DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 24 January 2018

Cinta Mamat sandwich - Bab 2

ADHIA berdiri di suatu sudut yang tersorok.
Dia kebosanan. Orang yang dicari tidak juga muncul. Majlis
reunion ini amat membosankan. Dia menjangkakan majlis
tari-menari ataupun busking yang akan menghiburkan
mereka. Tapi, dari tadi tak habis-habis dengan makan...
makan. Huh! Macam manalah mereka semua ni tak gemuk.
Asyik makan saja.
Malas dia hendak bercampur dengan makhluk
itu semua. Masing-masing masih busuk hati macam dulu.
Menyampah! Buat kering tekak saja berbahas dengan mereka.
Lebih baik dia pergi saja dari sini.
“Dhia.”
Kaki yang baru saja ingin melangkah terhenti ketika
panggilan itu menyapanya.
Suara itu... ya, suara lelaki yang dia cari sejak tadi.
Pantas Adhia berpaling ke belakang. Kelihatan lelaki itu
tersenyum kepadanya.
“Betullah awak ya? Rizki dan Tariq ada beritahu saya
tadi,” ujar Luqman lalu mendekati Adhia bersama senyuman
manis. Matanya tidak lepas daripada meneroka wajah itu.
Sudah jauh berbeza. Makin cantik! Kemudian matanya turun
ke bawah, meneliti susuk tubuh Dhia. Menggoda!
“Ya, saya. Kenapa? Ada yang pelik ke dengan saya?”
Suara sengaja dimanjakan. Biarpun soalannya mempunyai
maksud yang tersirat.
“Err, takde yang pelik. Cuma... awak makin cantik
dan...” Mata Luqman memandang Adhia atas dan bawah.
“Makin seksi...”
“Hahaha, biasalah. Masa mengubah manusia
dan keadaan.” Adhia berjalan keluar. Jalannya sengaja
dilenggokkan dengan menggoda.
Luqman menelan liur.
‘Fuh! Betis putih melepak. Paha gebu. Lenggok
gaya... bikin malam aku sengsara,’ omel Luqman. Dipandang
kiri kanan sebelum mengekori langkah Adhia.
Adhia memandang langit malam. Senyuman penuh
makna terukir di bibir. ‘Senang saja nak memikat lelaki
hidung belang ni. Hanya perlu tunjukkan sedikit apa yang
aku miliki, manjakan suara, tersungkurlah mereka. Huh!’
Angkuh hatinya berbicara.

PERLAHAN-LAHAN TANGAN menyentuh wajah. Terasa
garisan kasar melintang di bahagian dagu. Walau setara
mana dia cuba menutup garisan itu, namun ia tetap ada. Dia
mendengus. Kenangan lalu menjelma lagi.
Waktu itu cuti semester. Dia, ayah dan ibunya
memutuskan untuk menghabiskan waktu bersama di Pantai
Timur. Puas dia memujuk, akhirnya ayahnya bersetuju;
dengan syarat destinasi percutian mereka sekitar Malaysia
saja. Dan dia pula tidak kisah di mana, janji dapat meluangkan
masa bersama kedua-dua insan yang amat disayanginya.
Perjalanan pagi itu dimulakan dengan senyuman.
Ceria. Walaupun sudah dihalang oleh datuk dan neneknya,
kerana ada kejadian tanah runtuh di tempat yang hendak
dituju itu, tapi demi anak tersayang, Encik Adam meneruskan
juga perancangan itu.
“Wah, mama... best kan kalau atuk dan nenek ikut
sekali,” ujar Dhia teruja.
Puan Rene geleng kepala. Anaknya ini walaupun
sudah berumur 20-an lagaknya masih keanak-anakan.
“Dhia, tangan tu jangan letak kat luar macam tu.
Bahaya sayang,” tegur Encik Adam.
“Ala, ayah. Dhia nak main air hujan ni. Best,” manja
suara Dhia.
“Dhia, sayang...”
Pin! Pin!
Bunyi hon yang agak kuat dari jalan yang
bertentangan mengganggu pemanduan Encik Adam. Hujan
yang lebat menyukarkan lagi pemandangan. Tiba-tiba...
Bum!
Adhia tutup muka. Kenangan itu menyakitkan.
Kerana kedegilannya, dia kehilangan insan yang amat dia
sayang. Parut di dagu disentuh lagi. Parut ini bisa ditutup
dengan mekap, tapi parut dalam hati...
