HADANAH...
“I want to live with mommy,” ucap Jacqueline saat ditanyakan kepadanya tentang itu oleh hakim.
“Kenapa tak mahu tinggal dengan daddy?” tanya lelaki tua itu kepada si anak.
Anak itu menggeleng laju. Dia memandang ibunya agak lama. Deborah mengangguk, meminta anak itu bersuara.
“You need to speak. Don’t be afraid of him. He just wants to help you and mommy,” ucap peguam itu kepada Jacqueline.
“Kenapa Jacqueline memilih tinggal bersama mommy dan bukan daddy?” tanya hakim itu sekali lagi. Sekadar mahu memastikan anak itu membuat pilihan atas kehendaknya sendiri, bukan didorong oleh sesiapa.
“I love my mom. I want to take care of my mom.” Hanya itu yang dijawab Jacqueline. Dia takut hendak menyatakan apa sebenarnya. Bimbang ayahnya marah kerana lelaki itu sedang memandangnya.
“Did your mother teach you to give this statement?” tanya hakim itu.
“No. I want to be with mommy. I don’t want to live with daddy,” jawab Jacqueline bersungguh-sungguh.
Hakim itu mengangguk puas hati. Berbeza dengan anak bongsu Deborah dan Zalman yang masih belum cukup berakal untuk membuat pilihan sendiri.
“Mohon izin, Yang Arif...”
“Silakan,” balas hakim itu.
Peguam itu membawa satu lukisan dan buku ke meja hakim. Hakim itu terpaku setelah melihat lukisan itu. Dia turut membaca nota yang ditulis oleh guru tentang Jacqueline yang telah melukis sesuatu tentang ayahnya ketika bersama guru seninya.
“Plaintif sila berdiri,” ucap hakim itu sebelum dia menayangkan lukisan itu kepada Deborah.
“Apa maksudnya lukisan ini?”
Saat itu Deborah hampir mahu menangis saat menjelaskan tentang maksud di sebalik lukisan itu.
“Guru itu tidak tahu masalah Jacqueline dengan ayahnya?” tanya hakim itu.
“Tidak tahu. Saya sendiri juga tidak tahu tentang kejadian yang dia lakar dalam lukisan itu sehinggalah saya terlihatnya. Saya diberitahu oleh guru anak saya,” jelas Deborah.
Zalman tunduk mendengar bicara bekas isterinya itu.
“Adakah laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya?”
“Ada, Yang Arif. Walau bagaimanapun, saya ada membawa anak saya ke hospital untuk pemeriksaan klinikal dan saya dinasihatkan agar anak saya mendapatkan bantuan psikiatri,” jelas Deborah.
“Ada laporan daripada pihak hospital tentang anak ini telah dipukul?”
“Menurut doktor, anak-anak saya tidak dipukul. Sebaliknya tindak-tanduk bekas suami saya telah mengakibatkan anak-anak saya menjadi sangat takut ditinggalkan bersama ayah mereka tanpa orang lain sekiranya saya ada urusan di luar ataupun ke pejabat. Dalam banyakkeadaan, selalunya pembantu rumah ada bersama mereka ketika bekas suami saya berada di rumah,” jelas Deborah.
Peguam yang mewakili Deborah menyerahkan laporan yang telah dibuat oleh doktor sebelum ini untuk semakan hakim itu. Hakim itu diam sambil menyelak beberapa helaian kertas itu.
“Siapa punya idea ugut nak pukul anak dengan kayu sebesar ini? Ini kerja orang tak ada akal,” ucap hakim itu terkejut. Dia menayang lukisan itu kepada Zalman.
Zalman tidak mengangkat pandangan, namun disuruh juga oleh hakim agar melihat lukisan itu.
“Macam mana anak berusia 10 tahun boleh melukis sesuatu seperti ini? Dia cuba beritahu sesuatu kepada orang sekelilingnya tetapi dia takut! Apa salah mereka sehingga kamu sanggup layan anak-anak macam ini? Tak ada elemen kasih sayang dalam mencorakkan keperibadian anak. Dah macam komando! Anak-anak tu masih kecil!” ucap hakim itu kepada Zalman.
Peguam Zalman mula berbisik sesuatu kepada Zalman.
“Yang Arif, saya minta tangguh selama setengah jam untuk berbincang dengan anak guam saya.”
Hakim itu membenarkan.
Setelah perbicaraan bersambung semula, peguam Zalman akhirnya menyatakan hasil perbincangan dengan kliennya.
Zalman akur menyerahkan hak penjagaan kedua-dua anaknya itu kepada bekas isterinya kerana peguam itu sangat yakin hakim tidak akan membenarkan Zalman mendapat hak penjagaan anak bongsunya itu.
