SELESAI membuat pemeriksaan, doktor
mengesahkan aku terkena alahan makanan. Katanya tidak
teruk tapi diberi amaran jangan ambil ringan tentang alahan
makanan yang terjadi pada aku. Nak tak nak terpaksalah aku
mendengar nasihat doktor yang menyuruh aku menjaga
aturan pemakanan aku. Kalau tak nak perkara begini berlaku
lagi.
Aku melangkah penuh lesu setelah mengambil ubat
di kaunter ubat. Erfan di sebelah aku jeling sekilas. Pasal
tindakan tadi pun masih ada lagi sisa ketidakpuasan hatiku,
tapi kini dia buat aku semakin tak selesa.
“Saya boleh bayar ubat saya sendiri, Encik Erfan.”
Itulah punca aku nak marah. Dia dengan selamba
bayar segala kos rawatan aku tadi dan dengan muka tak
bersalahnya suruh beri ubat paling mujarab pada aku. Mana
aku tak hangin? Dia selamba badak saja buat keputusan ikut
hati dia.
“Ya, I tahu.” Dia melangkah dengan santai tanpa
mengendahkan aku yang dah berapi satu badan. Sepasang
matanya ditutupi kaca mata hitam buat aku sedikit sulit
membaca air mukanya.
“Dah kenapa Encik Erfan bayar juga tadi?” nada
suara aku dah terlepas sedikit keras.
Mematikan langkah, dia menoleh pandang aku. Liur
aku telan dalam gementar.
“Sebab I risaukan you!”
Terhinggut bahu aku sejenak. Terkebil-kebil aku
membalas renungan matanya yang ditutupi kaca mata hitam
itu. Menunduk wajah, aku pula diserang takut menghadapi
ketegangan Erfan saat ini.
“Huh!” Dia mendengus kuat sebelum menarik aku
mengikuti langkahnya.
Sebaik saja dia tolak tubuh aku ke dalam perut
kereta, dia hanya berdiri tercegat di luar sana. Beberapa
minit jugalah dia diam tak bergerak. Sedikit-sedikit aku
menurunkan wajah, mahu mengintai Erfan yang bercekak
pinggang di luar sana. Air mukanya jelas nampak berserabut.
Apakah sebab aku dia jadi begitu?
Setelah lama masa yang dia ambil, barulah dia masuk.
Kalau tadi raut mukanya sedikit tegang, saat ini reaksinya
nampak kosong. Seolah-olah dia sedang bersendirian.
“Nanti saya dah gaji, saya bayar balik duit Encik
Erfan.” Dalam takut aku buka mulut. Menghalau situasi
tegang antara aku dan dia.
Tak semena-mena, pandangan tajam Erfan menerjah
bebola mata aku. Tergemap aku beberapa saat. Jelas dia tak
suka bila aku sibuk memikirkan hal itu.
“Kenapa you perlu buat I bertindak sejauh ini, Tia?”
Pandangan tajam tadi berubah sayu.
Membalas renungan matanya, dapat aku selam
hatinya di dalam sana. Ada sesuatu yang cuba dia tahan
daripada terlepas keluar. Apakah aku menjadi punca dia
berubah?
Membiarkan ruang dihimpit sepi. Aku lebih suka
kalau hubungan kami tidak sampai sejauh ini. Tindakan dia
membuatkan aku bertambah curiga. Selama seminggu ini,
sikap dia berubah-ubah. Itu yang buat aku tak selesa.
“Saya dah buat apa?” aku memberanikan diri
bertanya.
“Hati I tak dapat lupakan you walau sesaat. Fikiran I
asyik terganggu selagi I tak nampak you. Kenapa Tia? Kenapa
perlu sulitkan keadaan I?” Masih membuang pandangan ke
wajah aku, dia menghamburkan kata-kata yang memeningkan
otak aku berfikir.
Terkebil-kebil aku bila bicaranya menyerbu masuk.
Entah reaksi macam mana aku harus tunjukkan agar dia
berhenti bertingkah pelik begini.
