DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 July 2016

Jodoh Sebelah Pintu - Bab 7

“SAYA nak awak panggil penjaga awak ke
sini sekarang juga! Awak berdua ni memang dah melampau
sangat, tahu? Sekarang, ambil ni, telefon mereka suruh datang
ke sini. Biar mereka tahu apa yang awak berdua dah lakukan
pada saya. Kecil-kecil lagi dah pandai nak jadi gangster ya?”
Aku menghulurkan gagang telefon pejabat kepada Zahid
dan Ariff.
Mereka berdua memandang wajahku dengan takuttakut.
Telefon, lambat-lambat Ariff ambil dari tanganku. Muka
sedih mula dipamer. Mereka mengaku yang kejadian semalam
itu memang kerja mereka. Merekalah yang memancitkan tayar
keretaku! Kan betul tekaanku? Siapa lagi yang pro buat kerja
macam tu kalau bukan mereka? Huh!
“Nak call siapa?” Ariff menyoalku takut-takut.
Aku jegilkan mata dan buat muka garang. Zahid
dari tadi tak berkutik. Diam. Ketakutan. Pucat. Kasihan pula
aku melihat muka mereka tetapi mereka memang perlu
diberi pengajaran! Biar mereka tidak buat lagi di hari yang
mendatang. Sejujurnya, aku bukanlah seorang yang garang
sangat pun di sekolah. Cuma, bila berhadapan dengan orang
senakal ini, darahku automatik naik mencanak.
“Ibu bapa awak ke, pak cik, mak cik, nenek, atuk,
aci, bibik! Sesiapa yang rapat dengan awak, awak panggil
ke sini. Biar saya nak report sikit aktiviti awak berdua
dekat sekolah ni. Dengan prestasi pembelajaran yang semakin
merosotnya lagi. Entah apa nak jadi dengan awak berdua
ni?!” Aku membebel panjang.
Muka mereka terkulat-kulat dan berpandangan sesama
sendiri. Mereka berbisik buat sementara. Aku berdiri bercekak
pinggang menghadap mereka. Ariff mendail nombor yang
entah apa, lalu gagang diletakkan ke telinganya.
“Helo. Ha uncle, datang sini. Cikgu Ariff marah-marah
ni. Ada benda yang dia nak cakap dengan uncle.” Ujar Ariff
sayu.
Aku menahan senyum. Seorang lagi mangsa. Sesudah
giliran Ariff, telefon aku beri kepada Zahid pula. Dia menekannekan
nombor telefon yang entah berapa-berapa itu lalu
ditekap ke telinga.
“Helo... Datang sekolah Jay sekarang. Cikgu Jay
ma... ma... marah...” Alamak! Anak orang ni dah menangis
pula!
Aku tepuk dahi. Zahid ni cengeng rupa-rupanya.
Kalau dalam kelas, nakal mengena. Aku buat muka tak terkesan
dengan tangisannya walaupun jauh di sudut hati, aku terasa
sayu mendengar tangisannya.
Beberapa puluh minit berlalu. Zahid dan Ariff masih
setia di hadapanku. Kami buat perjumpaan di pejabat guru
sekolah sahaja. Kedua mereka tertunduk-tunduk dari tadi.
Aku berpeluk tubuh dan bersandar. Menanti penjaga mereka
datang. Lama pula. Sepanjang penantian yang entah sampai
bila itu, aku hanya merenung tajam ke arah kedua mereka
sehingga nak mengangkat kepala pun mereka tak berani.
Jari-jari sudah mula mengetuk meja. Menanti
dan menanti lagi. Tidak semena-mena mataku tertangkap
sesusuk tubuh yang aku kenali sehingga membuat hidungku
mengeluarkan dengusan yang kuat. Si Bad! Buat apa dia
datang sekolah aku?! Ada apa-apakah yang dia cari kat sini?
