DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 21 December 2015

TANYA DIA TENTANG CINTA - BAB 11

BAB 11

ASSALAMUALAIKUM, pak cik. Apa khabar hari ni?” sapa Ziyad ramah. Kad pesakit yang terletak kemas di atas rak yang terletak di kaki katil dicapai.
Pak Cik Majid tersenyum. Salam Ziyad dibalas ramah.
“Kepala ada rasa berat lagi tak?” soal Ziyad lagi.
Pak Cik Majid menggeleng.
“Kalau ikut bacaan tekanan darah, semuanya dah kembali normal. Esok pak cik dah boleh keluar dah ni,” bicara Ziyad lagi.
“Alhamdulillah. Dah naik bosan pak cik duduk dekat hospital. Dah rindu nak balik rumah,” balas Pak Cik Majid dengan gelak kecil di bibir.
Ziyad turut tergelak. Sebaik memeriksa dan menulis sesuatu di atas kad laporan, fail tersebut diletakkan semula.
“Nanti saya beritahu jururawat untuk selesaikan urusan pak cik keluar esok,” ucap Ziyad dengan senyuman.
“Terima kasih.”
Sekali lagi Ziyad pamer senyum.
“Pak cik dengar doktor nak kahwin. Betul ke?”
Bila soal kahwin disebut-sebut, senyum Ziyad menjadi semakin lebar. Satu hospital turut kecoh apabila mendengar beritanya akan berkahwin. Masing-masing sibuk bercerita.
“Insya-Allah dalam dua minggu lagi,” balas Ziyad, seakan-akan teruja.
“Alhamdulillah. Baguslah bina masjid. Banyak pahala. Bila sudah beristeri nanti, kena jaga isteri baik-baik. Kena saling bertolak ansur. Urusan mendidik isteri terletak di bahu suami. Bijak suami mentadbir dan mendidik, maka bahagialah rumah tangga.” Panjang lebar Pak Cik Majid menasihati.
“Insya-Allah, pak cik,” balas Ziyad dengan anggukan.
“Lagi satu pak cik nak ingatkan, kalau berlaku salah faham atau pergaduhan antara suami isteri, mulut jangan ringan sangat. Kadang-kadang masa sedang marah kita tak sedar apa yang kita ucapkan. Jangan sampai dah terlepas kata baru nak menyesal. Kalau rasa nak marah, tengok muka isteri, tengok muka anak-anak, insya-Allah... kemarahan akan reda. Berdoa kepada Allah semoga rumah tangga kita dilindungi daripada perkara-perkara yang tak baik,” sambung Pak Cik Majid lagi.
Ziyad mengangguk faham. “Terima kasih pak cik atas nasihat. Insya-Allah, saya akan ingat pesanan pak cik tadi.”
Pak Cik Majid tersenyum dan kepalanya diangguk-anggukkan perlahan.
“Oh ya... terlanjur saya jumpa pak cik ni, saya jemput sekalilah ke majlis kenduri saya nanti. Nanti saya kirimkan kad pada Yani.”
“Insya-Allah. Insya-Allah. Kalau pak cik tak ke mana, pak cik datang.”
Ziyad hanya tersenyum sahaja. Lelaki tua yang hampir menjengah usia 65 tahun itu dipandang. Sejak setahun yang lalu Pak Cik Majid sering keluar masuk hospital disebabkan sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis kronik yang dihidapinya. Setahunya lelaki itu tidak mempunyai keluarga, malah bukan orang sembarangan. Setiap kali dia merawat lelaki itu, pasti ada kata-kata nasihat yang akan disampaikan. Malah, dia sendiri senang berbicara dengan lelaki tersebut.
Sebaik meminta diri untuk untuk beredar, Ziyad terus keluar dari situ dan meneruskan tugasnya memeriksa pesakit-pesakit yang lain sebelum balik. Usai melawat wad, Ziyad terus berjalan menuju ke biliknya semula. Belum sempat dia menapak masuk, dia sudah ditegur oleh seseorang. Ziyad berpaling.
“Oh, Fiz, ada apa?” sapa Ziyad.
“Jom minum,” ajak Hafiz apabila berdiri tegak di hadapan Ziyad.
Ziyad kerling jam di tangan, kemudian mengangguk.
“Kita pergi KLCC ya.”
“Jauhnya.”
“Nak beli barang untuk Cik Lily, so kita minum dekat sana ajelah,” balas Hafiz sambil tersengih.
Terdengar nama Cik Lily disebut, Ziyad turut tersenyum. Bukan dia tidak tahu anak kecil Hafiz yang satu itu memang bermacam-macam permintaannya. Maklumlah, anak tunggal. Jadi, segala kemahuannya memang akan dipenuhi.
“Okey, tapi kau tunggu sekejap. Aku nak ambil barang dulu,” ucap Ziyad dan mula melangkah. “Naik kereta aku ajelah ya,” sambungnya lagi.
Hafiz mengangguk dan terus menunggu di situ.