Keluhan dilepaskan. Jika begini jalan hidupnya,
dia rela memilih mati. Dia terselamat daripada kemalangan
itu, tapi jiwanya mati. Luka di wajah yang disebabkan oleh
cermin kereta yang pecah, disentuh lagi. Kerana parut ini dia
terseksa. Hanya ini!
‘Kau harus bangkit. Jangan biarkan mereka
melemahkan semangat kau dengan kekurangan kau!’
“Tak tidur lagi ke?” tegur Dhira. Jam di dinding
dikerling sekilas. 2 pagi! Kemudian dia kembali memandang
wajah mendung Adhia. Apakah lagi yang mengusik sahabatnya
ini?
Dhira merupakan sahabat Adhia yang setia. Yang
mendekat ketika semua menjauh. Sahabat yang memeluknya
ketika semua mencemuhnya. Dhiralah yang menguatkan
semangatnya hingga dia mampu bangkit kembali.
10 tahun! Bukan jarak masa yang singkat. Dan
selama itulah dia menghilangkan diri hanya kerana mulut
keji seorang manusia.
“Belum,” perlahan Adhia menjawab.
“Kenapa ni?”
“Aku...” Esakan halus terbit dari bibir mungil itu.
“Dhia...” Dhira memeluk tubuh kecil itu.
“Kadang-kadang aku terfikir, ada baiknya aku yang
meninggal dalam kemalangan tu. Disebabkan kedegilan aku,
atuk aku kehilangan anak dan menantu yang disayanginya.
Kerana aku juga, atuk aku hampir mati kerana serangan
jantung,” lirih suara Adhia.
“Hei, tengok sini...” Dhira mengangkat wajah Adhia
memandangnya. “Ajal maut di tangan Allah, Dhia. Kalau kau
tak berkeras mahu bercuti sekalipun, andai kata ketika itu
sudah takdir ajal mereka, semuanya pasti akan terjadi juga.
Keinginan kau mahu bercuti hanyalah penggerak untuk
takdir yang telah Allah tetapkan. Jangan macam ni Dhia. Kau
mempersoalkan hal ini seperti kau menolak qadak dan qadar
Allah,” pujuk Dhira.
“Kalaulah aku sekuat itu, Dhira... tapi, aku tak
kuat. Kau tahu apa perasaan dipinggirkan keluarga, hanya
kerana fitnah orang? Mereka kenal aku sejak kecil Dhira, tapi
disebabkan cerita yang dibawa Talia yang aku ni...” Kata-kata
Adhia mati di situ. Terngiang-ngiang kata-kata makian
daripada saudara-maranya. Bagaikan baru tadi kata-kata itu
dilontarkan.
‘Kau ni memang menyusahkan! Sebab
kau, mak ayah kau mati. Sekarang kau
nak malukan kami semua dengan perangai
macam setan ni! Tak cukup ke duit bulanan
yang kami bagi sampai kau sanggup jual
diri, hah? Dasar sial!’
Itulah kata-kata pedih yang mengoyakkan sekeping
hatinya. Kata-kata yang dilontarkan oleh seorang bapa
saudara yang sering memanjakannya suatu masa dulu. Waktu
itu tidak ada sesiapa pun yang membelanya. Atuk dan nenek
juga hanya memandangnya dengan pandangan kosong.
Sedarlah dia yang ketika itu dia telah sendiri.
“Dhia,” seru Dhira.
Panggilan Dhira menghalau bisikan-bisikan
kenangan lampau. Bibirnya mengukir senyum segaris. Pahit.
“Hei, pandang aku. Walaupun aku tak ada di tempat
kau, tapi aku faham perasaan kau. Aku tahu kau terluka dengan
apa yang mereka lakukan pada kau. Tapi kau juga kena faham
perasaan mereka. Masa tu mereka tengah sedih. Kedatangan
Talia dengan bukti yang kau ke kelab malam berfoya-foya
dan gambar kau dengan Luqman tanpa seurat benang tu...
siapa saja boleh salah faham, Dhia. Jangan letakkan seratus
peratus kesalahan tu pada atuk dan ahli keluarga kau yang
lain,” pujuk Dhira lagi.
Ketika Dhia menceritakan hal itu serta menunjukkan
gambar itu kepadanya, dia terkejut. Sampai begitu sekali
bencinya Talia terhadap Adhia. Sedangkan Adhia tidak pernah
mengganggu gadis itu. Gambar itu bukan gambar Adhia pun.
Gambar yang ditunjukkan itu gambar yang telah diedit.
