DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 24 March 2019

Aku Bukan Penggoda - Bab 9

“KEMALANGAN itu dirancang. Kebetulan
kereta Encik Ahmad lalu...”
Aizat pejam mata. Tangan digenggam kuat.
Gerahamnya bergerak-gerak. Menahan rasa yang membuak
dalam hati. Pemandangan indah di hadapannya tidak sedikit
pun mampu menyejukkan hati.
Pap! Pap!
Aizat menoleh. Zamri berdiri di sebelahnya.
Sama-sama merenung sawah padi terbentang di depan
mata. Sawah padi hijau terbentang menyejukkan pandangan
mereka, namun tidak pada hati.
“Uya tahu?” Suara Aizat memecah kesepian di
celah-celah mereka. Menyedarkan Zamri ke alam realiti.
10 tahun telah berlalu, bagaikan baru 8 jam. Saat
dia menyambut jasad kak long, abang long dan Raiyan,
hatinya bagai diragut pergi. Lebih-lebih lagi melihat wajah
merah bermata bengkak Baizura. Berkali-kali anak buahnya
itu pengsan. Panas badannya kerana tidak mampu meredai
sebuah kepulangan abadi.
“Tahu, selepas SPM. Mak aku suruh dia ambil
perakaunan dan mula belajar menguruskan syarikat. Dia
tak nak. Jadi mak aku cakap dah sampai masanya Uya tahu
rahsia di sebalik kemalangan mama dan papa dia. Mak aku
serahkan fail siasatan suruh Uya baca dan buat pilihan.” Mata
Zamri berkaca. Kehijauan sawah padi tetap dinikmati. Rindu
sentiasa ada untuk arwah kak long dan abang longnya.
“Bermula dari cawangan R.I.B. di sini, dia merangkak
memahami setiap selok-belok perniagaan. Sikit pun tidak
bertanya atau membantah lagi. Perlahan-lahan dia belajar
menjadi seorang gadis keras hati dan akan lakukan apa saja
untuk melaksanakan misinya. Jadi setiap perancangan mak
aku sikit pun dia tak bantah. Impiannya untuk menjadi cikgu
terpaksa dikuburkan.”
“Kenapa kau tak cerita dekat aku sebelum ini?”
“Yang berhak cerita adalah Uya. Melihat dia berubah
selepas berjumpa dengan kau, aku rasa aku tak patut masuk
campur.”
Aizat terdiam mengimbau pertemuan pertamanya
dengan Baizura ketika mengikut Zamri pulang ke kampung.
Ketika itu Baizura baru berusia 21 tahun. Dia mengikut Zamri
pulang ke kampung untuk berbincang tentang penubuhan
firma guaman mereka. Mereka membina persahabatan dan
semakin rapat. Selepas Baizura habis pengajian barulah
mereka bercinta secara rasmi. Hanya beberapa bulan lepas.
“Aku nak kahwin dengan Uya secepat mungkin,”
putus Aizat tiba-tiba. Hatinya jadi lebih kuat dan yakin. Dia
mahu menjadi pelindung halal buat kekasih hatinya.
“Kau kena faham, Uya masih ada misi yang perlu
diselesaikan. Kahwin bukan perancangan dalam masa
terdekat ni!” tegas Zamri.
“Tak perlu libatkan Uya. Biar aku bertanggungjawab
selesaikan misi ni. Uya tak perlu dibebankan dengan ini
semua!” tegas Aizat.
Selepas menghantar Baizura mereka terus bertolak
balik ke Kota Bharu. Pak Cik Khalid juga ikut sekali.
Perbincangan empat mata merungkai segala komplot
terancang 10 tahun lepas. Hati bagai dihempas batu.
Berkecai. Tapi Aizat cepat tersedar, ajal maut di tangan Allah
Taala. Sudah tertulis abahnya terlibat dalam kemalangan itu
dan meninggal dunia.
Yang dia sakit hati, kerana sikap tamak haloba
dengan kekayaan duniawi, mereka menjadi manusia tidak
berperikemanusiaan? Rupa baik. Namun rupanya itu hanya
topeng luaran.
Terus Zamri terdiam. Matanya tak berkelip
memandang Aizat.
Aizat memandang balas. Ada kemusykilan muncul
dalam hatinya tentang persahabatan mereka. Persahabatan
yang bermula ketika di universiti.
“Satu je aku nak tahu, kau kawan dengan aku ada
sebab lain ke?”
Sudah diagak soalan itu yang keluar daripada bibir
Aizat. Zamri menanggalkan kaca matanya. Batang hidung
dipicit perlahan. Dia pandang Aizat lagi. Serba salah. Tidak
mahu pula sahabatnya itu kata dia tidak ikhlas dalam
persahabatan mereka.
“Kau nak cerita betul ke tipu?” Zamri sengih. Cuba
meleraikan rasa tegang dalam hati. Tengok wajah tegang
Aizat, dia takut tersilap kata.
Aizat jongket kening dan berkerut dahi. Dia geleng.
Dapat dia rasakan ada sesuatu yang tidak kena sejak dulu lagi.
Tetapi disebabkan Zamri tidak pernah berkira dengannya, jadi
diabaikan saja.
“Kau tahu apa cita-cita aku sebenarnya?” Zamri buka
bicara. Rasanya dia perlu lebih bersikap terbuka hari ini.
Mengenang cita-cita yang tidak kesampaian.
Itulah orang cakap, kita berhak untuk merancang
masa depan, tetapi jangan terlalu yakin dengan perancangan
sendiri itu sempurna. Sebab yang lebih sempurna adalah
perancangan Allah. Dulu dia tidak ikhlas langsung mengambil
jurusan undang-undang sekadar untuk mengambil hati
maknya. Namun lama-kelamaan minat itu terpupuk dan dia
semakin menyukai kerjaya ini.
“Peguam?” Aizat sekadar meneka.
Zamri ketawa hambar.
“Doktor.” Dia memandang jauh ke luar jendela.
Cuaca mendung dan angin bertiup agak kuat membangkitkan
memorinya di awal remaja.
“Sejak kecil aku nak jadi doktor. Aku buat experiment
bedah katak, bedah ikan sampaikan kena marah dengan mak.
Haha...” Dia merindui memori indah di zaman remajanya.
“Uya pula gelar aku Dr. Stranger. Tapi tiap kali aku
buat experiment, dia mengekor belakang. Geli nak muntah
pun dia tahan. Namun...”
Zamri berhenti mengambil nafas. Sesak dadanya.
“Segalanya berubah selepas kemalangan tu. Aku
terpaksa ikut cakap mak. Sebelum ni dia tak kisah apa bidang
yang aku pilih. Selepas kemalangan tu, mak kawal semua,
tidak lagi boleh pilih apa yang kami suka. Aku dipaksa ambil
undang-undang. Uya dipaksa belajar akaun. Kak ngah dan
abang ngah terpaksa PJJ. Itu harga yang perlu kami bayar.”
“Mak berubah seratus peratus. Tapi kami tak
pernah menyalahkan mak. Sebab mak yang paling terkesan
dengan kehilangan kak long; anak sulung kebanggaan kami
sekeluarga. Kak long dengan mak macam kawan baik. Kak
long juga kesayangan kami. Rupa Uya sebiji rupa kak long.”
Dada Zamri sebak. Rindu tak pernah padam. Bercerita
tentang arwah kak long hatinya sentiasa terkesan. Rindu itu
tidak berpenghujung.
“Kau tahu, satu perkara aku kagum sangat dengan
mak. Dalam bersedih itu sempat lagi dia bertindak dalam
diam. Menyiasat punca kemalangan tu dan mengambil
tahu tentang keluarga mangsa terlibat. Kata mak, jika
kita sengsara, keluarga mangsa lain pun sengsara juga.
