DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 24 January 2018

Cinta Mamat sandwich - Bab 8

SEPERTI biasa, selepas solat isyak Aiman dan
Adif akan membuka gerai burger di simpang empat jalan
rumah mereka. Berpeluh Adif bermain dengan api. Ramai
pula pelanggan malam ini. Alhamdulillah, inilah rezeki.
Bukan selalu ada ramai pelanggan begini.
Tuala Good Morning yang tersangkut di bahu diambil
lalu peluh di dahi dilap.
“Bang, burger daging arnab satu. Benjo satu. Sos
lebih ek.”
Adif angkat wajahnya. Suara itu macam biasa di
telinganya. Aiman dah tersengih-sengih. Adif berpaling ke
arah Aiman, namun sahabatnya itu tayang muka tanpa riak.
“Kau buat apa kat sini?” Dingin suara Adif.
“Beli tayar kereta,” selamba Adhia menjawab.
Ternganga mulut Adif. Hai, nak loyar buruk pula dia.
Dhira dan Aiman kulum senyum.
Adhia mendekat. Wajahnya dipanggung dengan
tangan di dagu. Tidak berkelip mata dia merenung Adif.
“Kau kenapa? Biul?” resah Adif diperhatikan begitu.
“Kau nampak seksi bila pakai apron. Soooooo hot!”
Adhia kenyit mata. Bibir bawah digigit.
Adif tarik nafas. Kalau tidak difikirkan ada pelanggan
lain, mahu saja dibakar Adhia di atas kuali membakar burger.
Huh! Disabarkan hatinya.
“Lagi hot dengan muka marah macam tu. Tergoda
I.” Kali ini nada suaranya ditukar manja. Bukan setakat itu
saja, malah volume suara sengaja dikuatkan.
“Abang Adif, macam biasa ek.” Datang seorang gadis
muda dengan senyuman manis. Bertudung.
Adif membalas senyuman gadis itu dengan mesra.
Rasa nak marah kepada Adhia disimpan. Punca rezekinya
harus diutamakan.
Adhia tarik muncung. Hatinya bagai disiat-siat
melihat Adif melayan mesra gadis itu. Sedangkan dengannya,
asal bersuara saja Adif naik angin. Benci! Mata Adhia tidak
lepas daripada memandang kemesraan dua orang makhluk
itu.
“Dhia,” tegur Dhira. Perasan dengan wajah kelat
sahabatnya itu. Sebenarnya dia punya banyak soalan hendak
ditanyakan, tapi memandangkan mood Adhia seperti dilanda
taufan, lebih baik dia diamkan dahulu.
“Apa?”
“Tak nak balik ke?”
“Naklah. Kau ingat aku nak tidur kat sini ke? Banyak
nyamuk, gatal kat sini.” Sengaja Adhia kuatkan suaranya.
Tunjuk protes.
Baru saja Adhia mahu melangkah, datang satu idea
dalam kepalanya. Kakinya diatur ke arah Aiman. Senyuman
manis dilemparkan buat lelaki itu.
Aiman sudah tersengih-sengih.
“Man...” lunak suara Adhia. Tangannya bermain-main
dengan lengan baju Aiman. Mujur Aiman pakai baju lengan
panjang.
“Ya. Dhia nak apa?” Aiman pun sama naik gediknya.
Adif tahan rasa. Berbulu telinganya mendengar
suara manja dan gedik itu.
“Kawan Dhia dah nak balik. Pesanan Dhia dah siap
ke belum?” Kali ini Adhia merapatkan tubuhnya dengan
Aiman sehingga bersentuhan lengan mereka.
Bam!!!
Adif menghentak meja. Terkejut Aiman dan
pelanggan-pelanggan lain.
Adhia tayang muka selamba. ‘Marahlah tu! Tengok
aku macam nak terkam aje.’
“Nah! Sekarang balik!” arah Adif. Tegas.
“Huh!”
“Apa huh-huh? Aku cakap balik, baliklah. Sekarang
Adhia Adamia!” Mencerlung Adif memandang Adhia.
“Ikut suka akulah nak balik bila. Jangan risau, aku
takkan kacau kau dengan budak hingusan ni nak dating.”
Langsung tiada riak bersalah di wajah Adhia.
“Degil, kan? Nak aku pikul kau bawa balik?” ugut
Adif.
“Silakan. Macamlah kau berani buat.” Adhia silang
tangan. Langsung tidak gentar dengan ugutan Adif.
Aiman sudah kalut. Adhia belum kenal Aiman.
Matilah kalau dibuatnya Adif betul-betul pikul Adhia. Adif ni
jenis pantang dicabar.
Adif tolak Aiman. Pantas dia mencempung tubuh
Adhia lalu diletakkan atas bahunya. Terbeliak mata Dhira.
“Lepaslah! Aku boleh jalan sendiri!” Terkejut Adhia.
Sungguh dia tidak sangka yang Adif akan melakukannya.
Puas meronta-ronta, usahkan terlerai, malahan makin kuat
pegangan Adif.
“Kau nak aku lempar kau dalam longkang tu? Kalau
tak nak, duduk diam-diam. Dahlah berat macam batu. Ini
berat dosa tau!” tempelak Adif tanpa berlapis.
Adhia merengus. Dua tiga kali tangannya
memukul-mukul belakang Adif. Geram.
“Dhira! Kau nak terpacak kat situ ke?” tegur Adif.
Macam orang bodoh Dhira mengikut Adif hingga
sampai ke keretanya. Apabila Adif suruh buka pintu, diikutkan
saja. Sudah serupa kena pukau pun ada.
Adif tunduk sedikit mendekati Adhia yang telah
selamat duduk di dalam kereta.
“Kau balik! Tak elok perempuan kat luar
malam-malam ni,” lembut suaranya.
Adhia silang tangan. Malas hendak berbahas.
“Dhira... jom,” ujar Adhia tanpa menjawab pesanan
Adif.
Dhira menjeling Adhia yang masih mendiamkan diri
dengan tangan bersilang. Entah apa yang ada dalam fikiran
sahabatnya itu pun dia tidak tahu. Sedikit musykil dengan
keadaan Adhia dan Adif. Seperti ada sesuatu antara mereka.
“Kau okey tak ni?” soal Dhira.
“Okey. Kau hantar aku ke kelab,” pinta Adhia.
“Tapi Adif kan...”
“Siapa dia?” Dingin suara Adhia.
“Kau nak buat apa kat sana, Dhia?”
“Luqman ada kat sana. Aku kena jalankan misi aku
secepat mungkin.”
“Kau masih nak teruskan juga rancangan kau tu?
Kau tak takut Adif tahu?” duga Dhira.
“Kenapa kalau Adif tahu?” Ah, misinya tetap akan
berjalan. Siapa Adif, tidak jadi kudis buatnya.
“Dhia...”
“Sama ada kau hantar atau Luqman datang ambil
aku, hasilnya sama saja.”
Dhira geleng kepala. Silap dia kerana menyokong
rancangan Adhia. Kini dia rasa menyesal. Sahabatnya itu
jauh tenggelam. Dia bimbang Adhia akan terus ke dasar tanpa
sempat bangkit.
Dalam terpaksa, Dhira menghantar juga Adhia
sebagaimana sahabatnya itu ingini.

