DEBORAH Raymond Eusfe.
Deborah membelek kad jemputan saat duduk di sebelah suaminya. Di atas kad itu tertera namanya dan nama Zalman sebagai tetamu jemputan bagi menggantikan ayahnya. Jemputan itu daripada HMA Lab And Pharmacy.
Zalman merasa agak teruja dapat menghadiri majlis makan malam itu. Kerana dia percaya ada peluang untuk dia dikenali orang kenamaan yang akan hadir pada majlis makan malam yang bertujuan untuk meraikan syarikat korporat yang pernah membantu dan melakukan sumbangan kepada keluarga mangsa nahas JTA 60; nahas pesawat Transky Airlines yang berlaku di Sepang satu setengah tahun yang lalu.
Ketibaan mereka di lobi Sime Darby Convention Centre disambut oleh penyambut tetamu. Dua kakitangan membawa mereka ke dewan besar.
“Wow...” ucap Zalman kian teruja. Dia berjalan sedikit belakang berbanding isterinya memandangkan yang kenamaan bukannya dia, sebaliknya Deborah.
Deborah dibawa bertemu dengan pengarah HMA Lab And Pharmacy, tuan punya majlis itu. Wanita itu sudah tersenyum saat memandang seorang lelaki mat salih yang berdiri menanti kedatangannya.
“Mr. Alberton, long time no see. How are you?” ucap Deborah sambil berjabat tangan dengan lelaki British itu.
“Feeling good tonight. Nice to see you, Mrs. Raymond. Beautiful as always. How are you?” jawab William dengan sedikit senyuman.
“ Doing fine. This is my husband... Zalman Hassan, GM of Meridian Group Company,” ucap Deborah lantas memperkenalkan suaminya kepada lelaki bernama William John Alberton itu.
“Hello. I’m William John Alberton. And... let me introduce you to my lovely wife, Adinda Puteri. She's CEO of Transky Airlines,” ucap lelaki British itu lantas menarik isterinya agar mendekatinya.
Kening Deborah terangkat saat berpandangan dengan wanita itu. Bibirnya segera tersenyum.
“Nice to meet you, Mrs. Alberton. Deborah Raymond, CFO of Meridian Group. Heard about you a year ago. I am honored to meet you at last. Thank you for inviting us tonight,” ujar Deborah saat berjabat tangan dengan wanita bernama Adinda itu. Dia hanya pernah melihat wanita itu di TV setahun yang lalu.
“Nice to meet you too, Mrs. Raymond. I wish to convey our sincere gratitude for the help Meridian Group has given to us in our hour of need. I can’t imagine if no one was willing to stand with us in such a difficult moment as that tragedy,” balas Adinda.
“We sympathize with what happened. We only do what we can because of humanity,” balas Deborah lembut. Dia tahu selain daripada syarikatnya, ada banyak juga syarikat lain turut memberikan bantuan ketika tragedi itu.
“Thank you so much. Hello...” sapa wanita itu kepada Zalman pula.
“Zalman, GM of Meridian Group,” balas Zalman kepada Adinda. Dia tidak menyebut pun dirinya sebagai suami Deborah.
Mereka berempat sempat berbual di situ sebelum Deborah dan Zalman dibawa ke meja mereka.
“Besar sungguh majlis ni,” ucap Zalman setelah melihat nama-nama syarikat yang menaja makan malam majlis itu. Lubuk duit sedang terbuka luas.
Deborah hanya diam mendengar bicara suaminya. Zalman menoleh kepada sang isteri.
“You tak suka ajak I ke sini ke?”
“Shut up, Zal. Jangan nak mula,” desis Deborah dalam nada tertahan. Mereka hanya pasangan yang Nampak normal. Hakikatnya, sudah lama mereka tidak saling berkomunikasi.
Zalman tersengih kepada isterinya.