Setelah usai mendengar keputusan hakim tentang nafkah anak, Zalman diberikan kesempatan untuk bertemu dua anaknya itu. Dua anak itu sentiasa mahu bersama ibu mereka berbanding sang ayah. Malah kedua-duanya hanya diam sahaja saat dikucup oleh sang ayah di dahi. Mereka berdua memegang erat lengan Deborah tanda tidak mahu dibawa pergi oleh lelaki itu. Namun keputusan hakim telah memutuskan yang hak penjagaan mereka akan kekal bersama ibu mereka sehingga berusia 18 tahun nanti.
Sedih juga hati Zalman melihat gelagat anak-anaknya. Akibat kerana dia mendidik anak dengan cara keras dan kasar. Kononnya anak akan lebih mendengar cakap. Memang benar, kanak-kanak mudah mendengar, tetapi itu bukan rasa hormat seorang anak kepada ayah... sebaliknya takut. Mereka tidak ada kebebasan meluahkan kepada ibu bapa mereka.
Sebaik sahaja mereka beroleh keberanian setelah dewasa, barulah ketika itu belang anak-anak akan kelihatan. Itu yang Zalman tidak sedar selama ini. Cara Deborah membesarkan anak terlalu lembut dengan diplomasi, tidak disukainya. Caranya lebih betul dan senang. Tetapi akibatnya, anak-anak tidak suka kepadanya.
“Daddy sayang anak-anak daddy,” ucap Zalman.
Kedua-dua anak itu hanya diam sahaja sebelum memandang ibunya. Deborah tersenyum sebelum kepala anak bongsunya diusap lembut. Namun Isabel lekas berdiri di belakang mommynya. Tidak berminat hendak berlama-lama di situ bersama sang ayah.
Zalman menghela nafas kecewa.
“You can come to meet your daughters. Anytime,” pesan Deborah sambil memandang bekas suaminya itu.
Lelaki itu menghela nafas kecewa. Hatinya pedih saat memandang pandangan bekas isterinya. Berharap jika dapat diundurkan masa, dia tidak menjadikan keegoannya sebagai benteng sehingga menyebabkan dia kehilangan isterinya.
Namun dalam pandangan Deborah itu, dia yakin bekas isterinya masih sayang kepadanya.
“I cuma harap peluang kedua, Deb...” ucap Zalman.
“No. No more, Zal. Please... let me live,” balas Deborah perlahan.
Nafas dihela sebelum dia memandang dua anaknya itu. Dahulu dia pernah mengikut kata hati, dia kehilangan hubungan baiknya dengan Benjamin dan hilang kepercayaan sang ayah kepadanya. Sebagai kakak yang sulung, dia merasa dirinya tidak berguna sama sekali. Kali ini, jika dia mengikutkan kata hati, dia juga akan memusnahkan hidup dua anaknya.
“I tahu you masih sayangkan I.”
“I dah tak boleh biarkan you kuasai hidup I dengan cara you selama ini. I tak percaya you akan berubah, Zal. Please... I tak akan halang you nak bersama wanita lain. I harap you akan bertemu dengan seseorang yang boleh membuatkan you lupakan I. Sesuatu yang I tak boleh pandang lagi ialah perasaan benci you terhadap adik I. I can’t take it anymore. Dia sayangkan I sebagai kakak. Dia protect I, dia tahu I tak bahagia, Zal. Dia tetap adik I biar sejijik mana pandangan you pada hubungan I dengan Ben. Perasaan benci you terhadap Ben menyeksa hati I selama ini,” ucap Deborah.
Zalman tidak terkata. Dia rasa dia mampu mengawal Deborah. Dia sudah salah. Kerana kasih sayang antara adik-beradik kekal sampai mati, dia tidak akan dapat menghapuskannya.
“I’m sorry,” ucap Zalman perlahan. Berharap diberikan kesempatan sekali lagi demi anak-anaknya.
“I’m sorry too,” balas Deborah lantas menarik anak-anaknya pergi.
Lelaki itu hanya mampu memandang ketiga-tiga perempuan itu menjauh bersama hati yang kesal.
Deborah sempat menitiskan air mata ketika di dalam kereta. Entah kenapa, dia merasa sedih saat menatap pandangan dua anaknya itu.
“Mommy, don’t cry...” suara Isabel halus kedengaran membuatkan Deborah kian tidak tertahan kesedihan.
“Mommy’s okay, sweetheart...” ucap Deborah sambil cuba menahan tangisannya. Tidak mahu anak-anaknya melihat kesedihan yang sudah lama disimpan. Sudah tentu dia harus kuat demi anak-anaknya.
