DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 29 June 2022

Bodyguard Hati Anne Dalisa - Bab 7


“JOE, dah siap!” Wabil menjerit memanggil pembantunya itu.

Yes bos!” Terkocoh-kocoh Joe muncul di dapur.

“Nah. Pergi hidang.” Wabil hulur pinggan-pinggan yang berisi masakannya.

Mata Joe mengecil memandang bosnya. Tak jadi mengambil hidangan itu.

“Bos, beritahu aku betul-betul. Bos pergi mana tadi?”

Terangkat kening Wabil bila mendengar pertanyaan tiba-tiba daripada Joe. Dah kenapa pula mamat ni?

Aku buat Grablah tadi.”

“Bos tipu! Bos buat balik perangai lama kan? Apa ni bos? Kata nak berubah. Takkan tak ingat dosa, bos.” Joe sudah menggeleng kepala. Dipandang Wabil dengan rasa kesal.

Berkerut dahi Wabil. “Kau ni dah kenapa? Bila pulak aku buat dosa?” Takkan bawa Grab pun berdosa?

Joe mendekat. Hidungnya menghidu badan lelaki ini.

“Eh! Kau ni tersampuk apa?” Cepat-cepat Wabil mengelak. Jangan cakap Joe dah bertukar selera jadi mamat pelangi pulak!

“Sah! Bos buat perangai lama. Ni bau perempuan. Tu kesan gincu kat dada bos tu. Apa cerita?” Joe memandang tajam ke arah Wabil. Haa! Nak tipu apa? Konon kata nak berubah. Tak mahu buat benda jahat.

Wabil melihat ke dadanya yang berbalut t-shirt warna kelabu itu. Ada kesan lipstik di situ. Dia teringat kejadian tadi.

Aduhai... perempuan ni. Memang cari nahaslah!

“Ini... ini bukan ginculah. Ini sos.” Wabil nafi dakwaan Joe.

“Ek eleh bos. Ingat aku ni kurang cerdik ke? Gincu dengan sos pun tak kenal. Tu bau perempuan tu bos nak bagi alasan apa?” Nak juga Joe dengar alasan bosnya kali ini.

Wabil menghela nafas. Joe ni sibuk bertanya macam dia itu isteri Wabil pula. Terkulat-kulat Wabil nak menjawab.

“Okey. Aku dapat penumpang perempuan tadi. Kuat sangat dia punya minyak wangi sampai melekat dekat aku.” Kalau Wabil beritahu yang Anne Dalisa peluk dia, mahu Joe gelak guling-guling di sini.

“Lipstik ni pulak. Err... masa aku nak tolong dia angkat beg, dia terjatuh atas aku. Haa... masa tu kut melekat.” Wabil karang cerita rekaan. Cepat-cepat dia mengesat kesan lipstik di bajunya itu. Harap-harap mereka yang lain tak perasan. Kalau tak, memang 7 keturunan dia kena bahan.

Joe makin kecilkan matanya. Boleh percaya ke ni?

“Dah-dah. Kau jangan nak berlagak macam bini aku pulak. Pergi hantar makanan tu,” arah Wabil acah-acah garang. Joe ni selagi dia tak puas hati, selagi itulah dia akan bertanya.

“Okey. Aku percaya bos. Tapi kalau bos tipu, bos masuk neraka sendiri. Aku tak mahu ikut.”

Wabil menjeling tajam kepada Joe. Ewah, budak ni!

“Eh, mulut kau tu! Jangan nanti tinggal gusi aje.” Wabil tayang penumbuk.

Joe sudah tersengih. Kira betullah tu bos tak buat perangai bukan-bukan. Lega hatinya.

“Joe.”

Baru Joe melangkah, bosnya memanggil semula.

“Apa lagi bos? Takkan nak mengaku pulak sekarang?”

“Isy, tak. Aku nak kau tolong siasat siapa Anne Dalisa.” Wabil nak tahu tentang gadis seksi itu.

“Anne Dalisa? Pelakon tu ke?” Joe tanya pelik. Apa hal pula bosnya tiba-tiba tanya tentang pelakon ternama itu?

Wabil mengangguk.

Terus Joe melambakkan tawa. “Ek eleh, bos ni. Benda gitu pun nak suruh aku siasat. Google ajelah. Bersepah pasal dia.”

Wabil pula yang pelik. Selama ni pun itu memang kerja Joe.

“Perempuan glamor macam tu pun nak siasat-siasat. Terang-terang dia artis bos. Wiki ajelah. Semua pasal dia ada kut. Bos... bos...” Joe ketawa kuat sambil membawa dulang hidangan ke ruang depan. Tempat di mana yang lain sedang menunggu. Tu lambat-lambat, nanti ada sajalah yang kompelin.

Wabil menggigit bibir bawah. Ya tak ya jugak! Nama pun artis. Tentulah bersepah info dia dekat Internet. Lembap betullah kau ni Wabil! Rasa nak ketuk kepala sendiri. Joe yang 3 suku tu lagi cepat loading.

