KUNCI motosikal dicampak kasar di atas meja. Tubuhnya bersandar lemah di sofa. Terpejam matanya saat dapat melepaskan lelah setelah seharian berada di luar. Tiba-tiba perutnya berbunyi.
Tanpa sedar, satu senyuman terukir di bibirnya. Dia teringatkan tentang budak perempuan yang ditemuinya tadi. Mata bulat budak pendek itu menarik perhatian Ayie.
“Comel.”
“Apa yang comel?”
Terhinggut bahu Ayie apabila disergah begitu. Dadanya terus digosok perlahan.
“Hesy, tok ma ni... main sergah orang aje! Bagilah salam dulu,” rungut Ayie sambil membuka satu per satu butang baju sekolah di tubuhnya.
Nek Rafidah sekadar menjuihkan bibir. Langsung tidak terkesan dengan bebelan cucunya itu.
“Ayie yang balik tak bagi salam. Dahlah tersenyum-senyum aje dari tadi. Tok ma yang tengok pun naik seram.”
Terhenti gerakan tangan Ayie apabila dia disindir oleh tok manya. Lekas dia berdeham menghilangkan rasa malu. Tidak sangka perbuatannya tadi menjadi perhatian si nenek.
“Err... mana mak su? Tak nampak pun dia.” Ayie cuba menukar topik perbualan.
Mengecil mata wanita tua itu dengan soalan Ayie. Terus dipulasnya telinga cucu tunggalnya itu.
“Arghh... sakit tok ma!”
“Tahu pun sakit. Tanya lagi soalan yang bukan-bukan. Kan semalam kita berdua dah hantar mak su ke stesen bas. Mak su tu dah selamat sampai ke JB semalam.”
Ayie garu kepala yang tidak gatal. Dia sendiri terlupa tentang perkara itu.
“Lupa, tok ma.” Tersengih-sengih Ayie memandang wajah neneknya.
“Ni pakai apa dekat tangan ni? Sakit mata tok ma tengok Ayie pakai benda ni. Kalau papa dan mama nampak, mesti dibebelnya nanti. Rambut tu pun tolonglah potong. Tak rimas ke?” Tergeleng kepala Nek Rafidah melihat fesyen yang digayakan oleh Ayie.
Mati senyuman Ayie saat nama kedua ibu bapanya disebut. Dia merengus dengan kasar.
“Tak payah sebut tentang merekalah. Ayie tak suka.”
Tersentak Nek Rafidah. Ternyata cucunya masih lagi terasa dengan perbuatan anak dan menantunya, Encik Sofian dan Puan Aida. Sejak anak menantunya tinggal di luar negara, hubungan Ayie dengan kedua ibu bapanya menjadi renggang.
“Jangan cakap macam tu. Itu kan mama dan papa Ayie. Bukan mereka sengaja nak hantar Ayie duduk dekat sini. Mereka nak Ayie belajar dekat Malaysia dulu.”
Ayie tergelak sinis. Terasa lucu dengan kata-kata neneknya.
“Alasan. Dah 3 tahun, tok ma. Dalam 3 tahun tu, berapa kali mereka datang jenguk Ayie? Ayie boleh kira dengan jari ni. Taasub sangat dengan harta dunia sampai anak sendiri terabai.”
Terkesan juga Nek Rafidah dengan kata-kata cucunya. Dia tidak boleh menyalahkan Ayie sepenuhnya. Sudah 3 tahun cucunya ini tinggal bersama dia setelah ibu bapa Ayie bertolak ke London. Kini Ayie sudah berusia 15 tahun.
“Tok Ma tahu Ayie kecil hati dengan mama dan papa. Mereka di sana mencari rezeki untuk Ayie juga. Jangan disebabkan marah dan tak puas hati, Ayie berubah macam ni. Tok ma tak suka.”
Sudah lama Nek Rafidah perasan dengan perubahan sikap Ayie. Dulu, Ayie masih lagi berkeadaan baik dan rajin ke sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini cucunya itu suka memberontak. Paling ketara perubahan Ayie, cucunya sudah pandai merokok.
Bukan dia tidak tahu yang Ayie mahukan perhatian daripada ibu bapanya di sana. Pening kepala Nek Rafidah menghadap fiil si cucu.
“Pernah ke mereka anggap Ayie ni anak mereka? Gaya macam tak ada anak aje!” Pedas kata-kata itu diluahkan.
Belum sempat tok ma berkata apa-apa, Ayie lekas bangun dan mengambil beg sekolah. Dia segera naik ke tingkat atas menuju ke bilik. Nek Rafidah mengeluh lemah.
Pintu dihempas dengan kasar sebaik sahaja Ayie masuk ke dalam bilik. Beg sekolah dilempar ke atas katil. Turun naik nafasnya menahan rasa marah. Sejak dia diabaikan kedua ibu bapanya, Ayie sengaja bergaul dengan rakan-rakan yang nakal.
