“THIS song is for you, Abang Arief...”
Arief yang sedang melangkah keluar kembali
menoleh. Berkerut wajahnya memandang kekasih hati yang
berada di atas pentas. Muzik mula kedengaran dan sengihan
Nessa semakin melebar.
Homecoming, I’m coming, my sweet
mistake
Summer’s over, hope it’s not too late
I’m pacing, impatient, up in my head
Taken back to the sidewalk where we met
And carved out our names
Do you remember that?
I’m coming home, I’m coming home
Did you take off while I was gone?
I missed it all, I messed you up, I missed
you
I’m coming home, I wanna know
When all the leaves begin to fall
If I’m falling, falling apart for you...
Arief tidak jadi melangkah. Terus dia tercegat di situ
dengan tangan yang membelit tubuh sendiri. Riak wajah
berubah serius. Tak dia nafikan suara Nessa sangat merdu.
Nyanyi lagu apa pun sedap. Tapi dia tidak suka dengan lagu
yang Nessa nyanyikan ini. Eee, kalau Nessa dekat dengan dia
sekarang ditarik-tarik juga muncung tudung gadis itu.
Tamat sahaja nyanyiannya, Nessa tunduk berterima
kasih kepada band di belakang. Kemudian dia melompat
turun dari pentas untuk bersama dengan Arief.
Main lompat macam tu saja? Mujurlah pentas tu
rendah. Arief yang melihat hanya mampu menggelengkan
kepala.
“Best tak lagu tadi?” soal Nessa yang
tersenyum-senyum mendongak memandang Arief. Suka
betul berdiri dekat dengan lelaki itu sambil kepala mendongak
macam tu. Dia bukanlah pendek sangat. Ketinggian dia pun
rendah sedikit saja daripada model catwalk. Tapi sebab Arief
ni seorang lelaki yang tinggi, jadi sememangnya dia akan
mendongak begini apabila berhadapan dengan Arief.
“Tak,” jawab Arief sepatah sebelum berpusing dan
berlalu.
“Eh, Arief. Tunggulah...” Pantas Nessa mengekori
Arief dari belakang. “Lajunya berjalan. Nak ke mana?”
Arief diam tidak bersuara.
“Arief... tunggulah.”
Arief masih meneruskan langkah tanpa menoleh.
“Abang Arief, tunggulah saya. Kenapa laju sangat
ni?” Lengan Arief dicapai dan langkah Arief terhenti.
“Suara awak sedap tapi lagu tu tak best.”
“Kenapa?”
“Did you know what the lyrics is all about?”
Nessa angguk dengan bibir yang dikemam. Lagu tu
tentang pasangan kekasih yang berpisah kut. Tapi...
“It’s just a song, baby.” Kemudian Nessa ketawa.
Langsung tidak ambil serius kata-kata Arief.
Arief menjeling sebelum dia ikut tersenyum. Aduh!
Sensitif pula dia sekarang. Betullah, lagu saja pun. Tak adanya
ketulahan ke apa nyanyi lagu macam tu.
“Dah sedia untuk malam ni?” Arief kembali berjalan
dan Nessa setia mengikut di sisi.
Mereka baru sahaja selesai berlatih untuk
persembahan malam ini. Program bersama menteri
pengajian tinggi yang membuat lawatan khas ke London
untuk berjumpa dengan para pelajar dari Malaysia yang
menyambung pengajian di sini. Sebagai ketua program, Arief
telah menggabungkan ke semua pelajar dari universiti yang
berdekatan untuk menjayakan program tersebut. Sebab itu
Nessa turut mengambil bahagian dalam persembahan malam
nanti.
“Dah, kut. Tapi kalau awak yang main gitar lagi
seronok.”
“Apa yang seronok?”
“Kita sama-sama dekat atas pentas tu nanti. Tak
seronok ke?”
Arief hanya tersengih dengan soalan kekasih hatinya.
“Saya bukan pandai sangat main gitar tu, awak. Tak
expert pun. Jadi, serahkan saja pada yang pakar.”
“Tapi nanti jangan lupa mainkan gitar untuk saya
lagi, macam hari tu.”
“Anything for you, sayang.”
AIMI BERJALAN mendahului Nessa dan Arief. Sengaja
memberi ruang untuk Nessa bersama kekasihnya itu. Selesai
majlis di Malaysian Hall, Arief membuat keputusan untuk
menghantar Nessa dan Aimi terlebih dahulu sebelum pulang
ke rumahnya. Memandangkan sudah hampir ke tengah
malam, risau pula untuk membiarkan dua gadis itu pulang
sendiri.
“Kenyangnya...” Perut yang kempis diusap. Serius!