Namun saat Deborah memandang ke belakang, dia ternampak ada seorang lelaki berjalan gagah ke arah William John Alberton. Lelaki itu hanya seorang diri sambil diiringi oleh penyambut tetamu. Deborah tersentap dalam diam saat memandang lelaki yang mengenakan tuksedo hitam itu. Kerana dia memang sudah lama kenal siapa gerangan jejaka itu walaupun sudah lama tidak bertemu.
Ketika lelaki itu tidak perasan akan dirinya, dia memandang jejaka itu berbicara dengan William dan Adinda. Tampak tiga manusia itu cukup mesra. Macam sudah lama kenal. William membawa Iqmal ke meja terdekat dengannya. Dan lelaki itu diperkenalkan kepada tetamu di meja itu.
Seterusnya William membawa Iqmal ke meja Deborah membuatkan wanita itu mula pucat semacam. Berharap Iqmal buat tidak kenal sahaja akan dirinya ketika suaminya ada di sisinya.
“Let me introduce to you... Deborah Raymond, CFO of Meridian Group,” ucap William lantas menunjukkan Deborah di mejanya.
“Mrs. Raymond, this is Dr. Ahmad Iqmal Ahmad Masree... one of our partners in JA Holdings,” ujar William kepada Deborah pula.
“Heard about you,” ucap Iqmal saat berpandangan dengan Deborah. Buat-buat tidak kenal walaupun dia kenal
benar wanita itu dek kerana suami Deborah ada di meja tersebut.
Deborah hanya mampu menayang senyum kelat saat berpandangan dengan Iqmal.
“And Mr. Zalman Hassan, GM of Meridian Group.”
“Hai...” Zalman menghulurkan tangan kepada Iqmal.
Iqmal sekadar tersenyum kepada suami Deborah.
Seterusnya, William membawa lelaki itu ke meja lain.
Deborah buat-buat tidak nampak saat Iqmal menyapa lelaki lain di meja itu. Dadanya sudah merasa lain macam ketika Iqmal berdiri dekat dengannya. Kali terakhir dia nampak kelibat Iqmal, ketika di majlis kahwin adiknya Benjamin beberapa tahun yang lalu. Sepanjang tempoh itu, mereka langsung tiada bertegur sapa ataupun berhubung.
Dari ekor mata, Deborah perasan lelaki itu ditempatkan selang satu meja daripada mejanya. Ketika Zalman tidak melihat ke arahnya, Deborah memandang ke arah lelaki itu. Iqmal sedang menegur seseorang di sebelahnya. Deborah kembali memandang ke hadapan.
Acara makan malam itu mula menjadi satu acara yang tidak menyeronokkan apabila Iqmal berada di situ. Mulalah Deborah rasa hendak balik cepat. Gentar. Bimbang suaminya dapat tahu dia mengenali Iqmal, sekali gus membongkar kisah-kisah lama yang sudah basi. Dia malas hendak melayan cemburu buta suaminya itu.
Namun tidak dapat dielak, Deborah terperasan Iqmal memandangnya sekali-sekala. Sesungguhnya saat itu dia tidak tahu mahu bereaksi seperti apa kerana dia tahu apa ertinya pandangan Iqmal itu. Dalam diam, ada perasaan merusuh dalam hatinya sendiri. Deborah menghela nafas keras sambil memandang ke arah lain. Harap-harap majlis ini lekas habis. Dia mahu cepat-cepat pulang kepada dirinya yang sebenar.
Majlis itu hanya selesai pada jam 11 malam. Ketika bangkit dari kerusi, secara tidak sengaja mereka sempat berpandangan. Namun tidak saling berbicara kerana Deborah lebih cepat dibawa pergi oleh Zalman. Ketika sampai di lobi, Zalman kembali melepaskan jemari isterinya. Dia berjalan seorang diri meninggalkan Deborah di belakang. Lagaknya seperti dia pula orang penting di situ. Berdiri di lobi menunggu pemandu datang kepadanya sedangkan isterinya tertinggal seminit di belakang.
