BAYU pantai masih bertiup lembut dan tenang
seperti selalu, tapi langsung tidak dapat mendamaikan hati
Qaseh petang itu. Awan membiru di dada langit juga tidak
berjaya membuatkan dia tersenyum seperti selalu. Semenjak
malam tadi, semenjak soal perkahwinan dibangkitkan
datuknya, segala ketenangannya bagaikan telah diragut rakus
persoalan itu. Jiwanya resah, kacau-bilau jadinya.
Qaseh masih termenung panjang di pangkin kayu
yang berada di bawah pokok mangga di halaman rumah,
memikirkan permintaan datuknya yang begitu membebankan
hati dan perasaannya.
‘Argghhh!!! Serabutnya! Kenapalah aku kena hadapi
semua ni? Sehari!!! Itu saja tempoh yang atuk bagi pada aku
untuk berfikir. Atuk memang tak sayangkan aku! Sampai hati
atuk.’ Qaseh terus berperang dengan perasaannya. Ranting
kayu yang berada di tangannya dipatah-patahkan cuba
membuang resah di hati, namun semua itu langsung tidak
memberi kesan. Hatinya masih tetap sama.
Dia terus membuang pandang pada laut biru yang
kelihatan sayup-sayup pada pandangan matanya. Laut itu
tampak tenang saja dari jauh, tetapi siapa sangka di dasarnya
sedang bergelora sebenarnya. Samalah juga dengan hatinya.
Luaran tampak tenang, tapi jauh di lubuk hati, perasaannya
sedang bergelora ganas.
“Oooittt!!! Jauhnya berangan.” Sergah satu suara
yang tidak asing lagi pada pendengarannya. Lamunan
Qaseh terus direntap kasar dan jantungnya bagaikan mahu
melompat keluar dek terkejut disergah tiba-tiba begitu.
“Ya Allah!!! Terkejut beruk aku. Kau ni pun, tak reti
nak bagi salam ke?” Qaseh sudah menarik muka, mencuka
macam cuka nipah. Sakit hati pula dia melihat Aamar yang
tersengih di tepinya, sudah pun duduk bersamanya di pangkin
kayu itu.
Bayu pantai masih berhembus lembut membuatkan
tudung yang dipakai Qaseh terbuai ditiup angin. Aamar
tersengih lebar melihat Qaseh yang sudah pun menarik muka
dengannya. Wajah ayu milik Qaseh itu ditatap lama, ada rasa
yang berdetik di hatinya saat menatap wajah gadis itu.
“Kau ni kenapa? Dari jauh lagi aku nampak kau
termenung panjang. Dah macam orang mati suami. Tengok!
Comot pun takut nak dekat dengan kau.” Aamar bertanya
lembut sambil tangannya membelai lembut bulu Comot yang
sudah pun berada di ribanya. Sedari tadi Comot berada di atas
pangkin itu bersama Qaseh.
Mata Qaseh yang bundar dan jernih itu ditatap lama,
mencari jawapan kepada tingkah Qaseh kala itu. Dia tahu
jika Qaseh buat muka macam tu, pasti ada sesuatu yang tidak
kena dan sedang mengganggu fikirannya.
Qaseh masih diam, nafasnya dihela panjang.
“Aamar... kau kena tolong aku.” Akhirnya
Qaseh bersuara juga dengan nada yang serius dan
bersungguh-sungguh.
Tidak ada segaris senyuman pun yang menghiasi
bibir merahnya. Wajahnya juga masih kelat, macam buah
rambutan baru berputik. Matanya merenung tepat pada
muka Aamar yang boleh tahan juga kacaknya, mengharap
benar kawan baiknya dapat menyelesaikan masalahnya nan
satu itu seperti mana yang selalu Aamar lakukan saat dia
ditimpa masalah.
“Masalah apa ni? Lain macam pulak aku tengok kau
ni.” Dahi Aamar sudah berkerut seribu, pelik tengok Qaseh
yang nampak resah gelisah saja.
‘Hai, lain macam pulak Qaseh ni,’ getus hati kecil
Aamar. Comot yang berada di atas ribanya sebentar tadi
sudah menghilang entah ke mana.
“Kahwin dengan aku.”
Hampir terloncat Aamar mendengar patah bicara
yang terbit dari mulut Qaseh itu. Nafasnya juga bagaikan
sukar untuk diatur. Muka Qaseh yang masih lagi nampak
serius itu ditatap dengan mata yang membuntang bulat.
“Gila!!! Kau bergurau ke apa ni?” tanya Aamar
dengan nada sedikit keras.
“Aku tak berguraulah. Atuk nak aku kahwin dengan
lelaki yang langsung aku tak kenal. Aku buntulah. Aku tak
nak kahwin. Kau kena tolong aku.” Suara Qaseh kedengaran
lemah di telinga Aamar. Mukanya masih lagi sama macam
tadi.
“Kau biar betul? Bergurau errk?” Aamar seakan tidak
percaya. Muka Qaseh dipandang lama, namun tidak nampak
sedikit pun riak bergurau pada wajah gadis yang dipujanya
dalam diam itu.
