DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 30 June 2019

Gerhana Cinta Yana - Bab 4

AYUNAN langkah kaki laju seiring dengan
debaran di hati si gadis. Kelam-kabut pulang dari kelas
semata-mata tidak mahu terlepas menghantar kepulangan
Haqimie. Ecewah, tak jauh mana pun rumah Abang Qimie
awak tu Yana oi! Setengah jam saja perjalanan dari rumahnya.
Matanya melilau ke sana dan ke mari di setiap
pelosok rumah. Apabila bayangan Puan Anisah mula menyapa
pandangan, Yana terus berlari mendapatkan uminya.
“Umi, Yana dah balik!” Terus uminya dipeluk kuat
dari arah belakang dan sebuah ciuman diberikan di pipi kiri
wanita itu.
“Ya Allah, budak ni! Terperanjat umi tahu tak? Masuk
macam pencuri,” marah Puan Anisah.
Yana menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ikatan
rambut dibetulkan sedikit. “Mana Abang Qimie?”
“Itu je yang dicarinya kan? Umi kahwinkan jelah
korang berdua ya?” usik Puan Anisah.
Aiseh, kenapa semua orang sibuk bercakap pasal
kahwin ni? Yana termangu sendiri.
“Umi ni, orang tanya betul-betullah.” Yana dah mula
merengek. Anak manjalah katakan.
“Qimie baru je gerak tadi dalam 15 minit macam
tu. Kenapa Yana lambat? Lama jugak Qimie dengan ibu dia
tunggu tadi. Diaorang kirim salam.”
“Jalan jammed, umi. Driver Grab tu dah pecut laju
tau tadi. Lambat jugak sampai. Isy, tunggulah kejap. Tak
sabar-sabar nak balik rumah dia tu. Umi pun, kenapa tak
tahan sampai Yana balik?” Yana meluahkan rasa tidak puas
hatinya.
“Aik, umi pun kena jugak? Aduhai anak dara umi
ni. Aunty Zahirah tu penat. Baru je sampai, mesti nak
berehat. Dah, pergi mandi. Nanti turun kita minum petang
sama-sama.” Puan Anisah menggosok perlahan kepala anak
gadisnya itu.
Sekejap sahaja masa berlalu. Dalam tak sedar dah
besar puterinya. Manja mengalahkan anak kecil. Ini juga salah
satu sebab suaminya, Ahmad Syukri melarang keras Yana
untuk berkawan rapat dengan orang luar, waima perempuan
sekalipun. Mujur juga Yana seorang yang mendengar kata.
Bolehkah bakal suami Yana menjaganya nanti? Ada kerisauan
terdetik di hati tua itu.
“Yalah. Lagi setengah jam Yana turun.”
Sampai sahaja di bilik tidur, Yana segera mandi
dan menunaikan solat asar. Selesai melipat telekung, dia
mencapai iPhone miliknya. Jari ligat berlari-lari di skrin
telefon untuk menghubungi Haqimie. Baru sahaja Yana
merebahkan badannya di atas katil, taliannya bersambung.
“Assalamualaikum, Yana.”
“Erm...” Konon mogok nak merajuklah tu. Padahal
dia sendiri yang telefon Haqimie.
“Kut ya pun marah abang, jawablah salam tu dulu.
Tak jawab dosa tau.” Haqimie tersenyum membayangkan
wajah cemberut Yana ketika ini.
“Orang dah jawab dalam hatilah,” jawab Yana
ringkas.
“Orang mana yang jawab tu? Orang-orang ke?”
Haqimie cuba berlawak.
“Not funny, okey?”
“Yana marah abang?”
Jeda.
Diam. Tiada balasan daripada Yana.
“Yana...” Haqimie buntu. Aduh, manalah dia pandai
bab-bab pujuk orang perempuan ni.
Lemah segala urat sendi Yana mendengar Haqimie
memanggil namanya secara meleret. Hesy, dah kenapa kawan
alongnya panggil dia macam tu? Panggil macam biasa tak
boleh ke? Meremang bulu roma!
“Ya, Yana marah! Kan Yana dah pesan tunggu Yana
balik dulu.”