Aku tunduk-tunduk hendak menyorok di sebalik
meja dengan berpura-pura mengangkat pen yang sengaja
aku kuis ke bawah kerana bimbang dilihat Bad. Harap dia
blah dari situ. Lagi cepat lagi bagus. Tak nak semakkan
kepala otak aku dengan melihat muka dia. Inilah kebetulan
paling karut sekali. Tak pernah orang yang aku benci bakal
terserempak dengan aku dalam keadaan begini. Di tempat
kerja aku pula tu!
“Uncle!” Terpa Zahid. OMG! Inilah uncle diaorang?
Patutlah aku tengok muka macam ada iras! Perangai tu
lagilah beriras-iras! Aku tepuk dahi. Kalau uncle Ariff ini,
Irfan, memang aku terlentang terus!
“Kenapa ni Jay?” Soal Bad prihatin.
Aku menjeling. Dia menghampiri. Mukanya begitu
terkejut sekali melihat aku. Spontan aku terberdiri dari
duduk. Aduhai! Memang malang betul nasib aku hari ini.
Memang malang! Nasib aku tak pernah baik setiap kali
terpandang muka dia.
“Awak, Kak Fashionista?” Soalnya dengan muka serius.
Aku mendengus. Nama itu paling aku menyampah.
Dia tak ada adab ke berjumpa dengan cikgu sekolah ni?
Aku mengepal penumbuk geram. Kenapa dia tak pernah
nak lupa nama tu? Teringin aku nak pinjam alat dalam
cerita Men In Black tu. Mesin pemadam memori. Akan
aku pancarkan untuk dia sesudah aku memakai kaca mata
hitam. Sungguh segak gayaku nanti.
“Yalah saya, kat mana lagi tempat seorang guru
harus duduk kalau bukan di sekolah? Di penjara?” Soalku
sarkastik.
Dia tersenyum sinis. Anak muridku tercengangcengang
melihat kami bersinis-sinisan sesama sendiri. Mana
aku belajar tatabahasa sinis-sinisan itu?
“Bukan di pentas peragaan ke, Kak Fashionista?”
Soalnya sinis! Wargh! Terkena balik aku. Malu! Malu! Malu!
“Silakan duduk encik...” Aku tak tahu nak panggil
apa dia ni. Baik aku biarkan kosong sahaja selepas ‘encik’
itu. Aku mempelawa dia duduk dan aku pun kembali duduk.
“Badrul Shah.” Dia menyebut nama penuhnya sambil
melabuhkan punggung.
Aku angguk sahaja. Oh, jadi itulah nama penuh dia
ya? Aku ingatkan nama penuh dia, Badai Di Jiwa! Selalu
membadaikan jiwa aku dengan perangai tak matangnya itu.
Menyampah tahu?!
“Uncle saya mana, uncle?” Sedih suara Ariff bersuara
sambil menggoyang-goyangkan tangan Bad.
Dia yang menelefon dahulu, dia punya uncle yang
lambat sampai. Bad memegang bahu Ariff supaya bertenang.
Di sebelah tangannya pula sudah tersorok Zahid yang mula
hendak menangis ketakutan.
“Assalamualaikum.” Satu suara garau menyapa.
Aku dan Bad mendongak. Muka kami sama-sama
terkelu. Irfan?! Sekarang aku tahu, kenapa anak murid aku
dua orang ini berperangai macam saka! Memang aku dah
dapat jawapannya!
“Awak?” Soalnya teruja. Aku blur... Cara mereka
terkejut melihat aku berbeza sangat!
Bad terkejut melihat aku dengan muka betul-betul
horror dia. Macamlah dia nampak hantu! Irfan pula tersengih
melebar macam nampak timbunan berlian dekat depan
mata. Aku senyum lambat-lambat. Macam mana nak cerita
pada mereka masalah anak buah mereka yang aku baru
ajar pada bulan ini? Sudahlah di rumah, aku dibuli mereka.
