DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 18 February 2022

Lovely Badass - Bab 9


LELAKI seorang itu langsung tidak berputus asa biarpun sudah ditolak oleh Deborah. Kata Maisarah, Deborah baru habis idah. Jadi, dia memanfaatkan peluang untuk membina semula hubungan dengan wanita idaman hatinya.

            Setelah beberapa kali dipujuk Iqmal, wanita itu akhirnya bersetuju untuk bertemu. Ketika Deborah tiba, lelaki itu sedang termenung sendirian sambil mengacau kopinya. Iqmal mengangkat pandangan setelah Deborah menarik kerusi lalu duduk di hadapannya.

            “So, I dah datang. Apa lagi yang you nak I dengar?” ucap Deborah tanpa sebarang senyuman.

            “Marah ke?”

            “I sibuk sekarang. Jangan berbasa-basi, Mal. I nak kita teruskan kepada pokok cerita,” ucap Deborah biasa.

            “You marahkan I...” ucap Iqmal. Kali itu Deborah memandang iqmal.

“Ya, I marah. I kesal. Bermacam-macam rasa bermain dalam kepala I selama ni. Jadi apa? Apa yang boleh I buat dengan semua tu, Mal? You sengaja datang semula untuk buat fikiran I jadi bertambah terbeban!” balas Deborah.

            Lelaki itu diam seketika, membiarkan pelayan mendekati Deborah.

            “Pasal Syam, I minta maaf...” ujar Iqmal perlahan.

            “Tak perlu minta maaf. I bukan girlfriend you,” jawab Deborah sinis.

            “You marah I.”

            “I tak marah!”

            “Ya, you marah.”

            Kali itu Deborah diam. Nafas dihela panjang agar dirinya bertenang. Memang dia marah. Setiap kali memandang wajah lelaki itu, rasa meluap-luap timbul tidak tahu kenapa.

            “Kenapa malam waktu kita jumpa William tu you tak bawa dia?” tanya Deborah.

            “Dia bukan girlfriend I, Deb. I memang pernah kawan dengan dia. Tapi... hubungan tu susah nak cakap. I cuba bermula dengan dia, tapi I tak boleh.”

            “And then?”

            “I dengan JA Holdings ada hubungan business. Jadi, untuk majlis rasmi, I tak bawa dia. I tak mahu gosip.”

            “Tapi dinner malam tu you bawa dia...”

            “You belum dengar penjelasan I.”

            “Okey, sorry.” Deborah angkat dua tangan. Kata tidak cemburu, tapi macam cemburu.

            Iqmal menghela nafas perlahan.

            “I berkawan dengan dia dah setahun. I mengaku sebelum ni I tak putuskan hubungan dengan dia. Tapi lepas I jumpa you semula, I minta untuk berpisah, tapi dia tak boleh terima,” ujar Iqmal.

            “Malam tu kenapa dia ada?”

            “Kami kadangkala ada berhubung. Hanya itu. I dah lama tak jumpa dia. Malam tu tiba-tiba dia muncul bila siang tu I kata ada majlis reunion. Apa I nak buat? Dia muncul macam tu aje,” ucap Iqmal.

            “Macam mana dia tahu you ada dinner dekat Seri Malaysia?”

            “I beritahu dia. Dia ajak dinner dan I tak sengaja beritahu dia I dah ada janji malam tu. Dia tanya kat mana. I beritahulah kat mana. I tak sangka pulak dia akan muncul kat situ,” beritahu Iqmal.

            “Maksudnya apa? Dia masih rasa you milik dia. You tinggalkan dia lepas jumpa I. Alamatnya, I akan dikatakan penyebab you dengan dia berpisah. Dahlah I ni janda. Semakin buruklah pandangan orang kepada janda macam I ni,” ujar Deborah.

            “I tak peduli apa yang orang nak cakap. Semenjak awal lagi I dah beritahu dia yang I tak mampu beri perasaan I kepada dia kerana dalam hati I ada you semenjak dulu,” ucap Iqmal.

            Deborah diam memandang lelaki itu.

