DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 21 February 2017

Seribu Rindu - Bab 3



“ZARRA?”
Akhirnya dia bersuara. Bergetar dan perlahan. Gadis itu dilihatnya masih kaku memandangnya. Merenungnya bagai dia seekor raksasa, hantu mungkin.
“Zarra?”
Kali ini suaranya sedikit kuat menyapa telinga.
Zarra telan liur. Nafasnya tersekat, pandangannya kabur dengan air mata yang entah datang dari mana.
Kakinya.
Kenapa kakinya tidak mahu melangkah? Jalanlah, bergeraklah hai sang kaki!
“Zarra? Tadi cakap nak balik, apasal kau kat sini lagi ni? Cepatlah weh, nanti hujan. Oh, hai Encik Hisham.”
Dilla.
Nasib baik Dilla datang. Dia kumpulkan segala tenaga, segala kekuatan. Kaki akhirnya melangkah. Mulanya
perlahan, namun kian laju. Laju dan laju sebagaimana air matanya turun berlari ke pipi.
Tak mungkin ini terjadi kepada dirinya.
‘Tuhan, kenapa kau seksa aku begini?’
DIA MELABUH duduk di sofa yang berdekatan. Jantungnya masih berdegup laju. Hisham raup wajah beberapa kali. Benar.
Benar itu Zarra. Zarra yang dilukainya. Luka? Hahaha... kelakar bukan? Bukan saja dilukai, malah disentuhnya. Dinodainya. Dikotorinya.
Tangannya kembali menekup wajah. Hari itu datang lagi. Hari yang paling celaka dalam hidupnya. Hari di mana segala kewarasannya hilang, imannya terbang. Hari paling malang dalam hidup Zarra.
Hisham tekup wajah, pejam mata. Mana tahu, segala kenangan itu akan terusir sendiri.
TANGANNYA MASIH menggeletar. Pintu bilik dikatupnya rapat. Umpama dia kembali ke hari itu. Hari yang penuh dengan hujan, di mana dia hilang segalanya. Maruah diri, hilang kehormatan. Dia tutup pintu rapat-rapat, lalu mengambil bantal. Kali ini dia menangis, dan menangis lagi.
 “APA KENA dengan kamu?”
Hisham angkat wajah. Dia lemparkan senyum tawar.
“Penat, mi.”
Hajah Kalsom kerutkan dahi. Perlahan dia tanggalkan telekung solat. Suaminya sudah terlena di hadapan televisyen. Mudah sungguh lelap.
“Kerja dalam aircond pun penat ke?”
Dia sengih-sengih.
“Penat mental.”
Hajah Kalsom cebikkan bibir. “Ada benda lain yang kamu fikir, kan?”
Mai dah penyiasat persendirian tak bertauliah ni. Pantas Hisham bangun. Baik dia cabut. Sebelum sesi soal jawab diteruskan, ada bagusnya dia angkat kaki, kan?
“Umi, Sham masuk dulu. Bye sayang.”
Hajah Kalsom diam saja, pandang Hisham yang bergerak masuk.
“Sham...”
Dia berhenti seketika.
“Kamu ada jumpa Zarra ke?”
Allah. Macam kena hempap dengan batu. Dia pasti, umi pakai tembak saja. Tapi tembak umi itu betul, tepat ke dahinya. Kali ini dia nampak sepasang mata uminya sedikit membulat. Ah, sudahhh...
“Sham, kamu cakap baik-baik. Kamu ada jumpa Zarra kan? Kat mana? Macam mana dia?”
Hisham tarik nafas dalam-dalam. Dia belum bersedia, paling penting, dia perlu pastikan yang itu sememangnya Zarra. Zarra Zainal.
 “Tak, Sham tak jumpa dia, tak nampak dia, mi. Pandai-pandai aje umi ni.” ‘Maafkan Sham. Belum masanya lagi, mi. Sham sendiri masih terkejut,’ ucapnya dalam hati.
“Kamu cakap baik-baik, Sham. Yang kamu diam berkerut dari tadi tu kenapa?”
Dia pandang umi, beri satu sengihan lebar.
“Sham fikir, nak bayar hutang PTPTN sekali gus ke nak potong gaji bulan-bulan.”
Hajah Kalsom kecilkan mata. Ya ke? Macam tipu saja.
Hisham masuk, tutup daun pintu. Sekejap dia bersandar, pejamkan mata. Wajah Zarra yang manis namun sedang menangis itu buat dia buka mata.
‘Ya Allah... kenapa sekarang?’
