DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 30 June 2019

Lara Wirang - Bab 4

OLEH kerana Aman sudah pulih seperti
sediakala, mereka berempat meminta diri untuk
pulang. Apatah lagi azan zuhur akan berkumandang
pada bila-bila masa sahaja.
“Tok imam dah tengok sendiri, apa pendapat
tok imam?” Sambil berjalan, Ustaz Muiz bertanyakan
hal yang tadi. Ada kemusykilan sedang bermain di
fikirannya.
Imam Daud bergumam lama. Kemudian
memperlahankan langkah. Karim dan Tok Empat Abu
sudah jauh ke hadapan. Tinggal dia dan Ustaz Muiz di
belakang.
“Ada yang tak kena dengan semua ni. Dulu
Aman tu elok saja budaknya,” katanya kepada Ustaz
Muiz.
Ustaz Muiz bersetuju dengan pendapat tok
imam. Dia sendiri terkejut dengan perubahan sikap
Aman tadi. Aman bukanlah seorang budak yang
tidak tahu adab meskipun sudah lama tidak berayah.
Sikap Aman yang menonong masuk ke dalam rumah
tanpa bersalam dan menegur mereka berempat tadi
menimbulkan tanda tanya.
“Tok imam nampak apa yang saya nampak
tadi?”
Imam Daud mengangguk tanpa mengangkat
muka. Pandangan matanya menikam tanah seiring
fikirannya yang jauh menerawang.
“Benda tu tak lari jauh. Dia cuma keluar sekejap
saja, untuk menipu kita,” katanya seraya memandang
Ustaz Muiz dengan penuh makna.
“Semua ni seolah-olah ada kaitan dengan
Salim dan aliran kebatinan yang dibawa.” Ustaz Muiz
menangkap makna yang tidak tersurat dek kata-kata
tok imam. Sekali gus dia merasakan apa yang baru
terjadi adalah petunjuk Allah kepada mereka berempat
tentang masalah besar yang sedang dihadapi.
“Sebelum lebih ramai yang terpengaruh,
lebih baik kamu nasihatkan,” kata Imam Daud seraya
menepuk bahu Ustaz Muiz.
Ustaz Muiz terdiam.
Daerah Hasam Hurang, Puncak Gunung Dayan...

DERANI TERGESA-GESA datang apabila diseru oleh
Zub-yan. Walhal dia ingin sekali melihat apa yang
berlaku di antara Salim dengan Ustaz Muiz di rumah
Aman. Dua orang manusia yang bergaduh kerana
berlainan fahaman, amat seronok untuk ditonton dan
disorak-sorak. Ia bagaikan satu hiburan.
“Aku ingin mengkhabarkan tentang permintaan
Kaedar kepada kita.” Zub-yan terus bersuara apabila
Derani tiba di situ.
Terdengar sahaja nama Kaedar disebut Zub-yan,
Derani kaget seketika. Kaedar salah satu ketua Daerah
Hasam Hurang yang berkuasa dan ganas.
“Apa yang dimahukan?” Dia bertanya setelah
rasa kagetnya surut.
“Dia mahukan sesuatu untuk dipersembahkan
kepada Ghafanzar.”
“Apa yang tuan akan berikan?” Itulah yang
berlegar-legar dalam kepala Derani sekarang. Dia tidak
mampu meneka.
“Manusia yang sentiasa menyusahkan kita
semua.”
Derani terdiam.
“Aku tahu ia bukan satu tugas yang mudah.
Tetapi di situlah letak harganya. Semakin susah
semakin berharga. Yang mudah kita pujuk, memang
tak berguna,” kata Zub-yan lagi.
Derani kehilangan kata-kata. Menghalang dan
memberi masalah kepada lelaki itu bukanlah susah.
Akan tetapi kalau mahu memujuk dan memaksa lelaki
itu sujud kepada mereka, dia tidak pasti mereka akan
berjaya.
“Dia cuma seorang manusia akhir zaman. Pasti
ada kelemahan,” kata Zub-yan lagi.
Arahan Zub-yan dipatuhi. Derani pergi dari
situ untuk mengintai dan mengambil tahu perihal
Ustaz Muiz. Dia yakin suatu hari nanti, lelaki itu akan
ditewaskan.

