AKU terpanar. Sebaris ayat itu membuatkan
debar ini muncul kembali. Senyumanku hilang serta-merta.
Hati merusuh tanpa dipinta.
Izzah, insya-Allah kami akan pulang ke
Malaysia bulan April nanti.
Kami? Ulya? Zainal? Ulya dan Zainal?
Zainal? Seraut wajah tampannya muncul dalam
ingatanku. Sudah lama benar aku tidak mendengar
khabarnya. Begitu pantas waktu berlalu dan telah lama aku
tidak mendengar cerita daripada Ulya. Atau haruskah aku
katakan, bahawa aku yang sering kali mengelak dan beralasan
dengan harapan sepotong nama itu tidak membuai hatiku.
Nal... hati berbisik lembut.
Perpisahan kami terjadi kerana akulah yang
bersungguh-sungguh memintanya. Ikatan cinta yang suatu
masa dahulu harum mewangi kuncup di tengah jalan angkara
diriku. Aku ditinggal pergi kerana aku merayu meminta
Zainal menjauh daripadaku. Pilunya hati, kerana akhirnya
kecewa dan sedih itu berbalik kepadaku. Aku yang merana,
meratapi pemergiannya dari sisiku.
Ah! bukankah sudah lebih 7 tahun lamanya?
Untuk apa dikenang lagi Zainal yang sudah mengecapi
kebahagiaannya dengan Ulya?
Nal... nama itu berbisik lagi di hatiku dengan agak
beremosi. Sesekali hadir juga bayangan lelaki itu menggamit
memori. Aku tidak dapat mencerna resah sendiri. Apakah
masih terukir sepotong nama Zainal di lubuk hati ini
sementelah 7 tahun tanpanya, tidak pernah berpengganti.
Tetapi, aku tidak kejam. Sekali dia milik Ulya, biarlah
selamanya begitu. Aku selalu mendoakan kebahagiaan
mereka. Bahagia mereka, sebahagian hatiku tetap juga
terhirup udara bahagia itu. Aku selalu percaya, cinta tidak
semestinya bersatu, tetapi insya-Allah, jika sudah ditakdirkan
berjodoh dengan seseorang, hati akan belajar mencintai.
7 tahun lamanya aku menahan sendu. Biarpun hati
sudah mulai reda, rasanya begitu sukar untuk aku menolak
rasa pilu yang sesekali bertandang. Zainal kecewa. Aku lebih
lagi. Melepaskan cinta yang dulunya ada dalam genggaman
ibarat meletakkan diri dalam bara api. Pedihnya tidak
tergambar.
Tetapi, aku bahagia. Ulya kembali sihat dan disahkan
bebas daripada kanser. 2 tahun di Mesir, aku mendapat khabar
daripada Ulya bahawa Zainal melamarnya. Perasaanku?
Entah? Ketika dikhabarkan cerita itu, ada senyum di bibirku,
tetapi aku tidak dapat menebak kata hati. Aku yakin cinta
Zainal bukan lagi untukku. Sudah hadir Ulya yang mewarnai
kehidupannya. Ulya, seorang wanita anggun yang mulia
pekertinya. Siapa yang tidak tertawan? Malah, Zainal tidak
mengambil masa yang lama untuk menjadikan Ulya suri
hatinya.
Aku pasrah. Bercinta tidak semestinya memiliki.
Mulai hari itu, aku lepaskan Zainal daripada sekeping hatiku.
Kudoakan kehidupan Zainal disimbah dengan kebahagiaan
bertemankan Ulya yang mencintainya.
“Pssttt... berangan, berangan, berangan! Hobi baru
kau ni bahaya, Izzah.” Henyakkan tilam membuatkan aku
kembali ke dunia nyata. Sera mengangkat kening.
“Sera...”
“Hah... dah kenapa? Jauh sangat fikiran melayang.
Ada masalah nak kongsi dengan aku ke?”
Aku menggeleng lembut.
“Tak adalah Sera. Izzah teringatkan Ulya. Ulya nak
balik bulan 4 ni.”
“Ulya? Siapakah manusia itu? Aku kenal ke?” Sera
menayang muka yang sarat dengan pertanyaan. “Oh, aku
tahu, kawan kau yang sekelas dari Tingkatan 1 tu kan? Yang
kahwin dengan Zainal tu. I see. Ulya! Ya, aku dah ingat. Apa
khabar dia dengan Zainal?”
“Alhamdulillah... baik,” jawabku walhal aku juga
tidak pasti keadaan mereka. Percintaanku dengan Zainal suatu
ketika dahulu tidak pernah diketahui oleh Sera mahupun
Jeff. Ketika hubungan kami putus, Sera sudah berada di luar
negara menyambung pelajaran. Jeff yang turut melanjutkan
pelajaran di New Zealand pula berada di Malaysia kerana
mengalami kecelakaan jalan raya.
