DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 27 September 2022

Cinta Atas Paksa - Bab 8


ADRA menahan Daffa dengan tangan kanannya. Langkah lelaki itu terhenti. Daffa memandang dengan pandangan yang tajam menikam.

“Sepatutnya tak payah cakap apa-apa dekat emak saya. Itu yang kita janji, kan?” Adra bersuara dengan suara yang ditahan supaya tidak didengari oleh sesiapa.

Daffa tersenyum sinis.

“Aku tak pernah berjanji apa-apa dengan kau kecuali... untuk tidak akan lepaskan kau sampai bila-bila, Adra...” sambung Daffa.

Adra membalas renungan lelaki ini.

“Jadi dengan beritahu perbuatan kotor awak tu dekat emak?” Adra seakan menambah bara pada api yang sedang marak.

“Kau jangan ingat kau dah balik sini, kau akan selamat. Kalau aku kata aku takkan lepaskan kau, aku takkan sesekali biarkan kau terlepas!” Tangan Daffa menampar kuat dinding di belakang gadis itu.

Adra tersentak. Bibir diketap dan mata masih melawan pandangan tajam Daffa.

“Saya akan lepaskan diri saya daripada awak Encik Daffa. Kuat macam mana pun tali yang awak cuba ikat sekeliling diri saya, kuat lagi saya untuk putuskan ikatan tu!” Adra menolak dada Daffa sebelum melangkah pergi dari situ. Hatinya panas! Sudah jelas bukan dia pengantin yang dinikahi lelaki itu, kenapa masih tidak mahu lepaskan dia?

Adra melangkah ke dapur, hati yang panas perlu disejukkan. Baru hendak menapak masuk ke ruang dapur, suara-suara yang sedang berbincang itu memberhentikan langkahnya. Adra memasang telinga.

“Macam mana ni mak, angah? Dah viral kata bukan culik tapi lari dengan lelaki.” Qayla bersuara sambil tangannya masih lincah di skrin telefon.

“Betul tu, kawan-kawan kita orang pun asyik tanya je. Kami tak tahu nak beritahu apa. Sebab tu kami tanya mak dengan angah ni.” Azhar dan Puan Halimah saling berpandangan.

“Angah... mak pun tak tahu nak buat apa. Macam mana sekarang ni?” Puan Halimah resah. Kepalanya masih memikirkan hal yang berlaku antara Daffa dengan Adra sewaktu Adra dilarikan.

“Macam mana orang boleh tahu Adra dah balik?” Azhar kembali menyoal.

“Macamlah angah tak tahu, kawasan rumah kita ni kan ramai mak cik, pak cik bawang. Sekejap aje boleh viral.” Qayla membalas.

“Angah pun tak tahu nak buat macam mana, orang memang suka jaja cerita macam ni. Kita tak payah pedulilah. Beritahu aje dekat kawan korang tu yang Kak Adra sudah selamat balik rumah.” Azhar buntu.

“Mana boleh, ngah. Esok-esok diaorang dapat tahu yang larikan Adra tu suami Adra, tak ke diaorang kata Adra kahwin lari? Kahwin tanpa pengetahuan keluarga. Sudahnya Adra yang dapat malu.” Puan Halimah menambah. Riak wajahnya jelas menunjukkan dia gundah.

Azhar mengeluh perlahan. “Mak, jangan fikir jauh macam tu. Mulut orang ni mak, payah kita nak tutup. Kalau tutup macam mana pun diaorang pandai pula buat cerita sendiri. Habis tu, takkan kita nak kahwinkan Adra dengan Daffa?”

Adra yang mendengar, mengetap bibir dengan mata dipejam. Air mata mengalir perlahan-lahan di pipi. Kalau dulu dia menyenangkan keluarga dan sentiasa membawa berita gembira namun kini dia menjadi arang yang menconteng wajah keluarganya. Walaupun bukan atas kehendak diri sendiri namun rasa bersalah tetap menyelubungi diri.

See... even the world won’t let you get away from me.

Bisikan sinis itu begitu rapat di telinga Adra sehinggakan terasa hembus nafas lelaki itu di cuping telinganya. Adra kalih ke belakang. Wajah Daffa begitu hampir dengan wajahnya, terus sahaja dia menapak ke belakang, menjauhi Daffa. Lelaki itu mengukir senyuman penuh dendam. Adra yang ketakutan, terus sahaja berlari ke biliknya.

‘Betulkah semua orang pun takkan benarkan aku terlepas daripada dia? Ya Allah, bantulah aku!’ rintihnya dalam hati.

 

KENDURI KESYUKURAN itu berjalan dengan lancar dan meriah dengan kerjasama yang diterima daripada pihak surau taman perumahan dan saudara-mara. Sejak jam 7 pagi lagi, mereka semua sudah bersiap sedia untuk kenduri yang diadakan selepas zuhur.

