DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 30 June 2019

Lara Wirang - Bab 1

Tahun 1990, Kampung Gelam Tikus...

“PADA abad yang ke-19, muncul banyak
pondok-pondok agama di Tanah Melayu. Semuanya
berpunca daripada pergolakan politik di Pattani.
Ramai ulama keluar dari negara asal lalu berhijrah
ke Kedah, Terengganu dan Kelantan. Pondok-pondok
didirikan supaya pendidikan Islam terus hidup dalam
kalangan anak-anak muda. Sejak itu sistem pengajian
pondok terus berkembang ke negeri-negeri lain
kerana masyarakat dahagakan ilmu agama. Mereka
memerlukan satu tempat khusus untuk belajar dan
merujuk. Dengan itu juga, saya berpendapat bahawa
sudah sampai masanya tempat kita juga mempunyai
sekolah pondok sendiri yang lebih tersusun. Kerana
yang paling dekat pun teramat jauh untuk kita pergi; dan
pengajian yang kita jalankan sekarang tak cukup untuk
menampung keperluan.” Ustaz Muiz menjelaskan hal
itu kepada semua yang dijemput ke rumahnya petang
itu.
Imam Daud, Ustaz Majdi, Tok Empat Abu,
Karim dan beberapa orang kampung yang hadir di
rumah Ustaz Muiz terdiam dan termenung. Saranan itu
agak mengujakan namun dalam masa yang sama terasa
berat untuk dilaksanakan.
“Di mana kita nak dirikan tu, ustaz?” tanya tok
imam apabila yang lain senyap sunyi seperti kehilangan
punca.
“Saya sudah berbincang dengan Ustaz Majdi.”
Ustaz Muiz memandang Ustaz Majdi yang merupakan
bapa saudaranya juga. Ustaz Majdi yang sudah berusia
73 tahun sekadar mengangguk perlahan.
“Saya bercadang hendak menyerahkan tanah
kebun saya tu sebagai tapak madrasah. Luasnya
dalam 5 ekar. Segala modal pembinaan bangunan dan
pengurusan termasuk pendaftaran akan kami uruskan
perlahan-lahan. Sekiranya ada yang hendak memberi
sumbangan dalam bentuk tenaga ataupun duit, saya
amat mengalu-alukan. Biarlah semua ini menjadi bekal
kita di akhirat kelak.”
“Tok tak ada halangan. Tok yakin orang kampung
juga akan membantu sedikit sebanyak nanti. Mudahlah
orang Kampung Gelam Tikus dan kampung-kampung
berdekatan belajar daripada ustaz berdua.” Imam Daud
membalas. Yang lain terangguk-angguk meskipun ada
riak bingung pada wajah masing-masing.
“Alhamdulillah. Mohon tok hebahkan nanti
dan tolong fikirkan apa yang baik untuk rancangan
kita ini. Maklumlah kerjanya bukan ringan, namun kita
harap ada berkat dan reda Allah dalam usaha kita untuk
memastikan masyarakat setempat hidup bersumberkan
wahyu al-Quran dan sunnah nabi. Kita semua sedar
yang kita sedang menuju ke akhir zaman di mana
memegang teguh agama itu seperti menggenggam
bara api. Anak-anak muda di kampung kita ini pun
nampaknya dah ramai yang terpengaruh dengan gaya
hidup barat.”
Ustaz Muiz merenung dalam wajah Imam
Daud. Besar harapannya di situ agar mendapat
sokongan ahli-ahli agama dan semua orang kampung.
Besar harapannya agar suatu hari nanti dia mampu
menyebarkan ilmu agama yang telah dipelajari
bertahun-tahun di banyak negara, kepada sesiapa sahaja
yang ingin datang belajar. Tidak kira umur dan jantina.
Tidak kira latar belakang dan bangsa.
Bukan habuan ringgit yang dicari namun
reda Allah. Dia selalu percaya, ada sebab kenapa dia
dipersiapkan dengan ilmu agama sebegitu rupa dan
sudah menjadi tugasnya menyampaikan, membimbing
dan memberi faham orang lain pula dengan sedaya
upaya. Dia hanya berikhtiar dengan segala pengetahuan
yang dia punya dan berharap agar orang lain lebih
mengenali pencipta dan kembali ke jalan Allah. Itu
sahaja.
“Insya-Allah, kami akan bantu. Dengan wang,
tenaga dan masa yang kami ada,” sambut Imam Daud
yang sudah berpuluh tahun dilantik menjadi imam di
masjid itu. Juga merupakan salah seorang waris tertua
yang masih ada selain Ustaz Majdi dan beberapa orang
tua lagi.
“Alhamdulillah. Kita semua tahu bahawa
nusrah atau pertolongan Allah SWT itu akan turun
apabila dalam jemaah ada kesatuan hati. Disebabkan
itu sangat penting apabila kita semua bersatu hati atas
jalan Allah.”
Ustaz Muiz berasa lega. Setelah menjawab
segala pertanyaan yang berbangkit, perjumpaan petang
itu ditamatkan dengan tasbih kifarah dan Surah Al-Asyr.
Dia menghantar mereka pulang hingga ke pintu pagar.