“Dah ada baby ke diaorang tu?”
“Belum ada rezeki lagi.”
“Papa ada call kau tak?” Sera menukar topik. Kisah
Ulya dan Zainal tidak menarik di pendengarannya.
“Eh, alamak... baru Izzah teringat bateri telefon
mati. Masya-Allah, terlupa nak cas.” Aku turun daripada katil,
tas tangan dibuka dan gadget pintar dibawa ke meja solek.
“Alaaa... lima kali miscalled daripada papa. Hesy,
kesian papa. Papa ada hal penting nak cakap dengan Izzah
ke?”
“Tak adalah, papa tanya khabar aje. Dan macam
biasa, suruh balik hujung minggu.”
Fikiranku terbang pada papa di Taman Melawati.
Beberapa minggu ini, kesibukan yang melanda membuatkan
aku tidak sempat bersua muka dengan papa. Setiap hari Sabtu
dan Ahad selama 3 minggu, biarpun aku pulang ke rumah
papa, tidak juga dapat bersua kerana papa berkursus. Timing
tak betullah kursus papa tu.
“Esok, kita balik sama-sama.” Tanpa banyak soal, aku
bersetuju dengan keputusan Sera.
“Izzah, Sera, minggu depan sambutan hari lahir aku
kat hotel tau. Jangan lupa join.”
“Cup, cup, cup. Tak free!” Sera angkat tangan dan
dengan selamba membalas permintaan Jeff yang tiba-tiba
muncul di jenang pintu. Lelaki itu sekadar menutupi
tubuhnya dengan seluar pendek. Seksi betul abang aku ni.
Sabar ajelah!
“Aku tak bagi date and time lagi, dah excuse
awal-awal. Tak ada semangat adik-beradik betullah kau ni,
Sera,” rengus Jeff, mendekat. Dengan muka tidak malu dan
tanpa meminta izin, dia berbaring di katilku.
“Jeff, Izzah minta maaf. Tahun ni, semangat
adik-beradik yang Izzah ada tu pun ke laut juga.”
“Yes, Izzah! Give me five!!!” Sera gelak kuat dan
bertepuk tampar denganku, sengaja mendatangkan hangat di
hati Jeff. Tawaku turut meletus melihat Sera yang melonjak
gembira.
Jeff mencebik, menjulingkan matanya ke atas.
“Hampagas punya adik-beradik!”
“Hampagas tak hampagas. Malas nak layan. Happy
birthday to you, boy.” Sera menyanyi dalam sindiran,
sengaja menyakitkan hati Jeff. “Kau sila bertaubat, Jeff.
Dah tua bangka, tak sedar diri nak sambut birthday macam
budak-budak.”
“Eh helo... aku tak buat maksiat, okey. Bukan aku
yang nak sangat. Majlis tu kawan-kawan aku yang buat. Kau
bukan tak tahu. Kawan-kawan aku semua happening!”
Alahai Jeff ni, luculah aku tengok muka nak
merajuk dia tu. Tapi bak kata Sera, malas layan! Aku pun
sama sebenarnya. Bukan tidak suka, tetapi lebih kepada tidak
selesa. Aku tahu nanti aku akan tenggelam dan keseorangan
dalam kemeriahan majlis itu. Jeff pasti akan dikelilingi
wartawan dan kawan-kawan artisnya. Siapa yang tidak kenal
Jeffry Ishan Ferhad? Artis popular Malaysialah kononnya.
“Yalah tu... happeninglah... sangat!”
“Izzah, jomlah... aku kenalkan kau pada kawan aku.”
Jeff angkat kening mengusik.
“Kenalkan ke kenenkan?”
“K-E-N-A-L.”
“I know you better, Jeff.”
“Izzah, stand on your feet. Jangan termakan hasutan
azazil dia!” Sera mencelah dalam ketawa yang panjang. Jeff
yang sedikit berang mencubit lengan Sera. Menyeringai gadis
itu.
“Maaflah Jeff. Tahun ni memang Izzah surrender.
Sambutan tu memang tak masuk dengan jiwa Izzah. Baik
Izzah pergi Al-Ihsan ke apa, tengok nenek-nenek dan
atuk-atuk yang berjiwa muda di sana,” selorohku.
“Berjiwa muda apanya? Diaorang nak bangun pun
tak larat.”
“Berjiwa mudalah, menyanyi tak ingat siang malam.
Kadang-kadang, Pak Cik John tu bergoyang tubuhnya. Apa
yang dia khayalkan agaknya,” ujarku merujuk kepada salah
seorang penghuni Al-Ihsan yang tajam pemikirannya. Ingatan
Pak Cik John juga bagus. Pergerakannya sahaja yang tersekat
kerana faktor usia.
Meledak ketawa Sera.
Masih aku ingat sambutan hari lahir Jeff tahun lepas
di Hotel JW Marriott. Aku keseorangan terkebil-kebil tiada
berteman. Jeff pula sibuk melayan rakan artisnya. Aku sangka
Sera hadir bersama, rupanya tidak. Sudahnya, aku balik
selepas 2 jam tidak berbuat apa-apa.
“Seronok kau ketawa ya, Sera. Kalau cemburu kata
ajelah cemburu, tak ada yang nak sambut hari jadi korang.
Kesianlah kau ni Sera. Izzah, kau pun satu, aku suruh kahwin
tak nak.”
Eh... dah kenapa aku pula yang kena ni?
“Siapa yang tua sekarang ni? Put that in your head,
siapa yang lahir dulu. Tanam, tampal, jangan bagi keluar. Dan
jangan mengaku diri lebih muda daripada kita orang.” Kuat
suara Sera, rimas.
“Entah Jeff ni, kalau Jeff kahwin, barulah boleh kita
follow dari belakang, kan Sera?”
“Yes. Agree!”
“Kau tunggu dia lagi ke Jeff? Dahlah, dia dah ada
jalan hidup dia. Be strong and find your own way.”
“La... la... la... lala... la...” Skrin laptop yang menyala
dipandang Jeff. Bicaraku dan Sera dibuat endah tak endah.
Segera aku fahami tindakan Jeff. Dia tidak mahu hatinya
robek lagi dengan kata-kata Sera.
Aku dan Sera saling berpandangan. Dua-dua diam.
Sera mengerti sendiri, Jeff sengaja berdalih.
Nur Syazwani, cinta hati Jeff sejak Tingkatan 1.
Kisah cinta mereka bertahan hampir 7 tahun. Tiada hujan
tiada ribut, Syazwani tiba-tiba menghilangkan diri ketika Jeff
baru setahun melanjutkan pelajaran di luar negara. Syazwani
pergi tanpa kesan, meninggalkan Jeff dalam derita yang
panjang. Gempar keluarga kami ketika itu dengan amukkan
mummy yang marah terhadap Syazwani kerana Jeff hilang
fokus dalam pelajaran angkara ditinggalkan sang kekasih.
Sehingga kini, aku dan Sera tahu, luka itu masih
terpalit dalam hati Jeff. Berkali-kali diminta bercinta,
berpuluh-puluh wanita yang datang menawarkan diri,
sebelah mata pun tidak sudi dipandang Jeff. Hati yang luka,
tak mungkin pulih dalam masa setahun dua. Aku tahu, kerana
aku pernah mengalaminya.
Sabarlah Jeff. Pelangi pasti muncul setelah hujan
reda. Hatiku bermonolog sendiri, menyampaikan sepotong
nasihat yang sering aku sematkan dalam diri.
KETIKA MAHU masuk ke dalam kedai, aku terpandangkan
seorang lelaki berkot kemas yang kelam-kabut keluar dari
perut kereta. Fyllen diangkut daripada bonet kereta yang sedia
terbuka. Sekejapan, aku melihat dia keresahan, tangannya
menggagau kocek seluar slek berwarna hitam. Bakul diletak
kembali ke atas jalan tar. Lelaki itu berbual di telefon.
Mundar-mandir di situ. Merasakan seperti aku sedang
mengintip anak teruna orang, segera kakiku melencong
masuk ke dalam Dobi Mama.
“Dah sampai ke tunang awak, Fiqa?” tegurku kepada
Fiqa yang sepertinya memang menunggu aku di depan
kaunter.
“Belum lagi kak. Dia call kata jammed pulak. Fiqa
tunggu sinilah. Maaf, Fiqa call akak awal-awal. Ingatkan
tunang Fiqa boleh ambil awal. Alaa... orang dah rindu ni tau,”
balas anak dara yang baru mencapai usia 21 tahun dengan
mimik muka manja yang sengaja dibuat-buat. Fiqa, asalnya
dari Kedah, sudah bertunang dengan seorang guru. Katanya,
cinta hati zaman sekolah. Seniornya.
“Amboi, macam tak jumpa setahun awak ni.
Sabarlah... tak lama lagi dah boleh peluk-peluk,” usikku
mencetuskan rona merah di pipi putih bersih Fiqa.
“Pelanggan tak ada lagi ni. Akak simpan beg kejap,”
sambungku sebelum mengatur langkah menuju ke satu
pintu yang memisahkan ruangan pembersihan dan kaunter
di hadapan.
Ketika aku mahu menarik kembali daun pintu kaca
yang bertinted hitam untuk ke ruangan kaunter, suara ceria
Fiqa menyapa seseorang menjamah cuping telingaku.
“Hai, helo Encik Is, lamanya tak nampak.” Amboi,
bukan main suka lagi Fiqa menegur apabila pintu dobi ditolak
dari luar. Ceria dia menerima pelanggan bagai sudah lama
kenal. Aku sekadar menelinga.
“Assalamualaikum, Fiqa.” Lembut suara yang
menyapa membuatkan anak mataku bagaikan tertarik untuk
mencari gerangan siapakah itu. Errr... lelaki tadi!
Fiqa malu sendiri.
“Hehe... maaf Encik Is, terlupa pula.
Waalaikumussalam.”
“Fiqa, bakul saya banyak kali ni. Awak dah kenal saya,
kan? Saya tinggal terus ya. Nanti-nantilah resit tu. Kejap, saya
ambil dua bakul lagi.”
Tidak sempat Fiqa membalas, lelaki itu sudah
menyusup keluar dari Dobi Mama. Melihat gayanya, tekaanku
tidak silap. Lelaki itu dalam kecemasan, ada sesuatu yang
perlu dipenuhi dengan kadar segera. Fiqa kulihat menggaru
kepalanya yang tidak gatal.
“Pelanggan ya?”
“Haah kak. Encik Is. Dia dah biasa datang sini.
Katanya banyak lagi stok dalam kereta. Eh, kejap... Fiqa pergi
letak belakang dulu. Akak layan dia eh.”
“Fiqa...” Tidak sempat aku mahu menegah, Fiqa
sudah menghilang di balik pintu dan pintu utama Dobi Mama
yang ditarik agak kasar membuatkan aku mendongak.
“Eh, mana Fiqa?” Dia kelihatan terpinga-terpinga.
Terkujat melihat Fiqa sudah berubah wajah. Mataku
menyoroti dua lagi bakul di tangannya. Wah, betul-betul buat
stok baju busuk lelaki seorang ini!
“Fiqa ke belakang. Selamat datang, encik. Ada apa
yang boleh saya bantu?” soalku formal.
“Oh, maaf. Saya tak biasa dengan awak. Err... saya
dah lambat ni. Nanti beritahu Fiqa ya. Saya nak servis lipat
sekali. Untuk pakaian kerja sahaja saya nak iron service. Yang
lain tak perlu. Thank you.”
“Boleh saya tahu nama encik?”
“Awak ni pekerja baru ya?” polos dia bertanya.
Keningku berkerut sedikit. Lain yang aku tanya, lain pula
yang dijawab. Kenapa itu pula yang menjadi persoalan
sekarang?
Aku membisu seketika.
“Saya dah jumpa Fiqa tadi. Dah hantar dua bakul.”
“Err... tapi, saya perlu...”
“No worries. Just ask Fiqa. She knows me. Awak
pekerja baru ya?” soalan itu meniti lagi di bibirnya.
Hah? Kelu lidahku dengan andaiannya.
“Cakap dengan dia, mungkin hujung minggu depan
saya datang ambil.”
“Lamanya, seminggu tu encik. Nanti tak ada baju
encik nak pakai. Pihak kami boleh siapkan dalam tempoh...”
“Saya ada hal!”
Aku sedikit tercengang-cengang apabila dia dengan
muka tidak bersalahnya keluar daripada Dobi Mama setelah
mencantas kata-kataku dengan menuturkan beberapa patah
kata yang berupa ayat penyata itu tanpa menunggu balasan
daripadaku. Sudahnya, aku tergelak kecil. Telunjuk kanan
naik mengusik pelipis. Manusia memang pelbagai ragam.
“Eh, dia dah balik ke kak?” tanya Fiqa usai melihat
aku membawa dua buah Fyllen berisi baju kotor itu ke
belakang.
“Ya... dia nak servis lipat sekali. Lagi, dia kata dia nak
ambil hujung minggu depan dan dia tak biasa dengan akak.
Biasa dengan awak aje,” serba sedikit aku menyampaikan
arahan lelaki itu.
Fiqa ketawa agak kuat.
“Tak menahanlah Encik Is ni. Itu pun nak cakap juga
ke?”
“Dia memang selalu ambil lambat ke pakaian dia?”
“Taklah selalu, kak. Kalau dia ambil lambat tu
maknanya dia mungkin berkursus sepanjang minggu,” jelas
Fiqa.
“Akak sebenarnya tak ada masalah kalau nak ambil
lambat. Sorang customer boleh tahan lagi, dah kalau sepuluh
orang hantar hari ni nak ambil minggu depan, mana kita
nak simpan pakaian pelanggan baru? Kalau awak berurusan
dengan dia lagi, cuba minta dia luangkan masa untuk ambil
lebih awal lagi ya,” nasihatku mengundang persetujuan Fiqa.
“Oh ya, seingat akak, akak memang tak pernah
jumpa dia lagi. Tak tahulah kalau akak terlupa.”
“Mungkin tak. Sebab biasanya dia memang hantar
hujung minggu, kak. Kan akak sibuk dengan Al-Ihsan kalau
weekend. Jadi, besar kemungkinan memang akak tak pernah
jumpa dia. Dia mimpi agaknya tu, tup-tup muncul hari kerja
macam ni.”
“Bukan mimpi. Dah baju buat pekasam sampai
empat bakul, macam mana nak tahan lagi? Terpaksa jugalah
hantar tengah-tengah hari macam ni.”
Mendengar bicaraku yang berbaur leteran, Fiqa
tertawa cuma. Sudahnya, aku turut tergelak mengenangkan
betapa kelam-kabutnya lelaki yang dipanggil Encik Is itu.
Aku agak tentulah tuntutan kerja yang memaksa dia dalam
ketegangan seperti itu.
Empat bakul yang dihantar lelaki itu dibawa ke
ruangan belakang. Sekilas pandang, aku tahu lelaki itu
menghantar semua jenis pakaian. Ada senyum di bibirku
apabila perasan pakaian itu sudah diasingkan. Satu bakul
penuh dengan kemeja dan kot, tentunya ini pakaian kerjanya.
Satu bakul lagi hanya T-shirt dan 3 helai baju Melayu.
Seterusnya semua jenis seluar manakala bakul terakhir
dipenuhi dengan pakaian dalam lelaki itu. Wah, teraturnya
dia. Dalam erti kata lain. Aku tahu lelaki ini jenis cermat dan
sudah terbiasa ke dobi.
Kagum juga aku dengan kerajinannya yang
menyusun atur pakaian sebelum dihantar untuk dicuci.
Melalui baju dan cara pakaian dihantar, terserlah watak si
pemilik baju. Aku tersenyum suka. Susah benar hendak
bersua dengan pelanggan yang memudahkan kerja orang.
“Tadi ada terima pakaian mak datin, kak. Aduhai,
maid dia tu, pot pet pot pet hampir setengah jam. Siap
beritahu lagi tak mahu ada calar mana-mana. Saya pula
yang kena bebel dengan pembantu rumah tu. Nak aje saya
tanya, siapa yang biasa basuh pakaian ni, awak ke saya?” Fiqa
bercerita.
Aku tergelak mendengarnya.
“Biasalah tu, Fiqa. Selalu maid yang kena bebel, time
jumpa awaklah dia nak lepas stres dia,” selorohku.
“Yalah tu, pandai sangat,” juih Fiqa geram. “Kak, ada
sorang lelaki awal pagi tadi, dia hantar dua bakul ‘adik-adik
kecil’ dia. Euwww, Fiqa rasa nak termuntah tengok dia
senyum, kak. Eee... gatal, tak kuasa nak melayan. Nak hantar
pakaian tu, hantar ajelah. Tak payah nak senyum kambing
ala-ala tak cukup sifat. Hesy...”
Aku terlongo.
“Ada pulak yang macam tu...”
Alhamdulillah, berkat pertolongan papa, usahaku
sedikit sebanyak membuahkan hasil. Selama setahun
setengah bekerja keras, Dobi Mama telah menerima pelbagai
jenis pakaian. Termasuklah pakaian orang-orang yang
berpangkat yang sehelai hampir mencecah belasan ribu
ringgit, pakaian seragam dan sebagainya. Jika mengikut
polisi, tidak seharusnya menerima pakaian dalam kerana ia
melibatkan kebersihan dan mungkin boleh memudaratkan
jika tidak kena cara, tetapi aku kadangkala simpati dengan
para pelanggan yang siap merayu lagi.
Dobi Mama, aku letakkan ‘mama’ di hujungnya
kerana aku selalu terkenangkan wanita yang tidak pernah
aku rasai kasih sayangnya. Aku tersenyum hambar. Semoga
mama baik-baik sahaja di alam sana.
Dan doaku, semoga Dobi Mama akan terus
berkembang maju.
