PERJALANAN ini memang tidak mudah. Itu yang dirasakan Saef. Kerana isterinya sangat keras hati. Sedangkan dia belum punya idea untuk melenturkan kedegilan Mikayla.
Mikayla... kalau seminggu Saef tidak menghubunginya, seminggu itulah dia berdiam diri. Namanya untuk melayan si Saef persis suami, memang tidak. Dia tak peduli pun! Masa dan ruang yang diberikan Saef menjadikan makin susah untuk lelaki itu mendekatkan mereka. Ruang itu digunakan Mikayla untuk mengelak daripadanya.
Saef merenung telefonnya. Sakit jiwa menanti Mikayla membalas mesejnya. Kadangkala setelah tujuh lapan jam baru isterinya itu membaca. Itu pun selalunya tiga empat jam kemudian baru dia jawab. Itu pun kalau Mikayla nak jawab. Dia rasa macam orang bodoh. Sekadar bertanya khabar pun Mikayla tidak sudi.
Petang itu lelaki itu sengaja pergi mencari Mikayla di rumah sewa isterinya setelah dia gagal menemukan Mikayla di pejabatnya. Ketika dia sampai Mikayla masih belum pulang dari kerja. Dia menunggu di dalam kereta. Masuk jam keempat... iaitu pada jam 10 malam barulah muncul kereta Mikayla.
“You nak apa datang sini?” tanya Mikayla. Reaksi tidak suka itu memang tidak sedikit pun disembunyikannya. Tidak mahu lelaki itu datang mendekatinya lagi.
“Kita dah lebih seminggu tak jumpa. Hanya mesej. Itu pun you macam tak sudi nak balas.”
“I letih, Saef.” Mikayla menjawab malas tanpa mempedulikan lelaki itu memandangnya. Dia masuk semula ke dalam kereta setelah membuka pintu pagar.
Saef berdiri terpacak memandang Mikayla. Wanita itu keluar dari kereta dan pergi membuka pintu rumah. Dia tidak pelawa suaminya masuk. Lelaki itu macam orang bodoh, tercongok sendirian di situ dengan kehadirannya tidak sedikit pun dialu-alukan.
“You nak apa lagi? Hari ni I tak senang,” ucap Mikayla.
“You tahu... I tunggu you dah berjam-jam, Kay.”
“I tak suruh you datang sini, Saef.”
Lelaki itu diam memandang Mikayla yang pergi membuka pintu belakang keretanya.
“You tahu... I pun tak mahu kahwin dengan you sebenarnya. I tak pernah sukakan you selama ni,” ucap Saef lantas mendekati isterinya itu.
“Jadi, kenapa you paksa I kahwin dengan you?”
“Bukan I. Mama I. Dia jumpa you waktu datang meminang Mariani. Dia berkenan. Dia kata you lebih cantik daripada Mariani. Dia lebih suka you. You nampak matang dan macam perempuan baik-baik. Mama I semenjak dulu memang tak berkenan dengan Mariani. Dia setuju sebab I. Tapi bila adik you hilangkan diri... dia ambil peluang tu. Dia mahu you ganti tempat Mariani. Sekarang I rasa mama I pun telah salah menilai.”
Riak wajah Mikayla berubah mendengar ayat terakhir yang diluahkan suaminya itu.
“You dengan Mariani, lebih kurang sama saja. Tak hormati perasaan orang lain. Mementingkan diri sendiri. Kebaikan orang lain tak ada value kepada you. Begitu juga dia layan I selama ini. Sekarang I rasa... kalau dah susah sangat, tak kahwin pun tak apalah. Lebih baik membujang saja sampai tua. Cantik... tapi menyakitkan.”
Mikayla terpaku memandang Saef. Lelaki itu hela nafas panjang sebelum berpaling.
“Rehatlah puas-puas,” ucap Saef perlahan.
Mikayla masih terpaku memandang Saef berlalu. Kata-kata lelaki bagaikan tamparan hebat di mukanya. Mula terkesan dengan bicara lelaki itu menyamakan dia dengan Mariani.
Mikayla masuk ke rumah setelah mengaut fail dari tempat duduk belakang keretanya. Di ruang tamu, dia duduk seketika.
‘Cantik... tapi menyakitkan.’
Kata-kata Saef kedengaran semula di telinganya. Menggambarkan sebagaimana teruknya Mariani melayani Saef yang sayang kepadanya. Begitu jugalah dia. Tak ada beza pun dia dengan Mariani.
Puas termenung, Mikayla naik ke atas. Selesai mandi dan solat isyak, dia duduk di katil. Dia memang sedar suaminya ada memberi mesej kepadanya semenjak jam 7 tadi. Tiga mesej yang tidak dibacanya walaupun dia sedar mesej itu ada diberikan Saef.
You di mana? I pergi ofis you tadi tapi
you tak ada.
Kay, I tunggu you. Where are you? We
need to talk. Call I.
Kay?
Tiga mesej itu dikirimkan Saef selang sejam. Mikayla sedar, namun dia tidak layan pun mesej suaminya. Betapa teruknya dia melayani Saef. Lelaki itu hanya sabar saja dengan kerenahnya.
Kali itu dia merajinkan diri untuk menghubungi Saef. Namun dia sedar, lelaki itu mungkin sedang memandu. Jadi panggilannya tidak dijawab oleh Saef. Dia memandang telefonnya seketika. Rasa macam nak tulis perkataan maaf kepada lelaki itu. Tetapi jemarinya agak berat.