Di sekolah pula, anak buah mereka mengambil alih tugas
mereka. Nampak tak? Hidup aku macam dah ditakdirkan
menjadi mangsa mereka! Tak aci betul!
“Sila duduk Encik Amirul Irfan.” Nama penuhnya
aku panggil. Dia mengangguk dan duduk di sisi Ariff.
Bolehkah aku bercerita mengenai kes aku dibuli ini?
Nampak macam tak logik tapi, bagi aku logiknya mengena
sangat!
“Kenapa ya kami dipanggil?” Soal Bad dengan kening
berkerut-kerutnya.
“Zahid, Ariff, saya nak kamu sendiri beritahu apa
yang kamu dah lakukan pada saya. Sejujurnya.” Aku malas
nak cerita panjang-panjang. Baik anak muridku sendiri sahaja
yang bercerita supaya kes ini tidak nampak macam aku
sengaja mereka cerita. Bad memandang anak buahnya. Zahid
tergagap-gagap.
“Jay buat apa pada Kak Fashionista ni?” Soalnya dengan
muka serius. Aku sudah berbulu di ulu hati. Rasa nak
memaki orang tu memang ada. Boleh dia panggil aku ‘Kak
Fashionista’ depan anak buah dia? Benci!!!
“Ariff buat apa pada Cikgu Mona?” Soal Irfan lembut.
Kepala anak buahnya diusap-usap.
Irfan lebih prihatin dan penyayang. Ye ke? Melihat
dari mata kepala, Bad mempunyai kelebihan itu apabila dia
menyandarkan tubuh kecil Zahid ke dadanya. Melindungi
anak buahnya. Macamlah aku nak hentam anak buah dia.
Sebelum aku hentam anak buah dia, lebih baik aku hentam
dia dulu.
“Kami buat apa yang uncle pernah ajar dulu.” Selamba
sahaja Zahid mengadu sambil mula menangis.
Aku ternganga. Uncle pernah ajar dulu? Oh my! Rasa
seram mula menjalar ke minda. Oh, jadi pancitkan tayar
kereta orang tu memang ajaran merekalah? Memang tak syak
lagi, mereka ini ada konspirasi besar dalam mengkhianat
orang!
“Ya, uncle. Uncle ajar kami dulu. Itulah yang kami
buat pada cikgu.” Ariff pula memberitahu sambil menggoyanggoyangkan
tangan Irfan dengan muka takut. Muka Bad dan
Irfan berpandangan. Berkerut-kerut.
“Yang mana satu?” Mereka menyoal serentak.
Aku terkejut mendengar soalannya. Macam nak
tercabut rahang aku rasa-rasanya akibat terperanjat sehingga
ternganga. Boleh mereka tanya ‘yang mana satu’?! Banyak
sangat ke ‘ilmu’ yang diturunkan pada budak-budak ni?!
Patutlah nakal semacam!! Tok gurunya memang betul-betul
hantu rupa-rupanya.
“Jay dah letak gam dekat kerusi guru?” Soal Bad
meneka.
Zahid menggeleng-geleng kepalanya. Rahang aku
sudah jatuh ke lantai tanpa dapat ditahan lagi. Sungguh kejam
kalah zionis! Dia mengajar anak buah dia buat naya kat
guru?! Apa punya uncle ni? Kalau aku ada rifle memang dah
‘jalan’ empat-empat orang kat depan aku ni!
“Letak paku tekan dekat kerusi guru?” Soal Bad lagi
dengan muka tak bersalah.
Mukaku dah terkejut kalah orang nampak hantu.
Di...di...diaorang ajar anak murid letak paku tekan atas
kerusi guru?? Gi...gi...gila betul! Mujurlah aku tidak dikenakan
begitu oleh Zahid dan Ariff. Entah macam manalah aku
nak duduk nanti kalau aku terkena trick mereka yang itu.
Sungguh kejam!
