DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 27 September 2022

Cinta Atas Paksa - Bab 9


PUAN Halimah mendekati Adra yang masih duduk di penjuru ruang solat sendirian.

“Adra sedih?”

Adra mengerut keningnya. “Taklah, kenapa mak cakap macam tu?”

Puan Halimah sekadar tersenyum, lalu duduk di sebelah anaknya.

“Mana tahu sedih sebab tak jelas lagi, sudah bergelar puan atau tidak.” Puan Halimah sekadar mengusik puterisulungnya itu.

“Ada pulak macam tu... Adra tak pernah terfikir nak kahwin pun mak. Adra cuma fikir kenapa Adra jadi mangsa dalam hal ni?” tutur Adra perlahan dan lirih.

Puan Halimah lantas memeluk puterinya itu seeratnya.

“Ujian Allah. Ini ujian buat Adra. Jangan mengeluh, jangan pernah putus asa dengan rahmat Allah. Teruskan berdoa ya sayang.” Dia cuba memujuk hati anaknya itu, walaupun dalam kepalanya juga memikirkan hal yang sama.

Adra sekadar mengangguk dan membalas pelukan ibunya.

“Kenapa ya mak, semua orang macam tak percayakan Adra?”

Puan Halimah memandang anaknya dengan riak hairan. “Kenapa cakap macam tu?”

“Yalah, jelas pernikahan kami berdua tak sah, sebab Adra tak ada kat situ dan Adra memang tak tahu langsung hal nikah tu. Tapi semua suruh Adra buktikan, perlu ke?”

“Secara kasar memang tak sah. Tapi nikah kahwin bukan isu ringan, sayang, kalau ada bukti lagi mudah nak hilangkan kekeliruan yang ada. Jangan cakap macam tu, mak  percayakan Adra. Along dengan angah pun percaya. Daffa pun percaya tetapi bila suatu kekeliruan timbul, maka perlu ada sesuatu yang kukuh untuk menyelesaikan kekeliruan tersebut. Dah jangan fikir macam tu, mak tak suka,” jelas Puan Halimah. Sebagai ibu, dia memahami apa yang dilalui puterinya itu. Di awal umur meningkat dewasa, Adra diuji dengan ujian sebegitu. Anak gadisnya mungkin belum cukup matang untuk menghadapinya, namun tiada ujian yang diberikan di luar kemampuan mereka, itu diyakininya.

Hati Adra terjentik geli hati mendengar kata-kata emak yang Daffa juga percaya akan dia. Percaya? Lelaki itu hanya percaya yang dia akan dapat membalas dendam atas

apa yang berlaku kepada keluarganya.

 

LEWAT PETANG itu, Daffa dan Nabil sudah bersiap untuk pulang ke Ipoh. Banyak perkara lain yang harus dilakukan. Hal pernikahannya sahaja belum lagi mendapat jawapan akhir yang tepat. Sebelum meminta diri, Daffa mahu berbicara berdua dengan Adra.

“Kau dengar kan apa yang aku bisikkan dekat kau tengah hari tadi?” soal Daffa. Dia kembali dengan sikap singa jantannya itu.

Adra yang berpeluk tubuh sekadar mengangguk.

“Saya belum pekak,” Adra membidas.

“Aku nak kau simpan dalam kepala otak kau tu setiap kata-kata aku. Sekali aku lafaz, aku takkan lepas.” Daffa bersuara tegas.

“Kalau pernikahan kita tidak sah, apa Encik Daffa nak buat?” soal Adra. Sengaja menyakitkan hati Daffa dan sengaja menambah amarah dalam hati lelaki itu.

“Kalau tidak sah, aku akan sahkan. Walau apa pun terjadi, aku akan pastikan kau jadi isteri aku. Walau apa pun terjadi, kau takkan terlepas daripada aku,” Daffa berkata yakin.

“Saya rasa awak yang pekak.” Adra tersenyum sinis.

“Macam mana cara pun yang awak usahakan untuk sahkan hubungan kita, saya akan berusaha 1000 kali lebih kuat untuk buktikan yang saya tak bersalah macam yang

awak beria-ia tuduh saya. Saya akan kembalikan maruah saya yang awak dah injak-injak. Selepas tu saya reda dengan apa sahaja yang berlaku, meskipun saya dipaksa jadi isteri awak!” Bibir Adra terketar-ketar dalam melontarkan kata. Menahan marah dan sabar serta tangisan. Sedar dirinya tidak mampu melawan singa jantan itu bila dia sudah mengaum tetapi lelaki itu perlu tahu, untuk menjadi suami kepada Adra, perlukan usaha setinggi Gunung Everest!