Sudahnya dia meletakkan telefon ke tepi.
“Esok ajelah,” ucap Mikayla perlahan. Dia terlelap tanpa makan malam.
Keesokan paginya, Mikayla pergi ke pejabat seperti biasa. Namun kali itu dia merajinkan diri memberi mesej kepada suaminya.
I minta maaf tentang semalam. I
betul-betul penat.
Bermula dari jam 9 pagi dia memberi mesej itu, sampai jam 9 malam Saef tidak melihat pun mesej daripadanya. Keadaan itu mula membuatkan Mikayla merasa sedikit gementar. Dia tahu Saef marah kepadanya.
Jam 10 malam, Saef masih tidak membaca pun mesejnya itu. Sudahnya Mikayla memberanikan diri menelefon suaminya. Sayangnya lelaki itu tidak menjawab pun panggilannya.
Mikayla termangu. Namun dia perasan mesejnya itu sudah dilihat oleh Saef. Dia memandang lama kotak perbualan itu. Menanti jika lelaki itu ingin memberi respons kepada mesejnya. 5 minit kemudian, tiada apa-apa pun dikirimkan Saef kepadanya.
Saef, I nak bercakap dengan you.
Mesej itu diberikan oleh Mikayla kepada Saef. Seminit kemudian Saef membalas pesanannya itu.
You boleh lantik lawyer untuk
selesaikan masalah kita.
Pendek saja ayat itu. Namun Mikayla terpaku sehingga tidak terkata apa-apa. Dia mengerti apa maksud Saef. Lelaki itu sudah bersetuju untuk membubarkan perkahwinan mereka. Sekarang Mikayla sudah mula merasa seram sejuk. Sepatutnya dia suka dengan keputusan Saef. Sayangnya keadaan perasaannya kini tidak seperti yang dibayangkannya.
Mikayla membaringkan tubuhnya. Memikirkan apakah lebih baik jika mereka bercerai saja sementelah lelaki itu sudah setuju untuk bercerai. Tetapi dia takut. Apa dia hendak jawab kepada ayahnya? Apakah alasannya untuk bercerai?
3 hari kemudian...
SAEF TIDAK lagi ada menghubunginya. Bertanya khabar pun tidak. Ketika waktu makan tengah hari, Mikayla melihat ke kotak WhatsApp. Dia nampak suaminya sedap menaip sesuatu. Tetapi tiada apa-apa mesej pun sampai kepadanya. Bermakna Saef sedang berhubung dengan orang lain.
Mikayla diam memikirkan bicara Saef sebelum ini. Dia lebih kurang saja macam Mariani. Dia terasa maruah dirinya begitu rendah jika Saef memandangnya seperti itu. Entah kenapa, dia tidak suka disamakan dengan Mariani yang berperangai keji itu. Sekurang-kurangnya dia bukan ‘kaki lelaki’ persis Mariani.
Petang itu, Mikayla memberanikan diri pergi ke rumah suaminya. Semenjak berkahwin, ini kali pertama dia pergi ke rumah Saef. Apa yang dia perasan, gambar Mariani masih ada di dalam rumah lelaki itu. Masih di tempat yang sama.
“Selalunya Encik Saef balik pukul berapa?” tanya Mikayla kepada pembantu rumah.
“Semenjak kebelakangan ini... lambat. Dia suruh saya balik dulu,” jawab Wida lembut.
“Dah siap kerja ke?” tanya Mikayla lagi.
“Dah. Nak tunggu dialah ni,” balas Wida.
“Baliklah.”
“Puan tunggu dia ke?” tanya Wida.
“Ya.”
“Okey. Kalau macam tu saya balik dululah. Assalamualaikum,” ucap Wida ceria.
Mikayla menjawab perlahan ucapan salam itu. Setelah duduk di sofa, mata Mikayla tidak mampu mengelak daripada memandang bingkai gambar itu. Seketika kemudian dia naik pula ke atas. Melihat bilik Saef. Dia periksa satu per satu ruangan itu. Sehinggalah ke satu bilik lain, dia mula perasan ada dua beg pakaian terletak di satu sudut. Mikayla pergi melihat isi kandungan beg itu.
Baru dia perasan, di dalamnya ada pakaian wanita yang dia percaya itu adalah milik Mariani. Mikayla kembali menutup beg itu setelah terdengar suara seseorang. Dia lekas pergi menjengah di jendela. Dia nampak kereta Saef sedang merayap masuk ke dalam ruangan porch. Namun bukan hanya kereta Saef yang dia nampak.
Kereta Mariani juga kelihatan berhenti di luar pagar seberang jalan. Berderau darah Mikayla. Dia terus turun ke bawah. Untuk apa adiknya datang ke rumah Saef?
Saef terpaku seketika saat terpandangkan Mikayla muncul di depan pintu. Dia memandang ke luar, mencari di mana isterinya memarkirkan kereta. Baru dia perasan, kereta Mikayla di luar pagar. Jadi dia tidak tahu Mikayla ada di rumahnya. Mariani juga kaget melihat kakaknya berada di rumah Saef.
“Ada event ke? Balik sama-sama nampak?” perli Mikayla sambil memandang kedua-dua manusia itu.