Dia membawa dua anaknya pulang ke rumah ibu dan ayahnya. Tidak mahu terus pulang ke rumah, bimbang anak-anaknya terkesan dengan kejadian hari ini. Namun ketika sampai di rumah, kelihatan ayahnya berada di rumah.
“Daddy tak ke pejabat hari ni?” tanya Deborah kepada ibunya.
“Daddy tunggu Jacq dan Isabel,” balas Puan Sri Elisabeth.
“Go and say hi to grand daddy,” suruh Deborah kepada dua anaknya itu.
Kedua-duanya berlalu ke tingkat atas untuk mencari datuk mereka.
“Mereka okey?” tanya Puan Sri Elisabeth setelah itu.
“Setakat ni okey, mommy...” jawab Deborah lantas duduk di sofa.
“Kamu pula macam mana?” tanya wanita tua itu lagi. Deborah tersenyum hambar.
“Dia masih pujuk I untuk bersama semula,” ujar Deborah.
“Jadi?” balas Puan Sri Elisabeth.
Deborah menggeleng. Dia sudah serik untuk melalui keadaan yang sama berkali-kali. Dia mahu bahagia!
“Mommy boleh terima?” tanya Deborah kepada ibunya itu.
“Kita ibu bapa ada tanggungjawab yang besar dan susah, Deb. Ini masanya kamu merawat anak-anak itu. Mereka terluka. Kamu juga terluka. Orang yang pernah melukai kamu, adakah kamu mahu mengambil risiko untuk mempercayainya semula?” balas Puan Sri Elisabeth.
“Saya kadangkala keliru, mommy...” keluh Deborah perlahan.
“Kamu hanya perlukan masa. Tuhan sudah menunjukkan kepada kamu siapa Zalman sebenarnya. Dia sudah membawa kamu bertiga kepada hari ini. Semua yang berlaku hari ini, adakah terjadi begitu sahaja?” jawab Puan Sri Elisabeth.
Deborah memandang ibunya semula. Ada benar juga kata-kata ibunya.
“Yang penting bagi kamu adalah dengan memberikan didikan yang baik kepada anak-anak.”
Petang itu Erina, isteri Benjamin singgah di rumah mentuanya bersama Yara. Rupanya dia membawa hadiah buat dua anak itu. Jacqueline dan Isabel berubah jadi ceria apabila ternampak Erina. Apatah lagi setelah menerima hadiah daripada wanita itu.
“Mana Elyas?” tanya Puan Sri Elisabeth kepada menantunya itu.
“Kat rumah dengan pengasuh. Singgah sekejap aje, mommy. Nak hantar dua ketul tu kepada Jacq dan Isabel,” ujar Erina.
“Ucap terima kasih,” suruh Deborah setelah dua anak itu menghurung carrier yang dibawa oleh Erina. Sibuk melihat sepasang anak kucing yang dibawakan oleh Erina kepada anak-anak Deborah sebagai hadiah.
“Suka sangat sampai tak peduli orang,” komen Deborah tentang dua anaknya itu.
Erina hanya tersenyum.
“Macam Uncle Ben dia... suka sangat dengan kucing,” ulas Erina tentang dua anak itu. Dia rasa haiwan belaan boleh menjadi teman yang sangat baik buat dua anak itu nanti.
“Kamu beli kucing itu?” tanya Puan Sri Elisabeth kepada Erina.
“Taklah, mommy. Erin pergi rumah lama... jiran belakang rumah banyak kucing. Erin minta aje daripada dia,” cerita Erina. Kak Hartini bekas jirannya itu penyelamat kucing jalanan tegar. Kucing yang sudah dirawat diberikan kepada orang.
“Dulu ada bela kucing. Daddy dia marah sebab kucing Jacq suka ikut kaki orang. Dia rimas. Sudahnya kucing tu hilang. Semenjak itu dia jadi murung bila kucing dia hilang,” ujar Deborah. Dia syak, bekas suaminya itu pergi membuang kucing itu tanpa pengetahuan anak-anaknya.
Erina menoleh ke arah anaknya yang sedang sibuk juga membelek kucing itu bersama dua sepupunya. Sama-sama hantu kucing. Satu keturunan, kan? Emak mentuanya membela kucing berbaka.
“Ben ajak budak berdua tu datang rumah weekend ni,” ucap Erina kepada Deborah. Benjamin bersungguh-sungguh mahu dua anak itu bergaul dengan anak-anaknya agar masalah dua beradik itu boleh dikawal.
“Ada apa?” tanya Puan Sri Elisabeth.