“Ya... kalau dulu aku boleh faham, Dhira. Aku boleh
mengerti andai diri aku dibenci. Sebab aku dah menyebabkan
mereka kehilangan seseorang yang disayangi. Tapi sekarang?
Sudah bertahun mak ayah aku takde, Dhira. Takkanlah
masih ada benci dalam hati mereka? Tidak pernah sekali pun
mereka bertanyakan khabar aku. Bagaikan aku ni tak pernah
wujud dalam kehidupan mereka. Hahaha... kelakar, kan.
Hidup aku kelakar. Mujur ada pak su walaupun aku tahu apa
yang dia lakukan hanya kerana amanah dan tanggungjawab
semata-mata,” ujar Adhia pasrah. Pasrah dengan nasib diri.
“Biarlah Dhia. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini.
Lihat kau sekarang, hidup kau tak terjejas pun tanpa mereka.”
“Ya, aku sedar tu. Eh, kau tahu tak apa yang jadi tadi?
Sah-sah malam ni aku akan tidur dengan lena,” ujar Adhia,
menukar topik.
“Kenapa?” Dhira juga gembira jika lena Adhia
mampu bertahan hingga ke pagi; dia amat bersyukur sangat.
Sejak dahulu, lena sahabatnya itu sentiasa terganggu. Selalu
terjaga di kala tengah malam. Rasa simpati menggunung
buat Adhia, namun apa yang mampu dia lakukan hanyalah
dengan memberi kata-kata semangat.
“Kau patut ikut aku ke majlis reunion tadi. Kau
tahu, semua orang tengok aku macam nak keluar biji mata.
Hahaha... tak berkelip,” teruja suara Adhia bercerita.
Dhira faham kini apa yang dimaksudkan Adhia. Dia
turut tersenyum. Sudah lama dia menantikan saat ini, tapi
apa boleh buat. Ada kerja lain yang harus dia lakukan.
“Alaa, ruginya...”
“Kau patut tengok muka Talia. Tapi Talia masih
macam dulu. Menjengkelkan! Aku hairan apa yang dia benci
sangat dengan aku. Tapi aku tak nampak pula Zurina.” Adhia
beralih duduk di sofa.
Dhira turut sama ikut duduk di sofa.
“Ah, minah tu memang kerek. Aku tak hairan kalau
dia masih dengan sikap dia yang dulu. Bukan ke dia dengan
Talia tu kembar. Dulu, di mana saja ada Talia, mesti ada
Zurina.”
“Entahlah.” Malas Adhia nak ambil tahu sebenarnya.
Janji dia sudah jumpa apa yang dicari.
“Eh, esok jadi tak jumpa dengan Amira?” soal Dhira.
“Ya Allah, aku dah lupalah!” Adhia tepuk dahi.
Dhira geleng kepala. Dia dah agak yang Adhia akan
terlupa.
“Kau ni... esok meeting penting tau. Kau boleh lupa
pulak,” bebel Dhira.
“Sorry. Aku teruja sangat pasal hal tadi sampai lupa.
Terima kasih sebab ingatkan aku. Kaulah sahabat dunia
akhirat aku. Okeylah, jom tidur. Mahu terlewat bangun
nanti,” ujar Adhia.
Esok perjumpaan penting dengan Amira; merupakan
masa depannya. Amira jurugambar yang akan bekerjasama
dengannya untuk projek terbaharu mereka. Adhia akan
menjadi model untuk jenamanya sendiri.
Adhia dan Dhira membuka perniagaan online.
Mereka menjual pelbagai jenis barang, pakaian dan tudung.
Yang penting itu semua hasil usaha tangan dan kreativiti
mereka. Selama 10 tahun menghilang, Adhia manfaatkan
masa yang ada itu dengan belajar sesuatu untuk hidupnya.

PAGI INI dia terlewat bangun. Kelam-kabut dia bersiap.
Sudahlah terlambat, jalan raya sesaklah pula. Perut pun
bukan main lagi berbunyi. Tak sempat nak bersarapan tadi.
Dia berhenti di lampu isyarat yang bertukar warna merah.
‘Aduhai, lambatnya nak gerak ni.’ Stereng kereta
diketuk berkali-kali. Matanya menangkap sesusuk tubuh
yang sedang memegang satu bekas berwarna kuning. Dahinya
berkerut.
Matanya masih ralit memerhatikan jejaka itu
berjalan dari sebuah kereta ke kereta yang lain dengan apron,
topi dan kaca mata hitam. Nampak... macho! Adhia gigit bibir
bawah. Jantungnya sudah berdegup laju.
