DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 24 January 2018

Cinta Mamat sandwich - Bab 9

BIASAN matahari menyakitkan matanya.
Perlahan-lahan mata dibuka. Sakit di kepala menyengat kuat.
Tangan kanan menyentuh kepala yang berbalut.
‘Apa yang dah jadi? Rasa semalam aku dengan
Luqman dan... Adif. Ya, Adif. Aku yakin yang aku nampak Adif
semalam.’
Dia memandang sekeliling. Dia kenal ruangan ini.
Biliknya. Siapakah yang menghantar dia balik semalam? Adif
ke?
“Dah bangun tuan puteri kita?” Terjengul Dhira
bersama sedulang sarapan pagi.
“Hmm...” Adhia duduk di birai katil. Pening.
“Kau okey ke tak ni?” soal Dhira.
“Okey. Tapi siapa hantar aku balik semalam?
Luqman?”
Dhira menghulurkan susu dan sandwich kepada
Adhia. Laju saja Adhia menyambut huluran itu. Berselera dia
menjamu selera dengan sarapan pagi itu.
“Sedap kau buat ni.” Dengan mulut yang penuh,
Adhia memuji.
Dhira hanya tersenyum. Nampak lapar sangat
sahabatnya itu. Sejujurnya, sandwich itu bukanlah dia yang
buat, tapi Adif. Pagi-pagi buta lagi Adif sudah terpacak di
depan rumah siap dengan sarapan pagi buat Adhia. Sekali
pandang, Adif menolak Adhia; tidak suka gadis itu dekat
dengannya. Tetapi, melihatkan situasi semalam dan pagi ini,
Dhira yakin yang Adif punya rasa suka terhadap sahabatnya
itu. Sebanyak mana perasaan itu, dia kurang pasti.
Semalam, lelaki itu menelefonnya bertanyakan
Adhia. Setelah dipaksa oleh Adif, dia memberitahu di mana
Adhia berada. Tidak sangka pula yang lelaki itu akan menjejaki
Adhia hingga ke kelab tersebut. Namun dia bersyukur Adif ke
sana. Kalau Adif tidak ada, tak tahulah apa yang akan terjadi
pada sahabatnya ini.
“Yang kau tersenyum-senyum ni, kenapa?” Adhia
meletakkan gelas susu yang telah habis diminumnya. Siap
pakej sedawa lagi.
“Takde apa-apa. Geli hati aku tengok kau makan.
Dah macam orang kebulur,” kutuk Dhira selamba.
“Huh! Dapat saja peluang, tak beringat kau kutuk
aku, kan?” Adhia bersandar di kepala katil. “Auch!” Dia
mengerang sakit apabila kepalanya tersentuh kepala katil.
“Ha... ni aku nak tanya, kepala kau tu kenapa? Mujur
tak teruk.”
Adhia termenung sejenak. Cuba mengingati apakah
yang terjadi semalam. Ya, semalam ketika dia dan Luqman
hanyut seketika, datang si Zurina membuat onar. Dia hampir
saja menewaskan lelaki itu. Lelaki yang pernah melukakan
hatinya suatu masa dahulu. Tapi dia tetap puas hati kerana
Zurina telah tahu akan kecurangan Luqman. Pasti mereka
sedang bergaduh besar sekarang. Lagi bagus kalau putus
tunang. Puas hatinya!
“Dhia!”
“Zurina yang buat. Semalam masa aku lepak dengan
Luqman kat kelab, terkantoi dengan si Zu. Ala, kau macam
tak kenal perempuan tu. Mengamuklah dia.” Tanpa rasa
bersalah atau gentar Adhia bercerita.
Dhira kerut kening. Dia seakan tidak kenal siapakah
Adhia Adamia yang sedang berada di hadapannya ini.
Kebimbangannya hanya satu, Adhia akan makin jauh tersasar.
Dia tidak mahu sahabatnya itu menyesal di kemudian hari.
“Kau masih nak teruskan rancangan kau ke?” soal
Dhira.
“Entah. Mungkin tak kut. Yalah, mungkin sekarang
mereka dah putus tunang. Itu saja yang aku nak. Mereka rasa
apa yang aku rasa dulu.”
Dhira tersenyum lega.
“Baguslah kalau macam tu. Eh, aku dapat jemputan
Datin Rohana.”
Adhia angkat wajahnya.
“Dia adakan majlis makan malam untuk
kawan-kawan perniagaan dia dan suaminya. Jadi, dia ajak
kita sekali. Lagi pula dia tempah gaun malam kat kita sekali
dengan sut untuk suami dia.” Dhira menjongket kening.
Teruja. Dia tahu Adhia tidak suka sebarang majlis formal.
Membosankan! Yang paling jelak melihat ‘datuk-datuk tua’
bermata keranjang. Nak muntah katanya.
“Aku kena pergi juga ke?”
“Yalah. Kita kan rakan kongsi. Lagi pula seganlah aku
sorang-sorang. Bolehlah...” pujuk Dhira. Sungguh, peluang
hanya datang sekali. Tidak patut mereka menghampakan
Datin Rohana yang telah banyak membantu memajukan
perniagaan mereka.
“Please...” pujuk Dhira lagi. Sengaja dia meleretkan
suaranya.
“Okey... fine! Bila tu?” Adhia mengalah.
“Malam minggu nanti.” Dhira tersenyum kelegaan.
Sukalah tu. Hai, tempat yang Adhia tidak sukalah
yang Dhira beria-ia ajak. Cuba ajak dia pergi bercuti, eloklah
juga. Tambahan pula dengan anginnya yang tidak tenang ini.
Kenapa dia rasa tak tenang ek? Apa yang dia inginkan dan
rancangkan berjalan dengan lancar, tapi hatinya masih resah.
Kenapa?
“Eh, semalam siapa yang hantar aku?” Baru teringat
akan hal itu, Adhia menyoal Dhira.
“Entah. Kau tak ingat ke?”
“Kalau aku ingat, takde maknanya aku nak tanya
kaulah. Sengal!” marah Adhia. Boleh pula Dhira loyar buruk
pagi-pagi buta begini.
“Kalau tak ingat, cubalah ingat.” Dhira terus keluar
dari bilik Adhia. Sengaja ditinggalkan sahabatnya itu dengan
persoalan.

