MIKAYLA membuka matanya. Sejuk yang
dirasakan hingga ke tulang dibuatnya. Berkali-kali dia
mengelipkan matanya. Melihat jam di dinding yang
berbentuk seperti muka kucing. Bulat dan berwarna oren.
Jam menunjukkan tepat 9 pagi. Badannya dipusing-pusing
ke kiri dan kanan. Rindu bau kepam bantal busuk miliknya
yang masih disimpan sejak bayi lagi.
Cahaya matahari mulai mencuri-curi masuk dari
celahan tingkap biliknya. Dia berada di alam mimpikah? Atau
di syurga? Mengapa semua ini seakan membawanya pulang
ke Kampung Taman Sedia, Cameron Highlands? Jam di
dinding dilihat sekali lagi. Gambar muka kucing yang amat
digemarinya, Garfield.
Melihat jam di dinding itu buat kali ketiga terus
membawa Mikayla pulang ke alam nyata. Dia terbangun
daripada perbaringan. Kenapakah dia boleh ada di rumah
ibu? Bukan malam tadi Dihya’ janji nak hantar dia sampai
rumah ke? Apakah yang telah terjadi? Mikayla terus turun
dari kamar beradunya dan keluar dari bilik tidurnya. Dia dapat
melihat Naufal yang sedang terlentang di hadapan televisyen.
Naura pula hilang entah ke mana. Ibu? Mikayla terus menuju
ke dapur. Ya, tekaannya benar! Puan Maria sedang berada
di dapur. Sibuk di singki membasuh sayur-sayuran. Terus
dipeluk tubuh Puan Maria dari arah belakang. Rindu yang
tidak terkata! Bantal peluk kesayangannya kini di hadapan
mata.
“Dah bangun?” Lembut Puan Maria menyapa
Mikayla.
Mikayla menganggukkan wajah. Hanya mampu
tersenyum mendengar suara Puan Maria. Seronoknya
waktu-waktu macam ni duduk dekat-dekat dengan ibu.
Manja-manja begini. Sudah lama dia tidak begini dengan ibu
membuatkannya seperti ingin berkepit sahaja dengan Puan
Maria. Biar hilang rindu dendam segala.
“Lapar ya?”
Mikayla menganggukkan lagi.
“Ibu masak apa? Kay lapar...” Mikayla mengadu
manja. Sudah lama dia tidak bermanja begini dengan Puan
Maria. Dia terlalu sibuk dengan kerja. Masa yang berlalu
seakan tidak terasa sejak dia mula berkhidmat di ATSD.
Masanya bersama keluarga juga semakin singkat. Dia sendiri
yang terlalu gila kerja. Sebab itu Puan Maria selalu saja
marah-marah dengannya. Marah-marah manja katanya.
Rindukan anak sulungnya ini.
“Masak nasi lemak dengan sambal sotong. Ada cucur
udang kegemaran kamu sekali.”
Terus Mikayla menuju ke meja makan. Baru sahaja
dia hendak membuka tudung saji, pantas tangan Puan Maria
sudah menampar tangannya.
Berkerut dahi Mikayla dengan reaksi pantas ibunya.
Tadi elok-elok saja dia bermanja di atas bahu ibu. Sekarang
main pukul-pukul tangan dia pula. Mood swing ke apa ni?
“Sakitlah, ibu. Tadi suruh makan. Lepas tu tak bagi
pulak?”
“Kamu tu tak mandi lagi. Dari malam tadi kamu
sampai, ni bangun tidur pun matahari dah terpacak atas
kepala, nak terus makan? Pergi mandi dulu. Lepas tu
panggil Dear Aladin dengan kawan dia lagi sorang kat Cabin
House kita tu. Layan tetamu kita baik-baik. Susah payah dia
menghantar kamu sampai ke rumah. Angkut pulak kamu
masuk ke dalam rumah dah satu hal. Tidur mati betul kamu
ni. Kamu sedar tak yang kamu ni kat rumah ibu?” bebel Puan
Maria sambil menjegilkan matanya ke arah Mikayla.
Sakit pula hati dibuatnya anak dara yang seorang
ni. Buat risau hati tuanya sahaja apabila mendengar khabar
berita mengenai Mikayla daripada Dear Aladin. Ya, pasti
ada yang musykil bagaimana dengan mudah Dear Aladin
mendapat kepercayaannya. Hati seorang ibu. Cukuplah
perkataan keramat itu menjelaskan situasi tidak terjangka
yang menimpa Mikayla malam tadi.