Sedap betul menu malam ini. Masakan Melayu sentiasa
terbaik sehingga bertambah dia makan tadi.
Arief hanya memandang Nessa di sisi dengan
senyuman yang tidak lekang dari bibirnya. Nessa kelihatan
manis sekali dengan Kebaya Nyonya yang tersarung di tubuh.
Tudung di kepala juga terletak kemas agar kelihatan sopan.
Walau belajar di negara asing, ternyata Nessa tetap menjaga
batas pemakaiannya.
“Suka pakai kebaya macam ni kan. Hari tu pun pakai
macam ni juga.”
Nessa menoleh. Pelik juga apabila tiba-tiba sahaja
Arief berbicara tentang pemakaiannya.
“Kenapa? Tak sesuai ke dengan saya?”
“Taklah, elok aje. Cuma saya perasan yang awak suka
pakai kebaya pendek macam ni.”
Nessa tunduk dan tersengih memandang badan
sendiri.
“Ya betul, saya memang suka sangat kebaya pendek
macam ni. Mungkin sebab saya orang Melaka kut. Dah
terbiasa dengan Kebaya Nyonya begini. Lagipun memang
sejak kecil mama suka pakaikan saya kebaya. Dah terikut
sampai ke besar.”
“Oh, orang Melaka?”
“Ya. Saya tak pernah beritahu ke? Saya lahir di
Melaka.” Terhenti seketika langkah kaki mereka.
“Tak. Patutlah manis macam gula melaka.”
“Eh? Apa kaitannya?”
Arief ketawa.
“Gula melaka kan manis, awak. Jadi, awak manis
macam gula melakalah. Elok pula asalnya pun dari Melaka
kan.”
“Arief!”
Bergabung ketawa mereka berdua.
“Guys! Nak tercegat dekat situ sampai bila?” Aimi
yang tegak di hadapan menyoal. Eh, seronok pula pasangan
kekasih tu bergelak ketawa dekat tengah jalan macam tu kan.
“Maaf, Aimi. Jom balik jom...” Seketika kemudian
mereka kembali melangkah semula.
“Nessa, saya ada sesuatu nak cakap dengan awak.”
Arief memulakan bicara. “Nope, nak bincang sebenarnya.
Atau lebih kepada... nak minta persetujuan awak.”
Nessa mendongak memandang sisi wajah Arief. Riak
wajah kekasihnya itu sudah mula berubah serius. Hilang
sudah lekuk pada pipi yang muncul apabila Arief tersenyum
dan ketawa.
“Tentang apa?”
“Tentang kita.”
“Kenapa dengan kita?”
Jeda.
Arief memandang lurus ke hadapan menembusi
Aimi yang berjalan di hadapan mereka.
‘Banyak yang perlu dibincangkan tentang kita
Nessa,’ bisik hati kecil Arief.
“I have plans for us.”
Kening Nessa mula bercantum.
“Rancangan apa?”
Arief menarik nafas dalam sebelum menghela
nafasnya perlahan.
“Saya dah fikir tentang perkara ini lama dulu
sebelum kita kenal. Saya dah rancang untuk terus menetap
dan bekerja di sini setelah tamat belajar nanti. Since I have
you in my life now...” Arief menoleh ke arah Nessa. “I want
you to be a part of my plan.”
Berkerut dahi Nessa, cuba mencerna maksud
kata-kata kekasih hatinya.
“Ingat lagi tak saya pernah tanya, would you stay if
I ask you to stay?”
Perlahan-lahan Nessa angguk.
“Sekali lagi saya nak tanya awak Nessa, would you?”
Sedang dia berfikir, geraham atas dan bawah saling
bergeser sehingga mengeluarkan bunyi.
“Maksud awak, tamat sahaja belajar nanti kita akan
terus menetap dekat sini?”
Arief angguk tanpa ragu.
“Tak nak balik Malaysia?”
Buat seketika Arief diam menyusun kata supaya
Nessa tidak terasa berat hati untuk menerima rancangannya.
“Kita akan balik, tapi bukan sekarang.”
“Habis tu, bila? Balik sekejap pun tak nak ke?” Nessa
sudah merasa kurang senang dengan rancangan Arief. Berat
untuk dia terima apabila memikirkan tentang keluarganya
di Malaysia. Apa kata baba dan mama dia nanti. Kalau dia
bersetuju dengan rancangan Arief, adakah baba dan mamanya
juga akan berlapang dada untuk menerima keputusan dia?
“Saya bukan orang senang macam awak untuk balik
ke Malaysia, kemudian datang ke sini semula. Semua itu
perlukan duit, Nessa. Banyak juga masa yang akan terbuang
nanti,” tegas jawapan yang Arief berikan, langsung tidak
teragak-agak.
