DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 July 2016

Sesuci Cinta Qaseh - Bab 4

BUNYI muzik yang kuat berdentam-dentum di
sebuah kelab malam yang terkemuka di ibu kota itu begitu
membingitkan telinga. Namun bunyi bingit itu langsung tidak
dirasai pengunjung-pengunjungnya yang rata-rata sedang
ligat menari. Mereka begitu seronok dengan kebingitan itu,
menari meliuk lentok mengikut bunyi alunan muzik yang
sedang rancak dimainkan.
Harith duduk termangu di meja sambil menikmati
minuman Coca-Cola yang dipesannya tadi. Kekasihnya Bella,
kelihatan begitu ligat di pentas tari. Entah kenapa malam
itu moodnya untuk menari tidak ada, terbang entah ke
mana. Kepalanya sedang berserabut sekarang. Sesak dengan
persoalan yang telah dibangkitkan oleh datuknya di pejabat
siang tadi.
Datuknya, Tan Sri Musa telah memberikan kata dua
kepadanya. Berkahwin ataupun semua harta akan berpindah
milik kepada badan kebajikan. Arrghh!!! Masakan dia boleh
hidup tanpa harta-harta datuknya.
Harith Haikal, semenjak kecil lagi dia sudah
dibesarkan dalam kemewahan. Kedua orang tuanya telah
terkorban dalam kemalangan jalan raya sewaktu mereka
menetap di Kota London. Selepas itu dia dibawa pulang oleh
datuknya ke Malaysia dan telah dijaga dengan sepenuh kasih
sayang kerana hanya dialah satu-satunya cucu yang datuknya
ada.
Selepas mendapat keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan SPM, datuknya telah menghantar dia melanjutkan
pelajaran ke luar negara dalam bidang perniagaan. Empat
tahun berada di negara orang, cukup membuatkan dia hanyut
dengan budaya dan cara hidup orang-orang di sana.
Kelab malam sudah sebati dalam jiwanya, namun
dia tidak pernah sesekali menyentuh air syaitan yang
memabukkan itu. Di sana jugalah dia mula mengenali Bella,
gadis kacukan Perancis dan Melayu sehinggakan membawa
kepada putik percintaan. Bella yang sangat cantik dengan
wajah ala-ala minah salih itu, memang padanlah dengan
dirinya yang tidak kurang juga kacaknya. Cinta mereka terus
mekar sehinggalah mereka pulang ke Malaysia.
Kini, sudah hampir lima tahun dia pulang ke
Malaysia dan menjawat jawatan sebagai CEO di syarikat milik
datuknya iaitu Perkasa Holding Sdn. Bhd. Syarikat perkapalan
dan hartanah milik datuknya itu mempelopori segenap ceruk
negeri di seluruh Malaysia dan terdapat juga cawangannya di
luar negara. Masakan dia sanggup kehilangan semua harta
itu dalam sekelip mata. Fikiran Harith terus melayang jauh
menembusi kelab malam itu. Kata-kata datuknya masih
terakam kemas dalam ingatan.
“Harith!!! Tok ayah dah lama perhatikan Harith.
Segala tindak-tanduk Harith dalam pemerhatian tok ayah,
dan tok ayah tak suka.” Luah Tan Sri Musa jujur.
“Apa maksud tok ayah ni?” Harith kurang faham
dengan maksud datuknya. Bukan kurang faham, tapi
langsung tidak faham sebenarnya.
“Hmm... semenjak Harith balik sini, tok ayah tak
pernah nampak Harith solat. Malam-malam pula asyik
berpelesiran ke disko. Macam ni ke sikap seorang CEO?” Tan
Sri Musa sudah tidak mahu bertangguh lagi. Sudah lama
masa diberikan kepada Harith, sudah berbuih juga mulutnya
menegur, tetapi cucunya itu masih tetap sama. Kali ini dia
sudah mengambil keputusan, dia akan kahwinkan Harith
dengan perempuan yang dia yakin dapat mengubah cara
hidup Harith.