Mikayla masih termenung. Cuba untuk loading
segala maklumat yang baru disampaikan oleh Puan
Maria. Malam tadi naik kereta dengan Dihya’ Alauddin.
So, berkemungkinan besar nama pelik yang disebut oleh
ibunya sebentar tadi iaitu Dear Aladin ialah Dihya’ Alauddin.
Hahaha...
Small matter. Sebab bukan dia tak tahu ibunya
itu memang asal boleh saja kalau nak panggil nama
orang yang baru dikenalinya. Dulu, sewaktu Waliyuddin
datang ke rumahnya dengan Gayatri pun pernah jadi
juga perkara-perkara sebegini. Waliyuddin dipanggilnya
Wallaweyh. Gayatri? Hmm, lagi dahsyat. Terus jadi Gerek
Sih. Alahai, entah manalah agaknya ibu mendengar
perkataan-perkataan sedemikian. Barangkali melalui TV atau
adik kembarnya, Naura dan Naufal.
Kedua, macam mana dia boleh sampai ke
kampungnya iaitu Kampung Taman Sedia? Musykil juga.
Dihya’ tu kenal ke dengan ibu? Takkanlah. Tak pernah pula
datang beraya kat rumah sebagai saudara-maranya selama
ini.
Tiba-tiba baru Mikayla teringat. Sewaktu dia keluar
dari bilik Doktor Suaidi, dia sempat menangkap Dihya’ yang
sedang memegang telefonnya ketika itu. Mesti lelaki tu
angkat call Puan Maria masa tu dan segala berkaitan dirinya
terbongkar melalui lelaki itu.
Seperti dijangka, Puan Maria adalah mastermind di
sebalik semua ini. Ibunya yang minta Dihya’ menghantarnya
pulang hingga ke Cameron Highlands. Ada hati tu nak buat
pakatan rahsia dengan Dear Aladin konon. Nama orang pun
main petik saja!
“Macamlah tak biasa bau anak ibu ni. Kay tak ada,
ibu sibuk suruh balik. Ni Kay dah balik. Kay lapar nak makan,
tak bagi pulak. Apa ibu ni?”
“Hah, menjawab. Menjawab aje mulut tu. Itu apasal
muncung panjang sangat tu? Meh sini ibu cilikan,” ujar
Puan Maria. Panjang sahaja tangannya mahu mencubit bibir
Mikayla yang muncung sedepa. Anak bertuah ni memang nak
kena.
“Ibu yang suruh lelaki tu hantar Kay sampai sini ya?
Ingat Kay tak tahu?”
Puan Maria buat muka tak tahu. Itu sahaja caranya
nak suruh Mikayla pulang ke kampung halaman. Liat sangat
nak pulang. Itu makan dia! Hati seorang ibu itu takkan pernah
salah percaya. Terutama apabila berkaitan dengan anak yang
dikandung selama sembilan bulan itu.
“Mana ibu tahu. Kamu yang balik dengan dia, kan?
Nasib baik ada si Dear Aladin tu nak tolong kamu yang
sengal tu balik sini, tahu tak? Buatnya dia biarkan kamu
terkontang-kanting kat RnR tu seorang diri, macam mana?
Itulah, suka sangat tunjuk berani. Kamu tahu tak yang kamu
tu perempuan. Kalau apa-apa jadi kat kamu macam mana?
Satu sen pun tak guna, tahu?” marah Puan Maria.
Haih. Pagi-pagi dah bergaduh dengan Mikayla.
Memang itulah kerjaannya. Setiap kali anak itu pulang,
memang bertekak sajalah. Anak dara merangkap kawan
bergaduhnya.
“Eleh, macamlah Kay baru kenal ibu sehari dua.
Kay dah kenal dengan ibu dari dalam perut ibu lagi, tahu
tak? Memang ibu ada buat pakatan dengan Dihya’ tu kan,
suruh dia hantar Kay sampai sini. Eeee, suka-suka aje ajak
orang asing datang sini. Kalau lelaki tu orang jahat macam
mana? Kay ni reporter tau, ibu. Kalau ada orang jahat cari
Kay, tak apa jugak. Kalau diaorang cari ibu dan ayah sampai
sini, macam mana? Kalau apa-apa jadi kat Naura dan Naufal,
macam mana?”
