DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 21 December 2015

TANYA DIA TENTANG CINTA - BAB 2

BAB 2

PUTERI mengeluh perlahan. Dokumen yang berlambak di atas meja langsung tidak diendahkan. Kepala yang berserabut sejak beberapa hari lepas, semakin sesak dirasakan. Kenapa di saat dia ingin melupakan semuanya, mereka dipertemukan semula? Argh! Serabut! jeritnya perlahan. Kenapa sejak pertemuan itu, wajah Ziyad langsung tak mampu dia hilangkan dari fikirannya?
Ziyad, please get out of my mind!” jeritnya lagi. Rambutnya diraup kasar. Sudah macam orang meroyan saja gayanya.
Ziyad pula sudah seperti hantu asyik mengacau siang dan malamnya sejak mereka bertemu semula. Tengok cermin, nampak muka Ziyad. Pandang tingkap pun, nampak muka beku itu juga. Ziyad ada pakai saka ke asyik mengacau dia tidak kira masa. Hesy!
Anak papa ni kenapa?”
Terdengar suara Encik Syed Rahman menerjah pendengarannya, Puteri terus mendongak.
“Papa…” panggil Puteri perlahan.
Tiba-tiba dia jadi kalut. Janganlah papa dengar apa yang dijeritkannya tadi. Kalau tidak, harus jadi isu. Dia tak nak papa tahu, sebab dia malu. Malu dengan sikap lepas lakunya. Walaupun papa sedia maklum sikapnya yang agak nakal dulu, tetapi apa yang berlaku di antaranya dengan Ziyad sesuatu yang sangat menjelikkan. Dan dia tidak akan pernah lupa. Never!
Encik Syed Rahman memandang puterinya itu tajam.
Puteri kenapa? Berserabai papa tengok ni,” soal Encik Syed Rahman lagi. Kepalanya digelengkan.
Tersedar, rambutnya dikemaskan. Papanya dipandang dengan sengih sumbing di bibir. “Tak... tak ada apa-apa,”  dalih Puteri, menyembunyikan keserabutan yang berselirat dalam kepala.
“Ada apa papa cari Chem?”
Encik Syed Rahman terus duduk di hadapan anak gadisnya itu. Puteri yang sedang berkerut dahi memandangnya itu dipandang tak beriak.
“Bila nak balik rumah?” soal Encik Syed Rahman perlahan.
Puteri mendengus. “Pa, kita dah pernah bincang pasal ni. Tak naklah gaduh lagi dengan papa tentang perkara yang sama.”
“Papa bukan nak cari gaduh, tapi papa bertanya.” Lembut Encik Syed Rahman memujuk. Salah dia juga sampai anak gadisnya yang satu itu keluar dari rumah. Salah dia juga sebab terlalu menyebuk hal anak-anak sampai anak-anak jadi bosan.
“Entah, Chem belum terfikir lagi nak balik,” balas Puteri selamba.
Encik Syed Rahman mengeluh perlahan. “Masih marahkan papa?”
Puteri menggeleng.
“Kalau dah tak marah, baliklah. Berapa lama nak menumpang rumah orang?” pujuk Encik Syed Rahman lagi. Wajah anak gadisnya itu dipandang dengan penuh rasa sayang.
Puteri menghela nafas. Bila mendengar suara sayu papa, rasa kasihan pula. Tapi, dia tak nak nanti kebebasannya disekat lagi macam dulu. Apa nak buat, semua tak boleh. Setiap tindakannya dikawal habis. Mentang-mentang dia anak perempuan bongsu dan anak yang masih belum berumah tangga. Atau, papa masih ragu-ragu dengan perubahan sikapnya? Papa masih tak yakin yang dia betul-betul sudah berubah. Yang dia bukan Puteri Chempaka Emelyn seperti dahulu?
“Tak kesian dengan mama, tinggal sorang-sorang kat rumah?” pujuk Encik Syed Rahman lagi. Nama isterinya dipetik pula. Manalah tahu, tiba-tiba lembut hati anaknya sebaik nama mamanya disebut.
Puteri menghela nafas perlahan. Bila nama mama disebut, memanglah dia kalah. Mahu tak kesian, tapi rindu masakan mama yang lebihnya. Hahaha
“Nantilah, hujung minggu ni Chem balik.”
Mahu tidak mahu, saja dia bersuara. Malas hendak bertegang leher dengan papa lagi. Kalau dulu, harus dia buat keras kepala walau apa pun yang papa perkatakan. Tapi sekarang, dia dah baik sikit sejak Adif selalu bagi ceramah free tak kira masa. Mamat ustaz tak bertauliah tu, membebel mengalahkan nenek kebayan. Selalunya, apa sahaja yang dia buat pasti ada sahaja yang tidak kena di mata lelaki itu. Mengingatkan lelaki itu, tiba-tiba dia tersenyum. Entah ke mana agaknya Adif menghilang. Sudah beberapa hari lelaki itu tidak menghubunginya.