“Apa ni tok ayah... Harith keluar malam saja,
kerja-kerja kat pejabat tu semua Harith buat dengan baik.”
Ada rasa tidak puas di hati mendengar omelan datuknya itu.
“Itu tok ayah tahu. Tapi untuk jadi orang yang
berjaya, bukan saja bagus dalam kerjaya tetapi kena bagus
dalam semua perkara, dunia dan akhirat. Jika kita asyik
mengejar dunia sahaja tapi akhirat kita lupa, itu bukan berjaya
namanya. ‘Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup
seribu tahun lagi dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu
akan mati esok hari.’ Jadi kita kena seimbang dalam dua
perkara tu. Dunia dan akhirat. Barulah kita akan jadi seorang
pemimpin yang berjaya.” Panjang lebar pula syarahan yang
keluar dari mulut tok ayahnya saat itu.
Harith buat muka bosan. Dia tahu kalau tok ayahnya
sudah mula bersyarah, sampai ke subuh esok belum tentu
lagi boleh habis. Mana tidaknya, macam-macam hal yang dia
bangkitkan daripada soal solat, adab, budaya, sehinggalah
kepada soal berumah tangga. Telinga Harith tu, kalau boleh
muntah tentu sudah dimuntahkan segala isinya. Harith
masih diam, tidak tahu mahu menjawab apa.
“Tok ayah nak Harith kahwin!” tegas sekali bunyinya
membuatkan Harith tersentak.
“Tok ayah... bukan Harith tak nak kahwin. Tapi
Bella tu belum bersedia untuk ada komitmen.” Ucap Harith
perlahan mengharapkan tok ayahnya faham.
Harith sendiri belum bersedia sebenarnya untuk
memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Baginya
usia 29 tahun masih terlalu awal untuk bergelar seorang
suami. Zaman sekarang, umur 29 tahun adalah masa untuk
menikmati keseronokan hidup. Masih terlalu awal untuk
terikat dengan sebuah perkahwinan.
Dia dengan Bella juga tidak pernah berbincang soal
perkahwinan. Mereka lebih selesa dengan status mereka
sekarang. Walaupun tidak berkahwin, boleh dikatakan
hampir setiap malam mereka berjumpa dan ada juga mereka
bermalam bersama. Tetapi belum pernah sekali pun dia
menceroboh mahkota kewanitaan Bella. Sekadar peluk
cium sahaja. Bagi Harith selagi mereka tidak berkahwin,
dia akan menjaga kesucian Bella dan tidak akan merampas
satu-satunya mahkota berharga kepunyaan Bella sehinggalah
mereka sah bergelar suami-isteri.
Memang kadangkala Harith hampir kalah dengan
godaan Bella tetapi dia sebolehnya cuba mengawal nafsu
lelakinya nan satu itu. Dia sayangkan Bella, tidak sanggup
rasanya merampas sesuatu yang belum sah menjadi haknya
walaupun Bella berkali-kali menyatakan dia sanggup
menyerahkannya kepada Harith walaupun mereka belum
berkahwin.
“Siapa kata tok ayah nak suruh kau kahwin dengan
perempuan tu?” keras saja bunyi pertanyaan Tan Sri Musa itu
di pendengaran Harith.
Harith tahu tok ayahnya cukup tidak berkenan
dengan Bella, kekasih hati pengarang jantungnya itu. Kata tok
ayahnya, perempuan macam Bella tidak layak untuk menjadi
seorang isteri dan ibu yang baik untuk dia dan anak-anaknya.
Tapi kenapa? Dia sayangkan Bella. Itu sudah cukup, kan?
Harith mengaku, Bella agak sosial sedikit orangnya.
Mereka bertemu pun di sebuah kelab malam semasa dia
berada di UK, waktu itu mereka sama-sama belajar di sana.
Bella atau nama sebenarnya Sabila, memang anak jati Kuala
Lumpur. Ayahnya yang berbangsa Perancis itu sudah lama
menetap di Malaysia dan sudah pun menjadi warganegara
Malaysia. Ayah Bella juga seorang ahli perniagaan walaupun
tidaklah sekaya tok ayahnya.
“Habis tu, tok ayah nak suruh Harith kahwin dengan
siapa? Kenapa Harith tak boleh kahwin dengan Bella?” Harith
sudah mula gelisah. Mana mungkin dia berkahwin dengan
perempuan lain, sedangkan dia mencintai Bella setengah
mati.
“Dengan anak Pak Cik Sufian.”
“What??? Dengan anak Pak Cik Sufian driver tok
ayah tu?” Mata Harith sudah membulat, tidak percaya dengan
cadangan tok ayahnya yang langsung tidak masuk akal
baginya.
‘Gila!!! Nak kena kahwin dengan anak pemandu???’
getus Harith dalam hati dengan kening yang sudah bertaup
rapat.
“Yup, titik! Kalau tak, semua harta tok ayah akan
tok ayah sedekahkan kepada badan kebajikan.” Ugut Tan Sri
Musa lagi dengan senyuman yang melebar di bibir. Dia faham
benar dengan cucunya itu, bukan boleh hidup susah.
“Shit!!!” pekik Harith kuat sambil menumbuk dada
meja. Air Coca-Cola di gelasnya berkocak kuat. Sakit betul
hatinya apabila teringatkan semua itu.
“What’s wrong honey?” Bella sudah merangkul
lehernya dengan manja. Nafas Bella masih mengah kerana
baru sahaja selesai menari di pentas tari.
Harith hanya menggelengkan kepalanya sambil
tersenyum tipis. Gila! Kalau dia berterus terang dengan Bella
tentang perkara itu, mahunya mengamuk minah tu di situ
juga.
“Let’s go baby!!!” Bella sudah menarik tangan Harith
laju menuju ke pentas tari. Harith hanya menurut tanpa
membantah.
Bunyi muzik berdentam-dentum memenuhi ruang
telinga mereka. Tangan Harith terus merangkul kemas
tubuh ramping Bella, menari ikut rentak muzik yang sedang
bergema hebat. Sesekali bibir mungil Bella melekat rapat
pada pipi Harith membuatkan Harith tersenyum lebar. Tubuh
mereka terus melekat rapat, semakin seronok mengayunkan
tubuh masing-masing mengikut alunan muzik tanpa sedikit
pun memikirkan soal dosa dan pahala.
OMBAK laut masih lagi setia memukul pantai, menampar
mesra di gegendang telinga Qaseh. Bayu malam berpuput
lembut, membuai rambutnya yang terlepas bebas itu. Qaseh
masih setia berdiri di ambang jendela biliknya walaupun
malam sudah menginjak ke pagi. Matanya betul-betul buat
hal malam itu, hatinya pula asyik resah dan gelisah saja.
Mana tidak resah jika fikirannya asyik mencerna perkara yang
bukan-bukan sahaja.
“Hmm... macam manalah agaknya rupa bakal suami
aku? Macam mana pulak dengan perangai dia? Ya Allah...
takutnya aku nak membayangkan semua tu.” Keluh Qaseh
perlahan.
Jika diikutkan kata hatinya, dia memang mati-matian
tidak mahu berkahwin, apatah lagi dengan seorang lelaki
yang dia langsung tidak kenal hati budinya. Yang dia tahu,
lelaki itu cucu kepada majikan ayahnya.
Setahu Qaseh, ayahnya bekerja sebagai pemandu
peribadi kepada seorang tokoh perniagaan. Sejauh mana
kebenarannya, Qaseh sendiri tidak pasti kerana semua itu
hanya disampaikan oleh datuknya. Qaseh tidak pernah berbual
dengan ayahnya. Setiap kali ayahnya datang menjenguk, dia
akan melarikan diri.
