DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 18 May 2020

Mr. Bibik - Bab 1

 

“KENAPA you liat sangat bila I ajak kahwin? Dah 2 tahun kita bertunang, tapi you asyik tak sedia. You nak I minta papa you paksa kita kahwin ke?”

Aulia buat muka selamba. Dia memotong lamb chop dengan penuh hati-hati dan seterusnya kepingan lamb chop itu dimasukkan ke dalam mulut. Lagaknya sekarang bagaikan tidak terdengar satu patah pun kata-kata tunangnya, Mukhriz. Dia terus makan lagi. Langsung tidak pedulikan Mukhriz.

Mukhriz berang. Dia mengelap mulutnya dengan napkin lalu napkin tadi dicampak kasar. Melihat muka selamba Aulia darahnya menggelegak. Sudah berkali-kali dia ajak tunangnya menikah, namun alasan yang sama gadis itu berikan. Belum bersedia!

“Aulia... you dengar tak apa yang I cakap ni?” Seboleh-bolehnya Mukhriz tidak mahu naik angin. Tetapi melihat reaksi Aulia dia tidak mampu bersabar.

“Kalau you sibuk sangat nak kahwin cepat, pergilah cari perempuan lain.”

Mukhriz terkejut. Tidak menjangka Aulia akan lontarkan cadangan itu. Cadangan yang sangat tidak masuk akal! Dia bukan tidak sabar untuk berkahwin. Dia hanya mahu menjadikan cinta hatinya sebagai yang halal secepat mungkin.

Aulia Izatunnisa, anak kepada tokoh perniagaan terkenal, Tan Sri Halim Iskandar. Dia jatuh hati kepada gadis itu sejak di bangku sekolah lagi. Bersusah-payah dia memikat hati bakal mentuanya untuk memiliki Aulia.

“Aulia. You tak sayang I ke?”

Jeda.

“Lia...”

“I dah habis makan. Waktu lunch pun dah habis. I nak balik pejabat. Ada meeting.” Aulia mengesat mulutnya dengan napkin. Kelihatannya dia tidak berminat untuk menjawab soalan Mukhriz tadi. Napkin diletakkan di sisi pinggan dan dia terus bangun menuju ke kaunter.

“Aulia. You tak jawab soalan I.” Mukhriz mengeluarkan dompetnya namun Aulia terlebih dahulu mengeluarkan kad kreditnya. “Lia, bagi I bayar.”

Aulia memberi isyarat agar juruwang menggunakan kad kreditnya. Usai menjelaskan pembayaran dia ayun langkah keluar dari restoran. Panggilan Mukhriz dia tidak hiraukan sedikit pun.

“Lia.” Mukhriz menarik tangan Aulia.

Bagaikan renjatan elektrik yang sangat menyakitkan, Aulia pantas menarik tangannya. Dia tidak perasan ada seorang lelaki sedang berjalan di sebelahnya. Tangan yang ditarik tadi tidak sengaja menampar pipi lelaki itu.

Pantas Aulia berpusing.

“Maaf encik, saya tak sengaja. Encik tak apa-apa ke?”

Lelaki itu menggeleng sahaja walaupun pipinya kelihatan merah berbekas. Terus sahaja lelaki itu masuk ke dalam restoran.

“You tengok apa yang you dah buat?” Aulia berang. Dilajukan langkah menuju ke kereta.

“I cuma sentuh you sikit aje. Itu pun nak melenting ke?”

“Tetap, I tak suka you sentuh I suka hati.” Aulia menggeledah beg tangannya mencari kunci kereta. Saat dia mahu cepat-cepat lari daripada Mukhriz, kunci dia tak jumpa pula.

“Kenapa? Haram? Dosa?”

Aulia angkat kepala.

“You tak pakai tudung. Dedah rambut tu tak dosa ke?” Mukhriz mencekak pinggang. Aulia bukanlah seorang gadis yang warak atau jenis Muslimah. Tapi hendak pegang tangan pun susah. Keluar berdua lagilah jarang. Selepas dia mengadu kepada Tan Sri Halim barulah Aulia sudi keluar dengannya. Itu pun sekadar makan malam atau makan tengah hari. Menonton wayang atau membeli belah bersama, memang tidak pernah.

“I tak cakap yang I ni alim. I cuma tak suka you sentuh I. Itu aje.” Aulia sudah menemui kuncinya. Dia menekan alarm keretanya. Tangan mahu membuka pintu saat Mukhriz berdiri menghalang.

“Mukhriz, I nak balik office. Ada meeting dengan papa.”

“I akan izinkan you balik kalau you setuju untuk nikah dengan I hujung tahun ni.”

“Kalau I lambat dan papa I marah, I akan minta papa putuskan pertunangan kita!”

Sebut putus tunang, Mukhriz mengalah lalu segera memberi laluan kepada Aulia untuk membuka pintu. Dia memang takut kalau Aulia sebut soal putus tunang.

Tanpa sebarang pamit Aulia segera meloloskan diri masuk ke kereta. Berdentum bunyi pintu ditutup. Sebaik enjin dihidupkan, Aulia terus memandu keluar dari situ. Dia menjeling cermin pandang belakang. Mukhriz sedang bercekak pinggang di tempat tadi.