“Ibu abang dah sampai awal. Muka ibu pun nampak
letih. Tak sampai hati pulak abang nak suruh ibu tunggu
lama sangat. Okey, macam ni. Yana cakap je nak apa, abang
belanja.”
“Betul ni?” Yana mula terpujuk.
“Ya, betul Sara Aryana Binti Ahmad Syukri.” Hah,
ambik kau! Siap panggil nama penuh lagi untuk meyakinkan
Yana tentang janjinya.
“Okey, kalau macam tu esok Abang Qimie kena
belanja Yana makan dan tengok wayang. Kita ajak along
sekali eh?” usul Yana.
“Amboi, abang cakap nak belanja Yana je. Siap nak
ajak Shahrul. Umi dengan walid Yana tak nak ajak sekali ke?”
seloroh Haqimie.
“Boleh jugak kalau abang okey.”
Mereka tertawa bersama.
“Okeylah Abang Qimie. Kalau ada apa-apa nanti kita
roger balik. Yana nak turun. Umi ajak minum petang tadi.
Takut lama pulak umi tunggu.”
“Alright, pergilah. Makan bagi pihak abang sekali
tau. Assalamualaikum.”
“Amboi, sempat lagi. Waalaikumussalam.” Yana
terus melangkah ke tingkat bawah untuk mendapatkan
uminya. Senyumannya tak lekang dari bibir. Hati terasa
berbunga-bunga.
Yana jadi tertanya-tanya. Kenapa dia berperasaan
begini? Pelik juga. Mungkin sebab sekarang ni dia kurang
dapat perhatian daripada alongnya kut.
Yalah sejak kebelakangan ini alongnya itu selalu
sibuk menguruskan klinik pergigian yang baru dibuka.
Kiranya Haqimie seperti menjadi pengganti kepada abangnya
itu.

YANA MELABUHKAN duduk di sisi Shahrul. Jam
menunjukkan pukul 11.30 malam. Dia dan Shahrul masih
melayan mata yang belum lagi mengantuk. Pantas sahaja
tangan Yana mencapai remote televisyen dan menukar ke
siaran Running Man.
“Eh, apa ni? Datang terus tukar channel. Along nak
tengok cerita tadi tu.”
“Alah, Fast and Furious tu dah berpuluh kali tengok
kan? Jangan tipu! Sampai dialog tu pun along dah naik hafal.”
Yana menyorokkan remote di tepi pahanya.
“Ya ke along tengok dah berpuluh kali? Tak perasan
pulak.” Shahrul buat muka sepuluh sen.
“Poyo je tau!”
“Running Man pun okey jugak. Boleh gelak-gelak,
hilangkan stres.”
“Along...” Yana mengerdipkan mata beberapa kali.
“Hah, ini yang along takut. Apa yang dia nak minta
ni, tak pun ada buat salah eh? Nak suruh along back-uplah
tu.” Shahrul mengerling Yana di sebelah.
“Tak baik tau along. Berprasangka buruk kat Yana
ni.” Yana tayang wajah sedih. Siapa tak kenal Yana si kaki
drama yang manja? Banyak sungguh ideanya untuk memujuk
orang lain.
“Buat muka macam tu, ingat comel ke?” Tangan
Shahrul pantas memicit hujung hidung si adik tetapi hanya
sekejap sebelum ditepis.
“Sakitlah!”
“Yalah adik manjaku sayang. Nak apa?”
Terus bersinar bebola mata Yana. “Jom keluar
esok dengan Abang Qimie sekali.” Dia terus mengusulkan
rancangan seperti yang dibuat dengan Haqimie petang tadi.
“Esok along kerjalah Yana. Kan last Saturday along
dah cuti. So, this week turn along kerja.”
Sesekali terdengar mereka berdua ketawa dek jenaka
yang ditonton. Lee Kwang Soo a.k.a. ‘Zirafah’ tak pernah
gagal membuatkan penonton tergelak.
“Yana dah plan dengan Abang Qimie. Macam mana
ni? Takkan tak jadi pulak?” Ada rasa sedih yang berkunjung
di hatinya.
“Yana ni sebenarnya ada apa-apa ke dengan Qimie?”
Puan Anisah yang baru masuk ke dalam rumah terus bertanya
soalan apabila terdengar sedikit perbualan anak-anaknya.
