DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 July 2016

Jodoh Sebelah Pintu - Bab 11

“AIRA, awak okey ke tak ni?” Soalnya cemas di
hujung talian apabila aku langsung tidak bersuara.
Terkejut sangat. Aku sudah berpeluh-peluh. Malu betul
bila salah sergah orang. Betul ke dia bakal encik tunangku?
Kenapa aku rasa macam pernah dengar saja suara lelaki ini?
Garau?
Suara Irfan agak garau! Gulp! Mungkinkah dia? Dia
seorang doktor dan juga bernama Mirul. Bad? Kureng garau
daripada Irfan dan pemanggil. Bukan! Bukan suara Bad! Suara
Bad tak garau dan seksi meskipun badan dia seksi. Eh?
Gatalnya aku.
Amirul Rashid, a.k.a Alang? Entah? Tak ingat pula
bagaimana suara dia. Kenapa tiba-tiba terfikirkan semua
jiran aku ni? Eeii! Gila apa? Bukannya seorang dua saja
lelaki bersuara garau. Bukan juga seorang dua sahaja lelaki
bernama Amirul yang menjadi doktor. Ramai, kan? Jadi
tak mungkin jiran aku. Dunia ini tidak kecillah, Mona! Tak
mungkin mereka...
“Saya minta maaf. Tadi saya betul-betul ingat abah
saya yang bergurau sebab dulu dia pernah menyamar...
Situasinya macam ni juga! Sama, sebiji, serupa tak berbeza.”
Kalut aku meminta maaf atas kebiadabanku yang
langsung tidak memberi salam malah terus menyergahnya.
Sudahlah aku menyembur dia dengan ayat yang bukan main
‘ganas’ lagi. Kasihan betul! Kedengaran suara dia tergelak
kecil di hujung talian.
“Saya tahu, saya dah dengar bebelan awak tadi. Bila
awak tuduh saya ni abah awak, I just can’t stop laughing.
Abah awak memang brutal betul ya?” Soalnya dan seketika
kemudian, terkekeh-kekeh gelak.
“Kenapa cakap abah saya macam tu?” Soalku pelik.
Brutal? Apa dia ingat aku tak marah ke, bila dia
kata abah aku brutal tak bersebab begini?
“Sebab... Itu hari saya jumpa abah awak. Dan dia...
Dia... Ya Allah!” Dia tergagap-gagap seketika dan kemudian
tergelak sakan.
Aku berkerut sakan. Apa yang kelakar sangat ni?
Tak faham betul aku. Apa yang kelakarnya???
“Sekejap, beri saya lima minit untuk gelak dulu.
Saya tak tahan betul bila ingat semula, Ya Allah!” Dia
meminta masa.
Lima minit? Kalau dia yang telefon aku, aku boleh
bagi masa tu. Tapi sekarang, kredit aku! Lima minit ye?
Erm... tak sampai seringgit. Okey, bolehlah.
“Okey.” Aku bersetuju selepas menghitung kredit
yang bakal melayang dalam masa lima minit itu.
Dia tergelak selepas diberi masa. Berdekah-dekah
sehinggakan aku yang tak tahu apa-apa ini pun tergelak
sama. Kelakar sangat dengar cara dia gelak! Macam dah
setahun tak gelak. Macam Irfan gelak pun ada gaya. Eh?
Tak habis-habis lagi fikirkan jiran aku? Apa pasal dengan
aku ni?
“Kenapa awak gelak, Aira?” Soalnya selepas puas gelak.
Aku melihat jam. Tak sampai limat minit pun lagi.
Potong stim betul! Aku pelik. Ha’ah, kan? Kenapa mesti aku
gelak juga sedangkan aku tak tahu apa cerita yang ingin
disampaikan olehnya? Ya Allah! Aku memalukan diri sendiri
betullah!
“Dah awak gelak, saya pun gelaklah!” Aku berkata
jujur.