“HAI, SAYANG.” Adhia meluru ke arah Luqman. Kucupan
ringkas singgah di pipi lelaki itu. Apa lagi, senyum meleretlah
mamat tu. Pinggang Adhia dipaut rapat. Melekat.
“You nak minum?” Luqman menghulurkan gelas
yang berisi air setan itu kepada Adhia.
Adhia tersenyum. Tangannya masih bermain-main
di wajah lelaki itu. Dari mata, turun ke hidung dan ke bibir
pula. Lama tangannya berhenti di situ.
Luqman yang sudah mabuk mula terangsang dengan
sentuhan lembut Adhia. Bibir merah gadis itu dipandang
dengan ghairah. Pantas bibir itu dipagut rakus.
Adhia hanya membiarkan saja. Untuk pertama
kali dia melepasi batas yang ditetapkannya. Rasa sakit hati
terhadap Adif dibalas dengan cara ini. Ah, dia tidak kisah.
Janji hatinya puas.
“Setan punya betina!” jerit seseorang, namun hanya
percuma. Bunyi muzik yang bergema menenggelamkan
suara itu.
Sakit hati melihat adegan dua orang makhluk yang
sedang bercumbuan itu berlarutan, dia mencapai gelas lalu
diayun ke kepala Adhia. Tersentak Adhia. Rasa sakit di kepala
membuatkan tangannya meraba dan darah merah yang
melekat di tangan mengejutkannya. Dalam cahaya lampu
kelab malam, dia mencari siapakah yang memperlakukannya
begitu. Ingat kepalanya apa?
“Woi, setan!” Adhia tersentak lagi apabila lengannya
ditarik seseorang.
“Kau memang perempuan sundal, Dhia. Kau goda
tunang aku!”
Adhia masih bingung. Siapakah gerangan perempuan
ini?
“Apa ni Zu? Gila ke?”
Mendengar nama ‘Zu’, barulah Adhia pasti gerangan
perempuan itu. Huh! Tak payah dia bersusah payah
memulakan langkah, Zurina dah tahu. Bravo Adhia!
Rasa pening akibat hentaman tadi ditahan. Dalam
kesamaran lampu, dia tersenyum kemenangan. Malas hendak
melihat adegan antara Zurina dengan Luqman, dia keluar
dari kelab itu. Terhuyung-hayang dia berjalan. Jeritan Zurina
memanggilnya dibiarkan begitu saja. Cukuplah untuk malam
ini.
Langkah kaki diayun tapak demi tapak. Pandangan
yang berpinar-pinar diabaikan. Ketika tubuhnya hampir
rebah, dia terasa badannya disambut seseorang. Matanya
mula kabur, hanya bibirnya saja menyebut nama itu. Ya...
Adif! Terus gelap penglihatannya setelah menyebut nama itu.

No comments:

Post a Comment