“LIA, dari tadi abang tengok awak asyik tenung
jam aje. Kenapa?” Encik Jamilul kerutkan dahi. Buku di
tangannya ditutup dan isterinya yang kelihatan resah dan
gelisah itu dipandang. Dia sendiri pun ikut resah melihat
reaksi si isteri sejak tadi sehingga terganggu pembacaannya.
“Jean...” Puan Kamalia melepaskan keluhan. Sekali
lagi jam di dinding dikerling.
“Ha! Kenapa dengan Jean?” Sebaik nama Jean
disebut, dahi Encik Jamilul turut berkerut.
“Dah dekat pukul 11 malam dah ni, tapi anak dara
abang tu masih belum balik lagi. Selalunya dia tak pernah
lewat macam ni,” ucapnya resah.
“Mungkin dia kerja lebih masa agaknya tu. Lia bukan
tak tahu Jean tu kan jenis yang kuat bekerja. Kalau tak pun
tentu dia keluar dengan kawan-kawan dia.” Encik Jamilul
cuba menenangkan isterinya.
“Biasanya kalau dia kerja lebih masa atau hendak ke
mana-mana, dia akan telefon Lia beritahu. Ni senyap aje. Call
tidak, mesej pun tidak.” Puan Kamalia mengeluh perlahan.
“Kalau dah risau sangat kenapa tak call aje dia? Jadi
tak payahlah Lia tertanya-tanya macam tu.”
“Hurm... Lia tak naklah ganggu dia, bang. Takut
pulak kalau-kalau dia tengah drive.” Puan Kamalia terus
berdiri dan kepala dijengah ke luar melalui tingkap di ruang
tamu. Walaupun dia tahu dia tidak akan dapat melihat apa-apa
dari dalam tetap juga pandangannya dibuangkan ke situ.
“Lia pandang apa tu? Kalau dia balik tentu ada bunyi
kereta dia. Apa kata Lia call aje dia,” suruh Encik Jamilul
lagi. Melihat keadaan isterinya itu dia juga turut merasa
tempiasnya. Hati yang sedari tadinya tenang tiba-tiba ikut
resah gelisah. Mulalah kepala memikir yang bukan-bukan.
Akur, akhirnya Puan Kamalia mengangguk. Langkah
terus dibuka menuju ke arah meja console yang diletakkan
di kaki tangga. Baru sahaja gagang telefon ingin dicapai,
terdengar kuat bunyi kereta Jean memasuki garaj rumah dua
tingkat tersebut. Spontan itu nafasnya dihela lega.
“Dah sampai pun,” ucapnya perlahan lalu pandangan
dibuangkan ke pintu.
“Hurm... Lia aje yang risau sangat.” Encik Jamilul
buang sengih.
“Tentulah risau, bang. Jean tu anak dara. Kalau anak
teruna Lia tak kisahlah sangat.”
Baru sahaja Encik Jamilul ingin membalas kata-kata
isterinya, dia terdengar daun pintu dikuak. Kepalanya
dipalingkan memandang ke arah pintu. Puan Kamalia turut
memandang ke arah yang sama.
Jean yang baru melangkah masuk tercengang
dan terpinga-pinga apabila melihat reaksi kedua-dua orang
tuanya.
“What?” soalnya dengan dahi berkerut seribu.
Kedua-duanya dipandang silih berganti.
“Kenapa balik lewat? Jean buat mama risau.” Puan
Kamalia terus bersuara dan mula buka langkah menuju ke
ruang tamu semula.
Jean buang sengih. “Ada kerja yang nak kena siapkan
ma. Urgent,” jawabnya lalu daun pintu ditutup dan dikunci.
“Boleh tak kalau balik lewat call mama dulu?
Janganlah buat mama risau,” bebel Puan Kamalia tetapi
dengan nada suara yang terkawal. Itu bukan pertama kali
dia memesan tetapi sudah acap kali dan anak gadisnya itu
bukannya pernah mendengar kata.
Sengih Jean melebar dan buka langkah menuju
ke ruang tamu. Begitulah mama, walau sedang marah
suaranya sangat dijaga. Tak pernah lagi dia mendengar mama
terjerit-jerit atau memaki hamun tidak tentu hala ketika
marah. Mungkin sebab itulah agaknya papa terlalu sayangkan
mama.
Bukan macam dia yang sukar diduga anginnya.
Macam yang Dean pernah kata, mood dia ada dua musim.
Kadang sejuk dan kadang ribut. Tapi dia berani moody dengan
Dean aje sebab hanya Dean yang pandai mengawal emosi dia.
Sebaik mama dihampiri, beg tangan dan beg
komputer ribanya diletakkan di atas meja kemudian Jean
terus duduk.
“Sorry ma. Busy sangat sampai tak sedar dah lewat.
And sorry sebab tak call dan buat mama risau.” Sengihnya
dan tubuh Puan Kamalia dipeluk sayang.
Puan Kamalia hela nafas. Jean kalau hendak
memujuk begitulah sampai dia tidak jadi hendak membebel
lagi.
“Kerja sampai lewat malam dekat ofis tu tak takut
ke?” Jean yang sudah kembali bersandar di sofa dipandang.
“Nak takut apanya ma, bukannya Jean sorang aje
yang balik lewat. Dean dengan dua orang staf pun ada juga.”
“Ha, papa dah agak dah mesti Dean ada sekali. Kalau
Dean ada tak payahlah awak nak risau Lia.” Encik Jamilul
terus mencelah.
Mendengar kata-kata papanya, Jean terus kerling
Encik Jamilul.
“Papa ni asal dengar nama Dean aje bukan main
suka lagi. Dean ada rasuah papa apa-apa ke sampai macam tu
sekali papa percayakan dia?”
