ATILIA menuju ke taman mini setelah badannya
sihat sepenuhnya. Dia juga ingin meninjau kawasan
rumah yang telah sekian lama ditinggalkan dan menuju
ke tempat rahsianya. Tempat yang biasa digunakan untuk
menyembunyikan rahsia hati. Namun petikan gitar dan
alunan suara yang mendendangkan lagu, amat menarik
perhatiannya. Lalu dihampiri pemilik suara tersebut. Begitu
khusyuk sekali lelaki itu meluahkan perasaan. Apakah yang
membelenggu jiwa anak saudaranya itu? Adakah sepertinya?
Cinta tak kesampaian.
Atilia memerhati dengan penuh asyik. Terpegun dia
seketika mendengar suara Rafiq.
Aku menyedari telah jatuh cinta
Tapi aku tak bisa mengungkapkan
Terasa bahagia kumencintaimu
Walaupun kau belum mencintaiku
Aku di sini kan selalu menunggu
Yang selalu ada di setiap waktumu
Selalu menanti jawapanmu
Untuk cinta yang terakhir
‘Oh, Tuhan! Izinkanlah aku menjadi kekasih hatinya
yang halal. Yang mampu menjadi imam dan ketua keluarga
buat kami sekeluarga. Yang bisa menjaga dirinya di saat suka
dan duka, sakit dan sihatnya. Yang bisa memimpin tangannya
dan memeluknya. Yang mampu membahagiakan dirinya
hingga ke hujung nyawanya. Apa yang harus aku lakukan
agar dia kekal di sampingku? Setia di sisi menemaniku?
Menjadi milikku?’ bisik hati Rafiq.
Hanya gadis itu yang mampu membuatkan hidupnya
lintang-pukang dan tak tentu hala. Hanya gadis itu yang
mampu menjadikan hidupnya sasau akibat cinta. Gadis itu
seolah-olah memegang alat kawalan yang menentukan hala
tuju hidupnya walaupun hakikat sebenarnya bukan begitu.
Hidupnya akan bermaya dan ceria apabila berada berhampiran
dengan gadis itu. Cukuplah sekadar memandang dari jauh
walaupun ingin benar dia menyentuh dan memeluknya. Dia
sedar bahawa impian tersebut terlalu jauh dari gapaiannya.
Rafiq membuka matanya sebaik sahaja terasa ada
sesuatu yang asing berhampiran dengannya. Bulat matanya
apabila melihat ibu saudaranya berdiri tidak jauh dari situ
sambil memerhatikan dirinya.
“What are you doing here? Spying on me?” tanya
Rafiq kasar. Sakit hati apabila ada yang mengganggu waktu
santainya. Hilang nikmat privasi di taman mini neneknya itu.
“Err... taklah. Che Su nak pergi kat pokok
mangga tu,” jelas Atilia tergagap-gagap. Sangkanya dia
ingin menikmati seketika sahaja suara anak saudaranya
itu. Alih-alih hingga habis lelaki itu menyanyi, dia masih
menunggu. Tak pasal-pasal dituduh skodeng anak saudara
sendiri. Hesy... mulut anak saudaranya yang seorang ini pun
satu. Kalau tak menuduh atau marah dirinya dalam sehari,
boleh jatuh pengsan agaknya. Ada sahaja yang tidak kena di
mata anak saudaranya itu. Apalah yang Rafiq sakit hati
setiap
kali memandang wajahnya? Nak kata hodoh? Tidak! Nak kata
busuk? Juga tidak!
Rafiq alih gitarnya ke sisi. Dia berjalan menghampiri
Atilia. Dia tahu apa yang ada di situ. Itu pun secara
kebetulan
dia pernah ternampak Atilia terbongkok-bongkok di bawah
pokok itu. Atas dasar ingin tahu, dia mendekati kawasan itu.
Memang orang tidak akan perasan kehadiran balang kaca
misteri di situ kerana dikelilingi pokok-pokok bunga renek
berhampiran dengannya. Di dalam balang kaca itu terdapat
luahan hati dan kata-kata cinta, rindu dan sayang ibu
saudaranya itu terhadap lelaki bernama Raid. Namun nota
ringkas untuk lelaki bernama Raid itu terhenti apabila ibu
saudaranya melanjutkan pelajaran ke luar negara dan balang
kaca itu juga turut lesap.
