DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 28 June 2022

Gelisah Asmara - Bab 2


PEJABAT tingkat satu itu hening pada jam itu. Dua kakitangan sedang sibuk menyudahkan dokumen untuk  klien. Namun mereka berdua menoleh apabila terdengar pintu ditolak seseorang. Jamaliah yang selalu berurusan dengan klien untuk Mikayla segera bangun.

“Apa boleh saya bantu, Encik Sabaruddin?” sapa Jamaliah setelah mendekati lelaki itu.

“Saya nak jumpa Cik Kayla. Saya ada dapat e-mel yang bank sudah buat pembayaran.”

Jamaliah tercengang. Setahunya, mereka hanya beritahu lelaki ini yang bank sudah mula membuat pembayaran ke atas jualan asetnya untuk melunaskan baki pinjaman asetnya. Bank akan membayarnya sebanyak beberapa kali. Yang terakhir nanti, barulah lelaki ini yang akan dapat.

“Setahu saya dalam e-mel ditulis yang bank baru lunaskan 40 peratus, Encik Sabaruddin.”

“Saya nak jumpa Cik Mikayla,” balas Sabaruddin.

“Saya tanyakan ya?” balas Jamaliah.

“Kay...”

Mikayla memandang ke arah pintu biliknya.

“Encik Sabaruddin tu sudah ada di depan,” ucap Jamaliah lembut.

“Dia nak apa?” tanya Mikayla terkejut mendengarkan itu.

“Nak tanya pasal payment rumah dia,” balas Jamaliah.

“Okey, suruh dia masuk. Dan bawa penyata daripada bank tu,” ucap Mikayla lembut.

Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki di bilik itu. Mikayla termangu seketika.

“Puan Halimah tak datang ke?” tanya Mikayla.

“Tak. Saya seorang saja. Saya memang berhajat nak datang sendiri. Senang nak bincang apa-apa,” jawab lelaki itu dengan senyum mekar. Dia lebih rela berjumpa dengan peguam cantik ini seorang diri daripada membawa bininya sekali. Bolehlah dia cuci mata!

Mikayla menghela nafas perlahan. Sudah boleh agak apa yang ada dalam otak suami orang ini. Tak sedar diri, hutangnya berlambak!

“Okey. Kita teruskan saja pada pokok cerita. Bank dah buat settlement rumah Encik Sabaruddin sebanyak 40 percent.”

“Jadi berapa saya dapat?” tanya Encik Sabaruddin lembut.

“Buat masa ni... tak ada satu sen pun,” balas Mikayla lantas mengangkat bahu. Dia menanti Jamaliah membawakan salinan surat daripada bank yang mereka terima semalam.

Tidak lama kemudian, Jamaliah masuk ke dalam kamar itu bersama satu dokumen. Dokumen itu diletakkan di hadapan klien mereka itu. Lelaki awal 40-an itu membaca penyata itu. Baki pinjaman perumahan masih ada walaupun setelah bank membayar 40 peratus harga jualan rumahnya.

“Bila bakinya bank akan bayar, Cik Kayla?”

“Pada hujung Oktober,” balas Mikayla.

Termangu lelaki itu. Dia berharap akan mendapat duit tunai daripada jualan rumah itu. Nampaknya masih lama lagi.

“Begitu perjanjian bank kepada saya. Saya pun tak ada kuasa untuk push bank supaya cepatkan pembayaran tu,” ucap Mikayla lagi.

“Lama sangat Oktober tu. Saya baru berhajat nak ajak Cik Kayla pergi makan-makan untuk meraikan kejayaan saya menjual rumah tu,” keluh Encik Sabaruddin.

“Saya percaya kita terikat dengan keputusan bank, Encik Sabaruddin. Tapi tak apa... sekurang-kurangnya rumah Encik Sabaruddin sudah dibeli. Itu lebih penting, kan?” ucap Mikayla. Baki duit jualan rumah setelah ditolak hutang pinjaman hanya 100 ribu, suami orang ini sibuk nak ajak dia makan-makan???

“Yalah.” Lemah saja reaksi lelaki itu. Ingatkan dapatlah 100 ribu hari ini. Rupanya tidak berjaya.