            “I tak mahu dia jadi masalah. I benar-benar harap kali ni you akan beri I peluang sekali lagi. I dah lepaskan peluang tu lama dulu. I tak akan lepaskan peluang sekali ni. I tak peduli apa tanggapan dia tentang I dengan you. I tak peduli. Tentang Syam, I dah berterus terang dan I dah cuba jauhkan diri daripada dia supaya dia faham yang I tak main-main apabila I kata I tak boleh teruskan dengan dia,” ujar Iqmal bersungguh-sungguh.

             “Jadi, you nak I buat apa?”

            “Sekurang-kurangnya jangan benci I, Deb. Jangan jauhkan diri daripada I. I faham you baru bercerai. I tak mahu jadi lelaki yang cuba mengambil kesempatan. At least I harap you akan terima I sebagai kawan,” ucap Iqmal.

            Deborah diam sambil memandang pelayan membawakannya kopi.

            “I ada banyak masalah sekarang. Hidup I tak begitu stabil dengan masalah bersama bekas suami dan anak-anak I. I tak mahu keadaan akan jadi lebih teruk dengan kehadiran you dan Syamsinar,” ucap Deborah setelah pelayan berlalu.

            “I tahu. Tentang Syam, biar I yang selesaikan,” ucap Iqmal.

            “Dia tahu tentang I?”

            “Dia tahu I ada seseorang yang I sayang selama ni. Tapi dia tak tahu itu you,” ujar Iqmal.

            “Malam tu you tak beritahu dia?”

            “I belum beritahu. I tak tahu apa reaksi dia kalau dia tahu perempuan yang I maksudkan selama ni tu ialah you. Buatnya dia mengamuk kat situ, mana I nak letak muka? Lagipun I tak mahu dia serang you. Tentang perasaan I terhadap you selama ni, bukan salah you,” balas Iqmal.

            Deborah diam. Masuk akal juga apa yang diucapkan oleh lelaki itu.

            “Keadaan ni tak okey untuk I, Mal. You dengan dia... kemudian I datang. Nanti I yang akan dipersalahkan,” ujar Deborah seketika kemudian.

            “I akan selesaikan tentang itu,” ucap Iqmal.

            “Macam mana you nak selesaikan hal tu?” tanya Deborah semula.

            Iqmal diam pula. Entah. Dia pun belum ada idea, sebab dia rasa Syamsinar itu bukan sebahagian daripada dirinya. Malah, dia sudah menjauhkan diri daripada wanita itu. Apa lagi yang hendak dia buat?

            “Orang yang diberikan harapan, dia boleh jadi unpredictable, Mal...” ucap Deborah.

            I’m sorry. Kalau I tahu keadaan akan jadi begini, dah tentu I tak akan dekat dengan dia selama ni,” balas Iqmal.

            Deborah hanya tersenyum tawar. Jawapan mudah!

            “You dengan anak-anak you okey ke?” tanya Iqmal.

            So far so good. I baru selesai kes hadanah di mahkamah,” beritahu Deborah.

            I’m so sorry for whatever happened,” ucap Iqmal perlahan.

            Iqmal tunduk seketika.

            “I tak tahu apa lagi yang I nak jelaskan tentang tindakan I dulu, Deb. I memang bodoh masa tu,” balas Iqmal perlahan. Dia salah sangka tentang hubungan Iqbal dengan Deborah. Adiknya juga tidak pernah mengangkat Deborah sebagai kekasih. Mereka hanya kawan.

            “I tak mahu ulas tentang kisah lama yang dah cukup lama. Kita masih remaja waktu tu,” ucap Deborah dengan helaan nafas panjang.

            “I tanggung kekesalan cukup lama kerana membiarkan you tanpa I jelaskan apa yang ada dalam hati I selama ini.”

            “Apa yang dah berlaku semuanya takdir. Apa yang berlaku kepada I dengan Zalman, bukan salah sesiapa pun,” balas Deborah rendah. Dia juga tidak mahu terus menyalahkan Iqmal tentang kekecewaannya selama ini.

            “Deb, I cuma harap you sudi beri I peluang untuk ambil berat tentang you.”