Saef tidak berkata apa-apa sebaliknya dia masuk ke dalam. Kemudian lelaki itu menoleh kepada Mariani.
“Di atas,” ucap Saef kepada Mariani.
“Okey, abang.”
“Okey, abang... dasar gedik!” ejek Mikayla seorang diri. Ikutkan rasa sakit hati, macam nak diramas-ramas saja muka kedua-dua manusia itu. Mariani macam tidak ada rasa bersalah naik ke atas diikuti oleh Saef. Mikayla ikut naik ke atas untuk melihat apa yang dibuat oleh sepasang bekas kekasih itu.
Rupanya Saef menyuruh Mariani mengambil pakaiannya. Tetapi cara dua manusia itu bercakap, memang menyakitkan hati dan meluat dia mendengarnya! Apatah lagi Saef masih membahasakan diri abang kepada Mariani.
Si Mariani pula lagaknya macam Mikayla tiada di situ. Bukan main gedik lagi! Mikayla mula syak suaminya kembali berhubung dengan Mariani.
“Tak ada. Yang lain abang dah hantar balik kampung Mar,” ucap Saef saat ditanyakan Mariani kasut tertentu. Lelaki itu tidak tahu pun kasut apa yang dimaksudkan Mariani. Dia main jawab saja memandangkan ada beg pakaian yang sudah diberikan kepada Mikayla sebelum ini.
“Banyaknya baju kau ada kat sini? Kau duduk sini ke atau kau ada share dalam rumah ni?” tegur Mikayla saat adiknya melintasinya.
“Abang Saef yang belikan sebagai tanda sayang,” ucap Mariani selamba. Macam tak salah saja lagaknya mengikis duit si Saef dan tinggalkan macam itu saja. Kemudian kembali semula seperti semua itu tidak pernah berlaku.
Mikayla memandang Saef yang bercekak pinggang sambil memandang persekitaran kamar itu. Agaknya mahu memastikan semua barang Mariani diambil oleh gadis itu.
Mikayla kembali memandang adiknya membawa satu beg beroda itu turun. Setelah itu Saef turut membawa satu lagi beg turun ke bawah.
“You boleh suruh I ambil saja tu semua,” ucap Mikayla kepada suaminya.
Saef hanya diam sambil menuruni tangga. Mikayla ikut ke bawah. Dia hanya memandang dari rumah tatkala Saef pergi menghantar beg itu ke kereta Mariani. Percaya atau tidak, adiknya yang masih di tahun ketiga pengajian memakai kereta Audi. Sayang sangat Saef kepada Mariani sehingga sanggup poketnya dilondehkan untuk menyenangkan Mariani dengan kereta berharga 300 ribu lebih itu. Malah, Saef membiarkan saja Mariani menggunakan kereta itu sehingga kini. Apa tandanya?
Saef masih sayangkan Mariani! Jadi, dia sekarang sebagai apa saja? Entahlah!
Setelah kereta Mariani berlalu, Saef kembali ke rumah.
“I nak tanya youlah, Saef... setahu I, Mariani tu hanya bergantung pada PTPTN saja. Ayah I bagi dia duit belanja setiap bulan tapi tak banyak. Macam mana dia boleh ada duit pakai kereta semahal itu ya?” ucap Mikayla setelah suaminya masuk ke dalam rumah.
“I bagi dia duit,” ucap Saef perlahan.
“What?” Bahu Mikayla melorot jatuh mendengar itu. Jadi, Saef kahwin dengannya tapi dalam masa yang sama dia bela juga si Mariani? Ini memang cari gaduh!
Saef berlalu ke dapur tanpa mempedulikan pandangan Mikayla. Dia mengambil air masak lalu diteguk untuk menghilangkan dahaga. Seketika kemudian, dia kembali ke hadapan semula.
“Kenapa you masih layan dia?”
“Kita bincang nanti. I nak mandi,” ucap Saef lalu naik ke atas.
Mikayla termangu sebelum dia melabuhkan punggung di sofa. Ternampak lagilah pula gambar Mariani dengan suaminya. Mikayla ambil dan dia pergi ke dapur. Lalu bingkai gambar itu dihumban ke dalam tong sampah. Selesai masalah! Tidaklah sakit jiwanya memandang gambar itu.
15 minit kemudian lelaki itu turun ke bawah semula.
“Dah solat maghrib?” tanya Saef.
“I cuti,” balas Mikayla perlahan.
“So, ada apa you datang sini?” tanya Saef lantas duduk di sofa. Bersedia untuk berbincang tentang hal mereka.
Mikayla memandang lama lelaki itu.
“I teringin nak tahu... you dengan Mariani kembali bersama ke?” tanya Mikayla.
Saef diam. Dia tidak berhajat untuk menunjukkan keadaan itu di hadapan Mikayla. Namun dia tidak sangka isterinya akan ada di rumahnya petang ini.
“Susah I nak cakap,” ucap Saef.
“Apa yang susah? Kalau ya, mengaku sajalah!” tegas Mikayla.
“Okey. Since you tak kisah... jadi I jawab. Ya, I berbaik semula dengan dia. Tapi I tak pernah janjikan apa-apa pada dia.”
“So, dia menggedik, you sekadar melayan ajelah?” tanya Mikayla sinis.
