DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 24 January 2018

Calon Untuk Pengantin - Bab 10

DENGAN sekali lafaz, Nurul Iman sah menjadi
isteri kepada Idham Hafizi. Perkahwinan mereka diadakan
di Melaka, di rumah Nurul. Idham pula tidak menjemput
ramai saudara-maranya kerana dia sudah bercadang untuk
menjemput mereka di majlis resepsi nanti.
Nurul menerima ucapan tahniah daripada kawan
rapat terutama Sherry dan juga sanak saudara. Usai lafaz
nikah, dia memeluk erat tubuh Puan Khadeeja dan Datin
Suhani menandakan yang dia sudah bertukar status. Sebak
pula rasa hati mengenangkan perubahan statusnya itu.
Banyak benda yang dia kena fikirkan selepas ini.
“Terima kasih sebab sudi menjadi isteri saya.” Ucap
Idham sebaik sahaja mendekati Nurul dalam upacara batal
air sembahyang. Sebentar tadi, Idham melakukan solat sunat
sebagai tanda kesyukuran.
Nurul mendongak kepala. Saat itu matanya saling
berpandangan dengan Idham. Ada debaran yang kuat melanda
hatinya. Suaminya hari ini kelihatan begitu kacak sekali
dengan mengenakan sepasang baju Melayu warna putih dan
bersamping.
“Nurul, hulurkan tangan tu. Pengantin lelaki nak
sarungkan cincin.”
Nurul tengadah. Dia tunduk malu. Tak sangka dia
hanyut seketika hanya kerana renungan itu. Renungan yang
memberikan seribu makna. Idham menyarung cincin di jari
manisnya, Nurul tunduk mencium tangan lelaki itu. Selepas
itu, dahinya pula dikucup lembut. Ada rasa sebak di dada dan
tanpa sedar, matanya turut berkaca.
Sekali lagi Idham dan Nurul saling berbalas pandang.
Sedaya upaya Nurul cuba menahan air mata daripada mengalir
tapi air mata tetap saja mengalir. Nurul menelan liur apabila
jari-jemari Idham terus menyeka air matanya di pipi.
“Terima kasih.” Nurul cuba menahan rasa malu
kerana begitu mudah membiarkan air matanya mengalir.
Idham hanya membalas dengan senyuman.
Sesi bergambar juga berjalan dengan baik dan
lancar. Nampaknya semua orang kelihatan gembira. Sanak
saudara dilayan dengan mesra oleh Puan Khadeeja dan Encik
Shamsuddin sehingga majlis selesai.
Pak long sekeluarga turut hadir dalam majlis itu
walaupun agak lewat. Nurul tahu pak long memang sengaja
datang lewat.
“Hmm... bolehlah kau berlagak lepas ni sebab dapat
menantu orang kaya.” Perli pak long sebaik sahaja selesai
menikmati hidangan. Bukan main masam lagi muka pak
long masa jumpa orang tua Nurul. Nurul pun tak tahu apa
masalah pak long sebenarnya. Duit dah dapat, apa lagi yang
dia tak puas hati agaknya.
“Apa abang long cakap ni?” Puan Khadeeja cuba
menyangkal kata-kata pak long. Pak long ni suka menuduh
yang bukan-bukan. Sejak dulu lagi tak pernah berubah-ubah.
Suka buruk sangka terhadap orang lain.
“Yalah. Menantu kamu tu bukan saja kaya tapi kacak.
Mana boleh lawan anak aku, si Fakhrul. Patutlah kau tolak
lamaran masa aku nak jodohkan Fakhrul dengan si Nurul.
Mentang-mentanglah anak aku tu kerja sebagai kerani cabuk
saja.” Tempelak pak long lagi.
Memang dia tak puas hati dengan apa yang berlaku
sejak dulu. Kenapa adik perempuannya boleh hidup senang
dibandingkan dengan dia? Kenapa dia tak pernah cukup duit
sedangkan banyak tanah pusaka telah dia jual? Ya. Memang
dah banyak tanah pusaka telah dia jual untuk buat modal
berniaga tapi sampai sekarang dia tak nampak hasilnya.
Adik perempuannya hanya dapat satu bidang tanah sahaja.
Hidupnya hanya bergantung dengan jualan kedai runcit
tapi kenapa kehidupan mereka nampak senang? Tak pernah
berhutang sepertinya. Itu yang buatkan dia tak puas hati.
“Tak sangka, rupa-rupanya kamu suruh anak kamu
tu pancing anak orang kaya.” Tak habis-habis pak long
menuduh.
Puan Khadeeja menggeleng kepala mengenangkan
sikap dan perangai abangnya.
“Abang, sudahlah. Dah rezeki mereka. Kita tumpang
gembira, apa salahnya.” Pujuk mak long sambil menggosokgosok
lengan suaminya itu.
Pak long mendengus kasar dan terus berlalu.
“Deeja, kak long minta maaf dengan perangai abang
long tu.” Mak long melahirkan rasa bersalah dengan sikap
suaminya yang panas baran itu.
“Tak apa, kak long. Deeja faham. Deeja dah kenal
sangat dengan perangai abang long tu. Lagipun, kita ni kan
saudara. Dia satu-satunya abang Deeja.” Puan Khadeeja
masih mampu bersikap tenang walaupun sering kali dicemuh
pak long.
“Kalau macam tu, kak long balik dulu.” Mak long
nampak serba salah dengan sikap suaminya.
“Nurul, mak long balik dulu ya. Tahniah dari mak
long.” Mak long peluk tubuh Nurul.
“Terima kasih, mak long.” Nurul menghadiahkan
senyuman untuk mak long. Dia tak pernah marahkan
mak long sebab mak long tak pernah buat salah terhadap
keluarganya. Yang selalu cari pasal dengan keluarganya
hanyalah pak long seorang sahaja.