“Kau nak buat apa kat situ tengah-tengah malam
begini?” Adakah ibu saudaranya ini ingin memulakan kembali
aktivitinya?
“Err... nak ambil angin malam,” dalih Atilia gugup.
Kecut perutnya apabila direnung seperti orang salah.
Rafiq angguk-angguk kepalanya.
“Pergilah ambil angin malam, biar sampai kembung
perut kau tu,” ujar Rafiq sambil mengambil tempat duduknya
kembali.
Terdetik rasa sayu dalam hati Atilia sebaik sahaja
mendengar ayat yang terluncur dari mulut Rafiq. Terbantut
sudah rasa hatinya hendak menikmati keindahan malam itu.
“Terima kasih kerana sudi bantu Che Su tengah hari
tadi.” Atilia berlalu pergi meninggalkan lelaki itu sebaik
sahaja
usai mengucapkan terima kasihnya. Walaupun perangai Rafiq
amat menjengkelkan hati namun kebaikan lelaki itu tengah
hari tadi tidak boleh dipandang sebelah mata. Jika Rafiq
tidak
menyuruh Kartini menghantar makanan untuknya, entah
bila dia akan turun makan. Jika Rafiq tidak memaksanya
makan, entah bila perutnya akan terisi.
Rafiq mengeluh berat sebaik sahaja Atilia berlalu
pergi. Gitar yang berada di tangannya diletak kasar ke atas
meja di hadapannya. Kenapalah terlalu sukar untuk dia
memujuk hati supaya berbaik dengan ibu saudaranya itu?
“TIA dari mana sayang?” tegur Puan Ainon.
“Ambil angin malam mama.”
“Tia kan baru sihat, jangan duduk kat luar lama-lama.
Nanti sakit balik.”
“Mama janganlah risau sangat. Tia tahu jaga diri.
Lagipun kalau Tia tak sihat, takdenya Tia keluar rumah
tadi,”
ujar Atilia sambil berjalan menghampiri mamanya.
“Tia dah timbangkan permintaan mama?”
“Tia tak rasa nak bekerja di situ mama,” jelas Atilia
bersama rasa serba salah. Dia bimbang mamanya berkecil
hati. Dia memang kurang berminat hendak bekerja di syarikat
milik keluarganya.
“Mama nak sangat Tia kerja di situ. Sama-sama
membangunkannya dengan Raf. Tia kena ingat, Polimerlatex
tu milik keluarga kita. Rugi kalau Tia tak guna kepakaran
yang Tia miliki untuk memajukannya.” Bahu Atilia diusap
lembut.
Atilia mengeluh perlahan. Sudah berulang kali
mamanya berkata begitu. Namun hatinya terlalu berat
hendak bekerja sebumbung dengan anak saudaranya itu.
Mahu nanti pekerja-pekerja di situ asyik memandang mereka.
Bukan sebab mereka baik dan rapat, tetapi disebabkan asyik
bercakaran.
“Mama bagi Tia masa, boleh? Tia nak fikir
semasak-masaknya.”
Geleng kepala Puan Ainon dengan sikap Atilia. Entah
apalah yang membuatkan Atilia enggan bekerja di syarikat
sendiri.
“Berapa lama masa yang Tia perlukan? Beritahu
mama.”
“Bagi Tia masa setahun.” Tidak sampai hati pula
Atilia hendak berkeras apabila melihat wajah sendu mamanya.
“Lamanya masa yang Tia nak ambil. Kalau kahwin
dah boleh dapat anak.”
“Mama... ada fikir sampai ke situ pulak,” rajuk Atilia.
“Habis tu, lama benar nak memikirnya.”
“Apa yang riuh sangat ni mama?” sampuk Abdul
Razak.
“Ni... adik kamu ni, bukan main panjang lagi masa
yang dia minta untuk berfikir.”
“Fikir tentang apa mama?” Siti pula bertanya.
“Fikir apa lagi... fikir pasal nak suruh kerja di syarikat
kita itulah.”