Semua yang hadir mengucapkan syukur atas sekembalinya Adra ke sisi keluarga. Diculik atau tidak, mereka sekeluarga putuskan untuk mendiamkan sahaja, tidak mahu hal ini kecoh sebelum diselesaikan terlebih dahulu.

Selesai majlis, ada pula mulut-mulut yang berbunyi apabila melihat kehadiran dua orang lelaki yang mereka tidak pernah lihat sebelum ini. Bak kata Qayla, geng bawang ramai di sini. Puan Halimah mengambil jalan mudah dengan menyatakan lelaki itu bakal menantunya nanti. Dia turut memberikan alasan yang sama kepada saudara-mara yang bertanya. Cukuplah alasan itu untuk menutup mulut mereka, takut juga kalau-kalau ada hal lain yang timbul. Alasan itu dirasakan sudah cukup kuat buat masa ini.

“Encik Daffa,” panggil Adra.

Daffa ketika itu sedang berborak dengan beberapa orang saudara-mara lelaki Adra.

“Amboi Adra ni, dah nak jadi suami masih berencik-encik.” Salah seorang daripada saudaranya mengusik.

Daffa sekadar tersenyum dan meminta izin untuk berlalu dari situ.

“Kenapa?” soalnya saat menghampiri Adra.

“Mak panggil, Ustaz Ilyas dah tunggu kita dekat ruang solat.” Adra berkata sambil menuding jari ke arah ruang solat di tingkat atas.

Daffa hanya mengangguk perlahan. Dia membuntuti langkah si gadis.

“Apa-apa pun jadi selepas ni, kau tetap isteri aku, ingat tu!” Sebaik sahaja mereka tiba di ruang solat, Daffa bersuara perlahan, cukup untuk didengari oleh gadis itu.

Adra tidak mampu bersuara, bibirnya bagai terkunci. Hanya mata yang memandang sekilas ke arah Daffa yang telah pun melangkah ke arah Ustaz Ilyas yang sudah menunggu mereka.

“Puan Halimah sudah jelaskan permasalahan ini. Jadi saya akan cuba jelaskan status hubungan kamu berdua, iaitu sama ada sah atau tidak pernikahan ini.” Ustaz Ilyas memulakan bicaranya. Dia kemudian membelek dokumen-dokumen nikah yang berada di tangannya.

“Daripada kes kamu berdua, kalau kita lihat secara kasar, pernikahan kamu berdua ini adalah tidak sah.”

Daffa mengeluh lemah dengan kata-kata yang diucapkan oleh ustaz itu.

“Hal ini kerana, Adra mengatakan dia tidak tahu dan tidak berada di situ waktu majlis akad nikah dijalankan. Dalam kata lain, pengantin perempuan atau bakal isteri tidak wujud. Dalam rukun nikah ada 5 perkara yakni; bakal suami, bakal isteri, ijab dan kabul, wali dan saksi. Kes kamu berdua ini, salah satu daripadanya tiada iaitu bakal isteri. Secara kasar, pernikahan tersebut adalah tidak sah.” Semua yang mendengar penjelasan Ustaz Ilyas ketika itu mengucap panjang dan beristighfar. Adra bersorak riang dalam hati.

“Faham setakat ini?” Ustaz Ilyas menyoal kepada Daffa dan Adra yang berada di hadapannya. Mereka berdua mengangguk perlahan tanda faham.

“Kemudiannya, yang mengelirukan di sini ialah Encik Daffa ni menyatakan bahawa Adra ada ketika majlis itu dijalankan. Beliau nampak dengan kedua-dua matanya sendiri dan Encik Nabil yang turut berada dalam majlis tersebut menjadi saksi kepada Encik Daffa. Jadi saya inginkan penjelasan sebelum membuat keputusan. Adra betul ke kamu tidak menyertai majlis dan langsung tidak tahu tentang majlis akad nikah kamu itu?” soal Ustaz Ilyas serius.

“Betul ustaz. Saya memang tidak tahu langsung tentang majlis pernikahan itu, saya memang tiada di situ. Pada hari dan waktu pernikahan itu, saya berada di UTM Skudai untuk semester akhir pengajian saya.” Adra cuba menjelaskan dan membuktikan bahawasanya dia tiada dan tidak terlibat langsung dengan pernikahan yang dikatakan itu. Daffa yang berada di sebelahnya, hanya mendengar dan sesekali mengangguk kepalanya.

“Adra tiada di situ. Jadi saya mahu tanya Encik Daffa dan Encik Nabil pula, betul kamu berdua nampak Adra di situ?”

Daffa menarik nafas sedalam-dalamnya.

