SUZY tidak mampu
menahan ketawa lagi. Membetulkan kedudukan punggungnya diatas sofa. Perutnya
ditekan berkali-kali. Geli hatinya dengan cerita yang disampaikan oleh Aina
Cempaka. Air matanya tidak henti-henti mengalir kerana ketawa yang terlalu
banyak. Terhibur pada malam ini dengan cerita lucu Aina Cempaka setelah berpenat
pulang daripada kerja.
“Itulah
kau...nasib baik tak kena pecat. Kalau tak meloponglah kau.” Suzy menyambung
ketawa lagi.
“Bukan main
suka lagi kau kan? Nanti kalau kena kat batang hidung sendiri baru tau. Masa
tu, aku pulak yang jadi pak gelak. Mmmm… macam mana tu?” pintas Aina Cempaka.
Tidak puas hati.
“Okey,
okey. Aku mintak maaf.Tak tahan la dengar cerita kau ni. Kelakar sangat.”
“Kelakarlah
sangat,” cebik Aina Cempaka.
“Bos kau
mesti handsome kan?” Suzy tersenyum
nakal.
“Handsome macam mana pun tak guna, kalau
tak ada budi bahasa. Aku mengaku... kadang-kadang aku pun terbiadap jugak.
Tapi, tahap kebiadapan dia perhhh... lagi dasyat daripada aku tau. Ingat tak
masa first time aku jumpa dia kat
dalam lif hari tu? Siap jeling aku lagi kot. Lepas tu kat dalam office tadi, pandai pulak dia pulangkan
paku buah keras kat aku. Ajuk gaya aku bercakap. Teruk betul lah!”Aina Cempak
melahirkan rasa tak puas hati. Bengang sungguh.
“Memanglah...dah
kentut bau macam telur tembelang. Siapa yang tak termuntah. Kalaulah aku jadi
dia, aku kuarantinkan je kau ni,” tambah Suzy lagi.
“Ketawalah
kau banyak-banyak. Kalau terburai isi perut kau tu nanti... baru tau,” rungut
Aina Cempaka.
Telefon
bimbit Aina Cempaka berdering diatas meja. Mula tersenyum sebaik sahaja nama
ibunya terpapar pada skrin telefon bimbit sebagai pemanggil. Dapat bersembang
bersama Mak Safiah semalaman pun tak mengapa. Mendengar suara itu sudah cukup
membuatkan Aina Cempaka rasa gembira.
“Maaflah
mak... minggu lni Cempaka tak sempat nak balik kampung. Busy sikit dengan kerja. Inyaallah, hujung bulan ni Cempaka balik
jengguk Mak. Rindu rasanya nak makan buah-buahan kat kampung,” nada suara Aina
Cempaka kedengaran riang. Membaringkan tubuhnya di birai katil.
“Baguslah
kalau macam tu. lagipun sekarang ni memang dah musim buah. Pokok rambutan kat
dusun kita tu nampaknya dah merah. Durian pun dah mula nak luruh.”
“Bestnya…
tak sabar rasanya nak memanjat,” tawa Aina Cempaka.
“Ke situ
pulak perginya. Nanti kalau jatuh siapa nak tolong? Cempaka... kamu tu dah
besar panjang. Dah boleh jadi bini orang dah... tunggu masa je nak kahwin. Ni
calon dah ada ke belum?”
“Apalah mak
ni... Cempaka malaslah nak fikir benda ni semua.” Soalan itulah mahu dihindari
oleh Aina Cempaka.
Kalau
boleh, dia tak mahu Mak Safiah mengungkit lagi perkara ini. Salah ke kalau
orang perempuan tak kahwin? Mengapa perlu nak difikirkan kata-kata orang? Orang
yang tak kahwin itu dia.
Lagipun,
Aina Cempaka bukannya menyusahkan sesiapa. Dia bahagia dengan cara hidup
begini. Jadi, tak salah rasanya jika dia membina kerjaya hidupnya hidupnya
terlebih dahulu.