“Habis? Jay tabur jarum dekat dalam beg tangan
dia?” Soal Bad lagi tanpa riak bersalah.
Aku dah mula rasa seram! Gigit kuku jari berkaliJodoh
kali. Makin brutal ni ‘ilmu’ yang diturunkan kepada anak
buah dia. Tahap ke berapa tu agak-agak? Zahid sekali lagi
menggeleng-gelengkan kepalanya. Bukan juga. Jari-jemari
automatik terasa ngilu membayangkan kalau tanganku terkena
jarum-jarum itu sewaktu mencari barang di dalam beg
tanganku. Oh tuhan! Itu penyeksaan yang sangat keji!
“Ariff, buat apa pada Cikgu Mona? Ariff letak katak
bawah meja guru ya?” Irfan menyoal pula.
Ariff menggeleng-gelengkan kepalanya dengan
muka yang takut memberitahu perkara sebenar. Dadaku
sudah senak! Mata perlahan-lahan jatuh melihat ke bawah
meja pejabat. Mujurlah tiada katak! Ini, kalau dibandingkan
dengan rejim Israel pun memang tak terlawan kejamnya!
Sedikit sebanyak aku rasa lega. Mujur bukan katak yang
diletakkan di bawah meja aku dulu sebab aku paling anti
dengan katak.
“Habis? Ariff letak tikus kat laci guru?” Soal Irfan
dengan muka serius.
Kanak-kanak itu menggeleng-geleng lagi. Tikus pula
dah? Aku sudah tercungap-cungap. Apa pasal mereka ni? Ajaran
apa yang mereka bawa? Mana bukunya?! Aku juga nak baca.
Mudah aku tahu apa lagi plan yang mereka ada untuk
mengenakan guru!
“Letak julap dalam makanan guru?” Soal Bad lagi.
Julap?!! Kedua kanak-kanak itu menggeleng serentak.
Aku menarik nafas baru. Tangan spontan mengurut dada.
Astaghfirullahal’azim! Semakin sesak nafas aku dibuat mereka
semua ini. Masya-Allah! Kejam sungguh ajarannya!
“Haa! Uncle tahu!” Bad terjerit sambil memetik jarinya.
Mukanya ceria sungguh. Aku akhirnya boleh
tersenyum lega. Tahu pun! Tak perlu lagi aku dengar
‘ilmu’ mereka yang entah berapa buah kitab itu lagi. Hanya
menyesakkan dadaku sahaja mendengar ajaran sesat mereka
itu. Memang teruk ajarannya. Haraplah terampun dosa anak
buah mereka bergurukan dua ekor beruang itu. Nafas lega
akhirnya berjaya aku hembuskan.
“Jay dan Ariff letak cacing dalam mee cikgu ya?”
Saat itu aku sudah nak termuntah.
Apa kena dengan keluarga mereka ini? Macam mana
boleh turunkan ajaran sesat kalah ajaran Ayah Pin ini
kepada budak-budak kecil? Kepala aku sudah berpinar-pinar.
Pening teramat sangat! Tahan punya tahan akhirnya kepalaku
memberat. Dunia menjadi semakin kelam. Telingaku sempat
menangkap, ‘Mona!!’...
“MONA, AWAK okey?” Soal Irfan kalut sebaik sahaja aku
berjaya membuka mata.
Bad tersenyum senget dengan muka sinisnya. Aku
mendengus. Kenapa aku perlu tengok lagi muka budak dua
ekor ini? Anak murid aku mana? Aku dekat mana ni?
“Saya dekat mana ni?” Soalku dengan kepala masih
berdenyut-denyut.
“Awak dekat bilik tidur saya.” Beritahu Bad tanpa
riak bersalah. Mataku membulat. Bilik tidur dia?!! Automatik
aku melihat badan. Lega. Masih ada pakaian.
“Hesy! Bukanlah. Kau ni Bad!” Irfan memarahi Bad.
