PUAS hatinya. Kartini menyedut air itu perlahan-lahan.
Hatinya sesejuk air yang ditelan. Beberapa potongan daging juga disuapnya ke
mulut. Sedap, lembut dan berjus.
“Baru kena dengan tempat dia, Miss Tini. Kalau dia tak larat
nanti, tahulah dia berhenti kerja sendiri.”
Kartini senyum senget. Dia bukannya kejam sangat. Kerjalah
kalau nak kerja, jangan ganggu Hisham sudah. Sekampung ke, satu sekolah ke, itu
cerita lama. Manusia banyak sangat emosi. Cerita lama pun mahu dikenang-kenang.
Kenal masa kecil, sekarang sudah besar, takkan nak main pondok-pondok lagi kut?
Childish.
“Jadi, orang kampung Hisham tu dah start kerja di
housekeepinglah?”
Liyana angguk laju-laju.
“Tapi Puan Fetty dengan Madam Jayasri sibuk tanya pasal dia,
risaukan dia kerja dekat situ. Menyibuk je dua
manusia tu.”
“Fetty dengan Jayasri di HR tu? Cakap dengan diaorang,
jangan menyibuk. Nanti dengan diaorang I suruh buat kerja housekeeping.”
Liyana tergelak. Kan, kalau Fetty kena pecat lagi baik,
boleh dia minta Kartini naikkan pangkat, gantikan dia dengan tempat Fetty.
“I tak rasa Hisham tahu niat si Zarra tu, Miss Tini.”
Kartini telan stik itu perlahan-lahan. “Maksud you?”
Liyana pandang Kartini, kerutkan dahi seketika. “I rasa kan,
Miss Tini... Zarra tu memang ada niat nak usyar Hisham. Yalah, dia tahu Hisham
tu kan sekarang ni dah berjawatan besar, anak orang senang kan. Mesti dia ada
niat nak dekatkan diri.”
Kali ini Kartini letakkan garpu dia perlahan-lahan. Dia
angkat gelas, teguk air beberapa kali. “Betul juga cakap kau ni kan? Takkan
Hisham, mesti budak bodoh tu yang menyibuk nak menempel. Parasit.”
Bulat mata Liyana. “Betul tu, Miss Tini. Dia memang
parasit.”
Kartini senyum. Dia sudah masak dengan perangai ‘parasit’.
Ni ha, dekat depan mata dia, sama juga. Si Liyana ni parasit juga, bezanya
Liyana pandai mengambil hatinya, pandai cari berita dan cerita. Lebih tepat
lagi, Liyana jadi mata dan telinga dia di sini. Hah! Kalau dah lumpur, palit
kat mana-mana pun tetap lumpur. Dia tersenyum sendiri.
“Bila Miss Tini nak buat spotcheck lagi?” soal Liyana
serius.
Kartini geleng kepala. “I tak boleh selalu datang, Sham
marah. Papa pun. Papa tu selalu take side, sokong Sham.”
Liyana ketawa kecil. “Laa... kalau bukan papa you,
siapa lagi yang nak sokong Hisham? Dia kan bakal menantu
Tengku, mesti dia sokong Hisham.”
Logik juga alasan si Liyana ni. Kartini kembali senyum.
“Okeylah... nanti I belikan handbag baru untuk you. Minggu depan I nak pergi
KL, pergi Pavilion.”
Liyana tersengih macam kera dapat bunga. Tak sia-sia dia
mengorek cerita. Akhirnya dapat juga habuan yang diidam-idamkan.
“Alaaa... It’s okay, Miss Tini. I cuma nak tolong you saja.”
Kartini senyum. ‘Huh... aku kenal siapa kau.’
“No, no... You memang penting buat I. You are my friend,
right?”
Liyana cepat-cepat tersenyum. Huihhh... kembang hatinya.
ALAHAI... MACAM tongkang pecah. Comforter kat lantai, bantal
pun kat lantai. Nasib baik tilam tak bergerak. Tidur ke mengamuk penghuni bilik
ni? Zarra geleng kepala. Dia kutip semuanya lalu susunkan di hujung bilik.
Pintu bilik mandi itu dibukanya perlahan. Amboiii... tuala pun main campak
macam tu... Orang ke monyet ni?
Wanie tarik troli perlahan-lahan ke dalam ruang bilik.
Terbeliak matanya memandang. Sah. Ni mesti couple honeymoon punya kerja. Bunga
mawar pun main tabur-tabur di atas lantai. Dia cekak pinggang.
“Aku tahu ni kerja kita, tapi manusia macam ginilah yang paling
aku benci. Ingat ni bapak dia punya hotel ke apa,” bebel Wanie sambil memasang
plug vacuum cleaner. Teruk
betul. Nak buat apa kat dalam bilik ni, buatlah. Bukan dia
kisah pun. Namun, biarlah ada otak sikit.
“Kalau macam ni punya gaya, couple baru kahwin tak pun baru
dapat bini muda. Mau tunggang terbalik bilik ni dibuatnya.”
Zarra gelak. Tangannya pantas menukar cadar dan comforter.
Bantal juga digantikan sarungnya selepas dikebas beberapa kali. Ni kalau
neneknya nampak, mahu Tok Teh sumpah penghuni bilik ni jadi gobek sirih. Dia
tersenyum sendiri. Bunyi Wanie ketawa dari dalam bilik air buat dia menjenguk.
“Apa hal?” soalnya ingin tahu.
Wanie masih gelak kuat-kuat.
“Aku kan, rela kutip Pampers daripada benda ni... bengong
betul diaorang ni...”
Di tangannya yang bersarung, ada sehelai panties merah
jarang.
Zarra tutup mulut sambil terduduk. Aduhai...
“Zarra rasa kan kak, dia tinggalkan untuk akak. Tanda
ingatan tulus ikhlas.”
Mereka sama-sama ketawa.
“Eh, Zarra... perut akak memulas la. Akak pergi tandas
dulu.”
“Laaa... guna je yang sini, nanti basuhlah.”
Wanie geleng kepala.