“Malas,
malas. Itu je jawapannya. Mmmm... mak cuma risaukan kamu je. Sampai bilalah nak
hidup membujang. Nanti kalau mak dah tak ada, siapa yang nak jaga kamu?”
“Mak...
sudahlah tu.” Aina Cempaka cuba mengalih tajuk. Sememangnya dia tidak mahu
persoalan jodoh menjadi perbualan utama antara mereka. Biarlah perbualan kali
ini lebih tertumpu mengenai hal mereka berdua sahaja. Sekali-sekala dapat
mengimbau masa lalu pun bagus juga. Tidaklah Aina Cempaka berasa bosan.
“Kamu ni
kerja tak esok?” tanya Mak Safiah.
“Rasa macam
malas je nak kerja. Tapi nak buat macam mana dah kerja, kan?” jawap Aina
Cempaka sambil ketawa.
“Kerja tu
kenalah ikhlas. Ingat senang ke nak dapat kerja sekarang ni?” bebel Mak Cik
Safiah.
“Iya mak.
Insyaallah Cempaka buat betul-betul. Kali ni Cempaka janji, Cempaka takkan
berhenti kerja sesuka hati lagi,” ikrar Aina Cempaka. Tidak mahu mengulangi
lagi kesilapan yang lalu. Kali ini Aina Cempaka akan berusaha bersungguh-sungguh.
Dia akan pastikan segalanya berjalan dengan lancar. Kuncinya? Haruslah sabar.
Sesungguhnya
Aina Cempaka tahu, ibulah segala-galanya buat dia. Tanpa Mak Safiah tak mungkin
dia akan ada di dunia ini. Jadi, Aina Cempaka akan berusaha menjadi anak yang
terbaik. Tak mahu ingkar kata ibu. Takut nanti tak cium bau syurga.
“Macam
tulah yang mak nak dengar. Okeylah, mak nak letak telefon ni. Nanti jangan lupa
solat isyak pulak ye.”
“Insyaallah,
mak. Assalamualaikum,” jawap Aina Cempaka sebelum memutuskan talian.
Sebaik
sahaja tamat perbualan telefon dengan Mak Safiah, Aina Cempaka merebahkan
tubuhnya ke atas katil. Malam ini dia perlu dapatkan rehat yang secukupnya. Tak
sabar mahu kembali ke pejabat dengan semangat dan cita-cita yang baru.
“MIMPI apa datang
rumah aku malam-malam buta ni?” soal seorang lelaki tua yang duduk berbaring
diatas katil. Wajah tuanya berkerut-kerut merenung wajah Faiz Iqbal. Faiz Iqbal
hanya tenang duduk disisi katil. Memerhatikan pergerakkan pantas tangan seorang
jururawat peribadi mereka yang sedang menyelitkan Wayar-wayar yang bersirat
pada dada orang tua itu.
“Mak Ngah
bagi tau Iqbal yang Tok Wan sesak nafas tadi. Iqbal datang sebab nak jengguk
Tok Wan la ni,” jelas Faiz Iqbal perlahan. Agak kecewa dengan reaksi Tok Wan.
Padahal, dia sanggup datang lewat malam semata-mata hendak menjenguk lelaki
ini. Lain yang diharap, lain pula penghargaan yang diberikan.
“Aku tak
apa-apa,” balasnya. Tidak memandang sekilas pun wajah Faiz Iqbal.
“Tok Wan.
Iqbal datang ni bukannya nak cari gaduh. Apa yang Tok Wan tak puas hati lagi
ni?” bentak Faiz Iqbal.
“Aku dengar
tender kau dengan Datuk Mazlan dah tak jadi. Macam mana kau buat kerja ni?!”
tengking Tok Wan. Tangannya memberikan isyarat supaya jururawat wanita yang
merawatnya itu segera beredar. Meninggalkan dirinya dan Faiz Iqbal berdua di
dalam bilik tidur.