PAGI-PAGI lagi dia sudah menipu. Dia call Dilla, cakap dia demam. Memang dia rasa macam nak demam. Sesudah subuh, dia kembali ke katil. Tidur? Langsung tidak. Malam tadi memang dia tidur, namun entah bila waktunya. Gara-gara berjumpa dengan lelaki itu, buat dia lari balik ke rumah. Balik ke tempat perlindungannya iaitu biliknya. Dia hanya mampu berkalih, buka mata dan pandang ke alang rumah. Si Abam lagi lena tidurnya daripada dia.
“Zarra, kamu tidur lagi ke?”
Mak. Kalaulah maknya tahu apa yang pernah jadi pada anak nan seorang ini, dia pasti maknya juga mahu mati. Zarra kesat pipi.
“Tak, baring je. Tak sihatlah, mak.”
Daun pintunya ditolak perlahan.
“Kenapa, kamu demam?”
“Tak, letih je, mak. Nanti okeylah.”
Puan Aini usap kepala Zarra pelan-pelan. Tak panas, jadi betul cakap Zarra yang dia tak demam.
“Kamu cuti hari ni?”
Zarra peluk lengan emaknya dengan erat.
“Ya. Hari ni Zarra cuti, Zarra nak rehat kejap aje.”
“Zarra rehat lama-lama pun tak apa. Zarra dah penat kerja. Mak mintak maaf. Kalau Zarra pergi Kuala Lumpur, mungkin Zarra dapat kerja yang lebih baik, tak perlu Zarra banting tulang macam ni.”
Dia senyum lebar. Tangan mak diciumnya lama-lama.
“Tak payah, mak. Rezeki ada di mana-mana. Kita je kena pandai cari. Lagipun kerja Zarra sekarang okey je. Bukan Zarra kena kerja angkat batu bata ke apa.”
Memang, dia suka bekerja di The Bliss, masalahnya sekarang, masalah sudah datang. Patutkah dia berhenti?
“Alhamdulillah. Mak seronok Zarra dapat kerja. Nenek tu, lagilah. Hari-hari sebut Zarra kerja manager.”
Hahaha... nenek. Mana ada manager pakai Honda EX5 macam dia. Dia diam sebentar.
“Kalau Zarra tak nak tidur, rehatlah. Lapar nanti, keluar makan. Mak tak buat banyak, nasi goreng dengan ikan kukus aje.”
Ala mak, itu sudah tersangatlah cukup bagi dia.
FAIL ITU dipegangnya lama. Sekeping gambar Zarra ditenungnya tanpa berkerdip. Nah, dia pasti, Zarra ialah Zarra. Alamat rumah gadis itu masih sama, sebelah kampungnya, rumah lamanya. Sepasang mata coklat milik Zarra tetap sama. Gambar itu seakan-akan merenungnya, bertanya dia, apakah dosa dia sehingga diperlakukan sebegitu?
Hisham tarik nafas lama-lama.
Master.
Gadis itu ada Master in Business Administration. Sekarang, Zarra kerja di sini. Receptionist. Huh. Kejamnya takdir.
“You buat apa tu?”
Dia tutup fail itu perlahan-lahan.
“Saja nak check fail-fail pekerja baru. Tapisan keselamatan.”
Kartini mengalun ketawa, lunak dan riang.
“Well, Sham dah janji, kan? Hari ni kita lunch sama-sama. Boleh Tini curi Sham sekejap?”
Dia bangun, seluk tangan ke dalam poket sambil jeling jam pada dinding. Patutlah perutnya berkeroncong, sudah hampir pukul dua.
“Okey, jom. Kejap, Sham kemaskan meja.”
“Alaaa... biar je. Bukan ada benda penting pun, kan?”
Dia senyum sambil geleng.
Fail Zarra yang tertutup masih di mejanya. Tak. Tak penting langsung.
 “WALAUPUN DAH khatam tiga kali,tak bermaksud kamu tak payah baca Al-Quran.”
Tu dia, neneknya sudah berbunyi. Dia sengih-sengih dalam telekung solat.
“Tak payah baca banyak, satu muka surat sehari pun dah cukup. Lama-lama habis juga, kan?”
“Ya, nek.”
Tok Teh usap Al-Quran arwah suaminya. Walaupun sudah usang namun masih kukuh dan jelas.
“Kamu ponteng kerja ke?”
“Ehhh... mana ada. Zarra sengaja mintak cuti sebab nak baca Al-Quran dengan neneklah.”
Adeh deh deh deh... sakitnya kena cubit wooo...
“Jangan nak sabitkan nenek. Kalau nak memonteng, tanggung sendiri. Baca Al-Quran konon, baca tiga helai pun mata dah nak tidur.” Tok Teh marah-marah alang. Dia bukannya sampai hati nak marahkan Zarra. Dia sayangkan Zarra lebih daripada dia sayangkan nyawanya sendiri.
Hahaha... Nenek oh nenek.
