AYIE meraup wajahnya dengan kasar. Bengang apabila sekali lagi kedua ibu bapanya memungkiri janji. Kononnya akan datang ke sini pada hujung minggu ini. Tiba-tiba dia menerima berita daripada tok ma yang kedua ibu bapanya terpaksa menangguhkan dulu kepulangan mereka.
Dalam tahun ini, sudah tiga kali mama dan papanya memungkiri janji dengannya. Walaupun dia mendapat keputusan SPM yang baik, tetapi orang tuanya langsung tidak menghargai segala usahanya.
Ayie menyepak segala barang yang ada di depan matanya. Geram kerana diri dia tak ubah seperti boneka dalam hidup kedua ibu bapanya.
“Kau kenapa ni?” tegur Faiz. Risau juga melihat reaksi Ayie yang baran ini.
“Mama dengan papa aku tulah... tak habis-habis buat aku angin!”
“Family kau buat hal lagi?”
Ayie sekadar anggukkan kepala.
Faiz turut bersimpati. Walaupun Ayie sangat nakal di sekolah, pelajaran Ayie tetap cemerlang. Malah, kawannya itu tidak suka menganiaya pelajar lain seperti rakan-rakan mereka yang nakal.
“Dahlah, tak payah fikir sangat. Makin kau fikir, makin kau sakit hati. Kau dah buat keputusan ke nak sambung belajar dekat mana?”
“Entah. Aku rasa mungkin aku dah malas nak sambung belajar.”
Tergamam Faiz. Kali ini, lekas dia duduk di sisi Ayie.
“Kau biar betul. SPM kau cemerlang. Takkan kau tak nak sambung? Lainlah macam aku. Cukup-cukup makan aje.”
Wajah Ayie semakin tegang. Dia tidak peduli tentang semua ini lagi. Yang penting, hatinya puas membuat kedua ibu bapanya marah. Hanya dengan cara ini sahaja dia dapat melepaskan geram.
Tiba-tiba matanya terpandang ke arah dua susuk tubuh di tepi jalan. Mengecil mata Ayie memandang gadis yang bertudung lusuh itu. Satu senyuman terukir di bibirnya. Melihat gadis itu ingin beredar selepas menurunkan rakannya di situ, lekas dia berdiri sambil menarik tangan Faiz.
“Faiz, cepat hidupkan motor kau. Aku nak minta maklumat budak tu.” Baju Faiz ditarik kasar menuju ke motosikal. Faiz yang masih bingung sekadar menurut.
“Kau nak mengurat budak tu ke?” Faiz sudah tersenyum nakal. Jarang Ayie berkelakuan begini. Senakal-nakal Ayie, lelaki itu tidak akan pernah mempermainkan perasaan perempuan.
“Kau bawa aje motor. Berhenti depan budak yang tak pakai tudung tu.” Ayie nekad ingin mendapatkan maklumat gadis yang dilihatnya tadi.
Kayla terus berjalan dari simpang jalan besar menuju ke kawasan perumahan. Hari sudah semakin gelap. Sengaja dia tidak membenarkan Dhiya menghantar dia di hadapan rumah kerana tidak mahu orang tuanya akan banyak bersoal jawab dengan Dhiya.
Sedang dia ralit berjalan, tiba-tiba ada sebuah motosikal bergerak perlahan di sebelahnya. Kayla langsung tidak menghiraukan dua orang lelaki yang sedang menaiki motosikal itu.
“Pewwit... Nak tumpang dik? Mehlah...” tegur lelaki yang duduk di belakang penunggang motosikal itu.
Geli Kayla dibuatnya dengan imej berambut panjang dan berbulu di muka lelaki yang menegurnya itu. Dia hanya menjeling tajam sahaja ke arah dua orang lelaki itu.
Tiba-tiba motosikal itu berhenti di hadapannya. Lelaki yang menegur dia tadi turun dari motosikal dan menghampirinya.
“Nak ke mana ni dik? Kesian abang tengok adik jalan sorang-sorang.”
“Tepilah! Sibuk aje,” marah Kayla. Dia cuba bergerak ke kanan sedikit tetapi lelaki itu masih menghalang laluannya.
“Kau ni nak apa ha?” tanya Kayla dengan nada yang keras.
“Nama aku, Ayie. Tak salahkan kalau kita nak kenal dengan adik dulu,” kata Ayie dengan wajah yang nakal.
“Janganlah sombong. Kami tanya, jawab ajelah.” Faiz pula yang bersuara.
“Gila!” sinis Kayla mengejek kepada dua orang lelaki di hadapannya.
Ayie berasa sangat tercabar apabila gadis itu masih lagi bersikap sombong.