“Iqbal tak
tahu nak jelaskan macam mana. Kebanyakan projek kita habis kena sapu dengan
Kenyalang Properties. Tapi, Tok Wan jangan risau. Semuanya Iqbal dah rancang.
Iqbal yakin, kita pasti dapat balik apa yang dorang rampas tu.”
“Kau yakin?”
agak sinis nada suara Tok Wan. Faiz Iqbal hanya mengangguk. Selama ini, memang
Faiz Iqbal yang menjadi orang kuatnya. Tanpa Faiz Iqbal Ibunda Cooperation
takkan kekal lama. Walaupun, Faiz Iqbal Cuma anak angkat di dalam keluarga ini,
dia merupakan satu-satunya waris yang diharapkan oleh Tok Wan.
“Baik, aku
nak kau buktikan apa yang cakap tu. Jangan pandai buat janji je,” gertak Tok
Wan. Matanya mengerling wajah Faiz Iqbal.
“Kau minum
lagi ke?” soal Tok Wan . Menghidu bau arak yang sangat kuat melekat pada tubuh
Faiz Iqbal. Air wajah Faiz Iqbal mula berubah. Mengangguk menjawab soalan. Tok
Wan melepaskan satu keluhan.
“Dulu kau
kaki perempuan, sekarang kau dah jadi kaki botol pulak. Baguslah! Nanti cepat
sikit masuk hospital. Kalau kau dah jadi macam aku, baru kau tau!” tengking Tok
Wan agak kasar.
“Kalau dah
tak ada apa-apa lagi… Iqbal nak keluar dulu.” Faiz Iqbal segera mengangkat
punggung. Tidak mahu mendengar orang tua dihadapannya itu terus mengarut. Orang
yang bagi nasihat pun tak betul. Ada hati pula nak ingatkan orang lain! Cemuh
hatinya.
“Bagus
sangatlah tu. Nanti bila kau dah buntingkan anak dara orang, baru kau pandai
nak cari aku!” jeritan Tok Wan diabaikan oleh Faiz Iqbal. Menutup pintu bilik
tidur datuknya tanpa berpaling. Bosan!
“Kenapa ni
Iqbal? Suka sangat buat Tok Wan naik darah.” sapa Datin Mariam.Melihat muka
masam mencuka Faiz Iqbal keluar dari pintu bilik.
“Entahlah
Mak Ngah. Sejak kebelakangan ni orang tua tu suka sangat mengungkit hal
lama-lama. Dah naik bernanah telinga Iqbal ni dengar. Sebab tu la Iqbal benci
duduk kat rumah ni.”
“Tak baik
cakap macam tu. Rumah ni, rumah Iqbal jugak. Bila-bila masa je Iqbal boleh
balik. Iqbal dah makan malam ke belum ni? Kalau nak, Mak Ngah boleh suruh Mak
Teh sediakan,” pelawa Datin Mariam.
“Tak apalah
Mak Ngah, Iqbal dah kenyang. Iqbal nak balik ke kondo. Panas duduk kat sini
lama-lama.” Faiz Iqbal melangkah keluar meninggalkan rumah agam milik datuknya.
Datin
Mariam hanya mampu mengeleng-gelengkan kepala. Susah mahu bercakap dengan
manusia yang keras kepala. Faiz Iqbal lebih rela tinggal sendirian. Tak sanggup
hidup terkongkong di rumah ini. Hidup ikut telunjuk Tan Sri Berahim!
SEBAIK sahaja
mengunci pintu rumah, Faiz Iqbal menghempaskan tubuhnya diatas sofa empuk. Lega
setelah dapat bersendirian di ruang tamu. Beberapa tin arak diatas meja yang
baru sahaja dibelinya dalam perjalanan pulang tadi ditenungnya.