             “Kenapa I? Masa dah cukup lama berlalu, Mal. You masih bujang. Masih ada ramai wanita yang lebih sesuai untuk bersama dengan you.”

            “I tak nak orang lain. Dalam fikiran I selama ini hanya ada you seorang saja!” tekan Iqmal, tidak peduli akan apa sahaja hakikatnya. Biarlah janda atau apa, hatinya sudah bulat. Deborah cinta pertamanya dan akan kekal menjadi kekasih dalam hatinya sampai bila-bila.

            Deborah menghela nafas perlahan. Lelaki seorang ini tidak reti bahasa agaknya.

            “I tak tahu nak cakap apa. Keadaan dah tak sama macam dulu, Mal.”

            “I tahu. Tapi sekurang-kurangnya you kena bagi I peluang untuk I perbetulkan kesilapan yang I pernah buat dulu,” ujar Iqmal.

            Deborah memandang jam tangannya.

            “I nak balik. I cuma ada sejam saja,” ucap Deborah perlahan.

            “Boleh I call you bila-bila?”

            “Apa-apa ajelah. Kalau I kata jangan pun, you tetap akan call,” balas Deborah sinis.

            Deborah menghabiskan minumannya sementara Iqmal melunaskan bayaran. Kemudian mereka berlalu meninggalkan kafe itu bersama.

            “Boleh I tanya you sesuatu?” tanya Iqmal saat wanita itu berada di sisi keretanya.

            “Apa dia?”

            “You dengan Iqbal... tak pernah berhubung ke selama ni?”

            “Apa adik you cakap dekat you?” jawab Deborah pula.

            Iqmal hanya angkat bahu sambil memandang Deborah.

            “I dengan dia cuma kawan biasa. Lepas I balik dari UK, kami tak pernah berhubung dan I tak tahu dia di mana. I pun tak pernah teringin nak terhegeh-hegeh cari semula kawan-kawan lama since you pun macam tak berminat,” balas Deborah sinis pada penghujung bicara.

            Iqmal tidak terkata kerana kata-kata itu membuatkan hatinya menjadi perit.

            “You macam tak berminat, I move onlah dengan orang lain. Takkanlah I nak tunggu you sedangkan I sama sekali tak tahu you ada di mana,” tambah Deborah.

            Riak wajah Iqmal berubah sedikit.

            “Bukan macam tu. Semuanya sebab salah sangka...” Iqmal menghela nafas panjang. “I ingat you dengan dia ada apa-apa. Dia adik I. Dah tentu I tak mahu berebut dengan dia dan dengan entah siapa-siapa lagi.”

            “You dah dapat apa yang you cita-citakan, Dr. Iqmal. So be it. Tak ada apa yang kita nak kesalkan. You tak dapat I, tapi sekurang-kurangnya you dapat jadi sesiapa sahaja yang you inginkan. Tak begitu?” ujar Deborah saat lelaki itu diam.

            I’m sorry.”

            Stop saying sorry. Jodoh I dengan Zalman bukan di tangan you,” ucap Deborah lantas masuk ke dalam kereta.

“Selama ni kita ada sangat dekat kalau you perasan,” ujar Iqmal.

            “I tak tahu sehinggalah you beritahu I sekarang,” balas Deborah lantas menutup pintu kereta. Cermin diturunkan untuk dia bercakap dengan lelaki itu.

            “I tak mahu terusan marah you. I balik ofis dulu,” ucap Deborah.

            Drive safely,” balas Iqmal lembut.

            You too,” balas Deborah semula.

            Lelaki itu terus memandang SUV itu berlalu keluar dari ruangan parkir. Saat itu apa yang memberati hatinya kian ringan. Dia percaya, dia masih punya peluang untuk merealisasikan apa yang paling dia inginkan untuk dirinya.

 

MALAM ITU sebelum tidur, Deborah tersedar yang Iqmal ada menyapanya di WhatsApp. Terkejut juga dia membaca sapaan itu.

            Sayang...

            Deborah segera membalasnya.

            Sorry. I baru perasan mesej ni.