 

“PEREMPUAN MACAM tu, gambar dia ajelah kita boleh buat modal dalam bilik air. Dengar kata, Dato’ spedo dia. Perghhh! Kalaulah aku ni kaya, aku pun nak spedo perempuan mantap macam tu.”

“Anne Dalisa tu? Memanglah weh. Tukar jantan macam tukar baju.”

Ternaik cuping telinga Wabil mendengar apa yang kawan-kawannya gosipkan.

“Amboi... korang ni mengalahkan mak cik bawang pulak ya. Dah banyak ke pahala yang korang kumpul?” Wabil yang baru ingin duduk itu menarik kerusi agak kasar. Dia tidak suka bila kawan-kawannya mengata orang macam tak ada dosa pula.

“Tak, Bil. Kau tengoklah ni. Hari tu kecoh dia ada skandal dengan hero drama dia tu. Sebelum tu dia ada boyfriend. Tapi gambar lengan bertatu saja dia tunjuk. Konon hebat sangatlah ada boyfriend macam tu.” Ejal tunjuk skrin telefon pintarnya.

“Entah Bil. Kita orang mengata sebab dia yang buka ruang untuk orang mengata dia.” Din Jambu mengiakan kata-kata Ejal itu.

Wabil menghela nafas. “Dah tu, korang mengata tapi korang juga berangan buat dia modal perangai jijik korang tu. Come on, jadi lelaki bermaruah sikit. Jangan sampai kita rendahkan nilai orang macam tu. Tak tahu letak sebenar cerita, lebih baik kitadiam.”

Sekali-sekala kena juga sekolahkan mereka ini. Entah sejak bila join kelab pak cik bawang, Wabil pun tak tahu. Banyak sangat waktu terluang agaknya.

“Haa... itulah korang. Kan dah keluar aura ustaz Wabil kita ni.” Ayoi sudah ketawa terbahak-bahak. Tapi betul juga kata Wabil itu. Tak selayaknya mereka mahu menilai hidup orang.

Ejal menggaru kening. Tak terbalas kata-kata Wabil. Din Jambu hanya menyengih saja. Tahu memang salah mereka main mengutuk orang tanpa usul periksa.

“Okey... maafkan kami ya. Aku rasa kami banyak makan bawang ni tadi. Sebab tu tiba-tiba aje mengumpat artis,” ucap Ejal.

Wabil menjeling saja bila mendengar alasan Ejal itu. Banyaklah alasan!

“Eh, cubalah cerita. Macam mana bawa Grab? Kau dapat passenger apa? Lelaki ke perempuan?” Ayoi ubah topik. Takut-takut nanti Wabil buka ceramah lagi. Sejak-sejak jadi baik ni, dah macam ustaz Ayoi tengok.

Wabil senyum senget. Nak beritahu ke tidak? Ini kalau mereka tahu kelakuan Anne Dalisa tadi, mahu lagi teruk mereka kecam. Tak tergamak pula Wabil nak burukkan lagi imej pelakon wanita itu.

“Perempuan kan bos?” Joe menyampuk dari kaunter.

Wabil menjeling tajam. 'Isy, budak ni! Memang nak hilang gigi!' desisnya dalam hati.

“Perempuan.” Wabil balas sepatah. Dengan harapan tiada lagi pertanyaan.

“Wah, untunglah! Lawa ke? Bujang?” soal Ejal.

Wabil menggaru kening. “Manalah aku tahu bujang ke tak.” Ini yang malas nak beritahu. Kepoh mengalahkan mak cik bawang mereka ini.

“Isy, kau ni Bil. Masa nilah kau boleh usyar-usyar awek. Mana tahu kut ada yang berkenan.” Wabil sudah menghela nafas penat. Tak sudah-sudah suruh dia cari calon isteri. Umur dia baru 30 tahun. Masih muda lagi.

“Aku ni bawa Grab sebab nak cari duit lebih. Bukan nak cari menantu untuk Mak Peah.” Wabil bangkit berdiri.

“Aku balik dululah. Girlfriends aku kat rumah tu mesti tengah bising.” Sengaja Wabil tekankan perkataan girlfriends itu. Siapa lagi kalau bukan dua buah hatinya itu. Emak dan juga adiknya.

“Joe, nanti tolong tutup kedai.” Wabil laung kepada Joe sebelum menuju ke keretanya yang terparkir di hadapan restoran.

Wabil berhenti di hadapan pintu kereta.

“Weh!” Wabil memanggil kawan-kawannya dari situ.

“Aku hantar Anne Dalisa tadi. Dia memang lawa!” Wabil jongket kening sebelum masuk ke dalam kereta.

Piraahh!”

Wabil mendengar bunyi bising rakan-rakannya. Eh, orang cakap tak nak percaya pula. Tergeleng kecil Wabil dengan ragam sahabat-sahabatnya.

No comments:

Post a Comment