Tak ada guna untuk dia belajar dengan bersungguh-sungguh. Semua itu langsung tidak dihargai oleh kedua ibu bapanya. Jika dia dihubungi pun sekadar memberitahu wang sudah masuk.
Ayie melabuhkan punggung di atas katil. Wajahnya diraup kasar. Dia ada segala-galanya tetapi jiwanya kosong tanpa kasih sayang daripada insan bergelar ibu bapa. Tanpa sedar, tubir matanya bergenang. Kesal dengan sikap kedua orang tuanya.
Perasaan rindunya terhadap kedua insan itu hanya Tuhan sahaja yang tahu.
TERSENYUM DHIYA apabila perutnya sudah kenyang. Siap pakej sendawa lagi. Habis licin nasi ayam yang diberi oleh lelaki tadi. Bungkusan makanan itu dibuang ke dalam tong sampah.
Singki dituju untuk membasuh tangan. Saat ini, dia teringatkan tawaran Kayla. Bukan dia tidak mahu tetapi dia berasa tidak senang menggunakan cara ini untuk menyelesaikan masalah yuran sekolahnya. Buatnya dia ditangkap kerana menyiapkan kerja rumah orang, tak pasal-pasal dia dibuang sekolah.
“Isy, takkan sampai kena buang sekolah. Adoi... budak ni pun satu. Tak ada kerja lain ke nak bagi dekat aku.” Makin serba salah Dhiya ketika ini.
“Assalamualaikum.”
Terdengar suara ibunya, lekas Dhiya pergi ke ruang tamu.
“Waalaikumussalam. Kenapa ibu balik awal hari ni?” Hairan juga Dhiya. Jam baru pukul 3.30 petang. Kebiasaannya ibu akan pulang hampir jam 6 petang.
“Ibu tak sihat. Asyik semput aje.”
Tergamam Dhiya. Lekas dia memaut bahu ibu dan membawanya ke bilik. Mak Cik Asmah yang kelihatan pucat, sekadar menurut. Dia berbaring di atas tilam yang lusuh.
Selendang di kepala Mak Cik Asmah ditanggalkan oleh Dhiya. Terasa lega apabila dapat berbaring di rumah sendiri.
“Tulah ibu. Tak sihat pun nak pergi kerja lagi.” Dhiya berasa sangat risau melihat wajah pucat itu. Takut jika penyakit lelah ibunya kembali menyerang.
“Kalau ibu tak kerja, siapa yang nak bagi makan pakai kita? Ibu nak cari duit, nak bayar yuran sekolah Dhiya. Selagi ibu mampu, ibu akan usaha.”
Dhiya semakin berasa tertekan dengan kenyataan ibu. Disebabkan dia, ibunya terpaksa bekerja sehingga jatuh sakit.
“Ibu... kalau Dhiya cari kerja, boleh?”
Terus Mak Cik Asmah bangun dan bersandar di kepala katil. Wajahnya jelas berubah tegang.
“Jangan nak mengada-ada. Ibu tak suka. Kan ibu suruh Dhiya belajar saja. Ibu tak nak lagi Dhiya cakap pasal ni lagi.”
Kecewa Dhiya apabila permintaannya ditolak.
“Dhiya dah makan?” soal Mak Cik Asmah pula.
“Dah, ibu. Dhiya makan nasi ayam.”
“Nasi ayam? Dhiya beli ke?” Berkerut dahi Mak Cik Asmah. Rasanya dia hanya memberi wang RM2 sahaja kepada anaknya pagi tadi.
Dhiya sudah mula gelabah. Boleh pula dia terlepas cakap.
“Err... taklah. Tadi dekat sekolah, kawan yang belanja makan.”
Mak Cik Asmah mengangguk perlahan. Dia sebenarnya tidak mahu anaknya meminta-minta daripada sesiapa.
“Lain kali jangan nak suruh kawan belanja makan sangat. Kalau Dhiya nak makan apa-apa, beritahu ibu. Nanti ibu usahakan.”
Dhiya tersenyum pahit. Dalam keadaan begini pun ibu masih lagi memikirkan tentang dirinya.
“Ibu rehatlah. Dhiya nak buat kerja sekolah dulu.”
Setelah membantu ibunya berbaring di atas tilam, lekas Dhiya keluar dari bilik itu. Dia masuk ke dalam biliknya dengan perasaan bercampur baur. Dia duduk bersila dan mengeluarkan buku-buku Kayla dari beg sekolah. Buku-buku itu direnung dengan lama.
“Buat ajelah kerja sekolah Kayla ni. Aku tak sampai hati nak tengok ibu penat-penat cari duit. Anggaplah ajelah aku tolong budak ni.”
Dhiya sudah nekad untuk menerima tawaran Kayla. Lekas dia menyiapkan kerja rumah itu.
No comments:
Post a Comment