DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 28 June 2022

Gelisah Asmara - Bab 5


“KAY?” sapa Madaniya saat menjengah kamar si adik. Mikayla berkurung di dalam bilik setelah selesai dipakaikan inai tadi.

“Dia balik?” tanya Mikayla terus. Dia memaksudkan Mariani.

Madaniya menggeleng.

“Ayah ada berbual dengan dia di telefon sekejap tadi. Ayah tak suruh dia balik. Tan Sri Shahrin dah putuskan. Dia tak mahu anak dia kahwin dengan Mariani. Mereka tetap pilih kau,” ucap Madaniya sebelum dia masuk untuk berbual dengan Mikayla.

Mikayla diam. Namun hatinya bagaikan luruh saat ini. Madaniya duduk di birai katil menghadap adiknya itu. Kasihan dengan Mikayla.

“Susah, kan? Tapi Kak Nia harap... asbab Kay berkorban untuk mak dan ayah juga maruah keluarga kita... Allah akan balas dengan sesuatu yang luar biasa,” ucap Madaniya lembut.

“Abang Maleq tak balik?” tanya Mikayla perlahan.

“Dia tak balik,” balas Madaniya rendah.

Air mata Mikayla mahu gugur. Suramnya...  keadaan ini amat suram dan aneh. Dia rasa terseksa begini.

“Kay?” tegur si kakak saat adiknya berdiam.

Mikayla mengangkat pandangan. “Sampainya hati Mar. Tengoklah apa yang dia dah buat. Semenjak dulu, dia suka buat apa saja yang dia suka. Tak fikir orang lain,” ucap Mikayla.

Madaniya hela nafas perlahan. “Ironi, Kay. Kalau dah bukan jodoh dia, mungkin sebenarnya ini semua hanya perjalanannya saja. Mungkin jodoh Kay yang sedang datang sekarang,” balas Madaniya. Tidak mahu Mikayla terus berfikir tentang Mariani.

“Kay tak tahu nak hidup macam mana dengan Saef. Kay rasa asing sangat,” balas Mikayla.

Madaniya menyentuh bahu Mikayla.

“Perlahan-lahan, Kay. Cuba kenali hati budi dulu. Kemudian baru pergi kepada yang seterusnya,” balas Madaniya.

Mikayla membisu memikirkan bicara kakaknya itu. Kata-kata itu tidak ubah, masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

“Jangan banyak fikirlah,” ucap Madaniya lembut. Dia bangun dari situ. Namun sebelum berlalu, dia memandang adiknya itu.

“Kay... fikirkan mak dan ayah. Insya-Allah hati kita akan lapang dalam setiap pengorbanan yang kita buat. Kerana Allah tidak pernah tidur,” pesan Madaniya lembut.

Mikayla hanya memandang kakaknya berlalu. Dia merenung jemarinya yang masih ditempek inai tanda bakal menjadi raja sehari. Tapi hatinya kosong. Tiada langsung rasa teruja. Menikahi lelaki yang tidak diinginkannya tidak pernah menjadi impiannya selama ini.

Malah, demi mahu mengejar kerjaya sebagai peguam, dia sebenarnya pernah berhajat untuk tidak mahu berkahwin pun selama ini! Kerana dia tidak mahu memikul beban sebagai isteri orang. Namun takdir berkata sebaliknya.

 

MIMPI NGERI Mikayla sudah bermula. Di hadapan tok kadi, nama pengantin perempuan

yang dibaca oleh kadi pada borang nikah ialah Mikayla. Sahih! Dialah pengantin perempuan yang dipilih oleh ibu bapa Saef. Lelaki itu hanya tenang saja saat ditanyakan

soalan demi soalan oleh kadi.

Seterusnya kadi itu pergi kepada persetujuan pengantin perempuan. Saef menoleh ke tepi saat kadi itu bertanyakan persetujuan Mikayla untuk bernikah. Seolah-olah mahu mendengar jawapan gadis itu.

“Saya setuju,” jawab Mikayla dalam hati tidak ikhlas. Mimpilah dia untuk menjawab tidak setuju di depan ibu bapanya. Dia tidak mahu menjadi sekeji Mariani.