“Kalau macam tu, saya balik dulu,” ucap Encik Sabaruddin lembut.

“Terima kasih kerana sudi datang. Pasal payment seterusnya, saya akan suruh kerani saya call encik,” balas Mikayla pula.

Lelaki itu berlalu begitu saja tanpa membalas kata-kata Mikayla.

“Dia saja datang ke, Kay?” tegur Jamaliah dari luar.

“Gatal,” desis Mikayla sambil menyambung kerjanya.

Jamaliah gelak cukup kuat di luar sehingga Mikayla mengangkat pandangan.

“Suka you ya, Jem...” tegur Mikayla.

I told you. Masuk yang ni klien ke-14. Cukup 20 nanti, dinner di 5 star hotel tau! Tanda andaian I betul,” ucap Jamaliah agak kuat.

Mikayla gelak sendirian mendengar ucapan Jamaliah. Mereka bertaruh... berapa ramai klien lelaki yang datang berurusan dengan Mikayla dengan niat suci murni nak menambah bini. Termasuk Encik Sabaruddin itu, sudah 14 orang.

Pulang dari makan tengah hari, Mikayla tiba-tiba mendapat panggilan daripada ibunya di kampung.

“Kenapa ni, mak?”

“Ayah kau suruh balik.”

“Kenapa? Kay kerjalah,” ucap Mikayla. Dia sudah pulang cuti hujung minggu yang lalu. Sekarang dia kena balik kampung lagi pula.

“Ada hal penting ni. Balik hari ini juga! Ayah nak jumpa kau,” ucap Mak Cik Mariam sebelum mematikan talian.

Mikayla termangu sendirian. Mulalah otaknya rasa berserabut. Dadanya berdebar-debar tidak ketentuan dengan pelbagai andaian. Ada apa sebenarnya? Gadis itu melihat kalendar di atas mejanya. Esok dia ada miting yang sangat-sangat penting dengan syarikat hartanah.

Mikayla menggaru kepala. Dia mahu tahu urusan apa yang memerlukan dia pulang ke kampung hari ini. Sudahnya dia menghubungi kakaknya.

“Kak Nia kat mana sekarang?”

“Aku nak balik kampunglah. Kau kat mana?” balas Madaniya dengan pertanyaan juga.

“Kay kat ofis lagi. Apasal mak suruh balik? Ayah sakit ke?” tanya Mikayla. Dah tak sabar nak tahu apa sebenarnya isu itu. 

“Tunang Mar datang rumah pagi tadi.”

Okay. So?” Kening Mikayla berkerut. Dia mula meneka yang tunang Mariani hendak putuskan pertunangan.

“Dia kata Mar minta putus.”

Mikayla serta-merta tersandar di kerusinya. Tidak terkejut besar namun terkejut jugalah dengan keputusan Mariani. Adiknya itu memang suka buat masalah. Keadaan ini sudah boleh dijangka.

“Habis tu apa kena mengena dengan Kay pulak?” balas Mikayla kian tidak terjawab persoalan dalam benaknya.

“Dia minta balik cincin tunang dan sekalian dia nak pinang kau!!!” ucap si kakak agak kuat menyebabkan Mikayla tersentak.

“Hah???” Mikayla kaku sesaat dua. Kali itu dia memang terkejut luar biasa besarnya. Kata-kata Madaniya tadi seakan-akan bergema semula di otaknya.

“Sebab tu mak suruh kau balik, Kay. Baliklah!”

“Eh, Kay tak nak okey! Eh! Apasal pulak Mar putus dengan dia? Sekarang dia nak pinang Kay pulak. Eh, tak nak! Tak nak!” balas Mikayla sedikit meninggi. Mula dah gelabah katak. Dia tidak bercadang hendak bernikah dalam masa terdekat ini. Apatah lagi dengan lelaki yang tidak dikenalinya langsung. 

“Sebab tu aku kata baliklah sekarang!” Kuat sungguh suara Madaniya. Malas hendak bersoal jawab ditelefon sementelah dia pun hanya tahu sekerat cerita.

“Dia nak pinang ke apa... lantak dia. JawapanKay... Kay tak nak!” ucap Mikayla bersungguh-sungguh.

“Dia ugut nak saman, Kay!”