“Begini ustaz. Sewaktu majlis akad nikah tu, semua rukun nikah dipenuhi. Saya sebagai bakal suami, Adra juga ada sebagai bakal isteri, ada ayahnya sebagai wali dan dua orang saksi yang waktu itu mengaku sebagai ayah saudara kepada Adra. Oleh itu, majlis akad nikah dijalankan dan selesai dengan lancar. Akan tetapi, saya dan Nabil tidak melihat rupa paras pengantin perempuannya sebab pada majlis itu, bakal isteri saya memakai niqab.”

“Saya pada awalnya juga bertanya mereka kenapa dia menutup muka, jawapan daripada pihak perempuan mengatakan dia memang berniqab. Jadi saya biarkan sahaja. Jadi saya dan Nabil tidak dapat memastikan bahawa pengantin perempuan itu Adra ataupun tidak, sebabnya kami tidak melihat mukanya dengan jelas.” Daffa menjelaskan panjang lebar. Nabil juga turut menyokong pernyataan yang dikeluarkan oleh Daffa itu.

“Jadinya, kita boleh katakan kita tidak tahu atau tidak pasti siapa di balik niqab tersebut. Adra mengatakan bukan dia yang menjadi pengantin perempuan dan Encik Daffa sendiri tidak dapat membuktikan sama ada pengantin perempuan itu Adra ataupun bukan. Itu yang mengelirukan. Namun jelas di sini, pernikahan tersebut adalah sebuah penipuan yang mungkin dijalankan oleh ayah kepada Adra. Kita tak boleh nak menuduh sebab belum dibuktikan lagi, betul?” Ustaz Ilyas meminta kepastian.

“Saya sendiri takut nak terus mengesahkan sama ada sah atau tidak pernikahan kamu berdua atas sebab beberapa kekeliruan yang berbangkit. Apa yang penting di sini adalah membuktikan bahawa Adra tidak berada di majlis tersebut dan membuktikan pernikahan tersebut adalah sebuah penipuan yang dirancang. Ada konspirasi sebaliknya kita kata. Jika terbukti apa yang dikatakan oleh Adra benar, jadi pernikahan ini adalah tidak sah.” Ustaz Ilyas memberi penjelasan, namun Daffa masih dalam kekeliruan.

“Jadi kiranya pernikahan saya dan Adra tidak sah?” soal Daffa penuh ragu.

“Kalau diikutkan begitulah. Akan tetapi kes ini belum selesai, pihak Adra sendiri perlu buktikan dia bukan pengantin perempuan pada hari nikah tersebut. Nasihat saya, Encik Daffa pergi ke pejabat agama di Melaka dan cuba sahkan dokumen nikah ini dan semak semula pendaftaran nikah. Zaman berteknologi sekarang ini, dokumen nikah pun boleh digunakan untuk menipu. Selepas itu, cari imam yang menikahkan kamu berdua waktu itu. Mungkin boleh selesaikan hal ini dengan mudah dan cepat.” Ustaz Ilyas cuba membantu sebaiknya mencari jalan keluar kepada permasalahan ini.

“Sebelum kamu selesaikan masalah dan kekeliruan ini, kamu berdua perlu dipisahkan dahulu. Tidak boleh bersama sebelum status pernikahan kamu berdua disahkan. Itu yang sebaiknya.” Ustaz Ilyas memberikan kesimpulan akhir dan nasihat bagi situasi mereka berdua ketika ini.

Adra yang sedari tadi hanya mendengar dan mengangguk, kini cuba bersuara.

“Terima kasih ustaz. Insya-Allah saya akan buktikan saya tidak bersalah dan memang tiada di situ.”

Daffa yang mulanya berbincang sesuatu dengan Nabil, terdiam dan terus memandang ke arah Adra setelah mendengar gadis itu bersuara. Adra turut memandang ke arah Daffa. Pandangan mereka bertaut seketika sebelum Adra melarikan pandangannya.

‘Saya akan pastikan awak menjadi isteri saya yang sah!’ Pandangan sesaat itu seolah-olah punya suara yang datang dari hati Daffa. Di telinga Adra masih terngiang-ngiang suara Daffa yang tidak akan melepaskan dirinya walau apa pun yang terjadi. Hati Adra menjadi kecut, pernyataan lelaki itu seakan penuh tekad!

Selepas perbincangan selama sejam itu, Ustaz Ilyas terus pulang sebelum menasihati mereka berdua supaya sabar menghadapi ujian itu. Kata-kata ustaz sebelum beransur pulang masih terngiang-ngiang lagi.

“Mungkin ini petunjuk daripada Allah, dari tidak kenal jadi kenal. Jodoh di tangan Allah, terus berdoa kepada-Nya. Insya-Allah semua akan selesai dengan mudah.”

 

No comments:

Post a Comment