“Siapa you sebenarnya Tia?” soalan Erfan buat
kerutan di dahi aku timbul.
“Encik Erfan cakap apa ni?” gugup aku mendengar
soalan Erfan.
Menolak nafas melalui rengkungnya, Erfan
membawa tubuhnya tegak kembali. Jalan raya menjadi
santapan matanya berlabuh. Lama dia mengambil masa
untuk bertenang. Setelah lama masa berlalu, dia memulakan
bicara.
“I nak ajak you ke satu tempat.” Selesai memberitahu,
Erfan terus memulakan pemanduan. Tidak mengendahkan
aku yang dah berwajah hairan dengan tingkahnya.
“Nak ke mana Encik Erfan? Saya nak balik berehat.”
Aku memberi alasan kukuh. Memang betul aku nak berehat.
Tubuh yang lesu memerlukan rehat yang banyak.
Tapi malangnya dia tak menjawab soalan aku malah
dia langsung tak pandang aku. Gaya dia macam samseng yang
suka memeras ugut orang. Sudahnya aku juga mengunci
bicara hinggalah keretanya berhenti di sebuah sekolah
rendah.
“Nak buat apa datang sini?” Hairan aku bertanya.
Untuk apa dia ke sini? Dan apa motif dia bawa aku sekali?
“Tunggu sini. I nak jemput my son.” Terus Erfan
keluar tanpa menunggu balasan aku.
Mendengar itu, aku bawa pandangan ke belakang
tubuh Erfan yang ketika itu melangkah penuh tertib. Frasa
‘my son’ yang disebut Erfan sudah menyatakan sebab dia
mengheret aku ke sini. Sudah tentu dia mahu menjemput
anaknya pulang dari sekolah. Logiklah, Erfan tu kan duda
anak satu.
Dari jauh aku nampak seorang budak lelaki yang
halus tubuhnya sedang berjalan beriringan bersama Erfan.
Riak wajah kanak-kanak itu nampak ceria. Dan jelas, raut
wajah itu mewarisi Erfan Rayyan. Anak lelaki itu memang
kacak macam ayahnya.
Sebaik saja masuk dalam kereta, pandangan mata aku
dan budak lelaki itu bertembung. Bibir yang ceria tersenyum
tadi tiba-tiba pudar saat memandang aku. Serentak itu juga
Erfan masuk dan terus aku pandang Erfan.
“Siapa ni?” Sengaja aku bertanyakan soalan macam
itu. Nak tahu dengan lebih jelas daripada mulut Erfan.
“Anak I, Fateh Iqram.” Erfan membuang pandangan
ke arah Fateh pula.
“Fateh, salam aunty.”
Teragak-agak budak lelaki bernama Fateh itu hendak
menghulurkan tangan. Tidak mahu suasana menjadi kekok,
aku terus sambut tangan halus itu. Bibir serta-merta dihiasi
senyuman manis.
“Nama aunty, Aunty Tia. Fateh boleh panggil Aunty
Tia aje.” Aku cuba bersikap mesra bila nampak mata Fateh
kelihatan suram.
Lama aku merenung Fateh yang hanya diam sambil
mata menatap aku. Bibir anak kecil itu seperti membeku. Apa
yang buat dia jadi terkejut begitu sekali?
“Mama?”
Dan saat Fateh memanggil aku dengan panggilan
sebegitu, aku pula ditimpa rasa terkejut. Terkaku tubuh
aku. Spontan aku pandang Erfan yang tayang wajah tak
berperasaan.
“Papa, mama dah balik ke?” Fateh mengajukan
soalan pada Erfan pula.
Semakin buat aku diheret dalam bingung yang tak
terungkap. Polos wajah itu menyatakan sesuatu. Air muka
Fateh kelihatan mendung walaupun bibirnya tetap mengukir
senyum.
“Papa? Ni mama ke?” Sekali lagi ayat pertanyaan
itu kedengaran daripada bibir halus Fateh. Tidak berganjak
hanya statik di belakang sana.
“Fateh, diam!” Dalam nada suara Erfan memberi
amaran.