Jarinya mula
bermain-main diatas permukaan tin sebelum membuka penutupnya. Meneguk rakus
minuman itu sehingga habis. Beberapa tin arak dihempaskannya ke atas lantai.
Baru puas hatinya. Hilang amarahnya. Mata Faiz Iqbal terlalu berat. Terlalu
berat sehinggakan dia terlena dibirai sofa.
Mimpi
buruknya kembali lagi. Bayangan wanita cantik bertukar hodoh datang menuntut
nyawanya. Faiz Iqbal tersentak. Membuka mata dengan tubuh yang mengigil
ketakutan. Mengerling jam dinding yang sudah menunjukkan hampir pukul 3 pagi.
Dia melangkah lemah dan perlahan menuju ke bilik tidur.
Seperti
biasa, laci meja disisi katil dibuka. Menelan beberapa biji pil penenang. Nafas
kencangnya mula reda. Matanya dipejamkan beberapa kali bersama peluh yang
melimpah didahi. Fikirannya terasa melayang-layang. Cuba mengembalikan memori
lima tahun yang lalu.
PINTU bilik hotel
murah yang disewa oleh Faiz Iqbal diketuk bertalu-talu. Hampir pecah rasanya
gegendang telinga Faiz Iqbal. Dia cuba membuka mata yang berpinar-pinar. Wanita
yang dimenanginya semalam kini hanya berselimut tanpa seurat benang. Pelukan hangat
perempuan itu dileraikan daripada pinggangnya. Faiz Iqbal yang hanya berseluar
pendek itu turun dari katil. Segera membuka pintu hotel tanpa melihat siapakah
gerangan tetamunya.
Sebaik
sahaja pintu dikuak, satu tumbukan padu hinggap dibibirnya. Faiz Iqbal jatuh
terlentang. Percikan darah mengenai tubuhnya yang tidak berbaju.
“Sayang, you tak apa-apa ke?” Wanita yang
berselimut tadi bingkas bangun. Merangkul tubuh Faiz Iqbal.
“Kau ni
siapa, hah? Dah gila ke?!” jerit wanita itu. Lelaki bertubuh kurus-kering itu
mengeluarkan pisau belati yang tersorok dicelah stokingnya. Dia pantas menarik
rambut wanita itu sebelum menamparnya berkali-kali sehingga jatuh pengsan. Faiz
Iqbal cuba melawan. Namun, satu sepakan tepat mengenai celah kelengkangnya. Dia
mengelupur kesakitan.Bagai terkena renjatan eletrik.
“Itu untuk
perempuan-perempuan yang kau kerjakan. Sekarang… ini untuk adik pulak!” jerit
lelaki itu. Satu tikaman pantas menembusi rusuk kiri Faiz Iqbal. Faiz Iqbal
mengerang kepedihan. Darah merah membuak-buak keluar daripada celah isi dagingnya.
“Kau... kau
dah jual dialah…” kata Faiz Iqbal lemah. Luka yang terbuka ditahan dengan tapak
tangan.
“Aku jual
dia untuk kau. Untuk satu malam. Bukannya untuk kawan-kawan kau. Tak guna!”
lelaki itu memijak kesan tikamnya. Faiz Iqbal menjerit kesakitan.
“Lepas kau
kurung dia berhari-hari, kau jual pulak dia pada orang lain. Kau memang tak
guna! Keparat!” Amarah lelaki itu tidak dapat ditahan lagi. Dia menghentakkan
kepala Faiz Iqbal ke lantai. Pandangan mata Faiz Iqbal mula kabur. Antara
nampak tidak nampak.
“Hoi,
Rasyid! Buang pisau tu. Kalau tak aku letupkan kepala kau!” jerkah Black
bersama Ismad di muka pintu bilik hotel. Kedua-dua orang suruhan Faiz Iqbal itu
cuba menyelamatkan keadaan. Rasyid pantas menghalakan pisau ke leher Faiz
Iqbal. Menarik Faiz Iqbal perlahan ke belakang.