HAFIZ TERSENGIH. Ziyad yang sedang menikmati kopi panasnya itu diperhatikan. Pelik dengan kelakuan sahabat yang satu itu. Kata tak suka, tapi berianya bukan main. Semasa dia sibuk membeli patung Frozen untuk anak gadis ciliknya, Ziyad juga tidak melepaskan peluang membeli satu kotak perhiasan muzik untuk bakal isterinya. Walaupun Ziyad tidak menyatakan untuk siapa hadiah tersebut, tetapi dia tahu pastinya untuk gadis itu.
“Persiapan dah siap semuanya?” soal Hafiz sebaik mug berisi english tea diletakkan semula ke atas meja.
Ziyad mendongak. Pandangan sahabatnya itu dibalas dengan dahi berkerut.
“Aku tanya, persiapan perkahwinan kau dengan ‘Princess’ tu dah siap semuanya ke?” Melihat riak Ziyad yang agak blur itu, Hafiz bertanya lagi.
Ziyad tersenyum. Cheese cake di atas meja dicapai dan disuapkan ke mulut. Hafiz menggeleng pula.
“Kenapa?” Ziyad angkat kening. Hafiz dipandang hairan.
“Kau tu.”
“Kenapa dengan aku?”
“Kata tak suka, tapi beria-ia sangat tu kenapa?” sindir Hafiz pula.
Ziyad pamer senyum. Lebih lebar dari tadi. “Mungkin dia jodoh aku dan aku terima dia seadanya.”
“Kisah dulu tu? Apa yang dia buat pada kau dulu?”
“Aku sedang cuba untuk lupakan semua tu Fiz. Setiap orang perlu diberi peluang kedua dan aku sedang menyediakan ruang itu untuk dia.”
Hafiz hela nafas. Tidak faham. Sungguh dia tidak faham dengan Ziyad. Luka yang diberikan Puteri Chempaka Emelyn bukan sedikit, malah selama tiga tahun hidup Ziyad murung. Tidak mengendahkan semua orang walau keluarga sendiri. Hanya sejak setahun yang lepas keadaannya kembali pulih. Itu pun kerana Marina.
“Kau yakin dia dah berubah?” duga Hafiz pula.
Sekali lagi Ziyad pamer senyum. “Aku tak tahu, tapi yang pasti, hati aku pada dia tak pernah berubah walau macam mana sakit pun hati aku dulu. Emelyn, dia satu-satunya perempuan yang pernah aku cinta,” luahnya bersungguh dan dengan senyum yang masih bersisa.
Hafiz geleng kepala. Hebatnya kuasa cinta, sampai lupa azab yang dilalui dahulu, tapi siapa dia yang hendak menghalang? Ziyad sendiri yang beria-ia. Benarlah, cinta itu memang buta dan manusia senang dibutakan oleh cinta. Contohnya, yang ada di hadapan mata!
“Kalau kau dah cakap macam tu, aku hanya mampu mendoakan yang terbaik aje. Semoga kau mampu bimbing dia dunia akhirat.” Akhirnya itu yang terluah dari bibir Hafiz.
Ziyad tersenyum lagi. Kepalanya dianggukkan perlahan. “Insya-Allah,” jawabnya sepatah.
Ya, dia akan pastikan keputusannya itu tidak sia-sia. Puteri akan dididik dengan sebaik mungkin untuk menjadi isteri dan ibu yang baik untuknya dan anak-anak. Nekadnya. Tidak sia-sia rupanya pertemuan dengan Pak Cik Majid tadi. Mendengar kata-kata lelaki itu, hatinya tiba-tiba berubah dan dia yakin itulah keputusan yang terbaik untuknya.
Keadaan terus bertukar sunyi. Hafiz tekun menghabiskan makanan di dalam pinggannya. Ziyad pula leka membuang pandang ke arah manusia yang lalu-lalang di luar kafe tersebut. Sedang leka menjadi pemerhati tidak bergaji, tiba-tiba dia terpandangkan seseorang. Ziyad membetulkan duduknya sambil mata liar membuang pandang ke arah gadis yang baru melangkah masuk ke dalam kafe tersebut. Gadis yang berseluar jean hitam, berblaus merah, manakala rambut panjangnya dibiarkan lepas dan dicekak sedikit ke belakang. Hurm, cantik. Ya, sangat-sangat cantik.
Pelik melihat kelakuan Ziyad yang tiba-tiba berubah, Hafiz terus berpaling mencari apa yang menarik minat sahabatnya itu. Terpandangkan Puteri Chempaka Emelyn yang sedang duduk santai di ruang yang agak jauh daripada mereka, Hafiz buang senyum. Patutlah tak senang duduk. Buah hati ada di depan mata rupanya. Ziyad, Ziyad... Kepalanya digelengkan.
“Tak payah sembunyi-sembunyi tengok, Yad. Pergi ajelah. Bakal isteri kau jugak,” giat Hafiz mengusik. Ziyad dipandang dengan senyum meleret.
Malu dengan usikan sahabatnya itu, Ziyad tersengih. Rambutnya diraup perlahan. Begitulah dia, dari jauh tidak berkelip wajah bakal isterinya itu dipandang, tetapi apabila ada di hadapan mata, dia buat tidak tahu sahaja.
“Pergilah, aku tak kisah pun,” suruh Hafiz lagi.
Ziyad geleng kepala. Tidak mahu. Dibuatnya Puteri sedang menunggu sesiapa, buat malu sahaja. Pandangannya dibuangkan ke arah Puteri semula. Tiba-tiba wajah yang tersenyum manis sedari tadi terus berubah keruh.
“Kenapa?” soal Hafiz hairan. Dia berpaling menoleh ke arah Puteri semula, kemudian kepalanya digelengkan.