Tanpa sedar mereka telah tiba di hadapan bangunan
apartmen Nessa.
“I naik dulu ya? Penat.”
Nessa dan Arief cuma memandang Aimi yang berlalu
meninggalkan mereka. Tidak sampai hati untuk meminta
gadis itu menemani mereka kerana jelas keletihan pada wajah
Aimi. Dan perbincangan mereka rasanya tidak akan selesai
dalam waktu yang singkat.
“Tapi saya ada keluarga dekat sana. Apa pula kata
mereka kalau saya buat keputusan untuk terus tinggal di sini
nanti.”
“Semua orang pun ada keluarga dekat Malaysia
Nessa dan ada juga yang terus menetap di sini, membina
kerjaya dan keluarga setelah tamat belajar. Bukan kita tak
balik langsung. Kita akan balik juga nanti cuma bukan dalam
waktu terdekat ni aje.”
Nessa menggeleng.
“Awak tak setuju? Awak akan balik Malaysia dan
tinggalkan saya dekat sini?”
Nessa mendongak dan memandang ke dalam mata
Arief. Sepasang mata itu mula terbias dengan rasa sayu.
Tanpa dapat ditahan hati Nessa mula sebak memikirkan Arief
yang bersendirian di sini.
“I love you, Arief.”
“Kalau awak cintakan saya, awak akan setuju untuk
tinggal dekat sini, sayang. With no doubt.”
Nessa ligat berfikir. Sepanjang dia berada di sini
memang ramai rakyat Malaysia yang dia temui yang memilih
untuk terus menetap dan bekerja di London setelah mereka
menamatkan pengajian. Apabila ditanya ternyata amat jarang
sekali mereka pulang ke Malaysia kerana kos untuk pulang
bukanlah murah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah
berkeluarga. Jadi, tidak salah rasanya untuk dia menjadi
sebahagian komuniti Malaysia yang tinggal dan bekerja di
sini bersama Arief.
“Boleh tak kalau saya nak bincang dengan mama dan
baba dulu?”
“Kalau mereka tak bagi, awak akan tinggalkan saya
dekat sini?”
Nessa diam.
“Saya cuma nak tahu jawapan awak, Nessa. Awak
perlu yakin dengan keputusan awak terlebih dahulu. Bila
awak dah yakin untuk tinggal dekat sini dengan saya, pasti
awak boleh pujuk mereka untuk terima keputusan awak. The
point is, awak nak tinggal dekat sini dengan saya ataupun
tidak?”
“Saya perlukan awak dalam hidup saya, Arief.”
“Saya juga perlukan awak, sayang. Sebab itulah saya
ajak awak untuk terus tinggal dekat sini dengan saya. Bila
kewangan kita stabil, kita kahwin. That’s my plan.”
Sekali lagi Nessa diam. Tidak dia sangka yang Arief
telah merancang semuanya tentang masa depan mereka.
“Trust me, Nessa. Kita akan tetap balik ke Malaysia.”
Berat untuk Arief katakan tetapi dia harus meyakinkan
cinta hatinya. Cuma dengan kata-kata itu sahaja mampu
melembutkan hati kekasihnya saat ini.
Nessa tunduk memandang hujung kasut. To stay
or not to say. Mata dipejam. Bayangan wajah mama dan
babanya bersilih ganti dengan wajah Arief. Mama dan baba
ada keluarga dekat sana sedangkan Arief hanya bersendirian
dekat sini tanpa ahli keluarga mahupun saudara.
Mata yang terpejam kembali dibuka. Kata hatinya
sudah bulat dan dia sudah nekad. Wajah diangkat memandang
Arief yang turut serius memandang ke arahnya.
“Okey, saya setuju. Nanti bila dah kaya, kita balik
Malaysia ya?”
“Kaya?”
“Yalah. Dah habis belajar nanti kita sama-sama cari
kerja, lepas tu kumpul duit. Kan orang selalu cakap kerja
dekat overseas ni boleh kaya.”
Wajah polos Nessa membuatkan Arief kembali
tersenyum.
“Awak takkan ubah fikiran, kan Nessa?”
“Tak. Saya yakin dengan keputusan saya sebab
saya terlalu cintakan awak, Arief. Saya harap awak takkan
sia-siakan pengorbanan saya ni.”
“No, I won’t. Sebab saya lebih cintakan awak, Nessa.”
Locked eyes! Arief dan Nessa terus tenggelam dalam
rasa cinta mereka yang tidak bertepi.
No comments:
Post a Comment