BEBERAPA jam kemudian, Ustaz Muiz dan Karim
berada di atas tanah kebun milik Ustaz Muiz. Bersama
mereka, Radi dan Said yang ditugaskan menebang dan
menerangkan kawasan tersebut untuk dijadikan tapak
bangunan yang pertama. Setelah selesai urusan di situ,
Ustaz Muiz mengajak Karim ke rumah Salim.
“Nak ke dia jumpa kita, ustaz? Tadi pun macam
dah nak telan kita.” Karim masuk ke dalam kereta
dengan berat hati. Setelah melihat dengan mata sendiri
bagaimana Salim di gelanggang malam tadi, dia percaya
ada satu jurang yang sangat dalam antara keduanya.
Ditambah dengan sikap Salim yang semakin angkuh,
hal itu tidak akan mudah untuk diselesaikan.
“Insya-Allah. Kita mesti cuba dulu. Kalau dia
menolak, kita baliklah.”
Ustaz Muiz termenung jauh. Amanah Imam
Daud dan tanggungjawab sebagai seorang saudara
seagama dijadikan kekuatan. Dia tahu dia tidak
akan diterima baik oleh Salim. Bukan mudah untuk
melenturkan besi yang sudah keras tetapi dia perlu
cuba dahulu. Kalau salah, dibetulkan. Kalau bengkok,
diluruskan semula.
“Hantu apa yang merasuk Aman tu, ustaz? Pelik
saja tengok. Terlompat-lompat macam monyet.”
“Jin.”
“Macam mana jin boleh duduk dalam badan
budak tu pula? Dari mana dia jumpa?” Karim semakin
galak menyoal.
“Kalau ada pilihan, jin-jin memang suka duduk
dalam badan manusia. Sengaja atau tidak, kalau ada
jalan masuk, mereka masuklah menumpang dan hidup
membiak.”
“Kenapa, Ustaz?” Karim belum berpuas hati
meskipun sudah timbul rasa cuak dalam hati. Bercakap
soal jin membuatkan bulu romanya berdiri.
“Daripada duduk di tempat-tempat kotor
macam tandas dan hutan belantara tu lebih baik duduk
dalam badan manusia. Apa yang manusia makan, dia
makan. Makin banyak makan benda haram, dia lagi
kuat. Besar kecil nafsu manusia berkait rapat dengan
apa yang kita makan. Kalau makan yang haram, nafsu
menjadi besar dan kuat kerana ditunggang mereka.”
“Betul juga,” balas Karim.
“Tapi bukan semua badan dia boleh masuk.
Hanya badan yang kurang amalan agama. Sebab amalan
agama yang kita buat setiap hari itu, adalah benteng
yang menahan kemasukan mereka. Sebab itu jangan
tinggalkan solat dan amalan-amalan yang lain. Juga
tidak melakukan perkara yang mereka suka contohnya
melakukan dosa dan tidak menjaga kebersihan badan
dan persekitaran.”
“Begitu...” Karim angguk faham. Matanya
merenung jauh ke hadapan. Ketika kereta semakin
hampir ke rumah Salim, suasana dirasakan begitu sepi.
Segalanya tiba-tiba menjadi senyap. Dengan spontan,
mereka berhenti bercakap.
Tidak semena-mena, bulu roma Ustaz Muiz
merinding seolah-olah memberi petanda bukan mereka
berdua sahaja yang berada di situ.
“Marilah kita turun.”
Ustaz Muiz tidak menghiraukan gangguan itu.
Apa yang penting sekarang, tanggungjawabnya mesti
dilaksanakan. Namun apabila tapak kakinya memijak
halaman rumah Salim, monyet-monyet liar yang berada
di hutan yang memagari rumah, serentak menjerit-jerit
ketakutan. Hingar bingar sekejap jadinya.
Ustaz Muiz dan Karim tergamam seketika.
Belum sempat kaget mereka hilang, Budin
muncul di beranda. Dia hanya berdiri di situ memerhati
kedatangan mereka berdua dengan pandangan yang
penuh syak wasangka.
“Assalamualaikum!” laung Ustaz Muiz seraya
menapak perlahan mendekati rumah tetapi Budin tidak
menjawab apatah lagi mahu turun ke tanah menyambut
mereka.
“Salim ada?” Ustaz Muiz tolak ke tepi sikap
Budin yang sudah jauh berubah. Dulu Budin elok
sahaja menjawab salam kalau berselisih di mana-mana.
Sekarang kaku dan dingin.
“Engkau nak buat apa dengan abang aku?”
“Kalau tak mengganggu, aku nak jumpa
sekejap.” Ustaz Muiz tersenyum. Layanan kasar Budin
tidak diambil hati.
“Abang aku sibuk. Ada orang datang berubat.
Engkau nak berubat juga ke?” Budin menjeling sinis.
“Kalau sibuk tak apalah. Lain kali kami datang.”
Ustaz Muiz buat keputusan untuk beransur
pergi. Dia mencuit lengan Karim yang asyik melopong
dari tadi. Bagaimanapun langkah mereka tidak sempat
jauh apabila terdengar suara Salim.
“Ada apa hal nak jumpa aku?”
Ustaz Muiz tidak jadi meneruskan langkah
lalu berpaling ke belakang. Dilihatnya Salim berdiri
di beranda sambil berpeluk tubuh. Di belakang
Salim, berdiri Budin, Salwa dan seorang lelaki yang
tidak dikenali. Mungkin lelaki dari kampung lain.
Kesemuanya merenung ke arahnya tidak putus-putus.

“ENGKAU DATANG nak bertanyakan aliran silat yang
aku bawa ni kan?” Salim turun ke tanah lalu berdiri di
hadapan Ustaz Muiz sambil bercekak pinggang. Hati
yang baru sejuk kini panas semula. Dia tidak sangka
lelaki itu sanggup datang ke situ menempah maut.
“Tidak ada salahnya bertanya kalau tak tahu.
Yang salahnya kalau buat tuduhan yang bukan-bukan
tanpa asas.” Ustaz Muiz mengangguk lalu tersenyum.
Eloklah kalau Salim sudah tahu. Tidak perlu dia
bersusah payah menerangkan tujuan mereka ke situ.
“Kenapa pula sibuk nak tahu? Selama ni hidup
mati aku, engkau tak pernah ambil tahu. Tiba-tiba,
apabila aku dah senang sikit, ramailah yang tahu rumah
aku di mana,” jawab Salim dengan penuh sindiran.
“Bukan begitu, Salim. Setahu aku tok empat
tak pernah meminggirkan mana-mana keluarga
dalam kampung ni. Cuma terpulang kepada mereka
sama ada nak minta bantuan atau tidak. Setahu
aku macam-macam projek dan bantuan ada dalam
kampung ni. Dari kerbau pawah sampailah ke projek
tanam semula.”
Ustaz Muiz membidas kerana selama ini Salim
dan keluarganya memang tidak mahu bercampur
dengan orang kampung. Entah apa sebabnya. Orang
kampung sudah mangli dengan perangai Salim
anak-beranak.
Kata-kata Ustaz Muiz bagai menambah minyak
ke dalam api. Salim merengus-rengus.
“Aliran persilatan yang aku bawa ini tak ada
kena-mengena dengan engkau atau tok empat atau
sesiapa pun dalam kampung ini. Aku yang cari sendiri
sampai ke tanah Jawa. Tak payahlah engkau sibuk-sibuk
pasal hidup aku. Aku tak pernah ambil peduli pasal
hidup engkau.”
“Aku takkan peduli kalau apa yang engkau nak
bawa ini tak bertentangan dengan syariat Islam. Tapi
kalau ada yang terkeluar dari batas agama, aku takkan
teragak-agak nak campur tangan. Aku takkan biarkan
orang kampung ni buat apa-apa yang tak betul.” Ustaz
Muiz bertegas.
“Huh!”
Satu tendangan dilepaskan tepat ke dada
Ustaz Muiz namun tidak mengena. Ustaz Muiz hanya
menyendeng ke kanan membiarkan tapak kaki Salim
mendarat ke bumi. Kemudian kembali membetulkan
letak badan tanpa berkalih sedikit pun dari tempatnya
berdiri tadi.
Sekali lagi Salim memutar tubuhnya ke arah
Ustaz Muiz lalu membuka silat tari. Salwa dan semua
yang ada di situ terpegun menyaksikan pertarungan
satu lawan satu. Karim bergerak ke tepi tangga tanpa
mengalih perhatian dari tengah halaman.

No comments:

Post a Comment