DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 3 February 2022

Nina - Bab 9


RAFA menyelak helaian demi helaian novel di tangannya. Hujung minggu begini dia suka melepak minum kopi sambil membaca novel. Izinkan Aku Mencintai Dia itulah tajuk novel yang dia baca. Simpatinya kepada heroin kerana ditinggal si suami setelah dia berkorban segala-galanya.

Rafa meletakkan novel di atas meja. Bukan semua lelaki yang berkahwin dua kerana nafsu. Suami heroin memang kejam kerana menceraikan seorang isteri kerana nafsu. Berbeza dengan Tengku Khalid yang berkahwin dua kerana mahukan zuriat. Namun sudah namanya bermadu, perempuan mana yang suka. Tidak terkecuali bonda. Cerita seterusnya dia kurang pasti.

“Rafa!!!”

Suara itu ibarat halilintar membelah bumi. Rafa melepaskan keluhan berat. Takkan sampai ke sini Mastura ekori dia. Langsung tiada masa untuk dirinya sendiri. Pagi Ahad begini dia suka melepak sambil membaca di tempat kegemarannya.

Novel di atas meja ditepis kasar. Langsung tiada segaris senyum di bibir Mastura. Hanya pandangan dengan muka merah menyala. Nafas Mastura turun naik seakan menahan marah. Bercekak pinggang dan merenung Rafa tajam.

Rafa buat tak endah. Pandang Mastura sekilas dan mengutip novel di lantai. Tunangnya itu bukanlah seorang yang sukakan novel apatah lagi membaca. Kalau ada bahan bacaan pun mungkin muka buku atau laman Instagram.

“Rafa... you dengar tak I panggil tadi? Kenapa tak jawab?” Mastura memang tak pandai bertutur dengan lemah lembut. Nada suaranya sudah cukup untuk membuatkan telinga Rafa bingit.

“You panggil I ke? I fikir you tengking I tadi. Apa salah I buat kali ni? Takkan nak baca novel pun tak boleh kut.” Rafa kembali melabuhkan punggung dengan novel di tangan. Pagi Ahad yang tenang bakal huru-hara.

“You dah melampau kan!!!” Melengking suara Mastura menyebabkan pengunjung lain tercengang. Hanya Rafa yang nampak tenang. Dia sudah biasa dengan semua ini. Lali dengan tengkingan tunangnya.

“You ni nampak macam lelaki lembik baca novel. I tak suka you baca novel.”

“I baca novel tak ada kena-mengena dengan you. Rasanya kita patut jumpa petang nanti. Kenapa pagi-pagi macam ni you boleh muncul? Bergegar Bukit Tabur you bangun awal pagi ni. So, what brings you here?” Rafa sambung membaca novel tadi. Langsung tidak terdetik untuk mempelawa tunangnya duduk.

“Kenapa you tanya? You tak buka FB ke pagi ni atau online? You tahu tak, muka you dah muncul dalam merata blog?” Mastura menarik kerusi. Penat menunggu Rafa untuk menarik kerusi untuknya. Tunang hati batu!

Mata Rafa terhenti membaca. Dia berfikir sejenak. Kenapa pula gambar dia muncul merata seperti yang Mastura katakan? Mungkinkah... tersungging senyum sinis di bibir Rafa. Sudah dia jangka kemunculan Nina tempoh hari bukan sesuatu yang tidak dirancang. Patutlah Mastura tiba-tiba bangun awal pagi.

“You tahu kan I tak minat dengan FB segala bagai tu.” Rafa sambung bacaan.

“You tak pernah nak suap I makan tapi kenapa you suap dia makan pulak? I tunang you atau dia!”

“Dia nak rasa makan petai. I suapkanlah, bukan ada apa-apa pun. Salah ke? Kalau you minta

nak rasa sambal petai pun I akan suapkan. Tapi you kan pembersih orangnya. Takkan nak makan dari sudu bekas mulut I.” Rafa bersuara malas. Matanya masih leka meneliti tiap patah perkataan di muka surat novel.

“You...”

“Helo Rafa, kita jumpa lagi,” sapa Nina.

Rafa mendongak. Bala atau penyelamat? Senyum tetap diukir. Drama yang paling menarik akan terlayar sebentar lagi.

“Helo Miss Nina Khalid. Have a seat... coffee?” Rafa sedar rahang Mastura turun naik menahan marah.

You must be Mastura, tunang Rafa. How sweet... you temankan tunang you membaca pagi-pagi macam ni. By the way nama I Nina.” Nina hulurkan tangan untuk bersalam. Namun disambut dingin oleh Mastura. Hanya hujung jari mereka sahaja bersentuhan.

“Rafa, I’m so sorry. I tak sangka paparazi ekori I sampai restoran tu. Nanti I buat PC terangkan yang kita ni tak ada apa-apa hubungan. I tahu you sayang Mastura dan nak kahwin tak lama lagi.” Bersungguh-sungguh Nina meminta maaf sambil kedua-dua tapak tangan dirapatkan tanda ikhlas.

“Mastura, please jangan gaduh sebab ni. Semua salah I bukan salah Rafa.” Nina berpusing menghadap Mastura sambil melakonkan wataknya sebaik mungkin.

“Kat mana you kenal Rafa?” Mastura tidak percaya sedikit pun kata-kata Nina. Baginya semua perempuan yang mendekati Rafa adalah perampas. Bukan seorang dua perempuan yang cuba mendekati tunangnya.

Err...” Rafa tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan Mastura.