Encik Syed Rahman tersenyum. Akhirnya mengalah juga anak gadisnya itu. Kepalanya dianggukkan perlahan.
Tapi dengan syarat.”
Baru senyum terukir di bibir, tiba-tiba terus hilang semuanya. Encik Syed Rahman memandang anak gadisnya itu semula.
“Syarat apa?” soal Encik Syed Rahman cuak.
“Papa janganlah nak kongkong Chem sangat. Boring tau asyik bertapa kat rumah aje. Lagipun, kalau Chem keluar pun, bukannya Chem merayau tak tentu pasal. Chem keluar dengan Adif dan Zaza atau Hairi. Papa bukannya tak kenal dia orang pun,” balas Puteri memohon simpati.
Encik Syed Rahman tersenyum. Anak gadisnya itu dihampiri. “Papa terima syarat tu. Papa janji papa takkan kongkong hidup Puteri lagi, tapi Puteri kena pandai jaga diri,” akur Encik Syed Rahman. Kepala anak gadisnya itu diusap perlahan.
Puteri tersengih. Pinggang Encik Syed Rahman dipeluk. “Thanks, Pa. Chem janji Chem akan jaga diri,” janji Puteri bersungguh. Dia pun bukan budak-budak lagi. Sudah 24 tahun. Kalau masih berperangai macam budak berumur belasan tahun lagi, memang jenis manusia tak makan samanlah tu! Lagipun, sampai bila dia nak buat keras kepala? Memang sudah sampai masanya pun dia berubah.
Encik Syed Rahman mengangguk perlahan. Memang dia sudah nampak perubahan Puteri sejak anak gadisnya itu kembali dari luar negara beberapa bulan lalu. Dia bukan buta untuk menilai kesungguhan Puteri untuk berubah. Dia akui dulu Puteri bebas, tapi silap dia kerana terlalu memberi kebebasan. Puteri juga lepas laku, itu pun silapnya kerana kurang memberi didikan. Sepatutnya dia bersyukur sekarang kerana Puteri sudah banyak berubah. Setiap tutur katanya juga tidak seperti dulu. Walaupun masih ada kedengaran sedikit kasar, tapi dia tahu anak gadisnya sedang berusaha untuk berubah. Dia tahu itu.



JUS KIWI di atas meja dicapai, kemudian disisip perlahan. Gelas di tangan diletakkan semula ke atas meja. Pandangannya dibuangkan ke hadapan. Memerhati manusia yang sedang lalu-lalang di luar kafe tersebut. Resah yang selama ini hanya berenang-renang di dasar hati, semakin menyesakkan dada. Penyesalan yang menghantui diri, semakin membuatkannya sukar untuk bernafas kini. Keluhan berat dilepaskan. Bukan sekali, tetapi berkali-kali.
“Mohd Ziyad Uzair…”
Nama itu diseru lagi untuk ke sekian kalinya. Sejak pertemuan mereka, nama dan wajah lelaki itu tidak pernah berhenti meniti di bibir dan di ingatannya. Sudah empat tahun berlalu. Ya, empat tahun dan selama itulah dia hidup dalam penyesalan. Walaupun pertemuan itu tidak pernah diharapkan, namun jauh di sudut hati dia selalu berharap agar mereka bertemu suatu hari nanti. Demi satu kemaafan. Ya, kemaafan yang sama ada mampu untuk diraih atau tidak.
“Mohd Ziyad Uzair, dengarlah bahawa aku menyesali setiap apa yang telah berlaku. Mengertilah dan maafkanlah aku,” rintih Puteri dalam hati.
Nafas dihela lagi. Tubuhnya disandarkan ke kerusi semula dengan kedua-dua tangan dipeluk ke tubuh. Fikiran masih jauh menerawang. Entah ke mana perginya.
Sedang leka melayan perasaan, tiba-tiba lamunan Puteri dikejutkan oleh seseorang. Puteri tersentak dan terus berpaling.
“Berangan!” tegur Adif sambil tunjuk sengih. Tidak dipelawa, dia terus saja duduk di hadapan gadis itu.
Geram dengan apa yang dilakukan lelaki itu, Puteri mendengus keras dan mulutnya dicemikkan. Mangkuk ayun betul!
“Amboi tuan Puteri, pagi-pagi dah angin ni apasal? Siapa buat kau, meh cakap kat aku.” Bersungguh Adif bersuara dan dengan sengih tersungging di bibir.