Berderau darah Puan Maria mendengar kata-kata
Mikayla. Ada benarnya. Takutlah juga hati tuanya ketika itu
membayangkan jika ada apa-apa yang buruk berlaku kepada
mana-mana ahli keluarganya. Minta simpang! Tapi, Dear
Aladin bukan lelaki sebegitu. Gerak hatinya sebagai seorang
ibu kuat mengatakan sebegitu.
“Ah, apa sekalipun, ibu puas hati tengok Kay dah
sampai kat rumah ibu ni dalam keadaan selamat. Walaupun
hati ibu ni luluh sebenarnya tengok Kay balik dengan tangan
berbalut, muka calar-balar. Sakit hati ibu, tahu tak? Itu nasib
baik ibu call. Kalau tak mesti Kay senyap aje tak nak beritahu
dengan ibu, kan? Kay kan dah besar. Dah pandai buat
keputusan untuk kehidupan Kay. Apalah nak dibandingkan
dengan ibu yang dah tua ni...”
Puan Maria sudah tidak dapat menahan perasaannya.
Lantas dia beralih ke singki semula untuk menyambung
membersihkan sayur-sayuran yang dibeli di pasar pagi tadi.
Terus ego Mikayla yang setinggi KLCC itu jatuh
merudum di bawah tapak kaki apabila suara Puan Maria
yang sedikit sedih dengan keadaan dirinya. Tidak sampai hati
mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut ibunya.
Sebak sekejap sahaja sudah menyelinap di lubuk hatinya.
“Ibu, Kay minta maaf. Kay tak ada niat nak susahkan
hati ibu. Ibu jangan sedih-sedih. Kay okey aje ni. Tak ada
apa-apa yang teruk pun. Calar sikit aje ni.” Mikayla memujuk.
Dia memeluk Puan Maria dari arah belakang. Pantas dikucup
pipi ibunya. Sekali di pipi kanan. Kemudian sekali lagi di pipi
kiri.
“Hari ni, Kay balik calar-balar macam ni. Ibu tak
nak sekali lagi mayat Kay aje yang sampai kat rumah ibu. Ibu
tak nak apa-apa pun jadi kat Kay. Berapa kali dah ibu pesan
dengan Kay, jaga diri tu. Awak tu perempuan. Mudah jadi
perhatian orang yang berniat tak elok,” rungut Puan Maria
lagi. Sejuk sedikit hatinya melayan manja anak gadisnya.
Itulah yang selalu dilakukan oleh Mikayla. Memeluk dan
menciumnya seperti budak kecil.
“Insya-Allah, ibu. Kay janji akan lebih berhati-hati
selepas ni. Tak nak marah-marah macam ni lagi, okey? Tak
cun dah Puan Maria Organza ni.”
“Udah-udahlah tu buat drama Rosalinda dengan
ibu kat dapur tu. Kesian abang-abang tu. Dah lama dah
diaorang duk perhati drama air mata ibu dengan kak long.
Isy, tengoklah budak busuk tak mandi pagi ni. Kambing pun
lagi wangi daripada dia.”
Naufal mengusik kakak dan ibunya. Sejak tadi dia
memerhatikan sahaja Mikayla dan Puan Maria. Malas mahu
masuk campur. Bukan selalu dapat dengar ibu bergaduh
dengan kak long macam budak kecil. Ending dia, memang
kak long akan beralah.
Mikayla tu nama saja kuat melawan. Bila ibu buat
sikit drama air mata, terus angkat bendera putih. Dan Puan
Maria sememangnya akan selalu menang di mata dan di hati
anak-anaknya. Buah hati ayah. Sweetheart Mikayla, Naura
dan Naufal. Memang kesayangan semua orang dalam rumah
ni.
“Eh, kau lagi sorang. Berani kau bandingkan kak
long dengan kambing? Ibu, tengoklah Gopal ni!” Mikayla
menarik tangan Puan Maria. Mahu ibunya membela dia di
hadapan Naufal yang sememangnya dipanggil Gopal pada
masa-masa yang tertentu.
“Kay, sudah-sudahlah tu. Dah sampai Aladin dengan
kawan dia tu? Kesian dia. Ibu memang dah pesan dari malam
tadi suruh dia datang dan sarapan aje kat rumah kita. Kenapa
kamu biarkan tetamu duduk sendirian kat ruang tamu tu?
Kesian diaorang. Lapar agaknya. Cepat bawa mereka datang
kat dapur. Kamu tolong ibu layan diaorang tu kejap lagi. Ayah
kamu tu ke kebun dari pagi tadi,” ujar Puan Maria. Cepat saja
dia mengemas singki dan mengambil pinggan mangkuk dari
rak untuk diletakkan di atas meja makan. Amboi, layanan
first class!
Mikayla mengecilkan anak matanya melihat
kemesraan Puan Maria dengan Dihya’. Dia yang tercongok
dari tadi tak dapat pun layanan cenggini. Amboi!
“Ibu, bukan Aladinlah nama dia. Dihya’ bin Alauddin.
Alauddin tu nama bapak dia. Isy, cuba sebut betul-betul.
D-I-H-Y-A’.” Mikayla mengeja nama Dihya’ satu per satu
dengan jelas.
“Yalah. Tak kisahlah apa pun nama dia. Kamu tu
pergi mandi cepat-cepat. Nanti bau busuk tak mandi kamu tu
merebak satu Cameron Highlands. Buat malu ibu aje, anak
dara bangun dah tengah hari. Lepas tu, tak mandi pulak tu.
Dah, dah. Pergi mandi cepat. Menyibuk aje kat dapur ibu
pagi-pagi ni.”
Mikayla ternganga melihat keterujaan Puan Maria
dengan kehadiran Dihya’. Whoaaa! Siap main tolak-tolak
lagi nak menyuruh dia beredar dari kawasan dapur. Amboi,
bukan main lagi. Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati
kelaparan. Macam nilah kan. Masa dia sedang bekerja di sana
sini, sibuk suruh balik. Ni dah ada depan mata, buat macam
ni. Sabar sajalah dengan Puan Maria pengarang jantung hati
Mikayla ni.
Tidak menunggu lama, terus Mikayla tinggalkan
ruang dapur ibunya. Sebelum Naufal kembali dengan Dihya’
dan kawannya itu ke dapur, baik dia cepat-cepat beredar.
Malu sekiranya kedua lelaki itu melihatnya dalam keadaan
tak siap begini. Lagi panjanglah pidato Puan Maria nanti.
Sempat menjengah dari ruang dapur. Kelihatan Naufal yang
sedang berbual dengan gembira di samping Dihya’. Lelaki
itu sungguh aneh pada dia. Ada sesuatu yang membuatkan
pandangan matanya begitu sukar untuk dialihkan dari
melihat lelaki itu.
He’s too charming!
Sesiapa pun yang melihat lelaki itu pasti dengan
mudah sahaja jatuh hati. Benar kata hatinya. Bila senyuman
mahalnya itu mula merebak, mood sesiapa sahaja pasti akan
berjangkit tanpa sedar. Rasa macam tenang saja tengok lelaki
bernama Dihya’ bin Alauddin ni. Mikayla tersenyum sendiri.
Dia menggelengkan wajahnya dan terus berlalu dari dapur
sebelum Puan Maria kembali dengan pidatonya.
DIHYA’ MELIHAT beraneka juadah yang siap dihidangkan
oleh Puan Maria. Alhamdulillah, rezeki buat dia dan Amsyar.
Layanan yang begitu mesra dan menyenangkan daripada ahli
keluarga Mikayla. Malah, dia diberikan tempat bermalam
yang begitu selesa dan istimewa daripada Puan Maria sendiri.
Cabin House milik keluarga Mikayla. Keluarga Mikayla
menjalankan perniagaan homestay dan penginapan di
Kampung Taman Sedia di Cameron Highlands.
Pucuk dicita ulam mendatang. Sememangnya dia
dan Amsyar ingin bercuti di sini. Bagai orang mengantuk
disorongkan bantal apabila diberikan penginapan secara
percuma oleh Puan Maria yang terhutang budi apabila anak
perempuannya dibantu oleh mereka berdua.
“Jemput makan, Aladin, Macha. Jangan malu-malu.
Tambah aje lauk yang ada. Makan kenyang-kenyang kat
rumah mak cik ni.”
