DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 24 March 2019

Lelaki Terakhir Untukku - Bab 5

PAGI hari lagi aku kena terjah dengan panggilan
daripada encik bos. Siapa lagi kalau bukan Erfan Rayyan
a.k.a. mamat muka ketat. Seminggu sudah berlalu dan
selama seminggu itu aku dan dia banyak bersua muka untuk
projek ZR Galeri yang akan datang. Seperti biasa, sikapnya
yang tegas dan berkaliber itu sudah aku hafal. Dia tak suka
pekerja melewat-lewatkan tugasan. Walaupun deadline
tugasan itu masih lambat lagi, tapi dia sudah mengeluarkan
arahan tugasan itu perlu disiapkan secepat mungkin untuk
diperiksa.
Terkadang aku hairan tengok sikap Erfan. Ada
ketika dia akan nampak lembut, namun ada ketika dia
mempamerkan sikap dingin dan tegas. Susah nak ramal apa
yang ada dalam fikiran seorang Erfan Rayyan. Lagi susah nak
faham kehendak hati dia.
Hari ini dia mengadakan mesyuarat untuk projek
terbaharu ZR Galeri. Dari pagi sampai ke tengah hari mesyuarat
berlangsung. Macam-macam perkara dibincangkan untuk
projek amal ZR Galeri yang akan berlangsung lagi 2 bulan.
Mesyuarat tanpa henti kecuali waktu rehat buat tubuh aku
lemah. Sudahlah aku diserang demam dari malam tadi lagi.
Ini dipaksa pula mengerahkan tenaga tanpa berhenti. Mahu
tubuh aku tak penat?
Sudahnya, selama mesyuarat berlangsung satu apa
pun tak masuk dalam kepala aku. Dari tadi lagi kepala aku
sakit dan badan pula seram sejuk. Ditambah lagi berada
dalam aircond, mahu aku tak bertambah sakit?
Selesai saja mesyuarat, aku terus bergerak mahu
keluar, namun langkah kaki yang diayun terhenti mendadak
saat nama aku dilaung. Suara Erfan yang bernada tegang itu
membuatkan semangat aku hampir merudum. Perlahan aku
memusing tubuh menghadap Erfan yang sedang menulis
sesuatu di atas kertas.
“Lain kali beri perhatian pada meeting, Tia Zahara.”
Peringatan diberi sebaik saja semua staf keluar dari bilik
mesyuarat. Bergema bilik mesyuarat ini dengan terjahan
suaranya yang bernada tegang itu.
Aku menunduk dan bibir memohon maaf. Sedar
kesilapan aku yang satu itu. Dalam keadaan kesihatan aku
tak berapa okey ni, aku tak mungkin memberi tumpuan
sepenuhnya dalam mesyuarat.
“What’s your problem actually?” soalan Erfan
membuatkan aku mengangkat wajah.
“Maaf sebab saya tak beri tumpuan pada meeting
tadi.” Hanya itu saja mampu aku luahkan detik ini. Untuk
memberitahu keadaan aku yang tak berapa sihat ini, aku tak
berani. Takut dikatakan mengada-ada pula. Setakat demam,
sudah mahu merengek-rengek? Itu yang aku tak nak dengar
nanti.
“That’s not the answer.” Tubuhnya menyandar dan
pandangan mata helangnya menikam ke wajahku.
Aku lepaskan nafas perlahan. Terlalu sukar berdepan
dengan lelaki dingin begini. Kembali menundukkan wajah,
aku biarkan saja bicaranya disapa angin lalu.
“Beritahu I, patut ke sebuah syarikat menggaji
pekerja yang tak fokus pada kerja?” tajam soalan Erfan
buatkan aku ketandusan bicara.
Nampaknya dia sudah marah dek aku yang tak
memberi perhatian pada kerja. Selama seminggu aku bekerja
dengan dia, aku sudah tahu sikap Erfan yang satu ini. Tidak
suka jika bawahannya melakukan kerja sambil lewa.
“Jawab soalan I, Tia Zahara!”
Terhinggut bahu aku mendengar jeritannya.
Mengendur bahu aku ke bawah. Mata dipejam serapatnya.
Menghalang cecair jernih dari menodai pipiku. Seumur
hidup ini kali pertama aku dimarahi sebegitu lantang.
“Maafkan saya, Encik Erfan.” Hanya perkataan maaf
saja mampu aku tuturkan ketika ini. Kelesuan tubuh buatkan
aku tak berdaya menyusun bicara panjang lebar.
“Come closer.” Tiba-tiba dia berikan arahan.
Pantas aku angkat wajah dan tayang riak pelik. Tak
memahami maksud di sebalik arahannya itu.
“I said come closer!” bergema lagi bilik dengan suara
lantang Erfan.
Nak tak nak aku menurut arahannya. Mendekati
Erfan yang duduk di kerusi. Tapi kaki aku berhenti di tepi
meja saja. Dah tak berani menghampiri lagi.
“Lagi.” Sepatah kata Erfan berjaya aku hadam.