“What is this about? You sekadar nak tanya untuk cari gaduh ke apa? Nada tu... macam saja nak cari gaduh.” Nada Saef mula berubah sedikit. Tidak gemar akan soalan Mikayla yang dirasakan sekadar mahu memprovoke kemarahannya.
“Kenapa you sayang sangat pada Mariani tu? You sendiri tahu yang dia tak setia.”
Saef diam. Soalan yang tidak seharusnya ditanyakan Mikayla kerana wanita ini tidak akan suka mendengar dia membandingkan antara adik dengan kakak.
“Emm... I dan Mariani masih tidak mampu melupakan. Jadi, I merancang untuk menikahi dia selepas kita bercerai. Its not a big deal. You sendiri lebih suka I pergi pada dia,” ucap Saef seketika kemudian.
“Jadi, you kahwin dengan I untuk apa kalau you masih layan dia?”
“Macam yang I katakan sebelum ni... perkahwinan ni wujud bukan sebab I tergila-gilakan you, Kay. Tapi sebab mama I tak suka Mariani. Okey... kita boleh selesaikan masalah kita secara baik. Tentang Mariani... jangan usik dia. Dia urusan I,” ucap Saef.
Mikayla terdiam memandang suaminya. Hatinya meluap-luap sakit hati. Sayang sangat Saef kepada Mariani yang tidak sedar diuntung itu sehingga dia tidak boleh cuit sedikit pun kekasihnya!
“Sekurang-kurangnya kita dah mencuba, kan?” ucap Saef perlahan. Macam reda saja nak ceraikan Mikayla sebab hatinya dah tersangkut semula kepada Mariani.
“Sebulan?” ucap Mikayla.
“Hmm?” Saef angkat kening. Tidak faham apa yang dimaksudkan isterinya.
“Sebulan lebih kita dah cakap pasal cerai, kan?”
“Jadi, apa you nak, Kay? I terseksa. You pun terseksa. Kita memaksa diri tentang sesuatu yang kita tak mahu. I faham perasaan tu. I tak sampai hati. I nampak you terlalu stres bila ada dekat dengan I. Since you pun memang nak sangat bercerai... okey, I setuju saja. Ini lebih baik daripada kita saling memaksa,” ucap Saef. Makin tidak faham, perempuan ini juga yang hendak sangat bercerai. Bila nampak Mariani dekat semula dengannya, Mikayla mula tercabar pula.
Mikayla terdiam. Bagaimana dia lupa yang Saef juga terpaksa memaksa diri untuk menerima dirinya. Lelaki ini yang mencuba. Dia tidak pun.
“Sekarang ni I hanya perlu fikir macam mana nak jawab pada ibu bapa kita.” Saef menggaru dahinya.
“Sekejap. I nak ambil air,” ucap Mikayla. Lama nak sembang ni. Tekak pun dah kering. Masakan dia harap Saef pula hidang air untuk dia?
Mikayla kembali semula bersama sebotol oren dan dua gelas. Lelaki itu memandang Mikayla seketika saat wanita itu menuangkan air untuknya.
“I boleh bayar ganti rugi pada you,” ucap Saef lembut.
Mikayla mengerling lelaki itu. Baguslah. Dia rancang nak minta 10 juta terus. Biar padan muka Saef! Ingat senang-senang saja lelaki ini boleh ceraikan dia begitu saja? Biar melopong si Mariani itu setelah si Saef dia pula yang kikis sampai jatuh miskin.
“Senang ya? Rasa macam nak balik kepada yang di sana, you putuskan untuk ceraikan I. Kemudian bayarlah sikit duit supaya I diam,” ejek Mikayla.
Saef diam mendengarkan bicara isterinya itu. Namun keningnya berkerut memandang Mikayla.
“You tak jawab soalan I tadi. Kenapa you sayang sangat kepada Mariani sedangkan dia tak setia? Dia tinggalkan you macam tu saja.”
“Pertama... dia bukan jenis perempuan yang mulutnya kurang ajar,” jawab Saef. Kata-kata itu memang seperti satu tamparan yang sangat kuat kepada Mikayla.
“Tetapi dia ada kelemahan dia tersendiri. Masing-masing ada kelemahan mereka sendiri termasuklah you,” tambah Saef perlahan.
Mikayla teringat filem Johnny English yang sudah ditontonnya beratus kali. Setiap kali Pegasus menyebut tentang Mozambique kepada Ejen English, muka Ejen English akan berubah jadi tidak keruan. Agaknya mukanya pun begitulah jua sekarang ini. Dia pula bercakap jenis tak hormat suami. Jadi, dia harap Saef akan bertabah menerima dirinya begitu saja? Sudah tentu lelaki itu juga punya perasaan.
“Sekarang ni... I dah tak peduli apa orang nak cakap. This is my life. Famili I setuju atau tak setuju pun I dah tak peduli,” ucap Saef.
“Mama you?”
Saef tersenyum.
“I dah cuba tunaikan apa yang dia nak. Ia tidak seindah yang dia bayangkan. Kan? Kalau I teruskan... I kena korbankan kehidupan you. Kalau I tak teruskan, you akan bebas since you tak suka I. I bekas teman lelaki adik you. Kita yang perlu lalui perkahwinan yang tak ada apa-apa ni. Tentang mama I... tahulah I pujuk dia,” ucap Saef dengan senyum mekar. Lagaknya macam orang sedang bahagia.
