to tell you... I find it hard to take... When people
run in circles... It's a very, very mad world, mad world...”
“Mad world...” ucapku sepatah lalu melepaskan
keluhan. Aku menopang dagu pada gitar di riba, merenung
gradient warna jingga dan biru bersatu di langit. Gabungan
warna yang paling cantik di mataku.
Mad world. Dunia yang gila...
Aku perhatikan tingkah laku manusia di sini setiap
hari. Pagi-pagi sudah keluar untuk menyelesaikan urusan
masing-masing. Kerja sehingga lewat petang. Selesai kerja,
masing-masing mula menghabiskan masa di bar. Ada yang
hanya meluangkan masa di rumah bersama keluarga. Esoknya
sama juga; bangun pagi, pergi kerja, balik kerja, leisure time.
Hari seterusnya juga sama. Sehingga tiba hujung
minggu, masing-masing keluar berparti. Minum sehingga
mabuk. Hangover pada pagi Ahad. Semuanya untuk
melepaskan stres akibat kerja pada hari biasa.
Tiba hari Isnin, rutin yang sama berulang lagi.
Begitukah hidup? Bagaimana pula dengan pelajar seperti
aku? Dari kecil sudah ditanam oleh guru dan ibu bapa untuk
belajar pandai-pandai, kata mereka supaya dapat hidup
senang di kemudian hari. Apabila dapat masuk universiti,
buat pinjaman untuk yuran pengajian. Kemudian, belajar
lagi sampai separuh mati.
Habis belajar, hutang menggunung. Mohon kerja
bagus supaya dapat membayar hutang. Bagaimana yang
dikatakan belajar pandai-pandai supaya dapat hidup senang,
sedangkan akibat daripada belajar bersungguh-sungguh itu
menghumbankan pelajar ke dalam derita bebanan hutang
yang tidak berkesudahan? Ironi.
Dan selepas itu hidup akan jadi seperti
manusia-manusia tadi. Ulangi rutin yang sama sampai ke
sudah. Adakah itu tujuan manusia dihidupkan di bumi?
Hanya untuk lahir, belajar, dan kerja sampai mati?
Mad world. Dunia yang gila...
‘Ingat Mia, kita ni sebagai manusia
diciptakan bukan tanpa sebab. Berdasarkan
dua ayat tadi, tujuan Allah ciptakan kita
ada dua. Pertama, untuk menjadi khalifah.
Kedua, untuk beribadah kepada-Nya.
Bila kita ingat dan faham akan tujuan
kewujudan kita di dunia ini, maka barulah
kita ada semangat untuk terus hidup.
Sebab kita tahu, hari-hari yang kita lalui ni
bukan sia-sia, tapi dipenuhi dengan tugas
yang diberikan oleh Tuhan.’
Teringat kembali kata-kata Mariam tempoh hari.
Aku tidak faham sebenarnya apakah yang dimaksudkan oleh
Mariam dengan ayat-ayat tersebut.
Khalifah? Apa itu? Tujuan penciptaan hanya untuk
beribadah kepada Tuhan? Maksudnya, hidup hanya untuk
sembahyang sahajalah?
Eh, tak logik. Macam tak praktikal dengan hidup
sekarang. Kalau hidup sekadar untuk beribadah, bila pula
masa untuk cari duit untuk makan?
“Menung apa?”
Sapaan di belakangku membuatkan aku tersentak.
Pantas aku menoleh.
Mia datang dari belakang sambil tersenyum
dan mengambil tempat duduk di sebelahku, sama-sama
menghadap balkoni di hadapan.
Pandangan kuhalakan kembali pada langit jingga
biru di hadapan. Tidak bersuara walau sepatah.
“Zie.”
Tiada respons.
“Kau okey?”
Aku mengerutkan kening.
“Kenapa pulak tak okey?”
“Tak adalah... kau nyanyi tadi, melankolik habis.”
“Pelik ke?”
“Pelik sikitlah. Jarang kau menyanyi sambil menung
jauh macam tu.”
Aku diam lagi.
“Zie, aku tahu kita dah jarang bercakap sekarang.”
Mia terhenti sejenak. “Aku tak tahu apa yang kau tengah fikir.
Tapi, aku cuma nak kau tahu, aku still ada dengan kau. Kau
masih lagi kawan aku.”
Hatiku sedikit sebak. Tersentuh dengan kata-kata
Mia. Jujur aku katakan, aku sebenarnya sedikit berkecil hati
dengannya selama ini. Semenjak dia rapat dengan Mariam,
aku sering rasa dipinggirkan.
Aku tahu dia selalu mengajak aku menyertai mereka,
tapi bukan semudah itu untuk aku menurut. Cara hidup
mereka lain, tambahan pula Mia yang sudah berubah menjadi
seperti orang yang tidak aku kenali.
“Mia.”
“Ya?”