KEDAMAIAN YANG singgah bermukim di hati membuatkan
aku melarik senyuman lebar pada awal pagi Sabtu itu. Pagi
Sabtu, seperti biasa, aku di rumah papa. Usai solat subuh,
aku turun ke tingkat bawah. Aku selalu sukakan suasana
ini. Pagi yang aman, damai dan tenteram. Sejuk awal pagi
masih mendinginkan sekujur tubuhku yang bersalut T-shirt
panjang dan palazo. Taman bunga buatan yang dipenuhi
orkid kesukaan mummy dijamu sepasang mataku. Tanpa
jemu dan bosan. Cantik!
Getah paip di tangan disua ke kaki yang agak kotor
terkena tanah yang masih basah. Aku berkira-kira mahu naik
ke bilikku.
“Izzah, buat apa lagi tu? Eh, pagi-pagi ni rajin pula
dia menyiram bunga tu. Awal-awal macam ni, hypothermia
bunga-bunga tu, Izzah.”
Teguran papa membuatkan aku meletuskan tawa.
“Papa ni, mana ada Izzah siram bunga, Izzah
mengendap aje.”
“Haa... elok sangatlah mengendap tu. Jom sayang,
makan dengan mummy dan papa.”
“Sera dan Jeff dah bangun ke pa?” soalku perlahan,
masih tidak berganjak dengan getah paip di tangan.
“Belum.”
“Ehmm...” Aku meliarkan pandangan, tidak mahu
ditangkap renungan papa yang menikam ke lubuk hati.
Resah, kerana aku tahu papa selalu dapat merungkaikan apa
yang bermain dalam kotak fikiranku. “Papa makanlah dulu
dengan mummy. Izzah makan sekali dengan Sera dan Jeff
nanti,” dalihku.
“Izzah, Jeff dengan Sera tu mana tahu nak bangun
awal. Tak pukul 10, pukul 11 nanti barulah nampak batang
hidung diaorang tu. Izzah tahukan Jeff tu not a morning
person. Nak tunggu mereka, kebulurlah anak kesayangan
papa ni.”
Aku menggeleng perlahan.
“Izzah!”
“Papa... please, papa pergilah dulu. Nanti Izzah
menyusul.” Aku tidak mahu mengalah tetapi belas hati ini
melihat papa yang mungkin tersinggung dengan penolakanku.
Penyudahnya, papa melangkah longlai meninggalkanku.
Aku menelan liur. Hati mendesah sedih. Pelbagai
rasa bercampur menjadi satu.
Hampir 10 minit, barulah aku bergerak masuk ke
dalam rumah. Tiba di ruang makan, aku melihat papa dan
mummy sedang bersantai di situ sambil menikmati sarapan
pagi. Spontan, kekok menyapa diri.
“Izzah, mari sayang, duduk sini. Izzah nak apa?
Simple toast? Bubur? Mi goreng?” Papa bersuara.
Aku melabuhkan punggung. Tanpa sebarang
keputusan daripadaku, papa terlebih dahulu menyuakan
sepinggan mi goreng. Malas mahu banyak soal, perlahan-lahan
aku mengangguk dan mengucapkan terima kasih.
Dari ekor mata, aku mengerling mummy. Wajah
mummy serius. Aku seperti tidak wujud di matanya.
“Hari ni plan nak ke mana? Shopping? Papa free...
papa boleh ikut kalau Izzah nak jalan-jalan.”
“Come on, Ferhad! Sejak bila you pandai nak
bershopping ni? Jangan buat lawak pagi-pagi macam ni.
Nak termuntah I dengar!” Mummy bersuara sinis. Tajam
renungannya ke arahku mengundang sayu.
“Sayang, kenapa dengan you ni? Salah ke kalau I nak
temankan Izzah? Kalau you nak ikut pun boleh. I tak kisah.”
Papa bersuara lembut. Seperti biasa, nada suara papa tidak
pernah tinggi apabila berbicara dengan mummy, wanita
kesayangannya.
“Ya, salah! Salah sebab I tak pernah nampak you
layan Jeff dan Sera macam ni. Huh! Pagi-pagi dah buat I
berangin!” Mummy mendengus kuat seraya menolak pinggan
dan mengangkat punggung, berlalu meninggalkan papa dan
aku di situ.
Kudengar keluhan kecewa papa dengan tingkah
mummy.
“Izzah.”
“Izzah okey papa. Izzah tak terasa pun. Izzah okey.
Izzah tahu mummy memang macam tu,” ujarku lembut,
sedaya upaya menutupi kesedihan yang bercambah di hati.
Papa menghela nafas panjang.
“Janji dengan Izzah, jangan bergaduh dengan
mummy. Izzah tak apa-apa. Izzah betul-betul okey,”
kuyakinkan lagi.
Papa mengangguk dengan sedikit riak tidak puas
hati.
“Dahlah... jangan fikir sangat fasal mummy tu.
Makan ya, sayang. Teman papa makan.” Kepalaku diusap
lembut.
