ADHIA memandang kereta Adif yang kian
menjauh. Tiba-tiba air matanya jatuh. Kenapa? Dia sendiri
pun tidak tahu. Dengan langkah longlai dia menuju keretanya.
Dihempas punggung dengan kasar ke kerusi. Matanya terhala
ke hadapan. Kata-kata Adif masih terngiang-ngiang di telinga.
“Arghh!!!” Stereng kereta diketuk kuat. Sakit hati
kerana tidak dapat meluputkan kata-kata Adif. Malahan
berdengung di telinganya.
‘Kau memang gila Adhia Adamia! Adif Arman, lelaki
yang kau baru kenal. Kenapa kau boleh jadi macam ni hanya
kerana seorang lelaki yang baru kau kenal? Kau kenal dia
semalam kut. Tapi kau kejar dia bagaikan kau dah suka dia
bertahun-tahun lamanya. Kenapa Adhia Adamia? Kenapa?
lelaki tu naik motor kapcai aje. Kerja entah apa-apa. Apa
sebab kau kejar dia Adhia?’
Adhia geleng kepala. Suara hatinya tidak mampu
dijawab.
“Ah, yang aku tahu... dia MESTI jatuh cinta pada
aku!”
Laju keretanya meluncur di jalanan. Menuju ke
mana, dia pun tidak tahu. Apa yang pasti, rasa resah dalam
hati harus diredakan.
Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Tertera nama
Luqman. ‘Hai, mamat ni nak apalah lagi? Tapi bagus jugak
dia call, aku tengah serabut ni.’
“Helo sayang,” Adhia sengaja melunakkan suaranya.
Manja. Kan semalam dia dah sakitkan hati Luqman, jadi
kenalah beli hati Luqman semula. Luqman ni bukan susah
macam Adif tu. Lembut, manja sikit-sikit, tambah menggoda,
habislah. Mencair terus.
“Err, helo. Honey kat mana?” Tergagap-gagap
Luqman. Tidak sangka Adhia akan berlembut dengannya.
“Tengah drive. Bosan. Tak tahu nak ke mana. Jom
jumpa, sayang.”
“I...”
“Bi...”
Adhia merengus. Dia dengar suara perempuan
memanggil lelaki itu. Terus talian dimatikan. ‘Huh! Boleh
pula dia call aku masa dengan perempuan tu. Apa? Nak
berlagaklah tu!’
“AWAL KAU balik?” soal Dhira sebaik saja Adhia duduk di
sebelahnya. Laptop yang masih bernyala dibiarkan seketika.
Matanya terhala ke arah si teman yang masam mencuka.
“Ni dah kenapa? Mulut muncung. Muka dah kalah
Popeye.” Dhira gelak.
Adhia jeling. Dia tengah angin, Dhira banyak songeh
pula.
“Kau buat apa ni?” Adhia tukar topik.
“Aku buat design untuk anak Datin Rohana. Kan dia
suruh kita design baju tunang anak dia.”
“Oooo,” Adhia angguk kepala. Terlupa yang mereka
kini sedang dalam proses mengembangkan lagi business
online mereka.
Datin Rohana merupakan pelanggan pertama
mereka yang request untuk design baju tunang. Orang
kaya, baju tunang pun nak tempah khas. Tak nak sewa.
Buat kenangan katanya. Tidak kisahlah, janji poket mereka
maksyuk. Yang jadi masalah, anak datin ini cerewet habis.
Rasanya sudah 3 kali Dhira tukar design. Ada saja yang tak
berkenan di matanya. Bertunang aje kut! Huh!
“Apa pula yang tak kena kali ni?” ujar Adhia sambil
tangannya mengambil kertas lakaran Dhira.
“Hmmm, bahagian leher tak cukup seksi katanya.
Aku hairan sungguh, dia ni nak bertunang ke nak tunjuk
segala ‘aset’ dia tu? Aku dah lekukkan potongan bahagian
leher ni, dia tak nak. Tak cantik katanya. Tak menonjolkan
bahagian dadanya yang putih tu. Aku buat bentuk V, Datin
Rohana pula tak nak, katanya nampak gunung anak dia. Yang
si anak pula nak. Bodoh! Pening dah aku nak ikut yang mana
satu,” bebel Dhira. Mujurlah Datin Rohana ini pemurah. Dia
cakap berapa pun datin itu sanggup bayar. Kalau tidak, jangan
haraplah dia hendak bersusah payah begini.
“Kau cakaplah kat dia, orang bertunang pakai
sopanlah. Baju kurung, tak pun kebaya.”
“Aku dah cakap. Kau tahu apa dia jawab? ‘Helo, I ni
anak datin, datuk. Tak mainlah pakai baju kurung tu. Kolot’.”
Dhira siap buat lagak gedik anak datin itu.
Adhia geleng kepala. Kalau begitulah gayanya, pasti
sahabatnya ini dah sakit jiwa melayan anak datin itu. Nasib
baik bukan dia yang uruskan. Kalau tidak, memang selamat
minah tu kena ‘brainwash’ dengannya. Lantaklah datin nak
tarik balik ke tak nak tempahannya.