“Samanlah. Eh, apasal pulak nak saman?” balas Mikayla kalut. Besar sembangnya konon tak takut keluarganya disaman. Bukan dia tidak tahu lelaki itu boleh menuntut ganti rugi daripada keluarganya berikutan adiknya membatalkan pernikahan yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.

“Aku tak tahulah. Ayah tu kalut dah tu. Ada cerita yang kita tak tahu ni. Baliklah cepat!”

“Nantilah. Bagi Kay tenangkan fikiran dulu. Ingat Kay tak takut ke nak balik ni?” ucap Mikayla.

“Balik tau. Aku nak tahu cerita terkini hiburan sensasi ni. Kena semua ada baru syok,” ucap Madaniya sebelum dia mematikan talian.

Akibat daripada berita tergempar itu, Mikayla dah terkebil-kebil di kerusinya macam orang baru kena herdik oleh seseorang. Fikirannya melayang. Macam mimpi pun ada. Lagi sebulan lebih saja Mariani akan bernikah... tiba-tiba jadi begini. Akibat itu juga, dia gagal fokus pada kerjanya.

“Dia tak serius tu,” ucap Mikayla seorang diri. Masakan semudah itu tunang adiknya itu nak meminang dia pula? Apa sebab adiknya memutuskan hubungan dengan Saef semudah itu? Padahal Mariani dulu yang sibuk sangat nak bertunang bagai.

“Tak boleh jadi ni. Aku kena balik kampung jugak!” ucap Mikayla akhirnya.

“Jem, I ada hal mustahak. Boleh tak reschedule semula miting esok? I kena balik kampung,” ucap Mikayla sebelum keluar dari pejabat.

“Okey. I try call pemaju dulu. Apa-apa nanti, I WhatsApp...” jawab Jamaliah.

Thanks...”

Kampungnya pun bukanlah jauh benar. Hanya sejam lebih saja perjalanan ke Banting sana. Mikayla jadi orang terakhir pulang ke rumah ayahnya. Namun Mariani tiada di situ. Abang Maleqnya pula memang kebetulan sedang bercuti.

“Apa dah jadi, mak?” tanya Mikayla setelah bertemu ibunya di dapur. Dia terpandangkan di atas meja makan ada tepak sirih dan ada dua bentuk cincin di dalam bekas.

“Mak???” tekan Mikayla setelah ternampak dua cincin itu. Tidak mungkin itu cincin tunang adiknya. Sudah tentu cincin merisik. Dah selamat diterima oleh ayahnya pun.

“Adik kau buat hal. Dia tak nak kahwin pulak. Aku dah pening dengan Mariani ni. Si Saef tu marah. Ayah kau tak tahu nak jawab apa.”

Mikayla ternganga. “Mana Mar?”

“Dia tak nak balik, dia tak nak jawab bila mak telefon. Entah mana dia pergi. Dia takutlah tu, Maleq ada kat rumah,” ucap Mak Cik Mariam. 

“Kenapa pulak dia tak nak kahwin???” tekan Mikayla geram meluap-luap dengan si adik.

“Dia dah jumpa jantan lain!” Suara Pak Cik Mohamad bergema dari ruang tamu rumah. Mikayla menoleh pantas ke arah ayahnya.

“Anak tak tahu diuntung. Dulu dia jugak yang gatal sangat nak suruh Saef tu masuk meminang. Sekarang dia yang ubah fikiran. Mana aku nak letak muka aku ni!” ucap Pak Cik Mohamad garang.

Mikayla terdiam. Takut hendak menjawab dalam keadaan ayahnya marah. Matanya terkebil-kebil memandang dulang tepak sirih di atas meja itu.

“Tapi kan, ayah... tapi kan... mana boleh Kay pulak yang kahwin dengan Saef? Kan tak cinta...” ucap Mikayla dengan muka orang lugu. Bersiap sedia nak kena tengking oleh ayahnya.

“Ni lagi satu! Tak habis-habis dengan cinta!!!”

Terangkat bahu Mikayla. Dah selamat kena tengking pun. Bicaranya terkulum. Ada baiknya dia tidak berkata apa-apa saat ayahnya sedang marah. Mak Cik Mariam menolak anak daranya itu agar naik ke atas. Tidak mahu suaminya bertambah marah.