            Hai... tak payah bersayang-sayang

            dengan I.

            Tidak lama kemudian, Iqmal menghubunginya melalui panggilan WhatsApp.

            “I ganggu?” tanya Iqmal sebaik sahaja terdengar suara Deborah di hujung talian.

            “Tak juga. Anak-anak I baru tidur,” jawab Deborah.

            “Ni waktu you pulak rehat. I tahu, bukan senang jadi ibu kepada dua orang anak. Betul ke I tak ganggu? Esok you kerja,” ucap Iqmal lembut.

            “Tak. I memang dah nak tidur. Tapi setakat nak berbual sekejap, apa salahnya. Tapi tak payah bersayang-sayang dengan I. I bukan girlfriend you,” ujar Deborah.

             “I panggil sayang dekat perempuan yang I sayang,” balas Iqmal.

            “Oh, ya ke? Mal, I bukannya baru 24 tahun. Setakat sayang sana sini sebab nak mengurat... I dah lali, Mal.”

            Iqmal ketawa perlahan.

            “Jadi, apa yang you belum lali? Baby?” ‘

            “Malaslah I nak layan. Nak cakap apa ni?” gerutu Deborah.

            “I sebenarnya tak pandai nak berkomunikasi. I tak tahu apa nak dibualkan terutama apabila dengan perempuan,” jelas Iqmal.

            “Ya ke?”

            “Maksud I, dengan perempuan yang I sukalah,” balas Iqmal lembut.

            “Kenapa dengan perempuan you jadi tak tahu berkomunikasi? I tak faham,” balas Deborah.

            Lelaki itu tergelak perlahan. Entahkan wanita itu benar-benar tidak faham atau buat-buat tidak faham.

            “I tak pandai mengurat,” akui Iqmal.

            “I see... jadi betullah you call ni sebab nak mengurat?” balas Deborah lantas membuatkan Iqmal tergelak besar.

            “You kan nak I berterus terang. Jadi, I berterus terang ajelah. Ya, I nak mengurat you. Apa hal pulak I nak call tengah-tengah malam kalau sekadar alasan biasa-biasa,” balas Iqmal mengenakan wanita itu semula.

            “You rasa I mungkin tak akan jawab call daripada you selepas ini?” duga Deborah.

            “Macam mana you boleh baca apa yang ada dalam fikiran I, Deb?”

            “Oh, tekaan I betul? Kita berdua macam orang yang tak pernah jumpa selama ini, tak pernah kenal... you risau I mungkin akan judge you sebab you tak pandai ambil hati I?” ujar Deborah lagi.

            “Ya, adalah sikit I rasa begitu. Selama ni kita jarang berbual. You mungkin tak kenal I,” balas Iqmal jujur.

            “Tapi I tak pernah buat macam tu selama ni. Kecuali lelaki yang suka bercakap tentang seks,” akui Deborah.

            Lelaki di sebelah sana mula tersenyum. Diakui semenjak dulu, Deborah ada personaliti yang menarik. Orangnya mesra sehingga ramai lelaki menyukainya.

            “I rasa macam mimpi berjumpa dengan you semula. Semenjak I nampak you di majlis dinner HMA Lab And Pharmacy hari tu... I rasa macam tak mampu teruskan hidup. I betul-betul rindukan you. I tahu itu sesuatu yang tak elok, tapi I tak mampu kawal perasaan I,” luah Iqmal rendah. Semenjak kebelakangan ini, dia merasa hidup semula.

            Deborah terdiam mendengar bicara Iqmal.

            “Deb, I benar-benar berharap you akan beri I peluang sekali lagi. I janji I takkan sia-siakan peluang tu.”

            “Mal... you tak faham,” keluh Deborah.

            “I faham, sayang. You hanya perlukan masa. I cuma harap you tak akan jauhkan diri daripada I. Itu saja,” ucap Iqmal.

            “I baru bercerai, Mal. I baru habis idah! Ni dah ada lelaki lain sibuk cakap pasal cinta dengan I,” gerutu Deborah.