“Sabarlah. Kan kau jugak cakap yang datin tu lubuk
duit. Nak kena jaga, jangan bagi lari. Customer tetap tu,” ujar
Adhia.
Pap! Dhira tampar bahu Adhia. Sempat lagi nak
menyindirnya.
“Datin tu lubuk kita bersama. Tanpa dia, macam
mana kita nak bayar semua ni? Kau sendiri tahu, kebanyakan
pelanggan kita datang daripada dia. Kawan-kawan kelab
dia, saudara-mara dia. Memang dia lobi habislah kita punya
produk.”
“Tahu! Syukur. Kita dapat kurangkan hutang. Pakai
kereta buatan Malaysia. Tak macam orang tu... Dulu beria-ia
nak pakai kereta mewah. Kononnya nak tarik pelanggan,”
perli Adhia di hujung katanya.
“Hesy! Kau ni kan... Dah, pergi sana. Jangan kacau
aku. Bukan nak tolong aku cari idea, tapi menambahkan stres
aku pulak,” bebel Dhira. Tangan terus-terusan menolak Adhia
supaya menjauh.
“Yalah.” Akhirnya Adhia mengalah. Dia berbaring di
atas karpet. Tangan kanan diletakkan ke dahi dengan mata
terpejam.
PETANG ITU Adif hanya berlingkar di ruang tamu sambil
menonton TV. Namun matanya tidak mampu fokus pada apa
yang ditontonnya. Fikirannya teringatkan Adhia. Ah, gadis
itu memang menyusahkan. Mengganggu-gugat ketenangan
hatinya.
Rasa bersalah kerana terlepas cakap pagi tadi masih
terasa. Dia cuma mahu Adhia sedar apa yang dilakukannya itu
salah. Sama sekali tidak betul. Mujur saja tadi waktu itu siang,
dan di tepi jalan. Andai kata itu terjadi di dalam gelap, dan
hanya mereka berdua, hmm... yang ketiga pastinya syaitan.
Adhia... gadis itu punya tarikan tersendiri. Dalam
gatal dan gedik, masih ada sesuatu yang tersembunyi.
Sesuatu yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Bohonglah jika hatinya tidak bergetar tatkala hampir dengan
Adhia. Apatah lagi digoda gadis itu. Tapi Adhia, terlalu lepas
laku. Mudah membiarkan dirinya disentuh lelaki asing. Dan
itu dia tidak suka! Ciri-ciri wanita idamannya haruslah yang
pandai menjaga diri.
“Hoi! Kau menungkan apa tu? Malam ni tak meniaga
ke?” sergah Aiman seraya duduk di sebelah Adif.
“Ya Allah! Kau ni tak reti nak bagi salam ke?” marah
Adif. Terkejut disergah begitu.
“Eh, jangan nak salahkan aku. Aku dah bagi salam 3
kali, tapi kau yang tak sahut. Kau tu... menungkan apa? Aku
tengok macam serius aje,” ujar Aiman.
Adif menjeling Aiman yang sedang ralit dengan
telefonnya sambil tersengih-sengih.
‘Hai, baru jumpa pun masih lagi bertelefon. Pelik
sungguh orang bercinta ni. Tak jemu ke?’ desisnya dalam
hati.
‘Kau apa tahu, Adif. Bercinta pun tak pernah. Asal
perempuan nak dekat saja, kau menjauh berhasta,’ tempelak
hatinya pula.
“Kau tak jawab soalan aku lagi...”
“Ingatkan tak nak tahu dah. Yalah, orang sibuk
dengan tunang,” sinis suara Adif. Sengaja.
“Aip, cemburu ke? Itulah... Adhia kejar, kau jual
mahal. Lepas tu nak cemburu bagailah pulak.”
“Aku nak cemburu? Sorrylah. Kau tu agak-agak sikit,
baru bertunang. Jangan sampai melebihi batas yang telah
digariskan dalam Islam. Jangan sampai melalaikan. Cinta
kepada manusia jangan melebihi cinta kepada Allah. Kau tahu
tak, sahabat Nabi SAW iaitu Sayidina Abu Bakar As-Siddiq rela
menyuruh anaknya Abdul Rahman menceraikan isterinya
Atikah hanya kerana bimbang anaknya tidak diredai Allah.
Beliau lihat anaknya terlalu kasihkan isterinya itu, maka dia
bimbang perihal itu akan melalaikan anaknya dalam perang.
Kau nampak apa yang aku nak sampaikan?” ujar Adif.
“Hmm, ya. Aku faham Ustaz Adif Arman.”
Adif geleng kepala. Dia bagi nasihat, dibuat
main-main oleh sahabatnya ini. Nasib kawan, kalau orang
luar memang tidak ada masa dia nak layan.
“Kau tak meniaga ke malam ni?”
“Meniaga macam biasalah.”
“Ooo... Dif, kalau aku tanya ni... kau jangan marah
ek.” Aiman sengih.