“Gila kau, mana boleh. Akak turun jap.”
Zarra ketawa lagi.
“Akak pergi je. Biar Zarra sudahkan bilik ni. Pergi
jelah...”
Bagai ribut Wanie berlari keluar. Mahu Zarra ketawa
kuat-kuat. Dia kembali ke katil, mengemas sebaik mungkin.
Beberapa tong sampah dia kosongkan. Langsir juga dibukanya luas agar cahaya
matahari dapat masuk. Bunyi pintu ditutup buat dia tersenyum.
“Amboi, cepatnya melabur, kak.”
Tangannya masih lincah menyembur pewangi fabrik.
“Zarra okey?”
Kaku tangannya di udara. Perlahan dia menoleh.
Hisham.
Hisham yang tersenyum memandangnya. Berdiri di hadapannya
dengan tangan memeluk tubuh. Sepasang mata itu memandangnya lembut, tersenyum
kepadanya. Allah... kuatkan hatinya. Dia menarik nafas berkali-kali, memujuk
hati supaya jangan bergetar terlampau hebat.
“Zarra okey?”
Dia diamkan sahaja. Biar lelaki itu bercakap sendiri. Lebih
penting baginya untuk menyiapkan kerja.
Hisham tarik nafas dalam-dalam. Kebetulan dia lalu,
terserempak dia dengan Wanie yang laju saja lariannya. Bukan niatnya untuk
mengacau Zarra, namun hatinya rindu. Kalau dulu, boleh saja dia melirik pada
gadis itu di kaunter resepsi, kini dia perlu gunakan segala peluang, segala
ruang.
“Zarra, Zarra tak nak cakap langsung dengan abang ke? Fine.
Abang tunggu di sini.”
‘Eee... aku baling dengan botol syampu ni karang, benjol
dahi tu.’ Zarra terus membisu. Semua sudah siap. Tinggal bilik air sahaja. Dia
berjalan, pantas dan laju.
Hisham cuba meraih tangan itu namun hatinya melarang.
Dibuatnya Zarra menjerit, mahu kecoh satu hotel. Biru mukanya nanti. Aduhhh...
kerasnya hati gadis nan seorang ini. Dia jeling Zarra yang mula mengemop lantai
bilik
air. Kali ini dia tekad. Hisham melangkah masuk, mengunci
pintu bilik air lalu bersandar padanya.
“Abang buat apa ni?”
Haaa... bercakap pun. Ingatkan nak bisu terus. Hisham
sembunyikan senyum di sebalik jemarinya.
“Abang nak tolong Zarra basuh tandas, boleh?” soalnya
bergurau. Aduhai, manisnya gadis itu bila menyinga marah. ‘Marahlah, asalkan
kau ampunkan aku, Zarra.’
“Nah, mop lantai ni. Ke tepi, Zarra nak keluar!” Sedikit
kuat suara gadis itu. Dia sudah geram. Kalau diikutkan hatinya, ditonyohnya mop
itu ke muka Hisham yang tersenyum lebar.
Hisham sandarkan badan ke pintu, depakan tangan. Ni kalau si
Zarra betul tonyoh muka dia dengan mop, memang dia pengsan kut. Dia telan liur
perlahan-lahan.
“Abang nak jumpa Zarra. Abang nak kita duduk dan berbincang,
boleh?”
Kali ini Zarra betul-betul naik angin.
“For real? Nak bincang dalam bathroom ni? Kat sini? Encik
Hisham nak saya kena buang kerja? Siapa? Siapa yang tanggung mak dan nenek
saya? Ke tepi!”
“Abang...”
Zarra angkat wajah, mengetapkan bibir beberapa kali.
“Abang apa abang?” soal Zarra sakit hati.
“Biar abang tanggung Zarra. Abang tanggung mak. Abang
tanggung nenek.”
Hatinya bergetar. Tangannya dikepal beberapa kali. Tubir
matanya sudah lama berair namun dia masih mampu menahannya. ‘Kenapa? Kenapa kau
seksa aku begini, Ya Allah...’
Hisham tarik nafas dalam-dalam. Tak mampu dia melihat wajah
gadis itu yang mulai hiba. Hatinya ngilu. Dia perlu betulkan segalanya.
“Abang akan bertanggungjawab atas semuanya.”
Zarra geleng. “Zarra tak ingin. Zarra benci abang!”
Lelaki itu mengukir senyum, hiba dan sesal.
“Berikan abang peluang, Zarra...”
Dia mengesat pipi, berkali-kali. Dipandangnya lelaki itu
dalam air mata yang berjuraian. Bukankah dia sudah berjanji untuk tidak
menangis lagi di hadapan lelaki ini?
“Tolonglah... izinkan Zarra keluar...” rintihnya perlahan.
Hisham mengalah. “Abang minta maaf. Kita jumpa lagi.
Sungguh, antara kita masih banyak yang perlu kita bincangkan, Zarra. Abang
minta maaf untuk hari ini.”
Perlahan lelaki itu keluar lalu menarik daun pintu. Bila
saja pintu itu dikatup rapat, Zarra terduduk di lantai. Dia menangis dan terus
menangis.
DIA BERSANDAR pada sofa, merenung langit di luar tingkap.
Jemari diangkat, menghadang sinar yang perlahan menusuk penglihatan.
Jari-jemari ini juga yang pernah memegang Zarra, mengasari gadis itu dan
membuat sesuatu yang di luar fikirannya. Dia menarik tangan, meletakkannya ke
dahi.
“Kenapa dengan kau?”
Matanya perlahan dibuka. Yusri melunjurkan kaki di sofa di
sebelahnya.
“Masalah yang kusut.”
Yusri tersenyum, matanya pula yang terpejam. Kalaulah mampu
dia lelap sebentar.
“Kalau kusut, leraikan perlahan-lahan. Yang kusut bukannya
boleh kita tarik, nanti putus. Leraikan dari awal, perlahan dan berhati-hati.
Insya-Allah, ada penghujungnya.”
