DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 20 September 2018

Mencari Jalan Pulang - Bab 8

AKU merenung air laut yang lembut menghempas
tiang jeti di bawah Harbour Bridge. Kaki yang terjuntai ke
bawah, sedikit sebanyak menerima tempias percikan air
laut. Sunyi dan malap keadaan hujung jeti itu. Tenang dan
mendamaikan.
Entah sejak bila lokasi ini menjadi pilihan setiap kali
aku dirundung masalah hati. Lokasi yang terpisah daripada
kebisingan kota raya Sydney. Tempat ini merupakan tempat
yang sama aku kunjungi beberapa bulan yang lalu, sewaktu
menerima perkhabaran tentang kecurangan Izzat buat
pertama kali.
Botol gin yang masih belum dibuka kugenggam
kemas di tangan. Sengaja aku memilih gin dari susunan
minuman keras di rak di dalam bilik, sesuai dengan perasaan
yang terkandung dalam hati ketika ini.
Foto di dalam poket winter jacket aku keluarkan
dan kurenung lama. Gambar seorang perempuan berambut
merah mencium pipi lelaki berambut ikal separas bahu di
hadapan pintu pelepasan lapangan terbang itu dijumpai di
lantai depan pintu apartmenku pagi tadi; bersama sekuntum
tulip merah yang sudah layu.
Aku membalikkan foto itu, membaca baris ayat yang
tertulis dengan tulisan tangan.
I am sorry!
-Izzat-

Pasti dia sedang berada di dalam pesawat saat ini,
membawa diri pulang ke tanah air. Aku pula masih di sini,
akur dengan suratan takdir.
Keluhan berat kulepaskan. Hati aku kosong. Tiada
setitis pun air mata yang mengalir sejak pulang dari Rooftop
bar malam semalam.
Aku tak marah. Sakit hati pun tidak. Namun
entahlah, penat mungkin? Penat untuk berharap, penat
untuk rasa bahagia, penat untuk segala-galanya. Setiap kali
cuba untuk menyayangi, pasti kesedihan yang aku terima
sebagai balasan.
Foto di tangan kurenyuk dan kugenggam kuat,
sebelum kulemparkan ke lautan luas di hadapan. Pandangan
kuarahkan lama pada foto renyuk tersebut yang teroleng-oleng
dibawa ombak ke tengah laut.
Sedang aku hanyut dalam menungan, kedengaran
bunyi tapak kaki melangkah mendekatiku dari belakang.
Malas untuk menoleh, aku hanya membiarkan. Mungkin
orang lain yang juga punya masalah dan inginkan waktu
berseorangan sepertiku.
“Dah sampai mana awak termenung tu?” Satu suara
menyapa dari belakang. Sedikit terkejut, segera aku menoleh.
Uzai. Ringkas penampilannya dengan hoodie biru
gelap, jean dan Converse hitam, serta beanie kelabu di kepala.
Dia sedang berdiri dengan kedua-dua tangannya di dalam
poket hoodie sambil tersenyum kepadaku.
Aku tak mampu untuk membalas, hanya mampu
mengembalikan pandangan ke hadapan. Hilang segala mood
untuk berbicara. Mati akal untuk mengeluarkan kata.
Perlahan-lahan Uzai menghampiri, lalu melabuhkan
duduk tidak jauh di sebelahku. Dia turut menjuntaikan
kakinya ke bawah.
Sunyi. Tiada kata yang keluar daripada mulut kami
berdua. Sedikit sebanyak aku rasa tidak berseorangan dengan
hadirnya dia di sini saat ini, walaupun tiada sepatah kata yang
dikeluarkan untuk mengurangkan derita hati ini.
“Suzie.” Perlahan suara Uzai memanggil.
Tanpa menoleh, aku mengangkat kening.
“You know you are not alone, kan?” ujar Uzai lembut.
Aku tidak memberi sebarang respons.
“Tuhan ada, Zie...”
Tersentap.
“Tuhan ada dengan awak.”
Entah kenapa, kata-kata Uzai terasa sangat lembut
menyelimuti jiwa ini. Jiwaku yang dingin terus terasa hangat
dan selesa.
“Jangan bersedih. Sesungguhnya Allah ada bersama
dengan kita (9:40).”
Lantas hati yang tadi kosong perlahan-lahan menjadi
semakin berat.
“Tuhanmu tidak meninggalkanmu, dan Dia tidak
benci kepadamu (93:3).”
Terasa sesak.
“... Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu,
padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai
sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu...”
Dadaku laju diasak dengan perasaan.
“... Allah mengetahui, sedang kamu tidak
mengetahui (2:216).”
Air liurku terasa pahit.
“Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan
kesanggupannya (2:286).”
Mataku terasa pedih. Hidung mula berair.
“.... Dan kepada Allah jualah segala urusan
dikembalikan (3:109).”
Empangan air mata hampir pecah. Lantas kepala
kutundukkan.
“... Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu
berada (57:4). So, you are not alone.”
Tanpa dapat ditahan-tahan lagi, akhirnya terhambur
esakanku. Kepiluan yang tadi kusimpan kemas dalam hati,
mula terluah bersama air mata yang semakin deras menuruni
pipi. Kuat bunyi esakanku memecah kesunyian kawasan jeti.
Terhinggut-hinggut bahuku cuba mengawal tangisan yang
berderai. Tidak peduli lagi akan keadaan sekeliling, tidak
peduli kepada Uzai di sebelah yang sedang sayu memerhati.
Lepaskanlah hati... lepaskan segala-galanya. Jangan
disimpan lagi kehibaan yang memberatkan jiwa.
Lama aku berkeadaan begitu. Sehingga akhirnya
dadaku terasa lapang setelah puas mengeluarkan segala
isinya. Terangkat segala bebanan perasaan yang merundung
hati sejak semalam.
Reda saja tangisan, terus rasa malu hadir
menggantikan kesedihan tadi. Malu dengan Uzai di sebelah
yang sedari tadi hanya diam, setia menunggu tangisanku
surut.
“Feel better?” Uzai menegur.
Aku mengangguk.
“A lot better,” jawabku sebelum berdeham kecil,
membetulkan suara yang serak.
Uzai tersenyum puas.
“Uzai...” aku memanggil tanpa menoleh, masih
menundukkan kepala.
“Ya?”
“Kenapa awak tak macam orang lain?”
“Maksud awak?”
“Yalah, orang Melayu yang lain tak nak pun dekat
dengan saya sepanjang saya kat sini. Semua pakat jauhkan
diri daripada saya. Siap judge saya lagi.” Kata-kataku terhenti
seketika. Aku menelan liur. “Tapi awak lain. Awak tak pernah
judge saya, tak pernah tegur penampilan saya, tak pernah
memperlekehkan gaya hidup saya. Kenapa?”
Aku menoleh ke arah Uzai. Kelihatan dia sedang
mengukir senyum segaris.
“Zie, dalam dunia ni, ramai orang yang suka menilai
orang lain berdasarkan faktor luaran. Tengok saja awak
sebagai contoh. Dengan penampilan awak yang sebegini,
tentu banyak kan tohmahan-tohmahan yang awak dah terima
daripada orang ‘kita’ sendiri?”
Aku diam, mengakui kata-kata Uzai.
“Tak pakai tudung, terus dikata akan masuk
neraka. Tak solat, terus taraf orang tu direndahkan. Kasihan
masyarakat kita, Zie. Tahap mentaliti masih lagi rendah.
Terlalu suka menjatuhkan hukum terhadap seseorang
dengan sewenang-wenangnya. Sedangkan sebenarnya, ada
faktor yang lagi penting perlu diketengahkan sebelum kita
membuat penilaian terhadap satu-satu individu itu.”
“Faktor apa?” sampukku.
“Hati,” balas Uzai sepatah.
Diam sejenak.
“Awak tahu tak bila sebenarnya kali pertama saya
nampak awak?”
Aku berfikir seketika.
“Masa saya mabuk kat jeti ni?”
Uzai tersenyum.
“Bukan. Pertama kali saya nampak awak, masa
tu awak tengah selamatkan anak anjing yang hampir kena
langgar kat Lee Street.”
Lee Street, jalan besar di tengah-tengah bandar
Sydney. Sesak dengan kereta dan manusia lalu-lalang.
Aku dah ingat. Waktu itu Mia mengajak aku
menemaninya membeli-belah di Paddy's Market, sebuah
tempat membeli-belah yang hampir dengan Lee Street.
Ketika itu baru sebulan aku tiba di bumi Sydney ini.
“Awak ada kat situ waktu tu?” Aku sedikit teruja.
Uzai mengangguk.
“Saya dari Broadway, on the way balik rumah.”
Aku tidak membalas. Hanya diam membisu.