Dia meminta aku mendekatinya lagi. Mungkin saja
jarak begini menyukarkan dia untuk bercakap dengan aku.
Aku cuba berfikiran positif.
Melihat aku sudah rapat, dia pula bangkit dari kerusi.
Bersahaja tangannya mendongak wajah aku. Air mukanya
tampak garang dan tegang.
“Jadi, ni maksudnya apa?” Telunjuk jarinya menunjuk
pada air mata yang bertakung di kelopak mataku. Memang
aku sedang menahan air mata aku dari jatuh. Aku memang
tak larat sangat tapi kerana Erfan aku cuba gagahkan diri.
Tak semena-mena, air mata aku berderai saat
diri sudah terkantoi. Tak mampu lagi berpura-pura kuat
sedangkan aku lemah. Dalam keadaan begini aku memang
tak larat nak menjawab lebih-lebih. Ikutkan hati aku nak
minta izin pulang.
“Maafkan saya, Encik Erfan.” Dalam tangisan aku
meluahkan kata maaf. Entah apa sebab aku meminta maaf.
Barangkali gagal hendak menyempurnakan tugas yang
diberikan.
Kedengaran Erfan menghela nafas. Tangannya
menyeluk saku seluar dan sehelai sapu tangan dihulurkan
pada aku. Sejenak aku terpaku. Memandang dia yang tayang
wajah tak berperasaan.
“Ambil ni. I tak nak staf cakap I dera you sampai
menangis macam ni.” Nadanya tidak terlalu keras tapi masih
tegas.
Lambat-lambat aku ambil sapu tangan yang dihulur
hingga jemarinya bersentuhan dengan kulitku. Spontan
tangan dia naik melekap ke dahi aku. Tindakan drastik dia
buat aku beku daripada sebarang pergerakan.
“You sakit ke?”
Dari pengamatan mata aku, dia kelihatan risau saat
mengetahui aku sakit. Namun aku tak mampu mengeluarkan
sepatah kata dek terkejut dengan perbuatannya.
“Kenapa you tak beritahu I?” Cemas Erfan meluahkan
ayat pertanyaan. Sekejap tangannya melekap atas dahi aku.
Sekejap pula dia ramas-ramas tangan aku. Saat ini aku tak
berdaya menolak sentuhan Erfan kerana aku terkejut.
“Encik Erfan.” Nama dia aku seru perlahan. Menepis
lembut setiap sentuhannya di tubuhku kemudian aku
bergerak menjauh. Mencipta jarak antara kami. Dia sudah
terlebih batas sebagai seorang lelaki.
Erfan yang tergamam hanya memandang aku dalam
wajah terkesima. Perlahan-lahan dia menoleh wajah ke arah
lain seraya tangan meraup rambutnya ke belakang.
“You kena pergi klinik.” Nadanya sedikit mendatar
ketika menyuruh aku. Matanya masih statik memandang ke
arah lain dari memandang aku.
Aku hembus nafas perlahan. Dapat aku rasakan
tangan aku sedikit menggigil. Inilah bahananya kalau makan
ikut mulut saja. Sudah tahu alah pada seafood, tetap saja aku
sumbat dalam mulut. Sekarang siapa yang susah kalau bukan
diri sendiri?
“Boleh saya minta half day hari ni?” Tubuh aku
memang betul-betul tak larat.
Malangnya dia hanya diam tak menjawab soalan
aku. Jelas dia seakan berat hati mahu melepaskan aku balik
separuh hari.
“Saya minta maaf Encik Erfan, tapi saya betul-betul
tak larat. Saya harap Encik Erfan pertimbangkan permintaan
saya.”
“Hurm... I izinkan. You boleh balik.” Lama diam
tiba-tiba dia bersuara memberi pelepasan.
Tanpa menunggu barang sesaat, aku terus melangkah
longlai. Saat ini aku memang perlukan rehat. Tidak perlu ke
klinik cukup hanya rehat beberapa jam. Itu sudah memandai.
Sebaik saja sampai di kereta, punat penggera ditekan.
Pantas aku memboloskan tubuh ke dalam. Terketar-ketar
tangan menyumbat kunci ke dalam lubang. Dengan tangan
yang sedikit menggigil aku tak berdaya berlagak kuat.
Dua kali aku mencuba tapi tetap saja tak mendatangkan
hasil. Pening kepala aku terusan berdenyut-denyut seperti
ada bongkah kayu menindih kepala aku. Perlahan-lahan aku
letak dahi atas stereng bersama linangan air mata. Tahu diri
sedang tak berdaya.
“Mak... Tia sakit.” Saat sakit begini, aku pasti teringat
pada mak. Dulu masa aku demam, mak yang akan jaga aku.
Suapkan aku makan. Manjakan aku tanpa mengira waktu.
Tapi kini... aku bersendirian. Tiada mak. Tiada sesiapa.
Tok! Tok!
