“JADI tak mahu ragu-ragu sayang, aku tetap di sini. Dan aku tahu-tahu sayang, engkau aku cintai...” Lunak merdu suara Wilda pada pagi hari cutinya itu.
Wilda bernyanyi-nyanyi riang di taman bunganya. Kejadian dua hari lepas lekas dilupakannya. Kalau diingat-ingat, tidak jadi kerja pula nanti. Sasarannya pada hari cutinya ini ingin bersantai-santai di taman bunganya.
Sebelum ini, tidak wujud pun taman bunga itu. Hasil sentuhan tangannya yang sejuk, inilah buktinya. Bunga-bunga di taman itu mekar berkembang. Indah pemandangan laman Vila Perwira. Bapa mentuanya pulang nanti pasti akan kagum.
Oh, bapa mentuanya itu berada lama di Tokyo. Sekali-sekala ada juga menelefon mereka. Katanya mahu menangkap cinta dua dekadnya semula. Wah, mengaku sahajalah mahu mengurat bekas isterinya semula!
Mata Wilda seronok melihat bunga-bungaan itu. Tuaian hasil berkebun, bunga-bunganya kembang mekar. Tiba-tiba, kedengaran satu dehaman dari arah belakang. Lantas mematikan lamunannya.
Wilda pantas menoleh ke belakang. Eh, Furqan hanya memakai baju-T sahaja? Tidak ke pejabatkah? Yalah, kadangkala hujung minggu seperti ini suaminya itu tidak lekat di rumah. Sibuk sentiasa.
Furqan mara ke hadapan. Jarak mereka hanya dua tapak sahaja.
“Abang tak kerja hari ni?” Wilda menyuarakan kepelikannya. Furqan nampak kasual dengan tangannya diseluk ke dalam poket. Pagi itu dia menggayakan Puma tracksuit dan baju-T Ralph Laurent.
Lambat-lambat Furqan membalas jawapan itu.
“Cuti seminggu. Minggu depan jadual padat, perlu ke luar negara.” Furqan melangkah dan berdiri di sebelah Wilda. Bahu mereka bersentuhan. Bagai dikejutkan arus elektrik, masing-masing kejung berdiri tegak. Akhirnya, seorang pandang kiri dan seorang pandang kanan. Jantung dup dap dup dap...
“Saya nak ikut boleh?” Niat ingin mengusik suaminya.
“Jomlah. Kita honeymoon sekali.”
Erk! Laju pula balasannya.
“Lama sangatlah, abang. Saya kerja.”
Jeda.
“Abang nak tolong Wilda tanam bunga tak?” Wilda bertanya.
Tiba-tiba, Furqan tergelak. Menampakkan gigi taringnya. Polos pelawaan itu. Dia memandang wajah isterinya lalu dia mengangguk setuju dengan idea itu. Magisnya hidup suami isteri yang Allah ciptakan. Perkara yang dia tidak pernah buat pun dia rela hendak belajar.
“Bab-bab bercucuk-tanam ni abang zero.” Furqan mencekak pinggangnya. Bersedia mahu berkebun bersama isteri tercinta.
“Bereh, boh! Meh sini biar sis ajarkan,” seloroh Wilda. “Mula-mula, abang kena pakai sarung tangan sebagai precautionary step. Ada dalam stor. Oh, ya! Abang tolong bawa keluar benih cili merah sekali. Yang berkarung transparent tertulis ‘benih cili merah’. Dekat plastik pembalutnya ada tulis.” Wilda menolak perlahan belakang tubuh Furqan. Meminta suaminya itu bergerak ke stor vila.
Keluar sahaja Furqan bersama karung benih, dia terpandangkan isterinya sedang terbongkok-bongkok menahan kesakitan. Tanpa berlengah, dia memecut tidak cukup tanah mendapatkan tubuh itu. Karung benih dicampaknya jatuh, berderai atas tanah. Bertaburan benih-benih itu. Isterinya kini keutamaannya.
“Kenapa sayang? Kenapa ni?” Kepala isterinya diusap-usap perlahan.
Senyap.
“Cakaplah, kenapa ni?” Furqan bertanya lagi. Dia bimbang.
Wilda terharu bercampur sakit. Tanpa pamit, Furqan mencempung tubuh isterinya dan terus membawa masuk ke ruang tamu vila. Tubuh isterinya dibaringkan perlahan-lahan di atas sofa three seater. Dia mengamati wajah itu. Mata isterinya direnung lembut.
Dua pasang mata bertentang. Panahan rasa yang penuh dengan cinta. Hilang segala rasa sakit yang Wilda rasa. Tanpa diduga, bibir lembapnya dijamah Furqan. Lama. Tersipu-sipu dia. Wajah suaminya sangat dekat. Namun, dibiarkan sahaja perbuatan lepas laku sang suami kepadanya.
‘Abang dah jatuh sayang pada Wilda sepenuhnya ke?’ bisik hati kecil Wilda.
Furqan meraih isterinya ke dalam pelukan. Erat.
Wilda menyembunyikan senyuman bahagianya. Tanpa diduga, dahi suaminya dicium dengan berani. Sekejap cuma.
Tergamam Furqan dek tindakan berani isterinya itu. Sudah legakah kesakitan yang dialami isteri sebentar tadi? Kerana kasih, isterinya sanggup menerima baik buruk perangai nakalnya. Sanggup menunggu dia berubah pendiriannya. Lebih tepat egonya yang tidak mahukan zuriat.
Pelukan di tubuh sang isteri semakin dikemaskan. Rasa cinta mengalir hebat dalam hati.
“Abang... benih cili tadi macam mana? Wilda nampak tadi abang dah teraburkan. Habislah kawasan tanah tu semua tumbuh cili nanti...” Wilda merengek manja dalam pelukan suaminya.
Furqan tergelak. Dia kelam-kabut tadi. Gara-gara mahu menyelamatkan Wilda, dicampaknya bungkusan benih itu di atas tanah. Tidak pasal-pasal berteraburan kesemuanya.
“Let it be...”
No comments:
Post a Comment