Hisham luruskan badan, pandang Yusri yang seakan-akan
terlelap. Boleh tahan juga kata-kata hikmat si botak ni.
“Apa yang kusut sangat? Aku tengok kau dengan Miss Tini tu
okey je.”
Hisham kembali menyandar. Lepaskan nafas sepanjang mungkin.
“Bukan dia.”
Kali ini Yusri buka mata, pandang dia luas-luas.
“Siapa?”
Hisham senyum hambar.
“Cinta lama.”
Ahhh... itu memang sakit. Lagi sakit kalau cinta lama hadir
tatkala cinta baru mahu berputik, mewangi di laman hati. Susah tu.
“Apa kusutnya? Lupakanlah saja.”
Hisham geleng beberapa kali. “Tak boleh, Yus. Ada ikatan
antara kami yang belum selesai.”
Yusri menyeringai, sedikit menggeliat. “Kalau macam tu,
kahwin dua-dua terus. Bukannya kau tak mampu.”
Hisham tergelak kecil. Nak mati? Mahu dia dicampak ke gaung
paling dalam? Hooo... pantang uminya bila anaknya menduakan cinta. Kata umi,
abi mampu terus setia, takkan anak-anaknya tak mampu buat perkara yang sama?
“Tak nak cari penyakit, Yus. Daripada tak ada
penyakit, dapat bertimpa-timpa.”
“Siapa dia?” soal Yusri ingin tahu. Siapa yang mampu
menggetarkan hati si Hisham ni? Kartini anak bongsu Tengku Adnan cantiknya
mengalahkan selebriti. Mulus dan kaya raya. Takkan Hisham sanggup tinggalkan
Kartini demi cinta lama?
“Rahsia. Bukan masanya lagi. Nanti kalau kau tahu, mesti kau
terkejut.”
Yusri bangun. Mencerut dia lapar. Kena turun bawah ni, isi
perut dulu. “Tak apa. Nanti aku tahu jugak.”
“EH, KENAPA dengan Zarra ni? Zarra okey? Jatuh bilik air
ke?” soal Wanie sedikit gementar. Apa kena dengan si Zarra ni? Menangis di
birai katil.
Zarra geleng kepala. Beberapa kali dia sapu pipi, mahu
segera kering. “Zarra migrain. Pening kepala sangat.” Sengaja dia menekan-nekan
dahi, mengerutkan kening.
Wanie urut dada. “Huh, berdebar akak, tau... Dah, biar aku
sambung.”
“Dah siap. Jom Kak Wanie, makan nak? Laparlah...”
Wanie tersenyum lebar. “Samalah. Selepas ‘kosongkan’,
kenalah refill balik.” Ditariknya tangan Zarra.
Migrain. Masuk angin pun mungkin. Wanie senyum lagi.
Biasalah, budak-budak baru kerja memang macam tu. Itu pun belum masuk musim
cuti sekolah. Hooo... cuti sekolah jawabnya tiga kali ganda beban kerjalah.
“Dah, nanti makan Panadol. Kita makan dulu. Aku goreng nasi
ikan kukus dengan cili padi. Sedap wooo... Lepas makan ubat, Zarra rehat.”
Zarra geleng lagi.
“Lepas makan kita sambung kerja. Zarra dah okey.”
Wanie cebikkan bibir. Degil. Okey apanya mata merah macam
naga berapi. Zarra, Zarra.
“SEDAP?”
Abid angkat dua ibu jari. Digigitnya lagi hirisan daging
masak asam tadi. Kalau kena dengan nasi panas ni lagi haru. Tambah sambal
belacan dengan petai jeruk.
“Zach?”
“What?”
“Kau suka si Zarra tu eh?”
Zachary hentikan gerak, letakkan pinggan berhati-hati.
Soalan datang macam taufan, terkejut dia. Abid yang tersenyum-senyum itu buat
dia mahu ketawa. Muka miang pun ada. Haru sungguh.
“Zarra?”
“Yalah, takkan pak guard kita kut...”
Zachary gelak kecil. Mental dibuatnya kalau dengan si Abid.
Sekilas wajah Zarra yang tersenyum lembut terlintas di wayang ingatan.
“Kalau ya, apa salahnya? Dia single, I’m also single.”
Abid ketawa kuat-kuat. “Kau memanglah single, tapi mata air
keliling bangunan.” Dia tahu. Mana dia pergi dengan Zachary, ada saja perempuan
yang ‘terjatuh’ cinta dengan mat salih celup tepung gomak ni. Dah muka handsome
macam model majalah, mahunya hati tak terpikat. Dia lainlah, Melayu asli.
Kacukan mak dan ayah, hehehe...
“Tapi seriously,
she’s so beautiful... Buat hati aku tergendala rentaknya.”
Amboi, tergendala terus mamat ni. Boleh tahan juga ayatnya.
“Habis tu, Liyana baby nak letak mana?” usik Abid. Tangannya
pantas dilap. Dia mahu segera siapkan puding roti karamel untuk minum petang.
“Liyana? Adoi... tolonglah... she’s too full of herself. Tak
nak aku.”
Abid gelak juga. Kan... cantik bergaya kalau akal pendek,
perangai senget, baik tak payah. Dia rela kahwin dengan Salina, anak Pak Mat
guru KAFA di depan rumahnya. Memang tak cantik macam Liyana, tapi cantik asli.
Tak ada palsu sana sini. Mengaji pun pandai. Masak? Dia boleh masak. Abid
senyum sendiri. Masalahnya Salina tu tunang orang. Alahai... melepas.
“Yang kau senyum-senyum ni kenapa? Kau yang nakkan si Liyana
tu, kan? Screw your funny head la, Bid.”
“Hoiii... simpang junction empat puluh empat, aku tak mau
weh...”
Meledak ketawa mereka.
“Kalau kau tak berkenan, aku nak usyar.”
“Siapa? Liyana?” soal Zachary kembali.
“Zarra la... Adoiii...”
Zachary ketawa lagi. “No.”
“No apanya?”
“She’s mine.”
Abid geleng kepala. “Beranganlah kau.”