“Kalau kita nak majikan sayang kita, buat kerja mesti ikhlas. Dapat sikit atau banyak, itu namanya rezeki. Yang penting, halal.”
“Ya, nek.”
“Kamu jadi kuli ke, jadi bos ke, hormat semua orang. Paling utama, jaga pergaulan.”
“Ya, nek.”
Tok Teh mendengus. Mengantuklah tu. Dia tarik telinga Zarra kuat-kuat.
“Dah, pergilah kamu lelap kejap. Nanti dah masuk asar, tak baik kalau tidur. Bangun nanti otak jadi tolol. Kalau
nak lelap, lelap sekarang.”
Huh, dah lelap pun. Dekat atas sejadah, Zarra lena tanpa mimpi.
JAYASRI PANDANG Zarra.
“Kenapa nak tukar position? Housekeeping banyak kerja tau, Zarra.”
Dia sengih-sengih.
“Zarra nak cari pengalaman, puan. Mahu tahu corak kerja semua position.” Pandai aje dia beralasan.
“Kalau ada orang sanggup tukar, Zarra boleh masuk team housekeeping. Tapi, untuk minggu ni, I rasa you kena stay di reception dulu. Boleh?”
Dia tarik nafas pelan-pelan.
“Okey, cool. Tapi kalau ada kosong, jangan lupa tukarkan Zarra ya.”
Jayasri angguk. Pelik. Berebut-rebut yang lain mahu ambil position tu. Tak berat tugasnya seperti di housekeeping dan cleaning. Pelik betul budak Zarra ni.
“Okay. But, standby seluar panjang hitam. Mana tahu Zarra boleh trade places nanti.”
Oh, itu kecil punya masalah. Dia sudah ada lima pasang seluar hitam.
“Terima kasih, Puan Jayasri. Thanks.”
Jayasri ketawa lalu sambut huluran salam itu.
“Kerja baik-baik tau, potong gaji nanti.”
Zarra ketawa. “Tolong ya, puan.”
 “It’s a small matter, Zarra. Anything, I will tell you.”
Zarra bangun, tinggalkan pejabat itu cepat-cepat.
HATINYA BEKU.
Jantungnya terhenti.
Mana dia mahu pandang? Okey, pandang kaunter. Jangan pandang depan. Buat biasa-biasa sudah. Jangan gubra, be cool. Takkan Hisham nak datang tegur dia macam kawan lama, kan? Tak mungkin. Zarra tarik nafas, berikan senyum manis pada tetamu yang lalu-lalang.
“Oh my, oh my, oh my... he’s coming...”
Dia jeling Dilla yang sedikit ternganga. Kenapa? Handsome sangat ke si Hisham tu? Huh, kalaulah Dilla tahu apa yang sebenarnya ada di sebalik wajah itu.
“Selamat petang, Encik Hisham.”
“Selamat petang, Encik Hisham,” tuturnya sesopan mungkin. Dia tundukkan wajah.
“So, macam mana hari ni, ramai occupancy yang check- in?”
Dilla gelak manja. Zarra mahu tergelak dibuatnya. ‘Adoi, Dilla... Kau pun makan dengan jampi mamat ni ke?’
“Alhamdulillah, so far so good, Encik Hisham. Ramai hari ni. Kan, Zarra?”
‘Adoiii... tak payahlah heret aku sama. Kau cakap ajelah dengan mamat tu.’ Zarra senyum. Senyum yang dibuat-buat. Kali ini dia angguk tanpa mengangkat muka. ‘Blah. Tolonglah blah.’
“Zarra sihat? Semalam cuti kenapa? Sakit ke?”
Lembut sekali suara itu menyoalnya.
‘Aduhhh... jangan sibuk boleh tak? Dahlah si Dilla ni nganga pandang dia. Hesy...’
“Saya sihat, encik.”
“Eh, semalam dia demam, encik. Dia datang kerja dengan motor, tu yang demam tu. Saya dah cakap dengan dia, tinggal kat kuarters terus. Degil dia ni...”
‘Amboi, amboi, amboi... pemberita pulak si Dilla. Aku lepuk dengan kasut ni karang.’
“Semalam demam, hari ni dah okey.”
“Dah pergi klinik, makan ubat?” soal Hisham lagi. ‘Pandanglah abang, Zarra. Apa tinggi benar benci itu?’
Dia pandang skrin komputer. Kosong, hilang sebentar kata-kata.
“Ya, encik. Siap kena inject lagi.”
Dilla kembali nganga.
“Weh, kau kena inject? Kat mana, kat buntut ke?”
Ya Allah... haruskah dia cabut kasut dan lepuk-lepuk si Dilla ni?
Hisham tahan ketawa. Aduhai... karang tergelak, mahu setahun tak bertegur sapa terus.