Mikayla diam dan tunduk. Terkesan dengan bicara Saef seolah-olah sedang memulangkan paku buah keras.
“You rasa dia boleh jadi isteri yang baik?” ucap Mikayla sekadar berbasa-basi.
“I tak rasa. I tak mahu teka. Sesiapa pun mampu jadi isteri yang baik. Nak dengan tak nak saja,” balas Saef lantas bersandar di sofa.
Mikayla memandang Saef lama. Bercerai selepas dua bulan nikah? Itu memalukan. Sudahlah sebelum ini kisah antara mereka bertiga menjadi pokok perbualan orang kampung. Kalau bercerai pula dua bulan selepas nikah, tampak keadaan ini amat teruk sekali.
“Okey. I setuju.”
“You setuju?” balas Saef lembut.
“Tapi... I minta masa sikit.”
“Untuk?”
“I tak mahu keluarga I terus jadi bahan bualan orang. Kalau ayah I tahu, dia akan marah. Masakan baru dua bulan dah nak cerai?” ucap Mikayla.
“Oh, you bimbang kita jadi bahan bualan orang. Okey. Jadi, berapa lama masa yang you minta?”
“6 bulan.”
Saef diam seketika. Memikirkan kewajaran bicara isterinya.
“I setuju syarat you juga dengan syarat.” Saef membalas dengan senyum santai.
“Apa syaratnya? Jangan paksa I duduk dengan you, Saef. I tak nak!”
“No. Bukan itu syaratnya. You jangan ganggu urusan I dengan Mariani. I tak mahu you cakap apa-apa kepada dia tentang I dengan dia. Atau dalam erti kata lain, jangan masuk campur urusan I dengan Mariani. Sepertimana dia, I larang dia masuk campur urusan kita.”
“Itu saja?”
“Yes,” balas Saef lembut.
“Okey.”
Lelaki itu bangun.
“Kita keluar?” ajak Saef. Dia mahu mengajak Mikayla keluar makan.
“Emm... I nak baliklah.”
Saef menoleh dengan pandangan tajam. Membuatkan wanita itu duduk semula.
“Okey. Sekejap aje ya?” ucap Mikayla perlahan. Ajak pergi makan saja pun dia tidak mahu. Bukannya lelaki itu mengajak buat anak!
SESUDAH MASUK ke kereta Saef, mata Mikayla jadi liar. Duk perhati apa-apa yang mengaitkan dengan kehadiran Mariani di dalam kereta ini. Mesti Saef selalu mengajak Mariani menaiki kereta ini ketika mereka tidak selalu bertemu.
Ketika dalam perjalanan, telefon Saef dihubungi ibunya.
“Ya, mama...”
Seketika kemudian Saef mengerling sedikit ke arah Mikayla.
“Saya dengan Kay. Kami nak pergi dinner,” balas Saef perlahan. Macam hendak berbisik lagak lelaki itu.
“Emm... saya tak janji. Saya rasa dia busy,” balas Saef setelah beberapa ketika dia mendengar bicara Puan Sri Zabeha.
“Okey. Mungkin lain kali. Bye,” ucap Saef sebelum dia mematikan talian.
“Apa mama you cakap?” tanya Mikayla.
“Dia ajak kita pergi rumah dia minggu ni. So, I jawab you busy,” balas Saef.
“You tolong jawab untuk I?”
“Dia tanya I. Bukan tanya you. So, I jawablah untuk you.” Saef mengangkat bahu.
“You tak suka I jumpa mama you?”
“I didn’t say that.”
“Jadi, kenapa you cakap I busy?”
“Itu alasan you selalunya bila I nak jumpa you. So, I gunalah alasan yang sama juga bila mama nak jumpa you,” balas Saef.
Tersandar Mikayla dengan lagak selamba Saef.
“You tak nak I jumpa mama you, kan? You takut I cakap dengan dia pasal you dan Mariani.”
“Tak. I cuma tak mahu you memaksa diri buat apa yang you tak nak. Kalau you rasa nak pergi rumah mama I minggu ni, I boleh beritahu dia,” balas Saef.
Telahan Mikayla jauh menyimpang daripada apa yang ada dalam fikirannya. Dia diam pula. Nak ke dia bergaul dengan keluarga mentua? Macam tak nak aje, kan?
“Mana you nak bawa I ni?” tanya Mikayla setelah agak lama lelaki itu memandu. Tak sampai-sampai.
Memang jauh pun restoran yang hendak disinggahi oleh Saef. Perjalanannya saja sudah dekat 1 jam. Nak kata istimewa benar restoran itu, nampak buruk aje.
“Sini sedap makanannya,” ucap Saef.
“Jauhnya?”
“Sebab sedap. I selalu datang sini.”
“Dengan Mariani?”
Saef hela nafas panjang. Malas dia nak layan bicara Mikayla. Aneh. Kedai yang dikatakan selalu dijejaki Saef, agak suram. Ada seorang saja pekerja. Itu pun nak tak nak saja layan pelanggan.
“Teruk betul taste you. Kedai macam ni you kata okey. Pelayan tu senyum pun tak nak,” gerutu Mikayla.
Saef hanya senyum saja. Senyum ada makna.
“Office you dekat dengan Bukit Ceylon. You tahu, I ada suite di tingkat 33 di Ceylonz Suite. I rasa dekat sangat dengan ofis you,” ucap Saef ketika mereka menanti hidangan tiba.