“YA, DIA dah okey. Yalah, aku jagalah dia. Kau ni... Ya! Ya!”
Geram Dhira dengan si pemanggil. Terus talian dimatikan.
Selang sejam sekali Adif menelefon bertanyakan Adhia.
Apabila ditanya perasaannya terhadap Adhia, beratus-ratus
alasan diberi.
“Kau cakap dengan siapa tadi?” tegur Adhia.
Terlepas pen di tangan Dhira. Dia mengusap dadanya
perlahan. Terkejut disergah tiba-tiba.
“Kau janganlah amalkan sikap sergah-menyergah ni.
Aku belum nak mati lagi. Dosa aku masih banyak.” Geram
Dhira. Nak pula Adhia tayang muka selamba saja. Lagilah
sakit hatinya.
“Bertaubatlah kalau dah tahu dosa banyak. Lagi pula
ingat sikit, mati tak kenal masa. Kalau aku tak sergah pun,
andai kata Allah dah kata ajal kau, mati jugak.”
“Amboi, dah pandai cakap pasal agama sekarang ek
sejak berkawan dengan ‘Ustaz Adif’.” Dhira jongket kening.
Adhia bungkam.
“Huh! Cakap salah, tak cakap pun salah. Malas ar aku
nak layan kau.” Adhia bangun ke muka pintu. Baru saja pintu
utama dibuka...
Burrr! Satu tin cat berwarna merah disimbah ke
arahnya.
Ternganga Dhira. Laju dia bangun mendekati
sahabatnya itu. Dua manusia di hadapan mereka kini, Zurina
dan Talia dipandang. Zurina dengan muka bengang. Talia
pula dengan muka gedik.
Adhia kesat cat di wajahnya dengan tangan. Hatinya
menyirap. Ikutkan rasa marah, memang diganyangnya dua
orang manusia itu tanpa belas kasihan. Bagaimana minah
dua ekor ini boleh jumpa rumahnya?
“Kau dah gila ke Zurina?” jerkah Dhira.
“Haah. Aku memang gila. Disebabkan kawan kau
yang tak tahu malu ni, aku jadi gila. Tak sedar diri! Kau dah
tak laku sangat ke sampai tunang aku kau goda, hah?” jerkah
Zurina.
Adhia tersenyum senget. Sinis sekali. Matanya tajam
menikam anak mata Zurina. Kemudian dia menjeling Talia
yang sedang tersengih.
“Ooo... jadi dulu tu kau tak lakulah, sebab tu jantan
macam Luqman tu pun kau nak? Heh, aku ni bukan tak laku,
tapi tunang kau tu yang terhegeh-hegeh nakkan aku. Setiap
malam call aku ajak keluar. Setakat lelaki macam Luqman tu,
sekali aku petik, berderet beratur di belakang aku. Zu... Zu...
Kau ni kan, nak kata kau bodoh, kau anak orang kaya, tapi
otak kau memang bengap,” selar Adhia mendatar.
“Hei, perempuan ni! Kalau dasar sundal tu sundallah
jugak. Tak nak mengaku!” sampuk Talia.
Adhia palingkan tubuh menghadap Talia. Dulu, dia
dan Zurina bersahabat baik, tapi kerana hasutan Talia, gadis
itu meninggalkannya. Malah merampas Luqman daripadanya.
Ah, kalau lelaki dayus macam Luqman, bagi percuma pun dia
tak mahu.
“Talia... kau rasa kalau perempuan sundal ni goda
Tariq, apa kau rasa? Tariq akan pilih kau atau aku?” sinis nada
Adhia.
Talia genggam penumbuk. Giginya diketap kuat.
“Zu, sampai bila kau nak bodohkan diri kau dengan
Talia ni? Perempuan berlidah ular. Kau sangka dia tak pernah
goda Luqman ke?” racun Adhia.
“Kau!” Zurina angkat tangan mahu menampar
Adhia, namun sempat ditepis gadis itu.
“Zu... Zu... Kau masih tak berubah, kan? Ingat satu
hal, aku bukan Adhia Adamia yang dulu. Jadi jangan pernah
terlintas nak mengejutkan harimau yang sedang tidur. Soal