“Kami pernah jumpa waktu majlis universiti. Rafa transfer student dari Malaysia ke New York. Bukan begitu Rafa... tapi masa tu I belum jadi model.”

Rafa kerut dahi. Nampaknya Nina Khalid bukan calang-calang orang dan rancangan yang diatur bukan kecil. Dari apa yang dia faham, Nina mahu membalas dendam terhadap bonda. Tapi kenapa perlu buat Mastura cemburu?

“Betul tu. Nina student kat sana. Tak sangka dialah Nina Khalid yang terkenal tu. Dulu dia innocent je. Mana pandai bab bergaya dan mekap ni.” Rafa jongket kening ke arah Nina yang secara kebetulan memandang ke arahnya.

Nina tiba-tiba ketawa. “I harap sangat you lupakan muka hodoh I tu. Masa tu memanglah I tak pandai mekap sebab tumpuan I kat study. Dah habis study baru I kejar cita-cita I nak jadi model. Arwah papa I yang nak sangat I belajar business ni. Katanya I kena teruskan usaha dia dalam membangunkan syarikat.” Matanya tajam memandang Rafa. Nina sengaja menyebutkan syarikat. Biar Rafa tahu tujuannya.

Don’t worry Nina, I akan zip mulut asalkan you pun zip mulut fasal I. You tahu kan masa tu I tak matang,” kata Rafa.

Sakit hati Mastura bila dia dilayan ibarat patung. Rafa dan Nina saling berbual mesra seakan-akan dia tiada di situ. Mujurlah Nina bukan orang sembarangan. Kalau tidak, memang kopi O Rafa sudah tersiram di atas kepala Nina. Mastura nampak kelibat dua orang lelaki yang sedari tadi asyik menjeling ke arah mereka sambil mengangkat telefon.

“Mastura, you kena percayakan kami. There’s nothing going on between us.”

“Betul tu. Nina ni teringin nak makan petai. Dah lama tak makan petai katanya. Dia rindu. Sebab tu I suapkan sikit untuk dia.” Rafa menyokong kenyataan Nina.

Errr... betul tu.” Nina senyum kelat. Rafa memang sengaja berbohong. Lelaki itu tahu dia tidak suka petai.

“Okey kalau macam tu I terima alasan you berdua. I nak pergi tandas sekejap.” Mastura bangun lalu meninggalkan Rafa bersama Nina. Walaupun hatinya masih waswas, dia terpaksa pura-pura percaya. Tidak mahu Rafa mengamuk dan meninggalkan dia saat pernikahan mereka semakin hampir. Nina bukan saingan yang boleh dipandang enteng.

“Nampaknya you banyak korek info fasal I. Can you tell me what’s the purpose of you doing all this? Harta atau I maybe...” Rafa terus tembak Nina dengan soalan. Sengaja bertanya walaupun sudah tahu.

“Tujuan I sudah pastilah Tengku Soleha. You dah tahu kan. Sejak awal lagi I dah beritahu you. Tapi kenapa you macam tak kisah dengan semua ni? I bohong tadi tapi you back-up I. Why?” Nina kecilkan mata memandang Rafa tanda dia serius. Sangkanya Rafa akan menafikan semua fakta yang dia utarakan. Dan lelaki ini dengan Mastura akan bergaduh.

“You yang ajak I join game ni dan I rasa menarik. I nak tengok sejauh mana you akan korbankan maruah dan diri you hanya kerana sebuah dendam. You kena sedar yang mama you adalah perampas. Mama you yang rampas suami Tengku Soleha. Memang wajar dia marah dan halau you dengan famili you.”

Berkertap bunyi gigi Nina menahan getar di hati. Matanya mencerlung marah. Dia sedar status mamanya sebagai isteri kedua tapi itu bukan alasan mereka sekeluarga dilayan ibarat sampah. Nampaknya Rafa tidak tahu hal sebenar. Dan tidak mustahil cerita mengenai dia dan keluarganya diputar belit.

“Memang betul hanya Tengku Soleha yang suci murni. Teraniaya kerana suaminya dirampas. Tapi sayangnya you tak tahu the whole story. Betapa Tengku Soleha lebih kejam daripada syaitan. Dan untuk pengetahuan you, I sanggup gadaikan apa saja even maruah I demi melihat Tengku Soleha musnah! Mark my words.” Nina berwajah serius.

Rafa sengetkan kepala. Dia semakin berminat dengan cerita antara bondanya dengan Nina. Kenapa Nina terlalu berdendam dengan bonda? Dia langsung tidak tahu apa yang terjadi. Nenda pun hanya maklumkan yang arwah Tengku Khalid berkahwin dua dan dikurniakan sepasang cahaya mata. Nenda pun tidak tahu tentang perkahwinan arwah.

“Kita tengok aje nanti siapa yang akan musnah. You fikir I akan biarkan bonda I dianiaya oleh perempuan macam you. Such an idiot.”

Nina tersenyum sinis. Nampaknya dia tidak silap percaturan. Rafa bakal dia gunakan sebaiknya untuk menjadikan rancangannya berjaya.

“Rafa, I laparlah.” Mastura tiba-tiba muncul.

“Okey love-birds. I tak nak kacau you two dating. Have fun.” Nina menghulurkan tangan untuk bersalam.

Mastura menyambut huluran salam si gadis. Kali ini agak lebih mesra dari tadi. Malah siap berlaga-laga pipi lagi.

See you next time Rafa.” Nina melambai ke arah Rafa berserta pandangan tajam penuh tersirat.

No comments:

Post a Comment