“Mukhriz bangsat. Aku lebih rela kahwin dengan orang miskin yang tak ada harta tapi ada harga diri, daripada kahwin dengan kau yang kaya tapi berlagak macam bulan sembah kau.” Aulia melepaskan marahnya. Hampir sejam dia cuba sabarkan diri tadi. Sekarang dia berada di kawasan tempat letak kereta pejabatnya.

“Kau ingat aku suka sangat nak jadi tunang kau. Kalau tak kerana tipu helah papa kau, memang aku tak hingin tengok muka kau pun.”

Pertunangan mereka kerana campur tangan orang tua. Ayah Mukhriz, Tan Sri Mahfuz menekan ayahnya untuk memaksa dia bertunang dengan lelaki itu. Dia memang tahu Mukhriz sukakannya sejak sekolah lagi. Tetapi dia tidak suka perangai Mukhriz yang kuat berlagak. Tambahan pula Mukhriz kuat mengongkong. Dan lelaki itu panas baran.

“Ya Allah. Kau hadirkanlah lelaki yang mampu lepaskan aku dari cengkaman Mukhriz. Aku akan terima dia seikhlasnya.”

 

“KENAPA MUKA kau merah? Gaduh dengan tunang ke?”

Pantas Firas angkat muka dan jeling Hud tajam.

“Eh... aku lupa... tunang kau dah kahwin dengan orang lain.” Hud ketawa. “Aku tumpang simpati bro.”

“Tak payah nak simpati sangat. Nak gelak, gelak ajelah.” Firas mengangkat tangan memanggil pelayan. Perit pipinya kena tampar tadi. Mahu sahaja dia marah gadis itu. Tetapi tidak sampai hati. Bukan sengaja pun.

Lamb chop satu dengan watermelon juice.” Firas membuat pesanan.

Spaghetti creamy seafood dengan iced water.” Hud menyerahkan menu kepada pelayan sebaik selesai membuat pesanan.

Hmmm. Kali ni kau betul-betul berhenti kerja?” tanya Hud sebaik pelayan beredar. Terkejut dia mendengar khabar yang Firas sudah berhenti kerja. Malah sudah lebih 3 bulan sahabatnya menanam anggur di rumah tetapi baru semalam dia tahu. Itu pun selepas Firas terlepas cakap ketika dia menelefon. Dia pun terlalu sibuk sehingga tidak sempat menghubungi sahabatnya itu.

“Memang dah lama aku plan nak berhenti kerja. Kau tu yang lupa.”

“Kesian kau, berhenti kerja sebab nak kahwin tapi tunang kahwin dengan orang lain. Tak sabar sungguh tunang kau tu.”

Sekali lagi Firas pandang Hud tajam. Kalaulah ada cili di situ memang dicilikan mulut Hud. Suka sangat mengusik dia. Bukan mengusik, sebaliknya mengejek atau mentertawakan dia secara halus. Dia terlalu sibuk dengan kerja hingga tunang berkahwin dengan lelaki lain.

“Kau dah cari kerja baru ke?”

Firas mengeluh. Itu satu lagi masalahnya.

“Aku cuma guna SPM aje, bro. Pengalaman kerja... jadi driver 10 tahun. Selain tu kerja biasa aje. Apa aje kerja yang aku boleh buat? Nampaknya kerja cashier supermarket ajelah aku ni.”

“Okeylah tu, asalkan rezeki halal.”

Firas angguk.

“Aku tengah tunggu pasar raya yang baru nak buka kat area rumah mak aku tu call. Kalau dapat... dapatlah. Tak dapat nasiblah.”

Hud mengusap dagunya sambil memandang Firas. Sepertinya dia sedang memikirkan sesuatu. Tiba-tiba dia mengira dengan jarinya.

“Kenapa?” Firas panasaran. Tiba-tiba sahaja Hud mengira. Kira hutang ke? Setahunya dia tak ada hutang dengan Hud.

“Sepupu aku tengah cari pekerja. Kerja ni kau gerenti dapat punya. “

Pergh... ayat! Gerenti dapat! Kiranya kau ni kabel besarlah.” Firas ketawa sambil kepalanya membayangkan sepupu Firas yang punya syarikat besar dan bergelar Datuk itu.

“Kerja apa?” tanya Firas setelah tawanya reda.

“Tak jadilah aku nak offer kat kau.”

“La... kenapa pulak?”

Hmmm...” Hud menggaru kepalanya.

“Cuba beritahu aku dulu kerja apa. Kalau dah tahu, aku boleh tolak atau terima.”

Cancel... tak jadi!” Hud menggeleng sambil tersengih.

“Beritahu aku kerja apa.” Pelik Firas melihat Hud. Tadi tawarkan kerja. Tidak sampai sesaat tarik balik pula. “Kalau kau tak beritahu, aku merajuk.” Firas terpaksa mengugut.

Hud memandang ke tempat lain.

Housekeeper... maid.”

Buntang mata Firas mendengarnya.

No comments:

Post a Comment