Dia tergelak lagi. Aku tersenyum. Cara dia gelak
macam arwah Fareez! Happy sangat... Tiba-tiba hatiku macam
tumbuh bunga pula. Dia macam Fareez. Happy-go-lucky.
Untuk perkenalan pertamalah.
“Saya gelak sebab saya dah jumpa abah awak.
Sumpah! Saya cadangkan abah awak masuk Maharaja Lawak.
Confirm menang!” Dia berkata dan tergelak lagi.
Aku terpinga-pinga. Kenapa dengan abah? Apa yang
abah aku dah buat sehingga dia bagi cadangan begitu? Apa
yang abah dah buat sampai dia begitu yakin yang abah
boleh menang dalam Maharaja Lawak tu? Aku dah mula
lost. Dia pernah jumpa abah aku. Ya, aku tahu tu! Tapi...
Apa yang abah dah cakap kat dia sampaikan dia tergelak
sebegini rupa?
“Kenapa dengan abah?” Soalku pelik.
“Itulah orang pertama yang buat abah saya yang
serius gila tu tergelak. Terima kasih untuk abah awak.”
Ujarnya sambil tergelak kecil.
Aku ternganga. Abah! Biar betul?! Tapi orang gila
sahaja yang tak gelak bila bercakap dengan abah. Tapi
jangan ingat abah aku tak garang... Dalam banyak mainmain
abah aku tu, sekali dia serius, boleh makan hati
bertahun-tahun. Silap-silap hari bulan bukan setakat hati,
dengan jantung-jantung sekali termakan sama.
“Saya tahu awak tak faham kata-kata saya. Tapi
saya nak awak ucap terima kasih kat abah awak. Sebab
dia, abah saya yang serius tu dah tahu cara nak senyum.
Abah awak kelakar sangat, Aira. Kakak saya berulang-alik ke
tandas jasa lawak abah awak. Mesti awak selalu kena sakat
dengan dia kan?” Soal bakal tunangku itu.
“Hehehe, itu perkara biasa. Abah memang macam
tu. Kelakar dan suka mengenakan orang. Err. Awak nak saya
panggil awak apa ni? Mirul ke Alang?” Soalku. Dia tergelak
lagi. Entah apa yang lucu pun aku tak tahu. Dia ni memang
kuat gelak. Itu yang pasti.
“Awak pilihlah nak panggil saya Alang ke Abang...”
Leretnya.
Serius. Bulu romaku merinding. Aku bagi dua pilihan
iaitu Alang dan Mirul saja. Abang tu tak masuk senarai pun.
Gatal rupa-rupanya dia ni...
“Eee!” Aku mendengus.
“Hehehe. Pilihlah. Tapi tolong jangan panggil saya
Mirul! Saya perlukan nama lain selain daripada nama tu.”
Dia berkata. Aku terdiam. Tak suka dipanggil Mirul, atas
alasan apa?
“Kenapa tak nak dipanggil Mirul?” Soalku.
“Awak tak rasa ke nama tu hanya ada pada nama
budak-budak saja sekarang ni?” Soalnya.
Aku tergelak kecil. Ya tak ya juga. Anak murid dalam
kelasku seramai tiga orang bernama Amirul! Dalam sekolah
pula, hampir empat puluh pelajar dari darjah satu hingga
enam yang bernama Amirul! Dahsyat! Setiap kelas ada nama
Amirul. Nama kegemaran ibu bapa agaknya.
“Kalau saya panggil awak Alang, okey? Tak rasa
macam kurang ajar ke?” Soalku teragak-agak.
Yalah, kalau aku panggil dia dengan panggilan Alang
tu, nampak macam dah kenal lama saja padahal dia bakal
tunang yang aku baru kenal hari ini.