“Laa... you kat sini ke? Kenapa I call tak jawab-jawab?”
Hisham lepaskan nafas.
Kartini.
“Sorry, babe. My phone ada kat dalam ofis. Tini dari mana?”
Kartini senyum manja, jeling Zarra dan Dilla yang tercegat macam patung.
“Dari butik, spa. Check stok. Jom, teman I. Lapar ni.
Sengaja tak makan tau sebab nak makan dengan Sham.”
Ya, pergi cepat. Berambus. Blah.
“Ni, tak ada kerja ke? Tercegat je kat sini.”
Hisham tarik nafas. “Diaorang kerja la tu. Dah memang kerja diaorang tercegat depan kaunter, takkan nak buat kerja lain kut?”
Kartini cebikkan bibir. Pantas disauknya lengan Hisham. Dijelingnya sekali lagi dua gadis itu. ‘Helo, sila tengok saja, jangan nak berangan mahu dapat lelaki macam Hisham. Seribu tahun takkan mungkin.’ Dia ayun langkah, heret Hisham bersamanya.
“You jangan nak manjakan sangat staf ni. Nanti naik kepala. Manja.”
“Macam you?”
Kartini tarik muka. “Usik I lagi, jangan jumpa seminggu!” Sengaja dia kuatkan suara.
Dilla jeling Zarra. Mahu termuntah dia. Eleh, jangan jumpa seminggu. Bukan kau ke yang terkejar-kejar datang mengadap? Pigi dahhh...
“Bagus tu, boleh Sham buat kerja dengan tekun.”
Kali ini Kartini gigit bibir. “Fine, kalau macam tu, I balik.”
‘Aduhhh... Drama apa pulak yang dibuatnya hari ini?’ Hisham jeling. Zarra masih pandang skrin komputer, langsung tidak pandang pada mereka. Pada dirinya.
“Babe, tadi cakap nak makan, kan? Dah, jom makan. Kalau sakit, Sham juga yang susah, kan?”
Kartini jeling, senyum-senyum.
“Ingat dah tak sayang I.”
Hisham gosok tengkuk. “Dah, jom makan, okey.”
Kartini kembali senyum, paut lengan Hisham kemas-kemas. Sewaktu mereka melangkah, Hisham sempat menoleh, sedikit.
Zarra masih kaku, pandang skrin. ‘Cepatlah pergi, aku mahu bernafas.’
Hisham mengeluh dalam hati. ‘I will see you again, Zarra. I will.’ Cepat kali ini dia dan Kartini berlalu.
‘Ahhh... leganya.’ Baru dia berani bernafas. Mahu terduduk dia sebentar.
“Okey Zarra, talk.”
Kan? Memang dia dah agak, mesti kena soal siasat punya.
“Talk apanya?”
Dilla tongkat dagu. Matanya pandang terus wajah Zarra.
“Kau kenal Encik Hisham, kan?”
Malasnya dia nak jawab.
“Ya.”
Dilla tepuk tangan, loncat-loncat macam kera dapat bunga. Kena penampar sekali baru betul.
“Lagi, takkan itu je kut? Mana kau kenal dia?”
Nilah natijahnya. Gatal sangat nak mengaku kenal.
“Dulu dia duduk sebelah kampung aku. Dah, jangan tanya. Kalau kau nak tahu sangat, buat soalan karangan, biar aku tolong hantarkan, biar dia jawab.”
“Ala... tanya pun marah ke? Yalah, yalah... Tapi... untunglah kau. Senanglah nanti.”
Hahaha... boleh dia gelak sambil nangis kat sini tak? Senang? Gila. Makin susah adalah.
 “Dilla, kau jangan cakap dengan siapa-siapa pun pasal hal ni, aku lepuk kau nanti.”
Dilla jelirkan lidah, acu penumbuk.
‘Siaplah kau. Berani kau buka mulut, aku sumbat dengan tayar motor!’
“CANTIK KAN staf tadi?”
Hisham toleh, pandang wajah Kartini yang mencuka. Ya, inilah caranya tuan-tuan, encik-encik. Cara wanita psikologikan lelaki. Soalan yang berbentuk pernyataan. Kalau berani, jawablah. Cakap aje, jangan takut-takut. Jawab betul pun kena, jawab salah pun kena. Kesimpulannya, lantak korang.
“Ya, cantik.”
Memang Zarra kian cantik. Dia masih ingat. Waktu dia bermain bola sepak dan futsal di kampung sebelah, Zarra melintas di hujung padang. Waktu itu, dengan pakaian sekolah menengah dan basikal merah. Kelakar bila dia ternganga, ditampar cinta pandang pertama.
Cinta ke tu?
“Sham.”