Amsyar yang sedang menghirup teh panas tersedak
perlahan apabila mendengar namanya dipanggil sebegitu
rupa. Macha? Dihya’ hanya tersenyum kecil.
“Ibu, bukan Machalah. Kesian abang yang handsome
segak bergaya begini ibu panggil Aladin dan Macha. Yang ibu
panggil Aladin tu, Dihya’ namanya. Alauddin tu nama ayah
dia. Yang lagi sorang tu, Amsyar namanya. Bukan Macha.
Macha tu yang tebar roti canai kat kedai mamak.” Bicara
Naufal lalu disambut gelak tawa oleh Dihya’, Amsyar dan
Puan Maria.
“Alah, maafkan mak cik ya. Biasalah, kurang dengar
bila usia dah makin meningkat ni. Dihya’ dengan Amsyar ya?”
“Ya, puan. Kalau nak panggil saya Am pun boleh.
Tapi tolonglah jangan panggil saya Macha. Aladin tu kira okey
lagi,” ujar Amsyar menceriakan suasana.
“Tak apa pun, puan. Kami ni pun memang kulit dah
macam udang kena bakar. Memang dah rupa macha dah
pun.” Dihya’ menambah.
“Eh, tak payahlah nak panggil puan sangat. Panggil
mak cik aje. Dari malam semalam kamu ni panggil puan.
Janganlah macam tu. Panggil mak cik aje. Kan mesra sikit.”
Puan Maria menyendukkan nasi lemak untuk
ditambah ke dalam pinggan Dihya’. Kemudian, dia
menyambung lagi menyenduk nasi untuk Amsyar dan juga
Naufal. Naufal sudah menggeleng.
“Baiklah, mak cik. Maaflah kalau kami dah susahkan
mak cik sekeluarga. Dahlah menumpang berteduh kat sini,
tumpang makan pulak tu.”
“Eh, janganlah cakap macam tu. Kamu tu lebih
kurang sebaya aje dengan anak mak cik. Dah kategori
anak-anak dah. Tak adanya menyusahkan. Kalau hari ni mak
cik buat baik dengan anak orang lain macam kamu berdua,
mak cik berdoa, akan ada jugak orang lain yang akan buat
baik dengan anak-anak mak cik. Nasib baiklah ada kamu
berdua malam tadi. Kalau tak, tak tahulah apa dah jadi dengan
Kay tu. Dia tu nampak aje lasak. Garang konon-kononnya.
Dengan badan kurus sekeping macam tu, ditolak dek angin
pun jatuh.”
Dihya’ mendengar sahaja bicara Puan Maria.
Sungguh, dia gemar mendengar dan merasai suasana begini.
Rindu. Begini rasanya bila mempunyai seorang ibu. Maklum
sahajalah, ibunya telah meninggal dunia sejak umurnya 17
tahun. Dia membesar dengan bapanya yang sememangnya
sibuk dengan kerjaya sebagai anggota tentera. Sehingga dia
sendiri mengikut jejak bapanya dan berkhidmat di dalam
Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Amsyar pula merupakan
rakan sejawatnya dan juga merupakan teman baiknya sejak
bangku sekolah.
“Amboi, ibu. Mengumpat Kay, ya?” Mikayla muncul
dari muka pintu. Bukan dia tak dengar namanya disebut-sebut
di meja makan. Adalah yang diperkatakan oleh Puan Maria
kepada semua di meja makan. Terus dia melabuhkan
duduknya di sebelah ibu.
Pinggan dihulurkan tidak sabar mahu menikmati
nasi lemak sambal sotong kegemarannya. Wah, siap ada
sotong goreng tepung. Pagi-pagi macam ni? Dahsyat betul
PR Puan Maria hari ini. Tapi, apa yang nak dihairankan.
Ibunya itu memang gemar menjamu makan kepada sesiapa
sahaja. Memang salah satu kebaikan ibunya yang tidak boleh
ditandingi sesiapa pun.
“Haah. Buat apa nak puji kamu melambung-lambung
depan orang. Bangun pun lambat sampai matahari dah
terpacak atas kepala. Tengok Dihya’ dengan Amsyar ni hah.
Lagi awal bangun dari kamu.”
Mikayla buat tak dengar. Laju sahaja tangannya
menyudu sambal sotong di hadapannya.
