DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 18 May 2020

Mr. Bibik - Bab 2

 “MACAM mana date baby girl siang tadi?” tanya Tan Sri Halim sebaik sahaja Aulia merebahkan punggung di sebelahnya. Mata masih dihalakan ke TV.

Daddy, boleh tak lain kali tolong cipta alasan? Baby girl tak nak keluar dengan dia lagi. Asyik-asyik tanya fasal kahwin. Bosan.” Aulia melentokkan kepala ke bahu daddynya. Perlahan dia cuba merampas alat kawalan jauh. Namun pantas tangannya dijentik.

Daddy tengah tengok rancangan kegemaran daddy. Jangan kacau.”

Daddy... dunia dah makin canggih. Dulu tak ada siaran ulangan. Tapi sekarang, boleh ulang banyak kali. Kat YouTube ada.” Aulia menggosok kekura tangannya yang pedih. Bukan dia tidak tahu kepantangan daddynya jika ada yang mengganggu semasa dia menonton berita. Dia yang sengaja mencari fasal.

“Kenapa dengan Mukhriz?”

Daddy... baby girl tak suka dia. Benci dia.”

“Jangan benci sangat nanti jatuh cinta.” Tan Sri Halim mengusik anak gadisnya. Rasa bersalah mula muncul. “Kalau tak kerana company kita terdesak nak duit masa tu, tak adalah baby girl kena menghadap lelaki macam tu. Daddy pun tak suka Mukhriz. Tak reti nak hormat orang. Berlagak. Sesuka hati dia kutuk Ken. Padahal Ken tu lagi tua dari dia.”

“Habis tu daddy, macam mana? Tempoh 2 setengah tahun dah nak sampai. Nak tak nak baby girl kena kahwin jugak dengan Mukhriz.”

Tan Sri Halim terdiam. Kepalanya memikirkan berbagai-bagai rancangan untuk memutuskan pertunangan Aulia dengan Mukhriz. Lelaki itu bukan playboy malah boleh dikatakan sangat setia dan mencintai anak gadisnya. Pernah dia mengupah seorang gadis untuk memikat Mukhriz. Tetapi gagal.

Secara kasarnya lelaki itu nampak baik tetapi Mukhriz suka berlagak dan bersikap sombong. Malah bertindak mengongkong Aulia padahal mereka baru bertunang sahaja. Setiap malam sebelum tidur Aulia harus menelefon Mukhriz. Malah lelaki itu mengupah pengawal peribadi untuk menjaga anak gadisnya.

Pertunangan Aulia dengan Mukhriz merupakan salah satu syarat daripada bantuan syarikat keluarga Mukhriz. Syarikatnya hampir bankrap kerana pembekal lari. Syarikat keluarga Mukhriz membantu meminjamkan modal.

Baby girl ada pakwe simpanan?”

Aulia geleng.

“Pakwe pun tak ada. Apatah lagi pakwe simpanan. Habis karang lelaki tu kena bunuh dek Mukhriz.” Berlapis dahi gadis itu memikirkan pertanyaan daddynya. Bukan daddy tidak tahu yang dia workaholic. Kepalanya hanya fikirkan kerja sahaja. Pantang dia berjumpa lelaki mulalah telefonnya melalak.

Plan tangkap basah baby girl dengan pakwe itulah.”

Pap! Selamba sahaja Aulia menampar bahu Tan Sri Halim. Tidak menyangka papanya akan meluncurkan idea gila itu. Tangkap basah akan buat dia dan seluruh keluarganya malu.

“Wahai Tan Sri Halim, tak ada plan lain yang lagi bernas ke?”

“Kalau baby girl kena tangkap basah kan... dah sah Tan Sri Mahfuz tak nak bermenantukan baby girl. Jadi dia akan paksa Mukhriz cari perempuan lain.” Itu sahaja jalan yang dia boleh fikirkan. Jika kena tangkap basah Tan Sri Mahfuz juga akan malu. Dia memanglah malu. Tetapi dia sanggup demi anak tunggalnya.

Aulia tepuk dahi. Kenapalah tokoh korporat ini begitu naif.

Daddy ingat Mukhriz nak setuju macam tu aje? Silap-silap dia akan paksa baby girl kahwin malam tu jugak demi tutup malu.”

Tan Sri Halim menggaru kepala.

“Kenapa dia obsess sangat dengan baby girl?”

I wish I know why.”

“Lepas solat jangan lupa doa agar Allah bagi petunjuk macam mana nak lepas daripada pertunangan ni.” Tan Sri Halim mengusap belakang kepala anaknya. Dia juga tidak jemu berdoa agar muncul lelaki lain yang boleh menggantikan Mukhriz sebagai menantu.

“Macam mana besok? Siapa pergi JB?” Tan Sri Halim mengubah topik. Dia difahamkan ada masalah tentang menghantar wakil ke Johor untuk memantau projek syarikatnya di sana.

Wife Razlan masuk hospital. Baby girl ganti dia.”

“Naik apa? Flight atau drive?”

Drive. Fasyiha drive.”

“Malam ni tidur sini?” Tan Sri Halim memerhatikan jam di dinding. Sudah hampir 10 malam.

“Balik kondo. Luggage kat sana. Mama mana?”

“Dah hampir sejam kat sini baru cari mama.”

Aulia menoleh. Daddynya yang ajak borak. Dia pula yang dipersalahkan.

“Mama kat dapur tengah buat biskut Mazola.”

“Biskut Mazola.” Mata Aulia bersinar. Biskut kegemaran dia. Bukan musim raya pun dia akan minta mama buatkan. Pasti mama buatkan untuk dia. “Baby girl nak pergi kat mamalah.”