Dia angkat muka.
“You ni kenapa, dah angau?” soal Kartini keras. Wajah Hisham yang berbeza dapat dilihatnya seketika. Wajah yang tersenyum sendiri.
Hisham ketawa kecil. Angau? Hahaha...
“I kenal dia.”
Kartini bingkas luruskan duduk, pandang Hisham
penuh tanda tanya. “Who, that girl at the reception tu?”
Dia angguk, pandang wajah Kartini yang sedikit berubah.
“Mana you kenal dia? Satu U dengan kita ke?” Tak mungkin budak kampung macam tu dapat belajar ke luar negara. Kalau ada pun, yang dapat tajaan biasiswa.
“Nope. Sebelah kampung, kira sekampung dengan I dulu. Kampung lama dulu.”
Kartini ketawa kecil. Oh... orang kampung. Patut pun.
“Hmmm... ingatkan skandal you ke apa. Baguslah, dapat jumpa orang kampung sendiri. Hah, buat kenduri, makan-makan, borak-borak.”
Sinisnya. Hisham kembali sandarkan tubuh pada kerusi.
“I fikir macam tu juga. Mungkin boleh ajak dia makan-makan, borak-borak, tanya khabar orang kampung.” ‘Tanya khabar Zarra, melutut mohon ampun,’ sambungnya dalam hati.
Kali ini lebih kuat Kartini ketawa.
“Really? Lawak la you ni, Sham.”
“Kalau I betul-betul buat?”
Ketawa itu tiba-tiba terhenti. Kartini pandang dia dalam serius.
“I’ll kill her.”
Hisham pula yang meletup tawanya. Yalah, kill her. Tengok kucing pun melalak macam nampak hantu, ini nak kill-kill orang pula.
“Sham.”
“Ya, babe.”
 “Jangan cabar I.”
Ohhh... spooky.
FUHHH... AKHIRNYA hari ini berakhir juga. Dia duduk seketika selepas menyalin pakaian. Hajatnya mahu menumpang di kuarters Dilla, tapi dia mahu balik. Zarra sarungkan jaket, ketatkan tali topi keledar.
“Hai sweetie, dah nak balik ke?”
Kus semangat.
Sudahlah ekzos dan enjin motor itu menggegarkan jantung. Superbike memang macam gitu. Sepuluh kilometer pun boleh dengar. Terkejut dia, kau.
Zachary senyum-senyum. Topi keledar Arai itu dibukanya, membuat anak rambut lelaki itu jatuh terjuntai selepas membuka bandana.
“Ya, Mr. Zachary. Going for a date tonight?”
Zachary ketawa, sengaja memulas minyak.
“Nope, malam ni I ada gathering kelab motor, jom ikut.”
Kihkihkih... Buat lawak ke mat salih celup tepung ni? Mat salih ke? Macam mat salih, tapi cakap Melayu tu laju macam bullet train. Macam pan-Asia gred A+. Muahahaha... dah gila agaknya dia.
“Jom, Zarra.”
Dia acu penumbuk.
“Serius? Zarra naik motor EX5 la, Mr. Zachary, you nak suruh I saing dengan you yang naik superbike tu? Nak kawan-kawan you ketawakan Zarra ke?”
Kali ini Zachary senyum lebar.
“I bukan suruh Zarra bawak motor, I suruh Zarra ride with me.” Dia tepuk tempat duduk belakang yang secoet.
Zarra tergelak. Boleh ke dia duduk kat situ? Macam tak muat aje. Huh, ayat player. Zarra acu penumbuk sekali lagi.
“Dah, main jauh-jauh.”
Zachary pulas minyak, bergegar sampai ke jantung.
“Okay sweetie, see ya!”
Zarra angkat tangan, mula hidupkan enjin. Langit kian gelap, ada baiknya dia cepat.
SEHABIS RAPAT dia memulas minyak, namun dia tahu, dia perlu berhenti akhirnya. Rintik-rintik hujan mula menampar pipi. Aduhhh... baju hujan tertinggal. Dia kecilkan mata, nampak sebuah perhentian bas di hadapan sana. Sudah ada dua buah motor, muat lagi untuk dia mencelah. Dia pulas minyak, mahu tiba sebelum hujan kian lebat.
“Well, kan dah cakap see ya, mesti jumpa jugak, kan?”
Ceh! Hahaha... Motor kecik ke, motor besar ke, kalau dah hujan, bumbung juga yang dicari.
“Ai, bukan tadi you dah berdesup laju gila ke?”
Zachary pandang langit yang makin kelam. “Hujan lagi laju kut. Berhentilah dulu.”
Dua remaja yang menumpang di perhentian bas itu tersengih-sengih memandang dia dan Zachary. Boleh tahan tempias, nasib baik dinding perhentian bas itu
menghadangnya.