NURUL MELABUHKAN punggung ke kerusi selepas semua
tetamu dan sanak saudara terdekat telah pulang.
“Amboi Kak Nurul cantik betul cincin kahwin yang
Abang Idham bagi.” Hurul Ain membelek-belek cincin yang
tersarung di jari Nurul.
“Terima kasih. Cincin ni Abang Idham yang pilih.”
Beritahu Nurul sambil merenung cincin yang tersarung di
jarinya. Memang cantik. Secantik harganya.
“Bertuah betul Kak Nurul dapat suami macam
Abang Idham tu. Dahlah kacak, kaya, baik pula tu.” Hurul Ain
tak habis-habis memuji abang iparnya itu.
Nurul hanya membalas dengan senyuman. Sempat
juga matanya memandang ke arah Idham. Suaminya nampak
tidak kekok berbual dengan beberapa kenalan ayahnya dan
juga jiran tetangga yang masih belum pulang.
“Ain pun kalau boleh nak cari suami macam Abang
Idham.” Hurul Ain mula mengumpul angan-angan.
“Auch!” Hurul Ain menggosok-gosok dahinya yang
kena ketuk dengan Nurul.
“Jangan nak berangan lebih. Ain tu masih lagi
belajar. Jangan nak menggatal nak kahwin. Habis belajar,
kerja. Lepas tu baru fikir soal kahwin.” Nurul menurunkan
pesanan yang dititipkan Puan Khadeeja padanya sebelum ini.
Nurul mempunyai tiga orang adik-beradik. Dia yang
sulung. Hurul Ain yang kedua dan Darwish yang berada di
tingkatan lima adalah yang bongsu. Dia selalu mengingatkan
adik-adiknya supaya rajin dan berusaha supaya menjadi
manusia yang berjaya suatu hari nanti.
“Eleh, mengata Ain. Kak Nurul tu, belum kerja elok
dah kahwin.” Tempelak Hurul Ain sambil menyiku bahu
Nurul.
“Kalau tak sebab pak long yang buat perangai,
Kak Nurul belum fikir nak kahwin. Kak Nurul nak kerja
berdasarkan ijazah yang Kak Nurul ada. Nak kumpul duit nak
bantu mak dan ayah.” Jelas Nurul. Memang itu impiannya.
Dia mahu stabilkan diri dan kerjaya sebelum memikirkan
soal kahwin.
“Alah, sekarang ni Kak Nurul tak payah nak fikir
pasal tu lagi. Abang Idham boleh tanggung hidup Kak Nurul.
Apa yang Kak Nurul nak, mesti dia tunaikan.” Hurul Ain
mengukir senyum.
“Ya, memang dia boleh tunaikan tapi Kak Nurul nak
miliki semua tu dengan hasil usaha Kak Nurul sendiri. Kak
Nurul tak tahu selama mana perkahwinan Kak Nurul dan
Abang Idham tu akan bertahan.” Nurul tarik nafas.
“Kenapa Kak Nurul cakap macam tu? Tak baik!”
Hurul Ain agak terkejut dengan kata-kata itu.
“Entahlah. Ain bukan tak tahu siapa Abang Idham
tu. Macam mana kami boleh kahwin.” Nurul tarik nafas lagi.
“Kak Nurul. Jangan fikir yang bukan-bukan.
Ain doakan, hidup Kak Nurul dengan Abang Idham akan
sentiasa bahagia. Mak dan ayah juga doakan yang sama. Jadi,
Kak Nurul jangan bimbang ya.” Pujuk Hurul Ain sambil
menggenggam erat tangan Nurul. Kemudian dia meminta
diri untuk beredar.
Nurul menarik nafas. Entah kenapa, bila fikirkan
Idham, dia akan teringatkan bekas tunang lelaki itu. Dia
tak yakin yang Atikah akan reda melepaskan Idham begitu
sahaja sedangkan Atikah sendiri yang mencabar Idham.
Malah, Atikah juga masih berusaha merayu Idham untuk
menerimanya semula. Kalau Atikah berjaya pujuk Idham,
macam mana? Perlukah dia undur diri?
“Jauhnya termenung?” tegur satu suara membuatkan
Nurul mendongak kepala.
“Awak...” Nurul cuba ukir senyum sebaik sahaja
wajah Idham muncul di depannya.
“Boleh saya duduk?’ Idham meminta izin.
Nurul mengangguk kepala.
“Apa yang sedang awak fikirkan?” Idham menyoal
lagi. Dari tadi dia perhatikan isterinya itu termenung panjang.
“Tak ada apa-apa.” Nurul tunduk menyembunyikan
wajah.
“Awak menyesal kahwin dengan saya?” Wajah Idham
tiba-tiba muram. Dia ingin tahu penerimaan Nurul dalam
hubungan mereka sekarang.
“Tak.” Balas Nurul ringkas.
“Awak seronok dan gembira sebab dapat kahwin
dengan saya?” aju Idham lagi membuatkan pandangan Nurul