“Waktu tu saya tahu, awak mempunyai manners
yang sangat baik. Awak selalu ucap terima kasih setiap
kali saya hantar awak balik. Awak juga tahu minta maaf
walaupun kadang-kadang awak tak silap apa pun. Semua tu
menunjukkan yang awak tak sombong.”
Aku masih lagi diam.
“Hati awak baik, Zie. Luaran awak mungkin nampak
kasar dan dingin, tapi saya dapat rasa, yang hati awak
sebenarnya lembut dan warm.”
Kata-kata Uzai itu sedikit sebanyak berjaya
membuatkan aku terharu. Tidak ada seorang pun yang pernah
mentafsir peribadi aku sebegitu. Saat ini, segala rasa rendah
diri terhadap Uzai yang wujud sebelum ini terus hilang begitu
sahaja. Mula terasa akan penerimaan Uzai terhadap diri ini.
“Uzai...”
“Ya?” Uzai menoleh lagi ke arahku.
“Macam mana awak tahu saya ada kat sini?” tanyaku
hairan.
“Saya memang selalu datang sini. Almost every
week. Kebetulan saya nampak awak termenung lama kat sini,
tu yang saya datang tegur,” jelasnya.
Aku mengangguk faham.
“Apa yang awak buat kat sini setiap minggu?”
tanyaku lagi. Hairan.
Uzai tersenyum lagi.
“Kalau awak nak tahu, jom ikut saya,” ujar Uzai
lantas dia bangkit berdiri dan mula mengatur langkah.
Baru beberapa tapak, dia berhenti dan menoleh.
“Or else you can just sit here all night long, spend
your night with your gin bottle and get drunk like before,”
ujarnya sambil tersenyum lalu menyambung langkah beredar
meninggalkan jeti.
Aku agak terpinga-pinga dengan perlakuan
Uzai. Mata terpaku memerhati langkahnya yang semakin
menjauh. Aku berfikir sejenak, berkira-kira sama ada mahu
menurutinya atau kekal duduk di sini, bersama botol gin di
tangan.
Lantas botol tersebut aku lempar ke tengah laut,
dan aku bingkas bangun, mengatur langkah mengikuti Uzai
meninggalkan jeti.
Tiba di keretanya yang diparkirkan tidak jauh dari
jeti, terus Uzai membuka boot kereta. Apabila aku menjenguk
ke dalamnya, aku nampak boot keretanya penuh dengan
plastik berisi pisang, roti, air mineral, dan beberapa helai
selimut tebal.
Aku pandang Uzai.
“Awak nak buat apa dengan semua benda ni?”
Uzai tidak menjawab, sebaliknya menghulurkan
helaian-helaian selimut itu kepadaku, dan kemudian dia
menjinjing plastik berisi makanan tadi.
“Jom,” Uzai mengajak sambil menutup boot
keretanya.
Aku mengikut lagi langkahnya berjalan berhampiran
kawasan yang menempatkan shopping mall dan kedai-kedai
yang sudah tutup.
Di kaki-kaki lima kedai-kedai tersebut, terdapat
beberapa orang yang sedang duduk dan ada juga yang
berbaring. Uzai lantas menghampiri salah seorang daripada
mereka. Dia mengeluarkan sebiji pisang, sebungkus roti, dan
sebotol air mineral.
“Hey,” Uzai menegur lelaki lingkungan awal 40-
an yang sedang duduk kesejukan sambil berpeluk tubuh.
Keadaannya sedikit kusut-masai dan tidak terurus.
“Hey, mate. You came again,” balas lelaki itu mesra.
Terukir senyuman di wajahnya tatkala terpandangkan wajah
Uzai.
“Yeah, I brought a blanket for you. It's getting cold
here lately?” ujar Uzai ramah.
“Yeah. It's below 10 degrees right now and I
can barely feel my fingers right now.” Lemah suaranya
kedengaran di telingaku.
Lantas, Uzai meletakkan makanan tersebut ke atas
lantai di hadapan lelaki itu. Kemudian, dia memberikan
isyarat kepadaku.
Segera aku menarik sehelai selimut dari timbunan
selimut-selimut di tangan. Lalu aku hulurkannya kepada
lelaki itu.
Lelaki itu menyambut selimut tersebut, membuka
lipatannya, dan terus diselubungkan di tubuhnya.
“This feels a lot better, guys. Thank you so much,”
ujar lelaki tersebut.
“No worries. Have a good rest,” balas Uzai dengan
senyuman.