            “Apa salahnya? You bukan isteri orang lagi dah. I harap you dah tak ada hati lagi dekat bekas suami you sebab I rasa I lebih layak berbanding dia,” balas Iqmal tetap berdegil.

            Deborah menghela nafas perlahan.

            “You tak faham apa pun. You hanya pentingkan apa yang you nak,” tekan Deborah.

            “Okey. You beritahu I apa yang patut I buat. Jangan minta I jauhkan diri daripada you. Itu sesuatu yang paling I tak boleh buat. Sayang, I dah cuba bermacam-macam cara untuk lupakan tentang you. I dah lakukannya semenjak I tahu you dah jadi isteri orang. Tapi I tak boleh. Setiap kali I berkawan dengan perempuan lain, I jadi penat untuk memaksa hati I untuk terima orang lain. I tak tahu kenapa I macam ni,” jelas Iqmal.

            Deborah diam mendengar bicara lelaki itu.

            “Lepas I dapat tahu you dah bercerai...”

            “You dapat tahu daripada siapa?”

            “Mai...”

            “I dah agak,” balas Deborah. Maisarah orang tengah untuk Iqmal mengutip cerita tentangnya.

            “Lepas you bercerai, I lagi tak boleh fikir tentang lain. I nak sangat dekati you, tapi I bimbang you terkejut kalau I terus datang begitu sahaja,” jelas Iqmal.

            “I dah lama terkejut dengan you.”

            Iqmal ketawa tiba-tiba.

            “Kenapa?”

            “You mengadu macam-macam dekat Mai dan Mai beritahu I. Waktu tu I dah ada suami. Lama menghilang, tiba-tiba balik sini mengaku sukakan I. Kalau you, you pun akan terkejut, kan?” jawab Deborah.

            Sorry. I tak ada tempat nak mengadu. Mai yang kenal you selama ni,” balas Iqmal.

            “Berapa usia anak-anak you, Deb?” Iqmal mula tukar topik.

            “Jacqueline 10 tahun sekarang. Yang bongsu Isabel... baru 4 tahun,” jawab Deborah.

            “Dua-dua girl,” balas Iqmal lembut. Kononnya seperti tidak tahu, padahal dia rajin menghendap Deborah dengan anak-anaknya selama ini.

            “Ya. Tak ada rezeki dapat anak lelaki.”

            “I agak, dua-dua sekali lebih banyak ikut mommy dia. Yang suka drawing tu ikut siapa?” ucap Iqmal.

            “Macam mana you tahu anak I suka drawing?” tanya Deborah serta-merta.

            Iqmal dah terdiam.

            Ermm... Mai beritahu I,” bohong Iqmal. Terlepas cakap pula.

            “Jadi, you tanya semula untuk apa? Saja buat-buat tak tahu?” balas Deborah.

            Iqmal sudah mula menggaru pipinya di hujung sana.

            “Apa lagi yang Mai beritahu you tentang I dan anak-anak I?”

            Err... I dah tak ingatlah. Adalah sikit-sikit.” Iqmal menjawab dengan jawapan selamat. Kalau boleh, tidak mahu beritahu yang Maisarah tukang beritahu sebarang info kepadanya supaya senang dia hendak pergi menghendap.

            “Boleh dikatakan anak-anak I lebih banyak ikut I. Mereka pun lebih rapat dengan I berbanding dengan daddy diaorang,” jawab Deborah kepada soalan Iqmal yang belum dijawabnya tadi.

            “Boleh I kenal dengan mereka berdua?” tanya Iqmal perlahan.

            Maybe. I... err... anak-anak I sebenarnya tak biasa dengan orang luar, Iqmal. Mereka ada masalah sikit,” ucap Deborah sedikit tersekat. Dia tidak tahu haruskah dia membiarkan lelaki itu dekat dengan anak-anaknya.

            “Masalah macam mana?”

            Deborah diam seketika. Agak payah untuk menjelaskan masalah anak-anaknya.

            “Anak-anak I... mereka agak takut dengan orang luar terutamanya dengan lelaki,” akui Deborah.

            “Kenapa?”

            Daddy mereka berdua agak garang. Jadi...”

