DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 17 October 2019

Dia…Suami Tak Dirancang - Bab 9

NIAT hendak menjalankan tanggungjawab
sebagai seorang isteri. Sekurang-kurangnya dengan
apa yang dia cuba buat, mampu mengurangkan
perasaan bersalahnya terhadap Dinzly. Pagi-pagi lagi
Darwisya sudah turun ke dapur. Menyediakan sarapan
buat encik suami. Dinzly hendak menjamah atau tidak,
hal itu Darwisya tolak ke tepi. Sekurang-kurangnya dia
mencuba.
Dipandang hidangan nasi lemak yang masih
mengeluarkan asap nipis itu. Sambal sotong hasil air
tangannya nampak seperti menyelerakan. Rasa? Hmm...
tak tahulah. Tawakal sajalah!
Bunyi derap kaki membuatkan Darwisya
segera menoleh ke belakang. Terpandangkan sahaja
wajah suaminya, Darwisya segera mendapatkan encik
suami. Jauh di sudut hati, rasa takut hendak menegur
wajah yang jelas tidak dihiasi senyuman itu. Terpaksa
dikentalkan hatinya.
“Dinz... saya ada buatkan sarapan...”
“Aku dah lambat ni.” Tak sempat menunggu
Darwisya habiskan ayat.
Mendengarkan intonasi Dinzly, Darwisya sudah
mula mengerti. Malangnya Darwisya masih tidak mahu
mengangkat bendera putih.
“Jamahlah sikit, buat alas perut.” Cuba untuk
memujuk.
Kedengaran suara Dinzly mendengus kasar.
“Ayat aku yang mana satu kau tak faham tadi,
Wisya?”
Buntang mata Dinzly buat keberanian yang
memang tinggal sekuman hilang sekelip mata.
Darwisya telan liur. Merenung encik suami untuk
seketika sebelum perlahan-lahan tubuh dipusingkan
untuk kembali ke ruangan dapur.
Melihat wajah suram Darwisya, Dinzly tidak
jadi menyambung langkah.
Tiba-tiba dia jadi kasihan.
Tiba-tiba dia rasa bersalah.
‘Orang tu dah bersusah payah buatkan sarapan
untuk kau, takkan kau tak tahu nak menghargai
langsung, Dinz?’ Suara positif yang bergema
membuatkan fikiran Dinzly mula berubah.
“Wisya.” Nama Darwisya diseru sekali.
“Ya, Dinz?”
“Pagi-pagi aku tak makan banyak.” Ayat berkias
diucapkan sebelum kaki mula dilencongkan menuju ke
meja makan.
Mendengarkan bicara Dinzly, Darwisya simpan
senyum nipis. Sekurang-kurangnya untuk kali ini
Dinzly sudi untuk mengalah dengannya.
Dinzly melabuhkan duduk. Menanti Darwisya
menyendukkan nasi buatnya.
“Cukup?” soal Darwisya lembut.
Sekadar menjatuhkan kepalanya sekali.
Memerhatikan saja setiap gerak-geri Darwisya, sedikit
sebanyak hati mula terkesan sesuatu. Segera dihalau
menjauh kerana Dinzly tidak mahu terus hanyut.
Teruja dengan kesudian Dinzly untuk
menjamah air tangannya, sampai tak sedar sambal
sotong yang baru disenduk terpercik mengenai kemeja
putih yang dipakai oleh Dinzly.
“Oh, God!” Automatik Dinzly bangkit mendadak
daripada duduk. Bunyi kerusi bergesel membuatkan
hati Darwisya mula merasa kecut.
Hujung kemeja direnung sebelum wajah si
isteri dipandang geram.
“Kau...” Jari telunjuk Dinzly naik melentik
tepat di hadapan wajah Darwisya yang sudah menunduk
menekur hujung kaki.
Hajat hendak menghambur cukup-cukup, tapi
bibir pula rasa tidak mampu untuk memuntahkan
kata-kata kejam. Sudahnya Dinzly sekadar melepaskan
dengusan kasar untuk meredakan sedikit perasaan
bengangnya.
“Dinz, saya minta maaf. Saya tak sengaja.”
Suara Darwisya dah serupa gaya nak menangis.
“Kau ni memang suka sakitkan hati aku ke?”
Terluncur juga bicara itu di bibir Dinzly.
“Saya betul-betul tak sengaja. Saya tolong
bersihkan ya?” pinta Darwisya seraya mencapai tisu
yang berada di atas meja. Hampir menyentuh kesan
kotoran pada kemeja Dinzly, tangannya sudah terasa
ditolak kasar.
“Aku tak tahulah kenapa aku boleh ikutkan
kehendak kau tadi. Bila jadi macam ni, aku betul-betul
rasa menyesal. Kononnya nak sediakan sarapan untuk
aku. Padahal kau memang sengaja nak susahkan
aku, kan? Kau tahu tak aku dah lambat pagi ni,
perempuan???” Berkertap bunyi gigi berlaga.
“Saya tak sengaja, Dinz. Saya betul-betul minta
maaf.”
“Itu sajalah modal kau. Buat salah, minta
maaf. Kau rasa maaf kau tu boleh buat sakit hati aku
ni berkurang ke? Lepas ni kau jangan tergedik-gedik
nak siapkan sarapan untuk aku lagi. Dasar perempuan
menyusahkan!” hentam Dinzly berterusan.
Tak tunggu lama, kelibat Dinzly kembali
menapak ke ruangan atas. Meninggalkan Darwisya yang
jelas kelihatan menjeruk rasa. Mengerdipkan kelopak
mata beberapa kali, cuba menahan tangis daripada
berhamburan di pipi. Hajat nak berbaik-baik, tidak
sangka akan menimbulkan kemarahan lelaki itu pula.
Moga dia akan terus kuat. Kuat menghadapi apa
sahaja bicara menggores hati daripada Dinzly selepas
ini.
Meskipun kebaikannya sudah disalah erti,
Darwisya tak peduli. Biarpun hati sendiri terpaksa
dilapah-lapah, Darwisya tetap ingin berbakti. Supaya
dengan cara ini, perasan bersalahnya terhadap Dinzly
mampu berkurangan dari hati.
Andai saja Dinzly tahu...

No comments:

Post a Comment