DAH ODER?” Adif menyoal. Pandangannya dibuangkan ke arah pelayan yang tidak jauh dari situ. Sebaik pelayan membalas pandangannya, tangannya diangkat.
“Belum.” Sepatah Puteri membalas.
“Kenapa tak oder dulu? Buat apa tunggu aku?”
“Saja tunggu kau. Malas nak oder dulu.”
“Mengada!” kutuk Adif selamba.
Puteri tersengih dan lidahnya dijelirkan sedikit, seakan-akan mengejek. Melihat riak gadis itu, Adif mendengus. Geram dengan apa yang dilakukan Puteri, hujung hidung gadis itu dijentik perlahan.
“Adif!” jerit Puteri geram sambil hidungnya digosok dengan jari.
Memang tidak sekolah betul mamat ni. Sudah dimarahi berulang kali jangan buat macam itu, tetap juga hidungnya menjadi sasaran. Kemik hidungnya yang tidak berapa mancung itu nanti siapa yang akan bertanggungjawab?
Adif lepaskan tawa dan memandang gadis itu dengan riak mengejek.
“Aku balik karang!” ugut Puteri geram. Beg tangannya dicapai.
Wei! Janganlah merajuk. Okay, sorry.” Kalut Adif memujuk. Tangan Puteri dicapai dan ditarik supaya duduk semula.
“Tahu takut!”
“Ampun, Puteri,” ucap Adif sambil kedua-dua tangannya dicantumkan seolah-olah orang merapak sembah.
Bengonglah kau,” gelak Puteri pula.
Tawa Adif pecah lagi. Dia terus beralih tempat dan duduk betul-betul di sebelah gadis itu. Sebaik membuat pesanan, dia terus mencapai beg sandang yang dibawanya tadi.
I wanna show you something,” ucap Adif. Kamera DSLR dikeluarkan.
Puteri kalih pandang. “What?”
“Aku tahu kau mesti suka,” ucap Adif bersungguh. Kamera di tangannya dibuka. Dan menu gambar ditekan. “Nah, tengok sendiri.” Kamera tersebut dihulurkan ke arah Puteri dan terus bertukar tangan.
Berkerut dahi Puteri melihat gambar-gambar tersebut. Lama, sebelum dia berpaling memandang Adif di sebelah dengan muka masam mencuka. Geram, bahu Adif dipukul agak kuat.
“Hei?” jerit Adif perlahan. Bahunya digosok-gosok.
“Kau pergi Kaukenhof kenapa tak ajak aku!” marah Puteri keras. Bahu Adif dipukul lagi melepaskan amarahnya.
Adif pamer sengih. “Aku singgah masa aku pergi Amsterdam bulan lepas.”
Puteri tarik muka. Merajuk.
Dear...” pujuk Adif lembut.
“Dif, aku teringin sangat pergi sana,” rengek Puteri manja sambil buat muka kasihan.
Adif terus tersenyum. Manja sangat anak gadis Encik Syed Abdul Rahman yang seorang ini. Nasib baik tunangan orang, kalau tidak sudah dibawa sempadan untuk kahwin lari. Tiba-tiba Adif tergelak dalam hati. Mengarut punya angan-angan!
“Tahun depan aku bawak kau. Kalau nak pergi kena pergi dalam bulan Mac hingga Mei, sebab waktu itu saja Kaukenhof dibuka dan masa tu jugaklah bunga-bunga tulip sedang berkembang. And the perfect time is on April. So, kita pergi bulan April,” ucap Adif bersungguh.
“Janji?” Tidak berfikir panjang, Puteri cuba mengikat janji.
Adif mengangguk dan tersenyum. Jarinya diangkat dan dihulurkan ke arah Puteri untuk disambut sebagai tanda janji diikat. Puteri membalas.
“Aku akan pegang janji kau sampai mati,” ucap Puteri bersungguh sebaik tautan ibu jari mereka terlerai.
Okay, dear. Aku akan pegang janji-janji aku sampai mati. Doalah semoga umur aku dipanjangkan sampai ke tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya.”
“Jangan cakap macam tu!” sanggah Puteri dengan suara yang sudah naik senada. Adif suka sangat bercakap tentang mati dan dia memang tak suka.
“Mati itu pasti, dear. Cuma tunggu waktu dan ketika aje.” Lembut Adif membalas dan dengan senyum nipis tersungging di bibir.
“Itu aku tahulah,” bebel Puteri pula. Kamera di tangannya direnung lagi. Malas hendak melayan kata-kata Adif tadi.
“Cantiknya tulip kuning ni, Dif.” Kamera ditalakan ke arah Adif di sebelah. Adif semakin merapatkan tubuh kemudian mengangguk.
“Sangat-sangat cantik, dear,” ucapnya mengiakan. “Cuba tengok yang warna merah ni. The real one is much pretty.”
Puteri tersengih. Skrin kamera dipandang lagi. Wah! Sangat-sangat cantik!