Menekan gear satu, pemanduan dimulakan dalam
keadaan yang sangat janggal. Terkebil-kebil aku mengerling
Erfan. Kemudian aku pandang pula Fateh yang merenung ke
luar tingkap. Dari penampilan Fateh, dia berkemungkinan
dalam lingkungan umur 7 tahun.
“You nak terus balik rumah ke?” Tiba-tiba ruang
yang diisi sepi dihalau pergi saat suara Erfan menerjah.
Aku mengangguk sedikit teragak-agak. Namun mata
Lelaki Terakhir Untukku
48
aku masih tak lari dari memandang Fateh yang hanya diam
saja. Fateh itu nampak sunyi. Sepertinya ada sesuatu yang
hilang dalam dirinya.
“Kenapa anak Encik Erfan panggil saya mama?” Aku
minta Erfan jelaskan kekeliruan otak aku sekarang. Tidak
mahu membebankan otak aku dengan perkara remeh seperti
ini.
“My wife dah meninggal. Dan, I yakin you tahu
status I, kan?”
Terpinga-pinga aku apabila Erfan menempelak.
Sinis saja bibirnya menarik senyum. Terus aku tayang wajah
konon-konon tak takut. Biarpun hati sedikit tak keruan
apabila ditebak Erfan.
“Arwah isteri I meninggal 3 tahun yang lalu. Masa
tu umur Fateh 4 tahun.” Tenang dia bercerita seolah-olah tak
ada rasa apa-apa. Tapi di sebaliknya mungkin Allah saja yang
tahu sakitnya hati Erfan.
Aku menoleh pandang Fateh di kerusi belakang.
Masih tenggelam dalam dunianya sendiri. Bagaimana
kanak-kanak sekecil ini diduga kehidupannya?
“Isteri I meninggal dalam kemalangan jalan raya.
Saat kemalangan berlaku, Fateh ada sekali dengan isteri I.
Dia ada masa isteri I menghembuskan nafas terakhir. Dan
sejak itu dia jarang tersenyum. Jarang berbual dengan orang.
Ada masa dia akan menyendiri. I tahu dia rindukan wife I.”
Masih dalam fokus memandu, Erfan bercerita sedikit demi
sedikit, membuka kisah yang mungkin saja dia tak nak ingat
bukan mudah.
“Maaf, Encik Erfan.” Lemah suara aku melantun.
Bersimpati pada nasib Fateh dan Erfan.
Erfan diam sejenak. Barangkali menggali kekuatan
untuk meneruskan cerita.
“Selepas setahun, dia makin teruk. Dia cakap wife I
akan balik jumpa kami. Dia siap beritahu yang arwah wife I
dah lama nak balik, cuma tunggu masa yang sesuai.”
Runtun hati aku mendengar kisah Fateh. Mendengar
saja sudah menyayat hati apatah lagi Fateh yang terpaksa
mengalaminya sendiri.
“Dia rindukan mama dia, Encik Erfan.” Tanpa sedar
aku membuat kesimpulan. Mata aku tak berganjak dari
merenung Fateh. Menyelami wajah kacak yang tampak suci
itu.
Di luar sedar aku bawa jemariku mengusap belakang
tangan Fateh. Hingga tumpuan Fateh terjatuh pada aku.
Disentuh dengan tindakan aku, dia mendekatkan tubuh.
Tangan aku diambil dan dibawa melilit tubuhnya. Separuh
wajahnya melekat di bahu aku.
“Fateh tahu mama akan balik.”
Hangat kulit Fateh menghantar sesuatu ke dalam
hati aku. Dalam keadaan sedar, aku merangkul tubuhnya
lebih erat. Membiarkan Fateh melampiaskan rindu pada aku
biarpun aku bukanlah mama kandungnya.
Bertaut pandang dengan sepasang mata Erfan, hati
aku tiba-tiba berdebar tidak menentu. Saat itu aku rasakan
ada sesuatu mengetuk pintu hati aku. Dan dalam tak sedar,
pintu hati yang dah lama aku tutup terbuka perlahan-lahan.
No comments:
Post a Comment