Zachary senyum kembali. Betulkah? Betulkah dia sukakan Zarra
yang cantik perangai ala-ala tomboi tu? Dia
dah gila agaknya. Kalau gila pun, gilalah. Hati sudah
terpaut, sangkut terus. Dia senyum, bayangkan Zarra yang kembali tersenyum
kepadanya.
“Hoi! Parah kau ni...” Abid terus bantai ketawa. Memang
Zachary dilanda angau.
“AKU DENGAR sendiri, Yana. Diaorang puji si Zarra tu
melambung-lambung, lepas tu kutuk-kutuk kau berbakul-bakul. Sakit hati aku,
beb.”
Membara hatinya. Memang nak kena si Zarra tu. Dia menyandar
pada kerusi.
“Kau jangan buat cerita Izrin, aku tampar kau nanti.”
Izrin angkat bahu, suap roti ke mulut. “Telinga aku yang
dengar, beb. Kalau kau nak percaya ke, tak percaya ke, up to you. Hah, tu
hah... panjang umur si Zarra tu.”
Liyana angkat wajah. Matanya menyorot langkah Zarra yang
juga menuju ke arah mereka. Dia tersenyum sinis. Sengaja dia tolak beberapa
helai tisu dan macaroon itu ke lantai sewaktu Zarra lalu di hadapan mereka.
“Excuse me, cleaning people, kan? Kutip ni...” Dia lunjurkan
kaki, sentuh hujung tisu dan macaroon yang berserakan di lantai marmar. Izrin
pula menutup mulut, menahan ketawa yang membuak perlahan. Liyana angkat kening,
pandang Zarra dengan penuh makna.
Zarra menahan nafas. Perlahan dia beristighfar dalam hati.
Dia lebarkan senyuman lalu duduk, mengeluarkan beberapa helai tisu bersih yang
tersedia dari poket seluar. Tisu kotor dan kepingan macaroon itu dikutipnya
berhati-hati. Dia lakukannya sebaik mungkin, hingga licin dan bersih lantai
itu. Semuanya dibalutkan di dalam tisu lalu dibuangnya
ke dalam bakul sampah yang tersedia tidak jauh dari meja
Liyana dan Izrin.
Liyana kian jengkel. Diambilnya sekeping lagi macaroon merah
jambu lalu ditaburnya ke lantai.
“Helo, ada lagilah... Bersihkan cepat.”
Izrin menggelekek ketawa. Cepat-cepat dia mengeluarkan
telefon pintarnya dan mengambil gambar Zarra. Hahaha... bodoh macam lembu. Dia
snap beberapa gambar lagi.
Zarra senyum, tunduk kembali. Biarlah, biarlah dia pujuk
hatinya sendiri. Tak rugi, boleh juga dia dapat pahala free. Marah? Memang dia
marah tapi dia masih ingat kata neneknya. Orang yang marah namun berjaya menahan
marahnya adalah orang yang menang. Dia sedang menang, bukan?
Liyana senyum sambil ketawa sinis. Tunduk. Tunduk lagi. ‘Kau
ingat kau siapa? Ini Liyanalah!’ Perlahan dia menghulur kasut dan memijak
macaroon tadi hingga hancur. Rasakan!
DIA PANDANG cermin. Wajahnya yang sedikit comot ditenungnya
beberapa ketika. Sabar. Ini kecil saja. Masih ada lagi masalah yang lebih besar
daripada ini. Nun, luar sana, ada yang kebuluran, ada yang menghadapi perang.
Dia? Masalah dia kecil saja.
Bertabahlah, Zarra. Dia senyum, menyapu pipi berkali-kali.
Bunyi telefon buat dia tersedar.
“Kau kat mana?”
Dia telan liur, tarik nafas panjang-panjang.
“Kat tandas. Kenapa?”
“Nanti pukul 3.30 ada staff meeting sekejap di staff hall
sebelah Grand Ballroom 1. Ada taklimat sepuluh minit.”
Zarra angguk, pandang wajah pada cermin.
“Okay, thank you, kak.”
Jam tangan milik arwah ayah ditenungnya. Lagi lima minit.
Sempatlah dia bersihkan wajah.
RAMAINYA. DIA pandang jam beberapa kali. Cepatlah, dia nak
balik ke kuarters, mahu mandi dan bersihkan diri. Dilla yang tercatuk di
sebelahnya asyik dengan telefon pintarnya dari tadi. Wanie pula mata separuh
terpejam sambil berdiri.
“Hi, sweetie pie!”
Zarra menoleh, sudah dapat mengagak tuan punya suara.
“Apa pai-pai? Kalau bakekan kita satu beef pie kan sedap,”
usiknya sambil menjeling Zachary yang tercegat di sebelahnya. Aduh, lagi dekat
lagi handsome. Betul ke si Zachary ni sous chef? Macam handsome sangat, tak
layak duduk dapur. Selayaknya Zachary di cover majalah, tak pun layar televisyen.
“Do you want to? Zach boleh buat. Petang ni, tapi Zarra kena
sokong Zach lawan pingpong kat tempat biasalah.”
Zarra ketawa. Hai, main pingpong pun nak kena ada pom-pom
girl juga ke? Dia pandang sekeliling. Banyak mata yang memandang, terutama si
gadis-gadis manis. Mesti semuanya secret admirer si Zachary yang tercegat di
sebelahnya ini. Dia mahu ketawa namun terhenti tatkala matanya bertentang
dengan sepasang mata yang penuh
amarah.
Liyana.
Zarra mendengus, pandang Liyana dan lemparkan senyuman.
Amboi, tengok dia macam nak dimakan.
“Zarra tengok apa?” soal Zachary hairan.
“Your admirers. Semua pandang sini macam nak makan Zarra.
Takut weh. Duduk jauh-jauh sikit.”
Wanie angguk, tunjal bahu Zachary kuat-kuat. “Entahnya, jauh
sikit. Mana boleh duduk dekat-dekat dengan si Zarra ni. Dia anak dara lagi
tau.”