“Tak pun... Okeylah tu. Boleh praktis dari awal. Hujung
minggu ni awak dah jadi tunangan saya. Alang dengan Abang
tu tak jauh beza pun sebutannya. Lepas kahwin nanti dah
boleh tukar huruf ‘L’ tu jadi huruf ‘B’. Ya tak?” Soalnya
sambil tergelak kecil.
Aku mendengus. Dia pun geng abah! Suka menyakat...
“Awak pernah tengok muka saya ke?” Soalku tanpa
menghiraukan kata-kata nakalnya itu. Kalau dilayan nanti
makin menjadi-jadi pula dia. Lelaki kan?
“Belum pernah. Tapi jujur saya cakap, saya tak
memandang rupa. Sebenarnya saya ni tak adalah terdesak
mana pun nak kahwin. Tapi saya memang nak kahwin sebab
rasanya dah sampai masa saya! Hehehe. Lebih-lebih lagi
bila saya dapat tahu kisah awak. Saya rasa kita menyimpan
duka yang sama. Cuma bezanya, awak kehilangan dia selamalamanya
dan saya pulak kehilangan dia tetapi masih mampu
melihat dia... Dan saya memilih untuk melihatnya bahagia.
Memeritkan... Betul tak? Tapi sekarang, alhamdulillah. Dah
tak ada rasa apa lagi dah.” Ujarnya mula berentak syahdu.
Aku berdeham.
“Ala, tak naklah ungkit cerita tu. Awak buat saya sebak
aje. Awak, saya call malam sikit boleh?” Aku mula berasa tidak
selesa untuk bercakap dalam telefon di tempat awam begini.
Payah nak menyiasat, payah nak menggatal. Kihkihkih!!
“La... Kenapa?” Soal dia sedikit kecewa.
“Saya ada hal ni. Agak pentinglah.” Aku terpaksa
berbohong kepadanya.
Hendak mengaku yang aku sedang berjoging?
Gulp! Tak naklah aku... Malulah aku. Tentu dia fikir aku
sedang beria-ia nak kuruskan badan. Padahal, aku termakan
dengan pujuk rayu si Julia ni. Tentu dia fikir yang aku ini
perempuan gemuk dan kemudian, terus dia nak batalkan
niatnya untuk mengenali aku. Lelaki zaman sekarang ini,
bukannya boleh percaya. Asal gemuk sikit, tak nak terus.
Asal tak lawa aje, terus reject. Tak faham betul aku kenapa
mesti ada yang memilih rupa sedangkan yang patut diambil
berat ialah hati dan budi.
“Oh, tak apa. Malam ni saya yang call awak. Jimat
sikit kredit awak.” Ujarnya. Aku angguk. Menyedari dia tidak
melihat anggukanku, aku membalas.
“Baik awak. Terima kasih.” Aku berkata.
“Sama-sama, take care. Assalamualaikum...” Dia
memberi salam.
“Waalaikumussalam.” Aku mematikan panggilan. Lega.
Tapi kenapa bila dah lega, jantung masih berdegup kencang
ni???
“MONA, JOM balik.” Ajak Julia dengan senyuman lebar.
Dah puas bercakap dengan Taufiq agaknya. Taufiq
aku pandang sekilas. Patutlah nak balik! Orang tu pimpin
tangan anaknya. Gaya macam nak balik juga. Hailah Julia!
Gatal betul. Kelakar sangat kawan aku yang seorang ni. Serius
kelakar!
“Jom.” Aku menggamit lengan Julia.
Senyuman tiba-tiba terukir. Teringat kepada si
pemanggil tadi. Hati berbunga-bunga pula. Belum pun berbual
lama. Tapi rasa macam dah lama kenal. Dia berborak
denganku tanpa rasa kekok. Tapi ada sesetengah orang
memang juara bercakap dalam telefon. Bila berhadapan, diam
tak berkutik pula. Akulah daripada spesies itu.
“Aku perasan kau ada bercakap dalam telefon tadi.
Kau bercakap dengan siapa?” Soal Julia separuh berbisik lantas
menyenggol lenganku.