Lega aku bukan di bilik tidur Bad. Tak rela sungguh rasanya
nak ‘menetap’ di bilik tidur dia.
Mataku melilau ke sekeliling. Beberapa jururawat
sedang lalu lalang bersama pesakit yang berpakaian seragam
hospital. Hospital?! Rasa nak terberanak di situ. Macam mana
aku boleh ada dekat sini? Aku tengok tangan. Dah masuk
air?! Irfan setia duduk di tepiku manakala Bad membelekJodoh
belek fail. Pakaian Irfan dan Bad aku tengok silih berganti.
Mereka doktor yang merawat akukah? Jangan-jangan mereka
dah pakat nak letak racun dalam kantung air ni?!
“Cabut benda ni sekarang! Awak nak bunuh saya ya?”
Aku menyoal Bad kasar.
Tangan aku hulur ke arahnya. Minta dia cabut wayar
dan jarum yang mencucuk tanganku itu. Dia menjeling
sahaja. Tanpa suara.
“Aku cakap cabut!” Aku mengamuk.
Bad berkerut. Irfan pula mula letak telunjuk di
bibir. Syhhhh!! Minta aku diam. Aku ketap gigi. Pesakit lain
memandangku dengan kening terangkat. Alamak! Propa lebih
pula! Bukannya sengaja aku nak propa. Masalahnya sekarang,
aku diserang rasa panik yang sangat tinggi. Mereka yang
merawat aku!
“Kau orang memang nak aku mati kan? Saja letak
racun dalam ni? Kalau anak saudara pun kau boleh ajar
buat bukan-bukan, inikan pula kau orang sendiri!” Aku
menjerkah dengan suara tertahan.
Bahasa sudah berubah semakin kasar. Bad tergelak
kecil sehingga terhinggut-hinggut bahunya. Dia tidak boleh
ketawa lepas, aku tahu itu! Etika seorang doktor di hospital.
Irfan bangkit. Mukanya cemas.
“Awak dah salah faham ni, Mona! Mana ada kita
orang letak racun. Awak pengsan tadi, itu yang kami bawak
pergi hospital. Awak jangan risau, free of charge. Saya kan
doktor yang merawat awak.” Irfan berkata menyedapkan
hati aku.
“Susah saya nak percaya dengan awak berdua ni!
Free of charge konon. Jangan-jangan ini jalan pintas saya ke
kubur.” Aku membentak sambil menunjukkan wayar ditangan.
Semakin kuat hinggutan bahu Bad. Irfan pula tersengih-sengih.
Apa yang kelakarnya? Buat orang pengsan macam ni, tak
kelakar ke?
“Awak janganlah ingat kita orang jahat sangat, Mona.”
Irfan memujukku. Aku mendengus.
“Dah ajar anak murid saya letak cacing dalam
makananlah, apalah. Tak jahat ke kalau macam itu?” Aku
menyoal dengan mata membuntang.
Geram! Geram! Mereka tergelak juga akhirnya.
Berdekah-dekah. Ehem!! Jururawat berdeham berkali-kali.
Mereka berdua kemudiannya menunduk dan ketawa tanpa
suara. Aku memandang mereka berdua dengan muka bengang.
Tag nama di jubah doktor mereka aku pandang. Dr. Syah di dada
Bad dan Dr. Amirul di dada Irfan. Aku mendengus. Doktor
berperangai macam ni? Doktor pakar sakit jiwa pun tak dapat
nak rawat doktor dua orang ni. Mental!
“Sampai pengsan aku dikerjanya!” Aku membebel
sendiri pula.
Geram lagi. Mereka gelak lagi dengan cara paling
beriman. Irfan tergelak di bahu Bad dan Bad tergelak di bahu
Irfan. Nampak tak keserasian mereka tu? Bahu terhingguthinggut
tanpa suara. Entah apa yang lucu sangat pun aku
tak tahu!