“APA KATA tok imam dan orang kampung, bang?”
Sufiya menegur suaminya yang sedang tekun menulis
di meja makan. Entah apa yang ditulis dia tidak tahu.
Mungkin perkara-perkara yang bersangkutan dengan
pembinaan madrasah.
“Syukur. Semuanya menyambut baik.”
Ustaz Muiz menoleh ke arah Sufiya yang
mendekatinya lantas tersenyum seketika. Sebelah
tangan pula memaut pinggang isterinya dengan mesra
supaya lebih dekat kepadanya. Apabila berdekatan
dengan isterinya, terasa seperti didampingi bidadari.
“Dah lama abang bercita-cita nak bina madrasah
di kampung kita ni. Akhirnya berjaya juga.”
“Cita-cita tu dah lama ada. Bahkan itu
juga impian arwah ayah dan datuk dulu. Tapi nak
melaksanakannya bukan mudah. Banyak perkara yang
abang perlu kaji dan dalami dulu. Sekarang baru abang
rasa bersedia. Cuma satu perkara yang abang nak Sufiya
tahu...”
Sufiya merenung muka suaminya yang kembali
leka menulis. Kata-kata suaminya yang tergantung
setakat itu sahaja membenihkan rasa risau.
Ustaz Muiz mengangkat muka lalu tersenyum
melihat wajah Sufiya yang berubah mendung. Dia lantas
memegang tangan isterinya itu lalu membacakan ayat
186 daripada Surah Al-Imran dan maksudnya.
“Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada
harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya,
kamu akan mendengar daripada orang-orang yang
telah diberikan kitab dahulu daripada kamu dan
orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan
dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika
kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang
demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang
dikehendaki diambil berat.”
Setiap patah perkataan yang keluar daripada
bibir suaminya, didengar dengan teliti. Dia tahu
suaminya lebih arif dalam soal agama. Dia sedia
mendengar nasihat yang ingin disampaikan.
“Setiap orang Muslim akan diuji. Ujian hidup
itu sunnatullah kauniyah. Kita tak boleh lari, malah
semakin kuat iman seseorang itu, semakin kuat dia
diuji.”
“Maksud abang...”
“Abang mahu Sufiya tabah sekiranya apa yang
abang rancangkan ini menjadi ujian yang besar buat
keluarga kita.”
Sufiya tarik nafas dalam-dalam. Dia meramas
jari suaminya dengan segenap rasa.
“Sudah hampir 30 tahun kita berkahwin, bang.
Selama itu juga kita mencari reda Allah sama-sama.
Susah senang, suka duka, semua kita hadapi berdua.
Insya-Allah, Sufiya akan tetap sabar. Kalau Sufiya lupa,
abang ingatkan.”
“Abang tahu, Sufiya isteri yang baik. Abang
setiap hari bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan
bidadari di dunia lagi. Dan sekarang, Sufiya sedang
mengandungkan pula anak abang. Jasa Sufiya tak
terbalas. Cuma abang akan berusaha menjadi suami,
ayah dan ketua keluarga yang baik.”
Bibir Sufiya terasa berat untuk membalas
apa-apa. Sejujurnya jauh dalam hatinya masih
menyimpan rasa bersalah kepada suaminya. Hanya
setelah 30 tahun berkahwin dan berikhtiar, barulah kali
itu dia hamil anak mereka yang pertama. Dia pernah
putus asa. Pernah meminta suaminya berkahwin lain
namun suaminya menolak dengan baik.
‘Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah
yang kamu dustakan?’
Ayat yang diulang sebanyak 31 kali dalam
Surah Ar-Rahman itu terdengar-dengar di telinga. Air
matanya bergenang.
Daerah Hasam Hurang...