Hatinya terhenti seketika. Anak dara. Allah... pedihnya. Zarra
tunduk pandang lantai. Mahu saja dia menangis, namun dia bertahan. Nanti pelik
pula orang sekeliling.
“Tu, Liyana Barbie tu pandang Zarra macam nak makan. Dia kan
peminat nombor satu kau, Zach. Nanti ada budak Zarra ni kena santau dek si
Liyana tu,” tambah Wanie lagi. Matanya sekilas memandang Liyana yang panjang
muncungnya. Boleh gantung baju.
“Okey, assalamualaikum, attention please.”
Semua suara terus bisu. Hisham berdiri di pentas, tersenyum
lebar sambil memberi isyarat. Layar LCD mula bercahaya.
“Saya dimaklumkan, setiap bulan kita ada anugerah cemerlang.
Anugerah kali ni bukan baucar makan ya, kali ni kita bagi special sikit. Untuk
seorang lelaki dan wanita. Dua-dua best staff of the month kita kali ni akan
dapat satu set telefon pintar. Sponsor dirahsiakan.”
Bersorak-sorak semua staf yang ada. Zarra tumpang senyum.
Dia buang pandangan ke arah lain. Tak mahu dia memandang Hisham. Hatinya masih
sebu.
Layar LCD kemudian terang. Dua gambar terpapar. Terasa
pinggangnya disigung. Zarra angkat wajah lalu ternganga. Kenapa pula muka dia
ada kat situ?
Zachary galak tergelak di sebelahnya. “Congrats,
sweetheart.”
Zarra geleng kepala. Pandang Hisham yang sekilas
memandangnya dari atas pentas.
“Dipersilakan Cik Zarra Zainal dari housekeeping dan Encik
Atif dari maintance. Tahniah. Jemput naik ambil hadiah anda.”
Eee... geramnya. Tak ada manusia lain ke yang nak sampaikan
hadiah tu? Zarra buat-buat senyum, perlahan berjalan ke pentas.
“Excuse me, Encik Hisham? Atas dasar apa mereka dipilih?”
soal Liyana kuat. Wajahnya serius sambil pandang Zarra yang berdiri tenang
berhampiran pentas.
Hisham senyum, beri isyarat. Gambar Atif sedang membetulkan
sesuatu dipaparkan.
“Encik Atif layak kerana beliau berjaya membuat pemantauan
dan mengatasi beberapa masalah teknikal dengan pantas. Paling penting, beliau
buat dengan cermat, rekod tugasannya juga kemas dan lengkap.”
Atif angkat tangan, tersenyum-senyum.
“As for Miss Zarra, saya rasa gambar ni boleh tolong kut.”
Semua mata memandang layar yang terbentang. Zarra telan
liur. Beberapa gambarnya yang sedang ralit mengutip dan membersihkan macaroon
serta tisu di laman coffee-house hari itu dipapar terang.
“Kebetulan hari itu ada seorang pelancong, tetamu kita
sedang makan. Dia yang ambil gambar ni. Dia rasa Cik Zarra seorang yang sangat
prihatin. Cuma dia hairan dengan
orang yang membuang sisa tu. Saya kaburkan gambar kerana si
pembuat tu staf kita juga.”
Berdengung suara ramai di situ. Masing-masing berspekulasi.
Ada juga yang memandang sana sini.
“Saya tak nak cakap siapa, tapi semestinya saya tahu. Saya
fikir mungkin dia sedang menguji kecekapan Cik Zarra atau sememangnya orang
dalam gambar ini otaknya tidak betul.”
Menggelegak ketawa. Beberapa mata memandang Liyana yang
kepucatan.
“So, saya rasa fair kan?”
“Ya!!!”
Hisham tersenyum lebar. Dihulurkan kotak berbalut cantik itu
kepada Atif, juga Zarra. Langsung Zarra tidak memandang wajahnya, sekadar
angguk kecil dan ucapan terima kasih. Cepat-cepat dia kembali ke sisi Zachary
yang sibuk tersengih.
“Tahniah sweetie pie, good work. Siapa yang buat macam tu?
Cakap dengan Zach, biar Zach gasak dia. Bodohnya.” Dia sendiri terkejut apabila
melihat gambar itu.
“Dah kerja Zarra, Zarra buat sajalah. Siapa yang buat bukan
penting pun. Zach nak phone ni? Ambiklah, Zarra tak mau. Pakai telefon cikai
lagi bagus, tak sakitkan otak.”
Zachary ketawa, buat ramai mata menoleh. “Pakai sajalah.
Nanti masuk WhatsApp group, senang nak mengumpat. Boleh video call dengan Zach
tengah malam ke, dalam bathroom ke...”
Ehhh... boleh tahan gatal juga mamat ni. Dia tumbuk bahu
Zachary, kuat dan padu. Mengaduh lelaki itu sambil mengusap bahu.
“Zarra, you are lucky tau.” Perlahan saja tutur Zachary.
Dia jongket kening. “Kenapa pulak? Sebab dapat phone ni?”
Eleh, dia tak hairan. Bukan keperluan untuk dia. Banyak lagi benda yang dia
perlu utamakan.
Lelaki ini menyeringai, geleng sambil pandang kiri dan
kanan.
“No. You are lucky because there are so many people here. If
not...”
“Apa, apa?” soal Zarra mahu tergelak. Seriusnya si Zachary.
“I shall kiss you on the spot...”
Gulp. Mana air liur? Kenapa tekak tiba-tiba rasa kering?
Zarra telan liur sekali lagi. Pandang Zachary yang tersenyum dalam serius.
“Okeylah, I jalan dulu. See ya.” Cepat-cepat Zarra buka
langkah. Laju dan pantas.
Zachary ketawa kecil. Tahu takut.
KOTAK SMARTPHONE itu dipandang tanpa rasa. Bukan dia tidak
bersyukur tapi dia masih terkejut. Siapa yang ambil gambarnya? Setahunya Izrin,
tapi gambar yang tadi, diambil dari jarak jauh.