Kayla terus berjalan melintasi lelaki itu kerana tidak mahu terus berada di situ. Lekas Ayie memegang lengan Kayla tanpa rasa bersalah.
Pang!
Tak sangka perbuatan Ayie itu telah membuatkan si gadis mengamuk. Terkedu dia dengan Faiz.
“Kau jangan cuba nak sentuh aku!” marah Kayla sambil menunjukkan jari telunjuknya tepat ke wajah Ayie. Tangannya ditarik kasar. Pantang bagi Kayla jika ada lelaki lain berani menyentuh tubuhnya.
“Perempuan ni memang nak kena dengan aku.” Terus rambut panjang gadis itu direntap dengan kuat sehingga menyebabkan si gadis menjerit kesakitan.
“Lepaslah!” jerit Kayla sekuat hati. Menyeringai wajahnya menahan rasa perit di kulit kepala.
“Aku tanya cara baik, tapi berani kau tampar muka aku ya.”
“Woi Ayie, kau buat apa tu?” Cuak Faiz yang masih berada di atas motosikal.
“Aku nak ajar perempuan ni sikit. Sombong sangat!” kata Ayie. Tangannya terus menarik pinggang ramping Kayla sehingga wajah mereka hampir bersentuhan.
Kayla yang terlalu marah dengan perbuatan Ayie terus menendang menggunakan lututnya ke bahagian alat sulit lelaki itu.
“Arghhh...” Ayie menunduk menahan kesakitan.
Kayla mengambil peluang ini dengan cuba melarikan diri. Namun kakinya sempat dipegang lelaki itu menyebabkan dia jatuh tersembam di atas jalan raya.
“Arghhh...” Terjerit Kayla kerana siku dan kepala lututnya terhentak di jalan raya dengan kuat. Tubir matanya sudah bergenang menahan rasa perit. Menyesal kerana tidak mendengar kata Dhiya tadi untuk menghantarnya pulang di hadapan rumah.
Ayie yang sudah mula hilang sabar cuba menarik rambut Kayla sekali lagi. Dia mahu mengajar gadis itu kerana berani menendang di bahagian sensitifnya.
“Woi!”
Ayie lekas berpaling ke arah suara itu. Ada seorang budak lelaki yang sebaya dengannya keluar dari kereta mewah. Jelas wajah lelaki itu sangat tegang.
“Ayie! Cepat Ayie,” gesa Faiz kerana risau mereka berdua akan ditangkap kerana mengganggu gadis tadi.
Ayie lekas ingin melarikan diri tetapi kakinya tiba-tiba dipegang kemas oleh Kayla.
“Lepaslah bodoh!” Ayie cuba menolak kepala Kayla.
Kayla yang tidak mahu mengalah, menarik lengan Ayie dan menggigit dengan sekuat hati.
“Arghhh...” Berang dengan perbuatan Kayla, Ayie mengangkat tangannya dengan tinggi untuk menampar wajah Kayla. Belum sempat dia menampar, terasa pergelangan tangannya dicengkam kuat.
“Kurang ajar... Berani kau nak sentuh dia.”
Buk!
Terus jatuh tersembam Ayie di atas jalan raya akibat ditumbuk oleh lelaki itu. Faiz segera turun dari motosikal dan meluru ke arah Ayie.
“Abang!” Terkejut Kayla apabila melihat Aryan tiba-tiba sahaja muncul di situ. Dia langsung tidak perasan dengan kehadiran Aryan sebentar tadi.
Melihat seluar Kayla sudah terkoyak di bahagian lutut sehingga berdarah membuatkan hati Aryan menjadi semakin panas. Dia lekas menarik kolar baju Ayie dengan kasar supaya lelaki itu berdiri sama tinggi dengannya.
“Kau buat apa dekat dia? Jawab!”
“Bro... bro... relaks. Sorry kalau kami kacau awek lu. Ni salah faham aje,” celah Faiz dengan perasaan gugup.
“Abang, sudahlah.” Kayla menarik lengan Aryan.
Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Kayla mengetuk kepala Ayie dengan beg sekolahnya. Namun dia tidak mahu menimbulkan masalah terhadap Aryan.
“Aku nak kau orang berdua berambus dari sini. Pergi!” jerkah Aryan.
“Okay. Sorry bro. Jom, Ayie.” Faiz mengheret Ayie untuk meninggalkan kawasan itu.
Sempat Ayie menjeling ke arah Kayla sebelum dia menaiki motosikal Faiz.
Sebaik sahaja motosikal itu pergi, Aryan terus memandang Kayla dengan renungan yang tajam.
‘Tak guna! Ayie... Ayie... Benda lain yang dirancang, perkara lain pula yang kau buat...’ detik Ayie dalam hati.
No comments:
Post a Comment