            “Trauma?” celah Iqmal tatkala wanita itu agak sukar hendak menjelaskan.

          Lebih kurang.”

            “You ada rujuk masalah mereka kepada psikiatri?” tanya Iqmal lagi.

            “Ya,” jawab Deborah lembut.

            I’m so sorry to hear that,” ucap Iqmal.

            Its okay. It's not your fault,” balas Deborah rendah.

            “You masih trauma dengan lelaki?” tanya Iqmal pula.

            “I cuba fikir positif. Tak semua lelaki sama,” balas Deborah.

            “Betul tu,” sambut lelaki di hujung talian itu lembut. Simpati mendengarkan itu. Dia sedar, ramai wanita bercerai kerana mempunyai suami yang tidak bertanggungjawab dan pendera.

            “Terlalu cepat untuk I promosi diri sendiri, seolah-olah I lebih baik berbanding lelaki lain. Tapi I yakin I bukan lelaki yang begitu,” tambah Iqmal membuatkan wanita itu tersenyum sendiri.

            “Terlalu cepat? No. You dah promosi diri sendiri sebelum you kata ini terlalu cepat,” jawab Deborah lantas disambut tawa lelaki itu.

            “Tu ayat kosong aje, Deb.”

            “Lelaki...” desis Deborah lantas menggeleng sendiri.

             “I perlukan masa untuk rawat luka dalam hati I ni,” ucap Deborah perlahan.

            “I nak ada di sisi you untuk waktu itu. Apa salahnya kalau I sama-sama rawat hati you,” balas lelaki itu.

            “Ayat macam tu dah basi untuk I, Mal.” Deborah jawab meleret. Ayat mengurat itu sedikit pun tidak membuatkan hatinya berkocak.

            “Apa lagi yang you nak dengar supaya you percaya kepada I, sayang? I lelaki yang simpan perasaan dekat you selama bertahun-tahun,” ujar Iqmal bersungguh-sungguh.

            Hope you all will be okay very soon,” ujar Iqmal tatkala wanita itu berdiam.

            I’m okay. Anak-anak I sekarang ni... mereka tak ada masalah untuk bergaul dengan ahli keluarga. Tapi bila dengan orang luar, mereka jadi sangat pemalu.”

            “I faham. Masalah psikologi, ia perlukan masa untuk pulih. So, anak-anak you rapat tak dengan mana-mana lelaki dalam keluarga?” ucap Iqmal sedikit lunak.

            Daddy I... dengan adik lelaki I... Ben. Ben macam ayah kepada anak-anak I selama ni; kasih sayang dan kelembutan yang mereka tak rasa ketika dengan daddy mereka. So, dengan Ben anak-anak I memang Nampak normal. Wife dia pun jenis suka layan budak-budak,” jelas Deborah.

            “I nak sangat jumpa dengan mereka,” balas Iqmal.

            “Mungkin suatu hari nanti, Mal.”

            Sure. Sebelum cuba jadi kawan baik kepada anak-anak you, I perlu jadi kawan baik kepada maknya dulu. Ya tak?”

            Yeah, whatever you say, I malas nak jawab. Ada saja jawapan you nanti,” jawab wanita itu meleret.

            Iqmal tertawa kecil mendengar nada Deborah.

            “Betullah, kan? I nak cuba kenal you. Bukan cuba... ermm... I nak you kenal I. I rasa I dah lepaskan peluang tu dulu. So, I nak tebusnya sekarang,” ucap Iqmal lembut. “I tak akan sia-siakan peluang sekali lagi ni. I janji,” ucap Iqmal tatkala Deborah berdiam.

            “I tak mahu jadi perempuan keji. Baru bercerai dah pasang baharu,” balas Deborah.

            Iqmal ketawa besar.

            “I rela digosipkan dengan you. Sungguh ni.”

            “Malaslah nak layan. I nak tidur,” ucap Deborah.

            “Okeylah. Talk to you later. Sweet dreams, Deb.”

            You too. Thanks for calling. I really appreciate it,” ujar Deborah sebelum mematikan talian.

No comments:

Post a Comment