Aku tersenyum. Macam tak percaya sahaja aku
bercakap dengan bakal tunang aku. Itupun kalau jadilah.
“Mak.” Jawabku. Tipu sunat tak mengapa. Hehehe.
Sengaja aku hendak merahsiakan daripada si Julia
ini mengenai Alang, bakal tunanganku. Nanti satu kampung
dia cerita. Macamlah aku tak kenal si Julia ini bagaimana
orangnya. Kepoh. Suka sangat bercerita. Aku pula jenis yang
agak berahsia. Selagi tak sahih, selagi itulah aku malas nak
buka cerita. Bimbang tak jadi bertunang. Nanti mulalah
aku juga yang malu muka.
“Mak kau cakap apa?” Soal Julia. Eleh, aku tahu dia
bukannya nak ambil tahu sangat pun tentang aku. Sekadar
nak berbasa-basi saja.
“Cakap pasal bakal tunang aku nanti kononnya.”
Bohongku lagi. Dia bersorak senang.
“Tak lama lagilah tu...” Julia berkata senang hati.
Senang hati sebab dia bimbang aku curi Taufiq dia agaknya.
“Kakak, kakak.” Panggil satu suara kecil. Aku dan
Julia sama-sama berpaling memandang si kecil di belakang
kami.
“Panggil Auntylah, Ema sayang. Aunty ni dah tua,
tak layak bergelar kakak buat Ema...” Julia berbahasa sambil
ikut memimpin tangan Ema. Cis. Nak muntahnya aku rasa!
Hipokrit sungguh Julia ni.
Setahu aku, Julia paling menyampah kalau ada
budak kecil yang panggil dia AUNTY! Memang dia marah!
Tapi hari ini, aku tidak silap dengar lagi rasanya. Siap dia
yang mengarahkan Ema memanggilnya Aunty! Sungguh aku
tak percaya!
Meluat aku melihat adegan pimpin berpimpin ni. Rasa
nak bernanah biji mata hitam aku. Taufiq hanya tersenyum
sahaja sementara sebelah tangannya menyeluk kocek seluar
dan sebelah lagi masih setia memimpin tangan si anak
kesayangan.
Serius, Taufiq ni memang ada aura yang kuat. Jambang
nipis yang menghiasi wajahnya memang mencairkan betul.
Paling aku suka, tang mata dia. Redupnya! Antara jiranjiranku,
dialah yang paling handsome. Patutlah Julia angau
gila. Seronok betul cuci mata bila dapat jiran yang kacakkacak
begini. Bagai di alam mimpi pun, ya juga. Wehehehe!
Muka dia... Lain benar dengan adiknya yang biasa-biasa tu.
Tidaklah nampak macam berusia.
Kalau dia kata umurnya dua puluh tujuh atau dua
puluh lapan, memang ramai yang percaya. Aku pun percaya.
Tapi, takkanlah dia kahwin muda pulak ya? Mungkin umur
sebenar dia dalam tiga puluh tiga ke atas? Malas aku nak
ambil tahu pasal umur dia. Aku boleh buat apa? Aku berjalan
di hadapan manakala Julia dan Taufiq beriringan.
“Aunty, umur aunty berapa?” Soal Ema.
Patuh budak ni. Julia lagi muda daripada aku. Kalau
Julia yang kononnya ‘tua’ itu dipanggil aunty, aku? Nenekkah?
Ah! Berapa tahunlah sangat beza usia aku dengan Julia.
“Umur aunty baru... Dua puluh enam.” Jawab Julia.
Meluat aku bila dia sengaja leretkan perkataan ‘baru’ itu.
Sengaja nak bagi Taufiq pasang telingalah tu.
“Oh! Muda lagi. Umur aunty sama dengan arwah
mama, kan papa?” Soal si kecil. Suasana diam seketika.
“Erk, ha. Sama dengan arwah mama.” Ujar Taufiq
tergagap-gagap.