Saat menunggu kadi menyelesaikan urusan wali, Mikayla terpandangkan Acik Senah yang duduk tidak jauh daripadanya. Wanita itu tersenyum simpul sambil berbicara dengan seorang wanita lain. 

‘Ni orang tua ni punya pasallah ni. Sibuk sangat pasal jodoh aku. Kan aku dah kena kahwin,’ gerutu hatinya. Jiran sebelah rumah ayahnya pun disalahkan juga oleh Mikayla. Entah dari mana Acik Senah itu tahu Saef ada adik-beradik lelaki yang belum kahwin. Saef mana ada abang atau adik lelaki! Dia cuma ada dua adik perempuan saja.

Mikayla hela nafas panjang saat ayahnya mula menjabat tangan Saef.

“Wahai Saudara Ahmad Saef Haris Bin Ahmad Shahrin...”

“Saya.”

“Aku nikah dan aku kahwin akan dikau dengan anakku, Mikayla Nur Julita Binti Mohamad Masmudin dengan mas kahwin 5 ribu ringgit dan sebentuk cincin.”

“Aku terima nikah Mikayla Nur Julita Binti Mohamad Masmudin dengan mas kahwin 5 ribu ringgit dan sebentuk cincin.”

“Sah?” tanya kadi kepada saksi-saksi nikah.

Elok saja saksi nikah menyebut sah... Mariani pun muncul kononnya hendak menghalang pernikahan itu. Namun sayangnya, sudah terlambat. Mikayla sudah menjadi isteri Saef. Keadaan jadi kecoh seketika setelah Mariani muncul.

Saef hanya menoleh sedikit saat Mariani terjelepokdi belakangnya. Menangis sayu.

“Mar minta maaf, abang. Mar tak bermaksud nak biarkan abang macam tu aje. Mar nak kahwin dengan abang,” ucap Mariani sambil menangis.

Saef hanya diam mendengarkan itu. Pak Cik Mohamad terpaksa menarik Mariani agar tidak membuat drama air mata di situ sementelah ramai tetamu di situ. Puan Sri Zabeha memandang Mariani dengan pandangan tajam. Benar-benar tidak suka dengan perbuatan Mariani yang dilihatnya seperti memburukkan keadaan.

Saef hanya tenang dengan drama sebabak yang dibuat oleh Mariani. Lelaki itu bangun mendekati isterinya bersama cincin nikah dan mas kahwin yang sudah dihias di atas dulang hantaran.

Punyalah malu Mikayla. Dia rasa semua orang yang menyaksikan sedang memandangnya dengan andaian dialah perampas tunang adik sendiri. Habislah heboh sekampung nanti.

“Tangan tu, Kay?” tegur si ibu saat Mikayla pegun di hadapan Saef.

“You pun nak buat drama supaya orang mengata kita lebih banyak?” ucap Saef hanya untuk pendengaran Mikayla.

Spontan Mikayla menghulurkan tangannya kepada Saef. Lelaki itu memandang Mikayla seketika sebelum menyarung cincin ke jemari gadis itu. Saat tunduk cium tangan suami, dia hanya lekap dahinya di tangan Saef. Dia tak cium pun! Saat Saef hendak cium dahi, dia tunduk lebih bawah supaya tidak kena di dahi.

Namun lelaki itu menaikkan dagu Mikayla. Dahi sang isteri dikucupnya. Sabar... walaupun gadis ini tergamak memalukannya. Lelaki itu sempat menggeleng kesal saat mereka berpandangan.

“Tak suka pun, janganlah tunjukkan sangat,” ucap Saef hanya untuk pendengaran Mikayla.

Mikayla diam mendengar bicara lelaki itu. Sipi-sipi dia dapat melepaskan diri daripada dikahwin paksa. Sudahnya ibu bapa Saef pula jadi penghalang.

Kenduri kecil diadakan selepas acara nikah sebelum majlis besar yang akan diadakan pada esok hari. Mikayla terus masuk ke bilik setelah selesai segala upacara selepas nikah. Duduk di birai katil... dia tidak tahu mahu buat apa saat ini. Dia malu untuk tunjuk muka depan orang. Dia rasa janggal sangat dengan Saef. Malah dia rasa lebih canggung kerana Mariani ada di rumah ini.