KAU NAK pergi mana?” Laju Hafiz bertanya apabila melihat Ziyad sudah berdiri. Bimbang juga dia kalau Ziyad buat drama di situ. Malu wei!
“Balik!” jawab Ziyad sepatah dan dengan wajah yang sudah masam mencuka.
Beg kertas yang diletakkan di atas kerusi sebelah dicapai. Kakinya diayun dan dia terus keluar dari situ dengan perasaan yang membara. Ingatnya Puteri Chempaka Emelyn sudah berubah, tetapi semakin menyakitkan hati. Itukah perempuan yang ingin kau didik supaya menjadi isteri dan ibu yang baik, Ziyad? Di belakang kau dia asyik dengan lelaki lain. Ini yang kau nampak, yang kau tak nampak? kata hatinya menyoal. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan.
Hafiz turut bangun dan laju mengekor langkah sahabatnya itu. Masaklah kau Puteri. Sudah ada tunang pun masih menggatal dengan lelaki lain, desisnya dalam hati.
“Sabar, Yad. Mungkin lelaki tu kawan dia. Siapa tahu,” pujuk Hafiz sebaik masuk ke dalam perut kereta. Tali pinggang keledar ditarik dan pasang. Wajah teman yang sedang menahan marah itu dikerling. Serius, takut kalau Ziyad sudah tarik muka begitu dan dia tahu Ziyad benar-benar sedang marah sekarang. Kalau tidak, masakan barang yang dibelikan untuk Puteri tadi sudah dicampakkan ke dalam tong sampah.
Senyap. Ziyad langsung tidak bersuara. Enjin keretanya dihidupkan dan keretanya terus dipandu keluar dari kawasan KLCC tersebut. Sedang dalam dada sesak apabila teringatkan kemesraan Puteri dengan entah mana-mana lelaki itu. Kalau Puteri memang sudah ada pilihan lain, kenapa gadis itu menerima lamaran keluarganya? Sengaja hendak menduga dan ingin terus-terusan menyakitkan hatinya? Puteri ingat dia apa? Kayu. Tunggul yang tak tahu erti terluka dan kecewa? Kejamnya Puteri Chempaka Emelyn. Bukan sekali, tetapi berkali-kali hatinya dirobek tanpa belas.
“Yad, istighfar banyak-banyak. Jangan biar marah menguasai diri. Nasihat aku, baik kau tanya Emelyn perkara sebenar. Jangan cepat jump into conclusions,” nasihat Hafiz lagi cuba menenangkan perasaan sahabatnya itu.
“Aku tak sangka dia masih macam dulu,” luah Ziyad kecewa dengan mata yang sudah mula berkaca.
“Tanya dulu, jangan cepat sangat menghukum.”
Tidak menjawab, Ziyad lepaskan keluhan berat. Baru sahaja dia mengimpikan sesuatu yang indah bersama ‘Puterinya’ itu, tiba-tiba ini pula yang berlaku. Di saat mereka bakal di satukan dua minggu lagi. Hurmm... sekali lagi keluhan berat dilepaskan.

No comments:

Post a Comment