“Jangan
dekat.Kalau tak kepala bos korang putus!” ugut Rasyid. Mata pisau belati kini
hampir menembusi batang leher Faiz Iqbal.
“Jadi,
inilah budak-budak kau yang kenduri adik aku ramai-ramai tu...” Rasyid
tersenyum sinis. Memandang wajah Black dan Ismad silih berganti. Emosinya sudah
tak stabil.Separuh gila!
“Kau dah
jual dia la, bodoh! Duit aku dah bagi, apa kau nak lagi?!” jerit Faiz Iqbal.
Cuba bangun berdiri.
“Diam!” Rasyid
memijak lagi kesan tikaman Faiz Iqbal. Faiz Iqbal meraung kesakitan. Mengelupur
macam lembu disembelih.
“Kalau
korang nak bos korang selamat, lempar pistol tu! Sekarang!” arah Rasyid lagi.
Black dan Ismad saling berpandangan.
“Buat je
apa yang dia suruh!”arah Faiz Iqbal. Mereka menurut. Melemparkan pistol
masing-masing ke atas lantai. Bagi mereka, nyawa Faiz Iqbal lebih bererti.
Rasyid tersenyum lebar. Bangga permintaannya berjaya dipenuhi.
Rasyid
mengambil dua pucuk pistol yang dilemparkan. Cuba menghalakan salah satu pucuk
pistol ditangannya kearah mereka berdua. Dia mencari ruang untuk keluar dengan
mengheret tubuh lemah Faiz Iqbal ke muka pintu. Kemudiannnya, menghempaskan
tubuh lelaki itu dengan kasar sebelum lesap melarikan diri.
“Bos, bos
okey tak?” soal Black. Lelaki bertatu dilengan itu menyentuh luka tikaman Faiz
Iqbal yang agak dalam.
“Okey
apanya?! Aku dah nak mati ni,” balas Faiz Iqbal dalam kesakitan.
“Sorry bos. Kita orang lambat sikit je.
Kalau tak, mesti si bedebah tu dah aku kerjakan!” dendam Ismad.
“Aku tak
kira. Korang mesti bawak dia pada aku hidup-hidup. Cari dia sampai ke lubang
cacing! Aku nak cincang dia hidup-hidup,” amarah Faiz Iqbal dengan mukanya yang
agak pucat. Sakit betul hatinya dengan lelaki yang bernama Rasyid itu. 'Emas’
bertukar ‘emas'. Tapi, yang dibalas kepadanya hanyalah kesakitan. Tak guna kau
Rasyid! Maki hatinya.
Beberapa
hari kemudian, tubuh kurus kering Rasyid berjaya juga dihempaskan dihadapan
kaki Faiz Iqbal. Rasyid sudah tidak berdaya lagi. Tersungkur longlai akibat
dibelasah beberapa kali oleh orang suruhan Faiz Iqbal.
Faiz Iqbal
hanya duduk tersenyum sambil menyilangkan kakinya diatas sofa yang buruk dan
kelihatan agak lusuh. Luka hasil tikaman dirusuk kirinya kini hanya dibaluti
dengan sehelai kain putih. Suasana malam dibilik kecil yang sempit dan jauh
dari kediaman manusia itu akan menentukan penamat antara mereka berdua.
“Kita orang
jumpa dia kat sempadan, bos.” Ismad membetulkan kedudukan jaket kulit hitam
yang dipakainya.
“Kau ingat
kau boleh lari ke? Setakat anak ikan bilis macam kau ni senang je nak umpan!”
jerit Black. Menyepak kakinya ke perut Rasyid berkali-kali.
“Sudah, sudah.
Mati pulak budak tu nanti.” Faiz Iqbal cuba menghentikan tindakan Black.
“Kenapa
bos? Baik kita bunuh je budak ni... habis cerita. Tak ada guna simpan penipu ni
lama-lama,” cadang Ismad.