“Ha? Mudanya arwah mama Ema.” Julia terkejut.
Aku lagilah terkejut, Taufiq menduda sebab ditinggal bekas
isterinya buat selama-lamanya. Bukan bercerai hidup.
Kasihannya Ema... Kehilangan kasih sayang seorang
ibu. Simpatinya aku pada nasib Ema. Memang patutlah anak
kecil itu disayangi Taufiq sesungguhnya. Sesekali mataku
ternampak dia mengucup pipi anaknya sewaktu di taman
tadi. Terharu sebenarnya rasa hati bila melihat lelaki
penyayang seperti ini. Tentu dia tak mahu Ema rasa ‘kurang’
kasih sayang. Oh tuhan! Kagum aku dengan Taufiq.
“Ha’ah. Kami kahwin muda. Umur dia dua puluh
tahun waktu tu. Saya pulak baru dua puluh tiga.” cerita
Taufiq dengan suara yang tenang.
Awalnya dia kahwin! Ada duit ke nak kahwin awalawal?
Macam-macamlah! Aku mencongak-congak umur si
Taufiq sekarang. Baru dua puluh sembilan?!! DUA PULUH
SEMBILAN?! Mudanyaaa! Kiranya jiran sebelah aku yang
dua ekor beruang tu mungkin sebaya dia sahaja. Maknanya,
mereka bujang terlajak? Atau aku sendiri? Heehehehe. Fikirkan
umur orang, umur sendiri pun lebih kurang juga.
“Oh, sorry pasal arwah isteri Abang Taufiq. Jue tak
tahu.” Julia tergagap-gagap.
“Eh, tak apa. Bukan salah Jue pun dia pergi. Dah
sampai masa dia. Kalau salah Jue, harus juga Jue minta
maaf. Hehehe. Dah lama dah. Lepas lahirkan si Ema ni lima
tahun lepas, dia pergi.” Ujar Taufiq pula dengan nada parau.
Aku yang di hadapan ini terangguk-angguk. Ruparupanya...
Begitu kisah dia. Kasihannya. Lima tahun berlalu.
Dia masih menduda. Tentu dia tersangat cintakan arwah
isterinya sehingga tidak mencari pengganti.
Eh?! Aku curi dengar perbualan orang? Sejak bila
pula aku bersekongkol dengan Bad ni? Tadi aku tuduh dia
yang mencuri dengar perbualan orang. Sekarang, aku pun
sama sekaki!
“Sorry...” Julia nampaknya masih dengan rasa bersalah
dia. Kasihan Ema. Itu sahaja yang aku boleh komen. Kasihan
sangat.
“Tak ada apalah, Jue. Yang pasti, Ema tak kesunyian
kan, sayang?” Soal Taufiq.
“Ya! Ema ada papa, ada babah, ada daddy, ada umi.”
Ujar Ema teruja.
“Umi?!! Siapa pulak tu?” Kuat soalan Julia menyebabkan
aku berpaling memandangnya.
Aku menjegilkan mata mengisyaratkan ‘kau tak patut
sibuk ambil tahu hal tepi kain orang!’. Julia pula bagaikan
tersedar. Ditepuk mulutnya berkali-kali apabila Taufiq dan
Ema memandangnya dengan muka pelik.
“Maksud saya... Err... Babah tu siapa? Daddy tu
siapa?” Soal Julia tergagap-gagap selepas soalan pertamanya
menampakkan bahawa dia begitu terkejut dengan kewujudan
nama ‘umi’ itu. Tentu Julia fikir dia sudah tidak ada
chance! Nampaknya Ema sudah ada ibu baru rupa-rupanya.
Kasihan Julia.
“Babah tu grandpa dia. Daddy tu memang dia panggil
si Rashid macam tu. Umi pula neneknya.” Terang Taufiq tanpa
syak.
“Alhamdulillah... Ya Allah!” Suara Julia mensyukuri
‘nikmat’ itu agak kuat.