“Zarra nak balik mana?”
“Bukit Payong.”
Zachary tekan telefon pintarnya.
“Huih, that’s quite far!” katanya kemudian.
“Mana you tau jauh ke dekat?” tanya Zarra. Biar betul mamat ni, kenal ke dia kat mana Bukit Payong?
Dia tunjukkan skrin telefonnya. “Google map.”
Huh, patut pun. Gila gadget punya manusia ni.
Bunyi kereta yang berhenti tiba-tiba mengejutkan mereka. Siapa pula? Dipandang seketika sehinggalah cermin tingkap kereta itu sedikit terbuka dalam renyai hujan.
“Zarra, nak balik ke? Jom, Sham hantarkan.” Sepasang mata Hisham menatapnya lembut, berharap.
Dia kaku seketika. Kemudian geleng kepala.
“Tak apa, terima kasih.”
Hisham mengeluh. “Jom balik, dah lewat ni,” pintanya lagi. Tempias hujan mula menyentuh pipi. Dia tatap Zarra dalam harapan.
Zarra geleng kepala. Hah! Nak mati? Hisham sudah lupa, waktu hujan beginilah peristiwa itu berlaku. No, dia takkan menerima pelawaannya itu.
“Hai Hisham, you kenal Zarra ke?” Zachary pandang dua manusia itu. Zarra dilihatnya resah, Hisham pula serba salah.
Hisham angguk. “Satu kampung dulu.” Malas dia mahu menerangkan itu dan ini. Bagi jawapan yang ringkas saja sudah memadai.
Zachary angguk-angguk, jeling Zarra yang diam membisu.
 “Zarra, Sham hantar.”
Kali ini dia tegas. “Thanks, but no thanks.”
Hisham mengalah, mengangkat cermin kereta lalu berlalu pergi. Berdesup kereta itu membelah hujan yang masih menampar bumi,
Fuhhh... lega dia.
“Zarra.”
Dia toleh.
“Nah, baju hujan. You pakai, balik. Ambik helmet spare Zach, tak kena hujan kat muka tu.” Dia angkat tempat duduk motor, bawa keluar satu lagi topi keledar.
Zarra nganga. La... kenapa si Zachary tak gunakan untuk dia saja?
“I tak jadi pun nak pergi gathering tu, baik balik tidur.” Lelaki itu tersengih.
Sepasang mata itu menangkap matanya. Hai hati, kenapa tiba-tiba saja kau berdebar-debar? Nak makan karate? Zarra telan liur. Dah hampir jam sepuluh malam ni.
“Ambik, esok lusa hantar pun tak apa. Please, take it.”
“Kalau akak tak nak, bagi saya, kak.”
Eh, dia hempuk juga budak dua orang itu. Tiba-tiba saja menyampuk. Zachary dilihatnya ketawa dalam hujan yang masih menyanyi. Yalah, orang nak tolong, ambil ajelah. Lepas pakai baju hujan itu, dia sarungkan helmet pemberian Zachary.
Kahkahkah... Bawak EX5, pakai topi keledar harga beribu. Bongoknya dia.
Zachary angkat dua ibu jari. “Be safe. See ya.”
Mahu saja Zarra tergelak. Yalah, see ya.
SAKIT TELINGANYA. Panjang betul maknya membebel hari ni. Neneknya? Jangan cakaplah. Kalau neneknya itu lelaki, dah layak baca khutbah Jumaat tau.
“Dah, cukup. Jangan buat kerja macam tu lagi. Zarra duduk saja kat kuarters tu. Tak payah nak balik malam-malam buta. Kalau jadi apa-apa kat tengah jalan tu, macam mana?”
“Zarra ke tepi jelah, apa susahnya?”
Hah, menjawab saja kerja anak ini. Lantas dipiatnya telinga Zarra kuat-kuat.
“Loyar buruk tak habis-habis. Kalau mati kena langgar, kena culik ke? Tak takut ke kamu?”
“Mati tu pasti, mak. Culik, siapa yang bodoh sangat nak culik Zarra ni, mak? Nak suruh kita bayar dengan apa, daun jambu, daun rambutan?”
Emaknya angkat tangan. Surrender. Malas nak bertekak lagi.
Zarra ketawa, peluk Puan Aini kuat-kuat.
“Mak, ni ada dua ratus. Simpan, jangan main kutu banyak-banyak. Barang dapur, bil api dengan air semua dah settle. Rajin, Zarra balik. Malas, Zarra tidur.”
Puan Aini peluk anak itu erat-erat. Dia tahu, Zarra sudah banyak berkorban.
“Tak payah, gaji mak ada lagi. Zarra simpan.”