goda tunang kau tu... jangan salahkan aku. Kau yang tak
pandai jaga tunang. Tengoklah kau sekarang. Bukan ke dulu
kau ratu fesyen? Kenapa sekarang fesyen kau... isy... isy...”
Adhia geleng kepala.
Melopong Zurina dan Talia mendengar sindiran
pedas Adhia. Pasti mereka tidak menyangka yang Adhia
mampu berkata begitu. Yalah, dulu Adhia lebih suka berdiam
diri. Apa saja orang buat terhadapnya, dia terima saja.
Dhira tersenyum puas hati. Padan muka dengan
dua orang manusia yang tidak tahu malu itu. Tapi betul apa
yang dikatakan Adhia; penampilan Zurina jauh berbeza dari
dulu. Hanya dengan jean dan blaus. Mekap pun ala kadar saja.
Dengan specs sebesar pinggan di mata. Dulu masa zaman
sekolah mereka, Zurina memang terkenal sebagai ratu fesyen.
Apa jenis baju yang minah gedik ni tak ada? Semuanya ada.
“Kau dah gemuk ek?” sinis ayat Adhia. Dia terus
masuk ke dalam rumah.
“Sila balik ya.” Dhira menghempas pintu. Tawa
yang ditahan tadi terhambur jua. Inilah masa yang
ditunggu-tunggu selama ini. Untuk melihat muka tegang
Zurina dan teman baiknya itu. Macam tidak percaya yang
Zurina masih berkawan dengan Talia. Perghh, sahabat dunia
akhirat barangkali.
Lama Dhira mengintai melalui pintu gelangsar.
Entah bilalah mereka mahu beredar. Geli hatinya melihat
Zurina yang memekik-mekik di luar. Entah apa yang
dicakapkan pun tidak tahu. Berterabur! Itulah karma. Dulu
bangga sangat dengan tubuh cantik, fesyen up-to-date.
Sekarang, dia yang perempuan pun tak lalu nak tengok rupa
Zurina itu. Sudah ‘bambam’ minah itu sekarang.
“Oi, tak habis lagi ke?” sergah Adhia. Bajunya sudah
bertukar. Rambutnya dilap perlahan dengan tuala. Sakit
hatinya. Susah gila nak hilangkan bau cat di rambutnya. Baju
tadi dah sah-sah dia kena buang.
“Hahaha... dah habis. Tapi lawak ar. Kau tengok
muka minah dua ekor tu, lucu. Padan muka dia. Rambut
kau...” Bergerak-gerak hidung Dhira menghidu bau rambut
Adhia. Walaupun tak sekuat tadi, tapi masih ada bau cat.
“Kau jangan nak naikkan darah aku, Dhira. Jenuh
aku syampu. Dekat sebotol syampu aku guna, masih berbau
lagi. Ikutkan hati aku tadi, aku lempar sampah di dapur tu
kat diaorang. Suka hati aje nak simbah orang dengan cat.”
Tegang air muka Adhia.
“Tapi kan... mujur dia simbah cat. Kalau dia simbah
asid tadi, niaya kau.”
“Kalau dia simbah asid, aku akan pastikan dia
meringkuk dalam penjara untuk jangka masa yang lama,”
tekan Adhia. Geram.
Dhira tidak jadi menyampuk. Tidak mahu
menambahkan bara dalam hati Adhia. Lagipun dia tahu apa
yang Adhia cakap bukan main-main. Apa yang diucapkan
pasti akan dilakukan.
“Kau nak pakai gaun apa untuk majlis Datin Rohana
nanti? Nak beli atau buat sendiri?” soal Dhira cuba menukar
topik.
“Aku design sendirilah. Kata pereka fesyen, kenapa
nak beli? Buat sendiri barulah senang nak lobi produk sendiri.
Kau carikan aku material ek. Satin warna merah,” pesan
Adhia. Dalam kepala, dia sudah merangka design bajunya.
Yang pasti, semua mata akan terlopong malam itu. Temanya
seksi. Itu saja!

No comments:

Post a Comment