DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 29 September 2022

Secret Wife Tuan Furqan - Bab 5


MALAM harinya masing-masing letih. Hari pertama selepas bercuti panjang, penatnya lain macam.

Wilda memegang perutnya. Dari tadi memulas-mulas. Bergelodak hebat! Sakit sangat perutnya. Dia ke hulu dan ke hilir cuba untuk mengurangkan rasa sakit yang mencucuk-cucuk perutnya itu.

“You ni dah kenapa? Cuba duduk diam-diam. Tak fokus I nak baca proposal projek baharu ni.” Furqan bengang. Keluar juga pertanyaan keramatnya.

“Wilda senggugut ni, abang. Ubat senggugut habis pula.” Wilda sudah tidak tertahan sakitnya. Dia mengerang kesakitan di atas katil pula. Bergolek-golek ke kanan dan ke kiri. Merengkot macam ulat gonggok kena sentuh.

“Nak I panggilkan Doktor Ebit?” Doktor Ebit adalah doktor persendirian keluarga Tan Sri Rafique.

Wilda menggeleng laju.

“Sikit sahaja ni. Nanti baiklah. Sorry ganggu abang nak buat kerja.” Terbata-bata suara Wilda.

“Nanti tu bila? You sakit macam ni, I yang tak senang nak buat kerja. Dah tahu ubat you nak habis, cepat-cepatlah pergi beli. Tadi sebelum balik tak singgah farmasi ke?”

Ah, membebel pula Furqan! Orang tengah sakit perut, karang sia-sia dapat sakit telinga pula.

“Wilda tak nak terlalu bergantung dengan ubat. Abang, tolong Wilda boleh? Tuamkan perut Wilda ni dengan air panas. Abang balut dengan tuala ‘good morning’ pada botol kaca. Dekat dapur ada tuala tu tergantung. Botol kaca air masak pun ada sama di dapur,” pinta Wilda sambil mengerang kesakitan. Dia harap sangat suaminya dapat membantunya.

“Tunggu kejap.” Mencicit Furqan berlari mengikut arahan yang disuruh isterinya. Risau ke dia? Isy, anak orang tu! Apa dia nak jawab pada ayah dan ibu nanti sekiranya sesuatu berlaku kepada anak kesayangan mereka.

Beberapa minit kemudian, muncul wajah Furqan di hadapan mata Wilda.

“Selak baju cepat,” arahan veto seorang suami.

Erk! Tergamam sekejap Wilda.

“Wilda, I kata selak baju tu. Cepat! I nak tuamkan.”

Wilda ikutkan jua dengan muka tersipu-sipu malunya. Botol air panas itu segera dituamkan pada seluruh perut kempisnya. Berkurangan sedikit sakitnya yang mencucuk-cucuk itu.

“Sakit lagi?” Lembut pula nada Furqan bertanya. Concern.

Hmm.” Wilda terkebil-kebil matanya.

“Selalu ke kena macam ni? Kenapa Mak Mah macam tak pernah kena pun I rasa?” Furqan menggaru-garu dahinya. Polosnya soalan itu.

“Senggugut ni sakit orang perempuan semasa datang haid. Mak Mah dah kahwin. Haid dia lancar lepas dia lahirkan anak-anak dia.” Malu pula nak menerangkan kepada Furqan yang zero hal kewanitaan itu. Yalah, dia anak tunggal. Tiada adik-beradik perempuan. Lepas itu, kecil-kecil sudah berpisah dengan mummynya. Dia boleh faham ke sakit orang perempuan ni?

“Jadinya?” Furqan masih keliru.

Alahai tidak faham-faham lagi ke suaminya ini? Bila waktu-waktu macam ini terjadi, barulah Wilda terfikir betapa pentingnya sex education dititikberatkan semasa alam persekolahan.

“Kita kan dah tidur bersama and supposedly tak ada lagi sakit senggugut teruk ni, kan? You kata sakit ni sakit orang perempuan masa period. I don’t understand at all.” Berkerut-kerut dahi Furqan.

Hmm... pening Wilda mahu menerangkan kepada encik suaminya yang tidak faham itu.

Mummy tak kena sakit senggugut sebab mummy telah melahirkan abang. Papa berjaya mengubati sakit senggugut mummy.” Sudah sesenang mungkin Wilda cuba memberikan contoh.

“Jadi you nak cakap sekarang ni, I juga mampu mengubati sakit senggugut you? Maksudnya, kita kena buat anak? Kemudian, sampai anak tu lahir, baru your period pain totally gone, macam tu?” Berbaur sarkastik ayat itu pada pendengaran telinga Wilda. Kenapa ya?

“That’s the reality, though.” Wilda mengangguk laju. Finally! Furqan faham juga maksudnya.

