DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 24 March 2019

Pabila Kau Hadir - Bab 1

BURBERRY Heart Cantley Canvas Tote
pemberian Jeff sempena hari lahirku ke-24, aku bawa rapat
ke paha. Mata aku larikan pada sebatang tubuh yang hampir
tenggelam dek kemeriahan orang. Kaki yang ingin segera
mendapatkan lelaki itu terhenti serta-merta. Anak mataku
mengecil buat sekian kalinya. Semakin lama tubuh tinggi
lampai itu hilang daripada pandanganku.
Keluhanku panjang. Ternyata persetujuanku
mengiakan permintaan Jeff supaya menjemputnya di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ini bukan
keputusan yang baik. Seharusnya aku minta sahaja lelaki
manja itu menaiki teksi, Grab ataupun Uber, daripada aku
menjadi si penunggu yang pastinya akan mengambil masa
lebih daripada 1 jam.
Segera aku ke food court di tingkat dua untuk
mengisi perut setelah pesanan WhatsApp selamat dihantar
kepada Jeff. Agak lama tidak ke lapangan terbang ini kerana
tiada kepentingan membuatkan aku agak kebingungan.
Hendak mencari makanan pun berpusing dua tiga kali.
Sudahnya, aku sekadar memesan air kelapa segar dan asam
laksa. Sambil makan, sambil menikmati pemandangan yang
penuh dengan manusia.
Usai makan, bergegas aku bergerak untuk
menunaikan hajat pula.
“Allah... papa!!!” Aku terjerit agak nyaring apabila
tubuhku tertolak ke hadapan ketika berjalan untuk ke bilik
air. Nasibku baik kerana aku sempat mengimbangkan badan
daripada jatuh tersungkur, namun...
Bibirku terbuka luas. Terkelip-kelip mataku melihat
harta kesayanganku sudah tercemar. Begku bertukar warna
disimbah kopi. Astaghfirullahalazim. Kakiku tidak sakit,
bahkan tubuh yang ditolak kuat tadi tidak terasa sakit pun,
namun terpandangkan beg itu, jiwaku ranap serta-merta.
“Ahhh... errr... maaf cik... anak saya tak sengaja...”
Halus benar suara itu memohon maaf, kedengaran ragu-ragu,
mungkin bimbang dimarahi olehku.
Aku mendongak. Wanita yang berusia sekitar awal
40-an menayang raut wajah serba salah. Serta-merta hatiku
pilu. Pilu dengan raut simpatinya dan juga nasibku sendiri.
“Tak... tak apa.” Menggeletar suaraku mengeluarkan
suara. Seakan tidak terkeluar dan tidak ikhlas sekali bunyinya.
“Sekali lagi kakak minta maaf, cik. Anak kakak
ni memang nakal sikit. Suka sangat berlari. Biasalah,
budak-budak. Tak kenal tempat nak menakal.” Ah! Rancak
sekali dia berbicara tanpa mengira hatiku yang terbelah dua.
Aku terbayangkan kegembiraan yang bukan
kepalang ketika Jeff tersengih-sengih menayang beg
berwarna putih cerah itu kepadaku sehingga timbul cemburu
Sera terhadapku kerana hadiah istimewa itu. Kata Jeff, ini
kali pertama dan terakhir dia belikan. Lepas ini, minta suami
aku pula yang beli!
Oh, tidak! Belum pun genap setahun aku
menggunakan beg yang sudah menjadi koleksi kegemaranku
itu. Tanpa sedar, aku meninggung di situ. Ah! Geramnya!!!
“Jangan menangis, beg boleh beli lagi.”
Entah dari mana datangnya pemilik suara garau
itu, aku tidak ingin mengendahkannya. Hati begitu walang
memikirkan beg kesayanganku sudah dikotori biarpun tanpa
sengaja.
“Kalau awak menangis pun tak guna juga. Bukannya
budak tu sengaja nak langgar awak. Jangan membazir air
mata awak kat sini. Tak fasal-fasal kena rompak pula.”
Aku masih diam. Tidak memberi sebarang reaksi
atas nasihatnya.
“Kan saya dah kata, beg boleh beli lagi,” tekannya
lagi. “Kena kopi sikit pun nak menangis. Tengah-tengah alam
ni pulak. Epik sangatlah!”
Hatiku sakit pula mendengar nada yang berbaur
seakan perlian itu. Aku tidak memandang lelaki yang begitu
mudah menuturkan sepatah ayat itu. Ya, memanglah boleh
dibeli lagi... jika berduit!
“Saya yakin dalam ni masih banyak harta awak, kan?
Ambillah, buat beli beg baru. Yang dah pergi takkan kembali.”
Wah, nasihatnya seolah-olah aku sedang meratapi sekujur
tubuh!
“Izzah, is that you?” Satu suara kedengaran agak
keras dari kiri. Namun, aku kenal benar. Jeff!
“Jeff...”
“Goodness Izzah! Jom balik!!!” Lenganku dicengkam
kejap.
“Jeff, sakitlah...” Aku yang tidak bersedia hampir
terjelepok sekali lagi namun lengan kekar Jeff sempat
memaut pinggangku.
“Hesyyy, kau ni... duduk kat sini kenapa? Tempat
laluan orang ni tahu tak? Jom balik weiii...” arahnya keras,
raut wajahnya seperti ada yang tidak kena.
“Puan, beg awak...”
Hah, sungguh aku alpa. Eh, puan dipanggilnya aku?
Belum sempat aku berpaling, Jeff terlebih dahulu berbuat
demikian. Segera Jeff bergerak ke belakang.
Aku cuba menatap seraut wajah lelaki sinis tadi,
namun tubuh sasa dan kekar Jeff menghalang pandanganku.
Dan aku dengar ucapan terima kasih Jeff kepada lelaki itu.
Sungguh, sekali lagi aku mencuba nasib, mahu meneliti raut
lelaki itu, tetapi kehampaan menguasai hati tatkala jejaka
itu terlebih dahulu memalingkan wajahnya dan mengatur
langkah tanpa menoleh lagi.
“Apa pandang lagi, Izzah? Hei... stres aku dengan
peminat-peminat ni. Aku pun perlukan privasi. Tengah-tengah
airport ni boleh diaorang serbu. Kejap, beg ni dah kenapa?”
Sergahan Jeff memaksa anak mataku yang masih memaku
pada belakang tubuh lelaki itu berkalih.
Segera, rasa itu hadir lagi.
“Jeff, beg kena kopi. Nak yang baru...”
Demi mendengarkan permintaanku dengan suara
yang lunak manja, Jeff membulatkan mata dan mengangkat
kedua-dua tangannya ke paras bahu, tanda tidak mahu masuk
campur sedikit pun.
“End of the discussion.”
“Jeff!!!”
“End. Tamat. Sekian.”

KELUHAN KAK Saptuyah menarik minatku. Hari ini sahaja
sudah berkali-kali telinga ini menangkap keluhan berat itu.
Setiap kali telefon dilekap di telinga pasti berkesudahan
dengan riak resah. Kulihat Kak Saptuyah menggeleng pula.
Hasnah di sebelah bagai tiada perasaan. Keresahan Kak
Saptuyah tidak berjangkit sama pada emosinya.
“Kenapa tu kak?” soalku dengan keinginan
meluap-luap untuk tahu.
“Hesy, Izzah... dah nak naik lenguh tangan akak
ni dail nombor sama. Nak bercakap ke tak tuannya ni? Tak
habis-habis sekejap lagi, sekejap lagi. Dah 3 jam pun sekejap
lagi? Sekejap lagi ke tu awak rasa?”
Aku menyembunyikan senyum mendengar bebelan
Kak Saptuyah.
“Lama bagi kita kak. Sekejap sangatlah kut bagi
orang kat sana tu.”
“Akak bukan apa, Izzah oi. Tu, Nek Yak tu, dah
banyak kali meracau panggil nama cucu dia ni. Orang tua
ni, kalau dah meracau malam-malam, dah teringat sangatlah
tu. Sama macam kamu nantilah Izzah, kalau dah bercinta,
terbawa-bawa ke alam mimpi.” Kak Saptuyah tersengih.
Aku tergelak kecil.
“Eh, dah kenapa nama saya terbabit sama ni kak?
Saya innocent tau.”
“Itu contoh aje.”
“Mulut Kak Saptuyah ni masin tau Izzah, jadi
kenyataan nanti. Tak tidur malam kau nanti,” Kak Hasnah
menyampuk.
“Aik, tadi kata nak kena mimpi, mestilah kena tidur
dulu. Point akak berdua dah bercanggahlah.”
“Eh, kau tak pernah dengar mimpi tika sedar ke,
Izzah oi?” Kak Hasnah membulatkan mata.
Aku tertawa. Dah... Kak Sap, bagi kat saya phone tu.
Biar saya cuba bercakap dengan cucu Nek Yak tu.”
“Hah, kamu cuba pulak... tapi sebelum bercakap
dengan manusia sibuk sedunia tu, mesti melalui saringan
dulu. Cakap dengan setiausaha dia.”
“Tak apalah kak. Kalau dah terpaksa ikut prosedur
tu, kita layan ajelah.”
Dua tiga kali panggilan disambungkan, barulah
dapat aku dengar suara seseorang menyapa telinga.
“Boleh saya bercakap dengan Encik Salman bin
Abdirehman?”
“Maaf cik, Tuan Salman masih dalam meeting. Cik
boleh telefon kemudian ya.”
“Macam mana kalau saya tinggalkan pesan?”
“Tentang apa ya?”
“Tentang nenek Encik Salman, Puan Mardiani di
pusat jagaan kami, iaitu Pusat Jagaan Al-Ihsan.”
“Cik pernah telefon ke nombor ini, pernah bercakap
dengan Tuan Salman sebelum ni?” Suara di talian seperti
ragu-ragu dan serba salah sahaja. Entah-entah tidak senang
dengan permintaanku mahu meninggalkan pesanan atau
tidak senang dengan sikap bosnya sendiri.
“Belum pernah.”
“Kalau macam tu, saya rasa lebih baik cik telefon
semula. Bukan apa cik, bos saya biasanya tak suka kalau ada
yang menelefon tinggalkan pesanan. Dia tak layan. Kalau
saya cakap nanti pun, macam angin lalu aje pada dia. Tak
fasal-fasal saya pula yang dapat habuan.”
Nasihat daripada si setiausaha itu membuatkan aku
menarik nafas panjang. Agaknya inilah punca Kak Saptuyah
bermuram durja. Akhirnya, terpaksa juga aku meletak
gagang. Tiada pilihan. Ada baiknya mencuba lagi esok. Takut
nanti, naik muak pula setiausaha itu mendengar suara kami.
Aku terpandangkan Kak Saptuyah.
“Hah, kan akak dah cakap.”
Aku tersenyum cuma. Bersabarlah. Barangkali
pemilik nama Salman itu benar-benar dalam kesibukan. Kita
tidak tahu, masa yang kita miliki, tidak sama dengan masa
orang lain. Saat kita merasa diri terluang, mungkin kala
itulah waktu sibuk bagi orang.
Aku larikan anak mata ke arah Nek Yak. Perempuan
tua itu lena sejenak sesudah disuap makanan tengah hari
sebentar tadi. Nek Yak, usianya sudah menjangkau 92 tahun,
warga emas yang paling tua di bawah jagaan kami. Sudah
menghuni Pusat Jagaan Al-Ihsan selama 12 tahun.
Sejak 2 minggu yang lalu, kami perasan akan
keanehan dalam diri Nek Yak. Malamnya tidak lena seperti
selalu. Asyik meracau-racau memanggil nama ‘Salman’
dan ‘Hida’. Mengikut maklumat yang kami terima, Nek Yak
hanya punya seorang cucu lelaki. Hida? Nama itu tidak dapat
dipastikan siapa. Mungkin saudara-mara atau anaknya. Nek
Yak juga mengalami penyakit buah pinggang yang serius,
perlu menjalani dialisis 3 kali seminggu yang semuanya
diuruskan oleh Pusat Jagaan Al-Ihsan.
12 tahun. Ya, sudah 12 tahun aku mengenali Nek
Yak. Sekali pun tidak pernah aku melihat saudara-maranya
datang melawat. Tidak juga Salman atau Hida yang meniti di
bibir wanita tua itu kebelakangan ini.
Gusar! Itulah perasaanku dengan keadaan Nek Yak.
Kesihatannya agak merosot. Biarpun menghidap penyakit
buah pinggang, mulutnya sentiasa laju berceloteh sebelum
ini. Apakah ada petanda buruk? Nauzubillah. Semoga
dijauhkan perkara buruk daripada menimpanya.
Pada andaian positifku, gamaknya beginilah kondisi
seorang tua. Beransur-ansur hilang kebolehan dalam semua
keadaan. Jika dahulu, boleh gagah berjalan ke sana ke mari.
Namun, apabila tua datang menjengah, nikmat kesihatan
ditarik satu per satu. Lumrah dan ketetapan yang tidak boleh
disangkal lagi.
Aku menarik nafas. Ada bunyi dari telefon pintarku.
Opss... aku perlu bergegas ke Dobi Mama. Pesanan itu daripada
Fiqa, salah seorang pekerja di Dobi Mama memaklumkan
bahawa dia perlu bertemu tunangnya di Subang Jaya.
Pusat Jagaan Al-Ihsan pula dimiliki oleh arwah
mama dengan teman rapatnya, Puan Asmira atau lebih mesra
dipanggil umi. Aku sudah terbiasa, terdidik dan membesar
dalam keadaan dikelilingi orang-orang tua begini. Lantas,
aku ikhlaskan diri menjadi sukarelawan di pusat ini. Ibarat
rumah kedua, kadangkala aku akan tidur di Al-Ihsan. Bahkan,
pekerja di sini merangkap jururawat serta PPK di sini iaitu
Kak Saptuyah, Kak Hasnah, Kak Lela dan Abang Mazlan
sudah aku anggap bagaikan adik-beradik sendiri.
Sesungguhnya, aku jatuh kasihan melihat
orang-orang tua yang kehilangan tempat bergantung. Sedih
mengenangkan sikap anak-anak zaman sekarang yang rela
meninggalkan ibu dan ayah di pusat jagaan semata-mata
mengejar kesenangan duniawi. Oh, terasa hati dicengkam
pilu tatkala melayan rindu sang tua yang sering terkenangkan
anak-anak. Suatu ketika dahulu, sewaktu kecil, bukankah
kita dijaga dengan penuh kasih sayang, lantas mengapa saat
kita dewasa, kita membiarkan mereka sendiri?
Persoalan itu selalu bermain-main di benak
fikiranku. Benar, aku tidak seharusnya mempersoalkan
kerana aku tidak tahu. Tetapi, rasa terkilan selalu menyapa
hati apabila melihat warga emas di sini yang adakalanya
termenung mengenangkan anak-anak yang entah ingat
entahkan tidak kepada mereka.
Orang tua... mereka telah kembali kepada sifat
kanak-kanak. Tidak perlu emas dan berlian. Cukuplah bagi
mereka kasih sayang dan perhatian. Tetapi, kebanyakan
manusia lalai dan lupa bahawa sesungguhnya syurga itu ada
pada kedua ibu bapa. Bukankah keredaan Allah terletak pada
keredaan kedua-dua ibu bapa?

No comments:

Post a Comment