tepat ke wajahnya.
“Macam mana dengan awak?” Nurul tidak membalas
soalan itu.
“Saya?” Idham menuding jari ke dadanya.
Nurul mengangguk perlahan.
“Tak.” Idham gelak perlahan bila Nurul masih tetap
memandang wajahnya. Mungkin agak terkejut.
“Maksud awak?”
“Saya tak menyesal kahwin dengan awak. Malah,
saya berterima kasih pada awak sebab sudi terima saya
sebagai suami walaupun dalam keadaan terpaksa.” Lafaz
Idham dengan wajah tenang.
“Ya. Kita sama-sama dalam keadaan terpaksa dan
nampaknya kita sama-sama reda.” Nurul mengukir senyum
tanpa memandang wajah Idham.
“Awak jangan bimbang, saya takkan sia-siakan awak.”
Sekali lagi Idham mengungkap janjinya membuatkan
Nurul berkalih. Pandangan Nurul sekali lagi tepat ke wajah
Idham.
“Maaf mengganggu.”
Satu suara mencelah membuatkan situasi perbualan
mereka terganggu. Nurul menoleh ke belakang. Begitu juga
dengan Idham. Sebaik sahaja Nurul memandang wajah itu,
wajahnya berubah.
“Abang Fakhrul.” Nurul cuba tayang senyum
setenang mungkin.
Lelaki yang memakai baju Melayu warna hijau tua
dan seluar hitam itu turut mengukir senyum walaupun
senyumannya jelas nampak hambar.
“Selamat pengantin baru, Nurul.” Ucap Fakhrul. Ya,
ucapan dalam keterpaksaan.
“Terima kasih.”
“Selamat pengantin baru, Idham.” Fakhrul
menghulur tangan bersalaman dengan Idham.
Idham hanya membalas dengan anggukan kepala.
Fakhrul tunduk seketika.
“Patutlah Nurul tak pernah nak layan Abang Fakhrul
selama ini. Rupa-rupanya pilihan Nurul adalah pilihan yang
hebat. Nurul dapat lelaki yang bukan sahaja kaya tapi juga
kacak. Jauh sekali kalau nak dibandingkan dengan Abang
Fakhrul yang hanya kerja sebagai kerani cabuk ni.” Fakhrul
nampak kesal kerana dia gagal memenangi hati Nurul sejak
sekian lama. Tak sangka kata-kata Fakhrul ni seperti katakata
pak long. Mereka berpakat buat ayat sama ke? Musykil
pula Nurul dibuatnya.
“Abang Fakhrul jangan cakap macam tu. Semua
itu adalah jodoh dan ketentuan dari Allah. Kita kena terima
dengan reda.” Nurul cuba memujuk kerana tidak mahu
Fakhrul salah anggap tentang dirinya.
“Sebenarnya saya yang amat bertuah kerana
berpeluang menjadikan Nurul isteri saya. Dialah satu-satunya
perempuan yang begitu istimewa di hati saya.” Tiba-tiba
Idham mencelah dengan nada yang tenang.
“Ya, awak adalah lelaki yang sangat bertuah. Semoga
tuah awak sentiasa ada bersama.” Fakhrul tarik nafas
perlahan. Tak sanggup nak terus memandang wajah Nurul
yang nampak begitu bahagia dan ceria di sisi Idham.
“Insya-Allah. Terima kasih atas doa awak itu.” Idham
mengangguk. Pinggang Nurul ditarik rapat ke sisi.
“Tolong jaga Nurul dengan baik.” Fakhrul cuba
kuatkan hati ketika memandang pasangan itu.
“Awak tak pesan pun, saya akan jaga dia dengan
sebaik mungkin dan takkan sesekali saya lepaskan dia.”
Idham memandang wajah Nurul. Senyuman manis diberikan
buat Nurul membuatkan Nurul terus terdiam.
“Kalau macam tu, saya minta diri dulu.” Fakhrul
sempat memberi salam sebelum beredar dan salamnya segera
dijawab oleh Idham dan Nurul.
“Awak...” Sekali lagi Nurul memandang wajah
Idham.
“Saya nak masuk bilik.” Ujar Idham.
“Yalah.”
“Awak dah solat asar?” Nurul disoal.
“Belum. Kenapa?” Nurul menelan liur.
“Kalau awak belum solat, boleh kita solat samasama.
Dah lewat ni. Tetamu pun dah tak ramai.” Mata Idham
melilau melihat persekitaran kawasan rumah. Memang betul.
Suasana halaman rumah Encik Shamsuddin sudah lengang.
Tadi bukan main ramai lagi tetamu yang datang.
“Awak masuklah dulu. Mungkin awak nak tukar
pakaian. Maaflah, bilik tu tak ada bilik air, jadi awak kena
pergi ke dapur kalau nak mandi dan ambil wuduk.”
“Hmm... yalah.” Idham akur.