Pak Cik Mohamad menggaru kepala yang tidak gatal. Dia menghela nafas panjang. Rasa macam nak dicekik saja si Mariani saat ini kerana memalukannya sebegini rupa.

Mikayla termangu di dalam biliknya macam orang lugu. Tidak sepatutnya Mariani buat begini sehingga memalukan ayah dan ibunya sekali gus menyusahkannya.

“Kahwin dengan bakal adik ipar? Eee... gelinya aku! Entah apa-apa dia dah buat pada Mar, mesti dah pernah kissing-kissing tu. Sekarang dia nak kahwin dengan aku pulak.” Bahu Mikayla bergegar-gegar macam orang sedang geli-geleman. 

“Eeee... serabutnya! Macam mana ni? Kenapa aku pulak yang kena???” tekan Mikayla seorang diri. Lupa... dalam keluarganya hanya dia dan Mariani saudara perempuan yang belum kahwin. Kakaknya sudah bersuami. Masakan si Saef nak meminang abang Maleqnya itu pula untuk dijadikan isteri. Ataupun Mak Cik Senah sebelah rumah?

Mikayla terkulat-kulat sendirian. Mencari idea nak mengelak. Waktu inilah rasanya nak buka kitab, mencari hadis-hadis yang melarang kahwin paksa.

Sangka Mikayla si Saef itu sudah balik. Rupanya tidak. Dia hanya keluar sebentar saja untuk menenangkan fikirannya. Petang itu lelaki itu muncul semula di rumah Pak Cik Mohamad. Orang tua itu menyambutnya di muka pintu. Maleq dan Mukhris turut berlonggok di muka pintu itu.

“Saya tetap dengan keputusan saya. Saya nak Mikayla...” ucap Saef.

Mikayla yang berada di sebalik dinding tergamam mendengar Saef menyebut namanya. Dia terus pergi ke jendela dan menjawab.

“Hei, Saef! Pasal kau, aku kena tengking dengan bapak aku tau. Kau putus dengan Mariani, apasal aku pulak yang kena kahwin dengan kau???” ucap Mikayla dari jendela itu.

Saef tidak memandang Mikayla. Dia terus berpaling dan memandang ke halaman rumah itu. Dia rasa Pak Cik Mohamad tahu apa nak jawab kepada Mikayla.

Orang tua itu mengangkat tangan kepada isterinya, meminta isterinya menjauhkan Mikayla dari jendela itu. Tidak mahu Mikayla membuatkan Saef bertambah tidak mahu berlembut hati kepada mereka. Abang Mikayla si Maleq merenung Mikayla macam hendak ditelannya gadis itu. Gelagat Mikayla hanya mengusutkan lagi keadaan. 

“Masuk sana,” tekan Maleq dengan mata terjegil kepada si adik. Mikayla terpaksa akur setelah melihat Maleq menjegilkan mata kepadanya. Kalau dia tidak ikut perintah abangnya itu, alamatnya dia kena penampar sebentar lagi.

“Kita bincang di dalamlah,” ucap Mukhris lembut.

Saef menoleh dengan pandangan tajam.

“Tak ada apa nak dibincangkan lagi. Keputusan saya muktamad. Dia yang nak kahwin... saya sediakan apa saja yang dia nak. Sekarang dia larikan diri daripada saya. Saya tak akan maafkan dia begitu saja,” ucap Saef sebelum dia berlalu dari situ.

“Ayah, sabarlah...” ucap Mukhris sambil memegang bahu sang ayah. Pak Cik Mohamad mengurut dada kerana kecewa.

“Apalah adik kau dah buat ni, Mukhris. Ayah tak tahu apa nak cakap kepada Saef.” Nada sang ayah berubah sedih.

“Saya pergi cari dia, ayah.”

Sang ayah menggeleng sambil tersandar di ambang pintu itu. Tidak disangkanya anak bongsunya itu sanggup buat begini kepadanya. Cari Mariani untuk apa? Untuk jawapan yang lebih menjerut hatinya? Mariani ada lelaki lain!