Zalman tidak menoleh saat Deborah berdiri di sebelahnya. Lagak suaminya seperti itu memang dia sudah biasa. Sudah lali. Zalman cuma mahu memegang tangannya jika ada keperluan sahaja. Selepas itu, lantaklah apa nak jadi pun!
Ketika masuk ke dalam kereta, Deborah secara tidak sengaja terpandangkan Iqmal berdiri di lobi sambil memerhatikannya. Lelaki itu tersenyum sedikit kepadanya. Deborah menutup pintu kereta. Namun matanya masih memandang lelaki itu sehinggalah pemandu membawanya pergi.
LELAKI MUDA itu pulang ke rumah ketika jam sudah menunjukkan ke angka 1 pagi. Kucing-kucingnya dating mendekati. Iqmal mengusap salah seekor kucingnya yang duduk di atas pahanya.
Namun seketika kemudian, dia menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan telefon. Dia sempat merakam beberapa gelagat Deborah di telefonnya ketika majlis tadi. Rakaman itu dilihatnya semula. Wanita itu kelihatan sedang memandang ke arah orang yang sedang memberi ucapan di hadapan pentas utama. Tidak sedar dirinya sedang diperhatikan.
Saat itu, hati Iqmal merintih kesepian dan kesedihan. Hatinya meronta, terlalu ingin mendekati wanita itu. Dia ingin mengasihi Deborah dengan seluruh hatinya. Dia ingin menebus semula masa yang telah berlalu, yang telah membuatkan dia keseorangan begini.
Iqmal mendamparkan kepalanya ke penyandar sofa. Fikirannya sarat dengan wanita itu. Sarat dengan kisah lalu yang memedihkan hatinya.
Abang, dah balik rumah ke?
Mesej itu tidak dibalas oleh Iqmal. Dia tiada mood hendak melayan pertanyaan itu.
Mesti best pergi dinner tak ajak
Syam, kan?
Iqmal meletakkan telefonnya ke atas meja. Bertambah serabut kepala dengan mesej daripada Syamsinar. Iqmal terfikir untuk bercerita kepada teman lamanya, Maisarah tentang kisah malam itu.
Mai, I jumpa Deborah Raymond.
Mesej itu diberikan oleh Iqmal sebelum dia menanggalkan butang kemejanya. Seketika kemudian, mesejnya berbalas.
Apa cerita?
Iqmal memandang mesej itu lama kerana dia sesungguhnya tidak tahu apa yang hendak diceritakan. Namun dia tetap membalas mesej itu.
I tak tahu apa nak kata. She looks
sad.
Iqmal duduk bersandar mengenangkan dirinya melepaskan sesuatu yang amat berharga dalam hidupnya.
I pun tak tahu nak cakap apa, Mal.
Dia dah lalui terlalu banyak perkara
dalam hidup dia. She’s strong, Mal.
Don’t you worry.
Iqmal menangis sendirian saat menatap tulisan Maisarah. Berharap diberikan sekali sahaja peluang untuk dia menyayangi wanita itu. Dia berjanji dia tidak akan mengingkari janjinya kerana dia sudah merasakan keperitan selama bertahun-tahun. Bukan setahun dua, sebaliknya lebih 20 tahun meratapi kehilangan seorang wanita yang tidak pernah hilang daripada fikirannya.
Mal, are you okay?
Iqmal menyeka air matanya. Dia membalas mesej Maisarah.
I benar-benar rindukan dia, Mai. I
can’t help it. I want her back. I can’t
live like this.
Bicara Iqmal itu tidak lagi dibalas oleh Maisarah.
Iqmal terus bersandar di sofa itu sambil membelai kucing-kucingnya. Tidak sedar, dia akhirnya terlena ke dalam mimpi indah yang selama ini hanya kekal dalam mimpi...tidak pernah kesampaian.
No comments:
Post a Comment