“Aik, bila umi dengan walid masuk? Tadi bukan
tengah dating berdua dekat buaian luar tu ke?” tanya Shahrul.
“Kamu berdua tu bergelak sakan sampai ganggu
suasana romantik walid dengan umi. Dah malam ni, perlahan
sikit ketawa tu.”
Tu dia... dah mai! Cikgu Ahmad Syukri a.k.a. cikgu
disiplin sekolah menengah sudah bersuara.
Shahrul dan Yana masing-masing sengih tayang
gigi. “Sorry walid.” Serentak mereka berdua bersuara.
“Yana tak jawab lagi soalan umi tu.” Encik Syukri
mengingatkan.
“Mana ada, walid. Yana anggap Abang Qimie tu
sama macam along. Along Yana ni kan sekarang dah busy
mengalahkan menteri. So, Abang Qimielah jadi pengganti
along. Yana anggap dia macam abang Yana sendiri. Tak lebih
daripada tu pun,” sangkal Yana bersungguh-sungguh.
“Salahkan along pulak? Along memang sibuk. Klinik
tu kan baru je beroperasi. Along kena pay more attention kat
klinik tu. Alamak, tempat along dah tergugatlah ni?” Shahrul
berniat mengusik.
“Padan muka along. Siapa suruh sibuk sangat. Tak
layan Yana pun. Kesian Yana tau, dahlah tak ada kawan rapat.”
“Yana jangan nak mula. Walid dah pernah cakap
sebelum ni kan kenapa walid buat semua ni?” Encik Syukri
cuba untuk meyakinkan anak gadisnya.
“Yana faham, walid. Habis tu, Yana kena cancel plan
esoklah ni? Along tak dapat teman Yana.”
“Kenapa nak cancel pulak? Yana pergi jelah dengan
Qimie.” Shahrul memberi keizinan.
“Tak naklah. Selalunya along ada sekali. Seganlah
Yana berdua dengan Abang Qimie tu.” Yana menolak
cadangan Shahrul.
“Sampai bila nak duduk je bawah ketiak along?
Macam tak pernah keluar berdua dengan Qimie? Sebelum ni
kan pernah je. Yana pergi jelah,” tambah Shahrul lagi.
“Pergi je Yana. Yana dah berjanji dengan Qimie kan?
Jangan mungkir janji, tak elok. Tolong jaga diri. Jaga maruah
diri dan keluarga. Ingat batas-batas pergaulan.” Puan Anisah
berpesan.
“Err... walid?” tanya Yana. Tak mungkin walid beri
keizinan. Tiga pasang mata memandang ke arah Encik Syukri.
“Semua pandang walid dah kenapa? Macam nak
tunggu keputusan hakim mahkamah dah lagaknya ni.”
Serentak mereka semua tergelak dengan lawak yang
tak diduga itu. Ini memang win! Kalah lawak si ‘Zirafah’.
“Hmm... pergilah Yana tapi macam yang umi cakap
tadi. Tolong jaga diri.”
“Terima kasih, walid.” Yana tersenyum dan memeluk
erat bahu walidnya. Kepalanya terasa digosok perlahan.
“Sama-sama.”
Bunyi lagu yang kedengaran dari iPhone
membuatkan Yana mengalih sedikit kedudukannya.
“Yana nak jawab phone kat luar eh?” Bibir tersenyum
melihat nama pemanggil di skrin telefon. ‘Abang Qimie’. Kaki
terus melangkah laju keluar.
“Tak ada apa-apa konon! Cakap jelah kat sini. Larikan
diri keluar buat apa?” teriak Shahrul dari dalam.
“Along ni, sibuk jelah.” Yana mengomel sendiri
sebelum menunjuk penumbuk kepada abangnya itu.
Tanpa mempedulikan suara yang mentertawakan
tingkahnya, panggilan Haqimie terus dijawab.
“Assalamualaikum, Abang Qimie.”
“Waalaikumussalam. Yana buat apa tu?” soal Qimie
sekadar berbasa-basi.
“Buat bodoh.”
“Haip, tak moh cakap macam tu. Babab nanti!”
Yana hambur gelak. “Abang Qimie ingat Yana ni
budak-budak ke nak babab segala?”