‘Isyyy!!! Tak ada angin, tak ada ribut... tiba-tiba atuk
nak suruh Qaseh kahwin??? Apa dah jadi ni?’ Aamar sudah
menggaru kepalanya yang tiba-tiba saja rasa gatal. Terasa
pelik pula dengan berita yang baru disampaikan itu.
“Kau ingat ni apa, rancangan maharaja lawak yang
kau suka sangat tengok tu? Kau nampak muka aku ni ada
serupa dengan muka Sepahtu ke? Aku seriuslah!!! Aamar, aku
tengah bingung ni...” Qaseh sudah membetulkan tudungnya
yang dirasakan jatuh sedikit ke depan, membuatkan dia
bertambah rimas. Wajah Qaseh juga sudah macam susu basi,
masam mencuka.
“Habis tu, kau nak buat apa? Pelik jugak aku ni, tak
ada hujan... tak ada ribut... atuk nak suruh kau kahwin?”
“Itulah pasal! Ni semua sebab lelaki tak guna tu.”
Qaseh sudah mengetap bibir, geram betul dia kepada ayahnya,
Sufian. Jika tidak kerana rancangan bodoh ayahnya itu, sudah
tentu situasinya tidak akan sesulit sekarang.
Dahi Aamar berkerut, semakin kusut pula cerita
Qaseh di pendengarannya sekarang.
‘Aiikk!!! Biar betul Qaseh ni, takkan dia sanggup
panggil Tok Daud tu lelaki tak guna?’ Perasaan Aamar sudah
berperang sendiri. Silanya makin dikemaskan menghadap
Qaseh.
“Cuba kau cerita dengan aku betul-betul, siapa lelaki
tak guna yang kau maksudkan tu? Tok Daud?” Dahi Aamar
sudah berkerut merenung Qaseh tanpa berkelip.
“Isyy, kau ni!!! Bukan atuk la... hmm... ayah aku!”
Qaseh sudah tunduk merenung pasir yang memutih di
hujung selipar jepun yang dipakainya.
Perasaan Qaseh menjadi sebal, bercampur baur
tatkala nama ayahnya disebut. Ada rasa benci, ada rasa
dendam, ada rasa menyampah, namun terselit juga rasa
kasih sebenarnya. Tapi yang pasti, semua rasa itu bersatu
membuatkan dadanya terasa sesak dan hatinya terasa sakit
yang amat. Sampai bilakah dia harus menanggung semua
rasa itu?
“Ooo... Pak Cik Sufian. Hmm, mungkin dia dah ada
calon terbaik untuk kau, Qaseh. Aku rasa atuk ada sebab yang
kukuh, sebab tu dia setuju dengan cadangan ayah kau tu.”
“Hmm... atuk cakap sebab dia dah tua. Nanti, bila dia
dah tak ada, dia bimbang tak ada siapa nak tengok-tengokkan
aku... nak jaga aku...” ucap Qaseh lagi.
“Betullah tu.” Suara Aamar kedengaran sedikit
kendur, kecewa pun ya. Siapa yang tidak kecewa apabila
mengetahui gadis yang dipuja dalam diam akan berkahwin
dengan lelaki lain tidak lama lagi.
“Aku tak naklah Aamar. Kau bukan tak tahu, aku tak
pernah percaya pada cinta, tak pernah percaya pada sebuah
perkahwinan. Macam mana aku nak kahwin? Dengan lelaki
yang langsung aku tak kenal pulak tu! Aamar... kau ajelah
kahwin dengan aku?”
Mata Qaseh sudah tertancap tajam pada muka Aamar.
Jelas wajah itu nampak terkejut dengan permintaannya itu.
Tiada segaris senyuman pun di bibir Qaseh menandakan dia
tidak bergurau dengan kata-katanya sebentar tadi.
“Isyy... gilalah!!! Tak naklah aku! Kau bukan cintakan
aku. Nanti bila kita dah kahwin, aku yakin seratus peratus
hubungan kita tak sama macam sekarang. Aku tak nak hilang
rasa kasih dan sayang aku pada kau. Lebih baik kita kekal
sebagai sahabat.” Lancar saja tutur Aamar.
Sungguh! Bukan dia tidak mahu berkahwin dengan
Qaseh, tapi dia tahu Qaseh tengah terdesak sekarang. Sebab
itulah Qaseh beria-ia mengajak dia berkahwin. Apa gunanya
mereka berkahwin jika tidak pernah ada perasaan cinta di
hati Qaseh? Dia tidak mahu satu langkah bodoh yang mereka
ambil akan memutuskan ikatan persahabatan yang telah
lama terjalin antara mereka.
Aamar memang cintakan Qaseh. Tapi Qaseh?
Dia tidak mahu kerana terlalu ikutkan kata hati, dia
akan kehilangan Qaseh buat selama-lamanya. Biarlah dia
berkorban demi sebuah persahabatan.
Lama Qaseh diam sambil merenung pantai yang
sayup di pandangan mata. Ada betulnya apa yang dikatakan
oleh Aamar itu. Jika mereka berkahwin, belum tentu mereka
dapat mengekalkan hubungan baik seperti sekarang. Untuk
jatuh cinta kepada Aamar pula, agak mustahil bagi dia.