 

PUAN HALIMAH memerhatikan Adra yang masih berdiri di luar rumah sambil memandang kereta yang dinaiki Daffa dan Nabil yang semakin menjauh pergi. Puan Halimah masih keliru sama ada Adra terlibat atau tidak dengan hal yang berlaku. Jauh di sudut hati, dia juga yakin yang bekas suaminya tidak terlibat sepertimana yang diperkatakan.

Ahmad Malik yang dia kenali puluhan tahun dulu adalah seorang yang budiman, suka menolong orang lain dan jauh sekali mahu menyusahkan apatah lagi menganiaya orang lain. Dato’ Jauhari Daud... nama itu masih melekat dalam ingatannya. 10 tahun bukanlah terlalu lama.

“Adra, jom masuk. Dah tak nampak kereta yang nak ditenungkan tu.” Puan Halimah mengusik anaknya.

Adra yang mengelamun terus tersentak kecil. “Mak ni... sengajalah tu nak mengusik Adra.” Adra menghampiri si emak di muka pintu.

“Mak nampak Adra macam lain aje lepas cakap dengan Daffa tadi. Dia cakap apa dengan Adra?” Puan Halimah menyoal. Mereka melabuhkan duduk di kerusi di luar rumah.

“Tak ada apa. Dia kata nak cari penyelesaian pernikahan tu. Adra tak tahu langsung, mak. Tiba-tiba aje Daffa datang bawa Adra balik rumah dia lepas tu kata Adra isteri dia. Memang jelas dah kami ni bukan suami isteri.” Adra mengeluh perlahan.

“Kita tak duduk kat tempat Daffa. Dia perlu selesaikan hal ni untuk mama dengan papa dia. Kalau Adra di tempat Daffa, rasa-rasa Adra buat perkara yang sama?”

“Mungkin. Tetapi dia seolah-olah memaksa Adra untuk kata ya.”

“Daffa suka Adra kut?” usik Puan Halimah.

“Tak ada maknanya, mak. Minta jauh ya. Adra nak cepat-cepat selesaikan semua ni. Adra penat dah mak. Harap sangat lepas ni, Adra tak payah jumpa Daffa dah.” Adra bersuara penuh nekad.

Puan Halimah tersenyum tawar. “Mak suka Daffa.”

Adra terkejut, riak mukanya berubah.

“Muda sangat Daffa nak jadi ayah kami.”

Laju sahaja si emak mencubit paha Adra. Mengaduh kuat si gadis dengan cubitan itu.

“Ada pula ke situ. Mak suka Daffa jadi menantu mak.”

Terbatuk-batuk Adra dibuatnya.

No. No. Adra tak nak ya, mak. Minta jauh Daffa tu jadi suami Adra.”

“Tapi kenapa?” Puan Halimah mengeluh perlahan.

“Atas apa yang dia buat dekat Adra, Adra tak rasa dia calon suami yang baik.”

“Tapi sekarang dia suami Adra.”

“Suami kepada nama Adra bukan diri Adra. Banyak bezanya tu.”

“Kalau mak nak juga dia jadi menantu mak?”

“Qayla ada.”

“Kalau ayah yang rancang dan memang berhajat Adra jadi isteri Daffa, macam mana? Adra terima?”

“Dah 10 tahun ayah tinggalkan kita, mak. Dah lama sangat. Adra pun dah lupa macam mana rupa ayah.” Adra menidakkan kerinduan di hatinya.

Si emak menyentuh lembut tangan Adra. “Mak tahu. Apa yang ayah mahu, mesti Adra tunaikan. Betul tak?”

“Apa yang emak nak pun Adra akan tunaikan.”

“Jadi, kalau mak nak Daffa jadi suami Adra yang sebenar-benarnya boleh?”

Adra mati kata. Kata-kata Daffa semalam terngiang-ngiang di telinganya.

“See... even the world won’t let you get away from me.”

 

No comments:

Post a Comment