“Entah abang ni, pantang dengar nama Dean.” Puan
Kamalia mengiakan pula.
“Hesy! Orang baik macam tu siapa yang tak suka,
Lia. Kalau ikut abang ni, nak aje abang pinang si Dean tu
untuk dijadikan men...” Encik Jamilul tergelak kecil. Anak
dan isterinya dipandang.
“Ha... papa jangan macam-macam ya. Benda lain
boleh tapi kalau bab tu... no... no... no...” Laju Jean mencelah
mematikan bicara papanya. Dia memang sudah tahu benar
apa yang papa ingin perkatakan.
“Kenapa? Pilihan papa tak bagus ke?”
Jean geleng kepala.
“Bukan tak bagus tapi Dean tentu dah ada pilihan
dia sendiri. Lagipun Jean dengan Dean kan kawan baik ajelah.
Jean tak naklah sebab apa yang ada dalam kepala papa tu,
kami rasa tak selesa,” jawabnya panjang lebar.
“Hurm... kawan baik tapi hari-hari ke hulu ke hilir
dengan Dean.” Puan Kamalia mencemik sambil jongketkan
kening memandang suami.
Encik Jamilul tersenyum dan mengangguk
mengiakan usikan isterinya itu.
“Dah kerja satu ofis, tentulah hari-hari jumpa dia.”
Jean membela diri sambil tersengih.
“Ermm... yalah.” Sekali lagi Puan Kamalia
mencemik.
“Jean naik atas dululah ma, pa. Penatlah.” Bimbang
isu tersebut semakin berpanjangan, cepat-cepat Jean minta
diri dan bingkas bangun. Beg tangan dan beg komputer
ribanya dicapai.
“Pergilah. Jangan lupa mandi dulu, lepas tu solat baru
tidur.” Encik Jamilul mengingatkan. Jean bukannya boleh
kira, kadang-kadang bila balik lewat terus saja membuta.
Jean mengangguk sahaja dan mula buka langkah.
“Oh ya, Jean dah makan belum? Kalau belum makan,
biar mama siapkan.”
“Dah, ma. Makan dengan Dean tadi.”
Mendengar jawapan Jean, Puan Kamalia dan Encik
Jamilul berpandangan lagi bersama senyuman.
Jean terus beredar dan langkah diayun laju mendaki
mata-mata tangga. Sebaik masuk ke dalam biliknya, beg
tangan dan beg komputer ribanya dicampakkan ke atas katil
lalu tubuh direbahkan ke atas tilam. Ya Allah, penatnya.
Keluhnya. Baru sekarang dia terasa.
Sambil menyelesakan baringannya, nafas panjang
dihela dan perlahan-lahan matanya dipejamkan. Terus terlupa
pesanan papa tadi. Baru sahaja dia hendak terlelap, tiba-tiba
terdengar nyaring telefon bimbitnya berbunyi.
Jean mendengus keras. Tubuh diiringkan sambil
tangan meraba-raba mencari telefon bimbit di dalam
beg tangan. Telefon bimbit dicapai dan tanpa melihat
pemanggilnya, panggilan tersebut terus dijawab.
“Assalamualaikum.”
Terdengar sahaja suara Dean di talian, sekali
lagi Jean mendengus. Apa lagilah yang lelaki itu mahu
agaknya. Sudahlah diheret dia bekerja sampai lewat malam
semata-mata hendak menyiapkan proposal iklan produk
kecantikan yang perlu Dean bawa ketika mesyuarat bersama
klien esok. Apabila sampai di rumah pun Dean masih
mengganggu lagi. Haih!
“Waalaikumussalam...” jawab Jean malas-malas dan
dengan mata yang masih terpejam.
“Dah lama sampai?”
“Dah dekat 20 minit.”
“Dah 20 minit? Habis tu kenapa tak telefon aku
beritahu kau dah sampai?”
Teringatkan pesanan Dean sebelum dia balik tadi,
matanya dibuka dan rambutnya yang tidak gatal digaru.
Macam manalah dia boleh lupa? Aduh!
“Sorrylah. Aku terlupa,” ucapnya serba salah.
“Hurm... apa sajalah yang kau ingat,” bebel Dean
tetapi lembut sahaja nada suaranya.
“Aku ingat nak tidur aje. Haih! Aku penatlah,” bebel
Jean pula.
“Dah mandi belum tu?” soal Dean lagi.
“Belum.” Jean buang sengih. Hujung rambut
panjangnya dipintal.
“Elok sangatlah tu anak dara tidur tak mandi.”
“Alaa... sibuk betullah kau ni. Yang tak mandi tu aku,
bukannya kau.”
“Dah tak payah banyak cakap Jean. Pergi mandi.”
“Yalah... yalah. Aku nak pergi mandilah ni.” Dengan
muka cemberut dan dengusan kecil, Jean bingkas bangun.
Dean ni memang potong stim. Dia baru sahaja hendak lena
sudah dikacaunya. Grrr!
Dean tergelak kecil.
“Okeylah, aku nak tanya tu aje. Pergi mandi, solat
dulu lepas tu baru tidur.”
“Isy... kau ni macam papa akulah. Okeylah, bye.
Good night.”
Ketawa Dean bersambung dan semakin galak
dari tadi. Fahamlah dia Jean sudah tidak mahu berbicara
dengannya lagi.
“Okey, jumpa kau esok. Good night dan
assalamualaikum.”
Sebaik membalas salam Dean, talian dimatikan dan
telefon bimbitnya terus dicampakkan ke atas katil.
“Kalau kau tak kacau aku, tentu aku dah mimpi
indah sekarang. Hesy!” bebel Jean dan terus berjalan menuju
ke bilik air dengan muka yang masam mencuka.
No comments:
Post a Comment