“Apa yang dia buat tu?” omel Adhia.
Cermin tingkap kereta diturunkan ketika lelaki itu
mendekat.
“Cik nak sandwich? Teh tarik pun ada,” ujar lelaki itu
dengan senyuman manis di bibir.
Terpanar sesaat Adhia melihat senyuman itu. Dia
perasan apabila lelaki itu tersenyum, ada lekuk di pipinya.
Lesung pipit! Manis...
“Ehem.” Lelaki itu berdeham.
“Err... ya. Nak dua ek.”
“Nak yang mana? Tuna, sardin atau...”
“Mana-mana saja,” potong Adhia. Tidak mahu dia
mendengar suara garau lelaki itu. Ketar lututnya. Uh! Sudah
kenapa dengan dia ni?
“Ooo, okey. Nah.” Hulur lelaki itu.
“Nama awak apa?” Adhia gigit lidah. Aduh! Kenapa
dia boleh terlepas cakap ni? Sebenarnya dia nak tanya harga
sandwichnya. Nak saja dihantukkan kepalanya ke stereng,
tapi nanti jatuhlah maruahnya. Ditayangkan muka selamba.
Nak jaga egolah katakan.
Lelaki itu angkat kening. ‘Apa ke hal pula tanya
nama aku bagai ni? Miring ke?’
“5 ringgit semuanya, cik...” ujar lelaki itu tanpa
menjawab soalan Adhia.
“Huh, sombong!” Adhia menghulurkan not RM5
sebelum memecut keretanya meninggalkan lelaki itu. Dia
tanya nama saja pun, bukan ajak kahwin!

ADIF ARMAN kacip gigi. Dia dengar dengan jelas apa yang
diucapkan oleh minah Myvi biru tadi. Suka hati saja cakap dia
sombong. Huh! Adif berjalan ke arah temannya.
“Kau ni dah kenapa? Muka masam pulak,” tegur
Aiman.
“Tu... minah yang naik Myvi tadi tu... boleh pulak
tanya nama aku. Aku ni jual sandwich, bukan jual nama.
Gedik!” cemuh Adif.
“Hahaha, kau ni... itu pun nak marah. Itu tandanya
kau ni kacak. Masuk stok pilihan gadis Melayu.” Bibir Aiman
mengoyak senyum. Tawa halus kedengaran.
Jelingan maut dilemparkan. Rasa kecil besar saja
Aiman kala ini di matanya. Ada juga yang kena sumbat
dengan bekas sandwich gamaknya!
Aiman tayang muka bodoh. Langsung tidak terkesan
dengan jelingan maha tajam sahabatnya itu. Dia hairan
dengan Adif ini. Rupa ada. Duit pun ada. Bak kata orang,
kalau kahwin, tak kebulurlah anak isteri. Tapi apabila sebut
pasal perempuan saja, mulalah sahabatnya itu angin. Nak
kata gay, tak. Memang lelaki sejati.
“Woi, tak payah nak termenunglah. Kita datang sini
nak jual sandwich!” sergah Adif.
Terkulat-kulat Aiman disergah. Adoi... mahu bikin
dia dapat penyakit jantung barangkali.
Aiman mula mengatur langkah mendekati seorang
lelaki yang melambai ke arahnya. Mulut dimaniskan dengan
senyuman. Itu pesanan Adif setiap kali dia mengikut
sahabatnya itu.

JAM SUDAH menunjukkan 10 pagi. Adif sudah mula
melakukan kerja mengemas barang-barang. Dia mengerling
ke arah Aiman yang sedang duduk di bahagian bonet kereta
MPVnya.
“Amboi kau, sedapnya berehat! Aku ni yang penat
angkut barang. Huh!” Adif tolak tubuh Aiman ke tepi.
“Alaa, panaslah...” rungut Aiman.
Adif cekak pinggang. Tajam mata memanah ke arah
Aiman.