“Ambik. Gaji mak, duit mak. Ini gaji Zarra, hasil air ketiak Zarra. Mak nak simpan ke, main kutu ke, suka hati mak. Jangan lupa belikan kapur sirih nenek, meroyan nenek karang.”
Dahi Zarra dicium lama-lama. “Baik-baik bawak motor. Mak sayangkan Zarra.”
Enjin motor dohidupkan. “Abam, jaga mak, nenek, ayam, itik, rumah dan kawasan yang sewaktu dengannya. Fail, aku buang kau kat pasar malam, faham?”
Kucing itu mengiau kuat. Huh, faham pun. Apa, ingat kucing tak faham ke bahasa manusia? See the legslah weh...
DIA BARING, lega. Beg pakaian yang dibawanya bersama tadi diletakkan di tepi dinding.
“Woit, mandi. Nanti nak masuk kerja.”
Zarra angkat ibu jari. Alhamdulillah, nasib baik dia dapat kawan macam Dilla dan Ida. Dapat bilik ketiga, luas. Cukup luas untuk dua buah katil single dan sebuah almari pakaian. Okeylah tu, semua ada. Tingkap menghala ke laman, kipas siling. Bilik air pun ada dua.
“Mana Lili?”
“Lili syif pagi, Ida pun.”
“Ohhh... okey. Bagi aku dua puluh minit, nanti kita gerak.”
“Alright. Aku membuta kejap, nanti kau kejutkan aku,” pesan Zarra lalu pejamkan mata.
Lah, sempat lagi.
RINGAN KEPALA bila lelap sebentar tadi. Siap isi perut, dia dan Dilla jalan melenggang ke hotel. Bila sinar mentari sentuh wajah, dia bahagia. Zarra tongkat dagu, berangan ke langit paling jauh.
“Zarra...”
Hmmm... apa lagi?
“Dia datang.”
Siapa? Guests? Biarlah, memang dah kerja mereka. Zarra angkat muka, lemparkan senyuman sebelum senyuman itu kaku.
“Boleh balik semalam?”
Allah... lelaki itu rupanya. Dia tarik nafas dalam-dalam.
“Boleh, Encik Hisham.”
Hisham hentikan langkah. Terbuai dia seketika melihat wajah mulus itu. Mahu saja dia tarik tangan Zarra, bawa gadis itu jauh-jauh.
“Hai Encik Hisham, selalu melawat ke sini, jumpa orang kampung ke?”
Ni minah mana pulak yang sibuk jaga kaki seluar orang ni? Hisham tarik senyum, toleh ke belakang. Oh, si Liyana, sidekick Kartini, kan?
“Ya, Cik Liyana. Sebagai orang Islam, elok kita dekatkan silaturahim sesama insan. Tak gitu, Cik Dilla?” tanya Hisham lalu pandang muka Dilla.
Dilla senyum. ‘Padan muka kau, menyibuk tak kira tempat. Cabut bulu mata palsu tu karang, baru ada orang gila meraung kat ruang lobi ni. Havoc, masuk surat khabar, dapat promosi free.’
“Betul juga. Dekatkan silaturahim tu bagus, tapi jangan sampai duduk dekat-dekat sudahlah, nanti naik angin
Miss Tini.”
Perghhh... pedihnya ulasan. Hisham jeling Zarra yang buat bodoh.
“Ala... kalau dekat pun apa salahnya? Bukan Encik Hisham ni laki Miss Tini ke apa. Apa yang kau nak susah sangat, bahlul...”
Liyana ketapkan bibir. Hesy... kalau bukan sebab mereka berada di lobi, dah lama dia ganyang si Dilla. Tak sedar diri punya perempuan. Kerja receptionist pun dah besar kepala.
Zarra berdeham kuat. “Dilla, tu Naim dah datang. Aku keluar kejap ya.”
Semua mata pandang dia.
“Kau nak gi mana, Zarra?”
Zarra mendengus kuat, kemudian dia senyum sambil pandang semua manusia kat situ.
“Aku nak pergi tandas, nak berak. Boleh?”
Dilla bantai gelak kuat-kuat. Gila betul si Zarra ni.
Hisham sembunyikan senyum, tinggalkan Liyana yang ternganga keseorangan.
“YES... CARI I ke?” lunak suara itu menegurnya. Beg plastik yang terisi baju hujan dan topi keledar itu diletaknya ke atas meja.
“Mr. Zachary, thank you. Terima kasih. Maaf lambat hantar.”
Zachary ketawa sambil singsing lengan baju. “Don’t worry, ada lagi yang lain. Kalau Zarra nak, ambiklah. Free of 
charge.”
Dia geleng kepala. Free? Mana ada barang free sekarang. Nasib baik udara tak kena bayar.