“Ada perkembangan yang baik ni, ibu. Tak ada lagi
Aladin dan Macha. Good job, bu.” Itu sahaja yang mampu
diperkatakan oleh Mikayla. Sengaja mahu mengusik Puan
Maria.
Sekejap sahaja cubitan Puan Maria singgah di
pinggang Mikayla.
“Ibu, apa ni main cubit-cubit! Kay tengah makan ni.
Kay lapar, tahu tak?” Mikayla menjawab dengan mulutnya
yang masih penuh mengunyah nasi lemak.
Dihya’ tersenyum-senyum melihat kerenah dua
beranak di hadapannya. Renungannya bertembung dengan
pandangan Mikayla.
Dan renungan itu seakan renjatan elektrik buat
Mikayla yang cepat-cepat melarikan pandangannya ke arah
lain.
“Encik berdua ada di sini sampai bila?”
Sekali lagi, Puan Maria mencubit pinggang Mikayla.
Mikayla menahan sahaja cubitan berbisa Puan Maria.
“Maksud saya, masa encik berdua tolong saya
semalam, mesti encik berdua ada tujuan asal sebelum tu.
Disebabkan nak tolong saya, mungkin dah mengganggu
perancangan lain encik berdua, kan? Saya minta maaf
sangat-sangat dan nak ucapkan terima kasih sebab tolong
saya.” Mikayla membetulkan ayatnya. Ucapnya kali ini
memang lahir dari hati. Kalau tidak disebabkan mereka
berdua, entah bagaimana keadaannya hari ini.
“Perkara kecik aje tu. Lagipun, memang kebetulan
kami nak ambil angin kat Cameron Highlands sebelum
kembali bertugas.”
“Kembali bertugas? Oh, kamu berdua tengah bercuti
ke? Kamu kerja sebagai apa?” soal Puan Maria.
“Tentera. Kami berkhidmat di Angkatan Tentera
Malaysia.”
“Wah, hebatnya! Tentera? Cool gila!” jerit Naufal.
Teruja sungguh wajahnya mendengar kata-kata Dihya’.
Mikayla langsung tidak berubah riak wajahnya.
Tentera? Apalah Naufal ni. Tak payah nak kagum sangat
boleh? Hebat sangatkah jadi tentera? Tapi, betullah tekaannya
sebelum ini kerana sapu tangan bercorak celoreng askar yang
Dhiya’ hulurkan semalam. Malah, dari gayanya yang begitu
bersahaja dan kekemasan pakaiannya memang sudah ada
ciri-ciri seorang yang ‘something’. Maksud dia, skema dan
berdisiplin.
“Bangga mak cik ada orang hebat macam kamu
berdua ni jejak kat rumah mak cik.” Puan Maria memuji
Dihya’ dan Amsyar.
Mikayla terus menyuap makanan tanpa
mempedulikan perbualan ibunya dengan Dihya’ dan lain-lain.
Dia meratah sotong goreng tepung sehingga licin. Kemudian,
dia menambah lagi nasi lemak ke dalam pinggannya. Sempat
dia mengambil cucur udang dua tiga ketul.
“Yang kamu ni makan macam ada bela hantu raya
dah kenapa?”
Sekali lagi Mikayla tersedak dibuatnya mendengar
kata-kata yang lahir dari bibir Puan Maria.
“Lapar. Kay makanlah. Siapa suruh ibu masak sedap
sangat. Tak boleh nak berhenti makan dah ni. Semua salah
ibu. Masak sedap-sedap lepas tu marah pulak kita makan
banyak-banyak.” Mikayla membebel namun mulut masih
tidak berhenti mengunyah.
Tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam
dan kelihatan Ayah Nahlan baru pulang dari kebun. Wajahnya
ceria dan siap berlari-lari anak menuju ke arah Mikayla.
Mikayla sudah siap-siap bangun dari kerusinya.
“Assalamualaikum ya habibi ya Mikayla!” Ayah
Nahlan mengucapkannya dengan penuh gaya.
Disambut pula oleh Mikayla tanpa segan dan silu.
“Waalaikumussalam ya oppa. Saranghaeyo!”
Mikayla membuat gaya tangan berbentuk love di atas
kepalanya.