“Kenapa kau bagi muka sangat pada Liyana tu?” soal Wanie
tiba-tiba.
Zarra terkesima.
“Kami tahu dia yang buat. Tengok kasut dia pun kami tahu.”
Ohhh... Zarra tersenyum, menyandar pada sofa. Dilla juga
ada, ralit menyuap roti telur.
“Kau nak suruh aku
buat apa, smackdown dia? Lempang dia? Cakap je,” tambah Dilla geram. Memang dia
tahu itu kerja Liyana. Semua orang tahu.
“Tak payah. Dah kerja aku, aku buat ajelah. Lagipun takkan
nak biarkan sisa tu kat lantai?”
Dilla geleng kepala. “Kau jangan lurus sangat. Izrin tu, dia
yang jaga coffee-house, bukan kau. Jangan sampai diaorang buli kau lebih-lebih,
Zarra.”
Zarra hela nafas, pegang tangan Dilla. “Tak. Aku tak
biarkan. Aku cuma malas nak cari gaduh, itu je.” Betul. Dia mahu cari rezeki.
Bukan tak ada tempat lain tapi dia rasa seronok bekerja di sini. Ada
kawan-kawan yang baik seperti mereka semua, kebajikan juga terjaga.
“Kau ni baik sangat,” komen Dilla.
Zarra senyum, belek smartphone itu sekali lagi.
“Bak sini telefon buruk kau. Aku nak masukkan SIM card.
Nanti boleh aku add dalam grup. Senang nak mengumpat.”
Zarra ketawa. Dia hulurkan saja. Buatlah, dia ikut asalkan
benda baik. Apa yang susah sangat kan?
“SUSAH KAU. Aku rasa dia ada pasang spy ni... Tak boleh
jadi,” rungut Liyana geram. Nasib baik gambarnya dan Izrin dikaburkan. Kalau
tidak, malu juga. Siapalah yang jahanam sangat ambil gambar-gambar tu?
Izrin masih kepucatan. Dia perasan beberapa staf yang lain
menjeling sinis. Dia rasa ada yang sudah tahu.
“Persetankan. Budak Zarra ni, suatu hari nanti, dia tahulah
langit tu tinggi ke rendah.”
Ehhh... langit memang tinggi, semua orang tahu. Bodoh ke si
Liyana ni? Izrin terkulat-kulat, mahu senyum atau tidak.
“Silap kau jugak, melampau sangat hari tu.”
Liyana bulatkan mata. ‘Aku tonyoh juga mulut bodoh si Izrin
ni.’
“Hoi, yang engkau siap gelak-gelak ambil gambar tu pun bukan
sama je ke? Kau jangan nak dajalkan aku sorang. Kalau aku jatuh, aku heret kau
sekali.”
Izrin garu pipi, telan liur beberapa kali.
“Janganlah marah, Yana. Aku rasa baik kita berhati-hati. Si
Zarra banyak geng jugak. Even Zach pujaan kau pun sokong dia.”
Lagilah Liyana naik angin. Zachary dia yang punya. Dia tahu
Zachary ramai kekasih yang memuja, tapi dia tetap tahu, Zachary hanya untuknya.
Dia yang terlebih dahulu kenal Zachary. Jangan nak cari pasal dengan dia.
Izrin terus diam. Baik dia tutup mulut. Meletup si Liyana,
nanti dia juga tumpang malu.
“Okeylah babe, aku balik dulu.”
Liyana diam saja. Otak kerah berfikir. Zarra. Dia mesti
singkirkan Zarra.
JENDELA ITU dibukanya seluas mungkin. Hanya berkain pelekat,
Hisham berteleku memandang langit. Nun, jauh di awan yang terapung bak kapas,
wajah Zarra bersilih ganti. Zarra yang tersenyum, Zarra yang menangis, Zarra
yang marah. Semuanya Zarra. Dia pandang langit itu lagi. Ada pelangi yang
merentasi. Hisham geleng kepala, tergelak
sendiri. Kena sampuk ke kena minyak senyonyong?
Telefon pintar yang menjerit hentikan segala lamunannya.
Pantas dia menyambar, memandang skrin.
Kartini.
“Buat apa?”
“Waalaikummussalam.”
Kartini gelak kecil.
“Sorry. Assalamualaikum, sayang.”
“Waalaikummussalam.”
“You buat apa?”
“Talking to you, kan?”
Terdengar bunyi suara gadis itu mendengus perlahan.
“Keluar jom. Pergi Sushi King.”
Aduhhh... malasnya. Dia sudah kenyang, makan nasi, sambal
petai ikan bilis dengan kerapu tiga rasa.
“Please, Sham... I miss you so much...” pujuk Kartini manja.
Hisham pandang langit. Wajah Zarra masih ada. Biarlah,
sekejap saja. Mungkin dia boleh berbincang dengan Kartini, berterus terang.
“Okay. Give me thirty minutes.”
Suara lunak Kartini ketawa riang buat dia rasa bersalah.
Belum sempat dia menyambung kata, talian dimatikan.
“SURPRISE!!!”
Hisham terpempan. Wajah papa dan mama Kartini yang tersenyum
lebar buat dia kaku seketika. Bukan tidak dia pernah berjumpa kedua-duanya,
namun dia tidak menyangka kejutan sebegini yang disediakan. Hisham hulurkan
tangan, bersalaman dan bertukar senyuman.
“Mesti you terkejut, kan?” soal Kartini riang.
‘Sangat.’ Aduhhh... padahal asalnya dia mahu berbincang
dengan Kartini sahaja. Dia mengambil tempat, duduk di sebelah Tengku Adnan.
“Duduk sinilah,” pelawa Kartini manja.
Dia geleng, berikan senyuman. “I’m not your husband.”
Kartini senyum, kenyitkan mata. “Will be.”
Dia hulurkan tangan, cuba meraih jemari Hisham namun hampa.
Hisham memandangnya lalu gelengkan kepala. Dia cebikkan bibir, cuba tersenyum
walaupun hati terasa pahit.
“So, ada apa sampai heret papa dengan mama kat sini?”