“Awak pengsan sebab tekanan darah awak tinggilah,
Kak Fashionista! Bukan salah kami. Tapi pelik, dengar macam
itu pun boleh pengsan!” Dia berkata sambil tergelak lagi.
Tanpa suara. Aku mendengus. Tak pernah hayat aku
dapat penyakit seumpama itu! Mana pernah keluarga aku dapat
penyakit pelik-pelik ni? Diaoranglah penyebabnya.
“KENAPA KAU balik dengan Abang Bad dan Irfan hari ni?”
Soal Julia kepadaku. Aku mengeluh.
Di rumah, satu lagi masalah baru. Mujurlah aku
sekadar pengsan biasa. Tak demam dan tak sakit teruk. Lalu
aku dibolehkan balik pada petangnya. Masalah baru pula
muncul apabila si Julia ini seakan-akan tidak mahu melihat
aku berbaik langsung dengan jiran beruangku. Dulu, siapa
juga yang berpesan supaya beramah dengan jiran-jiran? Dia
jugalah orangnya.
Bukan aku nak berbaik pun. Dah mereka hantar aku
ke hospital menaiki kereta Bad, nak tak nak, balik sekalilah
aku dengan dua ekor beruang tu! Sepanjang perjalanan pulang
ke rumah tadi, mereka menceritakan sebab musabab kenapa
mereka mengajar anak buah mereka berperlakuan ‘zionis’
seperti itu.
Barulah aku tahu, rupa-rupanya Ariff dan Zahid
sebenarnya sering dibuli oleh cikgu dan rakan di sekolah
lamanya sehingga trauma untuk kembali ke sekolah.
Disebabkan itu, mereka dipindahkan ke sekolah di mana aku
mengajar sekarang.
Lebih parah lagi, Zahid dan Ariff dahulu asalnya
pelajar yang skema dan sangat-sangat lurus bendul. Tidak
sanggup melihat anak buah mereka dibuli dengan kejam
oleh rakan-rakan sekolah dan cikgunya, mereka akhirnya
menukarkan sekolah dua orang kanak-kanak itu. Bukan itu
sahaja, sempatlah mereka mengajar anak buah mereka supaya
jangan terlalu mengikut telunjuk orang. Memang lurus budak
dua orang tu. Tak ikut langsung telunjuk orang. Telunjuk
aku ni sekali diaorang tak ikut. Aduhai anak muridku!
Malang betul kau orang ada uncle yang prihatin
sangat sampai macam ni tahapnya! Kasihan aku melihat muka
mereka yang bengkak-bengkil dipukul dan dibuli di asrama
sewaktu Irfan menayangkan gambar mereka kepadaku. Sebab
itulah pada pendapat aku, budak-budak kecil tak berapa sesuai
duduk di asrama. Aku macam tak percaya aje bila cikgu pun
membuli sama. Cikgu jenis apalah yang tak berhati perut
sangat tu?! Buat buruk nama cikgu lain aje.
Bila terkenangkan semula peristiwa di mana Zahid
dan Ariff dirotan oleh guru besar dan akhirnya mereka
memancitkan tayar guru besar dahulu, barulah aku tahu.
Memang mereka tidak buat tetapi telah dituduh mencuri.
Aku percaya pada mereka sebab mereka bermati-matian
mengaku tidak bersalah sampai menangis teresak-esak. Dah
macam kena hukum gantung pula.
Sebagai seorang guru, sepatutnya kajilah dulu
sahih ke tidak benda yang terjadi itu. Mentang-mentanglah
budak dua orang tu selalu buat masalah dalam kelas setiap
guru, dia terus tarik budak itu dan menuduh mereka
mencuri. Tapi sebenarnya barang yang kononnya dicuri itu,
ada dalam biliknya. Dia yang tersalah letak. Memang aku
bengang sangat. Sebab itulah aku buat tak tahu sahaja bila
ternampak mereka berdua tu pancitkan tayar guru besar.