“Tak boleh. Zarra pulangkan kembali ya. Terima kasih.”
Zachary tilik wajah gadis itu seketika. Selama ini bukan tiada wanita cantik yang pernah dia jumpa, tapi Zarra, entah. Berbeza. Jauh berbeza. Ada something special yang buat dia mahu tengok, pandang Zarra. Gila ke dia?
“Okay, thanks. Nanti lain hari, Zarra belanja you makan mi rebus.”
Zachary ketawa besar. Ini kali pertama dalam hidupnya ada perempuan mahu belanja dia makan mi rebus. Kalau yang lain minta dibelanja, siap candle light dinner, tak pun high class restaurant.
“Zarra dah janji, pinky swear.” Dia hulurkan jari kelengkeng.
“Haippp... Mana boleh pegang pompuan suka-suka hati.”
Kali ini Zachary gelak lagi. Dia angkat tabik, tunduk hormat.
“I’m sorry, Miss Zarra. My mistake.”
Zarra kerutkan hidung, ketawa kecil. “Huh, lain kali jangan buat lagi, potong jari you nanti tau.” Lantas dia bangun. Sudah lama dia di sini, tak pasal-pasal dituduhnya curi tulang, susah dia nanti.
“Zarra.”
Dia pandang Zachary yang sedang tersenyum lebar.
“See ya.”
Dah agak dah. Zarra ketawa kecil. “Okay, see ya.”
 “ADA APA Zarra dengan Zach?”
Allah, terkejut dia. Dari mana lelaki itu datang?
“Itu bukan urusan Encik Hisham.”
Hisham masih tercegat di situ.
“Tepi, saya nak lalu.”
Hisham pandang keliling.
“Zarra, kita perlu jumpa.”
Zarra geleng.
“Sekarang kita dah jumpa, kan? So, settle, done.”
Hisham ke kiri, halang dari gadis itu melangkah.
“Zarra, abang kena bincang dengan Zarra. Please...”
Abang? Dia mahu menangis. Cukuplah. Sudahlah.
“Encik Hisham, sebelum saya dan Encik Hisham kena cekup dengan geng-geng Miss Tini, izinkan saya lalu. Tepi!”
Hisham mengeluh dalam kesal. Kerasnya hati Zarra. Dia hanya mampu mengekori langkah Zarra yang tinggalkan dia bak tunggul di situ.
“I DENGAR you pergi melawat rakan sekampung you lagi? Ada apa-apa ke?”
Huh, pandai si Liyana buat kerja. Patutnya dia hantar Liyana ke badan perisik, latih jadi spy untuk Malaysia. Liyana
memang ada bakat itu.
“Tanya khabar, borak-borak, ajak makan-makan.”
Kartini jeling, tajam dan berapi.
“Are you serious?”
“Kalau I serius pun kenapa? Lagipun family I kenal family dia.”
Kartini dengus kecil, lontarkan rambutnya yang ikal mayang ke belakang. “Kalau macam tu baguslah, cakap dengan umi you, terus ambik buat menantu.”
Memang, memang uminya mahu dia memperisteri Zarra. Dari dulu lagi umi minta dia menjejaki Zarra, kotakan janjinya sepuluh tahun yang dulu.
“Hai, diam aje. Kalau diam tu bukan ke tandanya setuju?”
Hisham sedut minumannya. “Kalau umi setuju, I okey je. Lagipun I bukan milik sesiapa, kan?”
Bingkas bangun, hentak beg tangan Miu Miu itu ke meja.
“You... Lelaki memang...”
Memang apa? Memerang, beruang, keluang? Hah! Tadi bukan main.
“You nak pergi mana ni, babe?”
Kartini ketap bibir. “I nak balik.”
Okey, balik. Baliklah. Dia dah penat, tak mampu nak memujuk rayu. Nak balik sangat kan? Pergi balik. Dia pun nak balik, tidur.
“Sham!” panggil Kartini bila melihat Hisham hendak berlalu.
“What?”
 “You nak pergi mana?”
“Dah tadi you cakap nak balik, I pun nak balik, nak tidur. Bye.” Dia sambar kunci kereta, biarkan Kartini yang terbeliak memandangnya.
Tidur lagi baik!
TANGANNYA PADA dahi. Dia renung siling. Wajah muram Hisham petang tadi kini memburu lelap malamnya. Zarra bangun, panggung kepala. Biar betul, takkan dia rindukan Hisham? Rindukan lelaki yang jahanamkan dia suatu ketika dulu.
Dia petik suis lampu. Alang-alang dah bangun tengah malam, baik dia ambil wuduk. Solat tahajud dan witir. Moga Allah lindungi dia sekeluarga. Abam, kalaulah kucingnya ada bersama...

No comments:

Post a Comment