“Betul apa
Ismad cakap, bos. Kita settle kan je
mamat ni,” sokong Black. Menghayunkan lagi satu tendangan ke muka Rasyid.
Rasyid mengelupur kesakitan.
“Aku tak
rasa nak bunuh dia. Sejahat-jahat aku la kan... aku bukannya pembunuh dan aku
takkan jualkan adik aku sendiri untuk bayar hutang. Aku pun tak la kejam
sangat. Cuma...” Faiz Iqbal menyentap kuat rambut Rasyid supaya menatap
matanya.
“Aku nak
kau meringkuk dalam penjara!” sembur Faiz Iqbal tepat ke wajah Rasyid.
“Tak...tak ampunkan
aku. Aku terpaksa...” rayu Rasyid.
“Ampun?!
Kau dah tipu… lesapkan duit aku. Lepas tu kau jual adik kau yang tak guna tu. Lepas
tu apa?! Tikam aku sampai mampus!” herdik Faiz Iqbal.
“Aaa...aku
terpaksa. Aku keliru. Hidup aku hancur... aaa adik aku dah gila. Dia dah mati.
Aku...tak tahu nak buat apa.”
“Adik kau
dah gila ke apa ke? Ada aku kisah?! Itu bukan salah aku. Itu salah kau!” tengking
Faiz Iqbal lagi.
“Tolong...jangan
apa-apakan aku. Aku sanggup buat apa je yang kau suruh.” rayu Rasyid. Nada
suaranya terketar-ketar.
“Apa-apa
je?” soal Faiz Iqbal. Rasyid mengangguk. Faiz Iqbal tergelak besar. Mendekatkan
wajahnya dengan wajah Rasyid.
“Tak.”
balas Faiz Iqbal selamba.
“Tolonglah...jangan
buat aku macam ni. Kau kaya...kau dah banyak duit. Aku akan bayar duit kau
ansur-ansur.”
“Kau ni
memang tak faham bahasa ke?! Aku tak nak duit kau...aku cuma nak kau rasa,
macam mana rasanya kena tikam dari belakang. Pengkhianat!” gertak Faiz Iqbal.
“Black, kau
bawak dia pergi sekarang. Kau buat lah apa-apa, asalkan makhluk ni meringkuk
dalam penjara. Pergi!” arah Faiz Iqbal. Black segera mengheret batang tubuh
Rasyid. Menaiki kereta dan meninggalkan rumah usang yang menjadi markas mereka
dipinggir ibu kota.
“Bos tak
nak tahu pasal adik dia ke?” soal Ismad setelah mengumpulkan tenaga untuk
bersuara. Beberapa minit tadi dia hanya diam, bimbang jika menganggu mood bosnya.
“Kenapa?”
soal Faiz Iqbal. Tubuhnya yang masih lemah itu disandarkan semula di atas sofa
buruk.
“Adik dia
dah mati beberapa hari lepas. Budak tu bunuh diri terjun sungai...”
“Dah tu?
Kau nak salahkan aku?!” jerkah Faiz Iqbal.
“Ta...tak.
Bukan...aku cuma rasa bersalah je bos.” jawap Ismad. Faiz Iqbal terdiam.
“Bos...bos
tak rasa apa-apa ke?” duga Ismad. Sesungguhnya, dia memahami hati budi Faiz
Iqbal.
Ya! Faiz
Iqbal sememangnya seorang kaki perempuan. Namun, tidak pernah pula ada kes
kematian angkara perbuatan kejinya itu. Kebanyakan wanita yang berjaya
ditidurinya adalah atas kehendak mereka sendiri. Berbeza dengan perempuan yang
ini. Dia tidak tahu apa-apa. Naif.
Sebetulnya,
Faiz Iqbal juga agak kabur dengan rupa wajahnya. Mengapalah susah sangat nak
mengingat wajah itu? Fikiran Faiz Iqbal
mula menerawang.
