DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 October 2019

Detik Waktu Itu - Bab 3

Taman Nong Chik, JB...

“PAPA penat tak?” soal Faiqah berbasa-basi.
“Tak sangat. Kenapa Iqa? Macam mana dengan kerja?
Suka tak tempat kerja baharu?” tanya Encik Affendi pula.
Faiqah baru sahaja mula bekerja di sebuah syarikat perkapalan
terkemuka di Johor Bahru sebagai ketua juruaudit.
Puan Jasmin yang duduk di sebelah suaminya hanya
memerhati dua beranak itu bersembang.
“Suka, papa. Layanan mereka pada Iqa baik. Err...
papa, mama... Iqa ada nak beri sesuatu.”
Puan Jasmin dan Encik Affendi berkerut dahi dan
memandang tepat ke arah anaknya.
“Apa dia Iqa?” Encik Affendi lantas bertanya.
“Sekejap. Iqa ambil dalam bilik.” Faiqah terus
menghilang ke bilik tidurnya untuk mengambil sepucuk
surat yang ditulis arwah Farah khas buat papa dan mama.
Genap seminggu pemergian adik tersayang, Faiqah
menjumpai surat itu ketika dia membuka diari biru gelap
milik kembarnya. Namun tidak diberi kepada kedua ibu
bapanya dek risau papa dan mama bersedih lagi. Mungkin
ini tiba masanya untuk dia berikan amanat terakhir Farah
kepada papa dan mama.
“Nah!” Surat itu diunjukkan di hadapan papa dan
mama sekembalinya ke ruang tamu.
Berkerut dahi Encik Affendi.
Surat bertukar tangan. Mata menangkap tulisan yang
tercatat di atas muka sampul itu. Dia kenal tulisan itu. Surat
itu diusap perlahan sampulnya sambil matanya memandang
wajah isterinya tepat.
Puan Jasmin mengangguk setuju untuk
membacanya. Surat beralih tangan.
Ke hadapan papa dan mama yang
Farah sayangi,
Farah pernah terfikir wajarkah kalau
Farah menitipkan warkah terakhir ini
buat papa dan mama. Ini mungkin
akan menerbitkan rasa sedih dan
terkilan papa dan mama pada Farah.
Puan Jasmin menyeka air mata yang tidak henti-henti
turun menitis ke pipi. Walaupun dia sudah reda namun
hatinya masih bersedih. Encik Affendi menahan air mata
daripada menitis ke pipi. Bahu isteri tercinta diusap perlahan.
Beri kekuatan kepada si isteri menyambung pembacaannya.
Faiqah diam menanti nukilan terakhir Farah dibaca
seterusnya oleh mama. Air mata masih mampu ditahan
daripada mengalir. Dia mahu kuat untuk papa dan mama.
Sedih sebab Farah sudah tak ada saat
warkah ini dibaca dan terkilan kerana
Farah tak pernah cerita pada sesiapa
pun tentang penyakit yang Farah
alami selama ini.
Papa,
Saat papa tanya bila Farah akan
pulang ke Malaysia, Farah gusar. Gusar
akan penyakit yang akhirnya akan
diketahui oleh semua orang. Seboleh
mungkin Farah mahu menyimpan
mengenai penyakit Farah ini. Farah
tak nak susahkan papa.
Mama,
Farah tahu, mama pasti
tertanya-tanya macam mana dan
bagaimana Farah boleh mendapat
penyakit ni, kan? Farah tak tahu,
mama. Farah tahu yang umur Farah
tak panjang.
Papa dan mama yang dekat di hati
Farah,
Penyakit ni Farah sedar semasa Farah
di London lagi. Farah mula mendapat
tanda-tanda sakit ni masa dalam
kelas. Farah selalu sesak nafas dan
hidung berdarah. Farah reda papa,
mama. Ini takdir Farah yang Allah
tetapkan sejak azali lagi.
Papa dan mama yang sentiasa
dirindui,
Tak lama lagi anakmu ini akan
meninggalkan alam fana ini. Farah
mohon halalkan makan dan minum
serta susu yang pernah mama berikan
kepada Farah. Ampun maaf dari
hujung rambut sehingga hujung kaki
Farah mohon pada papa dan mama
selama Farah Aisyah menjadi puteri
bongsu. Farah mohon agar tiada rasa
terkilan di hati papa dan mama.
Sekian.
Salam sayang daripada anakanda yang
jauh,
Farah Aisyah Binti Affendi.
Puan Jasmin rebah dalam dakapan suaminya. Air
mata tiga beranak berjuraian keluar dari kelopak mata
masing-masing menangisi pemergian Farah. Allah lebih
menyayangi Farah Aisyah.
Faiqah menggenggam kedua-dua tangannya.
Kepalanya tertunduk. Tiada satu pun namanya disebut di
dalam surat terakhir arwah adiknya. Faiqah faham. Surat itu
khas untuk papa dan mama sahaja. Manakala, diari biru gelap
itu merupakan peninggalan terakhir arwah Farah buatnya.
Kesibukan mengurus kenduri arwah dan persediaan
masuk ke alam pekerjaan amat menyesakkan hari-harinya.
Jikalau arwah Farah masih hidup, pasti adiknya akan
sama-sama teruja untuk ke alam pekerjaan.
Astaghfirullahalazim... Dalam Islam tiada istilah
‘kalau’ sekiranya perkara itu telah berlaku wahai Faiqah. Ini
menunjukkan pada penyesalan yang tidak berkesudahan.
Nauzubillah.
“Ini aje, Iqa?” Encik Affendi bersuara. Serak sungguh
suaranya. Akibat menangis.
Faiqah mengangguk membalas pertanyaan papa.
“Untuk Iqa, Farah tinggalkan apa?”
“Diari, mama. Diari lama arwah.” Faiqah tidak betah
berahsia.
“Tarikh pada sampul tu papa perasan? Lama sudah.
Mungkin masa Farah tulis tu dia masih di London dan bukan
balik bercuti.”
Encik Affendi mengangguk. Masakan dia tidak
nampak. Sampul surat tu di tangannya dahulu sebelum
bertukar tangan kepada sang isteri untuk membaca isinya
tadi.
“Saya tak marah anak kita, bang. Langsung tak
terkilan dengan arwah. Dia ada alasan tersendiri kenapa
dia mahu merahsiakan sakit dia daripada kita. Saya reda
pemergian Farah, bang. Saya reda anak yang saya kandung
selama 9 bulan 10 hari itu pergi dulu dari saya. Saya reda atas
ketentuan Allah buat kita sekeluarga.” Puan Jasmin berkata
sayu.
“Abang pun reda, sayang. Ini semua kehendak Allah.
Perancangan-Nya sentiasa terbaik untuk hamba-hamba-Nya.
Allah takkan bebankan hamba-Nya tanpa kemampuan
hamba-Nya itu.” Encik Affendi menggenggam tangan isteri
dan anaknya erat.
Faiqah bangun duduk di tengah-tengah antara
papa dan mamanya. Dia melentokkan kepalanya di bahu tua
papa. Dipandang wajah sayu papa dan mama. Kehilangan
itu sesuatu yang menyakitkan, memeritkan dan menikam
perasaan. Yang pasti ini adalah qadak dan qadar Allah. Semua
yang berlaku sudah tertulis di lohmahfuz. Faiqah tekad. Diari
arwah adiknya akan dibedah.