Entah kenapa, hatiku rasa tersentuh saat ini. Rasa
simpati mula melimpah-ruah melihatkan keadaan lelaki itu.
Langkah kami diteruskan ke seluruh kawasan
Darling Harbour yang sunyi, melewati ceruk-ceruk kaki
lima yang gelap, mengagihkan makanan dan selimut kepada
beberapa orang lagi homeless yang berteduh di kawasan
tersebut.
Pelbagai reaksi dapat aku lihat pada malam ini.
Ada yang sakit, tidak mampu untuk mendongak; ada yang
terlalu lapar sehingga terus menyuap pisang ke dalam mulut
tanpa sempat mengucapkan terima kasih; kebanyakannya
mempamerkan reaksi gembira dan terharu dengan pemberian
kami.
Paling tidak akan aku lupakan, ada seorang wanita
tua yang sudah uzur, menarik aku ke dalam pelukannya sambil
menangis setelah aku menghamparkan selimut membaluti
tubuhnya yang sedang menggigil kesejukan. Hampir menitis
air mataku tatkala menerima respons sebegitu daripadanya.
Kasihan yang amat melihat nasib wanita tua itu. Entah ke
mana perginya harta dan keluarga, bahkan anak-anaknya.
Selesai mengagihkan barang, kami berehat sebentar
mengambil angin di atas Pyrmont Bridge, menghadap feri dan
bot yang tersusun berhampiran jeti di bawah. Damai sahaja
suasana Darling Harbour pada waktu malam. Hanya terdapat
beberapa orang yang masih berlegar-legar di atas jambatan.
Aku melabuhkan punggung di bangku yang
disediakan di tengah jambatan. Uzai turut mengambil
tempat tidak jauh daripadaku. Masing-masing diam melayan
perasaan sambil memerhati lampu bangunan-bangunan yang
tersusun di hadapan.
“Itu ke aktiviti awak setiap minggu bila datang sini?
Feed the homeless?” Aku menoleh memandang wajah Uzai.
Tanpa mengalihkan pandangan daripada
memandang pemandangan di hadapannya, dia tersenyum
nipis dan mengangguk.
“Sejak bila?”
“Sejak tahun lepas.”
“Kenapa?”
Diam.
“I have my reasons.”
Terus aku senyap. Tidak mahu bertanya lebih.
“Zie... awak tahu tak, kita ni bila ditimpa sesuatu
masalah, kita selalu rasa masalah kitalah yang paling besar
dalam dunia. Sampai satu tahap, kita akan question pada
Tuhan, kenapa Dia turunkan ujian pada kita sampai macam
tu sekali. Kita pun mulalah memberontak, marah pada
takdir. Kita rasa kita manusia malang, dan mula buat drama
menangisi nasib diri. Tapi sebenarnya, ramai lagi orang kat
luar sana, yang mengalami ujian lagi berat daripada kita.
Mungkin kita dibebani dengan masalah hati, tapi kita masih
ada kesihatan yang baik, makanan yang cukup, dan tempat
tinggal yang sempurna.”
Uzai menoleh ke arahku sekilas sebelum memandang
ke hadapan semula.
“Tapi kalau nak dibandingkan dengan homeless
tadi, apalah yang mereka ada, Zie. Hidup mereka jauh lebih
susah daripada kita. Nak cari sesuap makanan pun payah,
apatah lagi tempat berteduh. Sebab tu saya suka mendekati
orang-orang macam tu, sebab mereka mengingatkan saya
yang sebenarnya saya masih lagi beruntung, dan mengajar
saya untuk menjadi lebih bersyukur atas apa yang saya ada
sekarang. Tambah lagi, bila kita memberi, hati kita akan rasa
lebih bahagia dan gembira, dan saya yakin awak pun ada rasa
yang sama tadi, kan?” Uzai memandang wajahku. Kali ini
sedikit lama.
Aku menundukkan pandangan. Dalam hati mengakui
kata-kata Uzai. Aku rasa puas apabila dapat menghulurkan
bantuan dan membuat orang lain rasa senang dan gembira.
Namun, penjelasan Uzai tadi betul-betul menyebabkan aku
sedikit tersentak. Rasa seperti ditampar oleh realiti. Terus
rasa malu mula menguasai diri apabila teringat kembali
tindakanku di jeti tadi. Drama air mata, haih...
“Awak beli semua tu guna duit awak sendiri?” soalku.
“Haah,” balas Uzai sepatah.
“Guna duit elaun?”