“Kay?” suara si ibu kedengaran mengetuk pintu.

“Ya, mak?” Mikayla menanggalkan selendang di kepalanya sebelum mendapatkan ibunya.

“Makan sekali? Saef nak makan tu.”

“Mak, tak naklah makan dengan dia. Nanti dia dah balik, Kay makanlah.”

“Dia suami kau. Kau nak lari mana lagi?”

“Nanti kalau Mar nampak macam mana?” tekan Mikayla.

“Macam mana apa? Macam tulah. Dia kena terima... Saef tu suami kau.”

Melorot jatuh bahu Mikayla. Kalaulah sesenang itu!

“Mak, Kay tak naklah. Suruhlah Mar temankan dia. Kay tak sukakan dia sikit pun,” rungut Mikayla.

“Astaghfirullah... kau dengan Mariani memang minta mak dan ayah ni mati cepat ya? Kau nak suruh adik kau temankan suami kau? Mana otak kau dah pergi, Kay?” ucap Mak Cik Mariam. Tidak cukup Mariani memalukan mereka tadi, Mikayla lebih kurang juga.

Muram muka Mikayla. Sudahnya dia keluar juga dalam keadaan hati benar-benar mahu menjerit. Dia pergi mencari Saef. Lelaki itu menoleh saat dia mendekat. Lelaki itu hanya buat muka selamba saat Mikayla duduk di sebelahnya.

“Makan?” si Saef pula yang pelawa Mikayla makan.

“I tak selera sangat,” balas Mikayla perlahan.

“Makanlah sikit. Nanti bertambah tak ada isi,” ucap Saef lantas dia terbalikkan pinggan di atas meja. Mangkuk nasi dibawa dekat kepada isterinya.

“I kena panggil you apa ya?” ucap Mikayla saat memandang lelaki itu.

Spontan Saef membalas pandangan Mikayla.

“Abang...” jawab Saef.

“Bukan Mar pun panggil abang ke?”

“Berjuta wanita Melayu dalam Malaysia ni panggil suami dia abang,” ucap Saef.

Mikayla diam sambil terus memerhatikan lelaki itu menyenduk nasi ke dalam pinggannya.

“Cukup nasinya?” tanya Saef.

“Cukup. Biar I buat sendiri,” ucap Mikayla mengambil bekas air basuh tangan.

Lelaki itu bangun apabila ada seorang lelaki datang untuk bersalaman dengannya sebelum pulang. Saef meninggalkan kerusinya lalu menemani lelaki tua itu ke depan. Mikayla terus memandang gelagat suaminya. Entah apa yang diucapkan Saef kepada orang tua itu. Tampak layanannya agak mesra.

Kemudian lelaki itu kembali semula ke kerusinya. Mikayla buat-buat tidak memandang.

“Kita tak pernah bincang tentang apa rancangan kita selepas ni,” ucap Saef.

“Oh, ya? Rancangan apa tu?” balas Mikayla sambil makan.

“Mungkin you nak pindah duduk rumah I?” Spontan Mikayla memandang Saef.

“Oh, pasal tu...” Dia mula tak lalu nak makan.

Emm... apa kata kalau you bagi I masa. I belum kemas barang semua. I pun sekarang busy sikit,” ucap Mikayla mula nak mengelak.

“Berapa lama masa tu?” tanya Saef.

“Mungkin beberapa bulan. Banyak barang nak kemas ni,” ucap Mikayla lagi.

Saef terus memandang gelagat isterinya. “You cuba perbodohkan I ke, Kay?”

“Isy! Mana ada...” Mikayla buat-buat selamba.

“Takkanlah kemas barang boleh sampai beberapa bulan?” balas Saef.

Mikayla diam seketika. “Okey. I tak nak pindah, Saef.”

“Okey. Kalau macam tu I pindah duduk dengan you.”

No! You tak faham ni. I tak nak duduk serumah dengan you.”

Saef terpempan mendengar jawapan Mikayla. Mikayla sambung makan.

“Kenapa?” tanya Saef seketika kemudian.