Kartini senyum lebar. Dia pandang Hisham lalu lentokkan bahu
dengan senyuman yang paling manis.
“Papa, mama... Tini dengan Hisham nak bertunang. We’re
getting engaged!”
Hisham berhenti bernafas. Matanya tak lepas memandang Kartini
yang tersenyum manis sambil memeluk mamanya. Bahunya ditepuk Tengku Adnan
berkali-kali. Dia kaku.
“Well done, my boy. Bila Hisham lamar Tini?” soal Tengku
Adnan ingin tahu. Dia pandang wajah Hisham yang terkejut. Terkejut? Pelik.
Hisham geleng kepala, urut dahi beberapa kali.
“Bila Hisham lamar Tini?” tanya Tengku Adnan sekali lagi.
Dia angkat wajah, pandang Tengku Adnan yang tertanya-tanya.
“Maaf, uncle. Sham tak pernah lamar Tini.” Keras kali ini
dia bersuara. Matanya memandang Kartini yang mula mencuka.
“Tini, apa ni? Cuba cakap betul-betul.”
Kartini gigit bibir, pandang Hisham dengan hati yang
bercampur baur. Dia jeling mamanya yang sudah berkerut dahi, juga papanya yang
sudah memeluk tubuh.
“Okey, memang Hisham tak lamar Tini. So what? Sham, you love
me, right?” soalnya perlahan. Dia tak mahu telinga dan mata yang ada di
sekeliling mendapat tahu. Dia malu. Dia malu tapi dia tetap mahukan Hisham.
Tengku Adnan tarik nafas dalam-dalam. Dia tepuk bahu Hisham
lembut. Dia kenal Kartini, anak bongsu yang seribu macam perangai. Dia
tersenyum hambar. Kasihan Hisham.
“Mamanya, I think we should go. Let them discuss this matter
together. And you... papa kecewa. Grow up, Tini. Belajar jadi dewasa.”
Kartini ketap bibir, cuba menahan malu yang menyerbu pipi.
Nasiblah tidak ramai yang ada, namun dia sudah cukup malu. Dengan papa dan
mamanya. Dengan Hisham semestinya. Mamanya tunduk, mencium Kartini sambil
melangkah pergi. Dia gigit bibir, pandang Hisham lama-lama.
“Tak boleh ke you cakap yes je?”
Hisham ketawa hambar. Dia sandarkan badan pada kerusi. Wajah
cantik Kartini yang muram dan geram buat dia
mahu bangun. Bangun dan melangkah pergi.
“Yes untuk apa?”
“Our engagement.”
Kali ini dia betul-betul ketawa. ‘Aduhai Tini. Kenapa dengan
kau ni?’ Dia hirup green tea itu perlahan-lahan. Silap diakah? Pernahkah dia
menjanjikan sesuatu yang pasti dengan Kartini? Salah cakapkah dia?
“Tini... kita tak pernah declare apa-apa, bukan? Yes, maybe
Sham silap. Sham layan Tini dengan baik sebab Sham fikir Tini akan faham dan
akan beri Sham ruang.”
Kartini mendengus kasar. Dia tarik nafas laju-laju. “Sham, I
girlfriend you, kan? Kan?”
Hisham pangku dahi. Di Korea lagi Kartini mengejarnya, sentiasa
mendekatinya. Entah, dia juga membuka ruang kepada Kartini. Silap diakah?
“Kita mula dengan kawan, ya sekarang kita rapat.”
“Rapat?” Kali ini suara Kartini sedikit tinggi. Dia tak
kisah. Hisham dia punya. Dia sudah lama berusaha mahu dekatkan diri. Dari dulu
lagi sehinggalah mereka sama-sama pulang ke tanah air. Bila Hisham kembali ke
Terengganu, dia yang berikan peluang kepada Hisham untuk bekerja di The Bliss.
Memang pada mulanya Hisham menolak tapi dia tahu Hisham sudah bosan di Kuala
Lumpur. Dia yang bersungguh-sungguh memujuk papa.
“Bertunang? Sham tak pernah jangkakan itu daripada Tini.
Sham baru belajar nak bekerja dengan baik. I mahu tingkatkan diri, Tini. Buat
sesuatu dengan berjaya, baru I mahu bina keluarga, kahwin.”
Kartini gigit bibir, ramas tangan beberapa kali.
“Damn you. You sukakan orang lain bukan? You sukakan orang
kampung you tu, kan?”
Dia diam. Be a man Hisham, tell her.
“Dahlah, jom balik. You balik, tenangkan diri. Esok kita
jumpa, boleh?” pujuknya lembut.
Gadis itu bangun, menyambar tas tangan dengan pantas.
“Hantar I balik.”
Hisham angguk.
TANGANNYA MASIH pada dahi. Siling yang muram dengan cahaya
minimum buat dia terfikir sendiri. Kenapa tak mampu dia nyatakan segalanya?
Kenapa dia tak berterus terang? Dia perlu lakukan sesuatu. Untuk Zarra. Dia
perlu kotakan janjinya pada Zarra.
Hisham senyum sendiri. Saat matanya tertutup, wajah Zarra
yang menyinga marah kepadanya buat jantungnya berdebar. Jelingan maut Zarra
buat hatinya bergetar. Tangisan lirih gadis itu buat dia nanar. Dia mahukan
Zarra. Dia betul-betul mahukan Zarra.
Dia mengambil telefon pintarnya, menolak skrin lalu mencari
nama Zarra. Ah, dah ada WhatsApp. Dia menekan gambar profil kemudian tersenyum
sendiri. Gambar seekor kucing tidur tergolek, Zarra jadikan sebagai gambar
profilnya.
Hisham ketawa kecil. Biarlah, malam ini dibiarkan Zarra
tidur lena. Nantilah. Nanti dia mahu atur strategi.
Kartini? Dia urut dahi. Apa yang perlu dia buat?