“Bos dengar
tak ni?!” kejut Ismad.
“Dahlah!
Itu bukan masalah aku! Aku tak peduli semua tu. Janji aku dapat balas balik apa
yang si Rasyid tu dah buat. Padan muka dia!” nada suara Faiz Iqbal mula
meninggi.
“Tapi bos.”
“Dah, tak
ada tapi-tapi. Aku nak balik... aku letih.” Faiz Iqbal bingkas bangun.
Terjengkot-jengkot berjalan ke muka pintu.
“Bos nak
aku tolong hantarkan ke?” Ismad memapah Faiz Iqbal berjalan.
“Tak payahah.
Aku ada kaki. Boleh balik sendiri,” balas Faiz Iqbal. Ismad tetap berdegil mahu
memapahnya sehingga masuk ke dalam kereta. Risau dengan keadaan Faiz Iqbal.
Belum pun
sempat Ismad membuka mulut menyambung cakap, Faiz Iqbal sudah terlebih dahulumenghidupkan
enjin kereta. Sudah tak pandang kiri kanan.Terus memecut laju keretanya dan hilang
ditelan kegelapan malam.
Fikiran
Faiz Iqbal kini rasa bercelaru. Meredah suasana hening malam di jalan kecil
yang bersemak-samun dan agak lenggang. Hujan renjai-renjai mula turun. Renjai
dan kemudiannya semakin lebat.
Perasaannya
sekarang, ada puas hati. Gembira atau tidak keruan? Mungkin juga rasa sesuatu.
Namun apa? Rasa bersalah! Tak mungkinlah. Itu semua bukan salah dia. Itu semua salah
si Rasyid. Rasyid yang tak guna! Rasyid yang bunuh adik dia sendiri!
Faiz Iqbal
cuba mengingati raut wajah perempuan itu. Perempuan malang yang menjadi
mangsanya pada malam itu. Ah! semuanya kabur. Bentak Faiz Iqbal. Menghentak
perlahan kepalanya di sisi cermin kereta. Fikirannya buntu. Kalut.
Asyik
mengelamun, dihadapan jalan ada sebatang pokok tumbang. Belum pun sempat dia
mengelak, kereta yang dipandu oleh Faiz Iqbal terbabas keluar dan melanggar
penghadang jalan.
Pandangan
matanya mula malap. Darah merah pekat terasa mengalir didahi dan melimpah
hingga ke pipi. Kepala Faiz Iqbal terasa amat sakit. Lebih sakit daripada ditikam
oleh Rasyid. Dia seperti terawang-awang. Terpejammata dan tidak sedarkan
diri.
TUBUH Faiz Iqbal
kembali mengigil. Masakan dia lupa memori itu. Memori hitam dimana dia
terlantar koma selama seminggu di hospital. Selama seminggu itu jugalah dia
dikejar oleh perempuan-perempuan cantik yang bertukar menjadi hodoh.
Setelah
bangkit daripada koma, hampir setahun dia menghidap kemurungan. Badannya kurus
kering seperti mayat hidup. Hanya mampu bergantung kepada pil-pil hospital.
Seluruh hidupnya musnah! Kerana berkat dan doa ibu saudaranya lah dia mampu
kembali pulih secara perlahan-lahan. Hanya Datin Mariam sahaja yang tahu apa
penyakitnya.
Kini, pil
penenang inilah yang menjadi peneman. Peneman jika jiwanya mula terasa
memberontak. Faiz Iqbal duduk diatas katil sambil memeluk tubuhnya. Badannya
terasa panas. Segera bangun daripada katil dan menuju ke bilik mandi.
Tanpa
melucutkan pakaiannya, Faiz Iqbal terus membuka shower. Membiarkan tubuhnya disirami air. Menikmati kesejukan yang
dianggap mampu melenakan tidur malamnya semula.
No comments:
Post a Comment