FAIQAH TERGELAK duka. Dia sudah membaca setiap
helaian muka surat, segala catatan yang terkandung di dalam
diari peninggalan itu. Namun helaian yang di hadapannya ini
membuatkan dia berfikir panjang. Dalam. Amat berat untuk
dia menunaikan amanat terakhir arwah adik kesayangannya.
Kak Iqa boleh tolong Farah tak? Farah
nak sangat jumpa Amar. Farah nak
ucap terima kasih sangat-sangat
sebab dia pernah tolong Farah. Belum
sempat Farah nak ucap, dia dah pergi.
Di hujung bawah tulisan ini ada Farah
selitkan alamat kuliahnya. Sebab Farah
sakit, Farah tak berkesempatan untuk
mencari Amar.
Saat pertama kali Farah bertemunya,
Farah bersyukur sangat-sangat.
Kak Iqa mesti ingat kan yang Farah
tersesat tu? Yang Farah call Kak Iqa
menangis-nangis tu. Mujur Allah
temukan Farah dengan Amar.
Dia yang tunjukkan jalan pulang pada
Farah. Tak banyak yang Farah tahu
pasal dia sewaktu kami berbual dalam
bas, Kak Iqa. Sampai aje kampus
Farah, Amar hanya beri alamat
kuliahnya. Dia bukan seuniversiti
dengan Farah. Lepas tu dia segera
pergi. Entah kenapa, Farah berat
mulut masa tu nak ucap terima kasih
pada Amar saat perpisahan kami.
Knight in shining armour Farah tu.
Please Kak Iqa!
Tolong ya, Kak Iqa. Masa Farah
tak lama. Kalau boleh, Kak Iqa
berkenalanlah dan jadikan Amar
tu imam Kak Iqa. Dia insan yang
menegakkan kebenaran di jalan Allah.
Farah dapat rasakan betapa tulus
cintanya suatu hari nanti. Insya-Allah
dia takkan persiakan Kak Iqa
sebagaimana dia menjaga Farah yang
tersesat di bumi asing. Amar sangat
baik, kak...
Good luck, sis!

Amar,
14, Park Avenue,
Oxford Street, London,
University of London.
Note: touch down bumi
London-Malaysia. Last letter.

No comments:

Post a Comment