“Hantu biskut Mazola.” Tan Sri Halim menggeleng melihat Aulia. Dengar biskut Mazola berlari macam tak cukup tanah.

 

“MAK. BIARLAH pinggan tu. Nanti Firas basuh. Mak duduk aje. Pergi tengok Gegar Vaganza ke. Mak kan minat Sham Visa.” Firas berdiri sambil memerhatikan emaknya. Dia sudah pesan kepada emaknya agar biarkan sahaja kerja rumah. Dia akan buat bila dia balik.

“Kamu ni mabuk ke apa Firas? Hari Rabu mana ada GV.”

Firas tergelak. Manalah dia tahu tentang jadual TV. Dia hanya tahu nama rancangan TV sahaja. Hobi emaknya kalau tidak membawang dengan Mak Cik Senah rumah sebelah, adalah menonton TV. Sebut cerita apa, semua emaknya tahu. Drama Turki, Korea, Indonesia... tanya aje. Emaknya bagaikan Wikipedia bergerak.

“Macam mana interviu? Dapat?”

Firas menggeleng.

“Gagal lagi, mak. Jadi kerani cabuk pun tak lepas. Nak tunggu pasar raya Malik ni buka lambat lagi.”

“Kerja pasar raya?” Puan Salbiah sudah selesai mencuci pinggan. Dia mengelap tangannya. Kaki dibawa melangkah ke ruang tamu. Firas mengekorinya.

“Dah tiga bulan tanam anggur. Kalau anggur tu boleh petik takpe jugak.” Firas merebahkan punggung di sebelah emaknya. Seperti biasa selepas makan malam emaknya akan menonton siaran TV. Sambil emaknya menonton TV dia memicit lengan emaknya.

“Kalau setakat nak tanam anggur sampai setahun pun mak boleh tanggung kamu. Duit simpanan mak banyak lagi.”

“Mak... tak bolehlah macam tu. Firas anak lelaki, sepatutnya Firas yang tanggung makan minum mak. Bukan mak.” Firas terus memicit lengan emaknya. Berkali-kali emaknya sendawa mengeluarkan angin.

“Bukannya kamu sengaja tak nak kerja. Kerja tak nak kat kamu. Nak buat macam mana.”

Firas terdiam. Sudah puas dia mencari kerja tetapi tidak dapat. Berpuluh-puluh temu duga dia hadiri, tapi satu pun tiada yang sangkut. Selalunya alasan dia tiada pengalaman dan terlalu tua. Usianya mencecah 35 tahun tak lama lagi. Hendak minta kerja di tempat lamanya, dia malu pula. Beria-ia hendak berhenti tetapi berpatah balik.

Semua rancangannya tidak menjadi kerana tunangnya berkahwin dengan lelaki lain secara tiba-tiba. Arisya, memutuskan pertunangan mereka dua bulan sebelum dia berhenti kerja. Dia bingung dan tidak faham kenapa sedangkan mereka sudah merancang untuk menikah sebaik dia berhenti kerja. Seminggu selepas itu emaknya mendapat kad jemputan dari keluarga Arisya. Alasan bekas tunangnya hendak berkahwin cepat kerana adiknya juga hendak berkahwin. Tidak mahu langkah bendul.

“Tadi Hud offer kerja kat syarikat sepupu dia.” Firas mula membuka cerita.

“La, kenapa tak terima.”

“Kerja tu.... kerja tu...” Firas serba salah. Sepatutnya dia tidak membuka cerita tadi. Apa pula kata emaknya nanti kalau dia tahu kerja apa yang Hud tawarkan. Mata dihalakan ke TV. Entah cerita apa yang emaknya tonton. Apa bahasa pun dia tidak faham.

“Kerja apa?” Pun Salbiah menyergah anak terunanya yang sedang leka.

“Kerja orang gaji. Kemas rumah orang...” Laju sahaja mulut Firas menjawab. Memang dia pantang kena sergah. Pasti terluah semua yang tidak mahu diluahkan. “Mak ni suka buat Firas terkejut.”

“Dah tu susah sangat nak sebut.”

“Sepupu dia baru buka syarikat bersihkan rumah VIP. Kalau ada VIP call baru datang rumah dia. Kita kemaslah rumah. Sapu satu rumah, cuci tingkap. Gosok baju caj ekstra,” terang Firas.

“Kamu ni terangkan kat mak macam mak tak tahu aje. Berapa gaji?” Puan Salbiah bersila menghadap Firas.

“Satu rumah RM 80. Kalau sekali pakej gosok baju RM 180. Harga kondo atau apartmen. Rumah banglo harga lain.”

“Kalau sehari tiga rumah dah 300 lebih. Okey, cun. Proceed.”

“Apa mak?” Firas kurang dengar ayat emaknya.

“Mak cakap proceed. Kerjalah. Dekat 10 ribu sebulan gaji kamu. Okeylah tu sementara cari kerja lain.” Puan Salbiah kembali menghadap TV.

“Mak, itu kalau tiga rumah. Kalau satu rumah, mana nak sampai 10 ribunya.” Firas menggeleng kepala. Emaknya mengambil mudah semuanya. “Mak tak kisah ke kalau anak handsome mak jadi orang gaji?”

“Si Munirah tu jadi mekanik elok aje. Tak hilang kejelitaan dia.”

Firas tepuk dahi.

‘Oh ibu... pada syurga di tapak kakimu. Aku sanggup.’ Nampaknya besok dia perlu menghubungi Hud untuk bertanyakan kerja itu.

No comments:

Post a Comment