Hati Qaseh masih sakit sebenarnya. Jauh di
sudut hati kecil, dia masih belum dapat memaafkan segala
perbuatan ayahnya. Qaseh bukan mahu melawan takdir, tapi
Qaseh sebenarnya geram. Dia geram dengan sikap ayahnya
yang hanya menjadi pak turut kepada ibu tirinya, Latipah.
Kerana terlalu turutkan kata-kata ibu tirinya, ayahnya tanpa
rasa bersalah telah menceraikan ibunya dengan talak tiga.
Walhal sebelum ibu tirinya muncul, mereka sekeluarga hidup
aman bahagia. Sampai sekarang, kenangan pahit itu masih
terpalit kemas di hatinya, merobek segala kepercayaan pada
satu ungkapan bernama cinta.
Sekarang pula, ayahnya tanpa rasa bersalah sedikit
pun telah datang untuk mengatur corak hidupnya. Dia
bagai mempertaruhkan kebahagiaan diri. Jika bukan kerana
datuknya, Qaseh memang tidak akan bersetuju untuk
berkahwin. Dia takut sebenarnya. Takut yang amat sangat
untuk memegang status sebagai seorang isteri. Mampukah
dia menjadi seorang isteri yang baik? Mampukah dia
mencintai suaminya sedangkan dia langsung tidak ada nafsu
untuk bercinta?
Qaseh menampar pipinya yang terasa perit. Seekor
nyamuk sudah pun penyek di telapak tangannya. Mata Qaseh
masih setia merenung ke dada langit yang nampak cantik
disimbahi cahaya bulan. Sekilas itu juga dia menjeling jam
yang tergantung kemas di dinding biliknya. Sudah jam 2.00
pagi.
“Hmm... sudah-sudahlah Qaseh. Kalau kau terus
mengelamun macam ni, masalah kau tetap juga tidak selesai.
Lebih baiklah kau pergi ambil wuduk. Istikharah kepada
Allah. Dia yang Maha Mengetahui.” Qaseh bercakap sendiri
apabila tersedar yang sudah lama sebenarnya dia termenung
di tepi jendela itu. Pantas dia menutup jendela di biliknya dan
terus bergegas ke bilik air.
Lantai papan yang dipijak Qaseh itu berkeriut
menghasilkan bunyi. Apatah lagi di malam yang sudah sunyi
sepi itu memang jelas kedengaran bunyinya.
“Qaseh???” terdengar suara tua datuknya memanggil
dengan suara yang sedikit keras tatkala dia melintasi bilik
datuknya. Pintu bilik datuknya masih berkatup rapat.
“Ye, tok.” Langkah Qaseh sudah mati di hadapan
bilik datuknya itu.
“Tak tidur lagi ke?” terdengar suara datuknya
bertanya dari dalam.
“Belum tok. Qaseh nak pergi bilik air, ambil wuduk.”
Balas Qaseh pula. Dia masih berdiri lama di hadapan pintu
bilik datuknya menanti jawapan ataupun pertanyaan yang
seterusnya. Tetapi setelah beberapa saat datuknya masih
berdiam diri, Qaseh terus menyambung langkahnya menuju
ke bilik air yang terletak di hujung dapur rumah.
Usai solat, dengan penuh khusyuk Qaseh berdoa.
“Ya Allah, Tuhan yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang, aku memohon petunjuk dan hidayah
daripada-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala
yang aku tidak ketahui. Jika jodoh ini yang terbaik untukku,
Kau lapangkanlah hatiku untuk menerima pernikahan ini
walaupun aku sendiri tidak mengenali bakal suamiku. Kau
lembutkanlah hatiku untuk belajar menyayanginya dan
menerimanya seadanya. Tapi jika dia bukanlah yang terbaik
untukku, Kau jauhkanlah dia daripada hidupku.”

No comments:

Post a Comment