DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 3 February 2022

Nina - Bab 10


“SECARA rasminya kau dah jadi duta produk Wangi Cempaka. Minyak wangi mesra solat. Ibadat terpelihara. Pleaselah... tak ada tagline lain ke diaorang ni.” Dalam pada menyampaikan berita sempat pula mengutuk. Bukan susah mahu mendapatkan kontrak dengan nama besar milik Nina Khalid. Lutfi letakkan fail tentang Wangi Cempaka di atas meja.

“Okey, so kita akan terus ke fasa berikutnya.”

“Fasa apa Nina?”

“Fasa aku akan mula masuk ke dalam keluarga Tengku Soleha sebagai menantu.”

“Apa kaitannya kontrak ni dengan Tengku Soleha? Aku tak nampak sebarang kaitan. Cuba kau terangkan kat aku. Apa yang kau buat ni hanyalah satu langkah menuju kehancuran.” Lutfi tak puas hati. Dia cuba mengaitkan kontrak ini dengan Tengku Soleha tapi dia tak nampak langsung kaitannya. Apa sebenarnya yang Nina buat?

“Saja nak kacau-bilaukan hidup Tengku Soleha. Dia kan kawan baik Datin Seri Mashitah tu. Bila aku jadi isteri Rafa nanti sudah pastilah diaorang akan gaduh. Tengku Soleha hilang kawan baik. Datin Seri ni aku dah ikat tangan dia awal-awal. Sebab tu dalam kontrak aku ada sebut kalau pihak dia batalkan kontrak, kena bayar ganti rugi 3 kali ganda. Datin Seri tu kedekut nak mampus. Memang dia akan simpan duit dia.”

Nina ketawa kuat. Dia akan buat Tengku Soleha rasa kehilangan. Sama seperti apa yang dia rasa suatu ketika dahulu.

“Tapi dia boleh buat kau langgar kontrak.”

“Takkan aku bodoh nak langgar kontrak. Dan mereka pun takkan bodoh nak terminate aku sebab rampas bakal suami anak dia.”

Lutfi hela nafas. Nina sudah dikaburi dengan dendam. Tak guna dia nasihatkan perempuan kepala batu ini. Apa yang perlu dia buat sekarang hanya memastikan Nina selamat.

“Apa kau nak buat lepas ni?”

“Tunggu je minggu depan.”

 

“KENAPA MUKA dia sama macam...” Tengku Soleha gagal menghabiskan ayatnya. Tubuhnya menggigil melihat raut wajah yang terpapar di skrin laptop. Dia baru sahaja menerima berita gembira daripada sahabat baiknya. Nina Khalid supermodel kelahiran Malaysia sudi menjadi duta.

“Tak mungkinlah...” Tengku Soleha cuba menyingkirkan bisikan halus yang bertandang. Dalam dunia ini ada 7 wajah seiras. Mungkin hanya kebetulan. Nina Khalid mungkin tiada pertalian dengan arwah suaminya. Sudah 15 tahun, dia pun terlupa nama anak tirinya itu. Dia pun tidak tahu apa yang terjadi kepada anak tirinya selepas dihalau keluar dari rumah 15 tahun dahulu.

“Tapi nama Khalid...” Tengku Soleha geleng kepala. Semakin dia cuba menafikan, semakin kuat perasaan tidak sedap hati itu hadir. Entah kenapa tiba-tiba wajah sayu anak tirinya terlayar di depan mata.

“Aku benci kau perampas!!!” jeritan Tengku Soleha bergema di seluruh ruang tamu.

Rafa yang baru mahu membuka pintu terkejut mendengar jeritan bondanya. Cepat-cepat dia tanggalkan kasut dan masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, dia terlihat bondanya sedang duduk di sofa menghadap laptop.

“Kenapa bonda? Rafa dengar bonda jerit-jerit tadi.” Rafa mencuri pandang skrin laptop. Jelas terpapar muka Nina di skrin. Mungkin Nina ada kaitan dengan jeritan bonda tadi. Rafa tiba-tiba diserang rasa bimbang. Mungkinkah Nina sudah melancarkan serangannya. Apa pula yang Nina lakukan terhadap bonda?

“Siapa ni bonda?”

“Rafa dah balik. Bonda terkejut tadi. Ada lipas tiba-tiba merayap kat kaki bonda. Sebab tu bonda menjerit.” Tengku Soleha beri alasan yang dia rasakan logik. Tidak mahu Rafa tahu sejarah lama yang dia sembunyikan. Anak saudaranya  tidak tahu kewujudan isteri kedua arwah suaminya.

Rafa cuba bersangka baik. Dia dengar dengan jelas perkataan perampas tadi. Dia yakin semua ini ada kaitan dengan Nina Khalid. Rafa tayang wajah tidak puas hati. Dia mahu tanyakan soalan lagi.

“Ini Nina Khalid, duta produk Wangi Cempaka. Bertuah mama Mashitah sebab berjaya dapatkan khidmat supermodel terkenal sebagai duta. Nina pun tak berkira tentang bayaran.” Tengku Soleha perasan perubahan wajah Rafa. Biarlah semuanya menjadi rahsia. Dia pasti Nina Khalid tiada kaitan dengan Tengku Khalid.

“Kalau macam tu Rafa masuk bilik dulu. Nak mandi lepas tu solat. Badan dah melekit ni.”

Rafa akur kalau wanita ini enggan bercerita.

“Okey. Rafa dinner tak nanti?”

Rafa angguk. Dia tiada rancangan untuk ke mana-mana malam ini.

“Nanti bonda minta orang gaji masak lauk kegemaran Rafa. Dah lama kita tak makan malam

sama-sama.”

“Baik bonda.” Rafa bersalam dan mencium tangan Tengku Soleha. Sambil itu matanya melirik ke arah skrin laptop. Ada sesuatu yang tak kena sekarang ni.

Usai bersalaman, Rafa atur langkah naik ke tingkat 2. Sambil mendaki anak tangga, otaknya ligat memikirkan sesuatu. Sampai saja ke dalam bilik dia terus rebahkan diri ke katil. Matanya tertumpu ke arah lampu yang tergantung.

“Mungkin ke bonda perasan iras muka Tengku Khalid dengan Nina? Sebab tu bonda menjerit tadi. Tapi kenapa bonda menipu? Apa yang bonda cuba sembunyikan?” Rafa bangun dari perbaringan. Dia keluarkan laptop dari beg kerjanya. Baru dia teringat berita yang bonda khabarkan tadi. Nina Khalid bakal menandatangani kontrak dengan syarikat milik bakal ibu mentuanya.

Butang on ditekan. Skrin laptop menyala serta-merta. Setelah agak lama barulah terpapar gambar di skrin. Terus dia klik ikon Google. Jarinya menaip nama Nina Khalid dan Wangi Cempaka di ruangan carian. Dalam masa beberapa saat, terpapar berita mengenai persetujuan Nina sebagai duta produk. Rafa membaca satu per satu artikel yang terpapar.

“Apa niat awak, Nina? Saya tahu awak ada niat lain.” Rafa pasti dengan gerak hatinya. Nina ada niat lain menjadi duta produk Wangi Cempaka. Apa yang dia pasti semua ini pasti ada kaitan dengan bonda. Tapi apa kaitannya pula dengan bakal ibu mentuanya? Penat otaknya cuba meneka tapi langsung tidak bertemu jawapan.

“Awak ni cantik Nina, tapi sayangnya dendam awak mengaburi kecantikan tu. Kalau diberi pilihan antara awak dengan Mastura... saya lebih rela kahwin dengan awak.”

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment