DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 24 March 2019

Aku Bukan Penggoda - Bab 8

“ASSALAMUALAIKUM Aunty Anna.”
“Waalaikumussalam. Ya Allah Zura... lama tak
jumpa.”
“Itulah, pak cik yang tak nak bawa aunty jumpa
Zura, kan?” Baizura jeling Pak Cik Khalid di sebelah Aunty
Anna.
“Pak cik sibuk, Zura. Zura dah datang ni, harap
kuranglah sibuknya. Boleh pak cik bawa aunty kamu ni
berhoneymoon lagi.”
Baizura cebik bibir.
“Tak payah nak dengar cakap pak cik kamu tu Zura,
merepek je lebih,” balas Aunty Anna. “Eh, duduklah. Ni
siapa?”
“Kawan Abang Zam. Abang Aizat, aunty.”
“Oh... inilah Aizat ya?” Terbit senyuman penuh
makna di bibir Aunty Anna. Baizura mencubit lengan wanita
itu. Mukanya merona merah. Dia tunduk.
Dalam masa yang sama, Pak Cik Khalid memandang
Zamri untuk mencari kepastian. Faham dengan sorotan mata
Pak Cik Khalid, Zamri angguk perlahan. Memahami isyarat
tersebut, Pak Cik Khalid sambut huluran tangan Aizat.
Spontan dia menepuk bahu lelaki itu.
10 tahun lalu, dia masih ingat seorang remaja
berpakaian sekolah menunggu di depan bilik sambil
memeluk ibu dan adik-adiknya. Sedikit pun air matanya tidak
mengalir walaupun ketika itu anak itu kehilangan ayah. Dia
kuat menahan gelora duka dalam hati semata-mata mahu
memberikan kekuatan kepada ibu dan adik-adiknya. Kuatnya
remaja lelaki itu apabila seminggu selepas itu dia perlu
menempuh peperiksaan SPM.
Aizat senyum. Lega hatinya apabila melihat
kemesraan Baizura dengan pasangan itu. Walaupun ini kali
pertama dia berjumpa, sikap ramah mereka membuatkan
pertemuan ini penuh dengan kemesraan.
“Busu tak sampai lagi?”
“Sekejap lagi sampailah tu. Dia baru balik dari Pekan
petang tadi.”
Baizura angguk.
“Pak cik dah order makanan kegemaran Zura, siakap
masak stim halia dan kerabu mangga.”
Dengar sahaja dua menu tersebut, mulutnya terasa
berair. Sudah lama dia tidak merasa.
“Kat sini memang terkenal dengan makanan laut
yang segar-segar.”
“Abang tak pesan udang, kan?”
“Tak. Abang tahu, nanti orang tu tak boleh tahan
diri, cari nahas. Tak pasal-pasal, belum sampai sehari dekat
sini dah kena bermalam di hospital,” sindir Pak Cik Khalid.
Yang lainnya ketawa.
Udang dengan dia macam api dengan air, langsung
tak boleh bercampur. Lagi parah boleh menyebabkan dia
kehilangan nyawa. Baizura tayang sengih, tak terkesan
langsung dengan sindiran itu. Sebab dia tahu, memang dia
tak boleh tahan diri, lebih-lebih lagi kalau nampak udang
besar-besar dan segar.
Mereka berbual-bual mesra sambil menunggu busu
sampai.
“Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam.” Salam dijawab serentak.
“Busu...” pantas Baizura bangun dan bersalam.
Dia memeluk lelaki itu seketika. Melihat Busu Ibnu seperti
melihat arwah papanya. Wajah mereka sangat sama. Baizura
sebak. Dia merindui papa dan mamanya. Terlerai pelukan,
Busu Ibnu memeluk bahu Baizura dan mendorongnya duduk
ke kerusi. Mereka yang berada di meja memerhati dalam
diam.
Baizura kuis air mata di hujung mata. Senyuman
diukirkan. Dia berusaha berlagak seperti biasa.
“Ibnu ni satu-satunya keluarga sebelah arwah papa
Uya. Baru 5 tahun balik ke Malaysia. Dulu dia bekerja di
Australia,” bisik Zamri kepada Aizat.
Aizat angguk.
“Uya tak pernah cerita pun.”
“Sebab dia pun baru jumpa dengan Ibnu ni. Nanti
Uya akan kerja di firma audit milik Ibnu. Jadi kau tak perlu
risaukan Uya lagi. Dia selamat di sini.” Zamri tepuk bahu
Aizat.
Aizat pandang Baizura. Melihat gadis itu gembira
melayan perbualan dengan Busu Ibnu dan Pak Cik Khalid,
dia senyum. Hatinya lega.

“PAK CIK Khalid tu pula siapa sebenarnya?”
“Pembantu peribadi arwah abang long aku.” Ringkas
sahaja jawapan Zamri. Dia tenang memandu menuju ke hotel
setelah menghantar Baizura ke rumah sewa anak buahnya
itu.
Aizat pandang Zamri. Ada rasa tidak puas hati dalam
dada. Ada sesuatu yang disembunyikan oleh Zamri.
“Maksud kau... papa Uya?”
Zamri angguk.
“Siapa abang long kau yang sebenarnya?” Spontan
Aizat menyoal. Ada tanda tanya besar dalam kepalanya.
Kalaulah dulu Pak Cik Khalid itu pembantu peribadi papa
Baizura, tentu sekali papa Baizura itu somebody.
“Cerita lama. Aku pun tak ingat sangat. Dulu abang
long ada syarikat. Agak majulah. Apabila dia meninggal dunia,
tiba-tiba saham miliknya jatuh ke tangan rakan kongsinya,”
jelas Zamri serba ringkas.
“Apa nama syarikat tu?”
“ACE Vision Art Sdn. Bhd,” jawab Zamri.
“ACE Vision Art?”
“Ya. Kenapa?”
“Minggu lepas aku ada jumpa dengan Tengku
Yahya, dia berminat gunakan firma kita sebagai penasihat
undang-undang syarikatnya.”
“Kau tak ada cerita dekat aku pun?”
“Baru pertemuan pertama. Aku belum buat pun lagi
proposalnya. Ingat Isnin ni baru nak bincang dengan kau dan
Shah. Kalau dapat nanti, semakin maju firma kita,” ujar Aizat
lagi.
Zamri angguk.
“Esok selepas lihat cawangan baru tu, kita balik ke
kampung aku sekejap. Mak aku nak jumpa.”
“Maksud kau?” Kening Aizat hampir bercantum.
“Rahsia di sebalik kemalangan papa kau. Hanya mak
aku sahaja ada jawapannya.”
Terus Aizat terdiam.

AIZAT DAN Zamri berjalan sekitar pejabat baharu Aizat,
Zamri & Co.
“Cantik dekorasi pejabat ni. Elegan. Tampak mewah.
Siapa yang buat?”
“Nik Sooraya.”
“Berapa upah semua ni?”
“Dalam 80 ribu. Tak termasuk peralatan pejabat ni
semua.”
Aizat tarik nafas panjang. RM80 ribu baginya angka
yang besar. Dia diam. Cantik tapi tak berbaloi.
“Tak boleh kurangkan upahnya?” Zamri menyoal.
“Bro, itu harga paling murah dah aku dapat. Kau
tahulah kan, barang sekarang semakin naik. Lagipun, dalam
tangan aku ada lima kes yang berpotensi besar. Sooraya juga
tolong melobi firma ni untuk jadi peguam yang menguruskan
urusan jual beli rumah milik R.I.B. Berhad. Kalau dapat tu, 2
tahun punya income korang tak perlu risau.”
Aizat dan Zamri angguk. Boleh tahan.
“Habis, staf pula... kau dah cari ke belum?”
“Itu pun Nik Sooraya dah uruskan. Adik kawan dia
baru habis belajar di UiTM. Kerani pula aku dah dapat dua
orang. Esok mereka akan masuk kerja.”
“Okey.”
“Kalau kau perlukan apa-apa bantuan, boleh rujuk
ke HQ nanti. Kau berhubung dengan Shah ataupun Jasmin.
Mereka yang menguruskan kewangan firma kita.”
“Okey, aku tahu. Shah dah beritahu aku.”

No comments:

Post a Comment