“OPOCOT MAK kau!” Idham melatah dek terkejut apabila
pintu dikuak saat dia sedang menanggalkan seluarnya. Nasib
baiklah ketika itu dia telah mengenakan tuala.
“Maaf. Nurul tak berniat nak buat abang terkejut.”
Nurul meletakkan tangannya di dada dan sekali gus menahan
diri dari melepas gelak akibat tindak balas dari Idham tadi.
Dia pun terkejut juga dengan keadaan Idham tadi. Nasib
baiklah tubuh Idham masih dilitupi dengan singlet.
“Kenapa?” Nurul mengangkat keningnya agak
kehairanan melihat mata Idham terpaku ke wajahnya.
“Awak panggil apa tadi?”
“Oh, err... awak tak marah ke?” Nurul menelan liur.
Resah dengan cara renungan Idham itu.
“Hmm...”
“Sebenarnya mak ada komen tadi. Dia kata tak elok
kalau asyik panggil awak saya sebab kita dah kahwin. Sebagai
isteri, saya kena hormatkan suami. Kata mak lagi, panggilan
tu penting untuk mengeratkan hubungan suami isteri. Kalau
awak tak suka, saya...”
“No. It’s okay. Abang tak kisah. Memang betul cakap
mak. Kita kena ubah panggilan sebab kita dah jadi suami
isteri.” Idham pamer wajah tenang. Sikit pun dia tak kisah.
Malah panggilan abang yang baru keluar dari mulut Nurul itu
memberi satu rasa yang indah untuknya.
Nurul menuju ke almari. Sehelai kain pelekat
diletakkan ke atas katil bersama dengan sehelai baju kemeja
lengan pendek yang diambil dari dalam beg yang dibawa
Idham.
“Abang pergi mandi dan ambil wuduk. Nanti kita
solat sama-sama.” Saran Nurul membuatkan bibir Idham
mengorak senyum sebelum keluar dari bilik itu.

*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN  FEBRUARI 2018** 

No comments:

Post a Comment