“Inilah masalah orang Melayu kita. Berpanas sikit
dah merungut. Bukan mahu bersyukur dengan rezeki
yang Allah kurniakan. Lepas tu bila lihat warga asing kian
mempelopori industri pekerjaan kita, mula kedengaran
kata-kata kesat. Salahkan kerajaan sebab benarkan warga
asing bertapak di Malaysia. Salahkan syarikat-syarikat yang
dengan senang mengupah warga asing. Padahal, semua itu
terjadi sebab salah diri sendiri. Nak kerja tapi memilih. Nak
kerja dalam pejabat berair-cond saja. Disebabkan sikap lewa
orang Melayulah, gejala jenayah dalam kalangan warga asing
meningkat. Dan juga... jenayah dalam kalangan orang kita
sendiri. Berapa banyak anak muda yang menjadi perompak,
peragut, dan keldai dadah? Haih, nasib orang kita ni jatuh
kerana kesilapan warga kita jugak. Namun dalam ‘kesakitan’
ni, kita tetap tuding jari ke arah orang lain,” bebel Adif.
Geram.
Aiman telan air liur kelat. Nada serius Adif
membuatkan bulu romanya meremang. Adif ni kalau
bercakap, memang kalah orang lain. Apa yang dia kata,
selalunya tepat dan betul. Memang silap hari bulanlah si
Aiman layan sikap malasnya tu. Kan dah kena setepek dengan
Adif.
“Yalah...” Aiman menyengih. Tidak mahu menjawab.
Jika tidak, berjela-jela lagi bebelan Adif.
Sedang Adif mengemas, sebuah kereta Myvi berhenti
betul-betul di hadapannya. Bunyi tayar berdecit pantas
membuatkan Adif berpaling ke belakang. Rahangnya diketap.
Gila ke apa bawa kereta? Buta ke tak nampak dia yang berdiri
di bahu jalan? Pinggangnya dicekak menanti gerangan
pemandu kereta itu keluar.
Dengan bergaya Adhia turun dari kereta. Memang
sengaja dia berhenti mengejut di hadapan lelaki itu. Sombong
sangat! Tidak dia sangka akan berjumpa lagi mamat itu.
Memang pun dia berniat hendak berjumpa mamat itu lagi,
tapi tidak sangka seawal ini.
Buntang mata Adif. ‘Perempuan tadi! Huh!’
Begitu juga mata Aiman yang memandang susuk
genit di hadapannya. Tidak berkelip mata. Skirt ketat paras
paha. Baju tanpa lengan dengan leher berbentuk V. Air liur
ditelan beberapa kali. ‘Seksi! Patutlah si Adif berbulu dengan
minah ni.’
“Hai,” tegur Adhia dengan suara lunak menggodanya.
Senyuman manis setia di bibir.
Adif tidak menjawab, malah tidak memandang
langsung ke arah Adhia. Dia meneruskan kerja-kerjanya.
“Hai,” jawab Aiman. Dia menyiku sahabatnya itu
namun tidak diendahkan.
“Dah habis meniaga ke?” soal Adhia. Matanya melirik
ke arah Adif.
“Eh, taklah. Baru nak mula ni.” Aiman buat loyar
buruk. Sengih.
Adif geleng kepala. Aiman ni kalau dengan
perempuan gatal semacam.
“Eii, pandai ek melawak. Hurmm... awak nama apa?
Saya Adhia Adamia.” Adhia hulur tangan untuk bersalaman.
Belum sempat Aiman menyambut, tangannya
ditolak kasar oleh Adif.
“Korang bukan muhrim, haram bersentuhan. Kau!
Kalau nak menggatal pun bukan tepi jalan ni. Malulah sikit.
Kau tu perempuan. Jangan nak tunjuk murah sangat,”
lancang mulut Adif menegur. Tegur ke? Rasa macam kena
kutuk saja!
“Woi, Aiman! Aku bayar gaji kau tolong aku, bukan
melayan perempuan. Mata tu keranjang sangat. Pantang
nampak perempuan dahi licin, merenyam aje...” bebel Adif
beralih kepada Aiman pula.
Sebal hati Aiman.
‘Apa punya kawanlah. Tak sporting langsung!
Dan-dan malukan aku. Jatuh ego aku. Huhuhu...’ Dalam
membebel ditolong juga yang mana patut.
“Kawan awak tu memang sombonglah,” ujar Adhia.
Mulutnya mencebik. Sudahlah cakap kasar saja.
“Erkk, dia memang macam tu. Anti perempuan,”
Aiman sengih. Dia nampak Adif menjeling tajam ke arahnya.
Bengkak hati Adif dikatakan anti perempuan. Bukan
anti, tapi menjaga batasan. Mereka orang Islam, jadi hidup
pun kenalah cara Islam. Jangan hanya Islam dalam kad
pengenalan. Semua main redah saja, konon moden. Hmm,
penjajahan pemikiran yang semakin teruk!

No comments:

Post a Comment