“Hai, pelik kau punya intro. Sopan semacam.” Adif
kerut kening.
“Hehehe... pelik apanya, aku nak belajar jadi lelaki
sopan ni.” Aiman menjongketkan kening.
“Okey. Apa dia?” Adif layankan saja. Malas nak
melayan sengal Aiman.
“Kenapa kau tak suka Adhia? Dia cantik. Seksi. Dan...
menggoda. Cukup pakej tu.”
Pantas Adif mengetuk kepala Aiman. Mata Aiman
yang bersinar-sinar itu sudah menceritakan apa yang ada
dalam kepala sahabatnya itu.
“Woi, sakitlah bengong! Gila ar kau ni.” Aiman gosok
kepalanya. Mahu biul dia rasa.
“Lain kali kalau nak cerita pasal anak dara orang,
ingat ketukan aku ni. Itu baru aku ketuk, bukan Allah.”
“Hmm, yalah. Jawablah soalan aku tadi.”
“Cantik pada fizikal saja tidak cukup, Man. Seorang
wanita yang menjadi pendamping mestilah cantik fizikal,
rohani, akal dan akhlak. Kita disarankan dalam Islam mencari
isteri. I-S-T-E-R-I bukan K-E-K-A-S-I-H.” Adif sengaja
mengeja dua perkataan itu supaya si sengal di hadapannya ini
dapat faham apa yang cuba dia sampaikan.
“Apa bezanya?” Aiman tergaru-garu. Bukankah
apabila sudah suka, akan jadi kekasih dan kemudian akan jadi
isteri. Jadi, di mana bezanya?
“Kau ni kalau aku cakap kau bodoh, marah. Mencari
isteri itu kenalah mengikut landasan yang telah ditetapkan
oleh Allah. Iaitu rupa, keturunan, harta dan agama. Dan
nabi menyuruh kita mendahulukan agama, kerana dengan
agamanya, insya-Allah semuanya akan baik. Yang beragama
ini bukan hanya pada nama tapi pada perbuatan. Tidak
guna dia mengaku Islam, sedangkan solat 5 waktu tidak
sempurna. Pakaian ibarat telanjang. Dan dalam diri wanita
Muslimah perlu ada malu. Kerana malu itu benteng maksiat.
Dan aku bukan mencari yang sempurna... cukuplah dia ada
usaha untuk menjadi salah seorang srikandi Allah. Berusaha
mencapai reda Allah.”
Adif memandang Aiman yang terkebil-kebil
mendengar bicaranya. Entah diserap apa yang diperkatakan
entahkan tidak.
“Kenapa nak mencari kekasih sedangkan isteri juga
boleh jadi kekasih? Kau tanyalah siapa pun, sejahat mana pun
lelaki itu, jika mahu mencari isteri, dia akan pilih wanita yang
bagaimana; yang baik akhlaknya ataupun yang sebaliknya?
Usah tanya orang lain, tanya diri kau sendiri. Kekasih yang
bagaimana mahu kau jadikan isteri dan pendamping kau?
Ya, tidak disangkal bahawa fitrah kita lelaki mahukan yang
cantik, seksi dan menggoda. Tapi fahamlah, jika pandang si
dia dengan keimanan, semua itu tidak penting pun,” ujar Adif
tenang.
Aiman mengangguk setuju dengan kata-kata
Adif walaupun dia tahu ada sedikit sebanyak si teman
mengenakannya.
“Yalah... jadi, sebab itu ajelah kau tolak Adhia?”
Masih tidak putus asa Aiman mengorek rahsia hati Adif.
“Bukan itu saja. Kita orang baru aje kenal kut. Gila
kau! Dibuatnya dia tu isteri orang ke, tunang orang ke, sia-sia
aku mati kena parang. Realistiklah sikit bro. Buat apa dia nak
kejar aku yang takde apa-apa ni?”
“Pulak. Kau pun gunalah logik akal. Kalau dia tu
dah berpunya, takkanlah dia kejar kau. Agak-agaklah bro,”
sangkal Aiman.
Adif pandang Aiman. Lama. Betul juga apa yang
Aiman kata.
“Ala, perempuan sekarang... mana nak kisah itu
semua. Masih status isteri orang pun, menggatal dengan
lelaki lain. Konon, cinta! Suami tak mampu penuhi kehendak
diri. Batin terseksa! Bermacam-macam alasan lagilah!”
cemuh Adif.
“Hei, tak baik tau buruk sangka dengan orang. Kau
ni, tadi elok saja ceramahkan aku. Sekarang kau pula buruk
sangka dengan Adhia tu,” selar Aiman.
Tersentak Adif diselar Aiman. Laju lidahnya
beristighfar.
“Yang kau beria-ia sangat ni kenapa? Kalau kau nak,
kau ambillah.” Adif bangun meninggalkan Aiman. Bengang
pula dia rasa apabila diasak Aiman dengan soalan begitu. Ikut
suka hati dialah nak kawan ke tidak.
No comments:
Post a Comment