Puteri tarik muka menyampah. Berdrama konon. Boleh blah! Hati masih geram lagi dengan lelaki di hadapannya itu. Dah berhari-hari dia cari, baru tadi lelaki itu dapat dihubungi.
“Janganlah macam ni. Kata nak jumpa aku, tapi buat muka tak sudah macam ni. Tak bestlah,” rungut Adif sambil tangannya diangkat untuk memanggil pelayan.
Pelukan di tubuhnya semakin dikemaskan. Adif dijeling semakin tajam.
“Kenapa susah sangat nak jumpa kau sekarang? Call tak dapat. SMS tak pernah berbalas!” marah Puteri agak kasar.
Padahal, bukan nak marahkan Adif pun, tapi sebab hati dia yang tak tenang, mulalah nak cari salah orang aje. Adif depan mata, jadi Adiflah yang kena.
Adif tunjuk sengih lagi. Semakin lebar dari tadi.
“Kau marah dengan aku rupanya,” ucap Adif selamba. Zip jaket kulit yang tersarung di tubuhnya dibuka dan jaketnya dilonggarkan.
“Aku tanya, kenapa susah nak jumpa kau sekarang?” soal Puteri lagi dengan satu jelingan maut. Geram.
Sorry, Chem. Aku sibuk nak siapkan kertas kerja lately ni. Semalam pun baru balik dari Sabah, ada program motivasi dengan studen dekat sana,” terang Adif bersungguh.
Manalah dia boleh mengelak daripada gadis di hadapannya itu. Kalau mereka tak bertemu beberapa hari pun, hatinya dah resah gelisah, tapi bila tugas mengekang, memang tiada apa yang mampu dibuat.
Puteri terdiam.
“Aku tahulah kau tak boleh tak tengok muka aku ni, tapi janganlah tunjukkan sangat,” sambung Adif lagi dengan tawa halus di bibir. Sengaja mengusik untuk meredakan kemarahan puterinya itu.
Puteri mencebik. “Tak ada maknanya.”
“Dah tu, kalau bukan sebab rindukan aku, buat apa sibuk-sibuk nak jumpa aku?” giat Adif lagi. Semakin suka bila melihat riak Puteri yang begitu.
“Hesy! Susahlah kau ni. Aku ada masalah sikit ni. Eh, bukan sikit, tapi agak besar jugaklah,” luah Puteri resah. Duduknya dibetulkan lagi.
Adif memandang Puteri dengan kerutan di dahi.
“Masalah apa pulak kali ni? Mamat tu masih kejar kau lagi? Masih belum putus asa walau kau dah tolak dia?” soal Adif mula serius. Keningnya dikerutkan. Mulalah panas hati lebih-lebih bila ia berkaitan dengan keselamatan Puteri.
Puteri menggeleng. Jus kiwi tadi dicapai dan disisip lagi.
“Dah tu?”
“Doktor Ziyad.”
Adif tercengang. Bulat matanya memandang Puteri di hadapan. “Jangan kata kau berselisih dengan dia atau terjumpa dia,” telah Adif setelah lama terdiam.
Terkejut beruk dia mendengar nama tersebut tiba-tiba. Dia tahu nama itu seolah-olah mimpi ngeri buat Puteri.
Puteri mengangguk.
Melihat anggukkan Puteri, Adif terus melepaskan keluhan. Kepalanya digelengkan. “This is disaster!”
Puteri terus mendongak. Adif dipandang dengan riak kehairanan. “Kenapa pulak kau cakap macam tu?”
“Yalah, kalau dah bertemu semula tu, faham-faham ajelah. Mamat tu mesti masih simpan dendam dengan kau.”
“Tak mungkin kut,” balas Puteri cuak.
“Chem, perkara yang kau buat dulu tu bukan perkara kecil tau. Kalau aku jadi dia, sampai mati aku takkan maafkan kau. Silap hari bulan, kalau aku jumpa kau balik, aku simbah muka kau dengan asid. Biar padan muka kau. Biar tak ada siapa nak kat kau lagi,” ucap Adif beria.
Puteri memandang Adif tajam. Berkerut-kerut keningnya menunjukkan rasa tidak puas hati.
“Kau ni melepaskan cakap tu macam benda tu aku buat kat kau pulak!” marah Puteri.
“Kan aku mention, itu kalau aku. Contoh. Aku bagi contoh tu,” balas Adif sambil tergelak. Melihat riak cuak Puteri geli hati pula dia dibuatnya.