KABUS, ANGIN dan hujan halus menyeliputi kawasan
jeram di puncak Air Terjun Hasam Hurang. Cahaya
matahari hanya samar-samar bagai terhalang lapisan
udara yang padat. Pohon-pohon tua yang menjulang
tinggi melindungi kawasan yang tersorok jauh daripada
jangkauan makhluk lain.
Di atas batu yang paling besar di situ, berdiri
satu susuk makhluk setinggi manusia. Di tangan kirinya
ada sebatang tongkat dari Gunung Bawakaraeng. Di
tangan kirinya ada bebola api yang berputar-putar.
Mulutnya tidak berhenti melafazkan mantera dalam
bahasa kaumnya, Kaum Kan. Dia menyalurkan tenaga
untuk membantu semua jin dan manusia di bawah
pimpinannya yang ada di merata sudut bumi. Dia
memusatkan seluruh tumpuan namun terganggu dek
kehadiran pembantunya secara tiba-tiba.
“Ada perkhabaran buruk, Sahir Zub-yan.”
Derani datang tergesa-gesa.
“Tidakkah dapat engkau tunggu sehingga
aku menyelesaikan tugasku?” Zub-yan mula berang
kerana tumpuannya terganggu. Tanpa kekuatan yang
disalurkan kepada pemuja-pemuja dan pengikutnya
di serata dunia, mereka mungkin sahaja mampu
ditewaskan. Musuh-musuh mereka sentiasa memerangi
mereka setiap saat dengan ayat-ayat al-Quran, zikir,
selawat, azan dan nasihat-nasihat ketuhanan yang
berterusan.
“Hal ini akan menggegarkan Hasam Hurang,”
balas Derani. Ketika itu dia tampil sebagai seorang
lelaki tua. Dia berkeupayaan merubah wajah dan bentuk
tubuh mengikut tujuan dan keperluan.
“Apa lagi yang dilakukan lelaki itu? Tidak
sudah-sudah lagi menghidupkan masjid dan memberi
ceramah siang dan malam?” sergah Zub-yan. Dia yakin
tidak ada soal lain yang dibawa oleh Derani ke situ selain
hal Ustaz Muiz yang sentiasa menjadi ancaman kepada
mereka di Hasam Hurang. Lelaki itu dan keluarganya
yang warak dan tinggi ilmu agama sudah lama menjadi
musuh mereka sejak zaman berzaman. Setiap kali lelaki
itu bertahajud di tengah malam, akan bergegarlah
segala isi daerah itu. Sungguh mengganggu.
“Dia mahu mendirikan sebuah madrasah di
Kampung Gelam Tikus. Penduduk kampung bersetuju,”
jawab Derani.
Zub-yan menghentak tongkatnya ke batu.
Laungan azan yang berkumandang dari masjid
5 kali sehari pun sudah cukup membuatkan
pembantu-pembantunya lari bertempiaran setiap hari,
inikan pula terdirinya sebuah madrasah yang akan
mengumpulkan ramai ahli agama. Ramai yang akan
mempelajari kitab-kitab agama. Ramai yang akan
berkumpul menghafal dan mempelajari al-Quran dan
kitab hadis. Semua itu tidak boleh dibiarkan.
“Kita akan buat apa sahaja asalkan rancangannya
gagal,” katanya.
“Kita punya calon yang sesuai,” jawab Derani.
“Seandainya kita berjaya, kita juga akan dipuji
di serata pelosok Hasam Hurang. Mungkin akan sampai
ke pengetahuan Ghafanzar.”
“Serahkan pada saya.” Derani memohon diri
sebelum menghilangkan diri dari situ.
Zub-yan kembali menumpukan perhatian.
Kedua belah tangan diangkat ke atas. Dalam
renungannya, dia melihat banyak pertempuran di
muka bumi. Antara konco-konconya dan manusia yang
beriman.
Dia tidak suka kalah!

No comments:

Post a Comment