“Kenapa kau berubah sebenarnya?”
Senyap.
“Sebab Mariam dah pengaruh kau ke?” Aku
melempar soalan tanpa memandang wajahnya.
Mia menarik nafas dalam-dalam, sebelum dihembus
perlahan.
“Entahlah, Zie. Susah aku nak cakap. Aku sendiri tak
jangka aku boleh berubah sampai macam ni. Masa mula-mula
Mariam tegur aku kat hall hari tu, aku rasa dia memang
lain. Dia tak macam budak-budak alim lain yang aku kenal.
Muka dia langsung tak nampak jelik bila bercakap dengan
aku. Makin lama berborak dengan dia, makin aku tertarik
dengan perwatakan dia yang sopan. Lembut aje percakapan
dia, membuatkan aku rasa selamat. Then, perlahan-lahan dia
ajar aku banyak benda. And surprisingly, apa yang Mariam
ajar, buatkan aku rasa tenang. Rasa seperti baru pertama kali
hidup aku ada jaminan.”
Cerita Mia membuatkan aku terdiam. Mia pandang
wajah aku.
“Aku tahu kau rasa tak selesa dengan perubahan
aku. Aku tahu kau awkward dengan aku semenjak aku baik
dengan Mariam. Aku jugak tahu yang kau rasa annoyed
bila aku selalu ketuk pintu bilik kau dan ajak kau solat or
join discussion kita orang. Tapi aku rasa aku selfish kalau
aku simpan apa yang aku rasa ni sorang-sorang. Aku nak
kau pun rasa benda yang sama, sebab kau kawan baik aku.
Dalam perjalanan aku untuk menuju Tuhan, kalau boleh aku
nak ajak kau sama-sama ikut aku. Sebab aku nak kau duduk
sebelah aku bila dalam syurga nanti.”
Agak terkejut dengan kata-kata Mia, perlahan-lahan
aku pandang wajahnya.
“Zie... kau selalu cakap dengan aku, untuk apa
kita hidup atas dunia ni kalau tak ada tujuan. Aku perasan
kau selalu tercari-cari erti hidup kau, dan kau selalu jugak
gagal dapatkan jawapan yang tepat. Kau ikutlah aku, Zie.
Insya-Allah, kau akan dapat jawapan yang kau cari. Dan kau
takkan menyesal dengan apa yang kau jumpa.”
Senyap sunyi.
“Kalau kau perlukan apa-apa, kau tahu aku akan
sentiasa ada untuk tolong kau,” ujar Mia menghabiskan
ayatnya.
Lalu dia bangkit menuju ke dalam bilik meninggalkan
aku yang terkulat-kulat memikirkan segala kata-katanya.
AKU PANDANG pantulan diri sendiri di cermin. Lama aku
renung wajahku, cuba mencari kepastian. Apakah yang aku
mahu sebenarnya dalam dunia ini? Apakah yang aku inginkan
dalam hidup ini?
Aku cuma mahu...
Bahagia?
Tak susah pun kan?
Tapi itulah satu-satunya perkara yang aku tak pernah
dapat sepanjang aku hidup.
Mungkin selama ini cara aku mencari kebahagiaan
itu salah. Mungkin jalan yang Mia ikut sekarang adalah jalan
yang betul?
‘Perumpamaan orang-orang yang
mengambil pelindung selain Allah adalah
seperti labah-labah yang membuat rumah.
Dan sesungguhnya rumah yang paling
lemah ialah rumah labah-labah, sekiranya
mereka mengetahui.’
Gunting di atas meja aku ambil.
‘Fitrah manusia adalah roh yang
mengabdikan diri kepada Tuhannya. Roh
yang ingin kembali kepada Penciptanya.’
Kuhalakan gunting tersebut di hujung bahagian
rambutku yang merah.
Kembalilah kepada fitrah, Hana Suziela. Reclaim
your heart... tuntut semula hati daripada dunia...
“ALLAH SENTIASA menerima taubat hamba-Nya. Allah Maha
Pengampun, dan Allah tak pernah menzalimi kita. Malahan,
kita yang selalu menzalimi diri kita sendiri. Jangan takut
untuk bertaubat. Pintu taubat itu luas. Pohonlah keampunan
daripada-Nya. Nescaya Dia pasti akan mengampunkan segala
dosa kita.”
Suara Mariam sayup-sayup kedengaran dari dalam
bilik Mia yang tertutup pintunya.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Mengumpulkan segala
kekuatan. Pintu tersebut kuketuk perlahan.
Beberapa saat kemudian, pintu dibuka, dan Mia
terjengul di hadapanku.
Aku pandang wajahnya. Nekad.
“Boleh aku join korang?”
Dan perlahan-lahan aku nampak mata Mia berkaca,
sambil bibirnya mengukir senyum lebar.
*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN OGOS 2018**
No comments:
Post a Comment