Tahulah lega si Taufiq masih belum berpengganti,
tapi janganlah nampak sangat! Nak saja aku sental mulut
dia dengan berus sabut. Ya Allah, malu aku dibuatnya.
“Kenapa Jue?” Soal Taufiq pelik.
“Eh? Hah?” Soal Julia terkejut.
“Kenapa ucap alhamdulillah tiba-tiba?” Soal Taufiq
pelik. Aku telan senyum. Masaklah kau Julia! Over sangat siapa
suruh?!
“Oh! Erk. Ni ha! Mujurlah si Ema ni ada ramai yang
sayang. Ada umi lagi, babah lagi... si daddy lagi. Alhamdulillah
ada ramai yang sayangkan dia.” Ujar Julia.
Aku ternganga. Kagum dengan jawapan spontan
daripada Julia. Wah, mudah dia mencari alasan bagi menutup
keterujaannya tadi. Kagum aku! Kalau aku di tempatnya,
mahu mati berdiri aku mencari alasan.
“Itulah. Daddy suruh papa cari mama baru untuk
Ema.” Cerita kanak-kanak itu.
Aku ketap bibir. Entah apalah reaksi Julia sekarang?
Menyesal pula aku berjalan di depan! Tak dapat nak tengok
muka Julia. Mesti macam orang tertelan batu. Hahaha.
“Isy! Ema ni! Jangan ceritalah kat orang. Malulah
papa. Nampak sangat papa ni tak laku.” Taufiq berkata lantas
tergelak kecil. Julia ikut tergelak. Gelak bahagia dengarnya.
Untunglah Julia. Aku bakal bertunang tak lama lagi, janganjangan
kau mendahului...
“Okeylah tu. Aunty doakan Ema dapat mama baru.
Yang cantik, baik, lemah lembut dan sopan. Paling penting,
dia sayangkan Ema macam aunty sayang pada Ema.” Ujar
Julia selepas gelak.
Aku dah buat muka meluat di depan. Nak kata kau
ada semua ciri-ciri itu ke Julia?! Werk! Aku tahu sangat,
Julia dah masukkan nama dia sendiri dalam calon mama
baru Ema. Tak payah dicalonkan pun...
“Hesy! Merepek aje.” Taufiq berkata sambil tergelak
kecil.
“Err, ni kawan serumah awak kan?” Soal dia.
“Ha’ah. Mona namanya.” Julia memperkenalkan aku
kepada Taufiq. Aku berpaling. Dia tersenyum. Aku membalas
senyumannya.
“Hai, Mona.” Dia berhai dengan aku. Aku tersenyum
dan mengangguk.
“Hai.” Sapaku lantas kembali menghadap jalan,
membelakangi mereka.
“Mona kerja sama dengan Jue ke?” Soal dia. Aku
tak pasti sama ada soalan itu untukku atau untuk Julia.
Tapi aku tahu, Julia akan membalasnya. Julia kan tak suka
kalau aku berbual dengan crushnya?
“Sama kerja. Tapi Mona mengajar dekat sekolah
rendah.” Ujar Julia ramah. Aku dah kata. Julia akan menjawab
soalan Taufiq.
Kami sudah pun berada di kawasan rumah. Aku dan
Julia sudah masuk ke dalam pagar. Taufiq dan Ema juga.
Lama juga Julia dan Taufiq ni berbual kan?
“Oh! Untunglah, dua-dua cikgu. Senang Ema nak
belajar nanti.” Seloroh Taufiq.
Aku dan Julia tergelak serentak. Boleh saja. Bukannya
payah nak mengajar budak kecil. Kalau besar sikit, macam
anak saudara si Bad dan Irfan ni, harus juga payah! Dengan
tak dengar kata lagi. Huhu. Sakit jiwa!