“Taklah. Duit elaun saya gunakan untuk keperluan
belajar dan sewa rumah. Tapi untuk barang-barang tadi, saya
guna duit gaji saya kerja part-time delivery.”
Ohh... kerja part-time. Terangguk-angguk kepala
aku dengan jawapan Uzai.
Entah kenapa, terbit perasaan kagum yang teramat
terhadap pemuda ini. Cara hidupnya lain benar dengan aku.
Hidupnya lebih bertujuan, sedangkan hidup aku? Entahlah...
“Suzie, jom balik.” Uzai mengajak lalu terus berdiri.
Aku kerling jam di tangan. 1.15 pagi.
“Jom.” Aku turut berdiri lantas kami berjalan
seiringan menuju ke tempat letak kereta.
Malam ini, sekali lagi Uzai menghantar aku pulang
ke rumah. Dan aku pula tiada lagi rasa canggung apabila
berdua dengannya.
Sepanjang perjalanan, kami lebih banyak
mendiamkan diri. Sesekali aku menjeling ke arah Uzai yang
tenang memandu, berkira-kira sama ada mahu memulakan
bicara ataupun tidak.
Ah, cakap ajelah!
“Uzai...”
Uzai mengangkat kening dan menoleh sekilas ke
arahku.
“Ya?”
“Thank you,” ujarku perlahan, sedikit segan.
“What for?”
“For your company tonight.” Terhenti sejenak
ucapanku. Cuba menyusun ayat.
“For everything that happened, the experience that
you gave.”
Aku buang pandang ke luar tingkap.
“And the foremost is... thank you for being friends
with me.” Terluah juga ayat tersebut daripada mulutku. Aku
jeling Uzai dari tepi. Tidak berani untuk menoleh.
Dia tersenyum.
“No worries.” Dia pandang aku sekilas. “Saya kawan
dengan semua orang, Zie. Saya tak pernah pilih bulu dalam
berkawan. So, awak janganlah fikir yang bukan-bukan.”
Aku tidak membalas. Saat ini hatiku mula terbit
sedikit rasa cemburu. Entah kenapa, aku sendiri tidak tahu.
Perjalanan selebihnya hanya ditemani dengan
kesunyian antara kami. Setibanya kami di hadapan apartmen,
aku membuka tali pinggang keledar.
“Thank you once again,” kataku sambil membuka
pintu kereta.
“Zie, kejap.” Uzai menahan.
Pergerakanku terhenti dan aku menoleh ke arah
Uzai. Dia mengambil beg sandangnya di tempat duduk
belakang. Zip dibuka, dan dia mengeluarkan sebuah buku
nipis berwarna kuning. Dihulurkan buku itu kepadaku.
Dengan kening yang berkerut hairan, aku
menyambut buku itu. Aku baca tajuknya sekali lalu. Reclaim
Your Heart.
“Kalau awak ada masa, awak bacalah buku ni. Cuba
juga fahamkan isi dan point yang ingin diketengahkan oleh
penulis buku ni. Dan kalau ada sebarang persoalan, macam
biasa, saya ada untuk membantu. Insya-Allah,” ujarnya
lembut.
Teragak-agak aku mengangguk, lantas aku keluar
dari kereta. Melambai tangan ke arah Uzai yang memerhati
dari kereta dan terus meloloskan diri ke dalam pintu sekuriti
apartmen.
Buka sahaja pintu rumah, aku nampak Mia dan
Mariam sedang berdiri bersebelahan di ruang tamu, seperti
kebiasaannya. Tanpa sepatah kata, aku terus menanggalkan
kasut, meletakkannya di atas rak kasut, dan bergegas
melangkah menuju ke bilik.
“Zie.”
Panggilan Mia menghentikan langkahku. Pantas aku
menoleh ke arahnya.
“Marilah join kita orang sekali.” Mia mempelawa
dengan nada lembut.
Aku pandang pula Mariam di sebelahnya. Tersenyum
Mariam sambil menunggu respons daripadaku.
“Err... takpelah. Aku nak rehat dulu. Penat,” jawabku
dan terus masuk ke dalam bilik. Sedikit hairan, malam-malam
buta pun diaorang sembahyang ke?
Aku menghempaskan badan di atas katil. Dek
kerana badan yang terlalu letih, hampir saja terlelap mataku.
Tersedar kembali, terus aku bangkit daripada perbaringan,
mencapai tuala yang tergantung di dinding, dan menuju ke
bilik air. Bersiap-siap sebelum tidur.

No comments:

Post a Comment