“Motorhome dia tu dah siap. Dia nak ajak budak-budak tu pergi jalan,” jawab Erina.
“I tak boleh janji,” jawab Deborah.
“Alah, biar budak berdua tu ada kawan. Mommy dia pasang badanlah. Relaks sekali-sekala tenangkan fikiran. Get ready cari pakwe baru,” ujar Erina membuatkan Puan Sri Elisabeth dan Deborah tergelak. Sedikit masa lagi, Deborah akan habis idah. Dah boleh cari pengganti agaknya.
“Okay. I’ll let you know later,” jawab Deborah lembut.
“Macam itulah hot mama,” jawab Erina lembut.
AWAL PAGI Deborah tiba di klinik itu bersama dua ekor kucingnya.
“Sorry, I tak pernah datang sini. I nak letak my cats di sini sampai driver I ambil, boleh?” tanya Deborah kepada pembantu klinik.
“Boleh. Jemput masuk puan,” ucap gadis Cina itu sebelum dia berlalu untuk mengambil carrier yang dibawa oleh Deborah. Namun saat sebelum berlalu, Deborah terbaca risalah yang diletakkan di tepi kaunter pendaftaran itu.
Dia segera mengambilnya. Tertera nama JA Holdings sebagai pemilik kepada Vet-Care Sdn. Bhd.
“Madam?” tegur pembantu klinik itu kepada Deborah yang tercegat sahaja di hadapan kaunter itu.
“Oh, sorry...” jawab Deborah lantas berlalu ke kamar rawatan.
Tersirap darah Deborah saat terpandangkan Iqmal sedang berdiri di sebalik meja rawatan.
“Oh, no...” ucap Deborah spontan.
“Masuklah. I tak makan orang,” ucap Iqmal lantas mendekati wanita itu. “Akhirnya... burung kembali ke sarang. Kalau dah jodoh tak ke mana,” ucap Iqmal lantas menyengih.
Deborah menepis tangan Iqmal yang memegang lengannya. Nak tak nak, dia masuk juga. Pembantu klinik mengeluarkan kucing itu lalu ditimbangnya dan diletakkan di hadapan Iqmal.
“So cute, macam tuan dia. Apa masalah kucing ni?”
“I nak deworm dua ekor kitten ni. I baru adopt dia,” ujar Deborah.
“Okey...” Iqmal membelek kucing itu.
Deborah sekadar memandang apa yang dibuat oleh lelaki itu.
“Makan semua okey?”
“Okey. Berselera. Dan dia aktif.”
Iqmal mengangguk. Dia meminta pembantunya memegang kucing itu sementara dia pergi mengambil ubat cacing. Kucing itu meronta saat diberikan ubat cacing. Dan anak kucing itu marah kepada Iqmal. Saat lelaki itu mahu menyentuhnya, dia cuba mencakar Iqmal.
“Melawan dia. Macam mommy dia,” ucap Iqmal membuatkan Deborah segera memandang lelaki itu. Rasa macam nak dilempang sahaja si Iqmal.
Pembantu klinik itu sempat memandang Iqmal kerana tidak mengerti apa yang diucapkan oleh lelaki itu.
Iqmal mengusap anak kucing itu dengan hujung jari sebelum dia mencubit belakang tengkuk haiwan itu. Baki ubat cacing itu dipaksa masuk ke mulut anak kucing itu.
“Okey. Okey. Dah selesai,” pujuk Iqmal lantas kucing itu dipegangnya. Namun kucing itu marah kepadanya.
“Oh, tak suka doktor ya?” Iqmal ketawa kecil dengan keletah anak kucing itu.
“Okey. Letak dia dalam carrier. Bawa lagi satu,” ucap Iqmal setelah anak kucing itu tenang.
Deborah hanya memerhatikan cara lelaki itu memberikan ubat kepada kucing itu.
“So, boleh tunggu seminggu atau dua minggu untuk beri vaksin memandangkan berat dia baru 500 gram. Tapi sebaik-baiknya kekalkan dia di dalam rumah untuk elakkan dia terkena virus. I akan bagi you imun booster sebagai persediaan untuk vaksin,” ucap Iqmal setelah selesai dengan kucing kedua.
“Okey.”
“Kucing you cute,” ucap Iqmal lantas membuka glove. Dia segera mendekati singki untuk mencuci tangan.
Di kaunter, Deborah memandang kucingnya dibawa ke belakang oleh pembantu klinik.
“Siapa yang akan ambil mereka berdua?”
“Driver I... nama dia Mohd Aliff,” beritahu Deborah.