What should I do then? For this time being sorry to say, Wilda... I am not ready to have a baby. Tanggungjawab I banyak lagi nak kena pikul. Close your eyes. Tidur. Lama-lama okeylah sakit you tu. I nak sambung kerja balik.” Botol kaca berlapik tuala itu bertukar tangan.

‘Kenapa mesti ada halangan dalam hubungan kita, abang? Bila Wilda dah semakin jatuh sayang pada abang, abang letakkan halangan untuk kasih sayang itu sampai tepat pada Wilda. Tersekat di tengah jalan. Wilda buntu, abang. Apa yang mengganggu fikiran abang?’ getus hati rawan Wilda.

Terimbas kembali kata-kata sadis Furqan sebentar tadi. Huh! Senangnya seorang lelaki bercakap. Wilda terkilan dengan kebenaran yang dibentangkan suaminya itu. Terang-terang tidak mahu ada anak lagi! Habis tu, sampai bila? Anak itu pengikat kasih sayang mereka untuk bercambah.

Oh, mungkin itu puncanya Furqan menidurinya ibarat seorang pelacur selama ini. Jenama Durex itu rupanya menjadi penyelamatnya setiap malam. Tidak cukup dengan itu, Wilda disogokkan supaya menelan pil perancang kehamilan. Dibelikan sendiri oleh Furqan. Allahuakbar. Lelaki itu tidak sedarkah yang dia menyeksa hati seorang isteri selama ini?

‘Sabar adalah kuncinya, Wilda. Setiap permasalahan ada jalannya. Tuhan sedang menguji kesabaran kau. Ujian itu tanda Allah sayang kita.’

Matanya dipejamkan rapat. Entah bila, Wilda merasakan kelopak matanya basah. Bertakung air matanya yang panas. Apa masalah suaminya sebenarnya sampai tidak mahu anak? Kalau Wilda menjaga anak itu seorang diri pun dia mampu.

‘Susah sangatkah menjaga seorang anak, Furqan?’ telah hati sayu Wilda lagi.

Sementara itu, Furqan juga tidak senang duduk. Serba salah mula menghurung hatinya.

‘Furqan, pelbagai franchise kau jaga pun tiada masalah, inikan pula seorang anak. Susah sangat ke nak jaga?’ Berlegar-legar soalan itu bermain dalam fikiran Furqan malam itu. Dia mengeluh berat. Sudahnya proposal di tangan ditutup rapat dan dibiarkan sahaja di atas meja.

Lampu tidur dipasang dan lampu bilik dimalapkan. Tubuh panas isterinya dicari. Tangan sudah melingkar kemas pinggang isterinya yang semakin stabil. Wilda masih belum tidur. Sakit sangat agaknya. Kasihan isterinya itu.

“Abang, Wilda tengah bendera merah ni.” Lemah suara isterinya.

Shhuushh, I tahu. Tidurlah.”

Tidak sampai 10 minit, Wilda lena berlayar di lautan mimpinya. Pekat malam mendinginkan suasana. Pelukan hangat sang suami menghangatkan tubuhnya yang sejuk.

Furqan terkebil-kebil tidak dapat melelapkan mata. Kasihan isterinya.

‘Bersabarlah, Wilda. Berikan aku masa. Masa untuk aku mengenali kau dan masa untuk aku menerima kedatangan orang baharu dalam hidup aku. Kehilangan yang dahulu bagi aku amat menyakitkan. Seorang demi seorang insan yang aku sayang pergi daripada hidup aku. Mummy, kemudian Dhia Farhain yang aku impikan untuk sama-sama menjalani hari tua.’

‘Kehadiran kau sedikit demi sedikit menceriakan hari aku, Wilda. Namun, untuk menerima kehadiran orang baharu iaitu seorang anak, aku belum bersedia. Aku benar benar perlukan ruang dan waktu. Waktu yang sangat panjang. Aku pernah trauma apabila papa dan mummy berpisah. Aku pernah depresi apabila Dhia Farhain dicabut nyawanya. Orang yang aku sayang, seorang demi seorang tinggalkan aku dalam hidup aku. Pedihnya saat itu aku seorang yang rasa. Aku tidak mahu perpisahan menghukum diri aku sekali lagi. Anak kita mungkin akan menjadi mangsa keadaan. Sebab aku sendiri adalah mangsa keadaan perpisahan papa dengan mummy dahulu, Wilda. Aku tidak pernah meminta perpisahan antara kita. Sesungguhnya, aku tak rela. Namun, andai perpisahan itu terjadi, takdir Allah tiada siapa dapat mengubahnya. Tiada siapa dapat menduga, Wilda. Percayalah yang akan menjadi mangsa luka adalah anak kita yang bakal lahir itu. I am so scared to face my fears...’

Hiba suara hati Furqan pada malam itu.

 

No comments:

Post a Comment