Mata berkalih pada mi goreng di hadapan. Seleraku
berkurang, hilang dibawa hamburan mummy. Perlahan-lahan
aku menutup kelopak mata, cuba mengimbangi rasa kecewa
yang tidak lagi menjauh.
Mummy... tiadakah sekelumit rasa sayang untuk
Izzah seperti mummy menyayangi Jeff dan Sera? Begitu
hinakah Izzah di mata mummy? Semua yang Izzah lakukan
salah dan ada yang tidak kena. Sehingga akhirnya, Izzah
menyendiri bagai tidak punya ibu.
Mummy, salah Izzahkah jika Izzah lahir daripada
benih Ferhad dan Masliana? Bukan daripada hasil cinta
Ferhad dan Saerah? Walhah Izzah tidak pernah minta
dilahirkan di dunia.
Papa menduakan mummy, mengahwini mama
dalam satu ikatan yang sah. Salahkah itu? Berdosakah papa?
Andai di mata mummy, ia suatu dosa, mengapa harus Izzah
turut terheret, menjadi mangsa mummy melampiaskan
amarah yang tidak pernah padam?
Mummy, tidak banyak yang Izzah pinta. Cukuplah
secebis cuma kasih sayang mummy untuk Izzah. Memadai
bagi Izzah jika sesekali mummy melarik senyum buat Izzah.
Izzah berjanji tidak akan pernah meminta lebih.
Hatiku terusan bergema dengan bisikan-bisikan yang
selalu menari-nari dalam mindaku. Tidak pernah terluah!
“MUMMY... YAHOO!!! Sera dapat A dalam sejarah. Ni mesti
cikgu Sejarah tu tanda masa mengantuk, tak pun dia tengah
bermimpi masa tu. Tak pun anak dia tengah menyusu, tak
pun...”
“Sera, kau ni banyak mencecehlah. Boleh tak
straight to the point? Nampak tak aku tengah beratur ni?”
Jeff menolak kepala Sera daripada belakang. Geram dan rimas
dengan kegembiraan Sera yang melebih-lebih.
“Eh, biarlah. Aku nak buat karangan ni! Satu aje
lagi mummy... tak pun masa tu cikgu tu tengah naik kurap
kat belakang. Tanda cepat-cepat sebab gatal, hahaha...”
Pipi mummy dikucup bertalu-talu. Sera tergelak suka.
Memperoleh A dalam mata pelajaran Sejarah? Tidak pernah
ada dalam target Sera.
“Good. Itu yang mummy nak dengar. Mummy tahu
anak-anak mummy memang pandai. Anak mummy tak akan
kecewakan mummy.” Sera dipeluk lembut. Ubun-ubunnya
dikucup oleh mummy.
“Mummy, Jeff macam biasa, tak pernah tak dapat
straight As. Give me a big hug, mummy. Coz I have Ferhad's
genes!” Jeff tersengih-sengih. Beg sekolah di bahu dilepaskan
sebelum dia turut tenggelam dalam dakapan mesra mummy.
Aku berhiba sendiri. Terkedip-kedip aku melihat
kebahagiaan Sera dan Jeff. Aku juga ingin merasa dipeluk
begitu oleh seorang ibu.
“Tahniah anak-anak mummy. Mummy bangga
dengan anak-anak mummy ni. Sekarang, Jeff dan Sera pergi
naik atas. Mandi, lepas tu turun makan. Bila papa balik, tunjuk
result pada papa, okey? Minta papa bawa pergi bercuti.”
“Yes! A holiday!” Sekali lagi Sera buat muka terlebih
hormon adrenalina.
“Izzah, hoi... cepatlah tunjuk result kau tu pada
mummy. Mummy, Izzah punya result lagi best daripada Sera,
kan Izzah?”
“Izzah, cepatlah sayang mummy!” Jeff menggesa
perlahan. Memandang tepat ke anak mataku. Sorotan mata
Jeff bagai memberi harapan, keputusan peperiksaanku akan
mendapat pujian daripada mummy. Riak muka Jeff bercahaya.
Alangkah gembiranya dia. Tinggi harapan Jeff.
Aku menelan liur. Ah, Jeff pasti sengaja! Padahal dia
arif benar mengenai hubunganku dengan mummy. Err... aku
serba salah, menangkap bebola mata mummy yang seakan
mahu terkeluar menilik setiap inci tubuhku.
“Sera, Jeff, pergi naik dulu!” mummy memberi
arahan.
“Mummy...” suaraku tersekat-sekat. Gelisah!
“Pergi naik, mandi!” Arahan itu membuatkan aku
menelan liur.