“Pukul berapa dia nak datang?” tanya pembantu klinik itu setelah mencatatkan nama itu.
“Lebih kurang pukul 10 atau 11,” jawab Deborah.
Iqmal muncul semula dari bilik rawatan bersama satu jenis ubat.
“Imun booster,” ucap Iqmal lantas menunjukkan botol itu.
“Semua sekali 70 ringgit,” ucap Iqmal.
Pembantu klinik itu menguruskan bayaran sementara Iqmal segera keluar untuk mendapatkan Deborah.
“Can I offer you breakfast with me?” ucap Iqmal setelah mereka keluar dari klinik itu.
“Sorry, I nak balik ofis.”
“Deb, can I call you?” ucap Iqmal sambil memegang pintu kereta itu.
Deborah hanya diam.
“Sayang, sampai bila you nak marah I ni?” ucap Iqmal lembut.
“Tolonglah... I nak pergi ofis, Mal.”
“Sekejap aje. Jalan pun tengah jem tu,” pujuk Iqmal lembut.
Deborah diam sambil menghela nafas panjang. Dia memandang ke hadapan. Riak wajah ketat tanda dirinya merasa agak tegang apabila Iqmal berada berdekatan dengannya.
Lelaki itu merendahkan tubuhnya untuk melihat wajah Deborah. Wanita itu tetap memegun tanpa sepatah kata.
“You benar-benar jauh hati dengan I,” ucap Iqmal perlahan.
Deborah tetap berdiam.
“Sayang, tengoklah muka I,” pinta Iqmal lantas meraih jemari wanita itu.
“Mal, tolonglah...” keluh Deborah lantas menarik semula tangannya.
“I ingat kita tak perlu teruskan apa-apa lagi, Mal. You dah ada orang lain. I tak nak macam ni,” ucap Deborah.
“I akan selesaikan masalah tu.”
“Selesaikan macam mana? Tinggalkan dia macam tu sahaja apabila rasa dah tak suka?” selar Deborah.
Iqmal diam memandang wanita itu, mencari bicara yang sesuai untuk dipersembahkan kepada buah hatinya ini.
“Kalau I kahwin dengan dia pun, I hanya akan seksa dia. Kalau I nak, I dah kahwin dengan dia sebelum ni lagi. Tapi I tahu, I tak boleh kerana I tak boleh sayangkan dia tanpa berbelah bahagi. Itu lebih tak adil untuk dia,” ucap Iqmal.
“Senang. Macam logik aje alasan you,” balas Deborah lantas ketawa sinis.
“Jadi, you nak I buat apa?”
“Kan lebih baik kalau you jauhkan diri daripada I?” ujar Deborah pula.
“Jauhkan diri setelah sekian lama I harap I akan ada peluang untuk berada dalam hidup you?” balas Iqmal. Tiba-tiba sahaja telefon di dalam kocek scrub uniform biru tuanya berbunyi. Iqmal mendengus sebelum melihat pemanggilnya. Secara tidak sengaja, Deborah juga terlihat nama Syamsinar tertera di skrin telefon lelaki itu.
Iqmal menolak panggilan itu lalu disimpan semula ke dalam kocek bajunya.
“Good. Dia dah tuntut janji,” ucap Deborah lantas ketawa sinis.
“I tak pernah janji apa-apa dekat dia. You tak faham perasaan I yang sebenarnya dekat Syamsinar. I tak tahu perjalanan hidup kita seperti ini, sayang. Kalau I tahu, I tak akan biarkan you bertahun-tahun dulu,” kata Iqmal bersungguh-sungguh.
Deborah diam pula. Dia memandang ke arah lain. Namun dia menggeleng sebelum menghidupkan enjin kereta.
“I ada meeting pagi ni,” ucap Deborah cuba mengelak daripada terus dirayu oleh Iqmal.
“I want to see you again, sayang. Jangan buat I macam ni.” Iqmal cuba meraih jemari wanita itu. Namun Deborah menepis tangan Iqmal.
“Deb...” Iqmal menahan pintu kereta itu. “You satu-satunya perempuan yang paling istimewa dalam hidup I selama ini,” ujar Iqmal.
“Sayangnya kita jadi begini kerana ada benda lain yang lebih penting berbanding perasaan, Iqmal.” Deborah menolak lelaki itu jauh daripada pintu keretanya.
Iqmal tidak terkata melihat keengganan Deborah untuk memaafkannya. Lelaki itu berdiri lama memandang kereta itu berlalu. Tidak semudah itu untuk memujuk sekeping hati itu setelah dia mengabaikannya dahulu. Cinta pertama... sememangnya ia sukar untuk dilupakan.
No comments:
Post a Comment