Aamar sudah dianggap seperti abangnya sendiri, tambahan
pula dia memang langsung tidak percaya pada satu ungkapan
bernama cinta.
Qaseh mengeluh kecil akhirnya.
“Dahlah... jangan pening-pening. Kau terima sajalah.
Mana ada ayah yang nak tengok anak dia susah. Aku yakin kau
akan bahagia dengan pilihan ayah kau. Restu seorang ayah tu
penting. Walau buruk macam mana pun, dia tetap ayah kau.
Kau wajib taat pada dia,” pujuk Aamar lagi.
“Macam mana kalau lelaki tu pun kena paksa macam
aku? Kalau aku tak bahagia macam mana?” Qaseh menyoal
Aamar bertalu-talu.
“Insya-Allah, kau kena yakin dengan perancangan
Allah. Kalau kau tak bahagia, aku ada. Aku akan tetap ada di
samping kau. Itu janji aku.”
Aamar tersenyum kelat. Sukar baginya untuk
melepaskan gadis pujaan hatinya pergi kepada lelaki lain, tapi
mungkin itulah jalan terbaik untuk Qaseh.
Lama mereka diam, seakan lidah mereka sudah
kelu untuk berkata-kata. Masing-masing tenggelam dalam
perasaan sendiri. Laut lepas terus direnung lama. Bayu pantai
terus berpuput lembut, menyapa wajah dan tubuh mereka
yang sedang kelemasan dalam perasaan sendiri.
TOK DAUD sibuk menyirat pukat di serambi rumah pada
malam itu. Bunyi ombak yang tidak jemu-jemu memukul
pantai seakan menjadi irama kepada mereka di perkampungan
nelayan itu. Sudah hampir 76 tahun dia menetap di Kampung
Sungai Dua, Setiu, Terengganu itu. Di kampung itulah dia
dilahirkan dan dibesarkan. Lautan sudah seakan sebati
dengan diri dan jiwanya.
Qaseh datang bersama secawan kopi lalu duduk
bersimpuh di hadapan datuknya yang kelihatan begitu
khusyuk menyirat pukat. Tubuh kurus Tok Daud yang
tidak berbaju itu direnung Qaseh. Kesian betul dia melihat
datuknya itu.
Tok Daud tersenyum melihat cucunya. Cucu
yang ditatangnya bagaikan minyak yang penuh. Dia terlalu
sayangkan Qaseh. Cuma Qaseh sorang sajalah cucu yang
dia ada di dunia ini kerana dia tidak mempunyai anak lain
selain daripada ibu Qaseh. Rokok daun yang terselit kemas di
hujung bibirnya itu disedut seketika.
“Atuk... sudah-sudahlah hisap rokok tu tok. Merokok
ni tak bagus tok.” Ucap Qaseh perlahan. Cawan kopi disuakan
kepada datuknya.
“Atuk dah lama hisap rokok ni, sampai sekarang atuk
sihat. Kalau tak dapat rokok, barulah atuk rasa sakit.” Jawab
Tok Daud sambil tersengih menampakkan giginya yang
sudah rongak. Dia kemudiannya ketawa kecil melihat Qaseh
yang sudah menjuihkan bibirnya. Cawan kopi disambut lalu
dihirup sedikit kopinya dan terus diletakkan ke atas lantai
serambi.
“Kau dah buat keputusan Qaseh?” tanya Tok Daud
tanpa memandang wajah Qaseh. Dia menyambung kembali
kerjanya menyirat pukat.
“Keputusan apa tok?” tanya Qaseh pura-pura tidak
faham. Tangannya sibuk memintal tali pukat datuknya.
“Kau jangan buat-buat tak faham pulak.” Tegas Tok
Daud, merenung tepat pada muka Qaseh yang tampak tenang
saja tanpa sebarang riak.
‘Qaseh ni, biar betul. Dia betul-betul lupa ke?’ getus
Tok Daud dengan dahi berkerut. Tok Daud tidak jadi menyirat
pukat.
“Hmm... atuk tak payahlah buat muka macam tu.
Qaseh ingat. Urrmm... Qaseh ikut keputusan atuk. Kalau atuk
setuju, Qaseh tak membantah... tapi ada satu syarat.”
“Syarat?” tanya Tok Daud lagi.
“Ye, syarat. Syaratnya, lepas kahwin nanti Qaseh nak
kerja. Qaseh nak tanggung atuk. Lepas Qaseh kahwin, Qaseh
tak nak atuk pergi tangkap ikan dekat laut lagi, boleh?” Wajah
tua di hadapannya direnung lama menantikan jawapan.
“Baiklah.” Tok Daud terus bersetuju tanpa berfikir
panjang.
“Atuk jangan tipu. Nanti Qaseh suruh Aamar intip
atuk!” Qaseh sudah mengugut Tok Daud. Bukan dia tidak
tahu, datuknya itu degil benar orangnya.
“Yalah... ermm, kalau begitu minggu depan pihak
lelaki datang merisik dan tetapkan tarikh.”
“Minggu depan?” Mulut Qaseh sudah melopong.
No comments:
Post a Comment