Aku ingin meminta pelukan dan ciuman seperti
Jeff dan Sera. Tetapi, riak serius mummy membuatkan aku
kaku dan beku. Kekuatan yang aku bina sejak tadi lebur
serta-merta.
“Mummy... Izzah pun dapat semua A.” Lembut aku
berbisik, hanya pada diri sendiri. Mummy sudah berlalu ke
luar rumah.
Dengan perasaan hampa, aku mengorak kaki ke
tingkat atas. Pandanganku tertunduk ke bawah, langkah
kakiku perlahan sekali. Kehampaan membuatkan aku larut
dalam kesedihan yang panjang. Seharusnya aku sedar, aku
tidak sepatutnya menyimpan harapan untuk melihat mummy
gembira dengan keputusan peperiksaanku.
Ralit melayan perasaan, aku tidak sedar aku hampir
berlaga dengan seseorang. Mengangkat kepala, aku tersentak
melihat Jeff dan Sera di tangga yang paling atas. Seboleh
mungkin aku melorek senyum kepada mereka, sekalipun aku
tahu, rasanya tawar sekali.
Pelukan Sera tidak dapat tidak membuatkan air
mataku mengalir sepi di pipi. Jeff mengusap belakangku.
Terlukis riak kesal di seraut wajah itu.
“Jangan sedih, Izzah. Kau bukan anak kandung
mummy. Tapi kau tetap adik aku dan Sera.”
Hatiku meruntun sayu. Terima kasih, Sera. Terima
kasih, Jeff. Kerana hubungan erat kami, aku bertahan. Seperti
kata Jeff, genetik Ferhad kuat dan hebat. Izzah Ferhad bukan
perempuan yang lemah!
“Izzah! Izzah!”
“Papa!” Wajah papa yang berkerut terlayar di mata,
memecahkan kenangan itu.
“Fikir apa ni? Mi sikit pun tak luak.”
“Err... tak ada apalah. Papa, Izzah nak keluar kejap
nanti.”
“Dengan siapa?”
“Sorang. Jumpa kawan.”
Papa mengangguk, mengizinkan.
Diam menyuap makanan, minda menyusuri memori
tadi. Aku mengeluh. Sudah terlalu lama diriku disisihkan.
Aku masih di sini, menghadapi kebencian mummy kerana
adanya papa, Jeff dan Sera.
Sikap mummy juga membuat aku tekad untuk
berpindah rumah. Berkali-kali ditegah oleh papa, aku tetap
melangkah pergi. Mummy tersenyum suka. Kata papa, aku
merajuk. Tidak! Papa salah sama sekali. Aku bukan membawa
hati, jauh sekali membawa diri. Tetapi aku juga tidak diberi
pilihan. Jika mummy tidak sukakan kehadiranku di rumah,
biarlah aku beralah. Aku tidak gemar melihat suasana tegang
antara papa dengan mummy hanya kerana kehadiranku di
banglo itu. Namun, setiap hujung minggu, aku akan pulang
ke rumah papa, sekadar memenuhi syarat papa jika aku mahu
berpindah rumah.
Seronoknya kerana aku jarang kebosanan di rumah
yang aku sewa. Jeff dan Sera, adik-beradik sebapaku itu,
setelah mengetahui aku berpindah rumah turut gatal kaki
mahu mengekor sama. Pelbagai alasan diberikan kepada
mummy dan papa.
‘Alaa... Jeff boleh teman Izzah. Izzah perempuan
papa, tak elok orang perempuan duduk sendiri. Dahlah
kawasan yang Izzah sewa tu ramai lelaki. Izzah ni pulak
memang mengancam. Tak fasal-fasal papa kena jadi wali
segera.’
Geramnya aku mendengar Jeff sungguh-sungguh
beralasan. Aku pula yang diheret menjadi topik utama; ‘Jeffry
Ishan-nak-pindah-rumah’.
Sera?
Alasannya mudah walaupun kedengaran tidak begitu
logik.
‘Izzah masak lebih sedap daripada bibik.’
Wah... aku terasa dipergunakan! Apa-apa sahajalah.
Dalam diam, aku menumpang gembira. Kesudian Sera dan
Jeff menemaniku di rumah sedikit sebanyak mengurangkan
kebosanan walaupun tidak selalu kami dapat berkumpul dan
bersua muka kerana masing-masing punya haluan sendiri.
Mummy... Sedih rasa hati mengenangkan sikap
mummy.
Spontan, rindu itu muncul lagi. Rindu terhadap
mama yang telah tiada. Mungkinkah nasibku berbeza jika
mama masih hidup?
Mama, Izzah sentiasa mencintai mama biarpun
kematian telah memisahkan kita.
No comments:
Post a Comment