“Jadi?”
“I saja beritahu. Kalau you perlukannya, beritahu I...” balas Saef.
Mikayla memandang lelaki itu.
“Bilik yang you bawa I hari tu ke?”
“Nope. Anak syarikat kami memiliki keseluruhan bangunan tu,” beritahu Saef.
“Oh, I see.”
“Dan bangunan depan tu juga. Ada lagi satu suite di sana. Kalau you perlukan tempat bermalam, you boleh ke sana. You cuma perlu beritahu I.”
Mikayla termangu merenung muka Saef. Apa maksud si Saef? Hendak menayang kekayaan keluarganya supaya dia kagum? Biar hatinya bergolek-golek sukakan Saef sepertimana Mariani?
“So, berapa kali you bawa Mariani ke situ?”
Tersentak Saef mendengar soalan itu.
“Tak pernah. Kalau pernah, dah tentu I kena kahwin dengan Mariani,” balas Saef.
“Ya ke?” Antara percaya dan tidak saja Mikayla memegang bicara itu.
“You rasa I pernah gauli dia?”
“You dah banyak berhabis untuk dia, Saef. Takkan free aje? You pernah pergi ke Itali berdua saja dengan dia. Duduk asing-asing?” balas Mikayla sinis. Lagipun dia tahu, Mariani terlebih dahulu yang beria-ia hendak kahwin. Apa lagi kalau bukan lelaki ini sudah pernah menodai adiknya? Sesudah digauli Saef, sudah tentu Mariani mahu Saef bertanggungjawab kepadanya. Itu andaian Mikayla.
“Kalau I lelaki macam tu, you takkan terlepas daripada I juga,” balas Saef.
“Mungkin sebab I tak ingin nak serumah dengan you. Kalau tidak, adik dapat... kakak pun dapat, kan?” ucap Mikayla dengan riak wajah girang yang dibuat-buat. Terasa mudah sekali dia memenangi perbualan ini.
Saef diam, tidak lagi membalas kata-kata yang menyakitkan hati itu. Apa saja jawapannya pun, Mikayla tidak akan percaya. Percuma saja jika dia menegakkan kebenarannya.
“You cuma perlu biasakan diri dengan mulut I yang jahat ni selama I ada depan mata you,” ucap Mikayla.
Saef tersenyum sedikit tanpa menjawab apa-apa.
“Apa tujuan you beritahu pasal suite tu?” tanya Mikayla seketika kemudian.
“Nothing. I cuma kesian, you selalu balik lambat. Rumah jauh. So, you boleh gunakan bilik tu kalau you perlukan tempat nak berehat yang tak jauh dari ofis,” balas Saef.
Mikayla mengerutkan kening. Tetapi masuk akal juga bicara Saef. Dia memang berharap benar rumah yang dekat dengan pejabat. Buat masa ini dia tidak mampu menyewa kondo sekitar kawasan pejabatnya. Mahal!
“I kadangkala stay di sana kalau I rasa nak bersendiri,” ucap Saef lembut.
“Bersendiri dengan Mariani ke?”
Mengucap panjang Saef dalam hati mendengar bicara Mikayla. Sudahnya dia diam sajalah. Malas nak cakap apa-apa lagi.
Kata si Saef makanan di situ kononnya sedap benar. Bagi Mikayla... biasa saja. Tak ada apa yang istimewa benar. Tapi banyak jugalah dia makan malam itu. Akibatnya, setelah itu... dia terlelap di dalam kereta ketika dalam perjalanan balik.
Mikayla hanya tersedar apabila Saef mengejutkannya.
“Dah sampai?” tanya Mikayla sambil memandang sekeliling.
“Ya, masuklah dalam.”
Mikayla mamai saat keluar dari kereta. Penat dan mengantuk, dia sambung tidur di sofa. Saef terpaku di pintu melihat Mikayla dah sambung tidur. Dia memandang beg tangan isterinya di tangannya. Beg itu diletakkan di atas sofa lain.
Lelaki itu menyelongkar beg tangan Mikayla. Mencari kunci kereta wanita itu. Setelah mendapatkan objek itu, dia menukar kedudukan kereta Mikayla ke dalam ruangan porch rumahnya. Setelah masuk ke dalam rumah semula, kelihatan Mikayla semakin nyenyak tidur.
Saef mendekati isterinya. Wanita itu dikejutkannya.
“Tidur atas,” suruh Saef.
“Esok ajelah. I penat,” gumam Mikayla lantas mengubah kedudukan menghadap sana.
Lelaki itu menghela nafas panjang sebelum dia mencempung wanita itu lalu dibawa naik ke tingkat atas. Mikayla sempat terjaga.
“I nak balik...” ucap Mikayla, baru sedar Saef sedang membawa dia naik ke tingkat atas.
“Esok ajelah. Tadi I kejut, you tak terjaga pun,” balas lelaki itu.
Dapat berbaring di atas katil empuk, hilang kes nak balik. Dia sambung tidur! Saef tersenyum entah kenapa dengan gelagat isterinya itu. Restoran tadi sedap benar masakannya? Dia membongak saja!
“Akhirnya... kena tipu. Kay... Kay. Jinak-jinak merpati,” ucap Saef seorang diri.