“Apa lagi yang dia nak? Apa yang tak cukup? Nak lelaki kaya mana lagi?” rintih sang ayah benar-benar sedih dengan dugaan sekali ini.

Mukhris menghela nafas panjang. Sesungguhnya, dia tidak tahu mahu memujuk sang ayah bagaimana. Kerana dia sendiri juga tidak terkata, geram dengan perangai adik bongsunya itu. Sekarang Mikayla pula yang menjadi mangsanya. Si Saef tampak macam berdendam dengan mereka. Tidak mahu hal itu diselesaikan dengan cara lain selain daripada ugutannya atau mereka harus menerima pinangannya ke atas Mikayla.

Mikayla tiba-tiba merasa kasihan kepada ayahnya. Dia tahu ayahnya terduduk dengan perbuatan Mariani. Dia rasa ayahnya sudah puas menyuruh Mariani berfikir panjang sebelum bertunang dengan Saef. Kerana mereka tahu, Mariani jenis tidak tetap pendirian dan suka berkawan dengan ramai lelaki. Agak materialistik. Sukakan lelaki yang sudah berusia kerana dia tahu, lelaki berusia lebih matang melayani kehendaknya. Mereka tiga beradik perempuan memang agak terkenal kerana nama semuanya bermula dengan huruf M. Dan lawa-lawa. Tetapi Mariani perasan dia hot stuff. Semenjak zaman sekolah perangainya memang begitu.

Tetapi dia masih ingat dulu apa kata Mariani tentang lelaki idamannya, Saef Haris. Saef lebih tua tujuh tahun berbanding Mariani. Beza umur Saef dan Mikayla tiga tahun. Saef agak tampan orangnya dan anak orang berada. Jadi, lelaki seperti Saef memang menepati kriteria lelaki idaman Mariani. Tampan, segak dan kaya.

Ketika mendengar Saef hendak masuk meminang Mariani dulu, ayahnya kurang setuju kerana bimbang adiknya akan berubah fikiran. Jadi, pertunangan dipendekkan kepada 5 bulan saja. Sayangnya, Mariani tetap berubah fikiran.

Mak Cik Mariam memandang Mikayla. Mereka berdua tidak terkata.

“Kau kahwin ajelah dengan Saef tu. Kalau rasa tak boleh blah... cerai,” ucap Madaniya selamba.

“Amboi... senangnya bercakap!” ucap Mikayla.

“Kesian ayah tu... kena marah. Bukan salah dia, Kay. Sekarang aku rasa nak pijak aje Mariani ni,” gerutu Madaniya. Dia juga berharap adiknya akan sudi berkorban demi menyelamatkan keadaan.

“Apa nak jadilah dengan Mariani ni,” keluh Mak Cik Mariam. Patutlah dia perasan Mariani tidak balik sudah agak lama. Alasannya sibuk dengan pengajiannya. Persiapan perkahwinannya dia tidak peduli benar. Semuanya diuruskan keluarga. Selalunya orang perempuan mesti heboh nak itu ini apabila bersangkutan tentang majlis perkahwinannya. Tetapi Mariani tidak.

Rupanya dia dah ada cinta baharu!

“Entah-entah si Saef tu yang buruk perangai tak, mak? Sebab tu Mar tu tak mahu,” ucap Mikayla. Mereka belum dengar penjelasan Mariani tentang kenapa dia bertindak begitu. Mereka hanya dengar cerita sebelah pihak saja iaitu cerita si Saef.

“Kalau betul Saef tu yang tak okey, kenapa dia larikan diri? Kenapa tak berterus terang saja dengan mak dan ayah? Kenapa keluar dengan lelaki lain sedangkan dia masih bertunang dengan Saef?” balas Mak Cik Mariam.

“Ya tak ya juga,” ucap Mikayla. Kata-kata ibunya dengan mudah menepis andaiannya. Kesalahan itu tidak boleh diletakkan di atas bahu Saef.

“Tapi... batalkan saja, apa salahnya mak? Kita bayar sajalah berapa kerugian sebelah lelaki,” ucap Mikayla.

Spontan Mak Cik Mariam memandang Mikayla. “Kau tahu tak adik kau buat apa kepada Saef tu?”

“Apa?”