“Biarlah dia nak berehat dulu mama. Lagipun Jak
dan Raf ada.”
Atilia tersenyum lebar mendengar penjelasan
abangnya. Lega rasa hati apabila ada yang sudi menyokong
tindakannya.
Puan Ainon menjeling geram melihat keletah anak
bongsunya itu. Bukan main manis lagi senyuman apabila ada
yang menyokong tindak-tanduknya.
“Manjakan sangat adik kamu ni,” luah Puan Ainon
tidak puas hati.
“Dia sorang aje adik yang Jak ada. Kalau Jak tak
manjakan dia, nak manjakan siapa lagi?” Abdul Razak
mengusik mamanya. Hendak ketawa dia melihat wajah kelat
mamanya itu.
“Mama kasihankan si Raf tu. Ke hulu ke hilir
tinjau perkembangan syarikat. Di Polimerlatex dia nak kena
uruskan dan di Dinamik Grup pun dia kena ambil tahu.
Sekurang-kurangnya dengan adanya adik kamu ni, bolehlah
ringankan beban dia di Polimerlatex tu.” Puan Ainon
lontarkan buah fikirannya.
“Bercerita tentang apa ni?” Rafiq menyoal apabila
terdengar namanya disebut-sebut.
“Nenek kamu tanya, kamu bila lagi nak kahwin?
Setahun dua lagi dah nak masuk tiga puluh tahun,” usik Siti.
Rafiq mendengus, tanda kurang senang. Umur tiga
puluh tahun bukan bermakna dia sudah terlalu tua dan
terlambat untuk berkahwin.
“Nak mama tolong carikan ke?” Puan Ainon
bercanda. Baginya dia lebih suka jika cucunya ini mencari
sendiri.
“Malas fikir lagilah mama, ibu.” Rafiq memang
kurang senang apabila bab kahwin disentuh.
“Kamu ni serupa dengan ayah kamu dulu. Bila
sentuh bab kahwin, sering kali mengelak. Ada sahaja alasan.
Nasiblah mama jumpa dengan ibu kamu. Kalau tidak, mahu
sampai sudah tak kahwin.” Terlupa sudah seketika dia tentang
Atilia.
“Itu tandanya jodoh belum sampai. Tapi bila jodoh
dah tiba, tak sampai sebulan terus nikah. Takkan mama dah
lupa?” usik Abdul Razak. Bahu isterinya dirangkul.
Siti pandang wajah suaminya. Memang benar
apa yang suaminya katakan. Walau sekuat mana berusaha
mencari cinta, tetapi jika belum tiba masanya, kita tak akan
bertemu juga.
Atilia tersenyum.
“Tia pula bila nak tamatkan zaman bujang?” Abdul
Razak pandang wajah adiknya.
Erk... dia pula ke yang jadi mangsa?
Rafiq pandang wajah Atilia. Dia juga ingin tahu. Kalau
Atilia ada teman istimewa, bagus juga. Tentu ibu saudaranya
itu akan berpindah ke tempat lain apabila berkahwin kelak.
Senang hidupnya.
“Belum bertemu yang sesuai, ayah.” Itulah panggilan
untuk abangnya sejak kecil.
Rafiq mencebik. ‘Si Raid tu nak campak ke mana?
Bukan ke itu nama buah hati dia?’
Atilia ketap bibir apabila terlihat cebikan Rafiq.
Apalah yang membuatkan anak saudaranya menunjukkan
mimik muka seumpama itu?
“Belum jumpa yang sesuai atau nak kumpul koleksi
biar ramai?” sindir Rafiq.
Atilia pandang wajah anak saudaranya. Matanya
merenung tajam Rafiq. Hatinya bertambah sakit melihat
keselambaan anak saudaranya itu.
“Raf... jaga mulut tu. Kenapa kata Che Su macam
tu? Tak baik. Raf kena hormat Che Su walaupun usia dia lebih
muda berbanding kamu,” tegur Siti. Bahu Atilia diusapnya.
Dia yakin adik iparnya ini pasti terasa hati mendengar
kata-kata sinis anak sulungnya.