“Oh, dah besar eh? Ingatkan budak lagi.”
Mereka ketawa serentak.
“Tadi kita orang borak-borak pasal plan nak keluar
esok. Along tak dapat join. Dia kerja. Umi dan walid dah
izinkan kita keluar berdua,” jelas Yana.
“Ya ke? Kalau Yana nak cancel, abang tak kisah.”
“Eh, taklah. Semua orang dah bagi izin. Tapi Abang
Qimie kena jaga Yanalah. Selalunya along yang jaga.”
“Ya, nanti abang tatang Yana bagai minyak yang
penuh. Secebis habuk pun abang tak bagi lekat dekat Yana,”
seloroh Qimie.
“Poyo je! Sama macam along. Patutlah boleh jadi
kawan baik. Hiperbola sangat!”
Yana dan Haqimie tertawa lagi.
“Abang Qimie pandai nyanyi tak?” soal Yana tiba-tiba.
“Kenapa?”
“Kalau pandai, esok nak pau Abang Qimie belanja
karaoke sekali.”
“Amboi! Dah bagi betis, nak paha nampak? Of course
abang pandai menyanyi. Jangan jatuh cinta pulak dengar
suara abang nanti.”
“Tak naklah betis dengan paha tu. Simpan je sendiri.
Cepatlah nyanyi, biar Yana jadi juri.”
“Ehem ehem...” Haqimie berdeham sebelum mula
mengalunkan bait-bait lagu.
Lagu apakah agaknya yang akan dinyanyikan oleh
Haqimie? Mesti stok lagu jiwang karat ni. Yana membuat
kesimpulan sendiri.
“Ooh... Sang Algojo... Ooh... nanti dulu... Berikan
ku kesempatan akhir ini... Untuk menyatakan kalimah
sebenar... Berikan aku kesempatan akhir ini... Lai lai la lai
lai lai lai... Tanya sama itu hud-hud... Lang mensilang... Kui
mengsikui... Kerana dia yang terbangkan aku ke mari... Lai
lai la lai la lai...”
Jatuh rahang Yana sebaik sahaja Haqimie selesai
menyanyikan lagu tersebut. Bukan kerana suara Haqimie
tidak sedap untuk didengari tetapi pemilihan lagu itu jauh
meleset daripada sangkaan Yana.
“Okey, okey. Stop. Ya, ya suara Abang Qimie memang
sedap tapi kenapa lagu tu?”
“Best apa lagu tu, rare tau. Yana tahu tak dulu
dekat kampung, abang pernah tengok burung hud hud tau?”
beritahu Haqimie.
“Macam mana Abang Qimie kenal tu burung hud
hud?” tanya Yana dengan perasaan curiga. Bukan boleh
dipercayai sangat sahabat abangnya ini, dah selalu sangat dia
kena kelentong.
“Dia turunlah, bertenggek kat bahu abang. Lepas
tu dia kenalkan diri. ‘Hai, nama saya hud hud, nama awak
siapa?’ Abang pun jawablah, nama saya Zacqryl Haqimie. Nice
to meet you.” Siap pakej suara burung lagi Haqimie ajuk.
Sedar yang dirinya dipermainkan, Yana mendengus
kuat. Sengaja dia buat begitu supaya sampai ke pendengaran
Haqimie.
Haqimie pun apa lagi. Dia ketawa menyambut
dengusan maut yang dihadiahkan kepadanya.
“Abang Qimie tak nak cakap burung hud hud tu balas
‘nice to meet you too’?” soal Yana dengan nada mengejek.
“Eh, betullah dia cakap macam tu. Pelik jugak
macam mana Yana boleh tahu ni? Yana kawan dengan dia
ke?”
“Abang Qimie!!!”
Jeritan Yana di hujung talian mengundang tawa di
bibir Haqimie.
Tanpa sedar gelagat Yana diperhati dari dalam oleh
Shahrul sambil tersenyum.
“Along bahagia tengok Yana happy. Yana dengan
Qimie tu sebenarnya saling suka cuma korang belum sedar.”
Shahrul berbicara sendirian. Dia berdoa semoga perjalanan
cerita antara adik dan sahabat baiknya berjalan lancar.
Amin...

No comments:

Post a Comment