Puteri mendengus. Dalam hati ada juga terbit rasa risau. Hisy, mahu tak risau kalau betul seperti apa yang Adif katakan. Ngeri pun ada bila fikir. Nauzubillahiminzalik! Kalau muka cantik bertukar jadi hodoh, memang betul macam yang Adif beritahu. Itu memang disaster! Tak kahwinlah dia sampai tua. Uwaaa! Sadis!
“Okey, kita lupakan pasal perkara mengarut yang belum terjadi tu lagi. So, sekarang kau cerita kat aku apa yang berlaku.” Tenang Adif bersuara, cuba meredakan perasaan rawan di hati sahabatnya itu.
Tengok muka Puteri saja dia tahu macam mana huru-hara jiwa dan raga gadis itu. Itulah, dulu poyo sangat, sekarang tanggunglah sendiri!
Puteri mendongak. Dia pun mula bercerita tentang pertemuan tersebut. Dari awal hingga akhir. Satu pun tidak tertinggal.
Adif terdiam. Lama. Puteri juga begitu.
“Kau rasa dia masih marahkan kau lagi ke?” soal Adif tiba-tiba. Gadis di hadapannya itu dipandang lagi.
Puteri mengeluh perlahan. Bukan setakat marah, mesti Mohd Ziyad Uzair begitu membenci dirinya. Itu sudah pasti. Melihat daripada layanan Ziyad saja, dia tahu. Kalau boleh ditelan, tentu malam itu sudah ditelannya hidup-hidup. Ngeri tengok air muka Ziyad malam itu.
“Dia mesti benci aku sangat-sangat,” balas Puteri perlahan.
“Kenapa dah jumpa, tak minta maaf dari dia?” soal Adif lembut.
“Aku malulah Dif,”
“Kenapa nak malu?”
Puteri resah. Pandangannya dibuang jauh. “Aku malu nak jumpa dia setelah apa yang aku lakukan dulu. Aku takut dia tak terima maaf aku.”
“Belum cuba, belum tahu Chem. Dengar sini, ada sebuah hadis yang bermaksud, ‘Bila engkau meminta sesuatu, mintalah kepada Allah dan bila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah’, hadis riwayat Tirmidzi. Jadi, minta pada Allah, Chem. Mohon pada Allah semoga dilembutkan hati Ziyad untuk menerima maaf kau. Kau memang salah. Apa yang kau buat memang satu kesalahan. Selagi kau tak minta maaf pada dia, selagi itu dosa kau tak terampun. Tak takut kau kena cari dia di akhirat nanti semata-mata nak minta maaf sedangkan sekarang kau boleh buat semua tu? Dah tentu-tentu senang nak jumpa kat dunia, buat apa nak tunggu kat akhirat nanti?” Panjang lebar Adif menasihatkan.
Puteri mengeluh perlahan. Mukanya diraup dengan kedua-dua belah tangan. Sesak. Memang dia sedang sesak memikirkan dosanya dengan Ziyad. Entah terampun entah tidak.
“Aku bukan nak menyerabutkan kau, tapi aku nak mengingatkan kau. Kalau kau tak berani pergi sorang jumpa dia, aku boleh temankan. Apa guna kawan kan kalau benda kecil macam ni pun tak boleh nak tolong,”
Puteri menggeleng perlahan. “Masalah ini aku yang timbulkan, jadi aku akan selesaikan sendiri. Aku cuma perlukan kekuatan untuk berdepan dengan dia. Itu saja.”
Adif tersenyum. “Aku tahu kau boleh. Kau kan Puteri Chempaka Emelyn. Kesayangan aku.”
Mendengarkan kata-kata Adif tadi, Puteri turut tersenyum. Kalaulah dia tidak kenal Adif tiga tahun lepas, tentu dia masih seperti dulu. Masih seorang Puteri Chempaka Emelyn yang liar. Pertemuan di Champ Elysee semasa cuti semester dua tahun lalu, sentiasa segar dalam ingatannya. Bukan main teruk lagi dia memaki Adif hanya kerana botol minyak wangi Channel 5 yang baru dibelinya jatuh berderai gara-gara dilanggar lelaki itu.
Namun, Adif tetap tenang dan bersahaja. Walau bagaimanapun diluahkan kata-kata makian, Adif tetap tersenyum tenang. Ketenangannya itulah yang membuat Puteri malu. Sejak itu mereka kerap berhubungan. Adif banyak mengajarnya mengawal kemarahan dan sejak itu sedikit demi sedikit, dia berubah walau bukan sepenuhnya. Sekali dia leka, Adif tak jemu mengingatkan. Bila dia mula tersungkur, Adif tak lokek menghulurkan tangan memberi bantuan.
Puteri menghela nafas perlahan. Kau pun kesayangan aku Dif, bisiknya dalam hati.

No comments:

Post a Comment