Lelaki itu menukar pakaian sebelum dia turun untuk menutup lampu dan memeriksa pintu rumah. Setelah itu dia naik semula ke tingkat atas. Bukan main sakan lagi si Mikayla tidur. Siap peluk bantal.
Saef berdiri seketika memandang sang isteri. Matanya berhenti di punggung Mikayla. Namun seketika kemudian, dia menggeleng kerana teringat yang Mikayla sedang uzur.
Sudahnya lelaki itu berbaring di tempatnya. Saef terlelap. Tidak tahu berapa lama dia terlelap sehinggalah dia terjaga, dia ternampak Mikayla sedang duduk di atas katil. Lelaki itu bangun.
“What’s wrong?” tanya Saef. Sempat memandang jam. Sudah jam 3 pagi.
“Emm... I rasa rimaslah.”
“Kenapa?”
Mikayla diam. Nak cakap dia malu pula. Tetapi kena cakaplah juga.
“Boleh tolong tak?” Nada suara Mikayla begitu mendayu.
“Apa dia?”
“I tertinggal pad di pejabat.”
“Pad?” tanya Saef, tidak tahu apa yang dimaksudkan Mikayla.
“Sanitary pad...”
“Oh, benda tu. So?”
“Boleh tak you pergi beli sekejap?” ucap Mikayla perlahan.
“Okey.” Lelaki itu terus menyelak selimut.
Mikayla pegun di atas katil.
“Tapi... I nak beli yang macam mana?”
“Apa-apa aje pun boleh. Jangan beli banyak sangat. Beli bungkusan yang paling kecil.”
“Okey.”
Lelaki itu terfikir yang benda itu ada di kedai serbaneka 24 jam 7-Eleven. Tidak jauh pun dari rumahnya. Setengah jam kemudian, Saef pun baliklah dengan harta si Mikayla. Namun saat melihat isi di dalam, Mikayla menghela nafas panjang.
Dia memandang ke hadapan sebelum menoleh kepada Saef yang sudah berbaring semula di tempatnya.
“You tahu tak... I kata sanitary pad, Saef.”
“Itu... I dah beli.”
“Yang you beli pantyliner,” balas Mikayla.
Saef memandang isterinya buat sesaat dua.
“So, tak sama?”
“Mana sama!” jawab Mikayla lantas memandang bungkusan itu. Dia menghela nafas perlahan. Hentam sajalah!
“Manalah I tahu. Sebab you kata nak yang kecil aje. So, I belilah yang itu.”
“Whatever,” ucap Mikayla perlahan. Dia kata bungkusan yang paling kecil. Bukan pad jenis kecil. Lelaki itu tidak faham agaknya.
Saef terus memandang isterinya berlalu masuk ke kamar mandi. Dia bangun semula dan keluar. Setelah Mikayla selesai di kamar mandi, dia lihat suaminya tiada di tempatnya.
“Mana pulak dia ni?” ucap Mikayla sendirian. Agak lama kemudian, Saef balik semula ke rumah itu bersama barang yang dipesan Mikayla. Mikayla terpaku. Sanggupnya lelaki itu keluar semula pergi membeli benda alah itu.
“Nah... I dah dapatkan untuk you. I harap kali ni betul,” ucap Saef.
Mikayla terpaku memandang suaminya. Lelaki itu kembali berbaring di tempatnya. Mikayla melihat isi di dalam. Kali itu ada seluar dalam pakai buang juga.
“Siapa cakap dengan you beli benda ni, Saef?” tanya Mikayla lantas menayang sepaket seluar dalam itu.
Saef menoleh semula kepada Mikayla.
“Salah lagi ke?”
“No. I tak pesan benda ni. You belikan. Macam mana you tahu I perlukan ni juga?” tanya Mikayla.
“I cuma tertengok benda tu tadi. I tak pernah tahu pun ada seluar dalam pakai buang. So, I belilah since you tak ada underwear di rumah ni. Dah tentu you perlukan underwear juga,” ucap Saef.
Mikayla hanya menggerakkan keningnya tanda puas hati dengan penjelasan lelaki itu. Saef memandang isterinya lama. Bimbang dia tersalah lagi. Tetapi Mikayla terus ke kamar mandi tanpa berkata apa-apa. Dia anggap isterinya sudah puas hatilah.
Pukul 3 pagi, dia sibuk mandi pula kerana dia tertidur tanpa mandi. Saef menoleh. Mikayla terkejut kerana lelaki itu masih belum tidur dan dia sedang berkemban tuala.
“Boleh tak you pandang sana?” tegur Mikayla.
“You boleh ambil baju I dalam sana,” ucap Saef sebelum dia menarik selimut semula. Buat-buat tidak memandang isterinya itu berkemban. Setelah lelaki itu sambung tidur, Mikayla masuk ke dalam ruangan pakaian. Dia mencari pakaian yang boleh dipakainya. Sudahnya dia mengambil saja sehelai kemeja Saef lalu dipakainya. Dan dia mendapatkan seluar tidur lelaki itu juga.
Mikayla turun ke bawah untuk mencuci pakaian. Pakaian itu sekadar dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk dibasuh dan dikeringkan.
Setelah kembali ke bilik, perlahan-lahan Mikayla kembali duduk di tempatnya tadi. Berharap lelaki itu sudah tidur. Dia berbaring penuh hati-hati dan masuk ke dalam selimut. Sempat dia memandang Saef. Lelaki itu benar-benar sudah tertidur semula.