MENGADUH DIA sana sini. Tangan kurus neneknya nampak saja
kurus-kurus tapi bila mengurut, mahu terkucil dia. Zarra menggeliat. Tok Teh
kalau mengurut jangan keluar suara, nanti lagi kejam urutannya. Terasa jemari
neneknya menekan urat yang berselirat di bahagian bahu dan pinggangnya.
Aduhai... sakit namun seronok.
“Menggeliat macam cacing.”
Zarra diam. Saja la tu nak umpan suruh dia bercakap. Zarra
ketapkan mulut, tahan suara dari muntah keluar. Mak aiii... Mahu dia keluar air
mata. Sakit wooo...
Tok Teh senyum-senyum. Umur muda lagi, urat dah tersimpul
sana sini. Bersenam malas. Balik rumah tahu terbongkang tidur. Padanlah badan
jadi sakit-sakit, lenguh-lenguh.
“Kamu kerja angkat bata ke, Zarra?”
Zarra ketawa kecil. Apa? Ingat dia kerja buruh binaan ke
apa? Dia kerutkan dahi, tahan sakit yang menyengat. ‘Nenek ni nak mengurut ke
nak patahkan tukang aku?’ Zarra menggeliat.
“Angkat bantal, angkat tilam, angkat kain gebar, angkat
kaki.”
Tok Teh senyum sambil pulas telinga. Bab menjawab serahkan
pada Zarra. Makan ke tidak budak ni? Kurus semacam.
“Dah, pergi rehat. Lepas ni mandi dengan air daun pandan dan
limau nipis, bagi badan harum. Tu, daun jambu batu yang nenek ikat siap-siap
tu, kamu gosok satu badan, biar daki hilang. Harapkan sabun, berkaratlah daki
kamu.”
Zarra gelak, ikat kain batik kuat-kuat. Ni kalau terlerai
kain ni, mahu terbeliak mata si Abam. Mimpi ngeri kucing dia nanti. Zarra gelak
lagi.
“Ni bukan sebarang daki, nek. Ni daki duit,” jawabnya
berseloroh.
Yalah, mana tak berdaki. Kerja kemas bilik lepas tolak troli
sana sini. Dia ambil daun jambu batu yang diikat kemas. Cakap neneknya memang
betul. Guna daun jambu memang bagus, kalah guna sabun paling mahal. Sebab itu
ada dua tiga pohon jambu batu yang ditanam neneknya.
“Beras goreng tumbuk pun ada. Basuh muka kamu. Dah anak
dara, kena jaga rupa paras. Manalah tahu nanti ada yang berkenan nak buat
menantu.”
Haishhh... tak nak dia jadi isteri sesiapa. “Tak adanya
orang berkenan dengan cucu nenek ni.” Zarra menggeliat, sedapnya berurut.
Tok Teh cebik bibir, suap sirih ke mulut. “Hati orang, mana
kamu nampak Zarra oiii...”
“Memanglah, kalau nampak maknanya matilah dia...” Zarra
ketawa lalu berlari ke dapur. Semalam kena maki, lebih baik dia lari.
Abam sudah ada di dapur. Tidur, macam tak ada kerja lain nak
dibuat. Melampaulah tu. Dia menguis Abam, mengiau lembut kucing itu.
“Masak apa, mak?” soalnya sengaja. Bukan dia tak tahu, bau
pun sudah cam apa hidangan hari ini.
Puan Aini senyum. Pandai pula tanya ya.
“Ada mata, ada hidung sendiri, kan?”
Zarra mengekek ketawa. Sardin tumis, telur dadar dan
kangkung belacan. Ada pucuk ubi celur dengan budu. Sedapnya. Mahu tiga pinggan
dia habiskan nanti.
“Pergi mandi. Nanti lepas solat, kita makan sama-sama. Tu,
gaul nasi dengan isi ikan sardin untuk kucing kamu. Nanti orang makan nasi
mulalah dia menyibuk duduk atas riba.” Dijelingnya si Abam yang masih tergolek
tidur di hujung dapur. Amboi, kerja overtime ke semalam?
Zarra peluk Puan Aini. Diciumnya lembut pipi insan
kesayangannya itu. Bau harum bedak talkum ibunya buat dia tersenyum.
“Sayang mak.”
Puan Aini senyum, tepuk kepala anak nan seorang itu penuh
lembut.
“Mak sayang Zarra juga. Moga Allah lindungi kita semua.”
Zarra senyum lagi. Insya-Allah. Lagipun, hidup mereka
terlalu sederhana untuk fikirkan kemungkinan yang terlalu jauh. Mereka pasti
okey, pasti tak ada apa-apa.
“SEMALAM BALIK kampung ke?”
Oh mak kau! Nasib baik dia tak tergolek di depan lobi. Mana
datang mamat ni, magis betul. Tiba-tiba saja ada tercatuk di hadapannya. Dia
angguk.
“Ya. Rindu, kenalah balik kampung.”
“Rindu siapa, boyfriend kat sana?” soal lelaki itu kembali.
Zarra tergelak. Yalah tu, dia rindu boyfriend dia kat
kampung. Si Abam tu. “Saya rindu mak, rindu nenek, rindu Abam. Tak boleh ke?”
Abam? Abang ke Abam? Silap telinga dia yang mendengar ke?
Zachary hentikan langkah, depa tangan untuk tahan langkah Zarra. Bulat mata
gadis itu memandangnya.
“Siapa Abam tu?”
Hahaha... dia gelak. Wajah serius Zachary buat dia kembali
serius. “My cat. Ke tepilah.”
Ahhh... kucing dia ke? Zachary garu kepala, biarkan Zarra
berlalu.
“Zarra!”
Dipanggilnya lagi. Zarra hentikan langkah, toleh pada
Zachary yang tersengih. Kacak amat, buat hatinya terusik saja.
“Balik kampung bila-bila nanti, ajaklah Zach.”
Aiii... buat apa? Nak kena tangkap khalwat? “Apasal pulak?”
“Nak kenal bakal mentua.”
Cehhh... melalutlah tu. Dia angkat penumbuk, berlalu pergi
dalam ketawa.
No comments:
Post a Comment