Eh? Irfan dah ada? Habislah aku! Bad dah ada
geng kat sini. Bonet depan kereta Irfan terbuka. Nampaknya
mereka sedang melakukan kerja-kerja servis. Haraplah mereka
buat tak tahu saja pada kami ni.
“Awak carilah cikgu sorang buat bini. Hari-hari boleh
mengajar anak awak.” Aku berkata sambil tersenyum. Taufiq
tersengih.
“Awak nak ke?” Soalnya. Selepas itu tergelak. Air muka
Julia sudah berubah.
“Tak boleh, dia kami punya.” Irfan menyampuk!
Kemudian dia dan Bad tergelak-gelak. Kami? Mata aku
mencerun memandang dua badut yang tersengih itu. Memberi
amaran bahawa, tolong jangan menyampuk dan tolong jangan
mengaku aku korang yang punya!
“Jangan ambil akak Fashionista akuuuu!” Bad terjerit
pedih. Aku ternganga. Teruknya!
“Irfan, Bad! Jangan nak menyibuk boleh tak?!” Aku
menjerkah kuat. Mereka tergelak sahaja. Tiada rasa gerun!
“Dia tak nak punya. Dia dah nak bertunang tak
lama lagi.” Julia pula bersuara sinis. Mukanya merah. Aku
terlopong.
Julia! Benda tu belum tentu jadilah! Aku rasa nak
menangis. Kalau aku sudah bertunang pun aku tak mahu
kecoh-kecoh! Takut... Benda tu tak jadi macam kes aku
dengan Fareez dulu. Kenapa Julia tergamak cerita benda
tak sahih lagi ni pada orang ramai?! Takkanlah sebab nak
dapatkan perhatian daripada Taufiq? Taufiq hanya bergurau
tadi kan? Semua mata memandangku. Oh! Amirul Rashid
pun ada sekali. Mereka semua memandangku tidak percaya.
Spanar di tangan Irfan terjatuh ke lantai. Bad di sebelahnya
ternganga.
“Betul ke Mona?” Soal Irfan ternganga. Mata aku
sudah berkaca. Sampai hati Julia.
“Betul. Mak dia dah telefon tadi berbincang pasal
tu. Mak abah dia yang jodohkan dengan lelaki tu sebab dia
yang suruh. Dia dah malas fikir soal jodoh katanya.” Julia
tanpa rasa bersalah menyampuk.
Aku cengkam jemariku kuat. Tangan, janganlah
melayang ke pipi Julia. Tolonglah jangan melayang ke pipi
Julia! Tolonglah! Dia menjaja cerita aku sesuka hati. Aku ini
suka berahsia orangnya. Benda ni tak ada faedah pun kalau
beritahu orang! Aku malu! Malu sungguh! Kalau tak jadi
macam mana dengan air muka aku nanti?
“Ah! Habislah! Lepas ni aku dah tak ada Kak
Fashionista!” Bad menggaru-garu kepalanya yang serabut.
Ah! Kenapa dengan Bad ni? Aku tengah sakit hati, boleh dia
bergurau macam ini?
Muka Irfan pula... Entahlah. Aku tak tahu nak
kategorikan dalam kategori apa. Berkeronyot. Serabut.
Hampa. Terkejut. Macam semuanya adalah! Amirul Rashid
pula ternganga luas. Air mataku tumpah juga setitis apabila
melihat riak semua orang macam nampak beruk berupa
manusia. Semua senyap. Keadaan sangat kekok. Bad menutup
mulutnya apabila melihat aku sudah menitiskan air mata.
“Julia. Jajalah lagi cerita tentang aku. Beritahu
mereka, aku nak bertunang dengan siapa, bila, kenapa? Di
mana... Atas alasan apa...” Aku berkata pedih lantas masuk
ke dalam rumah. Air muka Julia berubah bila aku berkata
begitu.
“Mona...” Panggilnya lembut. Aku tetap berjalan. Rasa
tak mahu bercakap langsung dengan dia.

No comments:

Post a Comment