Puan Maria dan Naufal berpandangan antara satu
sama lain. Kemudian mereka hanya menggelengkan kepala
sahaja. Sudah muak menonton adegan kebudak-budakan
Ayah Nahlan dengan Mikayla. Itulah gaya setiap kali mereka
bertemu. Hanya Mikayla sahaja yang sudi melayan kerenah
Ayah Nahlan yang terlebih ceria itu.
Dihya’ dan Amsyar hanya tersengih-sengih melihat
adegan dua beranak di hadapan mereka.
Mikayla kembali duduk dan menyambung
menikmati makanannya. Ayah Nahlan pula menuju ke singki
untuk membersihkan tangan sebelum duduk di meja makan.
“Makan ya Dihya’ dan Amsyar. Jangan segan-segan
kat rumah pak cik. Kalau segan, nanti lapar.” Ayah Nahlan
bersuara sambil tangannya menyambut huluran pinggan
yang berisi nasi lemak daripada Puan Maria.
“Ayah pergi kebun bukan nak ajak Kay.” Mikayla
menyampuk.
“Orang sakit mana boleh pergi kebun. Kamu tu
jarang balik. Sekali-sekala biarlah kamu berehat kat rumah.”
Ayah Nahlan berbicara. Nada yang penuh dengan kasih
sayang.
Mikayla terkedu mendengar kata-kata ayahnya.
Tiba-tiba pilu pula dibuatnya.
“Memang, sibuk mengalahkan menteri besar.
Jangan katakan nak balik sini, nak dengar suara kat telefon
pun susah. Hidup dan mati dia kerja aje yang diingatnya!”
tempelak Puan Maria.
Wajah Mikayla bertukar kelat ditembak bertubi-tubi
dengan Puan Maria.
Naufal hanya mentertawakan kakaknya. Seronok
melihat Mikayla dimarahi Puan Maria.
“Ibu, kan ada tetamu ni. Depan rezeki pulak tu.
Tak baik tau marah-marah. Nanti cepat berkedut.” Mikayla
bersuara. Buat-buat berani nak bergurau. Walhal, segan
dibuatnya dilayan begini di hadapan Dihya’ dan Amsyar.
“Puan Maria, janganlah marah-marah buah hati
saya ni. Kesian kat dia. Awak tu, bila Kay tak ada bukan main
rindu. Bila dia dah ada depan mata, dimarahnya pulak budak
tu.” Ayah Nahlan memecahkan rahsia sambil menunjukkan
barisan giginya kepada anak gadisnya tanda bantuan telah
pun diberikan.
Mikayla mengenyitkan matanya tanda terima kasih.
“Itulah, ibu ni. Ibu marah-marah macam ni sebab
rindukan Kay ni. Kalau rindu kena luahkan. Terima kasih
bu masak sedap-sedap macam ni. Kay rindu ibu. Nanti mesti
rindu nak makan sedap-sedap macam ni selalu.”
Terus Puan Maria tak jadi nak menyambung marah
apabila mendengar anak perempuannya berkata begitu.
Pandai betul anak dara seorang ni mencairkan hatinya.
“Dah, makan jangan bercakap. Makan puas-puas.
Banyak ibu masak pagi ni. Nanti, ibu masak spesial lagi untuk
malam nanti.” Puan Maria menyudu lauk ke dalam pinggan
Mikayla.
Mikayla sudah kembang kempis menahan suka hati.
Puan Maria dah tak marah-marah lagi.
“Lepas ni, jangan kamu nak sambung tidur pulak.
Kamu bawa tetamu kita ni pergi pusing-pusing kat Sungai
Palas. Dia dah tolong kamu semalam. Hari ini kamu kena
balas budi diaorang pulak.”
‘Alah, baru nak suka hati. Baru nak sambung
bergolek atas katil. Eh, kena macam tu ke? Dah bagi
penginapan percuma, makan pun percuma, tak cukup lagi?’
Namun, kata-kata itu hanyalah dalam hatinya. Kalau keluar
di bibir, memang free-free kena azan dengan Puan Maria
sampai bulan depan. Haih.
Mikayla sempat mencuri pandang Dihya’ yang berada
betul-betul di hadapannya. Bertembung pula pandangannya
dengan pandangan lelaki itu. Terus berdebar lain macam.
Sebelum ada hati yang cair tak tentu pasal, baik dia fokus
untuk menghabiskan makanannya yang masih bersisa.
No comments:
Post a Comment