Kalau boleh, waktu itu aku teringin nak tumpang sekaki
dengan mencalarkan keretanya yang berkilat molek itu.
Tapi cara Irfan dan Bad mengajar anak buah mereka
itu sangatlah tak betul! Aku ni habis terkena. Mujurlah tayar
kereta sahaja dipancitkan. Kalau dia letak sesuatu dalam
makanan aku ke, paku payung atas kerusi aku ke, tak ke
niaya aku?
Bad akhirnya tergelak apabila aku membebel mengenai
tayar kereta aku yang dipancitkan budak dua orang itu. Irfan
mahu bertanggungjawab tapi aku menolak. Tidak mengapalah.
Aku sudah sediakan pam angin di dalam keretaku pagi tadi.
Sekarang keretaku sekali lagi tersadai di sekolah. Aduhai.
“Cukuplah kalau awak berdua cakap dekat anak
saudara awak tu supaya belajar rajin-rajin dan ikut cakap
cikgu dia. Kalau cikgu dia buat niaya barulah betul! Ini,
dalam kelas sudahlah nakal tak terampun! Bila disuruh
berdiri dekat depan dia tonggeng-tonggeng punggung
dekat kita. Dia orang berdua tu tak ada kena buli pun
kat sini. Cikgu dan anak murid yang lain yang kena
buli dek diaorang. Siap dengan guru besar lagi kena buli.
Suruh diaorang behave pulak ya? Abang Long kawasan,
budak dua orang tu. Saya pun tak berani nak cari pasal
dengan diaorang.” Aku membebel. Otai sangat anak saudara
diaorang. Huh! Menakutkan.
Irfan dan Bad ketawa terbahak-bahak mendengar
kata-kataku. Aku rasa, mungkinlah Bad dengan aku memang
berbulu sesama sendiri. Tetapi, dia dah kurang sikit menyakat
aku melainkan panggilan Kak Fashionista dia tu. Itu yang
tak mahu hilang. Pelik juga aku kenapa. Tapi, bila datang
angin kuat menyakat dia tu, aku yang duduk kat belakang
ni rasa macam nak katuk kepala dia dengan tukul besi.
Sebab dia yang memandu, aku batalkan niat aku. Aku tak
nak mati lagi!
“Nanti, kalau awak rasa diaorang teraniaya, awak
buat tak tahu aje eh bila diaorang balas kat orang yang
aniaya mereka tu ye?” Irfan berpesan padaku.
Aku memikir dua tiga kali juga. Irfan buat muka
menagih simpati sambil memandangku di belakang ini.
Aku akhirnya mengangguk. Bagus juga. Aku yang bekerja
sebagai cikgu ini pun asyik kena buli dengan cikgu lain.
Apalah salahnya sekali sekala aku berkompromi dengan
budak dua orang tu? Wah, jahatnya aku!
“Tapi ada syarat.” Aku berkata sambil tersenyum.
“Apa?” Soal mereka serentak.
“Saya nak awak senaraikan jenis-jenis buli yang
awak dah ajar mereka. Saya nak tick satu-satu dengan
aduan yang kami dapat nanti.” Aku berkata. Mereka berdua
tergelak serentak.
“Panjang berjela, Mona! Larat ke awak nak baca
semua tu nanti?” Si Irfan bersuara dalam tawanya. Aku
tersenyum.
“Larat sangat. Setakat list-list macam tu, saya peduli
apa?” Aku berkata bongkak.
Aku terus tulis novel beratus muka surat langsung!
Sambungku di dalam hati. Astaghfirullah. Riak... riak... Tanpa
sengaja, aku tersenyum. Besok, insya-Allah masalah aku
dengan si Zahid dan Ariff akan selesai. Irfan mempelawa
aku tumpang mereka besok tapi aku menolak. Malam
nanti, aku nak ambil kereta aku di sekolah dengan Julia
memandangkan kereta Julia dah ada di hadapan rumah.

No comments:

Post a Comment