“I tak nak. Kalau I dah cakap I tak nak, memang I tak nak. Sekarang ni I rasa nak salin kulit dengan Mariani supaya I tak perlu duduk sebelah you dalam keadaan I tak suka. Kan senang kalau parents you terima saja Mariani semula berbanding paksa I buat apa yang I tak nak. Kenapa nak sulitkan keadaan? Mariani memang nak kahwin dengan you!” jawab Mikayla. 

Saef hela nafas panjang mendengar itu. Dia berdiam. Tidak lama kemudian Saef bangun setelah ternampak ibu dan ayahnya macam hendak beredar. Dia meminta orang tuanya pulang terlebih dahulu bersama ahli keluarga mereka yang lain.

“Kenapa tak balik?” tanya Mikayla saat Saef datang semula kepadanya.

Saef tidak menjawab, sebaliknya matanya terpaku ke satu arah. Seketika kemudian, Mikayla turut mencari apa yang dipandang suaminya. Mariani sedang berdiri di ambang pintu utama sambil memandang mereka di bawah khemah.  

So sweet,” ejek Mikayla saat melihat kedua-dua manusia itu berpandangan.

Saef mengalihkan pandangan kepada isterinya. Dia diam saat Mikayla memandangnya. Dia tahu Mikayla sedang meneka reaksinya setelah dia berpandangan dengan Mariani tadi. 

“You nak borak dengan dia pergilah. I tak kisah. I lebih suka kalau dia yang layan you supaya you tak lonely,” ucap Mikayla selamba.

Lelaki itu memandang Mikayla dengan pandangan tajam.

“I tak pernah jumpa perempuan sebodoh you,” ucap Saef agak tajam menyebabkan riak wajah Mikayla berubah.

“You boleh paksa I kahwin dengan you. Tapi I tak boleh paksa diri I untuk sukakan bekas teman lelaki adik I,” ucap Mikayla tajam.

“I malas nak layan youlah, Kay.” Saef terus bangun dan berlalu.

Mikayla terus memerhatikan Saef dengan rasa sakit hati. Lelaki itu duduk di kerusi kosong menghadap ke luar khemah. Saef meraup wajahnya. Terfikirkan mengapa ibu dan ayahnya membuat pilihan seperti ini sehingga mengakibatkan dia dan Mikayla terperangkap dalam perkahwinan yang tidak diinginkan.

Sekarang bukan sekadar Mikayla... dia sendiri merasa terseksa sendirian. Ia tidak semudah yang dibayangkan oleh mamanya.

Agak lama mereka berdua bawa haluan sendiri di bawah khemah itu. Sebetulnya Saef mengharapkan dia akan bermalam di rumah ini malam ini. Dia mahu pulang ke penginapan ibu bapanya malam esok. Sayangnya hubungan dia dan Mikayla agak tegang saat ini.

Sudahnya Saef pergi mencari mentuanya. Meminta diri untuk pulang ke penginapannya. Pak Cik Mohamad sempat memeluk menantunya itu. Dia tahu menantunya ini tidak gembira bersama Mikayla. Dia sedih kerana anak-anak perempuannya sudah terlalu banyak menyusahkan Saef.

“Tidurlah sini semalam.”

“Jangan, ayah. Kita tak perlu sangat ikut resam. Terutama dalam keadaan macam ni. Biar keadaan tenang dulu,” ucap Saef.

Pak Cik Mohamad mengangguk setuju.

“Ayah harap Saef dapat pujuk Kay,” ucap Pak Cik Mohamad setelah itu.

“Insya-Allah, hati dia milik Allah,” balas Saef lembut.

“Saya balik dulu, ayah...”

“Yalah.”

Saef terus berlalu. Mikayla mengerut kening saat lelaki itu pergi tanpa menegurnya. Seorang manusia memerhati dari tadi. Dia bersorak suka dalam hati.

‘Nak sangat kahwin dengan Kay. Dia tak tahu Kay tu anti lelaki. Tak reti layan lelaki. Padan muka kau, Saef. Aku tahu... lama-lama kau akan balik juga pada aku,’ desis hati Mariani sendirian.

No comments:

Post a Comment