Kita walaupun kehilangan kak long sekeluarga, tak hidup
susah. Tapi bagaimana pula keluarga mangsa lain? Macam
kita ke kehidupan mereka nanti? Jadi sebab itulah setiap
mangsa terkorban mak siasat latar belakangnya. Mak cuba
tolong untuk kurangkan beban keluarga mangsa. Mak rasa
bertanggungjawab, sebab orang khianat dekat keluarga
anaknya, orang yang tak bersalah jadi mangsa.”
Aizat diam. Hatinya sebu.
Zamri pandang Aizat sebelum meneruskan ceritanya.
“Kebetulan kau dengan aku sebaya. Mak tahu kau
akan ambil undang-undang. Jadi dia paksa aku tukar course.
Berkawan dengan kau. Masa tu mak cakap, hak kak long
kena ambil balik. Walaupun mengambil masa lama, Zam
kena tolong Uya dapatkan haknya kembali.” Zamri perhati
perubahan riak wajah Aizat. Terasa bersalah menyisip di hati.
“Mak merancang sejak hari dia tahu rahsia di sebalik
kemalangan tu. Jadi aku terpaksa akur. Semua orang akur.
Aku dari kena paksa berubah jadi minat. Aku kagum dengan
semangat kau. Fokus kau pada pelajaran buat aku menilai
diri sendiri. Tak ada jalan keluar selain teruskan sampai
habis. Mak dah rancang semuanya. Dan aku perlu laksanakan
rancangan dia tu.”
“Termasuk aku?”
Zamri geleng.
“Kau, mak suruh aku kawan dengan kau baik-baik.
Kalau kau perlukan pertolongan, dia suruh tolong. Tapi
kan...” Zamri sengih. “Sebaliknya kau yang banyak tolong aku
dari segi study dan uruskan firm. Aku tak boleh lawan kau.”
Aizat senyum segaris. Teringat kisah mereka di
universiti. Zamri lebih banyak tidur dan main-main. Tidak
fokus pada pelajaran. Sedangkan dia pula setiap masa studi
untuk mendapat kelas pertama supaya dapat tukarkan
pinjaman PTPTN kepada biasiswa.
“Satu lagi aku tak masuk campur soal cinta kau.
Cuma aku bersyukur kau sukakan Uya.”
“Kenapa baru sekarang kau cakap?”
“Sebab kau dan Uyalah. Uya kena ikut rancangan
mak. Aku tak nak kau berkeras, hubungan korang nanti
bermasalah. Sebab itu aku pujuk mak aku supaya berterus
terang.”
“Satu lagi, Uya tak tahu papa kau turut terlibat dalam
kemalangan tu. Yang dia tahu ayah Nurul sahaja.”
“Siapa Nurul?” Cepat Aizat bertanya. Kali pertama
keluar nama Nurul daripada bibir Zamri.
“Kawan baik Uya. Kau dah pernah jumpa dia.”
“Kawan baik? Maksud kau roommate Uya di UiTM?”
Aizat angguk faham. Cukup teratur dan teliti Puan
Aminah mengatur rancangan.
“Jadi rancangan akhir, Uya kena laksanakan ke?”
Zamri angguk.
“Papa aku juga terkorban dalam kemalangan tu.
Dendam bukan keluarga kau sahaja. Aku juga. Jadi aku akan
ambil tanggungjawab tu,” putus Aizat.
Zamri akur. Dia senyum puas. Dia tidak salah
menilai. Mak tak salah memilih Aizat sebagai bakal cucu
menantu sulungnya.
“Aku nak jumpa mak kau sekarang,” ucapnya tanpa
tangguh. Hatinya sudah bulat. Walau apa pun yang terjadi
nanti, dia akan berusaha melindungi Baizura. Sentiasa
menjadi keutamaan dalam hidupnya.

No comments:

Post a Comment