Bunyi cermin tingkap diketuk memaksa aku
mengangkat wajah. Menemukan aku dengan wajah Erfan
yang berada hampir di cermin keretaku. Bila dia beri isyarat
suruh aku keluar, aku menuruti. Berdiri di depan Erfan, aku
cuba menguatkan semangat. Tak nak dia lihat aku dalam
keadaan begini. Sisa air mata aku kesat dengan hujung jariku
menyedari pandangan matanya berlabuh di wajahku.
“You boleh drive tak?” suara Erfan kedengaran
seperti orang tengah risau.
Adakah dia sedang risaukan aku?
Sekonyong-konyong aku merapatkan kelopak mata.
Menahan air mata yang berdegil mahu mengalir. Kenapa aku
rasa seperti mahu memeluk tubuh Erfan saat ini? Seperti
mahu meminta sedikit kekuatan dari dia. Jelas keprihatinan
dia pada aku sekarang.
“Saya... saya...” Bibir aku tak berjaya meluahkan
jawapan. Kesakitan terasa mencucuk-cucuk tubuhku.
Semakin menggigil tangan aku bila angin menyapa kulit aku
yang terdedah.
“Betul ke you okey ni?” Tangan dia dah cengkam
kedua-dua bahu aku bila dia perasan aku nak tumbang.
Kemas jemarinya menekan bahu aku agar kedudukan aku
stabil.
Tapi bibir aku tak berjaya mengeluarkan kata.
Kepala aku terasa semakin berdenyut-denyut. Dunia seakan
berputar-putar.
“Jom, ikut I.” Arahan atau ajakan, aku sendiri tak
dapat tafsir dalam keadaan kesihatan tubuh badan aku tak
berapa baik ini.
Tak menunggu balasan aku, Erfan mengheret aku ke
keretanya yang terparkir tidak jauh dari tempat kami berada.
Menekan butang penggera, pintu sebelah penumpang dibuka.
Mengisyaratkan aku masuk.
“Saya tak apa-apa, Encik Erfan.” Aku menolak
huluran bantuannya. Ketika ini aku tak nak menyusahkan
sesiapa. Biarlah aku menanggung sakit sendirian dari
mengheret orang lain ke dalam masalah aku.
“Dengan keadaan you macam ni, boleh ke you drive?”
Aku terdiam menghadam soalannya. Memang benar
apa yang disoal itu. Mampu ke aku memandu dalam keadaan
sakit begini? Mengakui kebenarannya, aku hanya menekur
wajah ke bawah. Tak selesa bila ditenung oleh sepasang mata
Erfan yang bersinar terang itu.
Erfan menghembus nafas sebelum kembali
membuka pintu kereta. Kereta BMW sport berwarna merah
hati itu aku pandang lama. Memberi laluan otak berada dalam
keadaan tenang untuk aku mengikuti arahannya.
“Jangan sampai I paksa you.”
Tegangnya nada suara Erfan menjentik ketakutanku.
Kali ini, aku pula melucutkan nafas yang bergumpal
dalam dada. Permintaan dia buat aku dalam dilema. Aku tak
selesa membiarkan dia membantu. Antara aku dan dia, hanya
terikat sebagai pekerja saja. Setakat pergi klinik dan pulang,
aku masih gagah.
“Saya tak nak susahkan Encik Erfan. Lagipun, ini
waktu kerja.” Aku menyatakan rasa hatiku. Yang aku tak suka
dia ambil tindakan macam ini. Takut tiba-tiba hati aku pula
tersalah faham dengan kebaikan yang dia hulurkan.
“So, you tak boleh pergi.” Segera Erfan berpeluk
tubuh dan menyandar tubuh di keretanya.
Serta-merta aku angkat wajah. Memanggung muka
memandang Erfan yang beriak biasa itu. Telinga aku salah
dengar ke? Atau aku berhalusinasi?
“Saya nak balik, Encik Erfan. Duduk sini pun saya
tak boleh buat kerja. Saya janji saya akan hantar MC untuk
buktikan yang saya memang tak sihat.” Kemarahan yang
aku cuba simpan akhirnya terlolos sedikit. Penat buat Erfan
mengerti yang aku tak selesa dilayan sebegini.
“I don’t want your MC.” Mengerutkan dahi, Erfan
jelas sedang cuba bersabar dengan aku. “I hanya nak dengar
apa yang doktor kata tentang kesihatan you.”
Segumpul nafas aku lepas kasar. Dengan tubuh
sakit, emosi pula dah gaya puting beliung, macam mana
aku nak berlawan mulut dengan lelaki seperti Erfan Rayyan
yang tak pandai mengibarkan bendera putih? Dan saat wajah
itu tiba-tiba mendekati wajahku, langkah aku teranjak ke
belakang. Gerun mengenangkan kedudukan kami yang
begitu rapat.
“Jangan sulitkan lagi keadaan, Tia.” Dia kembali
menjarakkan wajah dan pintu dibuka sekali lagi, memaksa
aku mengikuti permintaannya.
Dalam keterpaksaan aku menurut. Bukan kerana
aku menginginkan tapi aku terpaksa. Badan aku memerlukan
rehat dan kalau kami masih bertengkar mulut di sini, badan
aku pasti akan lebih lemah.

No comments:

Post a Comment