“Saef tu dah habiskan duit untuk Mar, lebih 300 ribu semenjak awal bertunang.”

“Hah???”

“Sungguh ke ni, mak???” tekan Madaniya dengan mata membulat.

“Ya. Dia siap tunjuk bukti pada ayah kau. Adik kau nak hantaran sedap-sedap. Semua dia bagi. Sebab tu dia jadi macam tu.”

“Apa yang mahal sangat tu, mak?” celah Mikayla pula.

“Dia nak iPhone terbaharu. Dia nak kereta baharu. Dia nak handbag yang harga belas ribu. Semua Saef tu dah belikan. Ada dua benda yang adik kau dah ambil pun daripada Saef tu. Kereta dengan iPhone. Dia nak kita ganti semula, satu sen pun tak ada kurang.”

Mikayla termangu dan melopong. Nampak gayanya kenalah dia bersiap-siap kahwin dengan Saef. Mana dia ada duit sebanyak 300 ribu untuk ganti semula kerugian yang dialami Saef dek kerana adiknya itu. Dan sebagai peguam, dia tahu... Saef boleh menyaman mereka di mahkamah kerana masalah ini dimulakan oleh adiknya. Melainkan Saef pula yang curang. Itu lain cerita.

“Tapi bukan salah kita, kan? Siapa suruh dia bagi? Kereta tu ambil ajelah balik daripada Mar,” ucap Mikayla.

“Senang bercakap kalau bukan duit kita yang habis, Kay. Maruah keluarga dia, kau nak bayar dengan apa? Dia ambil balik kereta tu nak buat apa? Kalau jual semula, boleh dapat balik duit dia?” balas Mak Cik Mariam. 

Mikayla terdiam. Ya tak ya. Dia sudah tidak tahu apa yang hendak dikatakan kepada ibu dan ayahnya.

“Keluarga dia tahu tak, mak?”

“Tahu. Ayah dan mak dia ada datang pagi tadi. Sekejap ajelah bincangnya. Mak dan ayah dia tak mahu panjang cerita pasal Mariani.”

“Mak dan ayah dia tak marah?”

“Tak tahulah mak nak cakap. Nak kata marah-marah tu memanglah tak ada. Tapi cakap menyindir. Sampai berubah air muka ayah kau,” ucap Mak Cik Mariam.

“Kita pujuk si Mar. Mana boleh dia buat macam ni! Dia yang buat hal, kita pulak yang kena bayar. Banyak pulak tu!” tegas Madaniya.

Mak Cik Mariam diam saja. Putus asa dengan perangai anak bongsunya itu. Ini masalah terbesar yang sudah dibuat oleh anaknya yang menyebabkan keluarga ini tunggang terbalik kini.

Mikayla memandang sang ayah yang duduk berdua dengan Mukhris. Entah apa yang dibicarakan dua lelaki itu. Maleq hanya berdiri di belakang dua lelaki itu sambil memandang ke luar.

“Kay takutlah, mak.”

“Takut apa?”

“Dia bukan suka dekat Kay pun,” ucap Mikayla.

Mak Cik Mariam diam. Sesak dadanya. Agak kejam untuk mereka mempertaruhkan masa depan Mikayla demi menyelamatkan keadaan.

“Biar Kay bincang dengan Saef ya mak?”

“Jangan. Orang lelaki ni tengah dendam, macam-macam dia boleh buat. Mak tak nak tambah masalah, Kay.”

“Habis tu kalau Kay kahwin dengan dia, macam mana? Lagilah dia boleh buat sesuka hati dia. Sama aje.”

“Betul tu, mak. Kita minta masa sikit. Cari si Mar. Kita bayar balik duit dia,” ucap Madaniya.

“Biar Kay bincang dengan dia. Kalau pujuk-pujuk, mesti dia lembik punyalah,” jawab Mikayla. Yakin benar dia akan berjaya memujuk Saef nanti. Padahal dia tidak kenal pun lelaki itu.

Mak Cik Mariam diam. Dia sebenarnya tidak tahu apa lagi yang harus dibuat saat ini. Pilihan tidak banyak. Jadi, dia rasa dia harus mencuba idea yang dikatakan Mikayla tadi.

No comments:

Post a Comment