“Raf mengata Che Su ni, Raf pula macam mana?
Ayah dengar bukan main ramai lagi kawan perempuan. Yang
terbaru ni stewardess dengarnya.” Abdul Razak pandang
anaknya itu.
“Kawan-kawan ajelah ayah dengan mereka semua
tu. Lagipun bukannya Raf yang terhegeh-hegeh nak pikat dia
orang. Dia orang yang datang goda dan pikat Raf.”
“Yalah, orang tu kacak sangat. Mana orang tak terliur
nak buat pakwe,” usik Puan Ainon.
Rafiq senyum senget mendengar pujian neneknya.
Bangga. Tapi hatinya belum mahu terikat dengan sesiapa. Ada
sesuatu yang menghalangnya lebih sepuluh tahun lalu. Saat
dia kenal apa itu cinta, rindu dan sayang.
Atilia tunduk sedikit. Dia cebik meluat melihat aksi
bongkak Rafiq. Agak-agaknya dah ramai yang terluka dan
makan hati dengan sikap mata keranjang anak saudaranya
ini. Mana tidaknya, asyik bertukar pasangan silih berganti.
“Tia nak tak kalau ibu carikan pakwe?” usik Siti buat
adik iparnya.
Atilia angkat kepala. Wajah kakak iparnya dicari.
“Ibu cakap apa tadi? Tia tak dengar sangat,” dalih
Atilia.
“Ibu carikan calon suami, nak tak?”
“Tak naklah ibu. Tia nak cari sendiri.” Laju sahaja
Atilia geleng kepala.
‘Alasan! Cakap ajelah dah ada buah hati. Tak
payahlah nak kelentong semua orang,’ gumam Rafiq Idlan.
Tentu lelaki yang bernama Raid itu melekat kukuh dalam hati
ibu saudaranya, sebab itulah beria-ia menolak.
Abdul Razak perhati tingkah laku anaknya. Bukan
main lagi mimik mukanya. Apalah yang membuatkan
anaknya tidak senang dengan kehadiran Atilia di rumah ini?
Macamlah Atilia kacau atau ganggu hidup anaknya itu selama
ini.
“Betul cakap Tia tu Siti. Tak payahlah kita
susah-susahkan diri nak cari calon untuk mereka. Buatnya
runtuh rumah tangga mereka kelak, disalahnya kita pulak.
Biar susah senang mereka tanggung sendiri.” Puan Ainon
bersuara. Anak lelakinya dulu pun dia sekadar suruh
berkenalan. Kalau berkenan, ambil buat isteri. Jika tak
suka,
cakap elok-elok kata tak nak. Janji hati orang yang ditolak
itu
tidak terluka atau kecewa. Namun hendak memaksa anaknya
agar bersetuju dengan calon pilihannya, tidak sama sekali.
Atilia tersenyum bahagia mendengar jawapan
mamanya. Lantas tubuh tua itu didakap dan pipi mamanya
dikucup sayang tanda terima kasih kerana memahami.
Rafiq menjeling melalui ekor matanya. Bukan
main mengada-ada lagi ibu saudaranya itu apabila ada yang
menyokong tindakannya.
“Cakap-cakap juga, tapi mama nak Tia fikirkan
permintaan mama tadi ya.” Puan Ainon tepuk lembut
belakang tapak tangan anaknya.
Atilia mengeluh kecil. Ingatkan mamanya sudah
terlupa dengan perbincangan sebentar tadi.
“Permintaan apa mama?” Rafiq ingin tahu.
“Pasal kerja kat Polimerlatexlah...”
Rafiq pandang Atilia. Adakah ibu saudaranya itu
menolak? Ini sudah bagus. Tak payah dia pening-pening
kepala hendak fikir ke mana dia perlu menghantar Atilia
pergi.
“Tia akan fikirkan jawapannya,” ujar Atilia sambil
mengangkat punggung. “Tia masuk tidur dulu.” Wajah dan
tangan mamanya dikucup begitu juga dengan kakak iparnya
sebelum berlalu. Dia tidak betah lagi berlama di situ. Dia
dapat membaca apa yang ada dalam fikiran dan hati Rafiq.
No comments:
Post a Comment