“YOU BALIK rumah dulu?” tanya Saef pagi itu.
“Tak. I pergi ofis terus. Tak sempat,” balas Mikayla.
Saef angguk saja.
“Take this. Use it if you need new clothes. Get anything you need,” ucap Saef. Dia nampak isterinya mengenakan pakaian semalam. Lelaki itu meletakkan kad kreditnya di atas meja solek.
Mikayla mengerling kad itu. Egonya melarang dia daripada mengambilnya. Tetapi hatinya mahu benar sementelah dia memang memerlukan pakaian lain. Walaupun pakaiannya sudah dicuci, namun dia merasa tidak selesa.
“Kita boleh keluar sarapan sekejap,” ucap Saef ketika di pintu.
Mikayla menoleh kepada suaminya. Sudahnya kad itu diambilnya juga. Rezeki tidak seharusnya ditolak.
Saef sudah menunggu di kereta ketika Mikayla keluar dari rumah. Lelaki itu menurunkan cermin.
“Nak breakfast di mana? Any ideas?” tanya Saef.
“I tak tahu. Ikut you ajelah,” balas Mikayla.
“Okey.”
Mereka bersarapan pagi berhampiran dengan pejabat Mikayla. Lelaki itu memesan telur separuh masak dan roti bakar.
Sementara menunggu pesanannya sampai, Saef memerhatikan isterinya makan. Mikayla mengambil sandwic untuk sarapan paginya.
“You dah plan tak mahu makan tengah hari ke?” tanya Saef sambil memandang apa yang dimakan isterinya itu.
“Macam mana you tahu?”
“You makan sandwic,” balas Saef lantas tersenyum.
Senyuman lelaki itu membuatkan Mikayla segera memandang ke arah lain. Tidak gemar akan renungan lelaki itu.
“I lebih suka kalau kita memandang antara satu sama lain apabila kita berkomunikasi,” ucap Saef.
“I tak berkomunikasi dengan you. I sedang makan sandwic,” jawab Mikayla siap dengan mimik wajah orang meluat mahu bertentang mata dengan Saef.
“Apa I nak buat dengan you ni? Degil. Lagi you degil begini, lagi I suka. You selalu buat I merasa teruji,” ucap Saef lantas tersenyum sedikit.
“Seriously? You rasa I terbuai-buai dengan apa yang you cakap sekarang ni?” balas Mikayla kian menyampah mendengar lelaki itu berkata-kata.
Saef ketawa kecil. Namun tawanya mula memudar apabila pelayan membawakannya hidangan. Lelaki itu mula mengambil telur separuh masak itu lalu diketuk pada hujung telur itu beberapa kali. Cermat membuka kulit telur itu sebelum dia menuang isinya ke dalam mangkuk.
Tanpa sedar, perbuatan lelaki itu diperhatikan Mikayla. Tertib perbuatan Saef menarik perhatiannya. Tidak selalu melihat lelaki yang begitu cermat dalam setiap perbuatannya. Dan Saef mencelupkan roti bakar ke dalam telur itu sebelum roti itu dimakannya.
“I tak bercadang nak diet tengah hari nanti. I suka sarapan pagi yang ringkas seperti ini,” ucap Saef tanpa disuruh. Dia tahu Mikayla sedang memandangnya.
Mikayla kembali menikmati sandwicnya. Buat-buat tidak tertarik sedikit pun dengan sikap dan perangai Saef.
Saef tidak lagi berkata apa-apa. Dia menghabiskan telur dan rotinya dalam masa yang singkat. Seterusnya lelaki itu memandang jam di pergelangan tangannya.
“I rasa I kena gerak sekarang. I tak suka datang lewat ke pejabat,” ucap Saef sebelum dia melambai pelayan.
Hanya Mikayla saja berlama-lama di situ memandangkan pejabatnya hanya beberapa meter saja dari restoran ini.
“Cuma untuk ingatkan you... I tak suka you mabaikan mesej I, Kay.”
“I busy,” balas Mikayla.
Saef memandang wanita itu seketika. Mikayla sekadar tayang muka selamba.
“Keadaan ni akan lebih baik kalau you sudi lembutkan sikit hati you. I tahu you tak suka I. Tak ada sesiapa paksa you tentang itu. Cuma, kita berdua... masih perlu berjumpa sekali-sekala dan berhubung,” tambah Saef lembut.
“Tengoklah. I ni tak suka layan orang di WhatsApp,” jawab Mikayla.
“Just try. Its not that hard. Selagi kita belum bercerai, you still need to respect me as your husband, smart girl. Keadaan itu nanti akan jadi mudah. Talak di tangan suami,” balas Saef sebelum bangkit setelah pelayan datang memulangkan kadnya.
“I pergi dulu. Finish your sandwich,” pesan Saef sebelum dia mengambil kot yang bergantung di penyandar kerusinya.
Mikayla terus memandang lelaki itu berlalu sambil menyarung kot ke tubuhnya.
‘You still need to respect me as your husband...’
Entah kenapa, di telinganya seakan terngiang-ngiang semula bicara itu. Wanita itu tersandar ke kerusinya. Terasa kenyang tiba-tiba.
Dia membuang pandangan. Mengapa lelaki itu seperti tidak tahu rasa marah setelah apa yang dibuatnya selama ini? Dia tidak mengerti.
No comments:
Post a Comment